Khamis, 2 Disember 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Doktor Palsu Ditahan Selepas Sambut Bayi

Posted: 02 Dec 2010 01:38 AM PST

Doktor' kena tahan selepas sambut bayi

Gambar hiasan

KAPAR: Seorang lelaki yang menyamar sebagai seorang doktor sejak 2008 dan diburu kerana mencabul seorang pembantu klinik wanita, ditahan selepas menyambut kelahiran seorang bayi di sebuah klinik swasta di Klang Utama di sini.

Bayi terbabit adalah yang ke-10 disambut kelahirannya oleh suspek yang bertugas di klinik swasta terbabit sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, berkata suspek berusia 41 tahun pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terbabit dalam satu kes cabul seorang pembantu klinik di klinik swasta terbabit.

"Pembantu klinik yang berusia 18 tahun membuat laporan polis pada 15 November lalu mendakwa dirinya dicabul suspek yang berkahwin dengan dua wanita dan mempunyai sembilan anak itu," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan itu, polis bergegas ke klinik swasta itu untuk menahannya tetapi gagal kerana suspek dikatakan pulang bercuti di kampung sempena Aidiladha.

"Polis sekali lagi pergi ke klinik swasta terbabit untuk menahan suspek kira-kira jam 11.30 pagi pada 22 November lalu.

"Ketika itu suspek sedang membantu menyambut kelahiran seorang bayi di klinik berkenaan dan selepas tugasnya selesai, polis terus menahannya untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan susulan mendapati lelaki terbabit bukan doktor seperti didakwanya, sebaliknya hanya bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital tentera di Melaka.

"Majlis Perubatan Malaysia (MMC) juga mengesahkan lelaki terbabit bukan seorang doktor. Siasatan men-dapati suspek hanya memiliki Diploma Pembantu Perubatan daripada Kolej Pembantu Perubatan, Seremban," katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati, suspek pernah terbabit dalam penipuan sama di Rawang dan Batang Berjuntai.

"Suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyamar," katanya. -BH

Lagi Nahas Bas Ekspres: 8 Tercampak

Posted: 02 Dec 2010 12:36 AM PST

Hulu Selangor: Seorang pemandu bas ekspres dan sembilan penumpangnya cedera parah selepas kenderaan dinaiki merempuh belakang sebuah bas ekspres lain yang turut terbabit dalam kemalangan di Kilometer 420.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berhampiran susur Bukit Tagar, di sini, semalam.

Gambar: REMUK...keadaan bas yang remuk selepas melanggar bahagian belakang bas ekspres lain di kilometer 420.8 di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur Bukit Tagar, petang semalam.

Jurucakap polis berkata, kejadian membabitkan dua bas ekspres dan sebuah lori kira-kira jam 6.15 petang semalam berlaku selepas bas ekspres yang membawa sembilan penumpang dari Setiawan, Perak, cuba mengelak melanggar lori di hadapannya yang secara tiba-tiba memasuki laluannya.

"Pemandu bas terbabit terkejut apabila sebuah lori di lorong paling kiri lebuh raya tiba-tiba memasuki laluan hadapannya menyebabkan dia cuba mengelak sambil menekan brek.

"Pada masa sama, sebuah lagi bas ekspres lain yang mengekori belakang bas berkenaan gagal mengelak sebelum merempuh bas di hadapannya itu. "Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu bas di belakang sekali yang juga dari Setiawan, Perak menuju Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Sepang, cedera parah di kaki akibat tersepit," katanya.

Menurutnya, lapan daripada 18 penumpang yang berada dalam bas di belakang sekali cedera apabila kebanyakan mereka tercampak di dalam bas yang remuk di bahagian hadapan.

"Kebanyakan mangsa yang cedera diselamatkan orang ramai sebelum dibawa keluar dari bas terbabit. Kebanyakan mangsa yang masih dalam keadaan terkejut dan kesakitan diberi rawatan kecemasan sementara menunggu ketibaan ambulans.

"Tidak sampai 15 minit kemudian empat ambulans dari Hospital Tanjung Malim, Hospital Kuala Kubu Baru dan Hospital Sungai Buloh tiba di lokasi kejadian sebelum membawa mangsa yang cedera ke hospital," katanya.

Bagaimanapun, katanya semua penumpang bas ekspres yang melanggar bahagian belakang lori berkenaan terselamat.

Seorang mangsa yang cedera, Fauziah Abdilah, 41, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya dan penumpang lain.

Menurutnya, kejadian berlaku sekelip mata apabila bas berkenaan tiba-tiba bergegar sebelum berhenti mengejut.

"Akibatnya saya tercampak dan kepala melanggar kerusi di hadapan. Hentaman kuat menyebabkan kepala saya berpinar dan hampir pitam," katanya sambil memegang dahinya yang lebam.

Fauziah berkata, keadaan mungkin menjadi tragedi lebih dahsyat sekiranya bas berkenaan dipandu laju atau tercampak ke laluan bertentangan.

"Walaupun bersyukur kerana terselamat, saya mungkin terlepas penerbangan pesawat Air Asia untuk ke Kota Kinabalu, Sabah, malam ini. Kemalangan ini boleh dielak jika bas berkenaan dipandu dalam jarak selamat," katanya.

Sementara itu, pemandu bas, Muhammad Asraf Nordin, 36, yang terselamat berkata, dia cuba mengelak sebuah lori di hadapannya yang tiba-tiba memasuki laluannya tanpa memberikan lampu isyarat.

Menurutnya, dia cuba menekan brek, tetapi terlanggar sisi lori terbabit menyebabkan cermin hadapan bas pecah.

"Namun, belum sempat saya menarik nafas lega, sebuah lagi bas ekspres merempuh kuat belakang bas dipandu saya. Namun, saya dan sembilan penumpang lain bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih menyiasat punca kemalangan terbabit dan akan mengambil keterangan dua pemandu bas dan seorang pemandu lori berkenaan. -hm

Bas Perantara Bawa 40 Penjawat Awam Hangus Terbakar

Posted: 01 Dec 2010 11:26 PM PST

Bas Perantara Bawa 40 Penjawat Awam Hangus Terbakar

KUALA LUMPUR: Sebuah bas perantara yang membawa kira-kira 40 penjawat awam terbakar di Lebuhraya Sungai Besi berdekatan Desa Petaling ketika dalam perjalanan dari Putrajaya ke Selayang dekat sini petang Rabu.

Kebakaran itu disedari oleh seorang penumpang wanita yang melihat kepulan asap dari belakang bas dalam kejadian kira-kira 5 petang tadi, ketika mereka dalam perjalanan pulang dari pejabat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 5.50 petang sebelum menghantar dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Desa dan Sungai Besi berserta enam anggota ke tempat kejadian.

Beliau berkata, ketika anggota bomba tiba, bas berkenaan sudah rentung sepenuhnya dan semua penumpang serta pemandu sempat menyelamatkan diri.

"Bomba dapat memadamkan kebakaran itu kira-kira 45 minit. Setakat ini, punca kebakaran bas tersebut masih dalam siasatan yang dilakukan oleh forensik kami," katanya di sini, malam ini.

Sementara itu, penumpang berkenaan yang enggan dikenali berkata beliau menyedari asap keluar dari bahagian belakang bas itu sebelum memaklumkan kepada pemandu bas tersebut.

"Saya terus beritahu pemandu bas itu sebelum dia berhentikan bas ke bahagian kiri jalan dan menyuruh kami semua turun segera dari bas," katanya yang bertugas sebagai akauntan dan berusia 40 tahun. - BERNAMA

Ketuanan Islam Lebih Penting - TGNA

Posted: 01 Dec 2010 10:00 PM PST

Ketuanan Islam' lebih penting – Nik Aziz

PASIR MAS: 'Ketuanan Islam' lebih penting dan perlu diutamakan berbanding ketuanan-ketuanan lain, termasuk Ketuanan Melayu yang kononnya diperjuangkan oleh Umno.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ada pihak menggunakan 'Ketuanan Melayu' sebagai sumber perjuangan mereka, sudah tentu akan ada pihak lain mahukan bangsa mereka (Cina dan India) diangkat seperti mana bangsa Melayu.

Beliau menegaskan perkara ini kepada media ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa OKU yang rentung dalam kebakaran di Kampung Ubi Keling Nibong, dekat sini semalam.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, menggunakan nama Islam lebih benar dan diterima oleh bangsa lain serta tidak menimbulkan sebarang masalah dan kontroversi.

"Bangsa lain boleh menerima agama (Islam) ini berbanding 'Ketuanan Melayu' yang hanya menunjukkan kepada satu bangsa (Melayu) sahaja apabila mereka menerima Islam kelak," ujar beliau.

Mengulas mengenai kesediaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuang slogan 'Ketuanan Melayu' dalam kongres parti, Nik Aziz berkata, dengan menggunakan 'Ketuanan Islam', tidak akan timbul sikap dengki dari bangsa lain sebaliknya ia diterima baik oleh mereka.

Hanya Islam perlu didaulatkan

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Harun Taib menegaskan isu 'Ketuanan' mempunyai ikatan akidah kerana ia melibatkan soal kedaulatan.

Beliau memberitahu Harakah dalam sesi wawancara khas di Gombak, 30 November lalu, penggunaan istilah 'Ketuanan Islam' lebih tepat dan mendasari ajaran Islam kerana hanya Islam sahaja perlu didaulatkan bukannya bangsa.

"Jika bangsa didaulatkan, menjadi 'tuan' sudah tentulah ia mengundang kemarahan bangsa lain yang juga mahu menjadi 'tuan'.

"Oleh itu Islam datang untuk meleraikannya dan mengesyorkan keadilan terhadap semua bangsa di dunia ini termasuklah di Malaysia. Islam bukan milik Melayu, bukan milik India dan bukan milik Cina. Malah bukan milik mana-mana bangsa pun di dunia ini.

Katanya, selain dari 'Ketuanan Islam', tiada ketuanan lain yang lebih mulia dan dihormati. Sebaliknya, ketuanan-ketuanan lain itu akan menimbulkan pelbagai konflik kerana ia menentang fitrah sunatullah.

RapidKL Perkenal Bas Khas Wanita

Posted: 01 Dec 2010 09:24 PM PST

Selepas tren, bas khas wanita pula

RapidKL memulakan tempoh percubaan bagi perkhidmatan bas untuk golongan wanita sahaja, yang dikenali sebagai Rapid Bas Wanita, mulai semalam hingga 31 Disember.

Menurut kenyataan Bas RapidKL semalam, ia adalah tambahan kepada operasi biasa syarikat berkenaan dan menyediakan perkhidmatan berbaloi kepada orang awam.

Tempoh percubaan itu dijalankan di tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.

Laluan yang terbabit pada sesi pagi ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves), U8 (Hab Damansara Damai), U22 (Hab Sri Nilam), U40 (Hab Terminal Kajang), U60 (Hab Puchong Utama), U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81(Hab Subang Suria).

Bagi sesi petang, laluannya ialah U1 (Hab Medan Pasar), U8(Hab Medan Pasar), U22 (Hab Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Pasar Seni), U60 (Hab Pasar Seni), U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni).

Ketua Pegawai Eksekutif Bas RapidKL Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata perkhidmatan khas itu dilaksanakan untuk memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada penumpang wanita, selain melindungi mereka daripada gangguan seksual serta bersesakan dengan penumpang lelaki pada waktu puncak.

Beliau berkata Rapid Bas Wanita tidak akan menjejaskan perkhidmatan sedia ada syarikat itu kerana ia akan menggunakan bas tambahan.

Walaupun dikhaskan untuk wanita sahaja, kanak-kanak di bawah usia dua belas tahun dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas tersebut dengan ditemani rakan atau saudara perempuan.

Ikon bas 'untuk wanita sahaja' akan diletakkan pada cermin depan bas, tingkap, pintu dan skrin LED dalam kenderaan itu bagi membezakannya daripada bas biasa. - Bernama

Ulasan GB

Terima kasih dan tahniah RapidKL.

Dewan Muslimat, buka mata dan cepat kirimkan kawad tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan RapidKl sebagai tanda sokongan kita kepadanya dan kesyukuran kita ke hadhrat Allah s.w.t.

Perkuat Parti Dahulu, Usah Sibuk Bincang Hal Putrajaya

Posted: 01 Dec 2010 07:59 PM PST

Henti diskusi ke Putrajaya, kuatkan parti dahulu

TEMERLOH, 1 Dis: Bersediakah kita untuk melangkah ke Putrajaya?

Itulah persoalan yang dilontarkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada semua ahli parti komponen Pakatan Rakyat (PR), khususnya ahli-ahli PAS.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim juga menyeru semua ahli parti komponen Pakatan Rakyat untuk memfokuskan tugas untuk memperkasakan seluruh jentera parti terlebih dahulu sebelum membincangkan jalan ke Putrajaya.

Ini kerana berdasarkan pengamatan beliau, persiapan semua parti belum di tahap optimum, bahkan di sesetengah kawasan ianya masih tidak menampakkan persiapan ke arah menghadapi pilihan raya umum.

"Masalah daftar pemilih, kedudukan kewangan, persiapan jentera dan petugas masih berada pada tahap rehat," kata Tuan Ibrahim, yang melahirkan rasa bimbang kepada persiapan Pakatan Rakyat ditambah dengan waktu yang semakin singkat.

"Jentera parti adalah mekanisme yang penting dalam menghadapi segala penyelewengan Barisan Nasional (BN) dari setiap sudut.

"Kepincangan dan kelemahan jentera akan membuka ruang kepada BN menembusi kubu-kubu yang dibina bagi menggagalkan cita-cita kita ke Putrajaya," katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menekankan bahawa betapa pentingnya untuk semua parti untuk memperkemaskan jentera parti untuk digerakkan pada bila-bila masa kerana berdasarkan beberapa petunjuk terkini, kemungkinan besar pilihanraya umum akan diisytiharkan lebih awal daripada dijangkakan.

Tuan Ibrahim juga berkata media massa kini cuba melaga-laga PR dengan membawa isu yang tidak perlu dibincangkan seperti siapa yang akan menerajui kepimpinan negara, barisan kabinet PR dan juga soal kekuasaan parti yang akan menerajui negara.

"Semua persoalan ini hanyalah perangkap bagi menimbulkan suasana tidak senang antara parti-parti komponan PR.

"Sedangkan realiti sejauh mana kita boleh memenangi PRU akan menentukan apa yang akan berlaku seterusnya.

"Ibarat rakan kongsi untuk menternak kambing, sibuk bertengkar bagaimana untuk membahagikan keuntungan; sedangkan kambing seekorpun belum ada," ujar beliau.

Beliau juga menyeru supaya semua masalah dalam parti ketiga-tiga komponen parti PR mesti diselesaikan awal sekiranya mereka serius dalam menyatakan bahawa PRU 13 penting bagi membuat perubahan awal ke Putrajaya.

Beliau turut menambah bahawa kekuatan parti di semua peringkat mesti menjadi agenda utama dan menyeru seluruh ahli parti untuk bertindak secara pro aktif dalam merancang kerja bagi memenangi PRU dan bukannya sahaja menunggu arahan kerja.

"Setiap ahli parti mesti memikirkan apakah yang saya boleh sumbangkan bagi menjana kemenangan ini.

"Benar di sana ada ahli yang perlu diberi arahan kerja, namun kalau di peringkat kepimpinan masih sibuk membincangkan titik bengit dalaman sehingga menjejaskan gerak kerja parti; maka sebenarnya kita telah masuk perangkap musuh tanpa disedari," Tuan Ibrahim memberikan amaran.

Dalam isu keyakinan pengundi, beliau mengingatkan para pekerja dan pimpinan parti bahawa pengundi hanya akan memberikan undi kepada sesuatu parti seandainya mereka yakin dengan kekuatan dan keutuhan parti yang menerajui negara.

"Lantaran itu, bukan sahaja segala fitnah jahat BN perlu disanggah, bahkan keyakinan rakyat perlu dibina," ujarnya sambil menambah bahawa pencapaian yang dikecapi oleh semua negeri PR selama tiga tahun ini akan menjadi aset penting untuk membina keyakinan pengundi.

"Cuma isu utama sejauh manakah pencapaian itu diketahui dan dirasai oleh rakyat?

"Berhadapan dengan rakyat yang tidak bermaklumat yang ditemui dalam tinjauan menuntut satu mekanisme diwujudkan agar sasaran pengundi utama di kawasan luar bandar dan kawasan Felda khususnya dapat ditembusi," katanya.

Seruan yang sama turut bergema di dalam sidang Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat baru-baru ini, di mana keempat-empat negeri Pakatan Rakyat dengan sebulat suara bersetuju untuk menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat untuk menangkis serangan media BN yang semakin mengecam kebelakangan ini. -harakahdaily

Ulasan GB

Kita berterus-teranglah. GB bukanlah ornag yang mendewakan mana-mana pimpinan, hatta TGNA sekalipun. Kerana Khalifah Abu Bakar sewaktu wafatnya Rasulullah s.a.w. dan ketika umat Islam berkecamuk sesama sendiri, setelah mengucapkan puji syukur kepada Tuhan Abu Bakr berkata: "saudara-saudara! Barangsiapa mau menyembah Muhammad, Muhammad sudah meninggal. Tetapi barangsiapa mau menyembah Tuhan, Tuhan hidup selalu tak pernah mati."

Demikian jelas larangan mendewakan makhluk. Sekalipun kita dianjur dan diarahkan untuk berselawat ke atas Nabi, namun kita tidak boleh mendewakannya sehingga ke tahap boleh mensekutukan Allah s.w.t. seperti dilakukan oleh umat Kristian terhadap Nabi Isa a.s.

Dan sewaktu idea UG berkumandang, GB adalah salah seorang penentang utama idea berkenaan. Walaupun ramai juga yang mengambil sikap menentang GB, akhirnya kebenaran itu tertegak, UG tumbang cuma mungkin belum dikuburkan.

Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat sebagai salah seorang pemimpin yang mendokong gagasan UG berkenaan menyebabkan hilangnya "respek" GB kepadanya waktu itu. Ditambah pula dengan "penghakiman" yang beliau lakukan terhadap kes Hassan Ali dan Khalid Samad yang pada pemerhatian GB, tidak menepati neraca kebenaran dan keadilan.

Dan banyak hal yang GB kurang dapat menerima cara beliau memimpin sekalipun beliau seorang Naib presiden PAS. Namun keyakinan GB, mereka yang menegakkan kebenaran dan keadilan akan pasti diperlihatkan oleh Allah s.w.t. tentang kebenaran itu bersandarkan dengan doa agar Allah menunjukkan kebenaran itu kebenaran...dan kebatilan itu kebatilan...

Sekarang GB mengambil sikap "bersetuju" dengan TITM apabila beliau berkata benar bahawa "Henti diskusi ke Putrajaya, kuatkan parti dahulu".

Apatah lagi Saidina Ali r.a juga ada mengatakan:

"Janganlah melihat kepada sesiapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan"

Tetapi GB berharap TITM sudah komited untuk tidak membawa UG lagi.

Benar katanya, hentikan diskusi ke Putrajaya kerana Putrajaya bukan matlamat! Ia masih lagi peringkat "wasilah". Wasilah tempat untuk menegakkan kalimah tauhid.

Jika PR naik ke Putrajaya tetapi membawa sistem yang sama seperti UMNO BN, maka perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan tidak mempunyai nilai apa-apa, tak kira siapa pun PMnya.

Apa tah lagi jika kita menawan Putrajaya dengan kaedah yang tidak dibenarkan oleh agama seperti menipu dan sebagainya.

GB pernah menulis komen di SINI dengan memetik sebuah hadith:

ما من عبد يسترعيه الله رعية يموت يوم يموت وهو غاش لرعيته إلا حرم الله عليه الجنة

Maksudnya: Bukan daripada hamba yang mati di mana Allah meminta dia menjaga rakyat dimana pada hari kematiannya sedangkan dia menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.

Yang perlu kini seperti GB katakan sepertimana yang diungkap oleh TITM di atas, GB dah katakan sebelum ini iaitu:

Dengan ramalan pilihanraya lebih awal, ahli-ahli Pakatan Rakyat dibebankan dengan memikul "stress" - sedangkan ia tidak perlu penyakit itu boleh dielakkan.

Apa guna memikul balak di dalam perjalanan yang panjang untuk membina jembatan sedangkan sungainya belum kelihatan? Bukankah itu kerja si Bebal?

Bukankah masa ini sebaik-baiknya digunakan memperkukohkan dan membersihkan parti, menyusun strategi dan menjalankan aktiviti untuk meningkatkan kualiti ilmu dan kemantapan berorganisasi supaya PR "benar-benar" memenuhi fungsi kerajaan menanti?


Galas & Batu Sapi juga baru kalah, inikan pula nak ke Putrajaya!
Bangun dari tidur wahai blogger PR.

Ayyan tafi'a bihi

Jadi Billionir Jual Laman Web - Ulasan GB

Posted: 01 Dec 2010 06:30 PM PST

London - Seorang usahawan Internet, Andrew Mason, 29, bakal mengikuti jejak langkah pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, 26, dengan menjadi bilionair apabila dia bersetuju untuk menjual laman web beliau kepada enjin carian Internet, Google, lapor sebuah akhbar semalam.

Mason dikatakan bersetuju untuk menjual laman web bernama Groupon itu kepada Google dengan harga £4.1 billion (RM20.2 billion).

Beliau sebelum ini turut dilaporkan menolak tawaran daripada sebuah lagi enjin carian Internet, Yahoo kerana ia hanya menawarkan sebanyak £1.3 billion (RM6.4 billion) untuk membeli laman web terbabit.

Laman web yang telah dibina sejak dua tahun lalu itu telah menawarkan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan di tempat kelahiran Mason iaitu Chicago, Amerika Syarikat selain digunakan oleh 2.5 juta pengguna di Britain.

Bagaimanapun kerana kelebihan yang ditawarkan seperti diskaun pembelian tiket wayang dan pelbagai barangan lain melalui Internet sehingga 90 peratus, jumlah pelayar kini semakin bertambah sebanyak 10 peratus setiap minggu.

Bagaimanapun, ia masih tidak boleh menyaingi Facebook kerana laman sosial itu kini bernilai £32 billion (RM158.1 bilion). - Agensi


Ulasan GB

Hanya mencipta lamanweb, dah dapat berbillion.

GB pun tertanya-tanya juga berapa pula nilai blog Kelab Greenboc ni? heheh. Duit tengah takda. Ada pulak ramai mangkuk sampai hati tuduh dan memfitnah GB kononnya dapat sponsor dari Datuk Zaid Ibrahim.

GB dah jawab semua tuduhan itu di ruang komen di SINI

Kita tinggalkan saja penyokong tegar DSAI tuh. Mereka yang dah tak waras dituduhnya kita.

Berbalik kepada nilai blog GB ni. GB pun semaklah berapa nilainya dekat website valuer yang masyur di SINI Maka diperolehi:



Wow! RM 293,084.82

Kaya jugak kalau dapat. Tapi siapa yang nak beli? Aiseh.... GB mengeluh, banyak tipu lah semua ni.

GB begini, begini jugak... bersyukur dengan yang ada, bersabar dengan ujian yang menimpa dan berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan selagi hayat masih ada sehinggalah tertegak kalimahNya. Hasbiyallah.

Bakal 'Raja Sehari' Maut Dirempuh

Posted: 01 Dec 2010 05:30 PM PST

Mangsa dikatakan gagal berhenti ketika masuk simpang dilanggar bas ekspres

Gambar: KEADAAN bas yang terbabit dalam kemalangan maut di Marang, semalam. Gambar kecil Mohd Shahabudin Sudin.

KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja kilang yang akan berkahwin awal tahun depan maut, manakala enam penumpang serta pemandu sebuah bas ekspres cedera dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Gong Beris, Marang, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, Mohd Shahabudin Sudin, 24, dari Kampung Tasek Kubu, Pengkalan Berangan, Marang dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Chendering, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh bas ekspres dari arah Dungun ke pusat bandar raya.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim, berkata selepas merempuh motosikal berkenaan, bas ekspres itu terbabas dan melanggar dua tiang elektrik di bahu jalan sebelum terjunam ke semak dan terbalik.

Katanya, bas ekspres yang dipandu Abdul Rahman Daud, 54, membawa 10 penumpang dalam perjalanan dari Melaka ke Kota Bharu dikatakan gagal mengawal kenderaan selepas motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan, membelok secara tiba-tiba ke kanan jalan untuk masuk ke simpang Gong Beris.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kegagalan mangsa berhenti memberi laluan kepada bas ekspres ketika masuk simpang terbabit sehingga menyebabkannya dirempuh bas berkenaan," katanya.

Sementara itu bapa Shahbudin, Sudin Solah, 72, berkata anaknya bakal melangsungkan perkahwinan Jun tahun depan. -BH

Kes Bapa Curah Asid Kepada Tiga Beranak

Posted: 01 Dec 2010 04:44 PM PST

Isteri Mula Lembut Hati

KUALA TERENGGANU: Isteri tertuduh kes simbah asid yang mengakibatkan kecederaan kekal ke atas dirinya dan dua anak mengaku sudah berlembut hati terhadap suaminya selain mengaku membuat kunjungan terhadap tertuduh yang kini ditahan di Penjara Marang.

Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, mengaku perasaan marah terhadap suaminya itu tidak ada lagi seperti ketika kejadian pada 15 Ogos lalu, malah di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid yang menyoalnya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, sebelum menjatuhkan hukuman terhadap suaminya yang menghadapi dua lagi pertuduhan menyimbah asid terhadap dua anaknya pada kejadian sama, mengaku ada melawat tertuduh bersama anak-anaknya.

Bagaimanapun, ketika ditanya wartawan, dia memberitahu akan meneruskan tuntutan fasakh terhadap lelaki berkenaan, malah ketika diberi peluang bertemu tertuduh di mahkamah semalam, dia yang ditemani ibu dan dua anaknya menolak pelawaan untuk bersemuka dengan tertuduh.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen di sini, suaminya Mat Haizan Mat Yasin, 32, yang dibawa dari Penjara Marang mengaku salah terhadap dua pertuduhan menyimbah asid ke atas dua anaknya itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mat Haizan pada jam 1.45 pagi, 15 Ogos lalu, di sebuah rumah di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah ke atas Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, dengan menggunakan benda melecur iaitu asid.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada Muhammad Irfan Firdaus, 2, pada tarikh, masa dan tempat sama dengan pertuduhan pertama.

Tertuduh kini menjalani hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan yang dijatuhkan mahkamah sama, 25 Ogos lalu, selepas mengaku menyimbah asid ke atas Che Ku Zaimah .

Semalam, dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kerana mendatangkan parah pada anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda manakala bagi pertuduhan mendatangkan cedera pada anak bongsunya, Muhammad Irfan Firdaus, dia dihukum penjara dua tahun dan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap 16 Ogos lalu.

Hukuman itu diarahkan berjalan serentak selepas M Bakri mendengar pengakuan bersalah tertuduh, hujahan peguam bela serta melihat sokongan keluarga yang masih sanggup melawat mangsa di penjara walaupun menjadi mangsa perbuatan kejam tertuduh.

"Penjara dalam tempoh yang panjang tidak boleh memberi jaminan seseorang itu akan berubah, tapi kasih sayang keluarga akan memberikan peluang kepada pesalah memulakan hidup baru.

"Dalam kes ini, tertuduh bernasib baik kerana keluarga masih sudi melawatnya di penjara, tetapi soal isterinya mahu menerimanya semula atau tidak terpulang kepada beliau.

"Saya juga ingin mengingatkan di sini, orang yang kuat bukan orang yang mengalahkan puluhan musuh, tetapi orang yang kuat ialah orang yang boleh mengawal nafsu marahnya," katanya dalam penghakimannya semalam.

Dalam prosiding semalam, peguam tertuduh, Faezahnoor Hassan turut mengejutkan mahkamah apabila memaklumkan keluarga tertuduh ada melawat mangsa di penjara.

Harian Metro pada 16 Ogos lalu melaporkan empat beranak iaitu isteri, dua anak dan ibu mentua Mat Haizan cedera akibat terkena asid dilempar tertuduh yang berang dengan keputusan isterinya berpindah ke rumah ibunya dan dalam proses memohon perceraian dengan tertuduh.

Dia memecah masuk rumah ibu mentuanya, Minah Omar, 56, dengan membawa bersama sebungkus plastik mengandungi asid. -hm

Makam Nabi-Nabi

Posted: 01 Dec 2010 03:43 PM PST

Kubur mengingatkan kita tentang "mati" dan kita dianjurkan menziarahi kuburan untuk mengingatkan kita kepada kematian dan juga perkara yang berlaku di alam barzakh serta hari kemudian nanti.

Dalil: Dari Buraidah bin al-Husayb ra, Rasulullah saw bersabda, "Aku pernah menghalang kamu dari menziarahi kubur. Sekrang, ziarahilah(kubur), kerana ia akan mengingatkan kamu akan hari kemudian…."[Hadis riwayat Muslim, an-Nasai dan lain-lain]

Berikut ialah makam-makam para nabi, sanak saudara dan sahabatnya


MAKAM NABI MUHAMMAD SAW



TAPAK KAKI ADAM (AS) , Srilanka
MAKAM HAWA, Jeddah
MAKAM HAbeel ANAK ADAM (Al.)
MAKAM NABI IDRIS , Jordan.
Makam-e-Ibrahim
HAZRAT IBRAHIM-AL-KHALIL, Israel
HAZRAT LOT, Iraq
HAZRATt SALEH (AS)
HAZRAT MOOSA (AS), Israel
HAZRAT SHOAIB (Al.)
HAZRAT HAROON (Al.)
HAZRAT ZAKARIA (Al.)
HAZRAT YAHYA (Al.)
HAZRAT BIBI AMENA , Outside Macca
HAZRAT BIBI HALEEMA, Outside Madina.
HAZRAT ABU TALEB, Uncle of Prophet Mohammed P.B.U.H, Macca
HAZRAT BIBI KHADIJA (Ummul Moamineen), Macca
HAZRAT IMAM HASAN (AS).
HAZRAT BIBI FATIMA ZAHRA
HAZRAT BILAL HABASHI, Damascus

Abeel, Son of HAZRAT ADAM (Al.), First grave on earth, Jordan.


10 Tempat Terlarang Meletakkan Handfon

Posted: 01 Dec 2010 07:06 AM PST

Telefon Bimbit atau handphone sudah merupakan satu keperluan. Hampir setiap orang di dalam negara ini memilikinya. Dari seorang kanak-kanak tadika di kota kepada seorang warga tua di desa.

Untuk menjaga handfon sentiasa di dalam keadaan baik serta tidak mendatangkan mudharat kepada diri sendiri dan orang lain, harap diperhatikan 10 tempat terlarang untuk meletakkan telefon bimbit :

1. JANGAN TARUH DALAM KOCEK SELUAR

Bagi lelaki yang senang meletakkan telefon bimbit di kocek seluar sebaiknya berfikir semula. HP menghasilkan paparan medan elektrostatik dan elektromagnetik yg mengakibatkan infertility (kemandulan).


2. JANGAN LETAKKAN BERSAMA BARANG ELEKTRONIK

Jangan gunakan HP ketika signal lemah dekat dengan barang elektronik berprestasi tinggi (seperti TV, OVEN, HEATER ,dll), kerana dapat merosak sirkuit HP.

3. JANGAN DISIMPAN DEKAT KUNCI KERETA

Dalam keadaan tertentu HP yg digunakan dlm kendaraan akan memberikan kesan merosak terhadap peralatan elektronik kendaraan. HP yg diletakkan terlalu dekat dengan kunci kereta ternyata boleh menghapus kod elektronik yang ada di kunci tersebut.

4. JANGAN LETAKKAN DEKAT KOMPUTER

Komputer dan HP sama-sama memancarkan gelombang elektromagnetik. Jika berada dalam jarak yg dekat, maka keduanya akan saling merosak.

5. JANGAN LETAKKAN DI TEMPAT BERSUHU TINGGI

Tempat bersuhu tinggi,kelembapan tinggi, dan berdebu merupakan kumpulan musuh HP. Jika tertinggal di dalam kereta di cuaca yang panas terik, hp memang rosak, setidak-tidaknya baterinya.

6. HINDARI MELETAKKAN KAD SIM DEKAT MAGNET

Kerana radiasi yg ditimbulkan HP dapat merosak floppy disk, kad memori dan kad kredit seseorang.

7. JAUHKAN DARI BENDA LOGAM

Jauhkan HP dari benda logam kecil kerana magnet dalam speaker HP akan menarik benda-benda tersebut dan HP mengalami kerosakan.

8. JAUHKAN DARI ALAT PACU JANTUNG

Peralatan perubatan seperti alat pacu jantung dapat terganggu dikeranakan gelombang elektromagnetik.

9. JANGAN DEKAT GAS YANG MUDAH TERBAKAR

Gas berbahaya karena memiliki tekanan tinggi dan mudah terbakar. Oleh karena itu HP tidak akan berfungsi dengan baik.

10. HINDARI DAERAH BASAH

Rasanya kita semua sadar betapa bahayanya air bagi hp. Air juga musuh kamera digital .. Apalagi saat musim hujan, boleh mengundang banyak risiko. Bagi penunggang motorsikal, segera selamatkan hp anda dengan menyimpan di tempat yang kedap air saat hujan tiba.

Semoga bermanfaat ...

Komputer Syarikat Guna Perisian Cetak Rompak Dirampas

Posted: 01 Dec 2010 06:00 AM PST

Peralatan komputer 20 syarikat guna perisian cetak rompak dirampas

PETALING JAYA: Pihak berkuasa merampas komputer dan peralatan komputer bernilai hampir RM5 juta daripada 20 syarikat yang didapati menggunakan perisian cetak rompak di daerah Petaling Jaya sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Petaling Jaya, Mohd Ruhani Bakar, berkata serbuan dijalankan hasil maklumat orang ramai dan Business Software Alliance (BSA).

"Kebanyakan syarikat yang menggunakan perisian palsu ini terdiri daripada syarikat kejuruteraan di mana perisian yang digunakan biasanya untuk membuat lukisan (pelan rumah) dan sebagainya.

"Lazimnya mereka (syarikat) menggunakannya kerana ia menjimatkan kos kerana membeli perisian cetak rompak jauh lebih murah daripada yang asli," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Ruhani berkata pihaknya juga merampas lapan unit komputer riba bernilai RM174,000 hasil serbuan terhadap sebuah anak syarikat Australia yang beroperasi di sini semalam.

Beliau berkata, syarikat tersebut yang menjalankan perniagaan industri minyak dan gas didapati menggunakan perisian cetak rompak dalam menjalankan operasi mereka.

Katanya, lanjutan kepada aduan yang diterima daripada BSA, sepasukan penguatkuasa dari cawangan KPDNK Petaling Jaya membuat serbuan ke atas premis di Damansara itu pada 12 tengah hari.

Beliau berkata, syarikat tersebut akan dikenakan tindakan menurut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM2,000 setiap salinan langgaran dan tidak lebih daripada RM20,000. - BERNAMA

Aduka Taruna Buat Aduan Polis Beliau Dipukul

Posted: 01 Dec 2010 05:28 AM PST

Gua dipukul : Suasana perundangan yang jakun.

Oleh : AdukaTaruna

Perasaan memang kecewa akan suasana perundangan tahap jakun oleh Melayu. Tapi realitinya, itulah dia zaman gua di tanah air ini ketika ini. Kerana itu kita semua wajib mengubah semua ini.

Ketika mahkamah berehat untuk sessi penangguhan (mungkin ayat dan istilah gua silap, kerana gua bukan ahli perundangan), gua keluar dari kamar mahkamah dan duduk di kerusi di luar. Bersebelahan dengan pintu masuk utama.


Ini adalah pengkuan gua.

Gambar akan diupload kemudian. Terdapat sedikit masalah kerana gambar ditangkap oleh penangkap yang bukan owner camera, dan sedikit kelam-kabut.

Demi Allah,

Ketika itu, gua didatangi oleh 3 lelaki, yang gua percayai saksi atau pengadu kepada kes gua ini. Ketika itu gua dalam keadaan duduk.

"Kau ke AdukaTaruna?" Soal lelaki bergambar 1. Riak wajah sedikit provokasi.

"Ya... saya." Gua senyum dan hulur tangan untuk bersalam. Masih dalam keadaan duduk.

"AdukaTaruna?" Soal lelaki bergambar 2. Juga berwajah provokasi.

"Ya." Gua senyum dan hulur tangan. Kedudukan gua masih duduk. Dan adik gua duduk disebelah gua.

"Tak payah salam dengan budak kurang ajar macam ni." Sampuk lelaki 3 (suspek) sambil tepis tangan lelaki 2.

Tetapi gua still tidak alihkan gaya tangan bersalam. Dan akhirnya lelaki 2 sambut bersalam sambil test genggam tangan gua. Gua hanya bertahan kerana gua dapat rasai bahawa genggaman gua lebih kuat. Wallahualam.

Ketika keadaan inilah, lelaki 3 (suspek) memukul kepala gua. Gua bingkas bangun. Adik gua menyerbu. Ditahan oleh lelaki 1 dan 2. Manakala lelaki 3 lari ke kelompok polis yang berhampiran.

Berlaku sedikit pergelutan. Antara gua dan adik, dengan lelaki 1 dan 2, dengan beberapa anggota polis. Gua minta adik gua tak lepaskan lelaki 3 dan gua turun dapatkan handphone berkamera. Menyesal gile sebab gua pengguna handphone nokia lampu suluh yang setia selama ini.

Bila dapat, gua naik ikut tangga sebelah berlawanan dengan tempat adik gua tadi. Teorinya, gua akan sampai ke lelaki 3 dari belakang. Tapi dah ghaib. Adik gua masih ditahan. Adik gua tunjuk pintu mahkamah sebelah. Gua masuk, mahkamah kosong. Gua tanya adik gua kat mana brother botak bermisai tanglung tu, adik gua sound polis bawa dia kat situ (sambil menuding jari.) Gua cari keliling mahkamah sambil diekori polis. Dah takda. Satu polis bisik dekat gua, si pemukul adalah pengadu. Dia dah cuak dan tak boleh lari. *Kalau takda pelindung ajaib lah. Tanda * adalah ayat gua sendiri.

Gua kol lawyer. Lawyer nasihatkan gua buat laporan polis. Gua kol ISA untuk makluman. Setelah mahkamah selesai membuat penangguhan, gua ke Balai Polis Seremban 2 terletak bersebelahan. Membuat report. Ketika membuat laporan, polis bertugas menghubungi (ASP Khu ntah gua lupa termasuk nama pangkat.) Dan berkata kepada gua begini :

"Encik, ini *ASP Khublala mahu bercakap."

*ASP Khublala speaking campur Melayu + Inggeris yang membuatkan gua hanya faham intipati. Gua boleh rekod, tapi bila mengenangkan handphone lampu suluh, gua terus kensel.

1. *ASP Khublala mengatakan yang pihak polis professional. Dia galakkan membuat report bagi tindakan undang-undang.

2. *ASP Khublabla menjelaskan bahawa gua hanya baru dituduh. Saksi, pengadu atau sesiapa tidak boleh menghukum secara sendiri.

3. If I tempat you pun I marah. You boleh saman dia.

4. Dia minta gua rujuk pada lawyer gua.


Setakat ini dulu. Alhamdulillah, gua tidak mengalami apa2 kecederaan. Dan doakan gua supaya gua tidak mendapat pukulan ajaib yang mencederakan secara lewat seperti mana yang dialami Ketua Putera UMNO.

Perbicaraan gua disambung pada Mac 2011, manakala untuk kes terbaru ini, *ASP Khublabla akan mendapatkan statement gua sebelum gua pulang ke Kelantan.

Gua ucapkan terima kasih kepada seluruh rakan blogger dan rakan pembaca yang memberi sokongan. Toche... toche... Idop Kak Ros! -adukataruna

Pilihanraya Mac 2011? Karut Betul.

Posted: 01 Dec 2010 03:30 AM PST

Anwar ramal p'raya Mac 2011

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum diadakan pada bulan Mac 2011 ekoran pengumuman penangguhan pemilihan Umno selama 18 bulan.
Menurutnya, Umno hanya pandai mengkritik PKR tetapi tidak berani mengadakan pemilihannya kerana parti itu tidak cukup kuat untuk berdepan dengan perwakilannya.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN dan presiden Umno, mesti mengadakan pilihan raya awal untuk menunjukkan beliau mempunyai mandat dari rakyat.

Bagaimanapun, katanya, Najib mesti menunjukkan bahawa beliau mempunyai keazaman politik untuk membersihkan daftar pemilih sebelum pilihan raya umum diadakan.

"Beliau mesti beri kita tarikh awal, March atau April, dan kita serahkan kepada rakyart untuk buat keputusan," katanya. -mk


'Ketuanan Melayu untuk kaburkan Ketuanan Anwar'

Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata istilah Ketuanan Melayu hanya ciptaan ahli politik dalam menggambarkan kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu.

"Saya tidak tahu kenapa timbulkan isu ini. Apa yang saya nampak adalah 'Ketuanan Anwar' dalam PKR. 'Ketuanan Anwar' yang perlu dihapuskan. 'Ketuanan Melayu' hanya nak kaburkan 'Ketuanan Anwar'. Pada pandangan saya, konsep itu (Ketuanan Melayu) tidak ada," katanya.

Shamsul mengulas kenyataan presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai Ketuanan Melayu yang dibangkitkannya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh parti itu Ahad lalu.

Dr Wan Azizah meminta konsep Ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan visi 'bangsa bermaruah' atau 'Melayu bermaruah'.

Sambil mempersoalkan tindakan Dr Wan Azizah, Shamsul berkata kenyataan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanyalah gimik politik dan untuk menutup kemelut yang dihadapi PKR ketika ini.

Katanya, Dr Wan Azizah perlu melihat semula apa yang dimaksudkan dengan ketuanan itu dan tidak seharusnya mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub sejak zaman kesultanan Melayu lagi.

Menurut beliau jika dilihat dalam soal ekonomi, kaum Cina mendominasi sebanyak 70 peratus daripadanya manakala Melayu hanya 30 peratus, dan tiada istilah kaum Melayu mendominasi dalam semua aspek.
Kesan buruk

"Kalau kita lihat sepatutnya 70 peratus itulah yang tuan. Jadi, ketuanan Melayu itu menunjukkan apa? Apa dia ketuanan itu? Dia (Dr Wan Azizah) sendiri tidak jelas apakah maksud ketuanan itu," katanya.

Beliau berkata ahli politik seharusnya memikirkan isu yang relevan untuk dibincangkan dan tidak membangkitkan isu yang boleh mendatangkan kesan buruk antara kaum.

Sementara itu bagi pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim istilah Ketuanan Melayu tidak perlu dibahaskan kerana ia tidak wujud dalam perlembagaan negara,.

Beliau berkata dalam aspek sejarah, hanya 'Ketuanan Raja' yang termaktub dalam perlembagaan kerana rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada raja.

"Sebelum ini tidak pernah disebut 'Ketuanan Melayu' dalam masyarakat Melayu. Dalam sejarah hal sebegitu tidak betul. Yang ada dalam perlembagaan cuma 'Ketuanan Raja' iaitu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

"Orang Melayu mendapat hak keistimewaan kerana mereka adalah rakyat raja, kerana itu raja yang penting. Kedudukan orang Melayu memang diberikan pertimbangan khas dan tidak perlu dipersoalkan," katanya.

Khoo berkata istilah Ketuanan Melayu hanya dibangkitkan oleh ahli politik bagi tujuan politik semata-mata, dan beliau melihat ahli politik sekarang sering membangkitkan isu yang boleh mendatangkan konfrontasi antara kaum.

"Ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka kepada rakyat, menolong rakyat. Bukan menggalakkan rakyat untuk bergaduh," katanya. -mk


Ulasan GB

Satu daripada taktik Anwar Ibrahim ialah apabila beliau diserang, satu cara untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu itu dan untuk mendapatkan semula sokongan rakyat, beliau akan mengumumkan "tarikh pilihanraya dah dekat".

Di atas adalah contoh yang nyata.

Untuk mengalihkan rakyat berbicara tentang "ketuanan Anwar", maka beliau akan menggunakan kesempatan tindakan UMNO menangguhkan pemilihan selama 18 bulan kononnya sebagai satu petanda pilihanraya akan diadakan pada awal 2011.

Hal yang serupa apabila Rahimi dan Rosdi mendakwa dipaksa untuk menandatangani satu akuan bersumpah bulan Oktober lalu. Kebetulan pula kerajaan mengumumkan penangguhan GST. Lalu Anwar secepat kilat mengeksploitasikannya sebagai petanda pilihanraya semakin hampir.

Sedangkan ia hanyalah untuk mengalihkan pandangan rakyat dan menagih simpati untuk mengumpulkan semula sokongan terhadapnya setelah dibelasah teruk oleh rakyat.

GB sudah tidak hormat kepada manusia yang bernama Anwar ini setelah beliau bertindak untuk menjadi GODFATHER di dalam PKR apabila melakukan campurtangan serius kepada proses pemilihan PKR 2010 yang lalu dimana sepatutnya beliau selaku Ketua Umum perlu menunjukkan contoh teladan yang baik seorang pemimpin dengan tidak mengamalkan sikap berpihak.

Dan apatah lagi terbongkar rahsia bahawa jumlah keahlian PKR yang dikatakan 400,000 itu hanyalah AUTA semata-mata, GB ulangi, AUTA semata-mata. Ia hanya dilakukan untuk menipu komponen-komponen Pakatan Rakyat demi untuk mendapat kerusi yang banyak semasa pilihanraya 2008 yang lalu.

Keahlian PKR yang ada kini jika mengikut jumlah pengundi yang keluar mengundi semasa pemilihan hanyalah sekitar 30,000. Katakanlah ia 50% dari jumlah sebenar, maka keahlian PKR hanyalah sekitar 50,000 atau 60,000 orang sahaja.

Itu sebab mengapa semasa pilihanraya kecil atau umum, sukar untuk mendapatkan petugas-petugas PKR. Yang bertungkus-lumus ialah dari PAS dan DAP.

PKR menang banyak kerusi dalam pilihanraya 2008, betul. Tetapi ia adalah kerana pada masa itu sentimen kebencian terhadap kerajaan pimpinan Pak Lah, undi protes dari UMNO BN, sokongan PAS dan DAP dan atas pagar terhadap calon-calon Pakatan Rakyat menyebabkan ramai calon PKR berjaya.

Kini PKR sudah kehilangan ramai pengikut-pengikutnya, termasuklah golongan Hindraf yang dahulu telah menyebabkan berlakunya 'tsunami politik' pada 2008.

Pilihanraya kecil lagi kali ini, PR akan kalah teruk. "Gang Berempat" punya pasal.

Taktik untuk kata "pilihanraya dah hampir" dan seumpama itu sudah tidak laku lagi. Jangan bazirkan masa berblogging dan membaca blog dengan penipuan sedemikian. Perak sampai sekarang tak bubar-bubar lagi sekalipun blogger-blogger PR dah gendangkan konon ada PRK sejak dua tahun dulu lagi.

Tentang hal Anwar ini, sebenarnya sebelum ini GB telah mengulas hal ini di SINI. Petikan:


Siapa yang berdusta. Anwar atau Saiful?

Jika saya berkesempatan untuk bertemu Anwar, saya akan bertanya: "Benarkah dakwaan Saiful itu? Katakan "Ya" atau "Tidak" sahaja.

Jika "Ya", maka tiada siapa yang berdusta. Jika "Tidak" maka salah seorangnya berdusta atau kedua-dua sekali pendusta.

Tiba-tiba Anwar berkata, "Najib akan paggil pilihanraya mengejut", untuk menghentikan soalan GB itu supaya ahli-ahli PR jangan sibuk-sibuk cungkil halnya.

Sadangkan di luar sana, tidak ada ribut, tidak ada taufan, untuk Najib memanggil pilihanraya umum secara mengejut itu.


Dengan ramalan pilihanraya lebih awal, ahli-ahli Pakatan Rakyat dibebankan dengan memikul "stress" - sedangkan ia tidak perlu penyakit itu boleh dielakkan.

Apa guna memikul balak di dalam perjalanan yang panjang untuk membina jembatan sedangkan sungainya belum kelihatan? Bukankah itu kerja si Bebal?

Bukankah masa ini sebaik-baiknya digunakan memperkukohkan dan membersihkan parti, menyusun strategi dan menjalankan aktiviti untuk meningkatkan kualiti ilmu dan kemantapan berorganisasi supaya PR "benar-benar" memenuhi fungsi kerajaan menanti?

Wikileaks: Amerika Putuskan Rangkaian Pengkalan Data Pentagon

Posted: 01 Dec 2010 02:30 AM PST

Amerika hadkan Pentagon peroleh maklumat diplomatik

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini mengehadkan kebebasan Pentagon untuk memperoleh maklumat sensitif diplomatik selepas ribuan maklumat sebelum ini didapati bocor sehingga memalukan kerajaan dan negara lain.

China pula menuntut AS mengambil tindakan spesifik, manakala agensi perisikan Russia dikatakan semakin teruja untuk memperoleh maklumat sulit dan rahsia itu selepas laman web pembocor maklumat WikiLeaks mendedahkan maklumat kabel AS, terutama berkaitan tentera AS, baru-baru ini.

Jabatan Negara AS berkata, pihaknya menutup sementara kebebasan Pentagon untuk memperoleh beberapa maklumat keselamatan.

Ia sekali gus mencegah budaya sebelum ini apabila maklumat besar dikongsi bersama oleh agensi kerajaan AS sejak peristiwa serangan 11 September 2001.

"Kami menutup sementara hubungan Pentagon untuk mencapai maklumat dalam pangkalan data induk dan rangkaian maklumat sulit lain," kata jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley kepada pemberita.

WikiLeaks dan pihak berkusa AS setakat ini tidak lagi menjelaskan bagaimana kandungan ratusan ribu kabel maklumat rahsia itu boleh bocor tetapi seorang suspek ialah Bradley Manning, bekas pengalisis rahsia tentera berusia 23 tahun.

Pentagon kini berdepan dengan persoalan bagaimana terlalu banyak data sensitif boleh dicapai oleh askar berpangkat rendah itu yang ditahan pada Mei lalu sejak WikiLeaks mengeluarkan video mengenai serangan helikopter AS di Baghdad, Iraq pada 2007. - AFP

Telur Busuk Sambut Miyabi

Posted: 01 Dec 2010 01:30 AM PST

Telur sambut Miyabi

JAKARTA: Anggota Front Pembela Islam (FPI) berikrar mengadakan bantahan dan 'menyerang' pejabat majalah lelaki dewasa, Maxim, kerana menguruskan kedatangan bintang filem lucah Jepun, Maria Ozawa.

Sejak berita kedatangan Maria - juga dikenali sebagai Miyabi - tersebar, pelbagai pihak memberikan pandangan terhadap kewajaran rancangan itu.

Bagi FPI yang berfahaman radikal, kedatangan Maria wajar dibantah.

Pemimpinnya, Habib Salim Alatas, berkata awal petang ini mereka bakal mengadakan demonstrasi dan membakar gambar bintang filem lucah dari Jepun itu.

"Kami juga akan menyerang pejabat Maxim dengan telur dan tomato busuk serta bangkai ayam sebagai protes terhadap kedatangan Maria," katanya.

Maria, 24, dilahirkan di Hokkaido, Jepun, adalah pelakon berdarah campuran Jepun di sebelah ibu dan Perancis dan Kanada (bapa).

Dia mendakwa aktiviti seksualnya sangat tinggi ketika berusia 13 tahun dan pernah menguasai 48 posisi seksual hasil pembelajarannya sendiri melalui buku.

Kata Habib, FPI berazam menimbulkan kekecohan di pejabat syarikat Star Media yang menerbitkan majalah Maxim versi Indonesia.

"Sekurang-kurangnya dengan melontarkan telur dan tomato busuk serta bangkai ayam itu, pejabat Maxim haru-biru," katanya. - Agensi

Berita Sebelum Ini


Geram, FPI Protes Miyabi

Front Pembela Islam (FPI) mengecam keras kehadiran Miyabi karena dianggap penghancur moral bangsa. Miyabi disebut setan yang merusak moral bangsa. Duh!

Sekitar seratusan massa mendatangi rumah produksi Maxima Pictures, Jl. Pangeran Jayakarta, Mangga Dua, Jakarta Pusat, Jumaat siang sehabis salat Jumat.

"Allahu Akbar! Kami siap mati untuk siapapun yang mem-backingi siapa pun yang mendatangi Miyabi. Negara ini sudah hancur, banyak azab. Jangan tambah azab lagi!" demikian teriakkan massa FPI yang datang berbondong-bondong.

Sekitar 150 orang pria berbaju putih dan bersorban membawa spanduk berisi protes mereka akan rencana kedatangan Miyabi, bintang porno Jepang itu. "Tolak Miyabi ke Indonesia, 'Si Penghancur Moral Bangsa'," demikian tulisan yang ada di spanduk massa FPI.

Sesekali mereka berteriak takbir. Massa FPI juga memblokade jalan menuju kantor Maxima. Belasan ruko di Jalan Pangeran Jayakarta, Mangga Dua, juga memilih tutup. Belasan ruko yang juga berlokasi tak jauh dari Ruko 73, kantor rumah produksi Maxima Pictures, juga menutup pintu dan jendela mereka. Polisi pun juga sudah bersiaga.

Dalam protesnya, massa FPI juga meneriaki Miyabi "setan". "Tolak Syaitan Miyabi Datang!"

Demonstrasi ini, menurut Habib Fachri, Wakil Ketua DPD FPI Jakarta, adalah ujung dari kegeraman FPI. Mereka mengaku mendapatkan laporan dari masyarakat yang resah akan rencana kedatangan Miyabi ke tanah air.

"Kami sebenarnya sudah geram, banyak laporan dari masyarakat soal ini, soal kehadiran Miyabi. Dia kan bintang film porno, merusak moral bangsa," ujar Habib Fachri.

Ditegaskan Habib, bila pihak rumah produksi tetap akan mendatangkan Miyabi, FPI mengancam akan memblokir bandara Soekarno-Hatta. "Kalau benar-benar Miyabi tetap akan datang kita tak akan membiarkannya. Kita akan memblokir bandara saat kedatangan dia," katanya.

Pihak FPI sendiri telah bertemu dengan pihak Maxima Picture. Tetapi, belum ada kepastian mengenai tuntutan FPI yang meminta pihak Maxima Picture membatalkan kedatangan Miyabi ke Indonesia.

"Maxima belum bisa memutuskan, alasannya masih butuh waktu untuk mengkajinya," kata Ustadz Fakhri Din Idrus Jamalullail, satu dari lima perwakilan FPI yang berdialog dengan pejabat Maxima Picture.

Dialog berlangsung selama 20 menit di dalam kantor Maxima Picture. Namun, dialog belum menemui kesepakatan bersama. "Apa pun alasan kita tetap menentang kedatangan Miyabi," ujarnya.

Pihak Maxima sendiri mengaku akan tetap mendatangkan Miyabi ke Indonesia pada 14 Oktober mendatang. "Kami pastikan tanggal 14 Oktober ini Miyabi akan datang ke sini. Film ini persiapannnya juga sudah 80 persen," kata Rako Prijanto, sutradara film "Menculik Miyabi". (dc/vn)



Tiada ulasan: