Rabu, 17 November 2010

KARPET KUNING

KARPET KUNING


Melontar jamrah di Mina berjalan lancar

Posted: 17 Nov 2010 03:27 PM PST


MINA: Jemaah haji yang membawa kantung berisi anak batu membanjiri lembah Mina untuk melontar jamrah kelmarin sementara umat Islam di seluruh dunia mula menyambut Aidiladha dengan menyembelih haiwan korban.

Ratusan ribu jemaah bergegas untuk melontar di Jamratul Aqabah, sebuah struktur sepanjang 30 meter, sebagai simbolik merejam syaitan dan melawan godaan hawa nafsu.

Hampir tiga juta yang mengerjakan upacara haji itu meluahkan rasa puas hati dan gembira mereka pada keluasan jambatan baru Jamrah dan peluasan kawasan Masa'a di Masjidil Haram itu.

Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi telah menyediakan pelan rapi yang bertujuan untuk mengawal kesesakan di Jambatan Jamrah yang baru itu, khususnya semasa jemaah haji mula melontar jamrah di Mina pagi itu.

Menurut pelan itu, jemaah yang tiba di Jambatan Jamrah dengan menggunakan kereta api Mashair akan dikumpulkan semula bagi memastikan mereka melaksanakan kerja melontar di semua tingkat kompleks itu.

Komander Pertahanan Awam di Jamrah, Brigedier-Jeneral (BG) Zuhair Seibiyah, berkata fokus pelan itu juga adalah untuk mengelakkan pergerakan terlalu ramai jemaah di laluan masuk dan laluan keluar di kompleks jambatan lima tingkat itu semasa waktu puncak.

Menurutnya, lebih 1,300 pegawai melaksanakan pelan berkenaan, yang membenarkan jemaah melakukan lontaran antara 11 pagi dengan 6 petang (4 petang hingga 11 malam waktu tempatan) selama empat hari mulai kelmarin sehingga esok (dari 10 hingga 13 Zulhijah).

Melontar jamrah pada masa lalu pernah mencetuskan insiden rempuhan yang membawa maut tetapi pihak berkuasa Arab Saudi telah mengambil langkah mengubah suai kawasan berkenaan dengan meluaskan laluan melontar menjadi sebuah jambatan lima tingkat.

Struktur yang menyerupai tempat letak kereta itu bertujuan untuk mencegah insiden rempuhan dan berpijak-pijak yang meragut 363 nyawa pada 2006, mengorbankan sekitar 251 jiwa pada 2004, dan kira-kira 1,426 orang pada 1990.

Jemaah yang bertali arus diarah bergerak ke tingkat-tingkat berlainan oleh polis, yang memastikan semua bergerak sehala dan tiada seorang pun berlegar terlalu lama di satu tempat.

Mereka yang duduk pula diarah meneruskan pergerakan.

'Dengan siapnya kelima-lima tingkat, struktur jambatan raksasa itu mempunyai kapasiti untuk mengendalikan 400,000 jemaah sejam,' kata BG Seibiyah.

Kemudahan tersebut juga telah melipatgandakan keupayaan pasukan pertahanan awam Arab Saudi bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan, tambah komander itu. -- Agensi.

Tiada ulasan: