Selasa, 28 Disember 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Gobi Bangun Menyanggah Anwar

Posted: 28 Dec 2010 01:00 AM PST

Anwar patut dihukum bukannya saya, Gopalakrishanan desak PKR

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Ahli Parlimen Padang Serai meneruskan serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan menggesa tindakan disiplin dikenakan ke atas ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terlebih dahulu, bukannya ke atas diri beliau.

Wakil rakyat Padang Serai itu mahu Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, dikenakan tindakan disilpin kerana menutup kuil Siva yang terletak di Bukti Gasing, Petaling Jaya.

"Jika tindakan disiplin mahu dikenakan, ia seharusnya dikenakan ke Anwar, pertama kerana menutup kuil Siva di Bukit Gasing dan (Exco Kerajaan Negeri Selangor) Dr Xavier Jeyakumar kerana menggunakan gengster ketika pemilihan PKR baru-baru ini," kata beliau dalam kenyataan terbaru dikeluarkan pagi ini.

Ketua PKR Padang Serai ini berkata, sepanjang 12 tahun lalu Anwar hanya memperkukuhkan kepimpinan orang Melayu dan Cina dalam parti itu manakala masyarakat India dipinggirkan.

Malah Gobalakrishnan yang tewas dalam pemilihan jawatan naib presiden berkata, hanya mereka yang rapat dengan beliau dilantik mengisi jawatan-jawatan parti.

"Sepatutnya ada pertimbangan yang sewajarnya bagi masyarakat India dalam parti memandangkan mereka terdiri daripada 40 peratus ahli.

"Adalah jelas Anwar mengamalkan pendekatan pisah dan perintah," kata Gobalakrishan sambil menambah, jika naib presiden baru N. Surendran mahukan sebarang penjelasan dan bukti mengenai tuduhan-tuduhan itu beliau boleh menghubunginya.

Semalam, Surendran menggesa Gobalakrishnan agar segera menghentikan kecaman dan kritikan ke atas pemimpin-pemimpin PKR.

Gopalakrishnan menggunakan akaun Twitternya untuk mengecam dan mengkritik kepimpinan Anwar dan timbalan presiden yang baru Azmin Ali sejak hujung minggu lalu.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan mempertimbangkan tindakan disiplin ke atas Gopalakrishnan ketika mesyuarat biro politik awal bulan depan.


Apa akan jadi pada Gobi akhirnya

Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat akan mempertimbangkan tindakan disiplin ke atas Ahli Parlimennya N. Gobalakrishnan, yang dilihat mula memberontak dengan kecaman-kecaman pedas terhadap kepimpinan parti itu, bulan depan.

Setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa beliau telah menerima banyak aduan daripada akar umbi berhubung tindakan wakil rakyat Padang Serai itu menyerang beberapa pemimpinnya menerusi Twitter.

Saifuddin berkata, beliau akan memanjangkan aduan-aduan yang diterima kepada pemimpin parti ketika mesyuarat biro politik bulan depan, yang lazimnya bertemu setiap minggu, untuk membincangkan nasib Gobalakrishnan.

“Saya akan membangkitkan perkara ini dan menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi. Saya tidak boleh mengambil tindakan disiplin ke atas beliau tanpa membawa perkara ini kepada pemimpin-pemimpin parti.

“Menerusi perbincangan, biro politik akan membincangkan sama ada perlu mengeluarkan surat tunjuk sebab,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambah beliau, ahli-ahli parti mengadu bahawa kepimpinan parti perlu merapatkan kerjasama selepas mengalami kesan teruk ekoran pemilihan parti baru-baru ini.

“Mereka melahirkan rasa tidak puas hati ke atas Gobalakrishnan, selaku pemimpin kanan parti, melahirkan rintihan di khalayak,” katanya lagi.

“Mereka merasakan beliau harus tahu peraturan (parti),” kata Saifuddin.

Malah kata beliau, ramai ahli berpandangan bahawa Gobalakrishnan cuba berusaha untuk memprovokasi parti agar mengambil tindakan memecatnya.

“Ini pandangan tulen ahli-ahli biasa. Mereka mengadu menerusi SMS, ada yang menghubungi saya. Mereka tidak gembira dengan beliau,” katanya.

Saifuddin menambah, Gobalakrishnan seharusnya menggunakan kelantangan beliau untuk faedah yang lebih baik daripada menyerang pemimpin-pemimpin sendiri dalam Keadilan.

“Saya tahu beliau sejak hari pertama dan beliau sentiasa kritikal, lantang dan berani. Ia satu aset kepada parti jika digunakan untuk tujuan yang baik,” katanya.

Saifuddin menambah, Keadilan ada ruang yang secukupnya bagi ahli-ahli parti melahirkan rintihan mereka.

Saifuddin juga menekankan, parti belum lagi mengisi tujuh jawatan dalam kepimpinan tertinggi dan juga nama ketua-ketua perhubungan negeri.

“Kami akan menyelesaikan semua ini pada minggu pertama bulan depan,” kata beliau sambil menambah, ahli-ahli Keadilan seharusnya memfokus untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum.

The Malaysian Insider mambawa laporan pagi tadi memetik naib presiden baru Keadilan N. Surendran melahirkakn kekecewaan dengan sikap Gobalakrishnan sambil menggesa Ahli Parlimen Padang Serai itu agar menghentikan serangan ke atas parti tersebut serta-merta.

Surendran berkata, Gobalakrishnan juga telah menghambur kritikan kabur serta tidak berasas ke atas beberapa individu dalam parti.

“Di saat Keadilan mengalu-alukan sebarang diskusi konkrit dan menguntungkan, kita juga tidak bertolak ansur dengan serangan tidak berasas ke atas kepimpinan parti,” kata beliau, yang minggu lalu dilantik sebagai naib presiden, dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau meminta Gobalakrishnan menghentikan segala serangan tidak berasas ke atas parti pada kadar segera.

“Jika tidak, kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat mengandaikan tindakan beliau itu adalah semata-mata untuk memprovokasi parti agar tindakan disiplin diambil ke atas beliau berikutan matlamat beliau untuk mendatangkan bahana kepada parti sebelum meninggalkannya,” kata beliau merujuk kepada kenyataan melalui media lama dan Twitter oleh Gobalakrishnan, yang telah dilapor sejak akhir minggu lalu.

Gobalakrishnan merupakan salah seorang calon naib presiden yang kalah dalam pemilihan Keadilan yang baru berakhir.

Kelmarin, Gobalakrishnan meningkatkan kecaman dan kritikan serta menjawab ulasan pelbagai pihak tetapi menafikan akan keluar parti.

Ia membawa kepada andaian sesetengah pihak bahawa Gobalakrishnan juga akan keluar PKR mengikut beberapa bekas wakil rakyat parti itu.

“Mengapa mesti saya keluar parti, ini parti reformasi, kita mesti melakukan reformasi. Saya berada sejak awal penubuhan parti.

“Kami baru mengadakan pemilihan, saya memberi panduan kepada pemimpin-pemimpin yang baru... saya memberikan pandangan ikhlas, itu sahaja,” katanya.

Dalam mesej Twitter hari ini, Gobalakrishnan berkata, “semua pimpinan PKR harus sedar saya tidak kecam parti, malah pimpinan yang tidak telus dan juga mereka yang tidak hormati rakyat.”

Satu lagi mesej berbunyi, “Anwar boleh pecat saya, mengkhianati saya, malah menghantar saya ke neraka. Tiada mengapa. Tolong buka (laluan ke) Kuil Siva (di Bukit Hasing), yang dia tutup,” katanya.

Gobalakrishnan menambah, “saya telah melalui ranjau perjalanan, tetapi hasilnya hanya pengkhianatan Anwar (yang saya terima)”.



Sharpshooter - Keadilan tidak mampu kehilangan mana-mana pemimpin selepas Pemilihan 2010. Gobala atau Gobi, Saifudin Nasution, Chegubard adalah nama-nama besar dalam Keadilan sejak era Reformasi1998.

Rakyat sudah pasti resah dan gelisah melihat kemelut Keadilan yang tidak berkesudahan. PAS dan DAP juga sudah pasti tidak selesa dengan kemelut dalaman ini.

Tindakan Gobala memang salah walaupun ada kebenaran dalam kata-katanya tetapi dalam masa yang sama Saifudin juga sudah terlalu banyak berbohong. Janji Saifudin juga belum tertunai.

Bayangkan jika dalam prk Tenang yang akan berlangsung awal tahun depan, selesai berkempen dan mengundi, SPR umum calon BN pemenang Dun Tenang tanpa memberitahu jumlah undi yang diperolehi oleh calon PAS dan calon BN. Adakah PAS dan Pakatan Rakyat akan berdiam diri dan akur sahaja dengan keputusan seperti itu? Sudah pasti tidak, PAS dan Pakatan Rakyat akan membantah keputusan seperti itu dan mungkin akan mengajak rakyat ke jalanraya tanda protes seperti perhimpunan BERSIH.

Jika perkara seperti ini berlaku, siapa salah? sudah pasti kita akan salahkan SPR sebab SPR tidak telus umum pemenang calon BN tanpa umumkan jumlah undi calon BN dan calon PAS.

Inilah punca sebenar yang berlaku dalam Pemilihan Keadilan 2010, Shamsul Iskandar dan barisannya diumum pemenang tanpa mengetahui jumlah undi. Sudah pasti Chegubard protes. Mengapa dalam hal ini, Chegubard terus difinah sedangkan Chegubard dan barisannya hanya ingin menegakkan haknya sebagai calon yang bertanding.

Bolehkah kita berkata pada PAS jika keputusan seperti itu berlaku di Dun Tenang..tak pe lah..yang sudah tu sudah lah..jangan protes..nak buat macamana terimalah kekalahan...kalau takut kalah jangan bertanding...

Sudah pasti PAS dan Pakaan rakyat akan berkata, ini bukan soal menang atau kalah, ini soal ketelusan dalam pemilihan pilihanraya.

Jadi janganlah double standard dalam setiap isu yang berbangkit.
Jika kita SPR tidak telus kerana umum pemenang tanpa umum jumlah undi, kita juga wajib berkata JPP tidak telus kerana perkara yang sama.

Sebab itu, Keadilan wajib segera selesaikan kemelut dalaman yang melanda parti yang sudah pasti mengecewakan rakyat. Sudah pasti dalam prk Tenang, Keadilan yang akan jadi sasaran serangan umno BN, yang terpalit dan terkesan adalah calon PAS yang bertanding.

Ada yang berkata...kita kena tahu adab berjamaah...ya sharpshooter setuju...tetapi kita kena ingat dalam masa yang sama adab berjamaah juga tidak mengizinkan kita menipu sesama jamaah.

Ada yang berkata...jika takut kalah jangan bertanding...ya sharpshooter setuju...tetapi kalau nak menang jangalah sampai menipu...

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)


Ulasan GB

Sudah lama GB tuliskan di bawah tajuk Siapa Mahu Peduli Dengan Anwar Lagi Selepas Ini?. Petikan:

Dengan izin Allah, beberapa blogger yang tegak berdiri dengan kebenaran dan keadilan, akan "pancung" mereka yang menyebabkan kegagalan PR selepas ini tak kira besar mana pun pangkat kamu di dunia ini.

Jadi selepas ini Anwar bolehlah minta pertolongan dengan Azmin, Saifuddin, pengikut taksubnya dan beberapa kerat blogger yang menjilatnya selama ini.

GB telah banyak kali mengingat Anwar, tetapi beliau begitu, begitu juga. Tiada mahu lansung untuk berubah. Oleh itu jangan dikesal, jika selepas ini bebannya menjalar.

GB tak pernah menggunakan kaedah-kaedah keji seperti yang dilkukan para blogawan UMNO tetapi cukup dengan dalil-dalil aqli dan naqli.

GB dan blogger-blogger pejuang kebenaran dan keadilan akan tetap terus menggalas amanah bersama-sama mereka yang mahukan kebenaran dan keadilan tertegak di negara ini. Kami yakin tanpa Anwar pun kami boleh berjaya, mungkin lebih cemerlang lagi.

Tidak ada salah perjuangan PKR, yang bersalah ialah pimpinannya yang diketuai oleh ketua de faktonya bersama-sama apek-apek lempangnya
.

Dan di dalam ruang komentar di situ, GB menulis :

Kita perlu membela "keadilan" untuk Anwar, bukan membela "Anwar" untuk keadilan.

Itu dua perkara yang berbeza. Ramai yang keliru sehingga perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan tiba-tiba bertukar menjadi perjuangan menegakkan Anwar dan kroninya.

Sewaktu Saidina Ali menjadi Khalifah, pernah satu ketika seorang Yahudi telah mencuri baju besi beliau. Saidina Ali menyedari perkara ini lalu membawa kes ini ke pengadilan hakim. Walaubagaimanapun beliau tidak mempunyai bukti dan saksi bahawa Yahudi tersebut mencuri baju besi beliau. Lalu hakim memutuskan baju besi tersebut menjadi hak milik Yahudi.

Namun sekalipun Yahudi itu terlepas, ini tidak bermakna Yahudi itu perlu disokong. Islam tidak menyokong Yahudi berkenaan tetapi melepaskannya kerana tiada saksi yang dpt ditampilkan oleh Saidina Ali sekalipun memang baju besi itu memang kepunyaan Saidina Ali.

Perbuatan "salah tetap salah" sekalipun di dunia mungkin terlepas.

Jika sistem kehakiman itu yang tidak adil, maka sistem kehakiman yang adillah yang kita perjuangkan, bukan Anwar yang perlu diperjuangkan.

Oleh itu kita jangan keliru.

Seorang mukmin sebenar tidak akan terpelosok ke lubang biawak dua kali, kata Nabi.

Ya, begitulah reformis dan blogger sebenar tidak akan tertipu dua kali.


Nasihat GB, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan. Anwar dan Saifuddin perlu akur kesalahannya dan meminta maaf dari semua ahli PKR khususnya, juga Pakatan Rakyat amnya.

Skandal Amah: Menteri Itu Sudah Kecut, Usah Salahkan Blogger Nanti

Posted: 28 Dec 2010 12:31 AM PST

Kes perkosa bermula bila adik mangsa buat aduan

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Kisah seorang pembantu rumah Indonesia dirogol oleh majikannya yang merupakan seorang menteri bermula apabila sebuah badan kebajikan dan hak asasi manusia, Migrant Care, menerima sepucuk surat aduan daripada adik mangsa.

Surat tanpa tarikh yang ditaip dengan mesin taip biasa itu mendakwa kakaknya yang bernama Robengah telah diperkosa oleh seorang menteri kerajaan Malaysia beberapa kali.

"Kakak saya telah diperkosa oleh majikannya Pak Menteri beberapa kali. Hingga satu hari tanggal 19/02/07, kuasa Allah perbuatan kejinya itu telah terlihat oleh Datin isterinya yang sangat baik melayan semua pembantu rumah. Datin telah hantar kakak saya pulang ke Indonesia keesokannya, tanggal 20/02/07," cerita adik mangsa kepada badan yang menjaga kebajikan pekerja Indonesia yang bekerja di luar negeri itu.

Melalui surat inilah, Migrant Care telah menyiasat laporan ini dengan menghantar tiga sukarelawannya ke rumah Robengah yang terletak di Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia.

Migrant Care adalah Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat
(Member of Migrant Forum in Asia and International NGO Platform on Migrant Workers' Convention) yang beralamat di Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati, Jakarta Timur 13220 Indonesia.

Banyak kes yang berjaya diselesaikan oleh mereka dalam menjaga kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. NGO ini juga membantu rakyat Malaysia yang ingin mencari saudara mara mereka di Indonesia sebagaimana yang berlaku kepada keluarga Azreen Che Ishak, gadis dari kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa ke Lombok, Indonesia.

Perjalanan ke Banjarnegara pada 24 Julai 2007 merupakan satu perjalanan yang panjang bagi para sukarelawan ini. Ia bermula sehari sebelum itu lagi apabila mereka bertolak dari Jakarta ke Jawa Tengah pada 23 Julai. Namun, demi tugas, mereka ke sana untuk mengesahkan laporan yang mereka terima itu.

Ketika dalam perjalanan, mereka terngiang-ngiang kata-kata rayuan adik mangsa rogol ini yang meminta kasihan belas agar kehormatan wanita Indonesia ini dibersihkan.

"Tolong kami Pak. Bersihkan kehormatan wanita Indonesia yang mencari rezeki buat anak-anak yang sekolah. Apakah memperkosa pembantu rumah pekerja asing yang tak bisa baca dan tak bisa tulis, adalah satu budaya orang kenamaan di Malaysia," rayu adik mangsa dalam surat aduan itu.

Melalui alamat yang diberikan adik mangsa itu, mereka berjaya menemui Robengah yang sedang sibuk mempersiapkan makanan untuk pekerja yang sedang mempersiapkan rumah baru mereka.

Mereka ke sana untuk mendapatkan cerita sebenar dari mangsa sendiri. Ini kerana, surat aduan itu penuh keyakinan kakaknya akan ceritakan segala-galanya.

"Kakak saya akan ceritakan segala-galanya. Saya sertakan foto majikannya bersama kakak saya yang berdiri disebelahnya (bertudung biru) bersama pembantu rumah yang lain dan Datin isterinya," cerita surat aduan itu lagi.

Namun mereka bertiga juga teringat pesan adik mangsa itu. Ini kerana, beliau bimbang kes yang berlaku kepada wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu berulang kepada kakaknya.

"Tolong bapak rahsiakan alamat kakak saya kerana Pak Menteri itu punya banyak wang dan kenalan di Indonesia. Khuatir nanti keluarga kakak saya akan diapa-apakan seperti kasus Altantuya di Malaysia," tulis adik mangsa itu lagi.

Mereka bertiga sampai di rumah Robengah kira-kira jam 11 pagi. Namun, suasana yang ada tidak membolehkan isu pemerkosaan ini ditanya terus kepadanya sehingga jam lewat petang. Ini kerana suami serta dua anaknya sentiasa berada di sisinya.

Mereka hanya berjaya mendapat sejarah kerja Robengah di rumah majikannya di Kuala Lumpur selama lapan tahun itu. Dalam pada itu, mereka juga sempat bergambar bersama.

Namun, selepas pulang ke rumah salah seorang dari mereka iaitu kira-kira jam 8.30 malam, mereka menelefon Robengah melalui anaknya.

Dalam perbualan telefon itulah, Robengah mengaku diperkosa majikannya. Tetapi beliau meminta sangat-sangat isu pemerkosaan itu tidak diperbesarkan kerana dia malu dan takut.

Maklumlah, dia hanya orang kecil sedangkan Pak Menteri itu orang besar dan berpengaruh.

Suami Robengah juga menelefon mereka semua supaya isu ini tidak diperbesarkan dan menganggap ini adalah satu cobaan untuk keluarganya.

Pada 26 Julai sekali lagi para sukarelawan ini menelefon Robengah melalui ibu pejabat mereka di Jakarta.

Robengah kali ini juga meminta agar ia tidak diperbesarkan namun dia mengesahkan telah diperkosa menjelang pulang ke kampung halamannya.

Menurut adiknya, kali terakhir Robengah diperkosa pada 19 Februari 2007 dan kejadian ini telah terbongkar apabila dilihat sendiri oleh isteri menteri ini.

Robengah kemudiannya telah dihantar pulang oleh isteri menteri itu pada keesokan harinya iaitu pada 20 Februari 2007.

Selepas membuat penyiasatan dan menemubual mangsa inilah, Migrant Care telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 1 Ogos 2007. Ia telah ditandatangani oleh tiga orang iaitu Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director).

Kenyataan ini telah disiarkan kembali oleh Tenaganita, sebuah NGO hak asasi pekerja pada 26 Disember baru-baru ini selepas dokumen siasatan kes ini didedahkan oleh WikiLeaks.

Dokumen siasatan kes pemerkosaan ini dikatakan telah sampai ke kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, kedutaan Amerika di Jakarta dan pejabat Perdana Menteri ketika Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menterinya.

Berdasarkan dokumen dari kedutaan Amerika inilah WikiLeaks mendedahkan kembali kes ini kerana dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks semuanya daripada dokumen yang bocor dari Amerika.

Pendedahan ini kemudiannya diangkat oleh blogger Rocky Bru (Ahirudin Atan), pemimpin akhbar The Malay Mail, dalam blognya baru-baru ini.

Bermula dari situlah Harakahdaily menyiasat kes ini dan mendapat cerita ini. Menurut maklumat awalnya, menteri ini sudah bersara tetapi selepas disiasat rupanya menteri ini masih kekal dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak sekarang. -harakahdaily


Laporan polis terhadap Rocky's Bru bertepatan peruntukan undang-undang: Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tindakannya membuat laporan polis terhadap seorang penulis blog adalah bertepatan dengan haknya sebagai individu negara ini.

Katanya tindakan itu wajar mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapat perlindungan setelah namanya tercemar berikutan laporan di dalam blog berkenaan.

"Saya mempunyai hak sendiri sebagai individu, kita harus menghormati undang-undang sedangkan hari ini pun PM (Perdana Menteri) cakap kena hormat undang-undang. Jadi setiap individu perlu menghormati undang-undang yang ada di negara kita.

"Saya tidak ada melibatkan sesiapa. Barang siapa yang mencemarkan dan memburukkan sesiapa, waima, beliau seorang penulis blog ataupun seorang kerani, kita mempunyai hak masing-masing, jadi ini yang saya tegaskan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Pada 12 Oktober lalu, Dr Rais membuat laporan polis terhadap Rocky's Bru atau nama sebenarnya Datuk Ahirudin Atan yang di dalam blognya mendakwa kononnya anak lelaki menteri itu mempunyai kepentingan dalam kementerian itu dengan memperoleh geran RM1 bilion bagi menaik taraf akses jalur lebar di seluruh negara.

Selain itu, Dr Rais juga berkata semua pihak sewajarnya menghormati peraturan dan undang-undang negara yang dibuat untuk melindungi rakyat semua peringkat.

"Misalnya, kalau kita takut kepada mengimplikasi undang-undang yang kita cipta, ini bukan satu keadaan yang positif, ini negatif. Jadi apa kita jadikan undang-undang, kita perlu ikut dan jadikan azimat perjuangan kita.

"Saya tergolong kepada orang seperti itu, jadi saya tidak menakuti mana-mana komen tapi kalau melanggar hak saya sebagai individu, saya perlu mengambil lindungan di bawah undang-undang negara," katanya.

Sementara itu, mengulas ucapan Datuk Seri Najib Razak semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno yang menegaskan bahawa hak-hak orang Melayu dilindungi dalam Perlembagaan, Dr Rais berkata orang Melayu tidak seharusnya terus menerus bergantung kepada peruntukan Perlembagaan itu.

"Kalau orang Melayu hanya bertongkat mahu berjalan, ini tentu sekali tidak membawa kita ke mana-mana.

"Kita perlu berganding bahu dengan orang bukan Melayu, rakan-rakan Cina dan rakan-rakan India kita, bagaimana mereka bertahan kerana kita perlu berkebolehan untuk mencapai tahap seperti mereka," katanya.

Beliau turut meminta semua pihak untuk menghormati asas-asas Perlembagaan negara membabitkan Raja-Raja Melayu, Kontrak Sosial dan kuasa-kuasa rizab Melayu kerana ia telah dipersetujui oleh "nenek moyang kita terdahulu".

Dr Rais juga menyifatkan ucapan Perdana Menteri berhubung hak istimewa orang Melayu sebagai "tindakan berani" dan menjadi satu titik permulaan yang mampu menyemarakkan lagi perjuangan UMNO.

"Ini adalah mesej yang sangat jelas, yang seharusnya kita perjelaskan ke bawah selepas ini. Kita perlu memberi tahniah kepada Perdana Menteri dan Presiden yang berani tampil kemuka menjelaskan situasi ini.

"Kontrak sosial itu adalah tulang belakang kepada Perlembagaan Malaysia. Seharusnya ucapan ini dijadikan azimat perjuangan dan orang Melayu khasnya serta orang Malaysia amnya kena menghormati Perlembagaan Malaysia," katanya. - BERNAMA


Ulasan GB

Kes ini kes lama tetapi meletup setelah blogger, Datuk Ahirudin Atan (Rocky's Bru) mendedahkan mengenai laporan WikiLeaks yang menyatakan ada menteri yang pernah merogol amahnya.

Dan sementelah lagi sebagai seorang wartawan senior dan blogger, Ahirudin sepastinya memiliki maklumat yang lebih banyak dari orang lain.

Bodohnya menteri berkenaan bertindak untuk berlawan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang wartawan cum blogger.

Jika Rais berkata, beliau mempunyai hak sendiri sebagai individu untuk membuat laporan polis ke atas Rocky's kerana kita harus menghormati undang-undang - sehingga nama Rocky's yang baru mendapat pingat "Datuk" itu terjejas dan komputernya dirampas, maka kini Rais tidak boleh menghalang jika Rocky's bertindak balas.

"Patuhi undang-undang" - satu klise yang sedap didengar dari mulut Rais. Dan Rocky's cuma melaporkan pendedahan Wikileaks yang mana ada menteri yang telah melanggar undang-undang lebih awal dan untuk kes yang lebih dasyat.


Selepas Sekolah Mengandung, Kini Buanglah Bayi Di tempat Yang Disediakan

Posted: 27 Dec 2010 10:50 PM PST

Ipoh: KPJ Ipoh Specialist Hospital (KPJ-ISH) di sini mewujudkan sebuah pusat perlindungan bayi, yang pertama seumpamanya diwujudkan di hospital di negara ini, dalam usaha membendung gejala pembuangan bayi di samping mengurangkan risiko kematian bayi yang baru lahir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Nasirruddin Harun berkata pusat itu ditubuhkan bagi menyediakan tempat jagaan terbaik kepada bayi malang serta yang tidak diingini oleh keluarga mereka.

"Ia ditubuhkan atas rasa tanggungjawab sosial KPJ-ISH bagi membendung gejala pembuangan bayi yang tidak berdosa ini.

Pusat ini hanya mahu menyelamatkan nyawa bayi serta memberi perlindungan sebaik-baiknya kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pusat berkenaan di KPJ-ISH di sini, Isnin.

Beliau berkata pusat itu dibuka 24 jam bagi membolehkan mereka yang tidak menginginkan bayi yang dilahirkan boleh meletakkannya di tempat yang disediakan dan akan dikendalikan oleh sekumpulan tenaga mahir serta perunding.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman turut dihadiri Pengarah Perubatan KPJ ISH Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah.

Ahmad Nasirruddin berkata KPJ-ISH tidak mempunyai kepentingan untuk mengetahui identiti ibu atau individu yang menghantar bayi ke pusat berkenaan.

Sementara itu, Hamidah berkata kerajaan negeri menyokong penuh program yang dijalankan KPJ ISH kerana ia membantu menangani masalah pembuangan bayi di negeri ini.

Bagaimanapun katanya kewujudan pusat itu bukan penyelesaian kepada masalah pembungan bayi tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memberi kesedaran di kalangan pihak berkaitan bagi menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa.

"Sebelum ini ada beberapa kes membabitkan kematian bayi berikutan dibuang di tempat berbahaya.

Jadi kewujudan pusat perlindungan itu dapat dijadikan satu alternatif bagi menangani masalah itu," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Nak kata apa lagi jika ia bukan tanda-tanda kiamat yang semakin hampir?

Tempat buang bayi telah disediakan, sekolah mengandung sudah diwujudkan - persis menggalakkan gejala perzinaan di kalangan remaja termasuk yang di bangku sekolah terus berlaku. Bukannya berusaha untuk menghalangi gejala tersebut.


Remaja Konvoi Maut Dirempuh Van, Seorang Cedera Parah

Posted: 27 Dec 2010 10:00 PM PST

Dua Remaja Maut, Seorang Cedera Parah Apabila Basikal Dirempuh Sebuah Van

JOHOR BAHARU, 27 Dis (Bernama) -- Dua remaja lelaki maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah apabila basikal yang dinaiki dirempuh sebuah van dalam kejadian di Jalan Muar-Batu Pahat, berhadapan Kompleks Penghulu Sungai Balang, dekat Muar, Isnin.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Mohamad Nasir Ramli berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi tadi ketika ketiga-tiga mangsa bersama enam rakan yang lain menaiki basikal secara berkumpulan untuk ke Taman Tema Wet World, di Batu Pahat.

"Mangsa yang terbunuh adalah Mohd Sufi Johari, 15, dan Mohd Amirul Nizam Awang Nudin, 17. Mohd Sufi maut di tempat kejadian manakala Mohd Amirul Nizam meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kira-kira pukul 11 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, di sini, Isnin.

Mohamad Nasir berkata mangsa yang cedera parah dan belum dikenal pasti identitinya pula dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital yang sama.

Beliau berkata enam lagi kumpulan remaja itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurut Mohamad Nasir, siasatan awal mempercayai van dari arah Parit Jawa, Muar menuju ke Batu Pahat itu merempuh kelompok basikal berkenaan yang menyebabkan sebahagian mangsa terpelanting bersama basikal mereka.

Rempuhan yang kuat itu, katanya turut menyebabkan cermin hadapan van berkenaan pecah.

"Pemandu van berkenaan yang berusia 24 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Rahman Remi di 06-9526222 bagi membantu siasatan. -- BERNAMA

Perlantikan Khusrin Sebagai SUK - Agenda Rampas Selangor

Posted: 27 Dec 2010 09:30 PM PST

Pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri Belum Muktamad, Kata MB Selangor

SHAH ALAM, 27 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru belum muktamad.

Ini kerana katanya, selain beliau tidak dimaklumkan mengenai pelantikan itu kerajaan negeri juga telah menubuhkan sebuah panel temuduga yang menyenarai pendek tiga nama.

Senarai nama itu telah dihantar kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mendapat perkenan baginda, kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan, di sini hari Isnin.

Abdul Khalid berkata beliau juga akan mengadap Sultan Selangor itu pada Rabu ini berhubung perkara tersebut.

Pelantikan Mohd Khusrin diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini, bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Dis ini.

Pelantikan Mohd Khusrin, 54, berkuatkuasa 1 Jan depan. -- BERNAMA


Kerana jemput Ustaz Hadi, Khusrin beri amaran

GOMBAK, 27 Dis: Kerana menjemput Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan tazkirah di suraunya, pengerusi Surau Al Ehsan, Taman Samudera dekat sini diberikan surat tunjuk sebab oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamad Khusrin Munawi.

Amaran itu diberikan Khusrin melalui satu surat yang ditandatangani beliau bertarikh 17 Disember lalu.

(Gambar: Surat yang ditandatangani Khusrin yang ditujukan kepada Pengerusi Surau Al Ehsan)

Melalui surat itu, Khusrin memberikan amaran kepada pengerusi surau itu kerana menjemput penceramah tanpa tauliah iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk berceramah di masjid itu pada 22 November 2010 yang lepas.

Hari ini Bernama melaporkan Khusrin telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru iaitu ketua pentadbir kepada kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat itu.

Namun begitu, pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataannya menjelaskan perlantikan itu belum muktamad kerana cadangan perlantikan Khusrin oleh Ketua Setiausaha Negara tidak pernah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Justeru, Menteri Besar telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklum bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan (practice notes). Panel tersebut telah memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

Menteri Besar kemudiannya telah menghantar tiga nama tersebut kepada DYMM Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan. Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap DYMM Tuanku Sultan pada 29 Disember 2010.

Dalam suratnya kepada pengerusi surau Al Ehsan ini, Khusrin berkata, jabatannya (Jais)m akan mengambil tindakan terhadap pengerusi surau itu di bawah peruntukan kaedah-kaedah pegawai masjid dan jawatankuasa kariah (Selangor) pindaan 2001 jika gagal memberikan penjelasan dan alasan yang munasabah.

Menjadi satu amalan biasa bagi mana-mana surau khasnya di negeri untuk menjemput para penceramah yang dianggap mengetahui hal ehwal agama untuk memberikan tazkirah di surau mereka.

Tazkirah biasanya diberikan selepas sembahyang Maghrib sambil menunggu waktu Isyak tiba iaitu kira-kira 30 hingga 45 minit.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS telah memberikan tazkirah di surau itu pada 22 November lalu dan kira-kira sebulan selepas itu jawatankuasa surau melalui pengerusinya menerima amaran ini.

Sebelum ini, ketika majlis perasmian Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang, Khusrin dalam ucapannya telah memberikan amaran, pihaknya tidak akan teragak-agak menukar balik AJK Masjid yang dipilih oleh ahli kariah jika mereka tidak mematuhi arahan pihaknya.

"Tuan-tuan kena ingatan sistem perlantikan nazir dan AJK masjid di Selangor adalah satu-satunya kaedah yang berlaku di negara ini.

"Para nazir perlu patuh dan memberikan komitment kepada Majlis Agama Islam Selangor sebagai tanda terima kasih kerana mereka yang melantik tuan-tuan," katanya.

Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Selangor, sistem pemilihan AJK masjid dan surau dibuat secara demokrasi dan pihak yang dipilih anak-anak kariah akan dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor berbanding sebelum ini pemilihan dibuat melalui perlantikan terus bukan pemilihan secara demokrasi. -harakahdaily


Ulasan GB

Semua rakyat tahu, tindakan KSN untuk melantik Khusrin sebagai SUK Selangor hanyalah untuk memenuhi satu agenda - rampas Selangor dari Pakatan Rakyat.

Déjà vu Perak - trojan dihantar terlebih dahulu sebelum rampasan dimulakan.


Kebakaran Besar Di Langkawi, Blog GB Benar Tentang Serangan Obor-obor Sebelum Ini

Posted: 27 Dec 2010 08:44 PM PST

200 nelayan hilang tempat tinggal kebakaran di Langkawi

LANGKAWI: Seramai 200 mangsa tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 70 rumah di perkampungan nelayan Bukit Malut, di sini, malam tadi iaitu kejadian terburuk di daerah ini sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan, berkata sehingga jam 1.30 pagi tadi tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun sebahagian besar rumah terbabit hangus dalam kebakaran yang percayai bermula sekitar jam 11.40 malam.

Katanya, pasukan bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bergegas ke tempat kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan.

Kebakaran hanya dapat dikawal sepenuhnya kira-kira sejam selepas kejadian dan punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya.

"Berdasarkan sejarah, ini adalah kebakaran ketiga terbesar di perkampungan ini selepas kejadian sama pada 2005 dan 2007," katanya. -BH

Ulasan GB

Blog ini, pada 23 Disember yang lalu telah menulis berkenaan dengan serangan obor-obor di Langkawi. Di dalam ulasan GB di situ, GB menyatakan begini:

Ada perkara yang Allah ingin sampaikan kepada kita lewat serangan obor-obor itu. Kita nantikan.

Seorang pembaca yang menggunakan nickname shay2k telah menulis komentar di bawah artikel itu:

Mungkin obor2 tu petanda ada malapetaka akan melanda Langkawi....ingat Krismas, ingat 26Disember 2004,ingat lagi..

Kini, 28 Disember 2010, hanya 3 hari selepas Krismas, Langkawi terbakar.

Setiap satu kejadian Allah s.w.t. tidak ada yang sia-sia.. Ayat manzurah adalah ayat yang jelas dan nyata untuk kaum yang berfikir.

Firmanullah:


Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang ciptaan langit dan bumi (seraya berkata) Ya Tuhan kami, tiada Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, peliharalah kami dari seksa neraka - Ali-Immran : 190-191

Kejadian berlaku sejurus ayat itu diperdebatkan tetapi ramai umat Islam sendiri yang tidak ambil pelajaran dari ayat berkenaan.

Skuad Harimau Malaya Tiba Jakarta Untuk Bawa Pulang Tropi

Posted: 27 Dec 2010 07:30 PM PST

Raja resah gangguan luar

RAJAGOBAL (kiri) bersama anak buahnya ketika tiba di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta di Jakarta, semalam.

Harimau Malaya hadir mahu bawa pulang trofi

"KAMI datang ke Jakarta untuk menang," laung pengendali skuad negara, K Rajagobal sejurus tiba bersama anak didiknya ke sini, semalam bagi melangsaikan baki perlawanan final Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, esok.

"Tahap keyakinan pemain kita cukup tinggi. Tapi saya sudah arahkan mereka untuk melupakan kemenangan besar ini sebaliknya menghadapi baki 90 minit Rabu ini (esok) dengan penuh tumpuan.

"Untuk tempoh dua hari ini, saya tidak sesekali mahu pemain hilang fokus dengan temu ramah atau acara tiada berkaitan. Segala pertanyaan harus melalui saya atau pengurus pasukan (Datuk Subahan Kamal)."

Tidak dinafikan apa yang membuat Rajagobal kian gelisah adalah gangguan luar yang harus dielak pemain pada saat genting ini walaupun berbekal modal selesa hasil kemenangan 3-0 ke atas Indonesia, kelmarin.

Pengendali itu turut berpendapat, kegagalan lawannya, Indonesia mempamerkan aksi sebenar di Bukit Jalil hasil daripada kelemahan dan kesilapan pemainnya sendiri, terutama penjaga gol, Markus Horison.

"Siapa dia (Markus) untuk menghentikan perlawanan?" tanya Rajagobal.


Malaysia bersemangat tinggi

PENJAGA gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat menurunkan tandatangan di baju seorang penyokong skuad negara sebaik tiba di Jakarta semalam.


JAKARTA – Kira-kira 12 jam setelah menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin, pasukan Malaysia tiba di Jakarta pagi semalam dengan penuh keyakinan bagi menghadapi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno malam esok.

Berbekal kelebihan agregat 3-0, jurulatih skuad Malaysia, K. Rajagobal berkata, pasukan Malaysia tampil dengan keyakinan untuk menghadapi Indonesia.

"Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun pastinya masing-masing mahu menang dan tiada siapa mahu tewas.

"Jadi, kita tunggu dan lihat sahaja hari Rabu ini," katanya sebaik tiba bersama pasu- kan negara di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tangerang, Banten semalam.

Ditanya sama ada beliau yakin pasukannya akan muncul juara Piala AFF kali ini, Rajagobal berkata: "Tunggu dan lihat sajalah."

Sebelum menaiki bas bersama anak-anak buahnya menuju hotel penginapan di Jakarta, Rajagobal sempat berseloroh apabila ditanya pemberita sama ada pemain Malaysia ada yang cedera.

"Ada dua orang yang mengalami cedera ringan."

"Yang cedera adalah jurulatih dan pembantu jurulatih," katanya sambil ketawa dan meluru menaiki bas.

Terdahulu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Soekarno- Hatta itu disambut dengan nyanyian lagu patriotik oleh sekumpulan pelajar Malaysia di Indonesia.

Pertandingan bola sepak Piala Suzuki AFF kali ini menarik minat besar warga Indonesia sete- lah pasukan mereka muncul unggul dalam perlawanan peringkat kumpulan sehingga ke separuh akhir.

Kekalahan Indonesia 0-3 kepada Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin mengecewakan para penyokong pasukan itu, namun mereka tetap berharap pasukan negara itu akan berjaya mengatasi Malaysia di gelanggang sendiri malam esok.

Indonesia sekurang-kurangnya perlu menang 4-0 pada final kedua malam sekiranya mahu menjuarai kejohanan kali ini. -kosmo






UMNO Perlis: Belum Apa-apa Pengerusi Dan Timb Pengerusi Dah Bergasak

Posted: 27 Dec 2010 07:01 PM PST


Bekas MB dakwa sukar kerjasama, syak ada campur tangan

KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, semalam berpendapat keputusan mengekalkan Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengetuai UMNO negeri itu mempunyai kaitan dengan campur tangan pihak tertentu.

Beliau yang mengisi jawatan menggantikan Ketua UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut mempersoalkan sejauh mana Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dijadikan penanda aras oleh pucuk kepimpinan UMNO terhadap pencapaian seseorang pemimpin, terutama di negeri itu.

Shahidan juga menyatakan sukar baginya untuk bekerjasama dengan Md Isa yang dianggap sebagai 'perampas' jawatannya sebelum ini.

"Pada saya, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis kini tidak menepati KPI berkenaan. Mungkin keputusan mengekalkannya itu dibuat atas dasar campur tangan baik oleh ahli parti atau mereka dari luar atau mungkin juga campur tangan veteran UMNO.

"Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai 'menyamun' jawatan saya sebelum ini," katanya ketika diminta mengulas rombakan kepemimpinan UMNO negeri yang mengekalkan Md Isa sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis.

Sebelum ini timbul desas-desus mengatakan ada wakil rakyat di Perlis tampil melobi Perdana Menteri untuk jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

Bagaimanapun, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Mat Rawi Kassim menafikannya, sekali gus menganggapnya sebagai khabar angin semata-mata yang diwujudkan pihak tertentu berasaskan kepentingan peribadi.

Sementara itu, Md Isa yang juga Menteri Besar Perlis, mengalu-alukan keputusan berkenaan yang disifatkannya sebagai gandingan terbaik UMNO Perlis dalam usaha menjana kemenangan parti dalam pilihan raya umum akan datang.

"Gandingan itu pada saya amat elok sekali. Mungkin akan ada perbezaan pendapat antara kami, tetapi keputusan itu dianggap tepat untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.

"Justeru, saya harap semua pemimpin baik di peringkat cawangan, bahagian dan sayap dapat bekerjasama dengan mantap selepas ini demi mengukuhkan perpaduan sesama ahli, sekali gus memastikan kemenangan parti," katanya. -BH

Selepas Laser, Indon Tuduh Malaysia Guna Dukun Pula

Posted: 27 Dec 2010 06:15 PM PST

Akhbar Indonesia canang Malaysia guna dukun

AKHBAR NonStop dakwa Malaysia menggunakan dukun dalam laporannya, semalam.

SEOLAH-olah tidak dapat menerima kekalahan sulung pada kempen Piala Suzuki AFF kali ini, Indonesia berselindung di sebalik pelbagai alasan, termasuk sinaran laser dan bomoh.

Sinaran laser dikatakan punca pemain Indonesia hilang tumpuan, tetapi selepas jurulatih Alfred Riedl mengumumkan faktor itu bukan penyebab kekalahan pasukan kendaliannya, media Indonesia mula mencari alasan lain.

Akhbar NonStop, membuka pekung di dada Garuda apabila merujuk kepada bomoh terkenal Indonesia ketika membuat dakwaan Malaysia menggunakan dukun dalam laporannya, semalam.

"Kekalahan pasukan kebangsaan Indonesia sudah diramalkan ahli paranormal, Andi S Chalin," lapor NonStop dalam berita utamanya. Penulis buku Bahasa Setan Dalam Perilaku Manusia itu meramalkan Indonesia akan tewas 3-0 kepada Malaysia.

"Daripada pemerhatian mata batin saya, saya nampak kita akan tewas 0-3. Kita tewas bukan kerana pemain lemah, tetapi kerana ada unsur-unsur jampi paranormal Malaysia," kata Andi kepada NonStop menerusi sms tiga hari sebelum final di Bukit Jalil.

Malah selepas perlawanan akhir pertama kelmarin, Andi sekali lagi menghubungi akhbar berkenaan dan mendakwa ada ahli perniagaan Malaysia mendapatkan khidmat bomoh dari Thailand, China dan India. -bh



Kakinya Tersepit Eskalator

Posted: 27 Dec 2010 04:30 PM PST

Sejam celah eskalator

Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun hanya mampu mengerang menahan kesakitan selama lebih sejam kerana kaki kirinya tersepit di bahagian sisi tangga bergerak (eskalator) ketika bersiar-siar di sebuah pusat beli- belah di Peringgit, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Chrisanta Geron Lee, 10, berada di depan ketika menuruni eskalator bersama keluarganya apabila kasut dipakainya tiba-tiba tersangkut menyebabkan kaki kirinya terselit di celah eskalator bergerak.

Menurut ibunya yang hanya mahu dikenali Juliet, 46, dari Bertam Jaya, dekat sini, dalam kejadian antara jam 8 malam hingga 9 malam itu, mereka sedang menuruni eskalator itu dari tingkat satu ke tingkat bawah.

"Dia (Chrisanta) berada di depan saya dan suami serta adik-beradiknya yang lain. Tiba-tiba dia menjerit sakit sambil memegang kaki kirinya. Suami terus berlari ke arahnya untuk menolong.

"Saya pula berlari cuba menghentikan eskalator itu dengan menekan butang di bawah, namun tidak berjaya sebelum beberapa kakitangan pasar raya datang membantu memberhentikannya," katanya di temui di wad pediatrik Hospital Melaka petang semalam.

Beliau yang enggan wajah anaknya dirakam bagaimanapun bersyukur kerana Chrisanta tidak mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu.

Katanya, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Kubu tiba beberapa minit kemudian dan berjaya mengeluarkan kaki anaknya yang tersepit sambil dibantu kakitangan bahagian penyelenggaraan pusat beli belah itu.

"Kaki anak saya hanya dapat dikeluarkan kira-kira sejam dan saya terkejut apabila melihat kecederaan dialaminya kerana menampakkan tulang kakinya.

"Anak saya kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan. Syukur apabila doktor menjelaskan dia tidak mengalami sebarang keretakan tulang atau tisu otot terkoyak, sebaliknya hanya cedera kulit," katanya.

Suaminya kemudian membuat laporan polis kejadian, namun tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat beli-belah itu.

"Pihak pengurusan dan kakitangan pasar raya memberi kerjasama dan bantuan dengan penuh tanggungjawab. Malah pengurusnya turut melawat anak saya dan menawarkan bantuan termasuk ketika pendaftaran masuk ke hospital.

"Mereka juga berjanji bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan berdasarkan semua ini, saya tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Peluk Islam Setelah Temui Sungai Tawar Di Lautan Masin Spt Tertulis Dalam Al-Quran

Posted: 27 Dec 2010 03:43 PM PST

Sungai di Dasar Laut Merupakan Bukti Kebenaran Al Qur'an

Jika anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV "Discovery" pasti kenal Mr. Jacques Yves Costeau, ia seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis.

Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke perbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.


» KETERANGAN

Gambar 01


Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan Sungai dalam Laut:

“Akan Kami perlihatkan secepatnya kepada mereka kelak, bukti-bukti kebenaran Kami di segenap penjuru dunia ini dan pada diri mereka sendiri, sampai terang kepada mereka, bahwa al-Quran ini suatu kebenaran. Belumkah cukup bahwa Tuhan engkau itu menyaksikan segala sesuatu” (QS Fushshilat 53).

“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi” (Q.S Al Furqan 53).

Pada suatu hari Mr.Jacques Yves Costeau ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba ia menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.

Gambar 02


Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Ia mulai berfikir, jangan-jangan itu hanya halusinansi atau khalayan sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia tak kunjung mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sampai pada suatu hari ia bertemu dengan seorang profesor Muslim, kemudian ia pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan (surat Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentikkan dengan Terusan Suez. Ayat itu berbunyi “Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan.. .”Artinya: “Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus.” Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.

Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya dari surat Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi “Yakhruju minhuma lu’lu`u wal marjaan” ertinya “Keluar dari keduanya mutiara dan marjan.” Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara.

Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur’an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam.

Gambar 03


Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Qur’an itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Qur’an ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera. Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam akhirnya terbukti pada abad 20. Mr. Costeau pun berkata bahawa Al Qur’an memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar. Dengan seketika dia pun memeluk Islam.

“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.” (Q.S Al Furqan:53)

Allahu Akbar…! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung. Shadaqallahu Al `Azhim. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran.”

Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung.

Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita, Mexico. Disana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air asin, lalu anda dapat melihat sebuah “sungai” di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun daunan.

Gambar 04


Setengah pengkaji mengatakan, itu bukanlah sungai biasa, itu adalah lapisan hidrogen sulfida, nampak seperti sungai… luar biasa bukan? Lihatlah betapa hebatnya ciptaan Allah SWT.

Sumber: voa-islam



ANAK: Isa, Tokoh Kitar Semula Tak Layak Terajui FELDA

Posted: 27 Dec 2010 07:00 AM PST

Anak: Isa tidak layak terajui Felda

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membantah keras pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda yang baru dan mendesak Perdana Menteri menarik semula pelantikan tersebut.

Pengerusinya, Mazlan Aliman yang kecewa dengan pelantikan itu berkata, Isa tidak layak untuk memegang jawatan tersebut kerana latar belakangnya yang pernah terbabit dengan politik wang dalam pemilihan Umno pada 2004.

"Saya mewakili Anak membantah keras pelantikan Tan Sri Isa Samad ini. Berdasarkan salah laku yang pernah dilakukan beliau, sudah cukup jelas beliau bukan pemimpin beramanah yang sepatutnya menjadi pilihan (Datuk Seri) Najib (Razak).

"Sehubungan itu saya mendesak Perdana Menteri menarik balik pelantikan itu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mazlan yang juga exco lajnah pembangunan tanah dan wilayah PAs Pusat juga menegaskan, sekiranya Najib enggan berbuat demikian pihaknya akan membuat pungutan suara warga Felda yang membantah pelantikan itu.

"Jika kerajaan tidak berbuat demikian saya ingin menyatakan ketegasan kita bahawa Anak akan membuat satu pungutan suara iaitu referendum sejuta tandatangan dan kita akan serah kepada Perdana Menteri supaya menarik balik pelantikan ini.

Tambahnya, Anak juga tidak teragak-agak untuk memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara itu sekiranya bantahan mereka tidak dipedulikan.

"Kalau Perdana Menteri enggan tarik (pelantikan) juga, kita tidak teragak-agak untuk serah memorandum bantahan dan tandatangan ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

In keraja ujarnya, masa depan Felda yang merupakan agensi pembangunan tanah milik orang Melayu tidak harus diperjudikan kepada invidu yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu Mazlan menyifatkan pelantikan itu sebagai tanda Najib tidak mengambil kira perasaan warga Felda yang mengharapkan pemimpin yang lebih baik mengambil alih tanah rancangan itu.

"Saya sangat sedih bila kerajaan bawah pimpinan Najib tak pernah mengambil kira perasaan dua juta warga Felda yang mengharapkan pengganti kepada Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor mestilah orang yang lebih baik.

"Kita harapkan sekurang-kurangnya orang yang mengambil alih felda ini seperti Tan Sri Raja Alias yg menerajui Felda suatu ketika dahulu tetapi nampaknya kita telah turun 360 darjah.

"Dalam keadaan nama baik Felda sedang diperkatakan dengan pelbagai isu sepatutnya kerajaan memilih tokoh yang boleh membersihkan isu-isu tersebut," katanya.

Beliau mempersoal kerajaan yang tidak memilih tokoh-tokoh dari anak Felda sendiri untuk menerajui agensi tersebut sedangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad maslan sendiri pernah menyatakan statistik tokoh-tokoh dari anak Felda.

"Kita baru didedahkan dengan statistik terbaru jumlah profesional, ahli akedemik yang lahir daripada anak peneroka. Kenapa kita tidak ambil mereka? Kita ada anak peneroka yang berjaya dalam syarikat GLC, menjadi ahli akedemik, pengarah jabatan, adakah mereka ini tidak layak untuk memimpin Felda sehingga mengambil tokoh yang dianggap sudah expired?

"Tokoh kitar semula seperti Isa ini tidak wajar sama sekali diambil semula dalam mana-mana syarikat kerajaan. Saya yakin kalau kita buat tinjauan tidak ada warga Felda yang akan menerima beliau melainkan mereka yang selama ini menjadi pak angguk dan pak turut kepada kerajaan," tegasnya.

Isa yang juga Adun Bagan Pinang hari ini menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda.

Isa meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah dan digantung keahlian Umno selama 6 tahun kerana terlibat dengan politik wang dalam pemilihan Umno 2004.

Abang Benarkan Adik Tidur Dengan Kawannya

Posted: 27 Dec 2010 06:25 AM PST

Tidur bersama kawan abang

ALOR SETAR: Harapkan pagar, pagar makan padi. Begitu perumpamaan layak diberi kepada seorang abang yang sepatutnya menjaga maruah adik perempuannya daripada terjebak dengan gejala sosial, namun sebaliknya apabila dia pula membenarkan adiknya itu ditiduri rakannya di sebuah bilik hotel murah di Jalan Alor Mengkudu, di sini, kelmarin. gambar hiasan

Lelaki berusia 24 tahun, seorang nelayan berasal dari Kuala Kedah itu dikatakan turut membawa rakan adik perempuannya berusia 22 tahun menyewa sebuah bilik di hotel sama walaupun baru pertama kali bertemu kelmarin untuk memuaskan nafsunya.

Lelaki berkenaan dikatakan mengajak adik perempuannya berusia 21 tahun menyewa bilik bersama rakannya yang juga nelayan berusia 18 tahun dan masing-masing datang ke hotel itu sejak petang Jumaat dengan menunggang motosikal berasingan.

Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar apabila anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) membuat serbuan di dua bilik berasingan hotel itu dalam 'Ops Krismas', kira-jam 4 petang.

Ketua Operasi Jaik, Md Nasir Md Dali berkata, dalam pemeriksaan di bilik pertama hotel itu, seorang lelaki yang hanya berseluar denim tanpa baju terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa Jaik ketika membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian menemui seorang wanita memakai baju labuh nipis dan bertali halus tanpa coli dan seluar dalam berselimut di atas katil di bilik berkenaan dalam keadaan takut.

"Mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri sah dan memberi alasan hanya untuk makan bersama di bilik itu.

"Mereka mengaku baru berkenalan dan bertemu di hotel berkenaan. Mereka terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui, kelmarin.

Katanya, si adik mendakwa dia mengikut abangnya keluar dari rumah mereka kerana bergaduh dengan seorang lagi abang dan mahu mencari ketenangan sebelum dicekup berkhalwat di hotel itu.

Beliau berkata, pemeriksaan di bilik kedua menemui seorang lelaki dan seorang wanita berpakaian lengkap berdua-duaan tanpa sebarang ikatan hingga menimbulkan syak.

Menurutnya, wanita itu mengaku yang dia adik kepada lelaki yang ditahan di bilik pertama dan datang ke hotel itu bersama rakannya yang juga pasangan abangnya.

"Kita mengesyaki sesuatu mencurigakan dan lebih mengejutkan apabila abang wanita itu sanggup membiarkan adiknya bermalam dengan rakannya di bilik hotel itu sedangkan dia sepatutnya menjaga kehormatan wanita itu.

"Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung hingga mendatangkan syak kepada orang ramai yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Pasangan adik beradik itu kemudian diikat jamin ibunya yang datang ke Pejabat Agama Islam Kota Star selepas dimaklumkan penahanan mereka oleh anggota penguat kuasa manakala pasangan mereka dibebaskan dengan jaminan keluarga masing-masing.

Md Nasir berkata, dalam operasi sempena Krismas kelmarin, tiga pasangan berusia 18 hingga 24 tahun ditahan dalam pemeriksaan di beberapa hotel murah sekitar bandar raya ini bermula jam 2 hingga 7 petang. -hm

"Ketuanan Melayu" Kabur, Kena Kembali Kepada Islam - Asri

Posted: 27 Dec 2010 05:30 AM PST

Keadilan Islam selamatkan Melayu bukan 'ketuanan Melayu', kata Asri

KAJANG, 27 Dis — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, masa depan orang Melayu akan terjamin jika sistem pentadbiran negara berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam, bukan Ketuanan Melayu yang menjadi polemik baru-baru ini.

"Yang boleh selamatkan orang Melayu bukan Ketuanan Melayu, bukan Raja-raja Melayu tetapi adalah Allah s.w.t.

"Jadi, kita perlu berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam yang mana Islam untuk semua sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

"Setiap kaum perlu diberi nilai dengan Islam, tiada nilai orang Melayu tanpa Islam. Umno dibina atas dasar Melayu tetapi kalau dibina atas dasar Islam ia akan jadi lebih luas," katanya pada Forum Polemik Ketuanan Melayu di Dewan Majlis Perbandaran Kajang di sini malam tadi.

Beliau juga mempersoalkan apabila istilah Ketuanan Melayu menjadi laungan dan slogan pihak tertentu sedangkan maksud sebenar ungkapan itu tidak dijelaskan dengan baik.

"Kena jelaskan perkataan Ketuanan Melayu ini, apa yang dipertahankan dan diperjuangkan melalui istilah ini? Adakah ia bermaksud hak keistimewaan orang Melayu atau ada maksud lain? Adakah hak keistimewaan orang Melayu ini menggunakan istilah ini (Ketuanan Melayu)?

"Maksudnya tidak dijelaskan, adakah keistimewaan orang Melayu dan Ketuanan Melayu ini mempunyai maksud sama? Jadi bagi saya relevan jika orang Melayu berpegang kepada prinsip keadilan Islam.

"Ini kerana ketuanan merujuk kepada prinsip keadilan Islam bukan Melayu atau rakyat, apa yang berlaku adalah kekeliruan istilah. Kita kena perpandukan kepada prinsip keadilan Islam," katanya.

Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran PAS itu adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad, Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabky Yusof dan Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ezaruddin Abdul Rahman.

Tambah beliau, isu Ketuanan Melayu tidak perlu dibangkitkan kerana ia bukan satu keperluan untuk diperdebatkan.

"Istilah Ketuanan (Melayu) ini adalah istilah yang kabur, jadi ia bukan keperluan untuk dibangkitkan kecuali kalau ia diperjelaskan. Malah, tindakan orang Melayu yang menggunakan istilah ini menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang bukan Melayu yang mana mereka beranggapan Islam melakukan diskriminasi kaum.

"Mereka (orang bukan Melayu) bukan musuh, saya tidak nampak keperluan orang bukan Melayu adalah musuh kita, cuma banyak tindakan orang Melayu yang beri tanggapan sebaliknya.

"Kita perlu berbalik kepada Islam, Islam lebih luas tapi saya bimbang apabila istilah ini dimainkan ia akan meruncingkan lagi keadaan. Islam bukan eksklusif untuk orang Melayu sahaja, ia adil untuk semua," katanya.

Sejak bulan lalu, pendebatan isu konsep Ketuanan Melayu ini begitu hebat diperkatakan selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar Kongres Naional PKR meminta supaya Ketuanan Melayu ditinggalkan.

Malah Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai "pelacur politik" dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan Ketuanan Melayu diketepikan bagi memajukan orang Melayu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mencadangkan Raja-raja Melayu agar perkenan mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mengambil berat tentang nasib orang Melayu di negara ini.

Dalam menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS itu berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Dr Hasan Mad menyifatkan polemik Ketuanan Melayu yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini sebagai "gegaran politik", yang dimainkan pihak tertentu termasuk parti politik semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat.

Oleh itu, Hasan menggesa supaya perkara tersebut dihentikan serta-merta memandangkan ia tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, isu Ketuanan Melayu dibangkitkan selepas pilihan raya umum 2008 yang mana ia diperkatakan oleh orang Melayu bukan orang bukan Melayu.

"Sebelum pilihan raya umum 2008, tidak ada sesiapa pun yang sentuh perkara ini (Ketuanan Melayu), ia berlaku selepas pilihan raya umum 2008 dan yang timbulkan perkara ini juga adalah orang Melayu.

"Sebenarnya Ketuanan Melayu tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, cuma kalau boleh dikatakan ia adalah gabungan beberapa perkara yang dikumpulkan di bawah Perlembagaan.

"Jadi isu Ketuanan Melayu ini adalah gegaran politik, tidak lebih dari gegaran politik. Orang bukan Melayu tidak pernah persoalkannya pun, ia timbul secara tiba-tiba," katanya.

Menurut Hasan, ada tiga kelompok yang menyebabkan isu Ketuanan Melayu menjadi polimek sehingga ia sukar untuk dihentikan termasuk pemimpin parti politik, cendekiawan dan kemungkinan orang bukan Melayu yang cuba mengambil kesempatan.

"Ada tiga kelompok, yang pertama adalah pemimpin parti politik yang mana mereka menjadikan politik sebagai satu perniagaan sehingga perkara yang tiada isu juga dijadikan isu termasuk Ketuanan Melayu.

"Sepatutnya lepas habis pilihan raya umum fokus kepada pembangunan negara tetapi sebab terlalu banyak berpolitik akhirnya bercakap perkara yang akhirnya mengelirukan," katanya.

"Yang kedua adalah cendiekiawan yang mana kelompok ini menulis dalam media-media tentang apa yang mereka tahu sahaja.

"Banyak cendekiawan menulis dari sudut pemahaman mereka sahaja yang akhirnya juga memberikan kefahaman yang berbeza dalam perkara ini.

"Dan yang ketiga mungkin kelompok orang bukan Melayu yang akan mengambil kesempatan daripada pertelagahan orang Melayu ini. Kalau diteruskan tidak mustahil kelompok ini akan menangguk di air yang keruh," katanya.

Beliau juga berkata perkataan Ketuanan Melayu tidak boleh diterjemahkan kepada perkataan "Malay supremacy" kerana maksudnya berlainan.

"Ketuanan Melayu bukan isu, ia bukan sesuatu yang harus diperdebatkan, ia cuma gegaran politik.

"Ketuanan Melayu ini hanya propaganda yang berlaku selepas pilihan raya 2008 yang mana pola pengundian ketika itu bersifat perkauman.

"Jadi ia dibangkitkan untuk mengekang pola pengundian itu daripada terus berlaku," kata Ahmad Sabky.

Beliau berkata istilah Ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak tidak termaktub dalam mana-mana perjanjian termasuk perjanjian kemerdekaan.

"Istilah Ketuanan Melayu sendiri saya tidak jumpa di mana asalnya, dalam Perlembagaan tiada, perjanjian kemerdekaan pun tiada cuma yang ada dalam wikipedia.

"Istilah ini tidak wujud, ia cuma politik, Kita perlu cari maknanya dulu baru boleh nak cakap. Apa yang adalah dalam Perlembagaan adalah hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera sahaja," katanya.

Sementara itu, Ezaruddin juga berpendapat polemik Ketuanan Melayu juga sekadar "gegaran politik" yang dimainkan untuk meraih sokongan.

"Ini satu gegaran politik sahaja, ia dimainkan golongan tertentu untuk meraih sokongan.

"Tiada maksud Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan tetapi ia diguna pakai oleh ahli politik, jadi saya harap tafsiran ini perlu diperjelaskan supaya tiada mazhab yang berbeza-beza," katanya. -TMI


Gagal Kuruskan Badan, Pelanggan Tuntut Wangnya Kembali

Posted: 27 Dec 2010 05:00 AM PST

Berat badan naik 100 gram pelanggan tuntut semula wang

PUTRAJAYA, 27 Dis — "Pertahankan hak anda kerana tidak mudah untuk ''membuat'' wang walaupun seringgit," kata Sarijah Saman yang berjaya mendapatkan semula wangnya melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Pembantu undang-undang itu menuntut kesemua kos rawatan daripada satu syarikat pelangsingan badan yang menjanjikan penurunan berat badan antara 10 kg hingga 15 kg dalam tempoh empat bulan dengan 84 sesi rawatan.

"Saya hanya ingin turun sekitar 10 kg dan mengempiskan perut serta mengecilkan lengan namun itu tidak dapat dipenuhi oleh rawatan yang disediakan syarikat ini," katanya.

Sarijah berkata dia mengikuti jadual rawatan tanpa gagal di bawah seliaan seorang terapi namun hasilnya setelah melakukan kira-kira 80 sesi rawatan, berat badannya tidak berubah malah meningkat lagi sekitar 100 gram kepada 71.6 kg.

Katanya pada sesi kesembilan, dia telah diminta membeli produk tambahan bagi mempercepatkan kadar penurunan badan walaupun pada awalnya diberitahu bahawa dia tidak perlu menambah apa-apa bayaran lain bagi mendapatkan keputusan yang dijanjikan.

Malang bagi dirinya, Sarijah berkata produk berbentuk minuman bukan sahaja gagal mempercepatkan penurunan berat badan malah meningkatkan selera makannya.

Dia memutuskan untuk menghentikan sesi rawatan yang berbaki tiga sesi atas nasihat doktor setelah turut mengalami tekanan darah tinggi, yang diyakininya kesan daripada rawatan yang diikutinya itu.

Sarijah berkata dia tidak diberikan sebarang nasihat berkaitan diet pemakanan sepanjang menerima rawatan pelangsingan walaupun didakwa sebaliknya oleh syarikat pelangsingan itu.

Nasib menyebelahi Sarijah kerana tiada sebarang perjanjian ditandatangani antara kedua-dua belah pihak walaupun pihak syarikat mendakwa tidak memberikan jaminan bahawa berat badannya akan turun.

"Saya pasti tidak akan bersetuju membayar sejumlah wang yang banyak sekiranya syarikat ini tidak memberi apa-apa jaminan yang badan saya akan susut," kata ibu tunggal berumur 45 tahun ini.

Penyelesaian diperoleh antara kedua belah pihak di luar kamar Tribunal setelah mendapat nasihat daripada Presidennya, Mohd Nasrim Mohd Salleh yang mengadili perbicaraan itu.

Hasil perbincangan itu adalah pihak syarikat pelangsingan bersetuju membayar semula kepada Sarijah kos keseluruhan rawatan serta pembelian produk minuman yang kesemuanya berjumlah RM4,060.

Setelah penyelesaian diperoleh, Mohd Nasrim menetapkan pembayaran harus dibuat dalam tempoh 14 hari mulai hari ini. — Bernama

Hero "Putera Katak" Dikejar Dengan Parang

Posted: 27 Dec 2010 04:30 AM PST

Pelakon dikejar dengan parang

KUALA LUMPUR: Pelakon baru yang memegang watak utama drama dongeng bersiri, Putera Katak yang kini ditayangkan di TV3, terpaksa menempuh detik cemas apabila dikejar sepasang kekasih bersenjatakan parang sejauh lebih dua kilometer.

Kejadian berlaku hanya disebabkan pelakon muda itu, Mohd Hanif Karamdin, 27, memintas kereta dinaiki pasangan terbabit ketika melalui Lebuhraya Duta Hulu Klang (Duke) menuju Ampang, di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, dia yang menggunakan nama komersial Haniff bernasib baik apabila dapat meloloskan diri sebelum bergegas ke balai polis membuat laporan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Haniff berkata, dia dalam perjalanan dari Kelana Jaya ke rumahnya pada mulanya mengekori sebuah kereta Honda City.

"Disebabkan kereta itu dipandu terlalu perlahan, saya memberi isyarat lampu sebelum memotong kenderaan berkenaan.

"Tiba-tiba pemandunya membunyikan hon dan mengejar saya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Haniff, pada mulanya dia tidak mempedulikan tindakan itu, namun pemandu kereta itu menghimpit keretanya sebelum menunjukkan parang.

"Ketika itu, saya lihat dia (pemandu) bersama seorang wanit. Saya yakin mereka pasangan kekasih," katanya.

Haniff berkata, bimbangkan keselamatannya dia memecut keretanya, namun pasangan terbabit mengejar sambil menunjukkan parang ke arahnya.

"Berderau darah saya dibuatnya...apa lagi dengan perasaan takut dan pelik mengenai sikap pasangan kekasih itu, saya pecut sehinggalah tiba di susur keluar menuju Ampang.

"Pasangan itu yang pada mulanya mengekori rapat di belakang kereta saya mungkin terlepas pandang menyebabkan saya dapat meloloskan diri," katanya.

Haniff pergi ke Balai Polis Taman Melawati membuat laporan sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan lanjut.

Dia yang pernah membintangi beberapa drama bersiri seperti Siong, Kelab Jeng Jeng dan Jelatang berkata, laporan polis dibuat kerana bimbang lelaki tidak dikenalinya itu mungkin melakukan perkara tidak diingini kemudian hari.

"Kejadian seperti ini pertama kali berlaku terhadap saya. Saya berharap pengguna lebuh raya lain lebih berdisiplin dan menggunakan diplomasi untuk menyelesaikan masalah, bukannya dengan kekerasan," katanya.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Sehingga kini, suspek belum ditahan, namun usaha mengesannya giat dijalankan," katanya. -hm

Pemuda Yang Dicekup Tidur Berpelukan Hadapi 5 Tuduhan Merogol

Posted: 27 Dec 2010 04:07 AM PST

Penganggur Hadapi Lima Tuduhan Merogol

SHAH ALAM: Seorang penganggur yang ditangkap oleh ibu bapa teman wanitanya semasa sedang tidur berpelukan di bilik tidur remaja perempuan terbabit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin. -gambar hiasan

Mohd Zainu Man, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan merogol remaja yang berusia 15 tahun tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh yang berasal dari Dabong, Kelantan didakwa merogol mangsa pada pukul 2 pagi, akhir Ogos lalu dan didakwa mengulangi perbuatan tersebut pada pukul 2.30 pagi, awal September lalu.

Selain itu, dia juga didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 2 pagi, hujung September lalu, 2 pagi, awal Oktober lalu manakala pertuduhan terakhir menyatakan tertuduh melakukan kesalahan itu pada 2 pagi, November lalu.

Semua pertuduhan terhadap tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Che Rohana tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, bagaimanapun Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin untuk setiap satu pertuduhan.

Beliau juga menetapkan syarat tambahan untuk tertuduh melaporkan diri ke balai polis yang berhampiran setiap Sabtu pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 24 Januari depan untuk tertuduh melantik peguam.

Pada 25 Disember lalu, sebuah akhbar tabloid melaporkan seorang ibu yang tergerak hati untuk melihat keadaan dua anak gadisnya semasa terjaga dari tidur pada pukul 3.30 pagi, menemui dua remaja terbabit sedang tidur berpelukan dengan pasagan masing-masing.

Dilaporkan, ibu bapa remaja yang berusia 13 dan 15 tahun itu tidak menyangka anak gadis mereka boleh melakukan perbuatan sedemikian memandangkan kedua-dua mereka masih di bangku sekolah.

Wanita yang tergamam itu bertindak mengejutkan suaminya dan remaja lelaki yang berusia 20 dan 17 tahun itu merayu memohon maaf, bagaimanapun ayah remaja terbabit yang dikatakan kecewa dengan perbuatan tersebut nekad membuat laporan polis.

Difahamkan, remaja lelaki berusia 17 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Juvana.

Berita Berkaitan

2 Adik Beradik Dicekup Berpelukan Dengan Kekasih


Klinik Tawar Khidmat Gugur Janin Disiasat

Posted: 27 Dec 2010 02:30 AM PST

Khidmat gugur janin

SIASAT...pegawai KKM menyoal siasat kakitangan klinik yang diperiksa.

KUALA LUMPUR: Sebuah klinik swasta di ibu kota disiasat pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas disyaki menjalankan kegiatan menggugurkan janin kepada mana-mana gadis terlanjur dengan kadar bayaran RM2,000.

Sumber berkata, klinik berkenaan yang dimiliki seorang doktor berusia 50-an disiasat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan dijalankan di klinik itu.

Difahamkan, hasil maklumat mendapati klinik berkenaan menjadi tumpuan wanita yang ingin menggugurkan kandungan.

"Susulan maklumat itu, seramai lebih 10 pegawai KKM memeriksa klinik berkenaan kira-kira jam 5 petang kelmarin selepas maklumat mengatakan operasi terbabit kerap diadakan pada lewat petang hingga waktu malam.

"Ketika serbuan dilakukan, seramai lebih 10 orang awam sedang menunggu di tingkat atas klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum pegawai KKM segera memeriksa wad klinik itu yang terletak di tingkat bawah," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan itu menemui satu wad khas yang dilengkapi dengan bilik pembedahan dan katil.

"Bagaimanapun ketika serbuan dilakukan, tiada pesakit ditemui di dalam wad bersalin, sekali gus menimbulkan seribu tanda tanya berhubung operasi klinik berkenaan.

"Sepatutnya klinik bersalin itu mempunyai sekurang-kurangnya beberapa pesakit di kalangan wanita yang baru melahirkan bayi sekiranya ia betul-betul menawarkan perkhidmatan berkenaan. Bagaimanapun agak ganjil apabila wad bersalin itu kosong," katanya.

Susulan itu, pegawai KKM bertindak memeriksa fail pesakit yang pernah bersalin di klinik berkenaan dan mendapati rekod yang disimpan tidak teratur.

"Sewaktu pemeriksaan dilakukan doktor lelaki yang disoal siasat diarahkan supaya membuka semua bilik di dalam klinik berkenaan untuk pemeriksaan. "Pemeriksaan hampir dua jam itu turut membabitkan lokasi tempat ubat-ubatan klinik berkenaan disimpan selain mengambil keterangan daripada beberapa jururawat," katanya.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati klinik berkenaan melakukan kesalahan serius apabila ubat-ubatan yang disimpan di kaunter tingkat atas tidak direkodkan seperti disyaratkan KKM.

"Susulan itu pihak KKM bertindak merampas ubat-ubatan yang tidak direkodkan berkenaan selain memberi peringatan kepada doktor berkenaan supaya mematuhi arahan diberikan terutama penyelenggaraan ubat-ubatan," katanya.

Pihak KKM memandang serius sebarang aktiviti pengguguran bayi secara haram terutama jika ia membabitkan golongan doktor bertauliah yang didaftarkan dengan KKM selain tidak teragak-agak menggantung lesen amalan perubatan mana-mana doktor yang melakukan kesalahan. -hm

Tiada ulasan: