Isnin, 13 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Saman RM1bilion: MB Terengganu tidak cerdik

Posted: 13 Dec 2010 10:00 PM PST

Oleh : Khairul Azlam Mohamad   

KUALA TERENGGANU, 13 Dis: PAS menyifatkan dakwaan kononnya Kerajaan PAS Terengganu cuai sehingga disaman RM1 bilion dianggap berniat jahat, berkepentingan politik Umno serta kenyataan yang tidak cerdik.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bahawa kerajaan negeri sekarang terpaksa menanggung beban kerana kecuaian kerajaan PAS bermotif politik.

Baginya, Ahmad seorang yang tidak cerdik kerana tidak tahu membezakan antara kerajaan dengan parti politik.

"Kenyataan Mat (Ahmad) Said bahawa kerajaan Terengganu hari ini terpaksa menanggung beban hasil dari kecuaian Kerajaan PAS yang menyebabkan disaman RM1 bilion oleh Syarikat Riyapadu Sdn Bhd itu bermotif politik.

"Saya merasakan sebagai seorang Menteri Besar, saya rasa 'Mat Said' ini tidak reti beza antara kerajaan dengan parti politik. Sebab kerajaan ini satu entiti dan parti ini satu entiti yang lain.

"Rakan-rakan dia dalam Umno pernah kata Mat Said ini 'bodoh' tetapi saya tidaklah sampai ke tahap itu untuk kata dia seorang yang bodoh. Tetapi, saya rasa dia (Ahmad) tidak cerdik sikit dalam hal ini," jelasnya yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Taman Seri Intan di sini, hari ini. Menurutnya, Ahmad disifatkan kurang cerdik kerana menyalahkan PAS sedangkan kes tersebut masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Katanya, jika proses mahkamah belum selesai dikhuatiri boleh menimbulkan subjudis serta persepsi yang salah.

"Kes ini dia boleh menimbulkan subjudis sebenarnya kerana proses mahkamah belum selesai tetapi gambaran yang diberi oleh akhbar ini, seolah-olahnya kerajaan ini terpaksa tanggung beban RM1 bilion.

"Ini satu persepsi yang salah kerana proses mahkamah belum selesai lagi. Kes ini sekarang di Mahkamah Tinggi, selepas ini Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan," ujarnya.

Menurutnya, isu tersebut cuba dipolitikkan oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional dengan melabelkan PAS sebagai yang bertanggungjawab. Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.


Disebalik ekonomi negara dikatakan kukuh, 2,000 mungkin hilang kerja

Posted: 13 Dec 2010 07:00 PM PST

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Kementerian Pelajaran akan menyiasat dakwaan mengatakan terdapat kira-kira 2,000 pekerja rendah awam di sekolah-sekolah seluruh negara tidak disambung kontrak perkhidmatan apabila ia tamat pada 31 Disember ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) itu bagi memastikan keadilan pekerja tersebut terbela.

“Saya tidak boleh mengatakan perkara tersebut betul atau salah memandangkan pihak kementerian tidak dimaklumkan mengenai masalah tersebut.

“Kementerian akan melakukan semakan dengan Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengesahkan perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden CUEPACS, Omar Osman yang mendakwa nasib kira-kira 2,000 pekerja rendah awam di sekolah-sekolah seluruh negara kini tidak menentu apabila kontrak perkhidmatan mereka yang akan tamat pada 31 Disember ini tidak disambung.

Lebih malang lagi, Omar berkata, kebanyakan mereka termasuk orang kurang upaya (OKU) telah berkhidmat di antara 10 hingga 20 tahun serta mempunyai pelbagai tanggungan.

”Kesemua mereka telah menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing mengenai penamatan kontrak perkhidmatan kira-kira tiga bulan lalu,” kata Omar di Pulau Pinang hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Puad meminta agar mana-mana pihak tidak memperbesarkan isu ini memandangkan perkara tersebut belum ada kesahihannya lagi.


Isu FELDA: Najib Pengkhianat Sebenar

Posted: 13 Dec 2010 03:30 PM PST

SHAH ALAM  : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai pengkhianat sebenar oleh Mantan Timbalan Menteri yang bertanggungjawab menjaga FELDA, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Ini kerana katanya rizab tunai  agensi itu susut mendadak selepas Najib mengambil alih syarikat itu pada tahun 2005.

Tegasnya, tindakan terdesak itu juga ujarnya disebabkan Najib ingin menjaga 40 kerusi Parlimen yang terletak di bawah kawasan FELDA seluruh negara.

Dihubungi Tv Selangor Dr Tan berkata, selepas Najib mengambil alih pengurusan FELDA, rizab tunai lembaga itu jatuh daripada RM4.5 bilion kepada RM1.2 bilion.

Beliau mendakwa Najib sebagai individu yang bertanggungjawab penuh ke atas FELDA membazirkan RM3 bilion melalui pelaburan anak syarikatnya, FELDA Global Ventures.

FELDA juga  baru-baru ini kata Dr Tan, cuba meminjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat kekurangan rizab tunai walaupun aset dari hartanah dan pegangan sahamnya banyak.

“Banyak lagi kes peneroka yang tidak berpuas hati tentang Tabung Tanam Semula.

“Dua bulan lalu, ada satu kes yang melibatkan peneroka berusia 60 tahun yang melalui skim tabung tersebut telah menyimpan sebanyak RM17,000.

“Oleh disebabkan alat-alat dan baja di bawah skim FELDA mahal, beliau menggunakan wang sendiri dan apabila beliau mahu menuntut wang tersebut, FELDA kata tak boleh,” jelasnya.

Beliau yang mempersoalkan tindakan tersebut, menggesa supaya FELDA melantik syarikat akauntan untuk menjalankan audit dalaman terhadap akaun lembaga tersebut.

Dr Tan turut mempertikaikan kenyataan Najib di mana FELDA juga mempunyai 45 anak syarikat yang tidak diberikan butiran termasuk pelaburan luar negara RM3 bilion di Amerika Syarikat.

“Bagilah semua butir-butir, sebab kita tidak tahu apakah butir-butirnya tetapi beliau tidak jawab langsung,” ujarnya.

Tambahnya, apabila FELDA kalah dalam kes Kadar Perahan Gred (KPG) di FELDA Kemahang 3 di Kelantan, Najib turut menyalahkan peguam di mana menyebabkan peneroka semakin marah dengan sikap sebenar kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata sebelum Najib dan pemimpin Umno membuat tuduhan, beliau harus melihat kembali tentang apa yang didedahkan oleh Dr Tan mengenai penyusutan rizab FELDA dari tahun 2004 sehingga 2009.

“Maknanya daripada sejumlah rizab FELDA menyusut daripada RM4 bilion kepada hanya RM1.3 bilion.

“Ia juga telah dikemukakan dalam Parlimen tentang kebenaran dakwaan Dr Tan dan telah dijawab oleh Datuk Ahmad Maslan selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau telah mengaku bahawa wujud kemerosotan tersebut, jadi adakah dengan jawapan secara berterus-terang itu bahawa kononnya pihak pembangkang telah membuat pengkhianatan dan tuduhan mengatakan FELDA bankrap?,” soalnya

Justeru, Mazlan menegaskan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab ke atas salah urus dan kemerosotan rizab tunai yang dipertanggungjawabkan ke atasnya ketika itu.

Semalam dalam satu ucapan di hadapan peneroka FELDA, Najib melabel golongan yang menuduh agensi itu bankrap sebagai pengkhianat.

FELDA pada ketika ini menyaman akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan yang menyiarkan laporan ‘FELDA Bankrap’ sehingga pihak Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan akhbar berpengaruh itu


Tok Guru Haji Hadi pertahan kerjasama Pas, DAP berbeza

Posted: 13 Dec 2010 04:09 AM PST

MERCHANG – Kerjasama antara Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) dengan DAP adalah kerjasama tidak wala’, himayah, istianah dan tahaluf, berbeza dengan UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO dalam BN bekerjasama dengan MIC dan MCA dalam soal wala, dan ia menggadaikan maruah, harga diri serta prinsip Islam.

"Wala adalah istilah politik dalam kitab fiqah yang bermakna hubungan dengan orang bukan Islam sehingga kita (Islam) boleh menjual maruah dan harga diri kita. Macam dalam UMNO, hendak menang, sanggup beri kawasan Islam.

"Pas pula tetap dalam mempertahankan dasar-dasarnya dan teguh dalam pendiriannya walaupun bekerjasama dengan DAP," katanya pada program gerak kerja pilihan raya Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di sini.

Dengan mengambil contoh kerjasama himayah pula seperti dilakukan Abu Talib (bukan Islam) menolong Rasulullah SAW atas dasar saudara, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan perbuatan seperti itu dibenarkan.

"Manakala istianah ialah khidmat bagi membantu Islam seperti dilakukan Abdullah Bin Uraiqit juga seorang bukan Islam dalam membantu nabi menunjukkan jalan semasa nabi hijrah, perbuatan itu juga turut dibenarkan," katanya.

Abdul Hadi berkata, Allah melarang umat Islam berwala iaitu memberi kesetiaan sehingga sanggup menjual harga diri dan maruah kepada orang bukan Islam dan menyifatkan perkara seperti itu wujud dalam kerjasama UMNO dengan MCA dan MIC.

Menurutnya, ia berbeza dalam kerjasama antara Pas dengan DAP kerana parti itu tidak akan berganjak daripada dasarnya kerana bekerjasama dengan DAP adalah kerjasama tahaluf.

"Selain itu, Pas juga tidak menolak pilihan raya bagi memilih kerajaan, selagi ada jalan mudah, kita pilih demokrasi. Ia membuktikan bukan semua dari Barat kita tolak kerana kita (Pas) juga memilih pilihan raya cara damai (demokrasi)," katanya


Tiada ulasan: