Jumaat, 12 November 2010

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Pemilihan PKR: Selangor tawar undi terbanyak buka gelanggan

Posted: 12 Nov 2010 07:03 PM PST

APA SEKALIPUN PEMILIHAN ..IANYA SUDAH DI MANIPULASIKAN OLEH Bn.

November 13, 2010

KUALA LUMPUR, 13 Nov — Cabang-cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor, negeri yang mempunyai ahli teramai, keluar mengundi dalam pemilihan pusat secara langsung bersejarah, yang turut berhadapan dengan dakwaan kecacatan dan manipulasi dalam proses pengundian.

Selangor merupakan salah satu daripada lima negeri mempunyai ahli teramai.

Proses pengundian diteruskan buat hari ketujuh hari ini — hari kedua di mana ia berlangsung selepas Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan keputusan menarik diri daripada bertanding atas dakwaan kecacatan dan kepincangan proses pengundian tidak diatasi.

Justru, persaingan jawatan timbalan presiden parti kini menyaksikan pertarungan antara Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub yang kedua-duanya merupakan naib presiden.

Kedua-dua Zaid dan Mustaffa mendakwa proses pengundian tercalar sambil mendesak agar pengundian dibatalkan manakala Azmin, dianggap orang kepercayaan Penasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu keseluruhan undi diambil kira dan pemilihan diteruskan.

Semalam, Mustaffa memaklumkan bahawa beliau akan kekal dalam saingan walaupun dalam keadaan berprotes.

Setiausaha Pengelola PKR Raden Shamsulkamar Raden Samsudin pula berkata, calon-calon yang agak ketinggalan dalam usaha mempeorleh undi kemungkinan boleh mengubah nasib mereka dengan mengharapkan sokongan Selangor.

"Ini kali pertama sejumlah begitu banyak cabang mengadakan pengundian pusat, ia sesuatu yang signifikan," kata beliau lagi.

Mengenai peratusan keluar mengundi di 12 cabang semalam, kata beliau, pihaknya belum menerima maklumat sebenar.

"Keputusan semalam masih diterima," katanya lagi.

The Malaysian Insider difahamkan peratusan keluar mengundi masih rendah semalam berbanding minggu lalu.

Malah, The Malaysian Insider difahamkan calon-calon yang bertanding berkempen secara habis-habisan sejak beberapa hari lalu dengan menyertai kempen sekurang-kurangnya empat hingga lima cabang setiap hari di Selangor.

"Selangor mempunyai sekitar 100,000 ahli.

"Jadi, meskipun seorang calon dengan hanya mengumpulkan beberapa ratus undi kemungkinan akan menewaskan calon lain jika mampu memperoleh 10 peratus sokongan ahli (dari Selangor)," kata Raden Shamsulkamar kepada The Malaysian Insider.

Pengundian di Selangor bermula di Sepang pagi ini dengan lapan yang lain esok iaitu Kuala Langat, Kota Raja, Klang, Kapar, Shah Alam, Subang, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan.

Lima cabang di Pulau Pinang yang mengadakan proses pengundian hari ini ialah Nibong Tebal, Bukit Bendera, Bukit Gelogor, Bayan Baru dan Balik Pulau mengadakan pengundian hari ini manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula enam (Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa dan Titiwangsa), Johor (Segamat, Ledang, Bakri dan Muar) dan Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, Dungun, Marang dan Kuala Terengganu).

cabang-cabang di Sabah terdiri daripada Batu Sapi, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan dan Labuan manakala Kota Melaka dan Jasin di Melaka, Sarawak (Mas Gading, Petra Jaya dan Stampin) dan Perak (Gopeng, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datok, Telok Intan dan Tanjong Malim).

Sehingga semalam, 99 cabang sudah selesaikan proses pengundian.

Sebanyak 28 cabang akan melangsungkan pengundian esok.

Seramai 11,670 orang telah mengundi sepanjang lima hari pertama pengundian sehingga 7 November lalu. Proses pengundian bermula 29 Oktober dan kira-kira 12 peratus orang sudah keluar mengundi setakat ini.

Difahamkan kedudukan saingan jawatan naib presiden akan berubah dengan pusingan pengundian minggu ini.

Setakat Ahad lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendahului pemilihan naib presiden dengan menerima 6,518 undi dan disusuli oleh Tian Chua (5,115), Fuziah Salleh (4,509) dan Mansor (4,269).

Mereka diikuti rapat oleh Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan (3,039) dan Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr. Xavier Jayakumar (2,418).

Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah berada di kedudukan ketujuh dengan 2,418 undi.

Sivarasa merupakan naib presiden semasa, yang dilantik.

Dua lagi calon dari Selangor ialah Ahli Parlimen S. Manickavasagam dan bekas pembantu Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Yahya Sahri mengejar dari belakang dengan undi masing-masing 2,005 dan 535.

"Yahya Sahri dan Manickavasagam dilihat akan memperoleh banyak undi hujung minggu ini.

"Kedua-dua mereka aktif berkempen di Selangor," kata pemimpin yang mengikuti kempen mereka dengan dekat.

Gobalakrishnan juga yakin akan menduduki empat tempat teratas minggu ini.

"Saya yakin sekurang-kurangnya akan berada di tempat keempat dengan memperoleh undi dari Selangor," kata Gobalakrishnan kepada The Malaysian Insider.

Seorang lagi pemimpin memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau yakin kedudukan empat pesaing tidak akan berubah tetapi perubahan ketara akan disaksikan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

MPP yang menawarkan 25 kerusi disaingi 132 calon.

Proses pengundian hari ini dan esok dijangka akan memberi gambaran sebenar bakal pemenang pemilihan pusat kali ini termasuk saingan jawatan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menyaksikan saingan sengit.

Calon-calon jawatan pusat AMK termasuk penyandang jawatan kerusi ketua Shamsul Iskandar Mohd Akin dan pesaingnya Badrul Hisham Shaharin menghadiri sesi pengenalan calon di Shah Alam malam tadi.

Azmin minta Zaid kekal dengan PKR

Posted: 12 Nov 2010 05:02 AM PST

Azmin minta Zaid kekal dengan PKR

Posted by admin on November 12th, 2010

Naib Presiden PKR Azmin Ali meminta bekas pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim meneliti semula sebarang hasrat untuk menubuhkan parti baru sekiranya beliau dipecat atau disingkirkan daripada parti itu.


Katanya cadangan itu diharap tidak akan berlaku kerana mengikut fahamannya, Zaid menyertai PKR dengan semangat untuk bersama-sama dengan pimpinan dan ahli PKR untuk meneruskan agenda reformasi serta melakukan perubahan.

"Dalam konteks ini kita berharap beliau dapat meneliti semula keputusan itu dan dapat meneruskan perjuangan dalam semangat muafakat untuk bersama-sama dengan PKR bagi meneruskan agenda perubahan," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Zaid semalam yang tidak menolak kemungkinan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada PKR kerana membuat saranan supaya penasihat parti itu Datuk Anwar Ibrahim supaya berundur.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal dihadapi Zaid berikutan kenyataannya itu, Azmin berkata perkara itu akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk menentukan bentuk tindakan kepada mana-mana anggota PKR yang telah melakukan kesalahan berdasarkan perlembagaan dan peraturan parti.

"Jawatankuasa disiplin kena buat cadangan pada biro politik dan majlis pimpinan pusat untuk diputuskan dan setakat hari ini kita belum terima sebarang cadangan daripada jawatankuasa disiplin. Kita akan teliti sebaik sahaja kita terima," katanya.

Pada 8 November lalu, Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan juga melepaskan semua jawatan dalam parti itu dengan alasan "terdapat penipuan dalam pemilihan".

Berikutan keputusan Zaid itu, pertandingan merebut jawatan timbalan presiden PKR kini melibatkan Mohamed Azmin dan Mustaffa Kamil Ayub.

Warta Keadilan sudah terbit tanpa permit

Posted: 12 Nov 2010 04:55 AM PST

Warta Keadilan sudah terbit tanpa permit

Posted by admin on November 12th, 2010

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap menerbitkan lidah rasminya walaupun masih tidak mendapat 'restu' permit daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Berwajah baru dengan penampilan sulungnya sebagai 'Warta Keadilan', akhbar mingguan setebal 32 halaman muka surat itu diterbitkan secara tidak berkala dan sudah mula berada di pasaran hari ini dengan harga RM2.

Pengarangnya Fazallah Pit ketika dihubungi berkata, akhbar itu adalah transformasi daripada akhbar Suara Keadilan lalu di mana kandungannya kini beralih arah mensasarkan untuk menarik semula minat golongan pembaca daripada kalangan reformis, namun masih mengekalkan gaya penulisan secara profesional.

"Kami mahu beralih 'angin' dengan menarik minat lebih kepada golongan reformis kerana dahulu kandungan akhbar ini lebih tersasar kepada golongan profesional dan bukan ahli PKR.

"Melalui penyatuan gelombang reformis dan profesional ini kami harap akhbar ini mampu memberi maklumat telus mengenai perkembangan parti dan agendanya," katanya ketika dihubungi FMT.

Turut difahamkan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar menjadi Penasihat Pengarang akhbar ini.

Fazallah berkata kandungan akhbar berwajah baru terbitan parti itu antaranya memfokuskan mengenai jawapan tohmahan dan kepincangan terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam ruangan khas temubual bersama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

"Segala persoalan tentang ketelusan sistem pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) oleh JPP terjawab dalam tiga helai muka surat wawancara bersama Saifuddin," katanya.

Muka depan akhbar itu pula memaparkan berita utama 'Gugur tuduhan terhadap Anwar' yang memfokuskan mengenai isu tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menampilkan kolum hasil tulisan reformis Hishamuddin Rais serta yang lain.

Terdahulu, akhbar Warta Keadilan diterbitkan selepas penggantungan permit Suara Keadilan oleh KDN berikutan penyiaran berita utama di muka hadapan akhbar yang bertajuk "Felda Bangkrap" keluaran 237 bertarikh 22-29 Jun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa Suara Keadilan menyiarkan tuduhan fitnah terhadap syarikat konglomerat itu tunai mengenai rizab tunai Felda yang merosot hampir RM3 bilion.

KDN kemudiannya menyatakan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk mengenai FELDA.

Beberapa ahli parlimen PKR sebelum ini juga pernah bertemu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen bagi membincangkan kemelut isu permit akhbar berkenaan namun sehingga sekarang masih menemui jalan buntu.

Berikutan itu, akhbar lidah rasmi PKR mula berubah judul secara tidak berkala dengan terbitan Utusan Keadilan, Obor, serta Sinar Keadilan.

Edisi terakhir akhbar itu diterbitkan dengan nama "Metro Keadilan" sehingga dihentikan pada Ogos lalu berikutan hasil pengedaran dan penjualannya yang turun mendadak selepas permitnya digantung KDN.

Tiada ulasan: