Ahad, 12 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Najib gelabah rakyat bangkit

Posted: 12 Dec 2010 03:00 PM PST

Oleh : Idris Ahmad    

PAS nampak Datuk Seri Najib Tun Razak gelabah dan resah menghadapi gelombang kebangkitan rakyat. Serangan demi serangan kepada Pakatan Rakyat melalui media perdana dan meminta rakyat terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional dalam PRU 13.

Beliau cuba hendak mengajak rakyat supaya membutakan mata supaya jangan melihat kebaikan yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat yang memerintah selama  dua tahun lapan bulan cukup teruji dan terbukti kamampuanya berbanding dengan BN yang memerintah selama 53 tahun.

Ditambah pula kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa BN di bawah kepimpinan Najib memerlukan masa untuk  mendapat sokongan majoriti kerana masih  ada lagi rakyat yang belum berpuas hati  terhadap BN.

Rakyat mula membuat perbandingan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang tidak mempunyai hasil yang banyak tetapi mampu membuat kebajikan kepada rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah dan sebagainya.

Rakyat sudah membayangkan jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat dengan hasil yang begitu melimpah ruah, maka banyak lagi kesenangan rakyat akan diperolehi.

Rakyat mula memikirkan apa yang mereka dapat di negeri BN yang memerintah. Sebaliknya rakyat hanya dapat kenaikan harga barang, petrol, gas dan akan datang pula kenaikan tarif elektrik.

Taktik serangan terhadap Pakatan Rakyat untuk melindungi masalah dalaman BN yang begitu parah. Konvensyen BN pada 5 Disember 2010 gagal mencapai hajat penyatuan di kalangan mereka sebaliknya berakhir dengan perang mulut antara Umno dan MCA mengenai isu ketuanan Melayu.

Slogan 1Malaysia nampaknya tidak berapa menjadi untuk menjadi umpan kepada pengundi bukan Melayu untuk bersama dengan BN, maka jalan keluarnya ialah dengan menyerang Pakatan Rakyat.

Hari ini Datuk Seri Najib mendakwa siapa yang mengatakan Felda bankrap pengkhianat bangsa. Apabila peneroka sudah mempunyai kekuatan dan celik maklumat hasil daripada perjuangan PAS yang menubuhkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) untuk generasi kedua, maka banyak tembelang Umno BN sudah terbongkar.

Barisan Nasional tidak boleh menipu generasi kedua peneroka kerana mereka adalah generasi yang bermaklumat dan terpelajar. Sekarang mereka bangkit menuntut hak mereka, selama ini bapa mereka diperah seperti kilang sawit memerah buah sawit, yang peneroka dapat hanya hampas ini yang menjadi kemarahan Datuk  Seri Najib.

Golongan Dakwa Felda Bankrap Pengkhianat Bangsa – Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pihak yang mendakwa Felda bankrap, sebagai pengkhianat bangsa, kerana sanggup menghina institusi itu yang telah banyak berjasa kepada rakyat.

Perdana Menteri menjelaskan Felda sebenarnya merupakan sebuah institusi yang berjaya dan telah mengubah lanskap sosio-ekonomi negara selain mempunyai simpanan tunai yang banyak.

“Dua tiga hari lepas, saya bermesyuarat dengan pengurusan Felda, saya tengok akaun Felda. Kalau semua saham milik Felda yang tersenarai dalam Bursa Malaysia hari ini, kita cairkan, keuntungan atau pendapatan yang boleh Felda peroleh adalah sebanyak RM4.3 bilion.

“Siapa kata Felda bankrap…mana ada? Pengurusan Felda kata, jangan sebut tetapi banyak wang tunai kita ada dalam simpanan…(dan) selamat,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010, di sini, Ahad.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Najib berkata pihak yang mendakwa Felda bankrap sebenarnya telah membuat pembohongan kedua terbesar selepas kononnya akan mengambilalih pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada 16 Sept 2008.

Sebab itu, Perdana Menteri berkata adalah wajib bagi rakyat termasuk warga Felda untuk mempertahankan kerajaan sedia ada di Putrajaya.

Sambil menyifatkan golongan berkenaan tidak berhati perut kerana sanggup menghina dan mencemar imej Felda, Najib berkata pihak terbabit kini takut “menyerang” Felda kerana kebenaran telah terbukti bahawa apa yang mereka dakwa tidak betul.

“Sebab itu orang yang dakwa Felda bankrap hari ini dah ketaq (ketar) lutut. Kita dah menang dua kes (saman) di mahkamah dan empat lagi kes sedang tunggu.

“Kita berada di pihak yang benar. Hari ini mereka tidak berani berkokok lagi. Kita cabar, kalau mereka berkokok, kita saman,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata dengan peluang dan rancangan jangka panjang yang dilaksanakan Felda di 317 tanah rancangannya di seluruh negara, telah membawa banyak perubahan atau transformasi kepada komuniti Felda itu sendiri.

Sebagai contoh, beliau berkata seramai 36 anak peneroka Felda yang diberi peluang untuk mendapat kelulusan dalam jurusan “License Aircraft Maintenance” (penyelenggaraan pesawat berlesen) akan menjadi kumpulan pertama, diiktiraf sebagai jurutera dalam bidang tersebut tahun depan.

Justeru, beliau berkata tiada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa komuniti Felda kini merupakan contoh masyarakat luar bandar yang berjaya di negara ini.

Beliau juga berkata antara kejayaan paling berkesan oleh Felda di peringkat global ialah dalam membanteras masalah kemiskinan.

“Ini semua adalah bukti bahawa perjuangan kita merupakan perjuangan yang dapat membawa manfaat kepada komuniti Felda. Saya dimaklumkan dua juta rakyat mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung dengan kejayaan Felda,” katanya.

Malah, beliau berkata kejayaan dan perubahan itu bukan sahaja dinikmati masyarakat Felda tetapi komuniti di sekeliling tanah rancangan institusi berkenaan.

“Ini bererti bahawa kejayaan Felda bukan untuk komuniti Felda sahaja tetapi untuk seluruh negara. Sebab itu Felda perlu kita pertahankan daripada diserang oleh sesiapa yang berniat buruk dan tiada hati perut,” katanya.

Beliau juga percaya dengan kejayaan yang dicapai oleh Felda, warga institusi itu boleh menjadi komuniti yang akan mencapai masyarakat berpendapatan tinggi lebih awal daripada rakyat lain di negara ini, iaitu sebelum 2020.

Bagi menghargai peranan peneroka Felda, Najib mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan lima program di tanah rancangan tersebut, yang masing-masing membabitkan peruntukan RM1 juta.

Perdana Menteri berkata peruntukan itu melibatkan Program Memerangi Dadah dan Gejala Sosial; Program Pembangunan Belia, Kebudayaan dan Sukan; Program Komuniti Berpagar; Pengurusan Majlis Belia Felda Kebangsaan, Wilayah dan Rancangan serta Program Sahsiah Komuniti Belia.

Beliau turut mengumumkan bahawa Felda bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi pembinaan gelanggang futsal terbuka di tanah-tanah rancangannya.

Najib berkata kos pembinaan gelanggang tersebut yang melibatkan RM100,000 sebuah, dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2012. – BERNAMA


Tiada ulasan: