Isnin, 27 Disember 2010

KARPET KUNING

KARPET KUNING


Perlawanan Bola Sepak Asean (AFF) Piala Suzuki Malaysia & Indonesia pasti menarik dalam pertemuan kedua nanti.

Posted: 27 Dec 2010 07:28 PM PST


Oleh Mohd Sani Ali

MALAYSIA hanya berada selangkah daripada mencatat sejarah untuk menjulang mahkota Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Piala Suzuki.

Bagaimanapun, anak buah K. Rajagobal perlu berwaspada kerana pertarungan di Stadium Gelora Bung Karno Senayan di Jakarta pada Rabu ini boleh berubah menjadi 'neraka'.

Indonesia mungkin ketinggalan tiga gol selepas dibenam di Stadium Bukit Jalil kelmarin, tetapi para pemain Alfred Riedl belum bersedia untuk mengibarkan bendera putih.

Sebaliknya pemain penyerang veteran, Bambang Pamungkas, yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Malaysia, berusaha membakar semangat juang rakan-rakannya dengan menyeru mereka agar bangkit dan mencatatkan kemenangan dalam pertemuan kedua nanti.

'Kami masih mempunyai 90 minit perlawanan untuk diteruskan di Jakarta. Kita harus bersemangat dan Indonesia masih bisa melakukannya,' kata Bambang dalam Twitter yang dipetik daripada laman web Kompas.

Bambang, salah seorang pemain senior yang hanya turun sebagai pemain gantian pada minit ke-80, akur akan kegagalan percubaan beliau mahupun Cristian Gonzales atau Irfan Bachdim menembusi pintu gawang tuan rumah membawa padah.

Namun demikian, Irfan percaya rakan-rakannya mampu mengembalikan keyakinan diri untuk mengalahkan Malaysia seperti yang pernah mereka lakukan ketika menang 5-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan pada 1 Disember lalu.

Irfan juga menekankan bahawa rakan-rakannya tidak perlu mencari alasan dan menjadikan kontroversi sinaran lampu laser ke arah mereka sebagai punca kekalahan mereka.

'Kita harus mendongak muka ke atas kerana kita masih mempunyai satu setengah jam lagi untuk berjuang. Kita bisa melakukannya di Jakarta! Dan harus melakukan lebih baik daripada persembahan malam kelmarin,' kata Irfan.

Irfan hanya diturunkan pada minit ke-65 selepas penyerang Malaysia, Mohd Safee Sali, memecahkan kebuntuan pada minit ke-62.

'Seorang pemenang tidak pernah menyerah!!!' tegas pemain berusia 22 tahun itu.

Bagaimanapun, Indonesia 'sudah pun tertewas' apabila penjaga gawangnya, Markus Horison, kelihatan gelisah dengan serangan pemainpemain sayap S. Kunanlan dan Nursharul Idlan Talaha, dan ini ditambah pula dengan sinaran laser yang ditujukan ke muka dan matanya.

Oleh itu, Riedl - selepas berbincang dengan pengadil - mengarahkan agar pemainnya meninggalkan padang, Markus yang terlebih dahulu 'menyambutnya' dengan rasa lega.

Malangnya permainan yang dihentikan lebih lima minit jelas tidak menjejas rentak serangan Malaysia apabila Markus ditumpaskan tiga kali.

Menurut Riedl, Markus dan beberapa pemain terganggu oleh sinar laser tersebut.

'Sebaik permainan dihentikan dan dimulakan semula, kami juga bermain bagus. Namun, setelah gol pertama, keadaan berbalik melawan kami. Malaysia semakin percaya diri dan pertahanan kami kucar-kacir,' ujar jurulatih Austria itu.

'Ini bukan soal laser, melainkan kesalahan individu. Saya tidak tahu apa yang terjadi dengan pemain setelah gol pertama, tetapi itulah titik kejatuhan kami. Kami akan menganalisis kesilapan yang terjadi.'

Tiada ulasan: