Isnin, 1 November 2010

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Amaran Merah Hujan Lebat Di Beberapa Kawasan Di Timur Dan Utara Semenanjung

Posted: 01 Nov 2010 08:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Jabatan Meterologi Malaysia meningkatkan Amaran Peringkat Merah berikutan hujan lebat di beberapa kawasan di utara dan pantai timur Semenanjung sejak beberapa hari lepas.

Kawasan terbabit adalah daerah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Jeli di Kelantan, manakala di Kedah melibatkan daerah Kubang Pasu dan Padang Terap serta di keseluruhan Perlis.

Jabatan itu, menerusi laman webnya, turut mengeluarkan Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir Peringkat Kuning di beberapa daerah termasuk Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Yan, Sik dan Baling di Kedah, serta Daerah Besut, Setiu dan Kuala Terengganu di Terengganu juga ditingkatkan kepada Amaran Hujan Lebat Peringkat Jingga.

Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir Peringkat Kuning diberikan di beberapa kawasan di Kedah termasuk daerah Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu serta keseluruhan Pulau Pinang.

Hujan dijangka berlanjutan di kesemua daerah sehingga Rabu ini yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

Amaran peringkat Jingga bermaksud angin kencang dengan kelajuan 50-60 km/j yang boleh menyebabkan pokok bergoyang manakala Amaran Peringkat Merah bermaksud angin kencang dengan kelajuan sekurang-kurangnya 60 km/j dan boleh menyebabkan pergerakan menentang arah angin terhalang dan boleh merosakkan struktur bangunan.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Suhana Mohamed Salleh berkata pihaknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan sekiranya cuaca buruk berterusan.

"Petugas-petugas telah pun bersedia, dan sekiranya petugas yang ada tidak mencukupi, sukarelawan dari setiap negeri ada untuk membantu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Buat masa ini, katanya bot-bot penyelamat dihantar bagi membantu setiap kawasan, dan bagi negeri-negeri di utara, PBSMM di Pulau Pinang akan mengetuai operasi.

"Selain bot penyelamat, pihaknya juga akan menyediakan kenderaan pacuan empat roda bagi melicinkan operasi pemindahan mangsa banjir," katanya.

Mengenai status banjir di utara, Suhana berkata tujuh bilik gerakan banjir di Perlis dikenal pasti iaitu satu di Arau, lima di Beseri dan satu lagi di Kangar.

"Mengikut laporan yang diterima tadi, setakat ini seramai 500 mangsa telah pun dipindahkan," katanya.

Di KEDAH, kira-kira 200 lagi penduduk di sekitar daerah Kubang Pasu dipindahkan ke pusat pemindahan banjir ekoran banjir pukul 3 petang.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cawangan Kedah, Samad Abdullah berkata jumlah mangsa dipindahkan setakat ini kira-kira 700 orang.

Samad berkata berikutan hujan berterusan, paras banjir mungkin meningkat di paras lebih tinggi lagi dalam masa terdekat.

Beliau berkata PBSMM akan membantu mangsa di pusat-pusat pemindahan banjir, mengagihkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga mengaturkan penempatan.

Mahkamah Benar Rayuan Khalid

Posted: 01 Nov 2010 07:30 AM PDT

PUTRAJAYA, 1 Nov - Dua kes saman membabitkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) akan didengar oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini
membenarkan permohonan Abdul Khalid untuk Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf menarik diri daripada mendengar saman itu atas alasan wujud elemen berat sebelah.

Panel tiga hakim itu diketuai oleh Hakim K.N.Segara dan dianggotai oleh Hakim Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Abdul Khalid mengemukakan permohonan rayuan selepas Rohana pada 22 September lalu enggan menarik diri daripada mendengar dua saman itu.

Abdul Khalid menyaman BIMB pada 18 Mei 2007 kerana mendakwa bank itu telah melakukan kesalahan melupuskan saham beliau dalam Guthrie yang diperoleh menerusi pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) pada 30 April 2001.

Beliau memohon perintah bahawa terdapat kontrak cagaran antara beliau dan bank itu berhubung pinjaman berkenaan.

Abdul Khalid yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie dari 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB.

BIMB pula mengemukakan saman balas terhadap Menteri Besar Selangor itu pada 24 Mei 2007, bagi mendapatkan wang berjumlah RM66.67 juta, dengan mendakwa perjanjian BBA telah dilanggar berikutan kegagalan Abdul Khalid membayar semula pinjaman itu.

Abdul Khalid kemudian mohon untuk memecat Rohana daripada mendengar kes saman itu atas dasar hakim itu pernah menjadi timbalan pengarah bahagian Perbankan Islam dan Jabatan Takaful di Bank Negara.

Hakim itu dikatakan mempunyai hubungan komunikasi dengan bekas Ketua Pegawai Operasi BIMB, Fazlur Rahman Ebrahim, yang merupakan saksi penting dalam dua kes saman itu.

Pada Ogos tahun lepas, Rohana memerintahkan Abdul Khalid membayar RM66.67 juta dalam penghakiman ringkas yang diperoleh oleh BIMB tetapi Mahkamah Rayuan pada 3 Mac lalu, mengenepikan penghakiman itu dan merintahkan perbicaraan penuh mengenai isu-isu yang dibangkitkan.

Abdul Khalid diwakili oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, Matthew Thomas Philip dan Asma Mohd Yunus manakala BIMB pula oleh Tommy Thomas.

Sebelas Sekolah Di Perlis Ditutup Akibat Banjir, Esok

Posted: 01 Nov 2010 07:18 AM PDT

KANGAR, 1 Nov (Bernama) -- Sebelas buah sekolah di Perlis ditutup esok berikutan banjir yang melanda negeri ini.

Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat berkata, tujuh sekolah rendah dan empat sekolah menengah yang terletak di sekitar kawasan Parlimen Padang Besar dan Arau itu ditutup kerana paras air yang semakin meningkat.

Tujuh sekolah rendah yang terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Panggas, SK Bukit Keteri, SK Arau, SK Padang Melangit, SK Santan, SK Tengku Budriah dan SJK(C) Hua Aik, katanya kepada Bernama di sini, malam ini.

Empat sekolah menengah yang turut ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sheikh Ahmad, SMK Arau dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Madrasah Al-Alawiyah Addiniah, Arau.

Mansor berkata, kesemua sekolah terbabit hanya akan ditutup esok dan keputusan sama ada tempoh penutupan itu akan dilanjutkan bergantung kepada keadaan banjir.

"Pada masa ini kami hanya buat keputusan untuk menutup sekolah-sekolah itu esok," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah pelajar dan guru yang terbabit dengan penutupan sekolah itu.

Sebanyak tujuh buah sekolah telah dijadikan pusat pemindahan banjir termasuk SK Titi Tinggi, SMK Datuk Jaafar Hassan dan SK Batu Bertangkup.

Hujan yang berlaku sejak lebih 24 jam lalu berlarutan sehingga malam ini dan pasukan penyelamat melakukan rondaan bagi tugas menyelamat di kawasan-kawasan terbabit.

Setakat ini, lebih 1,000 penduduk telah dipindahkan ke 12 buah pusat pemindahan banjir.

Peguam Felda Tidak Hadir Kerana Sudah Berhenti Kerja - Nazri Aziz

Posted: 01 Nov 2010 07:17 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Peguam yang sepatutnya mewakili Felda dalam kes tuntutan 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Kelantan di Mahkamah Tinggi Kota Baharu bukan menarik diri daripada kes berkenaan sebaliknya telah berhenti kerja di firma guaman yang dilantik agensi itu semasa perbicaraan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata peguam berkenaan juga tidak mencatatkan tarikh perbicaraan kes itu dalam diari firma guaman tersebut sebelum berhenti berkhidmat.

"Di Mahkamah Tinggi Kota Baharu, peguam Felda tidak hadir dan kes dijalankan dengan memanggil saksi-saksi, seterusnya penghakiman direkodkan.

"Jika benar ada notis seminggu peguam menarik diri, sudah tentu Felda akan minta supaya penangguhan dibuat, dalam hal ini saya rasakan mungkin Felda tidak tahu peguam berkenaan menarik diri, sebab itu pada hari mahkamah bersidang wakil Felda juga tidak hadir," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di pada hari Isnin.

Mohamed Nazri berkata sekiranya peguam yang mewakili Felda hadir, sudah pasti Felda dapat membela diri dan akan membuktikan tidak terdapat sebarang penipuan bagaimana buah kelapa sawit digredkan dan perahan minyaknya.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata Felda berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap firma guaman berkenaan kerana menyebabkan ia terpaksa membayar sejumlah wang yang besar kepada peneroka disamping menjejaskan imej Felda.

Pada 26 Ogos lepas, Felda diperintah membayar ganti rugi RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah Kelantan selepas agensi tersebut gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Mohamed Nazri berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu pula tidak menunjukkan Felda telah melakukan penipuan dalam aktiviti perahan minyak dan penggredan buah kelapa sawit peneroka berkenaan.

"Rayuan berkenaan ditolak kerana Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman yang dibuat Felda. Dengan keputusan tersebut, bermakna penghakiman di Mahkamah Tinggi Kota Baharu terpakai," katanya.

Menjawab celahan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) supaya dilakukan kenaikan gaji di kalangan penjawat awam serta menaikkan elaun sara hidup penjawat awam bagi meringankan beban mereka, Mohamed Nazri berkata ia akan dilaksanakan bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan.

"Kerajaan telah melaksanakan empat kali pelarasan gaji untuk anggota perkhidmatan awam bagi tempoh tahun 2000 hingga 2007. Walau bagaimanapun, kajian penambahbaikan ke atas gaji dan syarat-syarat perkhidmatan bagi anggota perkhidmatan awam sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.

Mengenai pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 yang akan diperolehi pada Disember ini seperti diumumkan pada pembentangan Bajet 2011, beliau berkata ia merupakan tambahan kepada bantuan khas kewangan yang diberikan pada September lepas sempena Hari Raya Aidilfitri.

"Jumlah sebanyak RM1,000 tersebut adalah bersamaan atau lebih daripada jumlah sebulan gaji minimum bagi Kumpulan Sokongan II (Gred 1�16)," katanya menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen pada sesi perbahasan lepas mengenai perlunya kerajaan menimbang pemberian bonus berbanding pemberian wang RM500 berkenaan.

Mengenai penyerapan pegawai kontrak kepada jawatan tetap, beliau berkata kerajaan tidak bercadang untuk berbuat demikian kerana terdapat sebahagian pegawai kontrak merupakan pesara kerajaan, bukan warganegara dan tidak memiliki syarat kelayakan akademik seperti mana yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan yang berkenaan.

"Tetapi kerajaan sentiasa menggalakkan pegawai yang berstatus kontrak memohon jawatan tetap yang lain bersesuaian dengan kelayakan akademik yang dimiliki,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri berkata sehingga 25 Oktober lepas seramai 516 penjawat awam wanita dalam perkhidmatan awam Persekutuan menyandang Jawatan Utama Sektor Awam(Jusa)/ Gred Khas.

Mangsa Kemalangan Di Setiu Dikebumi Dalam Satu Liang Lahad

Posted: 01 Nov 2010 07:15 AM PDT

BESUT, 1 Nov (Bernama)- Empat sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan antara sebuah kereta dengan sebuah van di Setiu semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Padang Bual, Pasir Akar Isnin.

Mereka yang berasal dari Kampung Bukit China, Pasir Akar ialah Noorazyelwy Sidek, 32, adiknya Noorazry Elmy, 29, Noorafzan Efizalman, 16, dan anak perempuan Noorazry Elmy, Nor Amysha Maisarah, 1,

Ibu kepada ketiga-tiga mangsa Zabedah Teh, 49, dan isteri Noorazry Elmy, Che Marina Awang, 23, turut hadir di tanah perkuburan tersebut.

Hujan lebat yang turun, tiba-tiba berhenti semasa pengkebumian hendak dijalankan.

Sebelum itu kereta jenazah yang membawa keempat-empat mangsa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada rumah Zabedah, terpaksa mengharung air banjir apabila jalan utama ke tempatan pengkebumian di Gertak Jerbong dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.6 meter.

Beberapa buah kampung di Besut kini dilandar banjir ekoran hujan lebat yang turun sejak semalam.

Turut terbunuh dalam kemalangan 1.30 petang itu di Km67.5 Permasuri-Penarik berdekatan Kampung Nyatoh ialah penumpang van berkenaan, Mek Wook Yaakob, 76, yang meninggal di Hospital Setiu.

Kereta yang dinaiki keluarga tersebut sedang dalam perjalanan pulang dari Panarik manakala van berkenaan yang sarat dengan 13 orang penumpang dipercayai sedang menuju ke arah Dungun.

Kereta tersebut dipandu Noorazydyelwy, kakitangan Universiti Malaysia Terengganu manakala van itu dipandu Wan Mohd Mustaffa Zulkarnain, 45, penghantar barangan runcit di Jerteh.

Isterinya Wan Samariah Wan Nawang, 47, cedera parah.

Menurut polis, kereta tersebut dikatakan terbabas ke kanan jalan akibat jalan yang licin ekoran hujan lebat lalu bertembung dengan van berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

Taib mungkin bubar DUN Sarawak bulan ini, kata penganalisis

Posted: 31 Oct 2010 05:32 PM PDT

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 1 Nov — Di sebalik spekulasi mengenai pilihan raya negeri Sarawak, penganalisis Dr Ong Kian Ming meramalkan kemungkinan ia diadakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang atas alasan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud kelihatan "lebih berminat" untuk membubarkannya bulan ini.

Bagaimanapun Ong juga memberitahu, meskipun Taib lebih "berminat" ke arah hujung bulan depan, tetapi maklumat diterimanya juga menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersedia untuk mengendalikan pilihan raya dalam tempoh itu.

"Kemungkinan ia akan diadakan hujung bulan depan adalah antara 30 hingga 40 peratus... kebarangkalian ini adalah berdasarkan tahap kesediaan untuk mengadakan pilihan raya jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan," kata beliau.

"Sebenarnya, sukar bagi SPR untuk mengadakan pilihan raya dalam notis yang singkat," hujah Ong pada sesi taklimat berkaitan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi serta pilihan raya negeri Sarawak di sini baru-baru ini.

SPR dipercayai telah bersiap sedia dari segi sumber manusia tetapi kemungkinan berhadapan dengan kekangan logistik jika DUN Sarawak dibubarkan bulan ini.

Latihan awal bagi pekerja-pekerja pilihan raya dikatakan telah diadakan pertengahan tahun ini.

Kini, SPR sibuk dengan urusan pengendalian pilihan raya kecil kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi.

DUN Sarawak dijadual untuk bersidang hari ini.

Ong berkata, sementara komponen Pakatan Rakyat (PR) Sarawak masih "bertelagah" dalam menentukan pembahagian kerusi, Taib (gambar) kemungkinan mengambil kesempatan itu dan juga suasana pemilihan pucuk kepimpinan PKR yang akan berakhir hujung bulan ini.

Proses pengundian pemilihan pucuk kepimpinan PKR secara berperingkat-peringkat bermula Jumaat ini.

"PKR dan DAP belum selesai memuktamadkan pembahagian kerusi masing-masing, malah PKR pula bercelaru dengan proses pemilihan dan kongres mereka.

"Saya berpendapat Taib akan menggunakan peluang ini (kecelaruan) untuk membubarkan DUN," kata beliau.

Jelas beliau, sekiranya ia tidak diadakan sebelum awal Disember, kemungkinan besar pilihan raya negeri Sarawak hanya akan diadakan Mac depan.

"Jika diadakan Mac depan, pembangkang berpeluang memperoleh lebih banyak kerusi, kemungkinan boleh menafikan majoriti dua pertiga BN di DUN," katanya.

Katanya, jika diadakan tahun ini PR boleh memperoleh sekitar 21 kerusi, kurang tiga untuk menafikan majoriti dua pertiga BN.

Mandat semasa DUN Sarawak akan berakhir Julai 2011. Sekiranya tidak dipanggil pilihan raya awal ia akan terbubar dengan sendirinya.

Di DUN Sarawak, BN memiliki 62 kerusi, Barisan Bersatu Sarawak (dua), Parti Keadilan Rakyat (satu), Parti Kebangsaan Sarawak (satu), DAP (enam) dan calon Bebas (satu).

Parti-parti komponen BN telah diminta mengenal pasti calon masing-masing sebelum Disember ini.

Awal September lalu, Taib berkata BN Sarawak sedang memuktamadkan senarai calonnya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, beliau masih menunggu parti komponen BN negeri untuk membuat penilaian sendiri dan memuktamadkan calon mereka pada pilihan raya negeri berkenaan.

Taib, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB), tunjang BN Sarawak sebelum ini berkata, beliau telah mengenal pasti 70 peratus daripada calonnya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Ong juga berkata, kecuali SUPP parti-parti komponen lain dalam BN juga belum bersedia dan rela jika pilihan raya negeri diadakan tahun depan.

Menjelaskan kedudukan SUPP, katanya, parti masyarakat Cina itu kelihatan tidak akan memperoleh sokongan majoriti pengundi Cina dan oleh itu tidak kisah bila pilihan raya negeri diadakan.

"Selain SUPP, parti-parti komponen BN yang lain sememangnya tidak bersedia, mereka gemar jika ia diadakan tahun depan, dilewatkan lagi," kata beliau.

Tiada ulasan: