Isnin, 20 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


RM1.887B: Apa rakyat Terengganu dapat

Posted: 20 Dec 2010 03:59 PM PST

Oleh : Dr Azman Ibrahim  

Bajet Terengganu 2011 yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu berakhir Khamis, 16 Disember 2010 lepas memperuntukkan anggaran perbelanjaan negeri sebanyak RM1.887 billion. Menakjubkan walaupun Terengganu adalah antara negeri termiskin di Malaysia tetapi Terengganu antara negeri yang mengemukakan bajet tertinggi untuk tahun 2011. Sebagai bandingan, Selangor sebuah negeri maju hanya memperuntukkan RM1.43 bilion bagi Bajet 2011.

Daripada jumlah itu, RM1.699 bilion diperolehi dari kerajaan pusat yang disebut oleh Menteri Besar semasa pembentangan Bajet sebagai royalti petroleum tetapi kerajaan pusat masih menganggapnya sebagai bayaran Dana Khas sahaja dan bukannya bayaran royalti. Bakinya RM188 juta atau hanya 10 peratus sahaja adalah sumber kerajaan negeri. Bayangkan di mana Terengganu tanpa dana khas ini? Pastinya kakitangan kerajaan negeri tidak akan dapat dibayar gaji apatah lagi untuk belanja pembangunan.

Kerajaan Terengganu memerlukan RM213.34 juta setahun hanya bagi pembayaran gaji dan emolumen sahaja. Untuk berlaku jujur, kita boleh menggambarkan bagaimana kesukaran dihadapi Kerajaan PAS Terengganu era 1999-2004 untuk menguruskan pentadbiran negeri apabila royalti dirampas. Kakitangan kerajaan masih mendapat gaji dan pembangunan masih berterusan walaupun seadanya.

Datuk Seri Ahmad Said juga mengakui semasa pembentangan Bajet bahawa disebabkan kerajaan negeri tidak menerima sepenuhnya pemberian dana khas oleh kerajaan persekutuan seperti mana yang diperuntukkan dalam anggaran bajet bagi tahun 2007, 2008 dan 2009 menyebabkan Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit terkumpul yang besar sebanyak RM699.01 juta bagi tahun lepas berbanding RM424.96 juta bagi tahun sebelumnya.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dari kawasan Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menyatakan; mengikut pengalamannya sepanjang menjadi Ahli Dewan Negeri semenjak 2008, walaupun anggaran Bajet Terengganu adalah yang tertinggi dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi ianya tidak pernah mencukupi. Apabila berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Ogos nanti, biasanya permohonan Bajet Tambahan akan dikemukakan kepada dewan.

Ironinya dengan Bajet 2011 sebanyak RM1.887 bilion, Bajet 2010 (RM1.881 bilion), Bajet 2009 (RM1.799 bilion), Bajet 2008 (RM1.673 bilion), bermakna Bajet pasca Pilihanraya Umum ke 12, sebanyak RM7.24 bilion telah diperuntukan dalam kesealuruhan Bajet.

Sungguh! Suatu angka yang sangat besar tapi di mana bahagian yang dapat dinikmati oleh rakyat? Bagaimana mungkin dengan peruntukan sebanyak ini, rakyat Terengganu masih kekal sebagai antara yang termiskin di negara ini. Sekadar satu contoh remeh, rakyat Selangor sekurang-kurangnya merasai bekalan air percuma walaupun nilanya hanyalah RM11.30. Di Terengganu, rakyat masih bermimpi untuk merasai nikmat air percuma walaupun nilainya mungkin sekadar RM5.

Kuasa beli rakyat Terengganu juga antara yang terendah dengan bukti jelas apabila Pasaraya Mydin Mall di buka di Kuala Terengganu, ramai peniaga kecil dan kedai runcit yang gulung tikar sedangkan di Kelantan walaupun pasaraya demi pasaraya dibuka, peniaga-peniaga kecil masih boleh meneruskan perniagaan mereka disamping pasaraya-pasaraya besar mencatatkan keuntungan luar biasa. Maklumat yang boleh dipercayai menyatakan, jualan harian biasa sebuah pasaraya besar di Lembah Sireh Kota Bharu mencecah RM500 ribu. Di musim-musim perayaan, jualan hariannya boleh mencecah RM1 juta.

Ketika bulan-bulan awal menduduki kerusi Menteri Besar, Ahmad Said ada mendedahkan bagaimana banyak projek-projek era pemerintahan Idris Jusoh dibuat tanpa kajian teliti dan tidak jelas manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat malah banyak projek menyalahi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Kenyataan ini tentu sahaja ternyata kebenarannya. Monsun Cup, Taman Tamaddun Islam, Masjid Kristal, Projek Tanaman Strawberi, Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Stadium Bolasepak, Jerteh Souq serta pembangunan Pulau Duyong semuanya menelan kos ratusan juta ringgit. Hasilnya, sama ada gagal disiapkan atau sekadar menjadi monumen kemegahan untuk dipamerkan tanpa rakyat marhain dapat menikmati manfaatnya.

Sekarang, sebagai seorang Menteri Besar yang berkuasa, tugas beliau bukan hanya sekadar mengkritik dan memburukkan pentadbiran terdahulu yang memang terbukti buruk dalam rangka untuk menutup kelemahan pentadbiran sendiri.

Rakyat sebenarnya tidak berminat untuk mengikuti episod seterusnya perseteruan dua pemimpin yang saling berkepentingan ini. Yang diinginkan rakyat bagaimana kerajaan yang memerintah boleh melakukan yang terbaik untuk mereka sesuai dengan slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Nah! Sekarang, Kerajaan Negeri pimpinan Ahmad Said telah diperuntukkan sebanyak RM7.24 bilion sepanjang 2008-2011. Suatu jumlah yang sangat besar dan mengkagumkan walaupun sebahagian besarnya adalah peruntukkan Dana Khas dan bukannya melalui kebijaksanaan Kerajaan menambahkan hasil negeri. Ahmad Said tidak sepatutnya bersikap lepas tangan dan mengulangi kesilapan sama sabagaimana yang dilakukan Idris Jusoh.

Menyedihkan apabila dengan peruntukan yang sebegini besar, masih terdengar berita rakyat Terengganu tidur dibasahi hujan disebabkan atap rumah yang bocor, masih kedengaran ada anak-anak yang keciciran pendidikan disebabkan kemiskinan, masih terdengar kisah keluarga yang makan ubi kayu menggantikan nasi dan pelbagai lagi cerita memilukan. Sumbernya bukan akhbar pembangkang tetapi media arus perdana.

Pergilah ke tepi pantai, dengarlah keluhan nelayan-nelayan pantai yang masih dihimpit kemiskinan, dengarlah rintihan para petani, peniaga-peniaga kecil dan rakyat-rakyat bawahan di sebalik kemilau projek-projek mega untuk 'memahat sejarah mencipta tamadun'


Karpal: DAP terima Islam sebagai agama rasmi

Posted: 20 Dec 2010 01:00 AM PST

Pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata, isu negara Islam perlu segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Karpal ketika berucap dalam sesi penggulungan di konvensyen kedua Pakatan, berkata DAP boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor MP merupakan satu-satunya pemimpin Pakatan yang membangkitkan isu kontroversi itu di konvensyen tersebut.

Peguam veteran itu menasihatkan PAS supaya jangan berulangkali mengatakan bahawa perlembagaan membolehkan penubuhan sebuah negara Islam, dan nasihatnya itu diterima baik oleh baik oleh sebahagian besar hadirin Melayu-Muslim di konvensyen tersebut.

Beliau menasihatkan PAS supaya mempertahankan hak bukan Melayu untuk kebebasan beragama sepertimana parti itu membela Islam sebagai agama rasmi negara di bawah perlembagaan.

“Tolong beri ‘muka’ sikit kepada DAP,” kata Karpal berseloroh, disambut ketawa para hadirin. Karpal sokong Islam negara rasmi Beliau menegaskan bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan perlembagaan dan segala peruntukan yang terkandung dalamnya.

"Isunya ialah negara Islam dan ia harus diselesaikan secepat mungkin. DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Soal bersabit negara Islam adalah sesuatu yang kami boleh berunding dan saya yakin kita boleh mencapai konsensus," kata Karpal.

Ini kali pertama Karpal membuat ketetapan sedemikian dan menzahirkan permuafakatan yang semakin kukuh antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat.

Dalam ucapannya, Karpal menyentuh mengenai pelbagai isu, termasuk penggantungan Anwar dari menghadiri sidang Parlimen baru-baru ini dan perilaku hakim dalam kes liwat terhadap ketua pembangkang itu.
Tawan Putrajaya

Kemudian, pemimpin Pakatan mengesahkan dokumen bertajuk ‘Ubah sekarang, Selamatkan Malaysia’ yang menggaris banyak isu yang dibangkitkan hari ini, seperti krisis, resolusi, program 100 hari, kenyataan bersama, deklarasi dan dasar-dasar Pakatan ketika gabungan mempersiapkan diri untuk menawan Putrajaya.

Dokumen 20 halaman itu yang akan diedarkan secara meluas, akan menerangkan kepada pengundi rancangan bagaimana gabungan itu akan memerintah negara jika mengambil alih kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan awal tahun depan .

Disokong oleh Anwar (kiri), Hadi dan penasihat DAP Lim Kit Siang, perwakilan dan ahli Pakatan diminta supaya menyebarkan dokumen itu secara meluas untuk mempersiapkan gabungan itu dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.

Anwar pula, dalam ucapan penggulungannya, berkata sebahagian besar perbincangan dan perbahasan dalam konvensyen itu menumpukan kepada nasib orang Melayu dan bagaimana BN dan Umno tidak memenuhi janji mereka untuk meningkatkan status masyarakat tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan para calon bahawa kekuatan Melayu tidak terletak pada keserakahan tetapi dalam budaya, moral dan integriti.

Sementara itu, Hadi pula berkata adalah tidak salah untuk orang Melayu, Cina dan India menyayangi kaum masing-masing.

Malah, katanya, Islam juga memastikan pengekalan hubungan baik antara satu sama lain dalam masyarakat.

Adalah salah, tambahnya, untuk berlaku kejam meskipun jika ia dilakukan kerana alasan bangsa, dan begitu juga, adalah salah menggunakan bangsa sendiri untuk berlaku kejam terhadap yang lain.


Tiada ulasan: