Khamis, 9 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Putrajaya : PAS sanggah kenyataan Muhyiddin

Posted: 09 Dec 2010 08:00 PM PST

Oleh : Hazayani Zakaria    

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Pemimpin Umno BN hendak mempertahankan Putrajaya bukan untuk rakyat, tetapi untuk suku sakat mereka yang sedang kehausan dan kelaparan, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Barisan Nasional bersungguh-sungguh mahu mempertahankan Putrajaya demi kepentingan rakyat dan negara di dalam taklimat strategi BN Selangor di Shah Alam, hari ini.

PAS, katanya berpandangan gesaan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno sebagai bayangan kerisauan yang wujud di wajah pemimpin Umno di semua peringkat kerana mimpi ngeri 8 Mac 2008 masih menghantui mereka.

Katanya, pemimpin Umno bimbang dengan peningkatan celik maklumat di kalangan rakyat, melalui kuasa media baru, terutama di kalangan generasi muda.

Ujarnya lagi, mungkin pemimpin Umno boleh menipu emak bapa mereka, tetapi kerja pencerahan maklumat akan dibuat oleh anak-anak mereka yang terpelajar.

Muhyiddin, kata beliau sepatutnya rasa malu, kalau alasan untuk mempertahankan Putrajaya kerana kepentingan rakyat kerana seantero dunia sudah tahu BN yang memerintah negara ini gagal menjalankan amanah dan mengkhianat kepada rakyat selama 53 tahun.

Sekarang, tambahnya kualiti hidup rakyat semakin menurun, kuasa membeli rakyat semakin rendah, semuanya gara-gara kegagalan Umno mentadbir negara.

"Sepatutnya Timbalan Presiden Umno kena beri motivasi kepada pemimpin Umno, kita kena pertahankan Putrajaya kerana perut kita semakin kempis, kerana lubuk emas dijaga oleh manusia bukan oleh puaka," ujarnya.

Beliau juga mengulas tuduhan Muhyiddin mengatakan "kalau Pakatan Rakyat memerintah, negara tidak aman, maju dan kukuh. Jangan percaya kepada janji-janji pembangkang, mereka cakap tidak serupa bikin".

"PAS hendak sedarkan Tan Sri Muhyiddin beliau sedar atau tidak ucapan itu terkena kepada batang hidung Umno yang dipimpin oleh beliau bersama dengan Datuk Seri Najib.

"Bukankah pemimpin Umno yang berkata pada 1 Nov 2010, minyak RON 95 tidak akan naik sehingga hujung tahun ini, tiba-tiba 5 hb Disember 2010 RON 95 telah dinaikkan. Siapa yang lidah bercabang?" soalnya.

PAS, katanya mengingatkan kepada rakyat Selangor terutamanya jangan memberikan mandat kepada BN dalam pilihanraya akan datang.

Jika BN menang, ujarnya segala bentuk kebajikan akan bertukar kepada penindasan di mana air percuma 20 meter padu setiap bulan, skim warga emas yang meninggal mendapat RM2,500 akan hilang.

"Buktinya rakyat Terengganu sudah mengalami hari ini apabila BN memerintah Terengganu, cukai pintu di zaman PAS memerintah dikecualikan telah dikenakan kembali pada tahun 2004 apabila mereka kembali berkuasa," katanya.


Isu Istana Kelantan : Majlis Perajaan Negeri lebih berkuasa

Posted: 09 Dec 2010 04:04 PM PST

KUALA LUMPUR - Pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad V (gambar) tidak perlu mendapat persetujuan daripada Kerajaan Pusat kerana Majlis Perajaan negeri lebih berkuasa dalam perkara tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, apabila berlakunya sesuatu lantikan oleh majlis tersebut, apa yang perlu dilakukan adalah pemasyhuran iaitu memaklumkan kepada rakyat.

“Sebagai kerajaan, sebenarnya kita tidak boleh campur tangan dalam apa yang berlaku di dalam institusi beraja di Kelantan kerana mereka ada Majlis Perajaan yang boleh menentukan siapa yang berhak menjadi sultan.

“Apabila mereka telah menentukan siapa yang menjadi sultan, proses seterusnya adalah pemasyhuran, maknanya memaklumkan kepada rakyat.

“Jadi, kalau kita faham sistem ini, tidak ada ruang dan sebab mengapa pihak Kerajaan Pusat, mengapa kerajaan negeri dan mengapa rakyat perlu mempertikaikan apa yang berlaku di istana Kelantan itu,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas permintaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang meminta Majlis Raja-Raja, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan bagi mengelakkan kegelisahan dan kekeliruan rakyat dengan situasi semasa di negeri itu.

Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra) dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 24 Mei tahun lalu oleh Majlis Perajaan kerana ayahandanya, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Mohamed Nazri berkata, institusi beraja di Kelantan telah wujud sebelum kewujudan Kerajaan Pusat pada 1957 malah tidak pernah berlaku pemasyhuran sultan perlu melibatkan persetujuan kerajaan pusat atau negeri.

“Tidak ada masalah dalam pemasyhuran itu. Jadi, takkan jika hanya Tengku Razaleigh tidak berpuas hati kita akan ambil kira pandangan beliau dan tidak pernah berlaku pun rakyat, Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri dilibatkan dalam soal pemasyhuran sultan,” katanya.

Beliau berkata, isu tersebut juga tidak layak dibawa ke mahkamah khas kerana mahkamah itu hanya membicarakan salah laku seorang raja, bukan untuk pertikaian sama ada pemasyhuran itu sah atau tidak.

“Pemasyhuran ini (Sultan Muhammad V) perlu diterima semua. Apabila dimaklumkan kepada Pusat dan kita terima, bukan untuk kita iktiraf pun kerana ia tak perlu pengiktirafan daripada kita (Kerajaan Pusat),” katanya


Tiada ulasan: