Ahad, 19 Disember 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kempen 1 Juta Untuk Deklarasi 6 Perkara

Posted: 19 Dec 2010 12:45 AM PST

Kempen 1 juta tandatangan untuk demokrasi

Pakatan Rakyat bercadang untuk melancarkan kempen untuk mengumpul satu juta tandatangan untuk Akta Pemulihan Demokrasi yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam konvensyen keduanya di Kepala Batas hari ini, Pakatan berkata ia akan melancarkan kempen tersebut pada 1 Januari sehingga akhir Februari tahun depan untuk mengumpul tandatangan tersebut.

Dalam satu deklarasi yang diedarkan kepada media pagi ini, Pakatan berkata, ia menyedari perlunya untuk menyelamatkan negara ini.

Sambil mengikrarkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, rakyat dan negara, Pakatan menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan BN untuk menggubal akta tersebut, berdasarkan kepada enam isu penting.

Enam isu tersebut ialah:

1. Menghapuskan semua deklarasi darurat.
2. Memansuhkan semua undang-undang anti-demokratik.
3. Menghormati perjanjian untuk membentuk Malaysia bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak.
4. menjamin integriti pilihanraya umum.
5. Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.
6. Mewujudkan kebebasan akhbar. -mk

Bank Of America Hentikan Transaksi Wikileaks

Posted: 19 Dec 2010 12:00 AM PST

Bank Amerika hentikan semua transaksi WikiLeaks

WASHINGTON: Bank of America, bank terbesar di Amerika Syarikat (AS) semalam menghentikan semua transaksi perbankan WikiLeaks, mengikuti langkah yang diambil institusi lain yang menolak proses pembayaran menerusi internet bagi laman web yang mendedahkan rahsia kerajaan Amerika itu.

"Bank of America bersama dengan pihak lain, MasterCard, PayPal, Visa Europe dan sebagainya untuk tidak lagi memproses sebarang bentuk transaksi kepada WikiLeaks," kata bank itu dalam satu kenyataan.

"Keputusan ini diambil berdasarkan sebab yang konkrit bahawa WikiLeaks membabitkan diri dalam aktiviti yang antaranya tidak sejajar dengan polisi dalaman kami," katanya.

Tindakan itu dibuat selepas pengasas WikiLeaks, Julian Assange mendakwa dalam satu temubual bersama Majalah Forbes bahawa satu kejutan paling hebat membocorkan maklumat membabitkan institusi bank di Amerika akan dilakukannya, awal tahun depan.

Assange semalam juga memberitahu, beliau akan berusaha mendapatkan dana awam dan antarabangsa bagi memastikan laman webnya itu terus berfungsi.

Pelajar Tkn 2 Dibunuh Di Kebun Kelapa Sawit

Posted: 18 Dec 2010 10:30 PM PST

SMS akhir

BATU PAHAT: Mangsa pembunuhan kejam yang ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin, dikatakan sempat menghantar SMS nyawanya terancam kepada seorang rakan ketika kejadian, Rabu lalu.

Malangnya, mangsa, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra Tongkang Pechah, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, gagal memberi lokasi menyebabkan rakannya itu tak dapat memberikan bantuan dan mendiamkan diri.

Nenek mangsa, Mailiah Idris, 62, berkata perkara itu dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila dia mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang.

"Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang.

"Selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan menganggap dia terus membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Tongkang Pechah.

"Bagaimanapun, apabila ibu bapanya pulang dan mencarinya, barulah kami sedar kehilangannya dan membuat laporan polis di balai Tongkang Pechah keesokannya," katanya.

Menurutnya, selain membuat laporan polis bapa arwah menghubungi beberapa rakan dan salah seorang daripada mereka memberitahu, arwah sempat menghantar SMS mengatakan dia akan dibunuh.

Bagaimanapun, katanya, rakannya itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana arwah tidak sempat memberitahu lokasi dia berada.

"Kami hanya tahu arwah berada di kebun sejauh kira-kira 100 meter dari rumah apabila sepasukan polis datang ke kawasan itu jam 5 petang kelmarin," katanya.

Mak cik mangsa, Arina Syairah Muhammad Fauzi, 18, berkata dia bermimpi arwah bergelut dengan lelaki selama tiga malam berturut-turut, sebelum diberitahu arwah ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kebun kelapa sawit.

Katanya, kali terakhir dia bertemu mangsa Jumaat lalu sebelum pergi ke Kuala Lumpur bersama rakan sekolah.

Menurutnya, bermula Ahad hingga Selasa, dia bermimpi arwah yang memakai kemeja-t berwarna merah jambu, bergelut dengan lelaki menyebabkannya bimbang dan menghubungi arwah pada Selasa lalu.

"Kali terakhir kami berbual, saya dapati dia ceria seperti biasa menyebabkan saya tidak menyangkakan apa-apa kejadian buruk akan berlaku terhadapnya.

"Bagaimanapun, saya diberitahu dia hilang sejak Rabu lalu seolah-olah mengiyakan mimpi buruk yang saya alami itu, sebelum ditemui meninggal dunia Jumaat lalu," katanya.

Menurutnya, mereka yang rapat sejak kecil tidak menyangka kejadian itu akan berlaku terhadap mangsa dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memberkas penjenayah terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, bapa mangsa membuat laporan polis kehilangan anak perempuan berusia 14 tahun Khamis lalu dan sepasukan polis menyiasat aduan berkenaan.

"Bagaimanapun, tengah hari kelmarin suspek berusia 15 tahun datang ke balai polis membuat laporan mengatakan dia melihat satu pembunuhan dilakukan seorang rakannya, di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, menyebabkan kami menahan suspek kedua berusia 16 tahun itu.

"Namun, hasil siasatan mendapati suspek pertama turut terbabit sebelum kami dibawa ke lokasi pembunuhan dan menemui mangsa pada kira-kira jam 5 petang kelmarin," katanya. -hm

TGHH : Jangan Untung Secupak Rugi Segantang

Posted: 18 Dec 2010 09:40 PM PST

Tinggalkan tafsiran sempit perkauman Umno

KEPALA BATAS, 19 Dis: PAS mengajak rakyat Malaysia meninggalkan tafsiran sempit perkauman Umno/Barisan Nasional dan menobatkan prinsip keadilan sejagat demi menyelamatkan masa depan negara.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berucap di majlis pembukaan konvensyen kedua Pakatan Rakyat pagi ini mahu rakyat menolak corak pemerintahan yang telah terbukti mencipta rekod buruk melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan di negara ini.

Islam, kata beliau mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Beliau turut menyelar permainan busuk media yang memutar belit pendirian PAS dan Pakatan Rakyat berhungan Islam dan Bahasa Melayu.

"Sengaja ditimbulkan tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah (dalam isu Melayu dan Islam).

"Hakikatnya kita (Pakatan) telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum," jelas beliau.

Berucap di hadapan lebih lebih dua ribu perwakilan dan pemerhati di dewan Milineum itu beliau mengingatkan para pemimpin dan anggota Pakatan Rakyat supaya sentiasa waspada dengan permainan pihak lawan yang sentiasa cuba menimbulkan keadaan tidak selesa dan perpecahan.

"Semua pihak perlu lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini agar jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang," kata beliau. -harakahdaily


Presiden PAS Akui Wujud Kelemahan Dalam Pakatan Pembangkang

KEPALA BATAS, 19 Dis (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui wujudnya kelemahan dalam Pakatan Pembangkang (PR) apabila terdapat beberapa anggotanya yang mula hilang tumpuan setelah diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata kelemahan itu merupakan cabaran terbesar yang perlu dihadapi dan sekaligus menyeru agar anggota parti bersatu dan tidak mudah tersasar daripada tujuan asal untuk melakukan perubahan menyeluruh kepada generasi akan datang.

Ada ketikanya Pakatan Pembangkang juga sering berhadapan dengan perbezaan pendapat dan pandangan dalam menyelesaikan pelbagai masalah, katanya dalam ucapan pada Konvensyen Pakatan Pembangkang Kedua sehari di Dewan Millenium di sini Ahad.

Konvensyen itu turut dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Selain itu, Abdul Hadi berkata PAS mengakui tidak mempunyai masa yang panjang untuk melaksanakan beberapa dasar yang dirangka oleh Pakatan Pembangkang kerana BN sentiasa mencari jalan meruntuhkan negeri pimpinan mereka.

Beliau berkata negeri pimpinan Pakatan Pembangkang tidak akan memberi makna dalam politik baru negara sekiranya gagal menunjukkan kaedah pemerintahan jauh lebih baik daripada negeri yang ditadbir oleh BN.

Sementara itu Lim ketika berucap di konvensyen itu berkata Pakatan Pembangkang telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Ia merupakan sesuatu yang sangat penting dan kritikal, dan kita telah bersedia sepenuhnya," katanya.

Dr Wan Azizah pula berkata konvensyen Pakatan Pembangkang kedua ini membuktikan parti dalam pakatan ini masih kukuh dan bekerjasama antara satu sama lain.

Beliau turut menafikan bahawa anggota parti Pakatan Pembangkang, PAS, DAP, PKR menghadapi masalah dalaman dan berada di ambang perpecahan.

"Dakwaan yang Pakatan Pembangkang merosot dan menghadapi masalah dalaman sehingga akan dibubarkan adalah salah, sebaliknya kami sentiasa bersatu dan konvensyen ini membuktikan PR masih kukuh," katanya pada sidang akhbar di konvensyen itu di sini.

Dr Wan Azizah berkata konvensyen ini juga akan mengeratkan lagi hubungan antara anggota dalam pakatan dan yakin mampu merancang pelbagai agenda untuk pengukuhan dalam pakatan tersebut. -- BERNAMA


Bayi Dalam Kandungan Remaja Yang Ditikam 19 Kali Kerja Siapa?

Posted: 18 Dec 2010 08:00 PM PST

Keluarga senyap

JOHOR BAHRU: Keluarga remaja perempuan berusia 17 tahun masih membisu siapa bertanggungjawab terhadap kehamilan anaknya yang masih berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas ditikam 19 kali dan disimbah asid oleh seorang lelaki dikenali, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, hingga kini pihaknya juga masih tidak menerima sebarang maklumat mengenai pasangan mangsa terbabit.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya terdapat keperluan, ia menjadi tugas pihak hospital bagi menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menurutnya, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat mendakwa suspek berusia 44 tahun ditahan kelmarin mempunyai sebarang kaitan dengan kandungan enam bulan mangsa yang disahkan meninggal dunia selepas remaja perempuan itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

"Mengenai soal sama ada suspek bertanggungjawab ke atas kehamilan mangsa, hanya dapat diketahui sekiranya ada ujian DNA dilakukan terhadap janin itu kerana hingga kini keluarga tidak memberi maklumat.

"Malah polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian kandungan mangsa itu," katanya yang enggan mengulas sama ada mangsa sudah berkahwin.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan kisah malang seorang bakal ibu berusia 17 tahun yang hamil terpaksa bertarung dengan maut di ICU akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki dikenali di rumahnya di Kampung Baru Sungai redan, Ulu Tiram, di sini, pagi kelmarin. -hm

Isu Ke PRK Tenang: Kerajaan UMNO BN Pasti Naikkan Harga Barang Lagi

Posted: 18 Dec 2010 06:57 PM PST

Harga barang keperluan terutama minyak dan gula bakal mengalami kenaikan harga lagi jika BN menang di Tenang, demikian tulis seorang pensyarah tempatan melalui email kepada GB.

Ini kerana, menurutnya, sudah jelas tanda-tanda bahawa wujudnya perancangan untuk menaikkan harga tersebut secara diam-diam oleh kerajaan UMNO BN sekalipun mereka cuba untuk menyembunyikannya daripada dihidu oleh rakyat.

Isu kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga petrol RON95 yang mengalami kenaikan lima sen seliter manakala gula pula 20 sen sekilogram (kg) sejak awal bulan ini — kenaikan kali kedua harga produk itu sejak Julai lalu, di bawah dasar pelarasan subsidi diperkenalkan pentadbiran Najib, juga perlu mendominasi kempen Pakatan Rakyat di PRK Tenang nanti.

Janji kerajaan UMNO BN ternyata palsu, janji yang tidak boleh dipercayai kerana belum pun sebulan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelumnya menyatakan "Harga minyak RON 95 dijangka tidak akan dinaikkan pada tahun ini", tambahnya.

Tetapi pada malam itu, 3 Disember 2010, 1Malaysia dikejutkan dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga minyak RON95 daripada RM1.85 kepada RM1.90 seliter dengan diiringi kenaikan harga diesel, gula dan LPG.

Ketua Muslimat PAS, Puan Nuridah Salleh pula menyatakan janji-janji pemimpin kerajaan BN ternyata tidak boleh dipegang kerana mereka hanya sekadar tahu berjanji tetapi tidak pula jujur dan tahu menunaikannya sejak dulu.

"Pada hal, 2 November 2010 yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak. Kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily sebelum ini.

Pembohongan kerajaan UMNO BN kepada rakyat.


"Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat. Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," kata Ismail Sabri seperti yang dilaporkan media tempatan.

Ternyata, janji Menteri berkenaan adalah palsu.

Sementara itu, Konges Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula telah menyifatkan kerajaan memilih cara "tembak curi" untuk mengumumkan pelarasan subsidi yang membawa kepada kenaikan harga bahan api dan gula.

Sehubungan itu badan induk pekerja itu berkata, langkah kerajaan yang diumumkan awal bulan ini amat dikesali kerana keputusan diambil tanpa mengadakan perbincangan dengan kesatuan sekerja, badan pertubuhan bukan kerajaan termasuk badan pengguna.

"Kerajaan memilih malam Jumaat 3 Dis untuk menaikkan harga bahan bakar petroleum dan harga gula.

"Ini untuk memastikan bahawa berita kenaikan harga bahan-bahan keperluan asas ini tidak serta-merta akan disambut oleh para wakil rakyat di Parlimen.


"Kali ini kerajaan telah memilih cara 'tembak curi' tanpa banyak perbincangan dan memberi maklumat awal," kata Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dalam satu kenyataannya.

Katanya, sebelum ini pegumuman kenaikan harga bahan bakar petrol dibuat ketika sidang Parlimen ditangguh.

"Amat jelas tarikh dan masa dipilih sebagai taktik pengolahan berita untuk memastikan berita ini akan tenggelam dan diharapkan orang ramai akan lalai dan tidak marah.

"Setelah diumumkan kenaikan harga ini para menteri yang bertanggungjawab dan menteri yang lain terus 'padam' tidak memberikan apa-apa pandangan.

"Seolah-olah adanya arahan agar berita kenaikan harga barangan ini tidak dibincangkan secara meluas,"
kata Syed Shahir.

Beliau mendakwa satu pekara yang amat jelas ialah bagaimana berita kenaikan bahan asas ini diolah untuk memperdaya pandangan orang ramai.

Katanya lagi, perkataan seperti keseragaman harga, penyelarasan harga, penarikan subsidi, rasionalisasi harga telah digunakan.

"Perkataan 'naik harga' terus tidak muncul dalam akhbar dan media.

Oleh itu sewajarnya, menurut ramai aktivis masyarakat, UMNO BN ditolak di dalam pilihanraya kecil Tenang nanti sbagai protes rakyat terhadap mereka yang bertindak menzalimi rakyat.

Untuk sebaran sempena PRK Tenang

Imam Hilang Dibaham Buaya

Posted: 18 Dec 2010 05:50 PM PST

Mangsa sedang tangkap udang ketika disambar reptilia ganas

PENDUDUK kampung membaca surah Yassin di Sungai Samarahan, Kampung Reban, semalam.

SAMARAHAN: Seorang imam sempat menghadiri majlis tahlil jirannya sebelum dibaham buaya besar ketika menangkap udang di Sungai Samarahan berhampiran Kampung Reban, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, Sidi Samad, 66, dikatakan sedang menangkap udang di sungai berdekatan rumahnya sebelum buaya dianggar sepanjang hampir enam meter membaham bahagian pinggang mangsa.

Beberapa penduduk yang berada di tempat kejadian melihat mangsa bergelut sebelum dilambung dan dihempas sebanyak tiga kali oleh reptilia ganas itu yang kemudian menghilangkan diri di tengah sungai.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian jam 11 pagi sebelum operasi mencari dilancarkan bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan bomba.

"Mangsa kali terakhir dilihat berdekatan tebing sungai menangkap udang sebelum dilaporkan diserang buaya yang muncul secara tiba-tiba. Air sungai keruh selain arus deras menyukarkan operasi mencari. Saya meminta penduduk tidak bertindak terburu-buru termasuk cuba menembak buaya berkenaan kerana ia boleh membahayakan," katanya.

Difahamkan, beberapa penduduk kampung dilihat turun ke sungai menaiki bot dan turut membawa senapang patah, manakala ada yang melaungkan azan di tengah sungai sambil menurunkan mata kail besar yang kemudian dihanyutkan. Beberapa ahli keluarga mangsa juga membaca surah Yassin berdekatan lokasi kejadian.

Isteri Sidi, Dayang Sara Awang Sahrol, 64, berkata suaminya tidak sempat bersarapan dan hanya minum kopi sebelum turun ke sungai di hadapan rumah mereka jam 6.45 pagi.

"Selepas berkahwin hampir 45 tahun, malam semalam (kelmarin), dia beria-ia mengajak saya ke surau menghadiri majlis tahlil jiran yang baru meninggal dunia. Suami juga ada menyuarakan hasrat membawa saya menunaikan umrah, April depan dan kami sedang berusaha mengumpul wang," katanya sedih.

Anak mangsa, Musa, 38, yang melihat ayahnya disambar buaya, berkata kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan penduduk yang berada di tebing tidak dapat berbuat apa-apa.

"Saya melihat kaki ayah dalam mulut buaya sebelum dia dilambung di tengah sungai sebelum berlari ke rumah bagi memaklumkan ibu dan meminta pertolongan," katanya. -BH

Sah, Taib Mahmud Nikahi Gadis Lubnan 28 Tahun

Posted: 18 Dec 2010 04:50 PM PST

Kuching: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selamat dinikahkan dengan seorang wanita Lubnan berusia 28 tahun dalam majlis tertutup yang diadakan di kediaman rasminya, di sini, malam tadi.

Gambar: KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selamat dinikahkan dengan gadis Lubnan berusia 28 tahun (gambar kecil) di Kuching, malam tadi.

Terdahulu, anggota keselamatan yang bertugas di kediaman Taib memaklumkan satu majlis tertutup diadakan dengan pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

Majlis itu hanya dihadiri orang kenamaan dan ahli keluarga terdekat bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat yang turut dihadiri kira-kira 200 tetamu khas.

Antara orang kenamaan yang dilihat masuk seawal jam 6 petang ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Openg; Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Penasihat Khas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Mohd Naroden Majais dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Taib dan isteri, seorang wanita Lubnan dinikahkan Mufti Sarawak, Kipli Yassin, kira-kira jam 9.30 malam dengan satu majlis persandingan sederhana turut diadakan di ruang utama kediaman rasmi beliau. Antara saksinya, anak kedua Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir.

Majlis tepung tawar mempelai dan persembahan hadrah dan berzanji turut diadakan ketika Taib dan isteri bersanding dengan kenalan dan keluarga terdekat diberi peluang menepung tawar pasangan.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Amin Sahmat yang ditemui pihak media, memaklumkan majlis itu adalah tertutup dengan hanya jemputan khas dibenar memasuki kediaman Ketua Menteri.

"Ini hanya majlis doa selamat, pengumuman lanjut akan dibuat kemudian dengan majlis kepada umum akan diadakan pada Januari," katanya.

Bagaimanapun, Amin enggan mengulas lanjut mengenai majlis yang sebelum itu dipercayai adalah bagi meraikan pasangan Taib dan pilihan hatinya itu. -BH

[Bergambar] 10 Tempat Di Dunia Yang Serasa Di Planet Lain - updated

Posted: 18 Dec 2010 03:10 PM PST

Tempat-Tempat Yang Serasa Di Planet Lain

Di beberapa bahagian di atas dunia ini kedapatan tempat-tempat yang unik dan aneh yang jarang ditemui di mana-mana bahagian di atas dunia - hanya di situ. Ia menjadikan kita persis berada di planet lain.

Ia adalah tanda-tanda kebesaran Ilahi yang tidak dapat ditandingi oleh makhlukNya. Ia mengajak kita untuk merenung nikmat Allah yang banyak dan entah bila kita akan dapat menyaksikannya dengan mata kepala sendiri, namun alam siber memungkinkan kita untuk melawatinya secara maya. Inipun sudah merupakan satu nikmat yang tak terhingga dari Dia...


1. Dry Valleys - Antartika




Lembah Kering di Antartika ini memiliki lantai berupa kerikil, dan dikatakan bahawa pemandangan yang anda dapat saksikan di tempat ini tidak jauh jadi pemandangan di Mars. Pemandangan yang luar biasa ini akan anda temukan di Antartika, dan sama sekali tidak mendapat salji, sekaligus merupakan satu-satunya tempat tanpa ais di Antartika. Kdang-kala di dasar lembah ini terdapat danau ais yang tebalnya mencapai beberapa meter. Dan dibawah danau ini, terdapat air yang sangat masin, dan yang lebih ajaib lagi, ternyata di dalam air tersebut ada makhluk hidup yang boleh hidup!

2. Socotra Island - Lautan Hindi



Jika anda berkesempatan mengunjungi pulau ini, anda boleh dengan mudah berbohong bahwa anda baru saja diculik Alien, pemandangan Pulau Socotra yang sudah terpisah dari benua terdekat, benua Afrika selama 6 atau 7 Juta tahun ini, sangat unik. Apalagi di pulau ini terdapat 700 flora spesies flora dan fauna paling jarang ditemui di dunia.

Tapi jangan berharap boleh tinggal, iklim dipulau ini sangat keras, panas, dan kering banget. Pantai di pulau ini banyak sekali terdapat gua, bahkan salah satu gua mencapai panjang 7 km, dan gunung di pulau ini mencapai tinggi 1525 meter, dan bahkan beberapa tanaman usianya mencapai 20 juta tahun.

3.Rio Tinto - Sepanyol



Lombong terbuka Rio Tinto ini menampilkan pemandangan yang luar biasa indah plus aneh, sehingga pemandangan yang ada semakin mirip dengan bulan. Pertumbuhan dari lombong ini tidak hanya memakan gunung dan lembah yang ada, bahkan sampai semua penduduk desa di dekat tambang tersebut harus dipindahkan ke kota terdekat. Air merah di sungai Rio Tinto ini sangat masam dan tinggi kandungan logam beratnya.

4. Klikuk, the Spotted Lake - Kanada




Pada saat musim panas, air di danau ini, berwap dan meninggalkan mineral yang ada mengkristal, dan membentuk berbagai kolam kecil dengan berbagai warna, yang pada umumnya adalah biru dan hijau. Kandungan mineral yang ada dalam air dan lumpur sangat membantu mengurangi rasa sakit, sehingga suku Indian setempat sering menggunakan tempat ini sebagai tempat untuk merawat anggota mereka yang terluka.

5. Salar de Uyuni - Bolivia




Adalah tempat yang mungkin paling indah (sekaligus aneh) di dunia. Daerah dengan padang garam terbesar di dunia, termasuk juga gunung berapi yang aktif, dan dataran geyser, dengan berbagai fatamorgana unik yang membuat anda merasa tinggal di planet lain.

6. Vale da Lua - Brazil



Terjemahan dari nama tempat ini adalah Lembah Bulan, yang merupakan lembah batu yang terkikis air, dan meninggalkan banyak 'kolam renang alami'. Batuan yang ada di lembah ini adalah batuan tertua di dunia, yang dibentuk dari quartz dengan pinggiran berupa kristal.

7. Blood Pond Hot Spring - Jepun



Mata Air Panas Kolam Darah, adalah salah satu 'neraka' di Beppu, Jepun. Sembilan mata air panas alami yang muncul ditempat ini sangat indah, tapi mungkin tidak untuk mandi. 'Neraka kolam darah' ini memiliki air dengan warna merah akibat kandungan besi di dalamnya. Serasa di Mars ya?

8. The Stone Forest - China



Hutan Batu yang dalam bahasa aslinya dibaca Shilin, adalah batuan alami yang dibentuk dari air yang terus menerus menggelegak menerpa permukaan dan mengikis bebatuan yang ada dan meninggalkan bentuk berupa tiang-tiang alami. Daerah ini ternyata dikenal semenjak dinasi Ming dan dianggap sebagai 'Keajaiban Dunia Pertama'

9. The Richat Structure - Mauritania



Permukaan tanah yang luar biasa ini berada di bahagian Barat Daya gurun Sahara, dan disebut sebagai Richat Structure, dan begitu besar (diameternya mencapai 50km) sampai dapat dilihat dari luar angkasa. Bentuk lingkaran yang ada juga masih belum dapat dijelaskan oleh para ilmuwan

10. Eisriesenwelt Ice Caves - Austria



Gua Ais ini berbeza sekali dengan gua biasa. Begitu anda masuk, panahan cahaya yang ada akan membuat anda merasa tidak sedang berada dalam planet ini, tapi sedang menjelajah ke planet lain. Gua Eisriesenwelt ini adalah gua terbesar yang ada dan dapat mencapai panjang 40km. -uniksaja/GB


Piala Suzuki: Malaysia Melangkah Ke Perlawanan Akhir

Posted: 18 Dec 2010 06:18 AM PST

Piala Suzuki: Malaysia mara ke final

KUALA LUMPUR: Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF selepas 14 tahun apabila mengatasi Vietnam dengan agregat 2-0 pada saingan separuh akhir sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan sekadar seri tanpa jaringan pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi.

Malaysia menewaskan juara bertahan itu 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu. -BH




Pemuda PAS Edar Risalah Protes Kenaikan 4-dalam-1

Posted: 18 Dec 2010 06:00 AM PST

Pemuda PAS edar risalah protes kenaikan 4-dalam-1

PAS memulakan kempen memprotes kenaikan harga 4-dalam-1 dengan mengedar risalah kepada pengunjung gedung membeli-belah di ibu kota lewat petang ini.

Kempen berkenaan dijalankan oleh lebih 10 orang anggota pergerakan pemuda PAS Selangor dan Wilayah Persekutuan di kawasan yang menjadi tumpuan ramai pembeli di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kempen itu diadakan bagi menuntut kerajaan membatalkan kenaikan harga petrol, diesel, gas dan gula pada 3 Disember lalu.

Risalah berkenaan antara lainnya menyebut "rakyat bantah kerajaan BN kurangkan subsidi dan naikkan harga gas RM1.90 (naik 5 sen), gula RM2.10 (naik 5 sen), minyak ron 95 (naik 5 sen) dan minyak diesel RM 1.80 (naik 5 sen)."

Selain itu, ia turut membangkitkan kesan daripada peningkatan harga barang keperluan berkenaan.

"Apa kesannya? Harga teh tarik naik, tambang bas naik, khidmat kesihatan semakin mahal, yuran sekolah semakin tinggi," kandungan risalah itu dipetik.

Ketua penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman yang mengetuai program berkenaan berkata, pergerakan itu pada awalnya bercadang untuk mengadakan demonstrasi bagi menyuarakan bantahan berkenaan, tetapi kemudiannya memutuskan untuk menjalankan program mengedar risalah sahaja.

"Cukuplah sekadar kami mengedarkan risalah kerana impak lebih berkesan dapat (melalui) edar risalah dan menyebarkan maklumat terus kepada masyarakat berbanding demonstrasi," kata Fadhil lagi ketika ditemui di situ.

Tambahnya, program itu juga merupakan satu kejayaan apabila kira-kira 2,000 risalah berkenaan berjaya diedarkan dalam program berkenaan.

"Saya rasa kehadiran anggota polis ramai pada hari ini mungkin mereka fikir kita akan adakan demo agaknya. (Tapi) mereka tak ganggu kita edar risalah," katanya lagi dengan berseloroh.

Fadhil berkata demikian ketika mengulas kehadiran kira-kira lebih 10 orang anggota polis yang berkawal di luar perkarangan Kompleks Sogo sejak jam 4.15 petang lagi. -mk

Ramai Pasangan Bercerai, Program Realiti Mari Menari Punya Pasal

Posted: 18 Dec 2010 04:32 AM PST

Tekanan, konflik bawa padah Oleh Nor Raihan Abu Bakar dan Rossalynn Ismail

SATU demi satu rumah tangga pasangan program realiti tari-menari popular menuju kehancuran. Ketika pasangan pertama mengumumkan perceraian mereka selepas musim pertama, kita terkejut kerana mereka kelihatan begitu bahagia, mesra dan intim seperti mana dipamerkan dalam gerakan tarian mereka.

Apabila pasangan kedua dan ketiga mengumumkan perkara sama, kita mula simpati dan tidak faham mengapa ia perlu terjadi kepada pasangan program ini. Namun, selepas pasangan selanjutnya mengumumkan berita kehancuran rumah tangga mereka, kita mula terdetik bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan program realiti berkenaan.

Namun, tidak ada sesiapa peduli untuk menyelidiki atau bersuara mengenai kemusykilan ini. Stesen televisyen ghairah mempromosi rancangan itu sementara masyarakat Melayu tanpa berfikir dan melulu memberi sambutan hangat kepada program berkenaan sehingga menjadikannya sebuah program realiti popular.

Beberapa hari lalu, kita sekali lagi dikejutkan dengan berita perpisahan pasangan penari program berkenaan. Harian Metro menggunakan perkataan 'badi' untuk menggambarkan akibat yang menimpa peserta yang pernah menyertai program ini. Sehingga hari ini tujuh pasangan peserta program berkenaan berpisah kerana dikatakan tidak wujud lagi persefahaman.

Fenomena di seluruh dunia menunjukkan program televisyen berbentuk realiti sentiasa mendapat tempat di hati penonton. Program tanpa skrip yang menonjolkan kehidupan sebenar perjalanan seseorang dalam mencapai kemenangan dan menerima ganjaran wang tunai secara pintas ini begitu digemari. Ia begitu dekat di hati penonton memandangkan penonton dijemput untuk turut serta melalui undian SMS.

Dalam program ini pasangan peserta yang tidak pandai menari dan sesetengah tidak pernah menari diberi tugasan untuk pelbagai jenis tarian untuk mencapai kemenangan. Kemenangan menjanjikan ganjaran kewangan ini bukan saja menjadi milik mereka, tetapi akan disumbangkan kepada badan kebajikan terpilih.

Sebagai nilai tambah untuk program realiti tarian ini, peserta merupakan pasangan artis atau selebriti yang sudah mempunyai peminat dan pengikut tersendiri.

Hakikat program ini tidak jauh berbeza dengan program realiti popular seperti Survivor, Big Brother atau The Amazing Race. Program seumpama ini meletakkan peserta dalam keterpaksaan.

Dalam program tari-menari ini peserta telah diletakkan dalam 'tekanan yang sangat tinggi' dan berada dalam satu 'konflik'. Tekanan dan konflik ini berlaku kerana pesertanya diperlukan untuk melakukan gerak-geri tarian yang sempurna dan hebat umpama penari profesional. Walaupun mereka ini pada dasarnya mahu dan rela untuk berbuat demikian, hakikatnya mereka tidak mampu dan melawan fitrah jiwa mereka sendiri.

Perlu diingat, menari dan tarian adalah satu bentuk seni halus. Seorang penari melakukan gerak-geri tarian sebagai medium untuk mereka meluahkan perasaan, cara mereka untuk mengekspresi diri. Dari segi psikologi, mereka menari disebabkan 'intrinsic motivation' iaitu untuk mencari kepuasan diri.

Apa yang berlaku kepada penari program realiti berkenaan pula ialah mereka menari, melakukan pelbagai gerakan tarian semata-mata kerana 'extrinsic motivation' iaitu untuk mendapatkan ganjaran di akhir rancangan. Mungkin benar mereka berbuat demikian untuk membantu badan kebajikan, tetapi ia motivasi luaran. Motivasi ini meletakkan mereka dalam keterpaksaan dan konflik tanpa sedar.

Selain itu, peserta program ini juga menerima tekanan daripada jurulatih mereka. Dalam program ini, bukan saja pesertanya, malah jurulatih tarian juga akan menerima ganjaran jika berjaya melahirkan juara. Keadaan yang mendesak ini menyebabkan jurulatih sentiasa menekan peserta untuk melakukan gerakan tari profesional dan sempurna.

Dalam masa seminggu, peserta dilatih tubi dan didesak untuk mencapai kesempurnaan dalam tarian. Tidak sedikit tekanan dihadapi peserta daripada pengadil. Walau bagaimana pun, peserta menganggap diri mereka profesional dan mempunyai minda terbuka, namun sebagai manusia perasaan tersentuh dan terhiris ketika menerima kritikan di hadapan ramai.

Harapan dan undian SMS daripada penonton menambahkan lagi tekanan kepada peserta program ini. Mereka sentiasa perlu melakukan tarian sempurna untuk memastikan undian berterusan. Sebagai selebriti yang menjadi idola dan ikutan peminat, pasti mereka mahu kelihatan hebat dan sempurna.

Situasi ini telah meletakkan mereka dalam 'extreme stress'. Satu tekanan yang sebenarnya tidak perlu dan tidak sepatutnya mereka hadapi. Mereka seolah-olah dilontarkan dengan pelbagai tekanan secara tiba-tiba dan tidak semena-mena.

Menurut Sigmund Freud, personaliti manusia terdiri daripada tiga struktur iaitu 'id', 'ego' dan 'superego'. 'Id' berada dalam keadaan luar sedar. 'Id' menyimpan kehendak primitif dan 'instinct' yang tersembunyi dalam diri seseorang. Walau bagaimanapun, kadang kala, 'id' akan terkeluar dan terdedah walaupun bukan dengan kehendak kita. Dalam perkataan lain, 'id' selalunya tersembunyi dalam diri kita.

'Ego' pula bertanggungjawab untuk mewajarkan dan mengawal 'id' sementara 'superego' bertindak dengan prinsip moral dan etika. Dalam bahasa lebih mudah, 'id' boleh dikatakan sebagai nafsu, 'ego' pula akal sementara 'superego' adalah kepercayaan atau keimanan.

Dalam konteks program realiti ini, peserta telah diberikan satu tekanan untuk mencapai kejuaraan. Mereka sanggup melakukan apa saja bagi memastikan kemenangan masing-masing. Tekanan ini menyebabkan 'ego' dan 'superego' tidak lagi berperanan. 'Id' mahukan kemenangan dan 'id' melakukan apa saja untuk memastikan kemenangan.

Ini diterjemahkan apabila pasangan penari ini meluahkan perasaan marah, tidak puas hati dan sakit hati terhadap pasangan masing-masing tanpa toleransi dan ihsan. Dalam satu program yang berkonsep sama baru-baru ini, si suami secara selamba mengutuk dan menceritakan kelemahan isterinya di hadapan kamera!

Kebanyakan pasangan peserta program adalah pasangan suami isteri yang masih muda dan baru saja melayari alam perkahwinan. Pasangan muda ini masih lagi dalam proses mengenali hati budi dan masih dengan harapan yang manis terhadap alam perkahwinan.

Namun pertengkaran dan pertelingkahan mereka untuk mencapai kesempurnaan gerak tari ini telah mendedahkan rupa sebenar pasangan masing-masing. 'Id' yang terdedah telah menonjolkan kelakuan, tingkah laku dan emosi sebenar pasangan masing-masing. Keadaan ini tentunya mengundang rasa keliru, sedih dan kecewa sehingga mereka tidak mahu menerima personaliti sedemikian lantas terjadilah perpisahan.

Adalah sangat malang bahawa pasangan penari program ini terpaksa memasuki episod yang menyedihkan dan tidak perlu dalam hubungan mereka. Dalam perkahwinan, tidak pernah ada isu kecil. Setiap tutur kata, setiap gerak dan langkah mempunyai kesan besar. Sejak dari awal, mereka sebenarnya tidak patut bertengkar atas perkara tidak ada kaitan langsung dengan rumah tangga mereka.

Dulu, kita tidak pernah terfikir bahawa akan wujud satu program televisyen di luar lingkungan norma dan budaya masyarakat kita. Kita tidak pernah terfikir akan adanya program dengan persembahan yang kurang tertib - melompat dan meloncat di kalangan pelakunya.

Selama ini, kita mungkin tidak pernah membayangkan akan dihidangkan dan menikmati program televisyen dengan episod suami dan isteri marah memarahi, kutuk mengutuk dan aib mengaibkan antara satu sama lain!

Mungkin inilah yang dikatakan realiti sebuah program realiti. Namun, harus diingat program realiti tidak mendukung prinsip realiti sebenar kerana ia sering dimodifikasi dengan elemen sensasi serta konflik untuk memancing penonton dan iklan. Pesertanya sering diletakkan dalam situasi 'eksotik' dan 'luar biasa' yang kemudian dirakamkan penerbit 'off screen' dan sekali lagi dimanipulasi melalui suntingan dan teknik.

Program realiti bukan benar-benar realiti. Realiti sebenar ialah apabila seseorang bernikah, suami dan isteri menjadi satu bahagian. Pernikahan bagaikan pakaian kepada mereka. Fungsi pakaian menutup aurat. Ini bererti suami dan isteri harus menutup aib pasangan.

* Penulis adalah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka.

TGNA Saran Guna Al-Quran Sepakatkan Pakatan Rakyat

Posted: 18 Dec 2010 02:00 AM PST

Ambil pedoman Al Quran sepakatkan Pakatan

KOTA BHARU, 18 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru anggota konvensyen Pakatan Rakyat mengambil pedoman dari falsafah yang ditonjolkan Islam menerusi al-Quran bagi menjaga kesepakatan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Tuan Guru juga seterusnya berkata, bersesuaian dengan Islam agama perpaduan, anggota Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan Pakatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan harapan kepada perwakilan Konvensyen Ke-2 Pakatan Rakyat yang bakal berlangsung pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

2000 perwakilan dan pemerhati dari PAS, PKR dan DAP akan menyertai konvensyen yang akan diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas bermula jam 8.30 pagi hingga malam itu.

Konvensyen ini dijangka mempersembahkan cerita kejayaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir beberapa negeri di samping merancang bersama persiapan menghadapi pilihan raya.

"Anggota konvensyen perlu mengambil pedoman daripada falsafah al-Quran itu sendiri sebagai penghubung penyelesaian ummah di samping meletakkan asas keagamaan teratas dalam menguruskan Pakatan Rakyat,"ujarnya lagi.

Beliau seterusnya berkata, Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza.

Sebagai contoh katanya, 10 manusia yang diciptakan Allah, didapati 10 kepala (pemikiran) yang bebeza.

"Bagaimanapun, rupa yang berbeza dan pendapat yang berbeza itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan al-Quran, kerana Islam itu untuk semua," ujarnya lagi.

Katanya, manusia akan selamat kehidupan mereka dunia dan akhirat sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

BERIKUT KENYATAAN PENUH NIK ABDUL AZIZ

KENYATAAN RASMI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Harapan Konvensyen PR ke-2: Islam sebagai asas

Bersempena dengan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang ini, semua pimpinan dan perwakilan hendaklah mengambil pedoman dari falsafah kesepakatan menurut Islam, iaitu mengutamakan peri pentingnya menjaga hubungan sesama anggota di dalam Pakatan Rakyat.

Ia juga bersesuaian dengan keutamaan ajaran Islam sebagai agama perpaduan, maka Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan kesepakatan politik.

Pimpinan dan perwakilan parti-parti Pakatan Rakyat––PAS, KEADILan dan DAP––yang menghadiri konvensyen itu nanti perlulah mengambil pedoman daripada maksud al-Quran yang sewajarnya dijadikan rujukan dan penghubung di dalam penyelesaian permasalahan ummah. Justeru ajaran Islam dan asas-asas keagamaan dapat dijadikan rujukan utama dalam menguruskan kesepakatan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat.

Bagi PAS, amat meyakini bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza-beza. Misalnya, sepuluh manusia yang diciptakan Allah, didapati sepuluh kepala (pemikiran) yang bebeza. Bagaimanapun, perbezaan itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai panduan, kerana Islam itu untuk semua kaum. Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 103):

Bermaksud: "...dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara..."

Sewajarnya juga kita mengambil pengajaran dari sabda Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: "Janganlah saling benci membenci, saling iri hati dan saling membuat keracunan. Jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak boleh seorang Muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari."

Demikian lagi, firman Allah SWT (surah al-Maidah ayat 48):

Maksudnya: "Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya"

Oleh itu, atas nama kesepakatan politik yang berpandukan hubungan antara parti di dalam Pakatan Rakyat yang mengutamakan asas-asas keagamaan hendaklah bersetuju dan bekerjasama di dalam setiap perkara yang memberi manfaat bersama untuk ummah di Malaysia hari ini. Sehubungan itu, saya yakin manusia akan selamat sepanjang hidup mereka di dunia dan sejahtera di akhirat kelak sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

Selamat berkonvensyen, semoga berjalanlah ia dengan keberkatan Allah SWT.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,
Al-Mursyidul Am PAS.
Kota Baharu, Kelantan.
12 Muharam 1432H/18 Disember 2010M.


Tiada ulasan: