Isnin, 6 Disember 2010

.

.


Selepas Subuh

Posted: 05 Dec 2010 02:40 PM PST

Kenang Tok Kenali, Tok Janggut Dulu
Baru Cheng Ho


SEBUAH berita dari Kota Bharu yang dilaporkan oleh portal parti Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat cadangkan supaya pihak pemaju menamakan sebatang jalan dalam kawasan bandar baru Tunjung yang sedang dibangunkan kini sebagai nama 'Haji Cheng Ho'. Cadangan itu sebagai kenangan atas jasa-jasa laksamana Cina berkenaan yang berjaya mengadakan hubungan persahabatan, perdagangan dan menyebarkan agama Islam di Nusantara ini termasuk Kelantan.

Tidak salah kalau Kelantan mengenang ataupun menghimbau kembali akan eksepidisi dakwah serta jalinan perdagangan berlandaskan Islam dilakukan Cheng Ho. Kerana itu langkah kerajaan Kelantan mengadakan expo Cheng Ho baru-baru ini disokong dan merupakan satu pandangan jauh kerajaan Kelantan dalam mengembang agama Islam dan sekaligus memberi kesedaran sejarah kepada rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia seluruhnya betapa penting hubungan humaniti untuk mensejahtrankan dunia ini.

Tetapi apabila Tok Guru begitu bermurah hati untuk menamakan sebatang jalan dengan nama Cheng Ho rasanya kurang bersesuaian. Kenapa kita harus begitu murah untuk memacakkan ingatan dan sejarah orang lain di negeri kita? Walhal masih banyak orang berjasa di Kelantan yang tidak dikenang sebagai sepatutnya.

Mungkin Tok Guru atau Pas Kelantan merasa jijik untuk menyebut nama Mohd Asri Muda Muhammad Nasir ataupun Ishak Lotif. Ketiga-tiga nama itu adalah bekas Menteri Besar Kelantan. Asri Muda adalah bekas presiden Pas. Nama-nama lain Amaluddin Darus, Ahmad Yatim yang merupakan orang pertama terlibat dalam penubuhan Pas di Kelantan. Tidak dapat dinafikan jasa dan bakti mereka besar terhadap pengembangan Pas Kelantan. Mereka itu semua laksana Cheng Ho Kelantan.

Sebelum tahun 1990 nama mereka adalah harum dan menjadi sanjungan. Merekalah antara orang yang bergadai bergolak untuk menghidupkan Islam (nasionalis) di Kelantan. Seharusnya jasa mereka dikenang. Kalaupun tidak mahu mengenang jasa mereka selepas mereka membuat onar - keluar parti dan masuk Umno (hanya Asri), tetapi kenanglah jasa mereka sebelum itu. Apakah salah?

Mengenang seseorang berjasa, penting. Mendedahkan pengorbanan mereka juga penting. Biarlah orang muda mengetahui bagaimana perit dan pedihnya jalan dilalui mereka untuk mengolahkan sebuah perjuangan. Mungkin bagi mereka yang dianggap tidak istiqamah dengan parti, tetapi harus diingat mereka ada anak, cucu dan cicitnya. Tentu anak, cucu dan cicit mereka akan merasa bangga kalau keturunan mereka dihargai. Generasi mereka diharap akan bersama Pas.

Tak mengapa kalau Pas tidak mahu mengenangkan mereka untuk menamakan mana-mana lorong atau denai dengan nama mereka. Tetapi Pas masih ada berlambak nama-nama tersohor dan mereka yang telah menggadaikan nyawa dalam memperjuangkan Islam menerusi Pas, yang akhirnya menghembus nafas terakhir dalam Pas. Salah seorang dari mereka yang besar pengorbanan ialah Abdul Samad Gul Ahmad Miaji, ahli parlimen Pasir Mas Hulu (Rantau Panjang). Beliau syahid kerana dikapak oleh musuh.

Nama-nama lain Khidir Khatib, Muhammad Amin Yaacob, Bunyami Yaacob, Wan Jamil dan lain-lain. Apakah jasa dan budi mereka kecil untuk tidak dikenang. Rasanya elok kalau nama mereka diabadikan pada apa-apa monumen sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka.

Ataupun kalau nama orang politik hanyir untuk diabadikan, masih ada nama lain yang lebih sesuai dan 'paten' untuk diabadi dan disanjungi. Tok Kenali dan Tok Janggut adalah dua nama hebat di Kelantan. Namanya wangi bukan saja di Kelantan tetapi di seluruh Malaysia malahan disebut hingga ke segenap Nusantara.

Tok Kenali selamanya dirujuk kepada bidang agama sebagai guru tasauf terhebat di Kelantan. Manusia yang berjaya melalui mujahadah nafsu dan berjaya mencapai peringkat 'khuwah' sehingga dapat memecahkan wajahnya menjadi tujuh bayangan? Manakala Tok Janggut pula sebagai seorang penentang kolonial di Kelantan. Dia digantung songsang oleh Inggeris dan mayatnya diseret berbatu-batu.

Rasanya jasa dan budi mereka besar kepada pembangunan agama dan politik di Kelantan. Bukan tidak boleh kalau hendak menamakan mana-mana jalan dengan nama Cheng Ho, ataupun kalau ada yang memasang niat untuk mengahwini anak cicit Puteri Hang Lipo sekali pun, tetapi dahulukan anak negeri dulu. Masih ramai janda dan anak dara Kelantan yang belum disunting.

Nama Cheng Ho rasanya boleh diabadikan sebagai kenangan atas 'kedatangan' beliau ke Kelantan baru-baru ini (expo) dengan membina replika armada beliau di Pantai Cahaya Bulan (PCB). Sebuah monumen berupa replika boleh dibina di PCB untuk mengenangkan beliau. Katanya kira-kira 600 tahun lalu armada dagang dan dakwahnya pernah berlabuh di situ. Bahkan Cheng Ho didakwa sampai di Kelantan 93 tahun dulu sebelum bermukim di Melaka.

Rasanya pembinaan replika itu lebih sesuai dan afdal daripada menamakan sebatang jalan di Tunjung itu. Pada masa sama juga replika itu boleh dijadikan daya tarikan pelancong untuk mengujungi pantai berkenaan yang makin malap kerana tidak ada usaha untuk menceriakannya. [wm.kl. 6:50 pm 06/12/10]

Epilog

Posted: 05 Dec 2010 06:55 AM PST

Tindakan Polis Tidak Profesional

Setelah meneliti dan melayari beberapa blog dan portal berita baru diketahui ada tindakan sadis polis pada demostrasi protes cadangan menaikkan harga air petang tadi. Ia bukan setakat sembur gas pemedih mata dan sembur water cannon tetapi ada anggota polis yang tendang dan tarik rambut dan sembam muka penunjuk perasaan ke bumi dan sebagainya.

Aksi demikian tidak wajar dan ia menunjukkan kekejaman polis. Polis tidak menggambarkan mesra alam. Sama ada punca kejadian itu kerana provokasi atau lakunan polis sendiri, itu hal lain. Yang nyatanya ada gambar dan foto menunjukkan perbuatan tidak bertamadun itu.

Saya berharap ketua polis negara yang baru ambil perhatian dan jangan membiarkan kejadian ini berterusan. Polis juga tidak sepatutnya berdolak dalih. Kalau mereka tidak berdaya melayan para demostrasi, mereka hendaklah gagalkan awal-awal. Jangan beri kebenaran dan sampai disekerat jalan bertindak.

Tidankan kejam polis berdasarkan gambar yang dirakam termasuk oleh agensi luar negara, tidak mengguntungkan pihak kerajaan. Kekejaman itu membuatkan rakyat akan lebih meluat kepada kerajaan dan merosakan reputasi pasukan polis.

Saya secara peribadi tidak mempedulikan itu. Tidak kira apakah polis bertindak untuk memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat atau BN, tetapi yang penting biarlah ia menggambarkan sebuah pasukan yang profesional dan disanjungi rakyat sepanjang masa.

Rasanya Yang Dipertuan Agong juga wajar melihat kejadian itu atas kapasitinya sebagai payung rakyat. Lainlah kalau penunjuk perasaan itu membuat kacau, melontar batu ke masjid ataupun melakukan pencerobohan. Kalau itu berlaku mereka bukan saja setakat perlu disembam muka ke bumi tetapi tembak pun rasanya wajar.

Kepada penjenguk blog Merah Tinta boleh layar dan selak blog lain dan saksikan apa yang berlaku di perkarangan rumah Allah Negara petang tadi. Ianya sungguh menyesalkan. [wm.kl. 11:00 pm 05/12/10]

Susupan Petang

Posted: 05 Dec 2010 01:32 AM PST

Kebangkitan Semula Tunjuk Perasaan?

KETIKA kira-kira 2,000 para perwakilan konvensyen BN sedang membincangkan tujuh perkara pokok di Wisma MCA Jalan Ampang, KL lebih 5,000 rakyat marhaen dari berbagai kaum menunjuk perasaan di perkarangan Masjid Negara untuk memprotes cadangan memberi kebenaran kepada syarikat konsensi menaikan harga air di Selangor.

Dua himpunan ini dilihat kontras di antara satu sama lain. Satu melibatkan rakyat yang membela hak dan diri mereka kerana dimanipulasikan oleh pihak tertentu dengan cadangan kenaikan harga air itu, manakala satu lagi berbincang untuk mengekalkan hegemoni politik mereka bagi membolehkan para pedagang dan lintah darat terus menyedut darah mereka.

Kalau mengikut role sebenar seharusnya perhimpunan di masjid negara itu tidak perlu diadakan dan tuntutan rakyat itu sepatutnya diselitkan dalam konvensyen BN. Konvensyen itu seharusnya membangkit dan membincangkan masalah rakyat bawahan termasuk mengenai kenaikan harga air itu.

Sebenarnya banyak masalah rakyat bawahan di bawah tanggungjawab kerajaan BN masih belum selesai. Berbagai isu bertaburan dan menjadi perdebatan di mana-mana saja. Semua isu itu akan menjadi senjata yang bakal memakan diri BN dalam pilihan raya akan datang. Sepatutnya di sampin BN membincang mengenai kedudukan mereka dan mempertahankan Putrajaya mereka juga perlu membincang masalah rakyat.

Misalnya ia wajar kalau ikut sama membincangkan kenaikan harga minyak petrol yang akan berjangkit kepada kenaikan harga barangan lain. Namun tidak terjadi demikian. Sebahagian orang yang menghadiri konvensyen BN itu adalah mereka yang bertanggungjawab menentukan harga barangan. Sebagai pemimpin kerajaan mereka bertanggungjawab menentukan kadar harganya.

Malang tidak berlaku begitu.

Saya tidak jenguk ke tempat konvesnyen itu dan apakah resolusi yang diluluskan. Apakah 13 parti komponen BN sepakat menerima resolusi yang diputuskan. Ataupun ada yang tidak berpuas hati dan perdebatan yang ketika ini dirasakan masih diteruskan.

Tetapi yang jelas dan nyatanya protes kenaikan harga air di masjid negara itu berjaya. Ia memulakan momentum baru kebangkitan rakyat selepas pasca Abdullah Badawi menjadi perdana menteri. Apabila tunjuk perasaan itu dihalang dan disuraikan oleh polis dengan melakukan tangkapan seramai 48 orang, ia dianggap berjaya. Itulah yang diidam-idamkan oleh para demonstran.

Selalunya dalam siri-siri tunjukan perasaan kalau tidak ada demonstran yang kena tangkap atau kena pukul ia tidak dianggap berjaya. Mereka akan bangga kalau mereka ditangkap. Demostrasi tanpa ada polis tidak menarik dan mencabar. Sebab itu kalau ada yang kena pukul gambar mereka dianiaya polis akan diesploitasikan secukupnya dalam internet ataupun portal berita. Penganiyaan dan 'kezaliman terpaksa' itu dijadikan modal politik yang cukup enak.

Dalam ukuran dan sifir rakyat marhaen sesuatu tunjuk perasaan itu juga berjaya apabila kehadiran melebihi 5,000 orang dan dikawal oleh ribuan polis. Ia paling berjaya dan bermakna lagi bila polis melepaskan gas pemedih mata, menyembur water cannon ataupun mengejar penunjuk perasaan dengan cota oleh pasukan berkepala (topi) merah.

Nampaknya semua keadaan itu berlaku pada hari ini. Saya tidak dapat memasuki ke perkarangan Masjid Negara tempat menjadi lokasi utama demostrasi kerana semua jalan menuju ke rumah Allah itu disekat. Empat kawasan lokasi untuk penunjuk perasaan berhimpun, di Kampung Atap, Pasar Seni, perarangan Masjid Negara, Istana Negara dan Masji Jamek di kawal rapi.

Kelihatan polis macam turus pagar bercacangan, mengawal keadaan. Semua jalan menuju ke Masjid Negara dan Istana Negara dikawal ketat macam hendak berdepan dengan lembu matador (bull) terlepas dan gila. Polis FRU dijadikan perisai menghalang kemaraan para penunjuk perasaan untuk bergerak ke Istana Negara. Sementara di udara pula berlegar helekopter polis meninjau apa yang berlaku di bumi. Tidak pula dapat dipastikan apakah helekopter juga turut berlegar di Jalan Ampang?

Ketika saya turun komuter polis sedang mengamuk menyembur watar cannon dan melepaskan gas pemedih mata. Ini menyebabkan penunjuk perasaan bercemperaian lari dan ada yang masuk ke stesen keretapi. Beberapa penujuk perasaan yang membawa anak kecil juga lari melindungi anak mereka di kawasan stesen keretapi.

Saya hanya memerhati dari dalam pagar stesen kereta api kerana tidak dapat untuk mara lebih dekat. Semua pintu pagar keluar menghala ke masjid ditutup rapat. Beberapa warga emas dan perempuan bersama anak juga turut melarikan diri. Kelihatan baju mereka basah kerana disembur water cannon.

Mereka tidak sedih tetapi gembira dan seronok. Sambil berjalan mengilai dan ada yang mencaci polis dan BN.

Seorang anak muda dengan muka merah, mata berair menyapa saya dan meminta air mineral untuk membasuh mukanya. Mungkin dia tidak biasa berdemostrasi.

Dari percakapan dengan sekumpulan anak muda yang 'melarikan' diri saya dapat gambaran tunjuk perasaan itu berjaya. Katanya yang paling mengejutkan ialah ramai orang Cina dan India ikut sama mengambil bahagian. Seorang lelaki Cina mengaku datang dari Perak melaungkan ke arah trak polis dengan kata-kata, kenapa buat jahat kepada kami? Geram betul dia.

Sebelum ini yang mendominasi tunjuk perasaan ialah anak muda Melayu. Selalunya tidak sampai 10 persen orang Cina dan India yang mengambil bahagian. Kalaulah dakwaan anak muda itu benar ia memberi petanda baik bahawa tunjuk perasaan di masa depan ada potensi untuk menjadi lebih hebat. Apakah tunjuk perasaan hari ini sebagai muqadimah kepada beberapa siri tunjuk perasaan lain?

Mungkin berdasarkan suasana dan kejayan hari ini sudah ada terpeta di dalam kepala Mohammad Sabu untuk menganjurkan tunjuk perasaan lebih besar dan lebih tersusun selepas ini. Mat Sabu juga dilaporkan hadir. Katanya ada ura-ura untuk mengadakan tunjuk perasaan Bersih kali kedua. Apakah keadaan akan memberi inspirasi kepada Mat Sabu?

Dan apa yang dapat saya simpulkan dengan tunjuk perasaan hari ini ia memberi petanda bahawa kebangkitan rakyat masih berterusan. Walaupun ada perubahan dan transformasi dilakukan Najib namun ia tidak mampu mendamaikan keadaan. Begitu juga kecaman hebat dan pemanipulasi isu ketuanan Melayu oleh UBN tidak memberi bekas.

Bahawa serangan peribadi ke atas Anwar dan usaha melagakan pemimpin Pakatan Rakyat tidak memberi hasil. Begitu juga pendakwaan kali kedua Anwar atas tuduhan liwat juga tidak mudah mematikan semangat anak-anak muda untuk bangkit mempertahankan hak mereka yang mereka sandarkan kepada Anwar sebagai ikon pejuang rakyat marhaen. Apa yang akan berlaku makin ditekan dan diseksa mereka, mereka akan jadi makin murih dan sedia untuk bangkit dengan lebih bengis lagi.

Dari kejauhan dan ketika berselisih ketika hendak ke komuter saya nampak beberapa muka demostran yang mengambil bahagian dalam siri tunjuk perasaan tahun 1998 - 1999 juga kelihatan dan masih bersemangat. [wm.kl. 5:00 pm 05/12/10]

P/s: Maaflah kerana tidak dapat gambar real (dari dekat), gambar ini pun diambil dengan BB.

Tiada ulasan: