Selasa, 2 November 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Pemilihan 2010: Kempen Satu Ahli Satu Undi Pasti Tidak Akan Tercapai Jika Ketelusan Dan Keadilan Dalam Proses Pengundian PKR Itu Terus Di Ragui

Posted: 01 Nov 2010 05:34 PM PDT

Apa sudah jadi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya. Susulan perubahan data keputusan penuh keseluruhan bagi pemilihan jawatan tertinggi parti semalam, ada pihak yang menuduh kesilapan itu adalah perkara biasa. Malah lebih aneh lagi, mereka menuduh bahawa PDO sendiri pun melakukan kesilapan data pencalonan yang berlaku di Pahang sebelum ini. Mereka ini semua tidak mahu menerima keadilan yang sepatutnya diperjuangkan kepada seluruh ahli parti. Bagi mereka wajarlah Azmin Ali mendahului Zaid Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden PKR selepas 68 cabang selesaikan menjalankan proses pengundian. Soalnya disini, bukan masalah wajar atau tidak tetapi masalah data yang bertukar-tukar (tiga kali dalam tempoh satu hari). Menyamakan PDO dengan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) adalah amat malang sama sekali. Data yang disiarkan oleh PDO sebelum ini adalah berdasarkan kepada maklumat daripada beberapa orang pemimpin cabang itu sendiri. Makanya sudah pasti ada berlaku kesilapan. Namun, data yang diperolehi oleh Ibu Pejabat PKR adalah melalui pegawai petugas JPP sendiri. Kemudian dikemaskini oleh petugas JPP dan dipamerkan juga oleh pihak JPP. Kenapa semakan tidak dibuat terlebih dahulu ketika paparan diupload ke laman web Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mengubah keputusan memanglah mudah, tetapi dimanakan letakkan profesional dan ketelusan itu sebenarnya?. Kita memang gembira apabila pilihan kita yang kalah tiba-tiba memang, bagaimana pula dengan pilihan kita yang menang tiba-tiba kalah?. Bukankah keputusan itu amat perit untuk diterima oleh mereka.


Meragukan, PKR perlu memastikan kejujuran dan ketelusan Petugas JPP
Inilah juga yang berlaku kepada Keputusan Pilihanraya Umum 1999 dulu. PM Najib Razak telah tewas berdasarkan paparan pada skrin di padang, tetapi ia lambat diumumkan dan tiba-tiba Najib memang pula dengan kelebihan undi tipis. Alasannya ada undi yang lewat tiba, seolah-olah kawasan parlimen Pekan itu kawasannya terlalu luas dan sukar untuk dihubungi. Makanya, penyokong Pakatan Rakyat marah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kononnya dipercayai membantu kemenangan Najib yang secara logiknya sudah tewas ketika itu. Sebaliknya kini, apa yang berlaku berulang pula dalam parti sendiri. Apakah ini namanya agenda perubahan yang mahu dilaksanakan itu agaknya?.

JPP Perlu Telus Dan Tidak Wajar Berat Sebelah

Persoalan inilah yang sedang bermain difikiran ahli PKR yang sudah mengundi sekarang ini. Mereka tertanya-tanya kenapa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) kini sudah boleh melakukan amalan "Double Standard" seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Selama ini rakyat marahkan SPR kononnya berat sebelah dalam menjalankan proses pilihanraya di negara ini. Termasuk terbaru, tindakan mengadakan pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi pada hari bekerja. Sedangkan jika kawasan melibatkan UMNO BN seperti Kuala Terengganu, Bagan Pinang dan sebagainya mereka boleh pula melaksanakan pilihanraya pada hari cuti. Inilah yang memusykilkan kita sebenarnya. Malah banyak persoalan yang masih belum dijawab seperti isu pengundi hantu, cop jari, undi pos, penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen dan banyak lagi yang menyebabkan rakyat melihat SPR itu lebih cenderung untuk memastikan kemenangan kepada parti kerajaan yang memerintah. Mereka tidak bebas, telus dan berlaku adil kepada semua pihak. Jika SPR dikatakan tidak berlaku adil itu pun kita sudah marah dan kecewa. Kini apa yang berlaku dalam PKR jelas sekali banyak tindakan JPP yang jelas memihak kepada pihak-pihak tertentu.

Bilik Mengundi Tidak Wajar Di Cerobohi Sesiapa

Malahan, dikebanyakan pusat pengundian JPP didapati tidak berlaku profesional dalam mengawal pihak lain masuk ke dalam bilik mengundi. Hinggakan ada pemimpin cabang yang tergamak masuk secara jelas dengan membawa "kertas cai-cai" untuk dipangkah oleh pengundi terbabit. Bukan itu sahaja, ada sesetengahnya membantu memangkah calon pilihan mereka tanpa ada rasa segan silu untuk menghormati proses demokrasi "satu ahli satu undi". Apa guna diadakan pemilihan sebegitu jika ahli yang hadir seperti robot atau "lembu yang dicucuk hidungnya". Mereka tidak bebas membuat pilihan. Anehnya, petugas JPP yang memantau situasi itu hanya sekadar dapat melihat "dengan senyuman" tanpa ada perasaan bersalah. Jika ditegur berkali-kali pun, masih ada pemimpin cabang yang mahu mendengarnya. Malah, ada petugas JPP yang diherdik dengan kata-kata kesat. Alasan diberikan mereka mahu memberi tunjuk ajar kepada pengundi terbabit. Walhal petugas JPP sudah ada untuk tujuan tersebut. Apa guna petugas JPP jika pemimpin cabang boleh masuk sesuka hati ke dalam bilik mengundi. Kenapa petugas JPP tidak diberikan kuasa mutlak untuk menghalau atau memang itulah caranya untuk menyuburkan amalan demokrasi itu.

Petugas JPP Perlu Lebih Neutral Serta Profesional

Selepas 68 cabang selesai menjalankan proses pemilihan, apa yang jelas terserlah ialah PKR ternyata gagal sebenarnya untuk melaksanakan apa yang diwar-warkan. Proses pemilihan pusat dicabang-cabang ternyata gagal dilaksanakan dengan baik apabila parti sekadar memiliha petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) umpama bidan terjun dan "sekadar mencukupkan korum" semata-mata. Apa tidaknya, ada petugas JPP yang langsung tidak mempunyai latihan secukupnya dan baru dilantik diarahkan untuk menjaga proses pemilihan di cabang-cabang tertentu. Biarpun mereka disediakan dengan segala kelengkapan termasuk elaun, blazer khas dan sebagainya. Namun, ada diantara mereka tidak mempunyai kepakaran untuk memantau proses pilihanraya parti seperti itu. Jika SPR mengeluarkan belanja yang banyak untuk melatih petugasnya dari masa ke semasa. Anehnya, apa yang jelas dapat dilihat ialah petugas JPP Parti Keadilan Rakyat (PKR) kebanyakkannya "tangkap muat". Malah lebih teruk lagi, ia dipilih dikalangan ahli parti sendiri. Ini memberi ruang ketidakadilan andainya ramai penyokong calon-calon tertentu dilantik sebagai petugas JPP diseluruh negara. Bukankah ia akan menghalang ketelusan itu sendiri sebenarnya. Inilah padahnya, jika niat yang baik tetapi tidak secara profesional dan dilakukan dengan berhati-hati. Malah, petugas JPP juga boleh memastikan kemenangan calon-calon tertentu jika mereka menggunakan peluang itu untuk memangkah selepas proses pengundian berakhir atau belum dimulakan. Siapa yang tahu keadaan ini berlaku, kerana mereka hanya dikalangan mereka sahaja. Petugas JPP yang sepatutnya dipilih dari kalangan bukan ahli dan neutral akhirnya menjadi mata dan telinga calon-calon tertentu secara sulit serta dalam diam-diam. Ini amatlah mencemarkan proses pemilihan yang dilihat merupakan satu pembaharuan dalam parti itu sebenarnya.

Penjumlahan Undi JPP Guna Telefon Meragukan

Apa yang paling mengejutkan sekarang ini ialah kaedah penjumlahan undi menerusi telefon antara petugas JPP di cabang-cabang dengan urusetia induk JPP di Ibu Pejabat PKR Pusat itu sebenarnya. Terdapat laporan mengatakan, petugas JPP di cabang berhubung dan memaklumkan jumlah undi calon-calon hanya "melalui panggilan telefon untuk dikemaskini dalam data pusat". Inilah mungkin antara faktor utama mengapa berlaku "kesilapan manusia" atau "sengaja disilapkan". Mana bukti kukuh yang harus dipegang oleh wakil calon sebagai bukti proses itu telus?. Jika dalam Pilihanraya sebenar, SPR menyediakan "Borang 14" yang wajar disemak dan ditandatangani oleh wakil calon serta petugas SPR di pusat pengundian terbabit. Penggunaan Polling Agent Counting Agent (PACA) dititik beratkan untuk mengelakkan berlakunya penipuan dan sebagainya. Itu pun masih ada kepincangan yang berlaku sebenarnya. Inikan pula dalam proses pengiraan dan penjumlahan undi yang dilakukan oleh pegawai petugas JPP di cabang dan di pusat. Bila-bila masa sahaja boleh berlaku kesilapan dan penipuan andainya petugas JPP terbabit adalah penyokong calon-calon tertentu. Keputusan boleh diubah dan petugas terbabit boleh secara sedar atau tidak sedar membantu serta memangkah borang-borang kosong yang terdapat pada mereka untuk dimasukkan ke dalam kotak undi. Malah, mereka juga boleh memanipulasi proses pemilihan itu sendiri. Inilah yang berlaku di Cabang Hulu Selangor dulu, proses yang sempurna itu tiba-tiba dicemari dengan insiden yang tidak diingini apabila jumlah kertas undi lebih banyak dari jumlah pengundi. Kemungkinan besar kertas undi itu dimasukkan oleh Petugas JPP, bagi memastikan keputusan cabang itu akhirnya dibatalkan.

Keputusan Rasmi Perlu Ada Dokumen Yang Sah

Ternyata petugas JPP itu boleh mengubah segalanya akibat kaedah yang meragukan. Apatah lagi jika keputusan di cabang hanya dilaporkan menerusi panggilan telefon ke pusat dan dianggap keputusan rasmi. Malah, Setiausaha Agung PKR iaitu Saifuddin Nasution (foto) tidak wajar mengadakan sidang media semalam bagi mengatakan keputusan adalah rasmi. Sedangkan borang asal pengundian serta laporan penuhnya tidak diterima secara sah dan sekadar menerusi panggilan telefon. Bagaimana jika petugas JPP itu khianat dan mendapat "bayaran imbuhan" dari calon-calon tertentu untuk mengubah keputusan berkenaan. Bukankah ini akan mencemarkan proses pemilihan yang kononnya yang terbaik pernah diamalkan itu. Jika keputusan menerusi telefon dikiran sebagai rasmi, apa akan terjadi jika pada borang asal itu adalah sebaliknya. Sesiapa sahaja boleh pastikan calon mereka menang jika hanya menerusi telefon, sepatutnya ada salinan dokumen sah yang boleh dianggap sebagai bukti kukuh. Misalnya petugas JPP dicabang-cabang menghantar email atau fax keputusan berkenaan ke pusat. Sekurang-kurangnya ada satu bukti perkara itu tidak boleh diubah-ubah. Malah keputusan pula perlulah ditandatangani oleh wakil calon berkenaan dan juga petugas terbabit.

JPP Perlulah Awasi Campur Tangan Orang Dalam

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan perjalanan pemilihan parti itu yang berlangsung dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan campur tangan pihak luar. Begitulah kenyataan Ketua JPP iaitu Dr Molly Cheah (foto), kepada media sebelum ini. Soalnya sekarang bukan "orang luar" yang campur tangan, tetapi "orang dalam" parti sendiri dilihat lebih banyak memainkan peranan. Pemilihan yang dilakukan di cabang-cabang dipercayai memberi ruang yang terbuka kepada pemimpin peringkat cabang untuk terus berkempen dan merayu undi kepada calon pilihan mereka. Bukan sahaja undi yang dirayu, malahan juga siap dilengkapi dengan dokumen tertentu seperti lencana, poster, sticker, buku manifesto dan sebagainya. Kenapa JPP langsung tidak memantau perkara ini , malah petugas mereka seolah-olah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perbuatan tersebut. Apakah ini adil kepada semua calon yang bertanding agaknya?. Malah bertambah parah lagi ada pemimpin peringkat cabang yang sengaja melanggar arahan JPP semata-mata merasakan mereka berkuasa lebih dari itu kerana pemilihan diadakan dalam pejabat mereka. Makanya, mereka sesuka hati boleh mundar mandir dan keluar masuk hingga boleh mengganggu tugas JPP itu.

[Semoga tidak ada yang melatah dengan teguran ikhlas ini. Semuanya adalah untuk memastikan kepercayaan ahli terhadap parti tidak luntur sebenarnya. Apalah gunanya pembaharuan jika perlaksanaannya jauh dari apa yang direncanakan. Banyak lagi perkara yang akan dibongkarkan satu persatu pada masa akan datang. Semoga Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dapat menilai dan menyiasat apa yang dilaporkan ini. Usahlah berbicara soal keadilan jika Parti Keadilan Rakyat sendiri tidak berlaku adil kepada semua calon-calon yang bertanding. banyak kelemahan yang ketara ini memungkin hasrat untuk memastikan "satu ahli satu undi" itu tidak tercapai sebenarnya. Malah, kehadiran ahli yang tidak sampai pun 10% untuk mengundi itu wajar diperhatikan. Jangan salahkan bolasepak Piala Malaysia atau Pilihanraya Kecil DUN Galas sebagai alasanya. Mungkin di Kelantan ia merupakan satu faktor, tetapi apa cerita di negeri-negeri lain terutamanya Pahang Darul Makmur ini yang kehadirannya amat mengejutkan. Faktor kewangan perlu dititikberatkan oleh parti jika ingin melaksanakan proses pengundian satu cabang satu peti undi. Ia akan menyusahkan ahli untuk hadir beramai-ramai sebenarnya. Tambahan pula bagi jarak yang terlalu jauh. Masalahnya, bila calon-calon mahu menampung pembiayaan ahli hadir maka ia akan dianggap rasuah dan satu kesalahan. Maka, akhirnya PKR harus menerima kenyataan sistem baru ini masih lagi tidak relevan].

Video Eksklusif: Selepas 38 Tahun Bersama UMNO Hj.Mohd Soberi Akhirnya Meninggalkan Parti Itu!

Posted: 01 Nov 2010 12:05 PM PDT


[Nampaknya, keputusan Hj.Mohd Soberi untuk meninggalkan UMNO ini merupakan satu tamparan hebat buat parti itu dalam menghadapi pilihanraya kecil DUN Galas. Tambahan pula beliau bukanlah ahli biasa seperti kebiasaannya. Beliau merupakan antara tokoh dan tunggak utama UMNO negeri Kelantan itu sebenarnya. Apapun syabas dan tahniah kita ucapakan kepada beliau atas keputusan yang bijak ini. Ternyata UMNO semakin hilang arah tuju apabila pemimpin parti itu semakin rakus menggunakan kuasa untuk merompak khazanah rakyat sejak dulu, kini dan pasti buat selamanya. Selamat meneruskan perjuangan buat Hj.Soberi !!].

Tiada ulasan: