Khamis, 16 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


PAS tak tangguh muktamar biarpun pilihan raya hampir

Posted: 16 Dec 2010 10:31 PM PST

PAS tidak bercadang menangguhkan muktamar agung parti itu tahun hadapan walaupun pilihan raya umum ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Tak ada sebab PAS hendak berbuat demikian,” katanya kepada pemberita ketika dtemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka dekat Kota Bharu hari ini.

Beliau ditanya kemungkinan PAS menangguhkan pemilihan pada muktamar agung parti itu tahun depan, jika pilihan raya umum ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Umno sebelum ini mengumumkan keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual tahun depan.

Nik Aziz juga berkata beliau tidak bercadang untuk meletak jawatan walaupun dilihat sentiasa uzur kerana baginya memegang jawatan menteri besar bukan memerlukan tenaga fizikal tetapi akal fikiran.

Bagaimanapun, katanya, jika parti tidak lagi mahu beliau memegang jawatan itu beliau boleh berundur bila-bila masa.

“Kalau parti suruh saya behenti, hari ini juga saya boleh berhenti,” katanya.

Ditanya sama ada sudah ada pengganti yang bakal mengambil alih tempatnya jika beliau berundur nanti, Nik Aziz berkata calonnya sudah ada.

“Calonnya ada banyak, kalau dulu pemimpin PAS kita nampak terdiri daripada orang pondok, tetapi sekarang sudah banyak yang mempunyai kebolehan kerana mempunyai kepakaran dalam segenap bidang,” katanya.

Mengenai kesihatannya, Nik Aziz berkata, beliau dinasihatkan doktor supaya banyak berehat dan tidak melakukan gerakan melibatkan pergerakan tulang belakangnya dan beliau akan membuat rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian esok.

Nik Aziz dimasukkan ke hospital itu Ahad lalu selama tiga hari kerana masalah sakit belakang.


Takziah! PRK Lagi, ADUN Tenang, Sulaiman Taha meninggal dunia

Posted: 16 Dec 2010 08:03 PM PST

ADUN Tenang, Sulaiman Taha meninggal dunia

ADUN Tenang, Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada jam 1.10 awal pagi ini. Allahyarham berusia 59 tahun.

Allahyarham meninggalkan isteri Seri Noraini Yaakop, 6 anak perempuan dan seorang lelaki.

Menurut Umno Online, Allahyarham diirawat di Hospital Ampang Puteri kerana penyakit kencing manis sejak 24 November lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi menjalani rawatan lanjut.

Sebelum ini, dilaporkan Allahhyarham yang juga ketua Umno Labis dimasukkan ke Hospital Segamat selepas mengadu tidak sihat dan terlantar hampir sebulan.

Pada 24 November lalu, Allayarham memohon dipindahkan ke hospital swasata di ibu negara itu.

Tenang dilihat sebagai kubu kuat Umno dan pada pilihan raya umum 2008, apabila Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya 2008, Tenang mempunyai 49.66 peratus pengundi Melayu, manakala Cina 38.13 peratus, India 12.11 peratus dan bangsa-bangsa lain 0.10 peratus.

Awal petang semalam, Bernama memetik setiausaha Umno Labis, Abdul Razak Abdul Rashid, sebagai berkata Sulaiman dirawat di Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur kerana menghidap penyakit kencing manis dan dalam keadaan stabil.

Katanya, Sulaiman, 59, menghidap demam biasa sekembalinya daripada menghadiri majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada petang 23 November dan dimasukkan ke Hospital Daerah Segamat pada hari yang sama setelah doktor mendapati kadar kandungan gula dalam badannya tinggi.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ampang Puteri pada hari berikutnya dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk menjalani rawatan selanjutnya.

Abdul Razak berkata beliau difahamkan oleh pihak hospital keadaan Sulaiman adalah stabil namun perlu menjalani rawatan lanjut kerana disyaki terdapat kuman dalam darahnya.


Tiada ulasan: