Khamis, 18 November 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Limpahan Warga Asing Di Kota Setiap Kali Musim Perayaan, Kerajaan Berdiam Diri?

Posted: 18 Nov 2010 12:55 AM PST

Rimas warga asing ramai

Gambar: MACAM-MACAM RAGAM...kehadiran warga asing di Taman KLCC menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

KUALA LUMPUR: Seperti biasa, setiap kali cuti umum, tempat tumpuan di ibu kota antaranya Taman KLCC dipenuhi ratusan warga asing yang berkumpul beramai-ramai dan melepak di kawasan berkenaan hingga menimbulkan keadaan kurang selesa kepada pelancong asing dan warga tempatan.

Ada antara mereka yang bukan saja berehat, malah melanggar peraturan dengan menceroboh masuk ke dalam kolam air pancut di hadapan Suria KLCC hingga mencacatkan pemandangan di kawasan berkenaan.

Malah, tidak kurang juga yang bersikap keterlaluan apabila tanpa segan silu bercumbu di khalayak ramai.

Suri rumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 34, berkata dia bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga berikutan kehadiran terlalu ramai warga asing di taman berkenaan.

"Ini kali pertama saya dan suami datang ke sini kerana tidak dapat pulang ke kampung sempena Aidiladha, tetapi saya terkejut dengan kehadiran warga asing yang terlalu ramai sehingga saya rasa seolah-olah tidak berada di Malaysia," katanya.

Emelan Nordin, 25, dari Sabah berkata, walaupun dia sudah biasa dengan keadaan berkenaan, namun berharap pihak bertanggungjawab meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu.

"Walaupun mereka tidak mengganggu atau membuat kacau, namun pemantauan rapi perlu dilakukan kerana bukan hanya kami warga tempatan, malah saya yakin pelancong juga tidak selesa dengan sikap mereka.

"Tidak hanya melanggar peraturan yang ditetapkan di taman ini, ada juga antaranya tidak langsung menjaga kebersihan dengan membuang sampah dan meludah di merata tempat," katanya.

Bagi warga Indonesia, Hilhamjayadi, 36, cuti umum yang diperoleh digunakan sepenuhnya untuk bertemu rakan dan saudara-mara yang tidak dapat pulang menyambut Aidiladha di kampung halaman dan berkongsi pengalaman bekerja di Malaysia.

"Inilah masanya untuk kami bertemu, berkumpul sebegini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerinduan terhadap keluarga di kampung. "Mungkin sikap tindakan kami berkumpul dipandang serong sesetengah pihak, namun sebenarnya tiada apa yang kami lakukan, hanya berkongsi cerita," katanya.

Tinjauan mendapati kebanyakan warga tempatan mengunjungi kolam kanak-kanak dengan membawa anak-anak mereka di bawah 12 tahun untuk bermain di sana lebih-lebih lagi sempena cuti sekolah sekarang. -hm

Benarkah PKR Lagi Teruk Daripada UMNO?

Posted: 18 Nov 2010 12:10 AM PST

Ketelusan PKR: Zamri digantung tanpa dipanggil bela diri

ULASAN FMT: Ketika ini, tindak-tanduk Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih banyak mengundang persoalan berbanding jawapan termasuk tindakan menggantung Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Rasah, Zamri Vinoth baru-baru ini.

Ketelusan JPP parti yang mendakwa mendukung demokrasi semakin dipertikaikan apabila Zamri yang menunggu untuk dipanggil mengadap JPP mahupun Jawatankuasa Displin akhirnya digantung keanggotaan oleh parti.

Sekaligus keputusan JPP tersebut mengesahkan lagi dakwaan bahawa JPP tidak menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus terhadap aduan-aduan yang diterima sebelum tindakkan diambil.

Tindakkan JPP yang dibuat dengan tidak memanggil Zamri mengadap untuk membolehkan keterangannya diambil dan membela diri adalah satu langkah yang jelas membelakangkan prinsip keadilan itu sendiri.

Hari ini PKR bukan sahaja merupakan parti pertama yang melaksanakan sistem satu ahli satu undi malah juga merupakan parti politik pertama yang menjatuhkan hukum kepada pemimpinnya dengan tidak memanggil tertuduh untuk membela diri.

Umno, PKR: Siapa lebih demokratik?

Umno yang didakwa PKR sebuah parti yang tidak demokratik sebelum ini turut memanggil mana-mana anggotanya atau calon yang berhadapan dengan isu disipilin mengadap sebelum sebarang tindakan diambil.

Bahkan ketika hari terakhir Dato Seri Anwar Ibrahim bersama Umno, turut diberi peluang membela diri dan memberi keterangannya di hadapan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Keputusan untuk memecat Anwar hanya dibuat setelah undian dijalankan dikalangan Ahli MT Umno yang sebelumnya telah mendengar hujah pembelaan oleh Anwar sendiri dengan panjang lebar.

Pada ketika itu, Anwar memang telah diketahui umum mempunyai ramai musuh-musuh politiknya di dalam Umno sendiri termasuklah dikalangan Ahli MTnya.

Begitu juga bagi parti-parti politik lain termasuk ketika Pemilihan Umno yang memanggil mengadap calon-calon bertanding yang dilaporkan melanggar peraturan parti sebelum sesuatu tindakan diambil.

Sebaliknya pula dalam PKR yang dikatakan peneraju demokrasi, tindakan JPP tidak memanggil Zamri mengadap sebelum keputusan penggantungan hanya mengesahkan andaian umum bahawa banyak isu berkaitan pemilihan yang mahu disembunyikan oleh parti itu.

Para penganalis politik tanah air menjangkakan penafian demi penafian terus dibuat oleh PKR untuk melindungi imej parti dan juga pihak-pihak tertentu dalam parti.


Desakan sesetengah pihak agar pemilihan dihentikan sementara bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan juga dijangkakan tidak akan mendatangkan sebarang hasil. -FMT


Pemilihan PKR : Siapa kata JPP tidak bertindak?

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Seorang pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, yang mengaku ditangkap sebagai 'pengundi hantu' awal bulan ini, terus mempertikaikan integriti proses pemilihan atas alasan perbuatannya itu tidak dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sehingga kini.

Ketua AMK Rasah Zamri Vinoth yang ditangkap di pusat pengundian Rembau berkata, beliau 'sengaja' membiarkan dirinya ditangkap JPP kerana mahu mengetahui tentang tindakan lanjut diambil oleh jawatankuasa berkenaan, yang diamanahkan menguruskan pemilihan parti secara langsung bersejarah.

Dalam reaksi segera, sekretariat ibu pejabat hari ini menafikan dakwaan tersebut.

Setiausaha Pengelola Raden Shamsulkamar Raden Samsudin memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya serta-merta telah menggantung status Zambri apabila beliau ditangkap oleh pengawas JPP.

Bahkan kata Raden Shamsulkamar yang juga pentadbir JPP, surat rasmi berhubung pergantungan Zambri turut dihantar Rabu lalu.

"Selepas ditangkap tidak diambil tindakan, itu sebenarnya salah belaka, dia (Zambri) telah dikenakan gantung serta-merta.

"Mungkin dia (Zambri) tak tahu atau mungkin dia menafikan pergantungan ini atau saja nak buat kacau, itu terpulang kepadanya.

"Ibu pejabat memang bertindak tegas, tak ada lagi kemaafan baginya, pergantungannya tergantung pada proses siasatan Lembaga Disiplin parti," jelas Raden Shamsulkamar ketika dihubungi.

PKR yang julung kali mengadakan pemilihan secara langsung di bawah konsep satu ahli satu undi kerana berhadapan dengan kontroversi ekoran dakwaan manipulasi dan kepincangan.

Setakat ini hampir 75 peratus cabangnya sudah melangsungkan proses pengundian peringkat pusat.

Proses pengundian diteruskan walaupun ada desakan agar agar ditanggguh dan dibatalkan.

"Perlakuan tersebut saya lakukan sendiri setelah melihat bahawa banyak kepincangan telah berlaku dan walaupun diadukan ataupun disedari oleh JPP tetapi tidak ada sebarang tindakan dilihat dibuat.

"Saya melakukan perkara tersebut untuk tujuan menarik perhatian JPP mengenai banyak kepincangan berlaku.

"Namun setelah dua minggu saya menanti, tidak ada sebarang panggilan untuk saya menghadap jawatankuasa JPP kecuali beberapa panggilan telefon dari JPP," kata Zambri dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada The Malaysian Insider.

Pengakuan terbuka itu, menurut Zambri sekali gus menolak dakwaan penyandang Ketua AMK, sayap pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin 2 November lalu kononnya anasir 'pengundi hantu' di pusat pengundian Rembau dan Tampin didalangi Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai 'Chegubard'.

"Ada juga yang menelefon saya meminta pengakuan saya melakukan kerana diarah atau dibayar oleh Chugubard.

"Dalam perbualan saya dengan salah seorang JPP di mana JPP itu tidak dapat menjawab beberapa persoalan yang saya bangkitkan, sebalik mengecam dan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan seperti: 'Vinoth, you better watch out'... selepas itu terus meletak telefon dan terus tidak menjawab panggilan dari saya lagi.


"Saya selaku Ketua AMK Rasah yang terletak di cabang sebelah Rembau jika untuk menipu sudah tentu bukan saya yang dikenali lakukan tetapi sememangnya saya lakukan sendiri untuk ditahan dengan harapan dipanggil untuk siasatan dan ini peluang terbaik berdepan dengan JPP dan membangkitkan banyak kepincangan yang terancang," beliau menambah.

Zambri turut mempersoal tindakan Raden Shamsulkamar kerana beliau menganggapnya menyerang Badrul Hisham yang juga Ketua cabang Rembau, kononnya turut membawa pengundi hantu ke pusat pembuangan undi cabang Tampin yang kebetulan mengundi pada pada hari yang sama dengan Rembau.

Menurut Zambri, kredibiliti Shamsul Iskandar wajar dipertikai kerana penyandang kerusi Ketua AMK itu pada 2 November lalu mempersoal 76 undi yang diperoleh Badrul Sani di Tampin manakala enam undi berbaki diperoleh Shamsul Iskandar.

"Ini kenyataan Shamsul yang gila, kenapa selepas itu apabila keputusan bercorak Tampin menyebelahinya dia tidak mengatakan ia pengundi hantu.

"Pernahkah saudara Shamsul benar turun ke bawah dengan bertanya kepada AMK mengenai keperitan menghidupkan AMK. Shamsul hanya berani bercakap dari pejabat dan kalau turun pun dengan sambutan glamour sahaja," ujar Zambri sambil mengaku kecewa dengan tindakan JPP serta Shamsul Iskandar sendiri.

Pada kenyataan Zambri semalam, beliau turut membangkitkan beberapa kes penyelewengan yang dilakukan pada proses pengundian, tetapi JPP tidak bertindak sewajarnya.

"Ada beberapa cabang yang mencalonkan orang lain tetapi bertukar kepada nama Shamsul Iskandar Ketua AMK
.

"Saya difahamkan pengaduan rasmi sudah dibuat tetapi malangnya tidak ada tindakan. Individu yang bertanggungjawab menipu masih berada dalamibu pejabat parti.

"Cabang Kubang Pasu, secara jelas didapati buku daftar pemilih mencatat kedatangan kurang seratus tetapi kertas dalam peti undi pula hampir 200. Sehingga kini tiada tindakan. Kejadian di Kubang Pasu juga dilaporkan kemudian berlaku di beberapa cabang lain.

"Semalam (14 November) saya ada saksi hidup di mana di Cabang Kota Raja bagaimana penyelewengan berlaku. Ada anggota yang lebih umur mengundi tetapi meja hadapan memberikannya keratan kertas yang membolehkan dia mendapat kertas undi AMK dan MPP.

"Ada juga usaha membenarkan pengundi mengundi tanpa Kad Pengenalan. Mujur ada PACA (ejen pengundian dan pengiraan undi) dari pasukan Chegubard, maka kejadian tersebut dihalang," kata beliau.

Pada 2 November lalu, Shamsul Iskandar menuduh pasukan Badrul Hisham sebagai dalang membawa pengundi hantu ke pusat pengundian Rembau dan Tampin, tetapi Badrul Hisham mempersoal tindakan pencabarnya itu.

Bagaimanapun, Shamsul Iskandar dan Badrul Hisham masing-masing bersetuju untuk JPP menyiasat dan bertindak tegas atas beberapa aduan berkaitan insiden di Rembau dan Tampin terbabit.

Pergantungan itu, menurut Raden Shamsulkamar membawa pada gugurnya jawatan segala jawatan parti yang disandang beliau sebelum ini.

"Kalau dia (Zambri) Ketua Cabang Rasah, maknanya secara automatik gugurlah," ujar Raden Shamsulkamar lagi.

Raden Shamsulkamar turut tidak menolak kemungkinan bahawa beliau Zambri mungkin akan dipecat oleh parti sekiranya tindakannya menjadi pengundi hantu itu menjejaskan nama baik parti.

"Mungkin jawatankuasa disiplin parti menuju pada sesuatu yang lebih besar, kemungkinan dipecat kerana parti tidak perlu pemimpin sebegini," jelas Raden Shamsulkamar secara seloroh.

Namun, Raden Shamsulkamar menganggap alasan Zambri itu adalah tidak munasabah dilakukan oleh seorang pemimpin AMK negeri yang merupakan pemimpin sayap pemuda parti di peringkat negeri.

"Wajarkah bagi seseorang yang hanya nak mengenal pasti tahap keselamatan satu-satu bank itu dalam keadaan lemah, maka dia pergi merompak bank itu.

"Apabila ditanggap... ohhh, saya menyamar untuk melihat tahap keselamatan bank ini. Adakah memadai dengan alasan itu," soal beliau dalam nada jenaka sambil menganggap AMK peringkat cabang wajar dipimpin oleh seseorang yang lebih bijak. -TMI





Siapa Lelaki Misteri Telefon Beritahu Yang Intan, Pekerja Rosyam Kemalangan?

Posted: 17 Nov 2010 10:48 PM PST

Kuala Lumpur: "Saya masih dalam keadaan terkejut dan tidak percaya Intan sudah tiada, sedangkan baru semalam, kami sempat bergurau," kata kakak mangsa kemalangan maut di Jalan Bangsar, Liza Mohd Nazri, 35.

Liza berkata, adiknya, Intan Safiah Mohd Nazri, 25, seorang anak yang manja dengan keluarga kerana dia adalah anak bongsu daripada enam adik beradik sehingga makannya juga masih bersuap.

Intan maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan serta melanggar tiang monorel di depan dataran Maybank, kira-kira 5.25 pagi semalam.

Beliau juga kakitangan pelakon dan penerbit terkenal, Rosyam Nor yang menerajui Syarikat Suhan Movie "Sehingga kini pun jika arwah pulang ke rumah emak, Aisyah Mohamad, 60-an, di Subang, emak akan menyuapkan makanan kepadanya.

"Kali terakhir Intan makan bersuap minggu lalu ketika pulang ke rumah emak. Itulah suapan terakhir emak untuk Intan sebelum dia pergi meninggalkan kami," katanya.

Menurutnya, sebelum ini arwah tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya, cuma pada hari kejadian selepas pulang ke rumah di Kampung Kerinchi pada jam 7.30 malam, arwah hanya berkurung di dalam bilik.

"Saya cuba mengetuk pintu biliknya beberapa kali tetapi tidak dibuka. Arwah cuma meminta saya tunggu sekejap kerana sedang berbual dengan seseorang melalui telefon bimbit.

"Tidak lama kemudian arwah memberitahu saya hendak pulang ke rumah emak. Pada waktu itu, arwah hanya membawa beg sandang dan beg tangan keluar dari rumah kira-kira jam 8.30 malam," katanya.

Bagaimanapun, selepas itu Liza tidak pulang sebaliknya keluarganya dikejutkan dengan satu panggilan misteri daripada seorang lelaki yang hanya memberitahu nombor pendaftaran kenderaan milik arwah kemalangan.

Bapa mangsa, Mohd Nazri Andak Lam, 75, berkata, dia menyangka arwah yang menghubunginya tetapi terkejut suara lelaki bercakap memberitahu kereta anaknya kemalangan.

Menurutnya, selepas itu, dia cuba menghubungi semula namun telefon bimbit berkenaan sudah dimatikan.


Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius pada kepala dan maut serta- merta di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan selepas waktu Zohor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinchi.

PKR Bergerak Ke Depan Atau Ke Belakang?

Posted: 17 Nov 2010 09:45 PM PST

SUA: Selamat tinggal Zaid...

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu akan terus bergerak ke hadapan walaupun tanpa penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan akan keluar daripada parti.

Saifuddin berkata, keadaan ini terbukti melalui sokongan rakyat terhadap parti itu dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini.

Katanya, pada tahun 1999, parti itu mendapat 789 ribu undi, manakala 2004 memperolehi lebih 400 ribu undi, sementara pada 2008, PKR mendapat 1.5 juta undi.

"(Oleh itu) tanpa atau dengan Datuk Zaid Ibrahim, rekod kita itu menceritakan tentang keindahan parti (ini)... Sila daftar (menjadi) ahli parti kami," kata Saifuddin yang disambut dengan ketawa kecil kira-kira 20 pemberita.

Bercakap kepada pemberita selepas sidang medianya di ibu pejabat parti di Petaling Jaya petang ini, Saifuddin berkata, tindakan Zaid untuk berundur daripada PKR juga tidak akan memberikan impak negatif kepada parti itu.

"Anggota akan terus berjuang dengan PKR. Saya ucapkan selamat berjaya (kepada Zaid).

"Untuk parti, kita akan terus mara ke hadapan," katanya dan menambah, beliau belum menerima surat rasmi daripada Zaid yang mengumumkan niat untuk berundur daripada parti itu pagi ini.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai penubuhan sebuah "parti Keadilan baru" oleh Zaid, Saifuddin menyifatkan tindakan itu sebagai satu perkembangan baik kepada politik negara.

"Ia meriah. Tetapi yang saya tahu, sudah ada parti politik baru dah ditubuhkan dan telah pun ada pemilihan untuk jawatan dalam parti itu...

"Tetapi saya tidak mahu mendedahkan parti apakah itu dan saya dapat tahu bahawa Zaid telah pun meletakkan orang-orangnya dalam parti baru itu," dakwanya seperti dilaporkan Bernama.

Zaid yang juga bekas menteri kabinat menyertai PKR pada Jun tahun lalu selepas meninggalkan parti Umno. -mk

Ulasan GB

Di dalam pilihanraya 2008 yang lalu, PKR memang telah menang banyak kerusi dengan bantuan jentera dan petugas PAS khususnya dan PR umumnya, hasilnya PKR mendominasi PR dengan kelebihan kerusi di Parlimen. Tetapi hanya setahun, dimana kerusi PKR susut apabila beberapa ahli parlimennya mengisytihar diri menjadi konsensus bebas.

Tindakan mereka melompat memang tidak beretika dan tidak bermaruah, tetapi kita perlu mengkaji SEBAB UTAMA mengapakah mereka bertindak demikian. Dan jawapan itu penting untuk mengelak lebih ramai mengikuti mereka, tanpa memperdulikan samada kita suka atau pun tidak.

Itu pun PKR mahu menujukkan mereka mempunyai sokongan sebagai parti dominan sedangkan bilangan kerusinya sudah tidak lagi dominan berbanding DAP.

Kemudian jangan lupa, di beberapa buah negeri, kemenangan PKR juga adalah hasil sokongan dan dokongan HINDRAF. Kini Hindraf sudah berpaling tadah. Begitu juga kekalahan Shamsul Bahrin (pengurus kempen Azmin) untuk pertahankan Ketua Cabang di Port Dickson adalah bukti nyata protes kaum India terhadap pimpinan PKR.

Di Galas, terbukti pengundi kaum Cina sebahagian yang dulunya pengundi PR telah kembali mengundi BN. Pakatan kalah di Kampung Baru dengan majoriti 41 undi - yang merupakan kawasan majoriti pengundi Cina yang PR menang dengan majoriti lebih 200 undi dalam pilihan raya umum lalu.

Apakah PKR masih lagi merasakan dirinya sehebat dan sekuat seperti dulu?

Ramai telah hilang penghormatan kepada pimpinan tertinggi PKR, kerana konspirasi jahat pimpinan tertinggi PKR yang lansung tidak bermaruah menginjak kebenaran dan keadilan sehingga menjadikan Pemilihan PKR 2010 seperti kata pemimpin Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI), Amin Iskandar, sebagai pemilihan yang mengarut dan sungguh memalukan!

Bergaduh Pilih Imam Solat Aidul-Adha, 18 Cedera

Posted: 17 Nov 2010 08:25 PM PST

18 cedera gaduh pilih imam solat Aidiladha

QUETTA: Tembak menembak dalam sebuah masjid di barat laut Pakistan mencederakan sekurang-kurangnya 18 orang dalam satu pertengkaran mengenai siapa yang sepatutnya mengimamkan solat Aidiladha.

Pengikut dua pemimpin agama bersaing mengeluarkan senjata dan mula melepaskan tembakan pagi semalam selepas bertengkar mengenai siapa yang sepatutnya memulakan dulu solat di sebuah masjid kecil di daerah pedalaman Khuzdar di wilayah Baluchistan, kata pegawai polis, Javed Ahmed.

Daerah terbabit terletak kira-kira 900 km ke barat laut Islamabad. Kebanyakan etnik Pashtun membawa senjata api setiap hari dalam kehidupan sehari mereka.

Berjuta penduduk Pakistan lain meraikan Aidiladha semalam dalam suasana aman menyertai penduduk Islam seluruh dunia meraikan hari kebesaran umat Islam selama tiga hari yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban.

Pakistan menyambut hari raya sehari selepas kebanyakan negara meraikannya sejak semalam berikutan pihak berkuasa negara itu mengikut pengiraan anak bulan.

Sambutan sunyi di beberapa kawasan di Pakistan berikutan banjir buruk yang menjejaskan 20 juta penduduk manakala 7 juta yang lain masih lagi kehilangan tempat tinggal.

Kebanyakan masjid turut meningkatkan keselamatan semalam untuk mengawal kemungkinan serangan Taliban dan kumpulan pelampau Islam lain.

Awal bulan ini sekurang-kurangnya 70 penduduk mati apabila seorang pengebom bunuh diri menyerang sebuah masjid yang selalu dikunjungi golongan anti-Taliban dan sebutir bom tangan meletup di barat laut negara itu. – AP

Kampung Nelayan Di Benut Kian Terhakis

Posted: 17 Nov 2010 07:15 PM PST

Kampung kian terhakis

Gambar: SEBAHAGIAN penduduk Kampung Nelayan Benut menunjukkan kesan hakisan yang semakin serius dan mengancam keselamatan penduduk.

Nelayan dekat Sungai Benut bimbang rumah bergoyang setiap kali air pasang

PONTIAN: Kira-kira 300 penduduk Kampung Nelayan berdekatan Sungai Benut, di sini, bimbang dengan keselamatan dan keadaan rumah masing-masing berikutan tanah serta kediaman mereka terancam akibat hakisan yang serius.

Masalah hakisan tanah yang semakin teruk sejak lima tahun lalu itu kini semakin membimbangkan terutama apabila kejadian air pasang sehingga menyebabkan penduduk terpaksa mengalih pelbagai barangan ke kawasan yang lebih selamat.

Seorang penduduk Mohd Amin Shang, 58, berkata ketika ini hakisan tanah sudah menghampiri kawasan kediamannya, sekali gus mengancam keselamatan beliau sekeluarga jika berlaku berlaku kejadian air pasang serta aliran air yang deras.

Katanya, pelbagai cara dilakukannya untuk mengelak daripada berlaku hakisan dengan mencacakkan kayu dan membuat benteng namun tidak berhasil, sebaliknya kayu yang dicacakkan itu dihanyutkan air.

"Kami sekeluarga ingin tempat tinggal yang selesa, namun pendapatan sebagai nelayan tidak menentu apatah lagi apabila musim tengkujuh dan laut bergelora menyebabkan sukar untuk turun ke laut mencari rezeki.

"Jika air pasang rumah akan bergoyang... selain air masuk ke dalam rumah, pada masa sama binatang berbisa termasuk ular bakau mungkin ikut sama masuk ke kediaman," kata nelayan yang mempunyai tujuh anak dengan seorang daripadanya masih bersekolah dan 12 cucu, itu.
Ibu tunggal, Esah Salim, 52, pula berkata, beliau sekeluarga kini berasa tidak selamat terutama apabila waktu malam dengan rumah mula bergoyang ketika air pasang menghempas dinding dan tiang yang dijadikan sebagai penahan rumah.

Beliau yang kematian suami empat tahun lalu mempunyai enam anak, dengan seorang daripadanya masih bersekolah, berharap boleh memiliki kediaman lebih selesa dan selamat tetapi sehingga kini hasrat berkenaan belum tercapai.

Bacok Ratab, 56, pula berkata setiap kali air pasang, penduduk terbabit terpaksa menghentikan aktiviti lain selama dua jam untuk menunggu air surut.

"Ada penduduk terpaksa mengalihkan barangan penting seperti motosikal atau kenderaan masing-masing ke tempat lebih selamat. Keselamatan penduduk juga tidak terjamin ketika air pasang... rumah akan bergoyang kerana aliran air deras selain tanah akan terhakis sedikit demi sedikit," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Hasni Muhamad ketika dihubungi berkata, hakisan yang berlaku sejak lima tahun lalu itu sememangnya boleh mengundang perkara yang tidak diingini khususnya kepada penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Benut.

Katanya, mengikut laporan diperoleh setakat ini, 10 buah rumah menghadapi masalah itu dan akan dipindahkan ke tapak baru yang di kawasan perkampungan lain dalam masa terdekat tetapi pembinaan rumah itu perlu ditanggung sendiri oleh pemiliknya.

"Saya sangat berterima kasih kerana mereka yang terbabit setuju untuk dipindahkan ke tempat lebih selamat di tapak yang disediakan. Tindakan lanjut yang sewajarnya akan dilakukan dalam masa terdekat demi kesejahteraan penduduk kampung berkenaan," katanya.

Ibu Tak Tahan Dicederakan Anak, Minta Anaknya Dihantar Ke Pusat Pemulihan

Posted: 17 Nov 2010 06:52 PM PST

Risau anak makin ganas

Gambar: CEDERA...Rakiah menunjukkan kesan luka kepada salah seorang anaknya, manakala gambar sebelah mangsa mengemas barang yang disepah suspek.

Kuala Terengganu: Buntu memikirkan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah dihadapinya, seorang ibu meminta pihak tertentu 'mengambil' anaknya yang menghidap sakit mental untuk ditempatkan di pusat pemulihan atau rumah kebajikan.

Rakiah Ngah, 60, seorang tukang sapu dari Kampung Laut di sini, berkata, dia kini hilang punca untuk mengawal anaknya, Ahmad Shaari Mohamed, 27, yang berperangai pelik dan semakin ganas sehingga sanggup mencederakannya.

Warga emas itu bimbang sekiranya Ahmad Shaari dibiarkan tanpa kawalan atau rawatan sewajarnya, nyawanya sendiri akan melayang kerana tindakan anaknya semakin keterlaluan.

"Kebelakangan ini, anak semakin ganas. Ahad lalu, dia menggigit lengan kanan saya sehingga luka dan bengkak.

"Ketika itu, saya berseorangan mencarinya di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk mengambil beg sandang yang dicurinya, tetapi dia menggigit lengan kanan saya dengan sekuat hati untuk melepaskan diri," katanya.

Rakiah berkata, mujurlah beberapa anggota polis yang bertugas di pondok berhampiran bertindak pantas menyelamatkannya kerana sebelum itu dia memberitahu mereka mengenai tujuannya ke situ untuk mencari anaknya.

Menurutnya, selepas itu, anggota polis terbabit terus menahan anaknya itu dan dibawa ke balai polis sebelum dibebaskan berikutan anaknya mempunyai kad pesakit mental.

Katanya, Ahmad Shaari menjadi kurang siuman selepas rumah mereka dibakar jiran, 10 tahun lalu dan selepas tragedi itu perangai anaknya berubah menjadi pendendam.

Peguam Terkenal Ditikam 17 Kali Sampai Mati Oleh Lelaki Bertopeng

Posted: 17 Nov 2010 05:33 PM PST

Ipoh – Peguam Dikelar Sampai Mati

IPOH: Peguam terkenal G. Balasundram terbunuh selepas dua lelaki bertopeng bertindak berani menyerangnya di luar rumah mangsa di Desha Rishah di sini, Selasa.

Dalam kejadian 5 petang itu, kedua-dua suspek menyerang Balasundram, 57, sebaik sahaja mangsa tiba di kediamannya.

Serangan itu meninggalkan Balasundram dengan 17 kesan tetakan pada abdomen dan beberapa kecederaan lain di bahagian paha.

Dipercayai suspek dipercayai pembunuh upahan telah mengekori Balasundram dari pejabatnya sebelum melakukan serangan di kediaman mangsa.

Isterinya hanya mampu menjerit apabila melihat suaminya seorang peguam ditikam bertubi-tubi oleh empat lelaki bertopeng di depan rumah mereka di Taman Desa Rishah, Buntong di sini kelmarin.

Laporan Kosmo, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, kejadian berlaku semasa mangsa turun dari keretanya di depan rumah selepas pulang dari pejabat.

"Isteri mangsa L. Pusphalatha, 48, ketika itu berada di dalam rumah dan berlari keluar setelah mendengar bunyi bising itu," kata beliau di sini semalam.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan oleh seorang jiran yang melihat kejadian itu.

Mangsa bagaimanapun gagal diselamatkan dan meninggal dunia lewat malam berkenaan.

Polis menolak klasifikasi kes itu sebagai rompakan kerana barangan milik Balasundram tidak diambil oleh suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek dipercayai menyerang mangsa menggunakan pisau Rambo.

"Mangsa meninggal dunia 9.30 malam selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan," katanya, sambil menambah polis masih menyiasat motif serangan itu.

Laporan Metro pula menyebut adik ipar Balasumdram, G Rajan berkata:

"Saksi kejadian memberitahu abang ipar saya ditikam 17 kali oleh dua lelaki bertopeng di hadapan rumah ketika dia baru pulang dari tempat kerja."

Balasundram meninggalkan balu, G. Puspalatha, 48 dan anak lelaki, Somaskanthar, 5 tahun.

Tragedi Aidil Adha, 4 Terbunuh, Majlis Khatan Tak Jadi

Posted: 17 Nov 2010 04:30 PM PST

Empat terbunuh pulang beraya

Gambar: KERETA arwah Shaiful Fadzilah yang remuk dalam kemalangan di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Slim River, malam kelmarin. Mangsa dari kiri, Shaiful Fadzilah Siti Suzana, Fikri dan Fitri.

Hajat anjur majlis khatan tak kesampaian, kereta dinaiki dirempuh treler

SLIM RIVER: Hasrat satu keluarga untuk pulang menyambut Aidiladha di kampung dan untuk melangsungkan majlis berkhatan tiga anak lelaki, tidak kesampaian apabila empat daripada mereka iaitu pasangan suami isteri dan dua anak kembar mereka maut, manakala dua lagi anak mereka cedera selepas kereta dinaiki dirempuh treler, malam kelmarin.

Yang terbunuh ialah pasangan suami isteri, Shaiful Fadzilah Shahar, 36, dan Siti Suzana Mohd Nor, 33, masing-masing bekerja sebagai kerani di syarikat pengangkutan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, serta anak kembar mereka dikenali Fitri dan Fikri, 6.

Anak sulung pasangan itu, Firdaus, 8, terseliuh kaki dan dirawat di Hospital Slim River, manakala yang bongsu, Fatihah (gambar), empat tahun melecur di tangan kiri serta badan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Kemalangan berlaku di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Slim River, jam 11.59 malam ketika mereka dalam perjalanan dari Labu, Seremban ke rumah bapa Shaiful Fadzilah, iaitu Shahar Mohd Ariffin di Lenggong bagi menyambut Aidiladha dan majlis khatan ketiga-tiga anak lelaki Allahyarham.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Deputi Superintendan Anuar Osman, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara yang dipandu Shaiful Fadzilah dirempuh dari belakang oleh sebuah treler sehingga menyebabkan kereta mangsa terlanggar kereta di hadapan hingga remuk dan tersepit.

"Kemalangan berlaku ketika hujan lebat dan treler itu dipercayai dipandu laju dan gagal berhenti ketika kenderaan lain bergerak ke susur keluar Slim River.
"Shaiful Fadzilah, Siti Suzana dan Fitri yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Fikri pula meninggal di Hospital Slim River," katanya di sini, semalam.

Tinjauan Berita Harian di HRPB, semalam mendapati Fatihah dalam keadaan stabil, tetapi masih trauma dengan kejadian itu.

Ibu saudaranya, Nor Azizah Shahar, 23, berkata, Fatihah masih tidak mengetahui berita kematian kedua ibu bapa dan dua abang kembarnya.

"Selepas diberi rawatan, Fatihah hanya mampu menangis dan memanggil mama serta abah setiap kali terjaga. Keadaannya masih lemah dan terkejut. Saya redha dengan kehilangan abang sulung (Shaiful Fadzilah), kakak ipar dan dua lagi anak saudara... cuma terkilan kerana tidak sempat menyambut raya bersama mereka," katanya.

Nor Azizah berkata, arwah abangnya merancang mengadakan majlis berkhatan untuk ketiga-tiga anak lelaki mereka iaitu Fitri, Fikri serta Firdaus sempena cuti sekolah ini. -BH

Polis Tidak Mesra Masyarakat, Disaran Ambil Kursus Komunikasi

Posted: 17 Nov 2010 04:02 PM PST

Polis disaran ambil kursus komunikasi

KUALA LUMPUR - Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran mengambil kursus berkaitan kemahiran berkomunikasi termasuk pelbagai bahasa sebagai langkah menyerapkan rasa 'mesra' dan 'melindungi' terutama ketika berhadapan dengan orang awam.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, latihan itu penting bagi mengelakkan berlaku salah faham antara polis dan masyarakat serta tuduhan kononnya polis tidak mesra masyarakat.

"Mereka (polis) harus dilatih dengan latihan ataupun kursus yang berkaitan dengan komunikasi agar ketika berhadapan dengan masyarakat, hubungan itu menjadi semakin erat dan orang ramai sendiri tidak akan takut untuk membuat laporan polis atau menyalurkan sebarang maklumat.

"Dengan latihan sebegitu, jika ada pengadu yang membuat laporan polis, anggota yang bertugas tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan pengadu secara profesional dan mesra tanpa menyinggung perasaannya sekaligus tiada tuduhan sembarangan dari masyarakat," katanya.

Beliau berkata, anggota polis juga disaran mengamalkan 4P -- People Oriented (berorientasikan masyarakat), Protective (melindungi),Performance (pencapaian) dan Proactive (proaktif) bagi meningkatkan profesionalisme pasukan itu dan sebagai landasan mengurangkan kadar jenayah. - Bernama

Quzandria, Mohd Qabil Rangkul Perak Dan Gangsa

Posted: 17 Nov 2010 06:30 AM PST

Quzandria, Mohd Qabil Masing-Masing Capai Perak Dan Gangsa

GUANGZHOU: Penunggang handalan negara Quzandria Nur Mahamad Fathil dan abangnya Mohd Qabil Ambak masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa dalam acara dressage individu pada Sukan Asia ke-16 di sini, Rabu.

Kejayaan Quzandria Nur itu merupakan kali pertama beliau mengatasi abangnya dalam mana-mana pertandingan dressage yang disertainya sebelum ini.

"Kami berdua sentiasa bersaing dalam sebarang pertandingan. Dia merupakan ujian paling getir bagi diri saya dan bangga dapat mengatasinya kali ini.

"Walaupun saya mensasarkan emas tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Pingat perak juga sudah cukup bermakna," katanya.

Quzandria Nur, yang menunggang kuda bernama 'Handsome', berjaya mengumpul 71.558 mata untuk pingat perak manakala Mohd Qabil memperoleh 71.195 mata untuk gangsa.

Emas disandang oleh penunggang Korea Selatan, Hwang Young Shik, dengan mengumpul 73.134 mata selepas menunggang kuda bernama 'Laura'.

"Sebenarnya, saya agak kecewa sedikit. Saya menampilkan persembahan yang agak sukar berbanding pemenang emas itu. Pergerakan rutin amat sukar di mana peserta lain biasa tidak melakukannya.

"Saya terpaksa meluahkan perasaan ini kerana salah seorang hakim adalah warga Korea dan kelebihan diberikan kepada peserta negaranya. Bagaimanapun, saya akui dressage merupakan sukan subjektif," kata Quzandria Nur.

Beliau juga bangga dengan persembahan kudanya, Handsome sejak bermula acara berpasukan Ahad lalu dan acara individu sejak Isnin.

"Jurulatih saya banyak membantu untuk Sukan Asia ini," kata Quzandria Nur yang berlatih di Denmark di bawah bimbingan Andreas Helgstrand.

Mengulas pencapaian Quzandria Nur, Mohd Qabil berkata dia wajar meraih pencapaian itu serta bangga dan mengucapkan tahniah kepada adiknya.

Mohd Qabil, yang beraksi kali keempat pada temasya sukan itu, berkata beliau hanya berlatih bersama kudanya bernama 'Wup' selama dua bulan di Belanda sebelum sukan itu.

Pada temasya Sukan Asia Doha 2006, beliau turut merangkul gangsa dalam acara itu.

Mohd Qabil dan Quzandria Nur juga berganding dengan Putri Alia Soraya Ahmad Shuhaimi dan Diani Lee Cheng Ni untuk meraih gangsa dalam acara dressage berpasukan Ahad lalu. - BERNAMA

Mana Pengertian "Korban" Apabila Pemimpin Hidup Mewah?

Posted: 17 Nov 2010 05:00 AM PST

Bagaimana pemimpin hidup mewah meminta berkorban untuk rakyat?

PETALING JAYA: "Wajarkah bagi mana-mana individu mendakwa dirinya berkorban untuk agama, negara dan rakyat padahal pada masa yang sama hidup mewah dan membina kekayaan untuk dirinya sendiri?"

Demikian soal calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali sebagai Chegu Bard ketika bercakap tentang pengorbanan sempena Hari Raya Korban yang disambut oleh umat Islam negara ini hari ini.

Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak hanya mempertikaikan pengorbanan pihak lain tetapi harus juga memikirkan adakah diri sendiri pernah berkorban untuk pihak lain.

"Kerajaan meminta rakyatnya berkorban untuknya tetapi apa pula pengorbanan kerajaan untuk rakyat negara ini?

"Apabila negara ini dikatakan bakal muflis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala tidak berapa lama dahulu, rakyat diminta berkorban untuk negara.

Gaya hidup mewah

"Tetapi apa pula pengorbanan mereka ini untuk rakyat dan negara, dengan gaya hidup yang mewah mereka tanpa sedikit pun merasa bimbang akan nasib negara dan rakyat.

"Saya percaya rakyat negara ini tidak merasa ragu untuk berkorban untuk negaranya, asalkan kena pada caranya dan pemimpin sendiri harus menunjukkan contoh teladan yang baik" kata Chegu Bard.

Beliau turut mengingatkan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya anak-anak muda agar jangan hanya pandai bercakap tentang pengorbanan yang kononnya pernah dilakukan untuk parti.

"Kadang-kadang ada yang mendakwa telah berkorban itu dan ini untuk parti. Hakikatnya yang mendakwa berkorban ini ada yang membina kekayaan melalui jawatan politik yang disandangnya.

"Jadi dalam situasi ini, siapa yang berkorban sebenarnya? Parti atau orang-orang seperti ini? Tentulah imej parti yang akhirnya terkorban apabila dipandang serong oleh masyarakat nanti," ujar beliau.

Pengorbanan sebenar

Disamping itu beliau menyanjung tinggi pengorbanan sebenar yang pernah dilakukan oleh anggota parti itu dari pelbagai peringkat untuk meletakkan parti berada di kedudukannya sekarang.

"Saya amat menyanjung tinggi pengorbanan ahli parti semua peringkat yang berkorban untuk perjuangan keadilan ini lebih-lebih lagi di akar umbi sehinggakan ada yang terpaksa bergolok bergadai untuk meneruskan perjuangan parti.

"Jadi amat wajar pemimpin yang berada di atas untuk merenung pengorbanan mereka di bawah yang tidak punya apa-apa kepentingan diri.

Apabila ditanya pengorbanan yang pernah dilakukan untuk perjuangan parti, Chegu Bard menjawab, "Di mana keikhlasan jika bertujuan untuk mendapatkan publisiti atas pengorbanan yang telah dilakukan?

"Biarlah beberapa teman rapat yang mengetahui kesulitan, pengorbanan yang pernah saya lalui dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan ini. Selain itu, Tuhan saja yang tahu," ujarnya.

Di samping itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di negara ini.

Mamat Hantu Nak Terus Dedahkan Lagi "Cintanya" Dengan Bekas Permasuri Agong

Posted: 17 Nov 2010 04:11 AM PST

Petaling Jaya: Satu negara gempar apabila foto-foto intim membabitkan bekas Permaisuri Agung, Cik Puan Besar Siti Aishah Abdul Rahman tersebar di laman blog milik bekas penerbit rancangan Seekers, Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas.

Di dalam blog www.uncleseekers.blogspot.com itu, Syed Abdullah atau lebih popular dengan panggilan Uncle Seekers memaparkan gambar-gambar yang didakwa bukti kemesraan 'percintaan' di antara mereka.

Ketika dihubungi mStar Online, Syed Abdullah menegaskan, pendedahan sebanyak enam bahagian itu tidak akan terhenti di situ.

"Kisah itu tidak akan terhenti disitu. Ada banyak lagi yang ingin saya kongsi bersama masyarakat," katanya di sini, Selasa.

Syed Abdullah merupakan ketua kumpulan Seekers yang sebelum ini popular sebagai pengkaji fenomena aneh dan paranormal.

Pada 20 Oktober 2006, dia pernah direman selama tiga hari selepas diperintahkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk membantu siasatan setelah dikatakan menyamar sebagai anggota polis.

Majistret Manira Mohd. Nor mengeluarkan perintah terhadap Syed Abdullah, 46, yang lebih dikenali sebagai Uncle Seekers supaya ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ditanya tujuan sebenar dia menghebahkan hubungan 'cintanya' bersama Siti Aishah, Syed Abdullah memberitahu, tujuan sebenar dia berbuat demikian adalah untuk menyedarkan pihak tertentu bahawa bekas permaisuri itu perlukan kebebasan dan tidak perlu dikongkong.

"Berikan dia (Aishah) kebebasan dan jangan halang dia untuk berkahwin dengan lelaki yang disukainya," katanya.

Tidak gentar dengan segala ugutan yang diterima, dia berkata, apa yang dilakukannya adalah berdasarkan bukti kukuh.

Syed Abdullah Syed Hussein mendakwa hubungannya bersama Siti Aisyah sangat rapat seperti yang digambarkan di dalam salah satu foto di lokasi yang tidak dinyatakan di blognya.

Katanya, walaupun pernah diugut oleh pihak tertentu, dia tekad untuk mendedahkan mengenai perkara itu untuk pengetahuan umum.

"Buat apa saya perlu takut. Saya berkata benar," ujarnya.

Syed Abdullah juga bersedia sekiranya dia dipanggil oleh pihak berkuasa bagi menjelaskan perkara sebenar mengenai pendedahan beraninya itu.

Dalam pada itu dia mendakwa tidak pernah cintakan Siti Aishah namun tidak menafikan pernah bercinta dengannya.

Malah dia mengelarkan percintaan itu lebih kepada cinta amanah daripada Siti Aishah dan tidak menafikan percintaan mereka hanya berlangsung selama dua bulan bermula Mei lalu seperti yang didakwa di dalam blognya.

"Bagaimanapun, cinta antara saya bukanlah cinta dalam erti kata sebenar. Atas dasar itu juga saya menggelarnya 'cinta syyhh'," jelasnya.

Sementara itu, Syed Abdullah juga mengakui sebelum pendedahan itu dibuat, hubungan 'cinta' mereka hanya diketahui oleh ibu kepada Aishah, Datin Seri Shamshina A. Rahman dan ahli kumpulan Seekers.

Bercerita lanjut mengenai perkenalan mereka, dia memberitahu mengenali Siiti Aishah pada Januari lalu apabila bekas permaisuri itu dan keluarganya mengunjungi rumah keluarganya di Janda Baik, Pahang.

Bagaimanapun, dia memberitahu dia dan Aishah tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak Julai lalu. -mstar

BERITA SEBELUM INI

[Bergambar] Mamat Hantu Aibkan Bekas Permaisuri Agong?

"E-mail" Sudah Ketinggalan Zaman

Posted: 17 Nov 2010 01:50 AM PST

San Francisco - Pengasas laman jaringan sosial Facebook, Mark Zuckerberg mendakwa, teknologi e-mel bakal pupus seperti surat menyurat kerana ia terlalu perlahan dan tidak formal, lapor sebuah akhbar semalam

Eksekutif berusia 26 tahun itu membuat dakwaan tersebut kelmarin ketika melancarkan perkhidmatan mesej terbaru dan percuma bagi para pengguna Facebook di sini, Amerika Syarikat (AS).

"Ia (perkhidmatan mesej Facebook) bukan e-mel. Ia mengendalikan e-mel dan kaedah komunikasi lain termasuk laman sembang," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan terbaru Facebook itu menggabungkan semua bentuk komunikasi web dan teks di Internet serta berfungsi serta-merta.

"Kami mahu orang ramai boleh berkomunikasi dalam apa cara yang mereka mahu sama ada e-mel, teks atau mesej Facebook," tambahnya.

Perkhidmatan itu dijangka membuka persaingan lebih sengit antara Facebook dan Gmail milik Google untuk mendapatkan kesetiaan pelanggan.

Setakat ini, Facebook kekal unggul dengan 500 juta pelanggan diikuti Hotmail dan Yahoo masing-masing dengan 362 juta pengguna dan 273 juta pengguna manakala Gmail ketinggalan dengan 193 juta pengguna.

- Agensi

Tiada ulasan: