Isnin, 6 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


‘Istana Dr Khir Toyo’ : Khir dihadap ke mahkamah

Posted: 06 Dec 2010 10:00 PM PST

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 6 Dis. – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta daripada sebuah syarikat, tiga tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn. Bhd. (Ditamas) melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni, 52.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Shamsuddin turut didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan terhadap Shamsuddin yang juga mengaku tidak bersalah, dibuat mengikut Seksyen 109 dan dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai barisan pendakwaan memohon agar kedua-duanya diikat jamin tidak kurang RM1 juta dengan alasan kesalahan dilakukan adalah serius dan melibatkan jumlah wang yang amat besar.

Katanya, tertuduh yang merupakan seorang wakil rakyat dan memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri sepatutnya lebih arif tentang undang-undang.

Beliau turut memohon kedua-dua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini serta dibicara bersama kerana ia melibatkan transaksi yang sama.

Sementara peguam yang mewakili Mohamad Khir, M. Athimulan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan jumlah yang ditawarkan terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Beliau berhujah, jumlah jaminan hanya untuk memastikan kehadiran dan bukan menghukum selain pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh hanyalah melibatkan kes saman.

Abdul Gani bagaimanapun membalas hujah bahawa pertuduhan itu bukan lagi kes saman kerana ia merupakan satu kesalahan yang ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Ia satu kesalahan yang serius serta menarik perhatian masyarakat umum. Kedua-dua tertuduh telah diberi hak masing-masing semasa siasatan dan siasatan telah dilakukan dengan adil.

“Saya tidak menafikan jaminan untuk pastikan kehadiran dan saya tidak kaitkan jaminan dengan berat kesalahan, malah ia satu isu yang berbeza. Satu jaminan yang sesuai diperlukan bagi memberikan keyakinan kepada sistem perundangan keseluruhan,” jelasnya.

Pendakwaan turut diwakili Ketua Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah; Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Dzulkifli Ahmad; dan Timbalan Pendakwa Raya, C. Vignes Kumar.

Sementara Mohamad Khir turut diwakili oleh peguam Afifuddin Mohd. Hafifi.

Azhaniz kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan secara ikat jamin RM750,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan kes itu dipindah dan dibicara di Mahkamah Tinggi di sini.

Tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi akan ditentukan kemudian.

Mohamad Khir yang merupakan Menteri Besar Selangor ke-13 dan menjawat jawatan itu dari Ogos 2000 hingga Februari 2008 ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 9 pagi ini.

Beliau dan Shamsuddin dibawa ke mahkamah pada pukul 11.25 pagi selepas dikatakan disoal siasat di Ibu Pejabat SPRM Selangor.

Kes pembelian hartanah itu menarik perhatian umum serta mula disiasat SPRM ekoran dakwaan yang dibuat oleh ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim mendakwa hartanah seluas 50,000 kaki persegi itu dibina pada anggaran kos RM20 juta, manakala tanah itu dibeli dengan harga RM3.8 juta.

Mohamad Khir menafikan dakwaan tersebut dan memfailkan saman fitnah terhadap Suee Lim yang kini di peringkat pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Diterbit Siasah Online bertarikh 6hb julai 2009

Istana Dr Khir Toyo bernilai RM24 juta

SHAH ALAM : Adun DAP dari Sekincan, Ng See Lim, mendedahkan hari ini, istana umpama resort di Jalan Suasa 7/1L dekat sini adalah milik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Beliau mendedahkan, istana Khir itu dibina diatas tanah seluas lebih 50,000 kaki persegi atau 1.17 ekar.

Beliau mempunyai dokumen dari Jabatan Tanah Negeri yang menunjukkan Khir membeli lot seluas 31,794 kaki persegi dengan harga RM2.9 juta manakala lot satu lagi bersais 20,427 kaki persegi dengan harga RM900,000.

Dia juga mendakwa, istana dalam pagar tinggi itu dibina dengan kos melebihi RM20 juta.

“Saya ingin mendapat penjelasan Dr Khir, yang mana adalah seorang doktor gigi sebelum menjadi MB selama lapan tahun, dari mana beliau dapat wang sebanyak sekurang-kurangnya RM24 juta itu,” kata Ng See Lim dalam kenyataannya


Tok Guru Nik Aziz : Hijrah demi tegak ketuanan Islam

Posted: 06 Dec 2010 07:53 PM PST

Firman Allah SWT, maksudnya: "Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui. (Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.."  (Surah an-Nahl 16: 41-42)

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumi-Nya ini. Kini kita menyambut tahun baru 1432 Hijrah maka setahun lagi usia kehidupan kita bertambah. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.

Sesuai dengan kedatangan tahun baru Hijrah ini, maka ada baiknya kita memperingati Peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan ia selari dengan perintah al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua.

Firman Allah SWT, maksudnya: "Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman." (Surah Yusoff 12:111)

Justeru, memperingati Peristiwa Hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimana pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Islam di muka bumi ini seperti mana di perintahkan oleh Allah SWT.

Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.

Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam sebenar yang mengambil kira soal dosa dan pahala. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semua aktiviti hidup kita agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT. Insya-Allah, jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, maka kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera.

Semoga kehadiran tahun 1432 Hijrah ini memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan demi memartabatkan ketuanan Islam dalam kehidupan kita di dunia menuju akhirat.

Sekian.

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

* KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN *

Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Pejabat Menteri Besar Kelantan.
1 Muharam 1432H / 7 Disember 2010M


Tiada ulasan: