Khamis, 23 Disember 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Langkawi Diancam Obor-obor, 100 Bergotong Royong Menangkapnya

Posted: 23 Dec 2010 01:06 AM PST

Ancaman obor-obor di pantai Langkawi membimbangkan banyak pihak yang mana ia mungkin boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke sana.

Bagi menjadikan Langkawi bebas dari obor-obor, semalam, seramai 100 orang sukarelawan dari pelbagai ajensi dan organisasi bukan kerajaan telah bergotong royong menangkap obor-obor di Pantai Chenang.

Gotong royong itu diajurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi, dan sebanyak 200 kotak obor-obor dari pelbagai spesis berjaya ditangkap termasuklah jenis Carybdeid Morbakka.


Presiden Kelan Rekreasi Langkawi Datuk Mansor Ismail berkata aktiviti gotong royong itu akan diadakan secara kerap bagi menjadikan pantai Langkawi bebas dari obor-obor dan selamat untuk para pelancong.

"Sejumlah 150 kes melibatkan serangan obor-obor dilaporkan tahun ini. Langkah ini diharapkan dapat membangkitan usaha secara bersama di antara pelbagai agensi dan juga orang ramai.

"Mungkin, kita boleh adakan pertandingan menangkap obor-obor di masa akan datang untuk mempopularkannya."

Fail Mengenai UFO Didedahkan Tentera New Zealand

Posted: 22 Dec 2010 11:55 PM PST

Tentera New Zealand dedah fail UFO

Fail Sulit: Kisah dari akhbar seawal Januari 1979 menunjukkan tentera udara bersedia untuk menyiasat penemuan UFO berikutan satu cahaya misteri muncul di langit Kaikoura beberapa hari sebelumnya.

WELLINGTON - Tentera Udara New Zealand semalam mendedahkan lebih 2,000 muka surat laporan sulit mengenai objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dilihat sepanjang setengah abad lalu di negara berkenaan.

Laporan-laporan media tempatan menyatakan fail tersebut yang merekodkan dakwaan penemuan UFO dari tahun 1952 hingga 2009 tidak menunjukkan sebarang bukti tentang lawatan makhluk asing ke negara itu.

Ia juga tidak memberi sebarang petunjuk mengenai beberapa cahaya misteri yang dilihat oleh kru dan para penumpang sebuah penerbangan komersial di perairan timur Pulau Selatan New Zealand pada Disember 1978.

Insiden tersebut merupakan penemuan UFO paling terkenal di negara itu

Cahaya-cahaya itu dirakamkan oleh seorang kru televisyen New Zealand di dalam pesawat berkenaan. Pada waktu yang sama, beberapa pengawal trafik udara mendakwa melihat beberapa objek misteri pada radar mereka.

Ketika itu, tiada laporan mengenai kehadiran pesawat lain di lokasi tersebut.

"Kejadian itu tidak dapat diterangkan sehingga sekarang," kata seorang penyelidik UFO sejak 35 tahun lalu, Suzanne Hansen.

Fail itu turut mengandungi lakaran-lakaran saksi yang pernah melihat UFO. - Agensi

Piala AFF Suzuki: Indonesia Ancam Boikot Jika..

Posted: 22 Dec 2010 10:30 PM PST

Indonesia ancam mahu boikot

DUTA BESAR Republik Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar (kiri) ditemani Nugraha pada sidang akhbar di ibu negara semalam bagi menjelaskan ancaman boikot skuad Indonesia.

"TINDAKAN walk out (keluar padang) bererti pasukan kita (Indonesia) pengecut.

"Jadi Indonesia tidak akan sesekali atau tak boleh walk out. Itu akan menjadi kerugian kepada kita sendiri."

Demikian penegasan dibuat Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes pada sidang akhbar di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pagi semalam, lapor kosmo.

Ia rentetan laporan pihak media di negara republik itu kelmarin bahawa skuad Indonesia mengancam untuk memboikot aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil andai pemain mereka diganggu sinaran laser oleh penyokong Malaysia.

Dakwa mereka, pada aksi separuh akhir pertama Malaysia bertemu Vietnam minggu lalu, penjaga gol Vietnam telah diganggu sinaran laser sehingga menyebabkan pasukan juara bertahan itu tewas 0-2.

"Memang perkara ini berlaku ketika Malaysia bertemu Vietnam tempoh hari. Tapi permainan telah dihentikan seketika sehingga individu yang memancarkan sinaran laser itu ditangkap.

"Jadi kami telah bertemu pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam (kelmarin) bagi meminta jaminan hal yang sama tidak berulang pada Ahad ini.

"Tapi jika ia berlaku sekali pun, permainan akan dihentikan seketika sehingga individu terbabit ditangkap. Jadi tak wajar untuk kita melakukan tindakan walk out kerana kita sendiri yang rugi," jelas Nugraha pada sidang akhbar tersebut.

Pihak media di Indonesia mungkin mahu sengaja mensensasikan berita berhubung pemboikotan tersebut apabila mereka memetik komen daripada Ketua Umum PSSI, Nurdin Halid ketika pertemuan dengan media di Pejabat PSSI di Senayan, Jakarta kelmarin.

Nurdin dipetik sebagai berkata pada pertemuan tersebut: "Soal sinar laser pernah dikeluhkan jurulatih Vietnam kerana ia berbahaya jika terkena mata secara berlebihan.

"Jika itu terjadi lagi, kami akan memboikot pertandingan. Pasukan kami akan terus menghentikan permainan."

Namun, dakwaan Nurdin ini agak keterlaluan sekali gus disensasikan oleh media Indonesia.

Apalah sangat pada sinar laser, dan tidak mungkin ia boleh menjejaskan rentak permainan seseorang pemain itu.

Indonesia seharusnya tidak perlu membuat helah seperti itu, sebaliknya berterima kasih kerana terlalu diberi keistimewaan sepanjang kejohanan ini.

Mereka beraksi di tempat sendiri sehingga ke perlawanan separuh akhir berbanding pasukan lain.

Ancaman untuk memboikot hanya disebabkan sinaran laser, membuktikan betapa pengecutnya mereka untuk beraksi di gelanggang lawan.

Indonesia boleh dianggap bernasib baik melangkah ke final kerana dua perlawanan separuh akhir dilangsungkan di Gelora Bung Karno, Jakarta ekoran masalah stadium dihadapi lawan mereka, Filipina.

Sepatutnya, aksi kedua separuh akhir antara Indonesia dengan Filipina itu diadakan di gelanggang berkecuali sama ada di Singapura atau di Kuala Lumpur.

Indonesia tidak perlu membuat sebarang helah menjelang perlawanan akhir pertama ini kerana mereka sudah terlalu banyak mendapat keistimewaan sepanjang kejohanan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, bagi mengelak kesesakan penonton, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuka pintu masuk seawal pukul 3 petang untuk aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ia disebabkan jangkaan maksimum 88,000 penonton akan hadir menyaksikan pertemuan Malaysia dengan Indonesia itu, pihaknya mahu aturan masuk penonton ke stadium berjalan lancar.

"Pintu masuk ke dalam stadium akan dibuka pada pukul 3 petang supaya tidak berlaku kesesakan. Kita telah maklum bahawa di pekarangan stadium turut berlangsung satu konsert pada hari yang sama.

"Jadi saya nasihatkan kepada semua penyokong kedua-dua pasukan, beli tiket dengan lebih awal dan hadir ke stadium juga dengan lebih awal.

"Kita dapati pada aksi separuh akhir pertama menentang Vietnam minggu lalu, ramai datang lewat kerana beranggapan bahawa perlawanan bermula pukul 8.45 malam tetapi sebenarnya bermula 8 malam.

"Untuk final ini, sama juga, perlawanan akan bermula pukul 8 malam, bukannya 8.45 malam," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) bagi perlawanan tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Azzuddin turut memberitahu, dianggarkan 1,300 anggota keselamatan dan juga 250 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) bakal ditugaskan bagi memastikan tidak berlaku kekacauan atau pergaduhan di kalangan penyokong kedua-dua pasukan.

"Sebagai langkah keselamatan juga, kita mengasingkan pintu masuk untuk para penyokong. Bagi penyokong Indonesia, mereka perlu masuk melalui Pintu Biru dan Pintu Ungu manakala penyokong Malaysia di pintu-pintu yang lain.

Sementara itu, tentang peruntukan tiket bagi penyokong Malaysia untuk final kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta pada Rabu depan, Azzuddin berkata, terdapat peruntukan diberikan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

"Kita ada menerima permohonan daripada Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) yang mahu menganjurkan rombongan ke Jakarta. Selain itu, pihak kedutaan kita di Jakarta juga akan menguruskan penjualan tiket untuk pelajar-pelajar di sana.

"Peruntukan diberikan PSSI adalah secara timbal balik. Kita beri mereka 15,500 tiket di sini, mereka juga beri kita 15,500 tiket untuk aksi di sana. Kita akan lihat berapa banyak tiket yang kita perlukan nanti," jelas Azzuddin.

ADUN Selising Cabar Tunjuk Bukti Beliau Ditangkap Berzina

Posted: 22 Dec 2010 08:58 PM PST

Adun Selising cabar Umno dedah bukti 'berzina' di koc kereta api

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selising, Drs Saipul Bahrin Mohamad mencabar Umno mengemukakan bukti jika ada kononnya beliau pernah ditangkap 'berzina' dengan isteri orang dalam koc VIP kereta api ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan.

Beliau membuat cabaran itu ekoran pendedahan Umno Online kelmarin, yang memetik Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian yang mencabar Saipul Bahrin atau PAS sendiri supaya memberikan penjelasan mengenai dakwaan itu.

"Mengapa nak cabar PAS beri penjelasan, cukup saya sahaja yang beri penjelasan. Kalau ada laporan Majlis Agama Islam sila dedahkan, kalau ada video skandal saya, sila dedahkanlah.

"Ini satu fitnah untuk menjatuhkan saya, sebelum (pilihan raya umum) 2008 lagi Umno buat isu ini untuk fitnah saya, bukan isu yang baru.

"Saya baru balik dari Mekah tiga hari lalu, saya sudah membaca kesemua laporan blog-blog Umno itu... benda-benda ini sebenarnya ditimbulkan sejak 2000 lagi.

"Hanya orang yang fitnah sahaja kata ada laporan, ada video dan ada gambar skandal saya kerana mereka pun tahu saya tak buat, kenapa tidak didakwa di mahkamah (kalau ada bukti)," ujarnya kepada The Malaysian Insider.

Pada 8 Mac 2008, Saipul Bahrin menewaskan calon Umno-BN Hashim Ismail dengan kelebihan 783 undi.

Naib Yang Dipertua PAS kawasan Pasir Puteh itu berkata, iltizam politik Umno memfitnahnya mungkin disebabkan tapak sokongan parti teras Barisan Nasional itu sejak kebelakangan ini kian rapuh apabila ahli dan penyokong mereka menyertai PAS dan menyokong Pakatan Rakyat.

"Banyak sebab mungkin mendesak mereka mahu menjatuhkan saya, (antaranya) sebelum saya ke Mekah, dua tiga orang PPM (Penyelia Pembangunan Mukim) yang dilantik Umno terbuka hati untuk meninggalkan Umno dan menyokong PAS.

"Lebih 100 ahli Umno di Selising bersama bekas ketua pemuda Umno (Selising) menyertai PAS sebelum saya ke Mekah, dua tiga hari ini saya diberitahu (bahawa) beberapa PPM dan pemimpin Umno tempatan menyerahkan borang sertai PAS," ujarnya lagi.

Bahkan katanya, fitnah yang dihadapinya itu mungkin disebabkan krisis dalaman dalam Umno Bahagian Pasir Puteh sendiri.

"Umno (cawangan) Selising sendiri mungkin resah dan melenting apabila pemimpin masyarakat tempatan menolak perjuangan Umno sehingga mereka terpaksa import pemimpin luar (bahagian Umno) Pasir Puteh untuk menjadi ketua bahagian dengan beberapa pindaan perlembagaan (Umno peringkat bahagian)," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Kelantan Dr Mohamed Fadzli Hassan turut senada dengan Saipul Bahrin mencabar Umno negeri dan pusat supaya mengemukakan bukti tanpa menyebarkan fitnah.

"Umno tak habis-habis fitnah PAS, kemukanlah bukti jangan sekadar buat dakwaan 'kosong'," ujar Fadzli yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Kata Adun Temangan ini lagi, tindakan Umno itu adalah strategi mahu membunuh imej pemimpin-pemimpin PAS setelah mereka percaya bahawa ideologi perkauman parti mereka tidak mampu mengalahkan ideologi Islam yang dipopularkan PAS.

"Itulah strategi Umno, termasuk membunuh karakter individu dalam PAS kerana mereka tak boleh nak lawan ideologi kita, maka mereka pilih jalan fitnah untuk memburukkan wakil rakyat kita (PAS) dan Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sendiri," katanya.

Melihat pada tindak tanduk tersebut, kata beliau, PAS negeri sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pengendali Umno Online dan beberapa pihak yang akan dinamakan kemudian jika wajar.

"Kita sedang meneliti beberapa pendedahan itu, kalau ada asas untuk dibuat pendakwaan kepada (pengendali) blog Umno itu, kita akan umumkan kemudian... nama-nama yang lain pun akan diumumkan kemudian selepas kita mengenal pasti mereka yang terlibat," ujarnya.

Kelmarin, Umno Online turut melaporkan pengakuan saksi utama kes skandal tersebut iaitu Saidi Husin yang kini kononnya menjadi isu kontroversi dalam dunia blog, Youtube dan Facebook.

Saidi, lapor portal rasmi itu merupakan Ketua Keselamatan PAS Semarak merangkap Ketua Keselamatan Pondok-Pondok Negeri Kelantan sebelum meninggalkan PAS.

Blog itu turut mendesak Saipul Bahrin supaya tidak berdiam diri dan mengambil tanggungjawab menjelaskan isu skandal kontroversi tersebut.

Namun, laporan tersebut tidak mendedahkan klip video, gambar atau laporan bertanggungjawab mengenai skandal tersebut. -TMI

Mayat Warga Thai Mangsa Tragedi Bas Dibawa Pulang

Posted: 22 Dec 2010 08:30 PM PST

Mayat 25 warga Thai tragedi bas dibawa pulang

Dua puluh tujuh orang terkorban dalam kemalangan bas dua hari lalu. — Foto Bernama
IPOH, 22 Dis — Mayat 25 warga Thailand yang terbunuh dalam kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dua hari lepas dibawa ke Pangkalan TUDM Subang dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dihantar pulang ke Bangkok.

Menteri Penasihat di Kedutaan Thailand, Somphong Kang Thong, berkata persiapan untuk membawa kesemua mayat itu mendapat kerjasama pihak hospital, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan perjalanan yang lancar.

Perjalanan dari sini ke Subang dijangka mengambil masa dua jam tiga puluh minit sebelum mayat diterbangkan ke Thailand menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Thailand.

Somphong berkata pihaknya belum membuat keputusan sama ada waris-waris dari Thailand yang tiba di Ipoh sejak dua hari lepas akan dibawa bersama.

Beliau berkata perbincangan sedang diadakan dengan pihak hospital bagi membolehkan lima daripada 10 pelancong Thai yang sedang dirawat di sini dibawa terus ke Hatyai, Thailand, menggunakan ambulans hospital itu.

Semalam, Setiausaha Pertama di Kedutaan Thailand, Suwit Mangkhala memberitahu Bernama pesawat akan berlepas ke Malaysia pada 8 pagi ini dari Terminal Tentera Udara Don Mueang dan dijangka tiba pada tengah hari.

Di hospital berkenaan, mayat-mayat disusun oleh pihak hospital, polis dan tentera di ruang legar Jabatan Forensik hospital itu.

Kedengaran suara tangisan waris-waris tersebut dan ada antara mereka dilihat berpelukan sesama sendiri.

Dalam kejadian dua hari lepas, bas yang membawa pelancong warga Thailand terbabas dan terbalik ketika dalam perjalanan menuruni pusat pelancongan Cameron Highlands, mengorbankan 27 orang, termasuk dua rakyat Malaysia, dan mencederakan 10 yang lain dalam kemalangan jalan raya paling buruk dalam sejarah negara. — Bernama

Al-Quran Yang Ditulis Guna 24 Liter Darah Saddam Hussein

Posted: 22 Dec 2010 08:01 PM PST

Kitab al-Quran ditulis guna 24 liter darah Saddam Hussein


BAGHDAD - Pemerintah Iraq buntu memikirkan apa yang sepatutnya dibuat berhubung kitab suci al-Quran yang ditulis dengan menggunakan 24 liter darah bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein (gambar), lapor sebuah akhbar semalam.

Kitab al-Quran setebal 650 muka surat itu kini disimpan di sebuah kamar berkunci di sebuah masjid yang dikenali sebagai 'Ibu Segala Peperangan' di sini.

Empat menara masjid berkenaan menyerupai laras raifal AK-47 manakala empat lagi menara mirip peluru berpandu Scud.

Saddam dipercayai memulakan projek al-Quran itu sebagai tanda kesyukuran selepas anak lelakinya, Uday terselamat daripada percubaan untuk membunuhnya.

Ia ditulis oleh seorang ahli kaligrafi, Abbas Shakir Joody al-Baghdaddi yang dilantik oleh Saddam.

Kitab al-Quran itu ditulis dengan menggunakan darah yang didermakan oleh Saddam selama tiga tahun.

Sementara itu, Presiden Majlis Pentadbiran Iraq mahu semua barang yang berkaitan dengan Saddam termasuk kitab suci tersebut dimusnahkan.

Namun, Ali al-Moussawi yang merupakan jurucakap Perdana Menteri, Nouri al-Maliki berkata, al-Quran itu perlu disimpan bagi mengingatkan rakyat mengenai kekejaman Saddam.

Saddam yang memerintah dari tahun 1979 hingga 2003, mati dihukum gantung selepas dia ditangkap askar-askar Amerika Syarikat (AS) yang menceroboh Iraq. Saddam dihukum mati selepas didapati bersalah melakukan jenayah kemanusiaan.- Agensi

Kementerian Perumahan Diselar Kerana Halang Penubuhan PPHTM

Posted: 22 Dec 2010 07:05 PM PST

Tarik balik surat dan nasihatmu, KPKT'

Persatuan Pemilik Hartanah Terbengkalai Malaysia (PPHTM) meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak menghalangnya didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan yang sah.

Pengerusinya Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman berkata, PPHTM - turut dikenali sebagai Victims - mendakwa permohonan mereka ditolak oleh Jabatan Pertubuhan Pendaftar Malaysia (JPPM) susulan 'bantahan' daripada kementerian berkenaan melalui surat dan "nasihat".

Dakwanya, bantahan itu berlaku kerana KPKT bimbang pembeli, melalui NGO baru itu, akan menekan agensi yang bertanggungjawab atas projek perumahan dan pemulihan projek terbengkalai itu.

"Jika benar KPKT tidak mempunyai halangan dan menerima usaha persatuan itu dengan baik, saya mencadangkan agar KPKT menarik balik surat yang di keluarkan oleh mereka melalui rujukan dihantar kepada persatuan itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Merujuk isu daftar pertubuhannya, Rafick mengakui, dakwaaan bahawa keputusan terletak di tangan JPPM itu ada benarnya tetapi dalam sistem sekarang ramai yang tidak berani membelakangi nasihat kementerian.

Malah, dakwanya, surat yang di keluarkan oleh bahagian dasar KPKT kepada mereka menyatakan 'bantahan keras' yang menyebabkan kesukaran kepada pegawai JPPM bagi menerima permohonan PPHTM.

"Dalam kes ini, pegawai JPPM tidak boleh dipersalahkan kerana mereka 'terpaksa akur' kepada beberapa 'pandangan keras' yang di keluarkan oleh KPKT.

"Mengapa JPPM harus dipersalahkan apabila isu ini timbul akibat dari pandangan dengket dari KPKT," ujarnya.

Sementara itu, Rafick mengulangi gesaan supaya KPKT menerima dan bekerjasama dengan mereka bagi mencari penyelesaian untuk masalah rumah terbengkalai di Malaysia.

"Jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada Rakan Cop, mengapa KPKT tidak boleh menerima kami sebagai Rakan JPN?" soalnya.

Anggit Mengaku Salin Video Ariel

Posted: 22 Dec 2010 06:09 PM PST

Mengaku salin klip video seks Ariel

JAKARTA – Seorang pemuda, Anggit Gagah Pratama mengaku bahawa dia secara tidak sengaja menyalin klip video seks yang menampilkan lelaki mirip vokalis kumpulan Peterpan, Nazriel Irham alias Ariel sedang melakukan hubungan seks, lapor akhbar KOMPAS.com semalam.

Dia merupakan saksi defendan dalam kes penyebaran klip video lucah seorang lelaki mirip Ariel bersama selebriti, Luna Maya dan klip video yang menampilkan lelaki mirip penyanyi tersebut dengan hos televisyen, Cut Tari.

"Saya ikut terheret ke dalam kes ini. Sebenarnya, klip video itu diambil oleh saya tanpa disengajakan. Kalau tiba-tiba video itu 'meletup' saya tidak tahu," kata Anggit dalam satu sidang media di sini kelmarin.

Menurut Anggit, dia sedang mencari beberapa gambar-gambar di komputer peribadi milik Reza Rizaldy alias Redjoy (RJ) iaitu saudara sepupunya yang kini turut menjadi tertuduh dalam kes penyebaran video-video seks Ariel.

"Waktu itu, saya menggunakan komputer Redjoy di Bandung, di tempat saudara saya. Ketika itu, saya secara tidak sengaja menyalin gambar dan tidak menyangka akan mendapat klip video itu. Saya tidak tahu bila saya telah menyalin klip video Ariel," katanya.

Menurut Anggit, dia kemudian menyimpan klip video tersebut tanpa memuat naik di Internet.

"Saya tidak pernah memuat naik. Saya cuma menontonnya sebelum ia disimpan," katanya.

Peguamnya, Yulius Setiarto, menegaskan bahawa Anggit benar-benar tak sengaja melakukan hal tersebut.

"Anggit secara tidak sengaja mendapatkan fail klip video Ariel ketika menggunakan komputer di kamar Redjoy. "Anggit menggunakan komputer itu untuk mencari gambar tugas kuliah. Dia cari gambar, lalu tekan CTRL+A, sebelum menyalinnya ke dalam cakera kerasnya" jelas Yulius.

"Sehingggalah video itu tersebar, Anggit tidak menyangka kalau sumbernya (penyebaran klip video itu) itu berpunca daripada dia," tambahnya. - Agensi

BERKAITAN:

Ariel Mahu Bertaubat, Lihat Gambar Terhangatnya, PANAS!

Pernikahan Sudin Ajaib Tidak Ikut Hukum Syarak

Posted: 22 Dec 2010 05:25 PM PST

Pernikahan Sudin Ajaib tidak sah: Mahkamah

Wujud unsur penipuan, tak patuhi hukum syarak

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, mendapati pernikahan pemimpin jemaah tabligh, Shamsuddin Che Deraman, 42, atau Sudin Ajaib, dengan budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri keempatnya pada Februari lalu sebagai tidak sah.

Pernikahan yang didakwa dilangsungkan Sudin Ajaib dengan budak perempuan itu didapati mempunyai unsur penipuan, paksaan serta ugutan, selain tidak mematuhi hukum syarak serta tata cara mal undang-undang Islam.

Berikutan elemen yang dikenal pasti Mahkamah Tinggi Syariah itu, Hakim Syarie, Abdullah Man, mendapati ibu budak perempuan terbabit, Siti Sarnan Mat Ail, 42, tidak mempunyai asas membuat tuntutan mufarakah terhadap pernikahan itu.

Abdullah berhujah, tuntutan mufarakah itu tidak timbul kerana perkahwinan Sudin terbatal kerana pasangan itu tidak mempunyai surat nikah, selain pernikahan berlangsung hanya dakwaan pihak plaintif.

Dalam hal ini, bapa budak perempuan sebagai wali mujbir boleh mengahwinkan anaknya. Namun persoalannya, adakah perkahwinan itu sah atau tidak mengikut hukum syarak.

Dalam hal ini, wali tidak ada niat untuk mengahwinkan anaknya dan didapati pernikahan itu ada unsur penipuan, paksaan dan ugutan, hujahnya.

Sebelum membacakan keputusan, Abdullah membentangkan kronologi kes yang dibicarakan itu apabila mengesahkan Siti Sarnan memfailkan tuntutan mufarakah antara anaknya dengan Shamsuddin pada 11 Mac lalu.
Abdullah berkata, mahkamah mendapati bapa budak perempuan itu ketika memberi keterangan adalah seorang yang lurus dan tidak pandai beralasan.

Wali seolah-olah tidak mempunyai pegangan dan mengikut apa saja telunjuk yang disuruh. Ini dijelaskan wali ketika mengemukakan permohonan mufarakah terhadap anaknya di mahkamah.

Sedangkan dia sendiri tidak ada niat untuk mengahwinkan anak kecilnya itu. Oleh itu, mahkamah memutuskan, perkahwinan ini tidak sah mengikut hukum syarak dan tata cara mal Undang-Undang Islam, katanya.

Sementara itu, Siti Sarnan melahirkan rasa syukur terhadap keputusan mahkamah dan penyelesaian isu membabitkan pernikahan anak perempuan mereka itu.

Insya-Allah, saya akan lebih berhati-hati dengan sebarang dakyah yang sampai kepada saya. Nasihat kepada orang lain supaya tidak mudah terjebak dengan perkara sebegini kerana menyusahkan diri sendiri dan masyarakat, katanya. -BH

2 Rakyat Malaysia Mangsa Culikan Di Selatan Filipina Dibebaskan

Posted: 22 Dec 2010 04:43 PM PST

Dua Rakyat Malaysia Diculik Di Selatan Filipina Dibebaskan

KUALA LUMPUR: Dua orang rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan tidak dikenali di Selatan Filipina pada Februari lepas dibebaskan Rabu, menurut Kementerian Luar Negeri.

Lai Wing Chou, 33; dan Tsen Vui Chung, 41, diculik semasa bekerja di ladang rumpai laut di Semporna, Sabah pada 7 Februari lepas.

Kedua-dua rakyat Malaysia itu telah disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad di Manila selepas tiba dari Selatan Filipinadengan diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Polis Kebangsaan Filipina dan Polis Diraja Malaysia.

"Kementerian Luar Negeri menyampaikan ucapan penghargaan di atas kerjasama dari Kerajaan Republik Filipina dan semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan pembebasan Lai Wing Chou dan Tsen Vui Chung," menurut kenyataan itu lagi.

Lai dan Tsen dijangka pulang ke Sabah Jumaat ini.

Wisma Putra berkata ia berharap kedua-dua mereka dan keluarga masing-masing dapat meneruskan kehidupan seperti biasa selepas menempuh pengalaman pahit itu. - BERNAMA

10 Jalan Paling Unik Di Dunia

Posted: 22 Dec 2010 03:43 PM PST


1. Jalan Terpendek di Dunia


Ebenezer Place, Wick, Caithness, Skotlandia, dinobatkan sebagai jalan terpendek di dunia dalam Guinness Book of Records dengan panjang 2.06m (6 '9 "). Hanya ada satu alamat di jalan itu:. pintu depan No 1 Bistro, yang merupakan bahagian dari Mackays Hotel, yang dibangunkan pada tahun 1883. Pemilik bangunan hotel pada saat itu, diarahkan untuk melukis nama di sisi terpendek dari hotel itu. Rasmi dinyatakan jalan itu pada tahun 1887.


2. Jalan Tersempit di Dunia


Spreuerhofstraße adalah jalan tersempit di dunia, ditemukan di kota Reutlingen, Baden-Württemberg, Jerman. Mulai dari 31 cm (12 inch) pada bahagian yang paling sempit, dank 50 cm (20 inch) di bahagian terluas nya. Jalur ini dibangunkan pada tahun 1727 oleh pekerja-pekerja pemulihan setelah daerah tersebut benar-benar hancur oleh kebakaran hebat tahun 1726 dan secara rasmi terdaftar di Pejabat Pertanahan sebagai City Street Number 77.

3. Jalan Tercuram di Dunia


Baldwin Street, di bahagian pinggiran kota yang tenang dari kota Dunedin, New Zealand, terkenal sebagai jalan paling curam di dunia. Jalan ini terletak di pinggiran Timur Utara Valley, 3,5 kilometer timur laut dari pusat kota Dunedin. Sebuah jalan lurus singkat dengan panjang 350 meter, Baldwin Street berjalan ke timur dari lembah Creek Lindsay di sisi Signal Hill. Pada kemiringan maksimum, kemiringan Baldwin Street adalah kira-kira 1:2.86 (19 ° atau 35%) - yaitu, untuk setiap 2,86 meter horizontal, kecuraman naik sebesar 1 meter. Kecuraman jalan itu tidak disengaja. Seperti banyak bahagian lain dari Dunedin.

4. Jalan Paling Berliku di Dunia


Lombard Street adalah jalan yang paling berliku di dunia dan dapat ditemukan di San Francisco. Ini hanya bahagian dari Lombard Street yang panjang dan bahagian berliku terdapat di Rusia Hill antara Hyde dan jalan-jalan Leavenworth. Batas kecepatan hanya lima mph dan Anda hanya boleh memandu kenderaan di satu arah, iaitu ke arah bawah. Di kedua sisi jalan terdapat rumah-rumah mewah yang paling mahal, rumah kota dan kondominium yang paling dicari orang banyak. Dibangun awalnya kerana kenderaan tidak dapat mengatasi kemiringan, jadi dibuat berliku sehingga lebih mudah dilalui.

5. Persimpangan Paling Membingungkan


The Judge Harry Pregerson Interchange terletak di Los Angeles, CA, dan merupakan salah satu simpang susun paling rumit di negeri ini. Persimpangan ini dibuka pada tahun 1993.

6. Jalan Tol Terpanjang di Dunia


Australia Highway 1 adalah jaringan jalan raya yang membelah benua Australia, bergabung dengan semua ibukota negara daratan. Dengan jumlah panjang sekitar 14,500 km (9,000 batu) itu adalah jalan raya nasional terpanjang di dunia, bersama dengan Jalan Trans-Siberia (lebih dari 11,000 km [6,800 batu]) dan Jalan Raya Trans-Canada (8,030 km [4,990 batu]). Setiap hari lebih dari satu juta orang melintasi jalur ini.

7. Bulatan Terbesar di Dunia


Tidak banyak orang yang menyedari hal ini ketika mereka sedang mengemudi di sekitar Putrajaya, terutama dekat Jabatan Perdana Menteri. Cubalah untuk menjernihkan fikiran dan amati saat anda memandu, dan anda akan segera menyedari bahawa anda memang sedang memandu di sepanjang bulatan terbesar di dunia itu. Alasan orang utama tidak mencatat adalah kerana mereka cenderung berfikir itu hanya sebuah bukit. Panjang keliling bulatan ini sekitar 3.4km.

8. Jalan Terlebar di Dunia


Anda harus melihatnya untuk mempercayainya. Sembilan jalur lebar, dengan taman berada di tengah-tengah antara arus lalu lintas yang berlawanan, ini adalah jalan terluas di dunia. Mereka dengan kecepatan yang cepat dan kaki panjang akan beruntung jika mereka sampai ke sisi lain dengan perubahan dua lampu lalu lintas yang ditempatkan di setiap persimpangan jalan. Sebuah tempat penyeberangan pejalan kaki biasanya memerlukan beberapa minit tambahan. Beberapa landmark utama Buenos Aires dapat dilihat di sepanjang jalan, terutama, Obelisk tersebut.

9. Jalan Kota Terpanjang di Dunia


Yonge Street, jalan arteri utama antara Danau Ontario dan Danau Simcoe di wilayah Kanada Ontario, yang memiliki panjang 1,178 batu (1,896 km). Panjangnya kira-kira jarak dari San Diego, California, ke Seattle, Washington. Dimulai pada tepi tasik Toronto dan di sepanjang jalan Highway 11 sampai Rainy River, Ontario, di perbatasan Minnesota.

10. Bulatan Paling Membingungkan


The Magic Roundabout di Swindon, Inggris, dibangun pada tahun 1972 dan terdiri dari lima-bulatan mini diatur dalam lingkaran. Namanya berasal dari rancangan bersiri television kanak-kanak yang popular The Magic Roundabout. Telah terpilih sebagai persimpangan paling menakutkan keempat di England. -go-killz

Sidang Wanita Yang Dihadiri Hanya Negara Afrika Telan Belanja Sampai RM4.5 Juta?

Posted: 22 Dec 2010 07:12 AM PST

Kos sidang wanita pertama RM4.5 juta

Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang diilhamkan dan dinaungi isteri perdana menteri Rosmah Mansor mencatatkan perbelanjaan kerajaan hampir RM4.5 juta.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil mendedahkan perbelanjaan untuk program tiga hari itu sebanyak RM4,498,949.99.

Program melibatkan 15 wanita pertama dariapda seluruh dunia - kebanyakan yang hadir daripada negara-negara Africa - berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober.

Ekoran penjelasan itu, senator Syed Husin Ali daripada PKR membangkitkan persoalan kewajaran Rosmah dianjurkan oleh isteri perdana menteri sedangkan menurutnya dalam negara ini wanita pertama adalah Permaisuri Agong.

NONEDalam sidang media hari ini, Syed Husin yang juga bekas timbalan setiausaha agong mempertikaikan asas peruntukan sebanyak itu diberikan sedangkan tiada peranan oleh Permaisuri Agong.

BERITA BERKAITAN

Hanya Negara Afrika Turut Serta Sidang Wanita Pertama?

Ulasan GB

Apa? Persidangan Wanita Pertama yang hanya dihadiri oleh negara-negara Afrika dahulu menelan belanja sampai RM4.5 juta?

Benar-benar penghabis wang rakyat. Sudahlah tidak ada maruah mendakwa dirinya sebagai Wanita Pertama Malaysia, satu gelaran yang sepatutnya digunakan oleh Permaisuri Agong di dalam konteks negara berraja, ini pula persidangan yang tak mendapat sambutan itu menghabis wang berjuta banyaknya.


Konstabel Bebas Tuduhan Cabul Inspektor Wanita

Posted: 22 Dec 2010 06:35 AM PST

Konstabel bebas tuduhan cabul Inspektor wanita

PETALING JAYA: Seorang konstabel polis dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang inspektor wanita yang juga rakan setugasnya, tahun lalu.

Majistret Aishah Hijriah Arshad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusri Yusof di akhir kes pendakwaan.

Yusri, 35, dituduh menggunakan kekerasan jenayah ke atas inspektor wanita berumur 24 tahun itu dengan niat mencabul kehormatannya di pejabatnya di sini pada 5.35 petang, 26 Mei 2009.

Yusri, yang sebelum ini digantung tugasnya, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Aishah ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah mendapati keterangan mangsa tidak konsisten dengan laporan yang diberikan.

"Terdapat percanggahan keterangan yang diberikan oleh mangsa dalam kes ini kerana berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa menyatakan bahawa dia dipeluk dari arah belakang dan cuba dicium di pipi kanan serta peha kanannya diusap sebanyak dua hingga tiga kali oleh tertuduh.

"Sebaliknya, ketika pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, mangsa tidak dapat mengesahkan sama ada dia dipeluk atau tertuduh hanya memegang bahunya".
Aishah berkata, mangsa juga dilihat teragak-agak untuk menjawab dan tidak yakin untuk memberi jawapan ketika pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

Selain itu, keterangan mangsa tanpa keterangan sokongan tidak dapat membuktikan
tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah ke atasnya.

"Tindakan mangsa yang tidak memaklumkan kejadian yang berlaku ke atas dirinya dengan serta-merta dilihat tidak munasabah kerana sebagai pegawai polis, mangsa mempunyai pengetahuan bahawa apa yang terjadi kepada dirinya adalah salah di sisi undang-undang dan mangsa sememangnya ada banyak peluang untuk bercerita masalah yang dihadapi dengan rakan sebiliknya," katanya.

Sepanjang perbicaraan, empat saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Choong Kak Sen manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Laden. - BERNAMA

Kes Sosilawati: Rumah & Pejabat Tertuduh Disita

Posted: 22 Dec 2010 05:25 AM PST

Rumah dan pejabat tertuduh kes bunuh Sosilawati disita

Gambar: PEJABAT peguam di Jalan Kemboja, 33 Off Jalan Sultan Ahmad Shah di Banting milik peguam Patmanaban (gambar kecil) yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh Sosilawati.

KUALA LUMPUR - Polis telah mendapat perintah mahkamah untuk menyita rumah dan pejabat peguam N.Pathmanabhan yang dituduh membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, berkuatkuasa 16 Dis lepas.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan berkata perintah yang diperoleh oleh Pasukan Petugas Khas Operasi/Anti Keganasan Bukit Aman itu, bagi membolehkan siasatan dibuat berhubung satu laporan polis di Teluk Panglima Garang membabitkan kes pengubahan wang haram.

Menurut kenyataan itu, Timbalan Pendakwa Raya telah memutuskan untuk melaksanakan tindakan penyitaan terhadap satu unit rumah teres dua tingkat dan satu unit bangunan pejabat tiga tingkat, kedua-duanya terletak di Banting, Selangor.

Pada 13 Okt lepas, Pathmanabhan, 41, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 19, R. Matan, 20, dan R.Khatavarayan, 30, dituduh membunuh Sosilawati bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di satu kawasan di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, pada 30 Ogos lepas.

Kes itu akan didengar semula pada 27 Jan tahun depan.-Bernama

Kelantan Anjur Nikah Perdana Libatkan 100 Pasangan

Posted: 22 Dec 2010 04:35 AM PST

Kelantan peruntuk RM300 ribu anjur nikah perdana

KOTA BHARU, 22 Dis: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menganjurkan program perkahwinan perdana yang julung kali diadakan di Kelantan pada 25 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, program berkenaan berkenaan diadakan lebih berbentuk kebajikan bagi membantu golongan belia dan beliawanis berkahwin.

"Peruntukan itu termasuk membiayai mas kahwin, jamuan dan peralatan perkahwinan.

"Seramai 100 pasangan akan mengambil bahagian pada program itu yang akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya di sini.

Menurutnya, mas kahwin sebanyak RM1,000 disediakan kepada pasangan terbabit.

Katanya juga pasangan orang kelainan upaya (OKU) turut mengambil bahagian.

"Kita juga berusaha mendapatkan Emas Dinar sebagai sebahagian dari mas kahwin pada majlis berkenaan," katanya.

Wan Ubaidah berkata, program berkenaan diadakan bertujuan memberi galakan kepada golongan muda berkahwin bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala kurang sihat.

Menurutnya mas kahwin sebanyak RM1,000 dicadangkan Menteri Besar supaya umat Islam mendapat keberkatan.

"Jangan menyusahkan soal perkahwinan kerana mas kahwin yang terlalu tinggi boleh mengundang gejala tidak sihat," ujarnya.

Pada majlis berkenaan pengantin lelaki akan berkumpul di Masjid Muhammadi bermula jam 7 pagi. Kemudian mereka akan diiringi perarakan motosikal klasik dan Persatuan Kereta Viva Kelantan ke Putik.

Manakala pengantin perempuan akan menunggu pasangan masing-masing di Putik. Majlis akad nikah akan disempurnakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. -harakahdaily

[Bergambar] 4 Terbunuh Dalam Kebakaran Di Pulau Pinang

Posted: 22 Dec 2010 02:20 AM PST

Empat terbunuh dalam kebakaran di Pulau Pinang awal pagi ini

Gambar: Orang ramai menyaksikan anggota Bomba dan Penyelamat mengawal kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan Perak di sini awal pagi tadi.

GEORGE TOWN - Empat sekeluarga terbunuh dalam satu kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Perak di sini, awal pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) Pulau Pinang Mohd Razam Taja Rahim berkata, mayat Geoh Siew Keow, 56, serta dua anaknya Neoh Li Hong, 18, dan Neoh Soo Aik, 16, ditemui di dalam bilik air tingkat atas rumah itu.

Beliau berkata, seorang lagi wanita, Lim Chye Hwa, 73, yang ditemui di tingkat bawah rumah itu pula meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Katanya bomba menerima panggilan pada kira-kira pukul 2.50 pagi, dan semasa kejadian tiga beranak itu dikatakan sedang tidur di tingkat atas rumah, manakala dua lagi penghuni tidur di tingkat bawah.

"Kami berjaya selamatkan pemilik rumah Neoh Hooi Poh, 59, di tingkat bawah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata, lima jentera bomba dari Jalan Perak, dan masing-masing satu dari Bagan Jermal, Lebuh Pantai dan Paya Terubong dengan kekuatan kira-kira 35 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Api merebak dengan pantas kerana rumah itu dipenuhi dengan banyak bahan mudah terbakar, ia menyimpan banyak peralatan untuk sembahyang kaum Cina, kami berjaya kawal kebakaran dalam masa kira-kira 15 minit," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. -BERNAMA







Tiada ulasan: