Khamis, 2 Disember 2010

.

.


Penganugerahan

Posted: 01 Dec 2010 03:30 PM PST

Haron Din Tokoh Maal Hijrah Selangor?

TIMBALAN Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din khabarnya akan dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah negeri Selangor. Anugerah khas yang berupa sijil dan wang akan disampaikan sempena sambutan Maal Hijrah pada Selasa ini.

Pemilihan Dr Haron itu dilihat tepat. Penglibatan beliau dalam bidang dakwah Islamiah bukan baru. Lama sebelum ini semasa menjadi pensyarah di universiti beliau telah menaburkan segala khidmat baktinya khusus dalam bidang agama.

Ketokohan beliau juga tidak ada tolak banding. Selain aktif berdakwah beliau juga merupakan seorang pengamal perubatan Islam (sufi). Haron juga berjaya menulis dan menerbitkan tafisr penuh al-Quran di samping kitab perubatan Islam.

Kemampuan ini menjelaskan beliau seorang ilmuan kerana bukan calang-calang orang mampu mentafsir Quran. Mendahului pengumuman rasmi kerajaan Selangor saya mengalungkan ucapan tahniah dan syabas kepada beliau. [wm.kl.7:30 am 02/12/10]

Sesudah Subuh

Posted: 01 Dec 2010 02:34 PM PST

Jangan Larang, Tetapi Bimbing Orang Baca Quran

SAYA tidak dengar dengan telinga sendiri bagaimana seorang perwakilan dalam kongres PKR beberapa hari lalu telah membaca terjemahan ayat Quran di dalam ucapan atau perbahasannya. Tidak tahu ayat berapa dan dalam surah apa ayat yang digunapakaikan itu. Tetapi nampaknya perbuatan perwakilan itu sudah dijadikan isu oleh pihak tertentu.

Disebabkan saya tidak mendengar sendiri dari konteks bagaimana ayat Quran itu digunakan, maka tidak dapat saya nak mengulas atau memberi pandangan saya berhubungan tindakan berkenaan. Kalau berdasarkan ulasan pihak tertentu yang anti PKR membayangkan tindakan perwakilan itu satu kesalahan besar. Ia seolah-olah seperti menghina kesucian ayat-ayat Quran dan satu perbuatan tidak patut.

Ia dilihat kotor dan hina lebih hina dan kotor daripada melihat lelaki Islam berganding tangan dengan pelacuran di sekitar ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Cuma biarlah saya menganggap apa yang dilaporkan itu benar - bahawa perwakilan berbangsa India itu menggunakan ayat Quran sebagai mengukuhkan hujah ataupun perbahasannya. Benar dia membaca tafsiran Quran untuk dijadikan panduan dan peringatan kepada para perwakilan.

Sebelum ini seorang pemimpin DAP di Perak pernah menggunakan atau membaca ayat Quran di dalam ceramahnya. Tindakan itu dikecam hebat oleh para agamawan bersongkok mereng dan juga memakai serban merah. Katanya tindakan itu tidak patut dan satu penghinaan kepada Islam. Maka pemimpin DAP itu direjam dengan seribu kata-kata nesta siang dan malam termasuk oleh seorang mufti.

Saya sendiri mengkritik tindakan pemimpin DAP itu. Bagaimana pun Tok Guru Nik Aziz menyatakan ia bukan kesalahan, malahan tindakan itu satu perkara yang harus dipuji. Beliau lalu memperli kalau Umno tidak mahu pakai ayat Quran, sebab itulah DAP baca ayat Quran. Namun pada saya penjelasan Tok Guru itu bukan merupakan sesutau yang bersifat konsensus ulamak tetapi pandangan peribadi ilmunya sendiri.

Saya merasakan kurang wajar pemimpin DAP itu membaca ayat Quran apa lagi yang mendengarnya orang Melayu. Ketidakwajaran ini bukan kerana Quran itu dikhaskan kepada orang Islam saja, malahan kepada seluruh manusia dan makhluk atas muka ini, tetapi tidak wajar kerana yang membaca itu bukan Islam.

Bahasan ini berdasarkan kepada pendapat sesetengah ulama yang menghalang seseorang yang tidak berwuduk untuk menjamah al Quran. Jadi kalau hanya menjamah memerlukan wuduk apa lagi membaca maka lebih-lebih memerlukan wuduk! Tidak mustahil kalau pemimpin DAP itu mempunyai wuduk sebelum membacanya?

Dia masih berlum beriman kepada Allah. Jadi adalah songsang orang yang tidak beriman mempercayai kitab Allah tetapi tiba-tiba memperakui ayat-ayat-Nya. Ini dikatakan songsang. Perbuatan pemimpin DAP itu samalah orang yang tidak memakan pisang (makanan) tetapi mengatakan pisang sedap ataupun boleh mengenyangkan. Kita faham ia digunakan untuk mempengaruhi pendengar dan bukan ikhlas. Perbuatan itu adalah memperolok-olokkan ayat Quran dan samalah sifatnya dengan orang yang membaca tetapi tidak beriman.

Perbuatan seperti itu tidak sah. Sah di sini bermaksud tidak mempunyai keberkatan. Ayat-ayat itu akan berkat sekiranya yang membaca itu memahami isi kandungan Quran dan dia seorang muslim. Quran adalah wahyu Allah kepada Nabi Muhammad. Ia sesuatu yang suci. Kalau Quran itu diperolok-olokkan atau dipermain-mainkan maka kesucian itu akan tercabar. Di sinilah perbuatan seseorang yang memperolokkan Quran dikesali umat Islam kerana ia mencemari kesucian Quran.

Sebenarnya tidak menjadi masalah kalau orang bukan Islam membaca Quran termasuk tafsir dan terjemahan leteral kalau sekadar untuk pengetahuannya. Bacalah. Tetapi kalau ia cuma mengangkat apa yang dibaca itu untuk orang ramai apa lagi orang Islam ia tidak begitu baik. Perbuatan itu umpama orang yang ingin menjadi guru tetapi dia sendiri tidak pernah memasuki maktab perguruan.

Berbalik kepada perwakilan PKR dan juga perbuatan pemimpin DAP yang membaca ayat-ayat Quran itu, ia tidak salah kalau mereka baca untuk diri mereka sendiri. Untuk mereka mengetahui akan kehebatan mukjizat Muhammad itu. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian hati mereka akan terbuka dan mendapat taufik dan hidayah dari Allah s.w.t.

Adapun orang yang mengecam dan menentang perbuatan mereka itu juga keterlaluan. Mereka seharusnya bukan melarang keras sebaliknya memberi pendidikan dan pengajaran kepada mereka. Bimbinglah mereka bukan kecam dan kutuk mereka.

Beritahu perbuatan mereka itu kurang sopan dan jangan melarang mereka mendekati dan menjamah Quran. Sesungguhnya mereka yang melarang orang bukan Islam dari membaca tafsiran Quran itu lebih buruk dan jelek dari perwakilan PKR dan pemimpin DAP yang membaca terjemah Quran itu sendiri. Sebagai orang Islam sepatutnya merasa bangga apabila ada orang bukan Islam cuba berjinak-jinak dengan kitabullah itu dan bukan mempertikaikan penuh emosi dan kebencian.

Bukankah salah satu komponen dalam Islam itu akhlak? [wm.kl.6:40 am 02/12/10]

Ulasan Isu

Posted: 01 Dec 2010 03:18 AM PST

Pilihan Raya Umum Ke 13 Tahun Hadapan?

TIDAK ada alasan paling afdal kenapa Umno menangguhkan selama 18 bulan pemilihan pemimpin di semua peringkat dalam parti berkenaan melainkan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya umum ke - 13. Walaupun Najib Razak menafikan ia tidak ada kena mengena dengan pemanggilan pilihan raya umum, tetapi umum akan melihat dan berfikir ke arah itu.

Kenapa pemilihan dalam Umno perlu ditangguhkan kalau bukan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya. Apa lagi Najib memberi alasan penangguhan itu bagi mengelakkan berlakunya pergelutan dalam Umno. Kenapa harus takut kepada pergelutan?

Yang pastinya kalau diadakan pemilihan keadaan Umno tidak akan tenteram. Kalau pun kemelutnya tidak sama dengan keriuhan dalam PKR semasa proses pemilihan baru-baru ini, ianya akan hampir-hampir. PKR adalah terlahir dari tulang rusuk Umno. Kalau PKR digambarkan kelam kabut, sampai bertumbuk 'gila babi' sampai pecah bibir mulut apa lagi Umno. Umno adalah induknya tentunya gen jahatnya lebih tebal berbanding dengan PKR.

Sudah termaktub dalam sejarah pemilihan Umno dipoloti (dicemari) dengan rasuah. Malahan ada pemimpin yang dibatalkan pertandingan kerana didapati rasuah. Rasuah adalah termasuk sebahagian rukun dalam pemilihan Umno. Yang bermain dengan rasuah bukan pemimpin kecil tetapi pemimpin peringkat jerung juga ikut melakukan rasuah.

Mungkin kerana menyedari keadaan itu maka Najib perlu menangguhkan pemilihan dalam Umno. Beliau tidak mahu Umno dalam keadaan berceperaian. Beliau mahu ahli menumpukan kepada masa depan parti. Dalam hal ini tentulah untuk menghadapi pilihan raya umum nanti.

Bilakah pilihan raya akan diadakan? Anwar Ibrahim meramalkan ia akan diadakan dalam masa terdekat iaitu bulan Mac tahun depan. Saya tidak mengira kalau BN berani untuk menyegerakan pilihan raya. Tidak mungkin dalam tempoh hanya empat bulan dari sekarang pilihan raya akan diadakan.

Mungkin Umno merasakan mereka sudah kuat dan sokongan rakyat sudah pulih. Kemenangan di Galas dan Batu Sapi akan dijadikan alasan. Tetapi cukupkah hanya dengan dua kemenangan itu sedangkan beberapa pilihan raya sebelum ini BN tertumus?

BN atau Najib tahu kenapa BN boleh menang. Kemenangan di Galas dan Batu Sapi bukan menjadi indikator sebenar. Kemenangan itu disebabkan beberapa kepelikan dan keajaiban yang terjadi terutamanya di Galas.

Apakah Najib sedia memperdayakan dirinya sendiri dengan kemenangan itu?

Begitu juga tidak mungkin untuk Najib mengumumkan pembubaran parlimen serentak dengan pembubaran Dun Sarawak. Apa yang mungkin berlaku BN akan melihat sejauh mana keupayaan BN di Sarawak. Kalau takdir BN memang besar mungkin pilihan raya akan diadakan pertengahan tahun depan dan bukannya serentak atau sebelum pembubaran Dun Sarawak.

Sebaliknya kalau BN mengalami tumpah darah banyak di Sarawak, ini menyebabkan Najib akan melupai untuk mendapat mandat baru sebelum genap tempoh penggal ke 12 parlimen. Kemungkinan beliau akan melengahkan pilihan raya sehingga rapat ke Mac tahun 2013.

Dalam pada itu Pakatan tidak seharusnya ralik membuat analisa buruk terhadap BN. Apa yang penting mereka menyusun strategi dan merapatkan saf. PKR misalnya perlu mengenal pasti nama calon mereka. Jangan pula para beruk, kera, lembu dan katak dipilih untuk dijadikan calon.

Pakatan Rakyat perlu berada dalam keadaan siap siaga 24 jam. Mereka perlu beranggapan pilihan raya akan tiba bila-bila masa saja. BN akan mengumumkan pilihan raya bila-bila masa yang mereka merasakan selesa dan boleh menang banyak. Hakikat ini perlu disedari pihak Pakatan Rakyat. Sabree Shafii tentu suka membaca catatan ini. [wm.kl. 12:21 am 02/11/12/0]
Catatan ini sudah diposting beberapa jam sebelum ini tetapi ghaib, terpaksa tulis semula.

Tiada ulasan: