Selasa, 2 November 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Berani Kerana Benar Takut Kerana Salah

Posted: 02 Nov 2010 12:45 AM PDT

Setiap tahun jika seseorang membelek laporan ketua audit negara, perkara yang hampir sama boleh diperhatikan - kepincangan dan salah laku kewangan, projek terbelangkai dan kos yang terus meningkat.

Jika pada laporan ketua audit 2008, pembelian empat pemutar skru pada harga RM224 mencuri tumpuan, tahun lalu pula, pembelian papan tanda tandas berharga RM871 pula menjadi perhatian.

Tetapi bagi Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, beliau berpendapat prestasi kakitangan awam telah bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam temuramah eksklusif dengan Malaysiakini, beliau juga menjelaskan mengapa segelintir kakitangan awam sukar 'mengikis tabiat buruk mereka".

Berikut petikannya:

Malaysiakini: Jika diimbas laporan setiap tahun, adakah Tan Sri berpendapat situasi bertambah buruk?

Ambrin Buang: Daripada kenyataan kewangan anda akan dapati sebahagian besar agensi telah mendapat kenyataan audit sijil layak daripada saya. Jadi keadaan bertambah baik.

Juga dari sudut pengurusan kewangan Indeks Akauntabiliti, kita membandingkannya dengan laporan 2008. Dari segi jumlah kementerian yang mendapat pengiktirafan empat bintang, yang saya percaya berjumlah 14, ini satu pencapaian.

Tetapi dari segi prestasi audi, sukar dikatakan kerana setiap tahun ia adalah subjek dan agensi yang berbeza.

Adakah Tan Sri berpendapat sistem 'tender terbuka' adalah cara mengurangkan perkara-perkara yang tidak mengikut peraturan dalam pemerolehan?

Setiap kaedah mempunyai risiko tersendiri, termasuk sistem tender terbuka. Ada kalanya sesetengah pihak meletakkan harga rendah pada kadar yang tidak munasabah dan kemudian mereka melarikkan diri. Bagi memulihkan semula projek berkenaan, tender baru terpaksa diadakan semula dan ia akan melambatkan projek itu. Kemudian mereka terpaksa membuat perkiraan baru untuk menilai sejauh mana projek berkenaan telah dimulakan. Ini menjadikan kos projek semakin tinggi.

Jadi, jika kamu tanya saya sama kita patut amalkan sistem tender terbuka , rundingan terus atau rundingan tender, perkara yang paling penting sebelum melantik seseorang ialah lakukan kerja dengan baik-lah. Siasat latar belakang, yakin dengan kemampuannya untuk menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan kerana sesetengah kontraktor mempunyai kerja lain untuk disiapkan.

Kamu mungkin seorang kontraktor yang cuba mendapatkan tender daripada saya tetapi kamu juga mungkin sub-kontraktor yang mempunyai kerja yang besar daripada sektor swasta. Dan jika kamu tidak dedahkan ini kepada saya, saya akan andaikan kamu hanya bekerja untuk saya. Jika mana-mana kerja itu mempunyai masalah, ini akan menggangu aliran tunai dan kamu harus menguruskannya.

Jadi apa cara terbaik mengurangkan perkara yang tidak menurut peraturan?

Untuk mengurangkan risiko, kita tidak boleh buat keputusan terburu-buru. Kamu mesti siasat latar belakang syarikat, sejarahnya dan kedudukan kewangan mereka. Sebagai contoh kamu seorang penender, saya mahu tahu apa kerja-kerja yang telah kamu lakukan.

Jika kamu telah bekerja untuk jabatan lain, saya akan semak dengan jabatan berkenaan. Kemudian baru saya selesa. Ini kerana kita mungkin terpaksa bekerja dengan orang yang tidak kita kenali. Ini yang saya maksudkan sebagai 'usaha wajar' (due diligence). Kamu mesti sangat teliti tetapi risiko tetap ada.

Jika dilihat secara menyeluruh, seolah-olah setiap tahun, masalah hampir sama, adakah Tan Sri bersetuju?

Ya, secara dasarnya ia hampir sama. Masalahnya setiap tahun adalah kekurangan perancangan, pemantauan. Tetapi entiti adalah berlainan.

Jadi mengapa ia sama?

Saya akan jawap secara falsafah. Kita semua adalah manusia dan mempunyai ketidak-sempurnaan masing-masing.

Adakalanya, kesilapan yang dilakukan adalah kecil, ada kalanya besar. Kita tidak mahu kesilapan besar kerana ia akan menakibatkan kerajaan perbelanjaan tambahan.

Tetapi bagi mengharapkan setiap orang mempunyai tahap kecekapan dan kewajaran yang sama adalah tidak realistik kerana dalam perkhidmatan awam, kakitangan kerajaan sentiasa bertukar. Bayangkan seseorang yang tidak berpengalaman ditugaskan membuat pengurusan projek.

~MK~

Galas Kubu Kuat UMNO

Posted: 02 Nov 2010 12:44 AM PDT

PAS mengakui bahawa pengaruh ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah masih kuat, namun keadaan itu mungkin telah banyak berubah berbanding 30 tahun lalu.

Keadaan ini mungkin akan menyebabkan Tengku Razaleigh mengambil pendekatan "underground" bagi mengekalkan pengaruhnya, kata pengarah pilihan raya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

"Kita tahu dia ada orang yang bekerja dengan dia. Kita kenal orang ini dan dia ada lagi sepuluh orang yang bekerja dengan dia, mereka bekerja secara menyusup.

"Mereka bergerak dari rumah ke rumah," katanya dalam sidang media di markas PAS di Gua Musang hari ini.

Ketika diminta menjelaskan aktiviti "penyusupan" itu, Abdul Halim berkata: "Bagi pitih lah" sambil menunjukkan isyarat wang dengan tangannya.

"Ini kita akui, ini yang kita hadapi bila kita bersemuka dengan Ku Li," katanya lagi.

~MK~

Pengundi Galas tunggu 'durian runtuh'

Posted: 02 Nov 2010 12:42 AM PDT

Lebih separuh daripada pengundi di Galas masih menyembunyikan pendirian politik mereka dan mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap "tawaran politik" daripada kedua-dua parti bertanding PAS dan BN.

Menurut kajian terkini sebuah firma penyelidikan bebas, golongan tersebut mewakili 54.1 peratus daripada 11,553 pengundi di DUN itu.

"Jumlah peratusan sebanyak 54.1 peratus ini juga dilihat menyediakan peluang terbuka kepada kedua parti ini untuk berusaha meyakini dan memenangi hati pengundi untuk parti masing-masing menang dalam pilihan raya ini," ringkasan kajian oleh Ilham Centre itu dipetik.

Sementara itu, kajian mengenai sikap dan kecenderungan pengundi itu juga mendapati 22 peratus daripada 486 responden Melayu dan Cina di semua unit peti undi Galas menyokong BN.

Manakala PAS pula hanya mendapat 15.6 peratus sokongan sahaja.

Daripada aspek personaliti, kajian yang dibuat antara 29 hingga 31 November 2010 itu merumuskan, calon PAS Dr Zulkifli Mohamad lebih dikenali kerana pernah bertanding di peringkat parlimen itu dalam pilihan raya lepas.

"Namun begitu, calon Umno/BN mengekori rapat dengan 56.7 peratus popular di kalangan pengundi," demikian menurut kajian Ilham Centre.

Bagaimanapun, masalah tanah sebagai isu utama dan infrastuktur tidak lengkap didakwa masih "membelit" kempen parti Islam itu setakat ini.

Dalam dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa isu pemilikan tanah agak kritikal dibangkitkan oleh pengundi terutama di Daerah Mengundi Kampung Pulai, Batu Papan, Lepan Tupai dan Sungai Terah.

"Merujuk kepada isu tanah, di Kampung Pulai misalnya, permintaan pengundi Cina Peranakan terhadap status tanah yang diterokai mereka masih belum jelas status hak milik menyebabkan pendirian politik mereka agak dingin.

"Ini sedikit memberi tekanan dalam kempen PAS, kerana pengundi di sini ingin melihat penyelesaian konkrit dalam permasalahan ini," laporan itu dipetik.

Dapatan lain dalam kajian itu seperti berikut:

•Faktor parti memainkan peranan terbesar mempengaruhi undi (31.5 peratus)
•Kelebihan jentera BN pada sumber kewangan yang besar (75.5 peratus)
•Kelebihan jentera PAS pada jentera yang komited dan agresif (68.8 peratus)
•Gagasan 1Malaysia ialah isu nasional yang boleh mempengaruhi undi (39 peratus)
•Isu pemilikan tanah iala isu nasional yang boleh mempengaruhi undi (56.5 peratus)
•Televisyen merupakan sumber maklumat utama pengundi (56.5 peratus)
•Kempen paling berkesan adalah ziarah rumah ke rumah (76 peratus)


Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Ilham Centre ditubuhkan pada 2006 dengan tumpuan penyelidikan berasaskan kajian lapangan dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan dan kajian dasar dengan mengambil kira pendekatan penyelidikan akademik.

~MK~

Siapa punya sepanduk

Posted: 02 Nov 2010 12:41 AM PDT

Sekumpulan 30 orang daripada jentera pilihan raya PAS menurunkan satu sepanduk yang dipasang di depan satu pondok polis di Kampung Batu Putih yang didakwanya boleh menaikkan kemarahan dan kebencian.

Sepanduk itu yang tertulis "Pemimpin DAP beri tazkirah di surau, kenapa PAS sokong rumah Allah dihina", dipercayai dipasang di situ sejak malam tadi.

Penasihat jentera pilihan raya kecil Dun Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mengetuai pasukan itu berkata, tindakan tersebut diambil bagi membantu pasukan penguatkuasa SPR.

"Walaupun SPR ada tiga pasukan penguatkuasa, mungkin suruhanjaya itu tidak dapat pantau kawasan pilihan raya yang begini luas.

"Sepanduk seperti ini (dipasang) tanpa tanggungjawab kerana tidak diberitahu siapa penerbitnya.

"Ia digantung di depan pondok polis yang bertugas 24 jam.

"Mereka ambil kesempatan untuk naikkan kemarahan dan kebencian," katanya yang tidak akan membuat sebarang aduan berhubung insiden itu.

"Kita sengaja tidak buat aduan sebab dalam pengalaman di (pilihan raya kecil) Manek Urai tidak ada tindakan polis.

"Mungkin mereka sibuk, kita hanya membantu," katanya lagi.

Sebelum ini, satu jentera PAS juga telah menurunkan satu sepanduk di kawasan Bandar Lama Gua Musang.

~MK~

Kalau PAS rasuah, UMNO sumbangan

Posted: 02 Nov 2010 12:41 AM PDT

PAS mempertahankan tindakannya beri 'duit tambang' kepada pengundi luar DUN Galas, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggapnya satu perbuatan sogokan.

Pengarah pilihan raya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, PAS sebenarnya berbuat demikian untuk membantu SPR meningkatkan peratusan keluar mengundi dalam pada 4 November nanti.

Beliau berkata demikian hari ini ketika mengulas kenyataan timbalan pengerusi suruhanjaya itu Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebelum ini yang berkata, pemberian wang berkenaan boleh disifatkan sebagai pemberian sogokan bagi tujuan membeli undi.

Wan Ahmad pada Sabtu berkata, perbuatan tersebut menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Bercakap dalam sidang media di markas PAS hari ini pula Abdul Halim turut mengulangi bahawa langkah berkenaan adalah untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi.

"Kita dah baca undang-undang pilihan raya. Mereka sebut Seksyen 10 tapi tidak baca Seksyen 15. Ada kelonggaran (dalam peruntukan itu).

"Kita sebenarnya nak menolong (SPR). Kita hendak lihat lebih ramai orang keluar mengundi. Apa sebab kita hendak buat benda ini? Saya tak kenal seorangpun daripada pengundi luar ini.

"Lagipun ini semua akan dikendalikan oleh pihak ketiga, bukan kita (PAS)," katanya lagi.

~MK~

Siapa iktiraf Melaka negeri maju?

Posted: 02 Nov 2010 12:40 AM PDT

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam diminta membuat penjelasan tentang kenyataan Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) yang menafikan badan tersebut mengiktiraf Melaka sebagai negeri maju.

Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka mendakwa OECD sebagai badan bebas telah memberikan pengiktirafan bahawa Melaka telah mencapai status negeri maju pada 20 Oktober lalu.

Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS negeri, Yusof Wahab berkata perkara itu adalah serius kerana membabitkan imej kerajaan negeri dan maruah rakyat negeri Melaka.

"Mana mungkin kerajaan negeri mengisytiharkan Melaka negeri maju tanpa black and white dari badan bebas itu, ini dah kira masuk bakul angkat sendiri," katanya.

Menurut beliau, rakyat negeri Melaka berasa tertipu dengan penafian OECD itu dan kerajaan negeri mesti membuat penjelasan mengenainya.

"Malah pengisytiharannya pula dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, apakah kerajaan negeri ingin permainkan dan perbodohkan Perdana Menteri," kata Yusof semasa ditemui di Pusat Aduan Rakyat DUN Bukit Baru, di Melaka pagi ini.

Yusof juga mencadangkan isu ini dibawa di dalam sidang DUN yang sedang berlangsung sekarang.

"Saya cadangkan satu usul tergempar di bawa ke sidang DUN untuk dibincangkan di kalangan ahli dewan dan satu ketetapan mesti diambil oleh DUN untuk mengembalikan maruah dan integriti kerajaan negeri serta rakyat negeri ini.

"Ini bukan isu kecil dan main-main, ia melibatkan maruah dan imej kerajaan serta rakyat," katanya.

OECD hari ini mengesahkan bahawa badan tersebut tidak mengiktiraf Melaka sebagai negeri maju kerana ia tidak mempunyai kuasa atau tidak berautoriti untuk membuat pengisytiharan seumpama itu.

~MK~

Penunjuk perasaan di DUN Pulau Pinang

Posted: 02 Nov 2010 12:39 AM PDT

Sekumpulan kira-kira 100 orang yang mewakili peniaga di Komtar dan ahli Parti Cinta Malaysia mengadakan bantahan di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pagi ini.

Mereka membantah kenaikan tarif air dan isu pengambilan tanah di Balik Pulau. Penunjuk perasaan juga menuntut untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetapi dihalang oleh dua pagar yang berkunci di luar bangunan itu.

Laungan "pengecut" dan "Allahu Akbar" bergema sambil penunjuk perasaan menggoncang pagar berkenaan.

DUN Pulau Pinang mula bersidang semalam.

Seorang daripada penunjuk perasaan merantaikan dirinya di pintu pagar sambil diberi tepukan gemuruh oleh rakan-rakannya yang lain.

Tidak kurang juga yang membawa sepanduk dan kain rentang yang mencaci kerajaan Pakatan rakyat. Antaranya berbunyi "Kami tidak rela tanah kami dijadikan 'business' kerajaan negeri" dan Jangan perbodohkan orang kampung. Kami ada maruah!"

Azian Ariffin, yang mewakili pemilik tanah di Balik Pulau, mendakwa kumpulannya ingin berjumpa dengan Lim secara baik. Katanya, tujuan mereka ke mari hari ini adalah untuk menyerahkan memorandum bantahan secara peribadi kepada ketua menteri dan bukannya melalui wakilnya.

Azian berkata 29 lot tanah yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dan 12 lot yang dimiliki oleh masyarakat Cina telah diambilalih bagi pembinaan sebuah institusi pendidikan tinggi. Namun, dakwanya, tidak ada pemilik tanah yang berhasrat untuk berpindah kerana tanah kepunyaan mereka itu adalah sebahagian daripada warisan mereka.

Kemelut tercetus apabila kerajaan negeri cuba mengambil alih tanah seluas kira-kira 80 hektar pada nilai RM100 juta bagi membangunkan hab kecemerlangan pendidikan. Pada Januari lalu, Lim menerangkan bahawa keutamaan adalah bagi Pulau Pinang dibangunkan sebagai "ekonomi yang berasaskan teknologi tinggi, kreatif dan pengetahuan inovatif".

Katanya, projek berkenaan akan menarik minat penubuhan sekolah antarabangsa, cawangan kampus universiti, koleh berasakan perkhidmatan dan juga pusat sains. Kerja-kerja dijadualkan bermula dalam setahun dua ini.

Namun, projek itu mendapat bantahan daripada Umno Pulau Pinang dengan asas bahawa satu daripada cawangan kampus adalah daripada sebuiah universiti di Singapura, tanah milik Melayu yang terlibat dan bayaran pampasan adalah rendah.

Selepas setengah jam, beberapa perwakilan dibenarkan masuk ke bangunan itu bagi berjumpa dengan Lim. Polis kemudiannya memberikan amaran kepada penunjuk perasaan supaya bersurai.

Seorang daripada mereka, Ariff Ibrahim dari Balik Pulau, enggan mematuhi arahan itu dan menjerit "kami akan pertahankan tanah Melayu!".

Dia kemudiannya ditahan dan dibawa ke sebuah balai polis.

~MK~

Petrol Naik Lagi

Posted: 01 Nov 2010 08:07 PM PDT

Harga petrol RON 97 dinaikkan 5 sen lagi mulai esok. Berikutan itu, harganya kini RM2.15 seliter, demikian menurut laporan. Bagaimanapun harga pertrol RON 95 dan diesel tidak berubah.

Tidak seperti sebelumnya, tidak ada pengumuman dibuat mengenai kenaikan tersebut. Khabar angin mengenai kenaikan harga RON 97 itu tersebar sejak tengahari tadi dan pemilik stesen minyak berkata arahan mengenainya telah dikeluarkan.

Malaysiakini memetik satu pekeliling dari sebuah syarikat minyak yang memaklumkan kepada peniaga mengenai kenaikan harga itu. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe mengesahkannya ketika dihubungi oleh beberapa akhbar.

Ini adalah kenaikan pertama harga minyak selepas kenaikan "5-dalam-1" pada 15 Julai tahun ini, yang bertujuan untuk mengurangkan beban subsidi kerajaan.

Pemotongan subsidi merupakan sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi untuk barangan keperluan seperti yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Jala telah memberi amaran awal tahun ini bahawa Malaysia menghadapi prospek muflis pada 2019 - seperti yang berlaku di Greece dan Iceland kerana beban hutang - sekiranya subsidi tidak dikurangkan.

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan bahawa pengurangan subsidi adlah perlu, tetapi para pengkritik berkata usaha untuk memaksa pengguna berjimat, tanpa tindakan yang sama di pihak kerajaan, tidak membawa sebarang makna.

Lewat bulan lalu, Najib mengumumkan senarai projek baru - termasuk pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat bernilai RM5 bilion, yang menurut kerajaan akan menarik pelabur dan membuat Malaysia lebih menarik kepada pelancong.

~MK~

Tiada ulasan: