Rabu, 17 November 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Malaysia Rangkul Emas & Perak Dalam Acara Basikal

Posted: 17 Nov 2010 12:00 AM PST

Guangzhou: PELUMBA basikal negara Azizulhasni Awang merangkul emas kedua Malaysia di Sukan Asia selepas menang acara keirin.

Manakala rakan senegara, Josiah Ng menenangi perak, di Guangzhou hari ini.

kemenangan Azizul mengakhiri kematau 40-tahun pingat emas untuk Malaysia di dalam acara basikal di dalam Sukan Asia.

Kali terkahir pingat emas di dalam acara basikal di Sukan Asia ialah pada 1970 di Bangkok, bila Ng Joo Ngan memenangi acara perlumabaan individu dan Allahyarham Daud Ibrahim yang berjaya di dalam acara 1600m bermula beramai-ramai.

Gadis 22 Tahun Ditahan Bersekedudukan Dengan Lelaki Bukan Islam

Posted: 16 Nov 2010 11:30 PM PST

Subang: Seorang gadis berusia 22 tahun ditahan bersekedudukan dengan seorang lelaki bukan Islam di sebuah bilik kecil yang disewanya di Kawasan Perindustrian Puchong Utama, di sini, malam kelmarin.

Gadis itu dicekup penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika berbaring bersama pasangannya dalam bilik berkenaan.

Dalam operasi bersepadu bermula kira-kira jam 11 malam itu, dua lagi wanita yang bersekedudukan dengan pasangan bukan Islam ditahan dalam bilik berasingan di kawasan sama.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan ketika ditemui berkata, semua wanita itu dipercayai sudah dua tahun menginap di bilik berkenaan.

Katanya, mereka tinggal di bilik kecil yang diubah suai secara haram dari sebuah unit pangsapuri. "Setiap unit pangsapuri empat tingkat di Kawasan Perindustrian Puchong Utama itu memiliki tiga bilik tidur, namun pemiliknya mengubahsuai dengan meletakkan papan penghadang menjadikannya 10 bilik kecil.

"Kami mengesan taktik ini selepas mendapat maklumat jiran dan hasil pemeriksaan, tiga rumah di kawasan itu mengubah suai kediaman berkenaan kepada 10 bilik kecil setiap unit," katanya.

Beliau berkata, tindakan pemilik rumah terbabit menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM25,000.

Menurutnya, tindakan pemilik terbabit juga membahayakan nyawa penyewa di bilik kecil berkenaan sekiranya berlaku kebakaran atau struktur papan berkenaan runtuh.

Adnan berkata, penyewa hanya membayar RM150 sehingga RM170 sebulan dan ia tidak sepadan dengan risiko yang dihadapi mereka.

Katanya, semua bilik berkenaan akan diruntuhkan segera dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan jika ada unit kediaman di sekitar mereka yang diubah suai dengan cara sama.

Menurutnya, tiga gadis yang dicekup itu akan diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut. -hm

Zulfa Dicari Polis Bantu Siasatan, Seorang Kerani Mati Ditikam

Posted: 16 Nov 2010 09:15 PM PST

Kerani maut diserang dua lelaki

Gambar: Zulfa Ismail dicari polis untuk bantu siasatan

SHAH ALAM: Seorang kerani di sebuah pusat pengajian tinggi di sini terbunuh selepas diserang dua lelaki bersenjatakan pisau celoret ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar teman wanitanya di Kampung Padang Jawa, dekat sini, malam Ahad lalu.

Rashidi Mohd Saman, 27, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pagi semalam, akibat cedera parah di perut, tangan kiri, kepala, dagu dan belakang badannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata Rashidi sebelum itu diselamatkan anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian di Jalan Muhibah, Kampung Padang Jawa, untuk dikejarkan ke HTAR sebaik menerima panggilan daripada orang awam.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Rashidi dikatakan baru menghantar teman wanitanya, seorang pencuci warga Indonesia di pusat pengajian tinggi sama, apabila dihampiri dua lelaki dipercayai warga Indonesia, dengan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ.

Katanya, kedua-dua lelaki itu bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas menyerang mangsa.

"Mangsa berada dalam keadaan koma sehingga meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi tadi (semalam).

Polis mengklasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya pada sidang media di sini.

Sehubungan itu, Noor Azam berkata, polis kini mencari seorang wanita warga Indonesia, Zulfa Ismail, 20, bagi membantu siasatan berikutan wanita itu bersama anaknya yang berusia empat tahun menghilangkan diri selepas kejadian.

Katanya, wanita itu mempunyai suami yang dipercayai masih berada di negara ini.

Noor Azam berkata, selepas kejadian, wanita yang berasal dari Malang, Indonesia itu yang baru bekerja selama dua bulan sebagai pencuci, tidak hadir ke tempat kerjanya.

Katanya, sebelum ini, wanita berkenaan menetap di kawasan setinggan di Kampung Padang Jawa dan Polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam.

Nikah Tak Ikut Hukum Syarak. Hantaran Dilupuskan

Posted: 16 Nov 2010 07:59 PM PST

Kuala Lumpur: Dua warga Indonesia yang terbabit dalam upacara pernikahan menggunakan sindiket diketuai 'Pak Hashim' empat hari lalu, terpaksa melupakan seketika hasrat mereka untuk bergelar suami isteri selepas kedua-duanya didenda RM800 setiap seorang atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar.

Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Uswatun dan Nurdin (umur tidak dinyatakan) di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas mahkamah menerima pengakuan salah mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka hanya perlu membayar RM150 setiap seorang kerana mereka dibenarkan menambah daripada wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini iaitu masing-masing RM650.

Kedua-dua tertuduh yang hanya menundukkan muka turut berdepan hukuman penjara 12 hari sekiranya mereka gagal membayar denda seperti yang diperintahkan mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan barangan hantaran milik pasangan itu dilupuskan.

Mengikut pertuduhan, mereka di dakwa melakukan di sebuah rumah di rumah No 51, Lot 2242, Jalan Kubur, Kampung Pantai Dalam dekat sini, jam 7.45 malam pada 13 November 2010.

Pasangan itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 39 dan Seksyen 40 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 40 (2) yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding semalam, kedua-dua tertuduh memohon supaya hukuman yang dikenakan kepada mereka diringankan kerana masih menanggung keluarga. Bagaimanapun, Pendakwa Syarie Mohd Sohibul Kahfi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mereka bukan saja melakukan kesalahan berdasarkan undang malah turut melanggar hukum syarak.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Khairul Azwadi sempat menasihati kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan mereka dan mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan di negara ini.

"Perkahwinan adalah sesuatu digalakkan dalam Islam untuk menambahkan bilangan zuriat dan generasi yang akan mengembangkan Islam.

"Namun, perkahwinan itu perlu mengikut prosedur terutama hukum syarak. Jika kamu atau mana-mana pihak mempunyai masalah mengenai wali, kamu boleh merujuk kepada pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu," katanya. -hm

IHRAM: Menyamaratakan Darjat Manusia

Posted: 16 Nov 2010 05:45 PM PST

Seruan haji bergema kembali menghimpunkan umat Islam dari segenap penjuru dunia dalam melaksanakan tanggungjawab Rukun Islam kelima.

Para jemaah haji akan menghadap ke arah kiblat yang sama dengan hanya membawa keperluan yang terhad.

Bahkan, mereka pergi hanya berbekalkan beberapa helai pakaian dan keperluan tertentu serta meninggalkan segala harta benda di kampung halaman masing-masing untuk mencari keredaan Ilahi.

Ketika ihram, jemaah haji akan memakai dua helai kain putih. Simboliknya tentang pakaian ihram itu adalah ia melambangkan persamaan darjat bagi semua manusia yang menunaikan seruan ibadah haji.

Mereka sama sekali dilarang memakai sebarang pakaian berjahit dan bercantum. Tidak kira sesiapa pun, etika pakaian mereka tetap sama iaitu pakaian ihram.

Pangkat dan darjat tidak membawa sebarang makna tetapi iman serta amalan menjadi pengukur untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.

Pakaian ihram menjadi pelindung badan mereka pada waktu panas terik dan sejuk semasa menunaikan haji.

Ia turut mengikis segala perbezaan di kalangan jemaah sekali gus mengukuhkan lagi kesatuan umat Islam di seluruh dunia.

Dalam pada itu, dua helai kain putih itu memberi sekelumit gambaran kecil bahawa mereka hanya memakai beberapa lapis kain kafan sebagai penutup badan ketika menghadap Tuhan pada saat kematian.

Ihram kain kapas

Gambar:Gambar: PAKAIAN Ihram menunjukkan bahawa semua umat Islam adalah sama di sisi Allah SWT.

Setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidiladha, ia juga membuka peluang kepada usahawan untuk mencari sumber pendapatan menjual pakaian dan produk menunaikan ibadah haji.

Pemilik kedai Ilham Jaya Baru Collection, Kompleks PKNS, Shah Alam, Marlis Hamid, 55, berkata, tidak banyak pilihan pakaian ihram yang terdapat di negara ini.

Bagaimanapun, kini terdapat kain ihram yang mempunyai corak berkotak-kotak dan bermotifkan flora untuk menjadi pilihan jemaah haji.

"Kebanyakan jemaah haji gemar menggunakan pakaian ihram kain kapas tuala kerana ia lebih tebal, lembut dan selesa digunakan.

"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya akan menempah kain ihram tersebut dari China kerana di negara ini tidak terdapat kilang yang membuat pakaian ihram," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Dia yang menjalankan perniagaan produk haji selama hampir enam tahun lalu memberitahu, terdapat tiga saiz pakaian ihram.

"Saya menjual saiz untuk orang dewasa, remaja 14 tahun ke bawah dan kanak-kanak enam tahun.

"Pelbagai saiz pakaian ihram dijual kerana kini bukan orang dewasa sahaja yang menunaikan haji bahkan remaja dan kanak-kanak. Pakaian ihram ini akan dijual pada harga di antara RM35 sehingga RM60," katanya.

Dalam pada itu, kata Marlis jemaah haji lazimnya membeli dua pasang pakaian ihram untuk dibawa menunaikan haji.

Mereka juga akan membeli pakaian ihram pada Hari Raya Aidilfitri untuk membuat persiapan awal.

"Sehingga kini, perniagaan pakaian ihram saya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Mereka bukan sahaja membeli kain ihram tetapi produk-produk lain seperti selipar, tali pinggang, kurta dan bermacam-macam lagi," ujarnya.

Gambar: MUHAMMAD ILYAS menunjukkan tali pinggang yang dijual di Jun Collection, Kompleks PKNS, Shah Alam.

Bagi Muhammad Ilyas Ahmad, 29, yang bekerja di Jun Collection, Kompleks PKNS, Shah Alam pula menambah, pakaian ihram yang dijual di kedai tersebut didatangkan khas dari Pakistan.

"Kami import dari Pakistan kerana kebanyakan pelanggan lebih gemar menggunakan kain kapas dari negara berkenaan.

"Pakaian ihram bagi lelaki ialah dua helai kain tidak dijahit dan tidak dicantum. Sehelai akan dipakai di sebelah bawah untuk menutup aurat, iaitu antara pusat dan lutut manakala sehelai lagi dibuat selendang.

"Selain pakaian ihram lelaki, pakaian ihram perempuan pula menutup semua anggota badannya seperti telekung solat," ujarnya.

Muhammad Ilyas berkata, kebanyakan pakaian ihram yang terdapat di negara ini diimport dari China, Bangladesh, Pakistan, Vietnam, India dan beberapa negara lain.

Sementara itu bagi pasangan suami isteri, Darul Yusriman, 36, dan Roziela Abu Bakar, 35, pengalaman menunaikan haji pada tahun 2007 tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Kami suami isteri masih muda ketika menunaikan haji. Ketika menjejakkan kaki di Tanah Suci, perasaan gementar dan teruja terdetik secara tiba-tiba kerana itulah pengalaman pertama menunaikan Rukun Islam kelima.

"Walaupun kami telah menjalani latihan praktikal tetapi perasaan gementar itu tetap wujud dan kami sangat bersyukur kerana dapat mengerjakan haji bersama ibu bapa dan adik-beradik," kata eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.

Darul menambah, menunaikan ibadah haji bersama ibu bapa amat penting kerana sekurang-kurangnya ada orang berpengalaman yang menemani ketika mengerjakan haji.


DARUL (kiri) dan Roziela berpeluang menunaikan ibadah haji pada usia muda tiga tahun lalu.

Sesat di Mina

Kata Darul, sepanjang menunaikan haji dia sentiasa teringatkan anak-anak yang ditinggalkan di tanah air.

"Wajah anak-anak sering bermain di fikiran tetapi bersyukur kerana mempunyai telefon bimbit 3G untuk melepaskan rindu kepada anak-anak," ujarnya.

Menyentuh mengenai pakaian ihram, Darul memberitahu, tidak menghadapi sebarang masalah memakai pakaian tersebut.

"Kita telah diberi penerangan dan cara-cara pemakaian ihram dengan betul untuk memastikan ia berada dalam keadaan kemas dan tertib," katanya lagi.

Sementara itu, Roziela menambah, mengerjakan haji umpama perhimpunan agung umat Islam kerana mereka datang dari seluruh pelosok dunia.

"Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika jemaah haji Malaysia bertakbir, ia mengingatkan saya sambutan Aidiladha ketika berada di tanah air.

"Selain itu tidak banyak pengalaman pelik yang saya alami. Cuma, kita perlu menyesuaikan diri dengan cuaca, makanan dan kemudahan yang disediakan," ujarnya.

Namun Roziela teringat kisah seorang jemaah yang sesat sehingga dua atau tiga hari ketika berada di Mina.

"Difahamkan semasa mak cik tersebut hilang dia menjumpai banyak kambing dan orang Arab yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

"Bagaimanapun, seorang pemandu teksi yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu telah menghantarnya ke hotel," katanya yang berharap dapat menunaikan ibadah haji lagi pada masa hadapan. -kosmo

Benci Kejahatan: Jemaah Haji Melontar Jamratul Aqabah

Posted: 16 Nov 2010 02:51 PM PST

Jemaah Haji Malaysia sudah bersedia melontar jamrah

Gambar: SIMBOLIK BENCI KEJAHATAN: Berjuta-juta jemaah semalam, menyempurnakan syarat wajib haji iaitu melontar Jamrah di Mina sebelum mereka menunaikan ibadat korban sempena Aidiladha, hari ini.

MEKAH, 16 Nov – Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia telah berada di Mina dan bersedia mengerjakan satu lagi perkara wajib haji iaitu melontar jamrah bermula tengah malam ini waktu tempatan 10 Zulhijjah.

Bermula dengan melontar Jamratul Aqabah, jemaah akan melontar diikuti di Jamratul Ula dan Wusta selepas gelincir matahari pada 11 Zulhijjah.

Semua jemaah negara selamat tiba di Mina awal pagi ini selepas bermalam di Padang Arafah pada malam 9 Zulhijjah.

Dalam perjalanan itu mereka bermalam sebentar di Muzdalifah bagi mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah pada Hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Ritual itu dilakukan bermula selepas gelincir matahari sehingga terbenam matahari.

Semua jemaah Malaysia akan berulang-alik dengan berjalan kaki dari tempat mereka bermalam di Mina ke Kompleks Jamrah sejauh hampir empat kilometer untuk melaksanakan wajib haji itu.

Kompleks Jamrah setinggi lima tingkat terletak kira-kira 21.9 kilometer dari Padang Arafah dan tujuh kilometer dari Mekah.

Selepas selesai, mereka akan mengerjakan tawaf serta sa'ie untuk melengkapkan perkara penting yang menyempurnakan haji seseorang jemaah. – Bernama

Rombakan Kabinet, Khairy Bakal Timb Menteri, Tg Adnan Dan Azalina Masuk Semula?

Posted: 16 Nov 2010 07:45 AM PST

Rombakan kabinet minggu depan?

PETALING JAYA: Khabar angin dan spekulasi tercetus mengenai rombakan kabinet yang dijangka diumumkan minggu depan atau awal bulan Disember, kata sumber-sumber hari ini.

Empat menteri disebut-sebut akan digugurkan. Mereka ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Belia dan Sukan); Datuk Shaziman Mansur (Kerjaraya); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Ng Yen Yen (Pelancongan).

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dikatakan akan dibawa masuk ke kabinet menjadi timbalan menteri.

Beberapa menteri pula dijangka bertukar kementerian. Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang kini menteri dalam negeri dipindahkan ke kementerian pertahanan.

Dua bekas menteri – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur yang kini setiausaha agung BN dan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said akan kembali ke kabinet.

Sementara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan menjadi menteri penuh.

Ini merupakan rombakan kedua Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sejak mengambilalih jawatan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, April tahun lalu.

Dalam rombakan pertama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Azalina digugurkan.

"Terdengar khabar Najib akan mengumumkan rombakan tersebut selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya Rabu depan," kata sumber itu.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dijangka akan menjadi ketua penerangan Umno yang baru.

Beliau menggantikan Ahmad yang mula memegang jawatan itu, April tahun lalu.

Idris merupakan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan wakil rakyat Jerteh di Terengganu. -FMT

Mayat Bayi Lelaki Ditemui Di Sungai Kelang

Posted: 16 Nov 2010 06:45 AM PST

Mayat bayi lelaki ditemui di Sungai Klang

Gambar: Dua anggota Unit Foransik memeriksa mayat bayi lelaki yang dijumpai di tepi Sungai Klang berhampiran rumah flet PKNS AU/3 Keramat Hulu Klang di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki ditemui mati terapung di Sungai Klang, berdekatan Flat PKNS AU3 Keramat, di sini hari ini.

"Mayat bayi itu ditemui seorang lelaki Indonesia yang menjala di sungai itu pada kira-kira jam 2 petang," kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat yang lebam kebiruan, polis percaya bayi terbabit berada di situ sejak dua atau tiga hari lalu.

"Ketika ditemui mayat bayi itu dalam keadaan terlingkup dan tidak berbaju dengan tangan kanannya tersangkut pada sebatang kayu yang tercacak di tebing sungai itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, tiada kecederaan ditemui pada mayat itu dan berdasarkan pemeriksaan awal, polis percaya bayi itu bukan baru dilahirkan kerana tidak terdapat tali pusat pada badannya.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-Bernama

Ekspo Cheng Ho: Pavillion Dijangka Jadi Tarikan Pengunjung

Posted: 16 Nov 2010 05:45 AM PST



Pavilion jadi tarikan ramai


KOTA BHARU – Tinggal lima hari lagi Ekspo Cheng Ho bakal dibuka kepada orang ramai khusus untuk memberi peluang melihat lebih dekat lagi keistimewaan dan keunikan negara China.

Pengarah program, Zulkefli Mamat berkata, antara yang menjadi daya tarikan utama kspo yang akan berlangsung dari 21 hingga 26 November ini ialah China Pavillion.

Katanya, ia akan memberi peluang pengunjung mendapatkan teknik rawatan alternatif diabetes daripada Universiti Chendu.

"Tidak ketinggalan Universiti Perubatan Ninxia turut mempamerkan dan menunjukkan kaedah perubatan Islam dalam tradisi China.

"Kita juga akan membawa fesyen Muslimah dalam pelbagai rekaan yang dihasilkan daripada syarikat atau kilang di China," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Zulkefli berkata, antara kelainan yang ada ialah teknologi seperti rumah jimat tenaga yang akan dipasang di kawasan ekspo tersebut.

Menurutnya, turut sama menjadi tarikan ramai ialah sejarah Laksamana Cheng Ho yang dibawa terus dari Muzium Cheng Ho dari Melaka.

"Bahan pameran tersebut meliputi sejarah, bentuk kapal, barangan yang dibawa ekspedisi Cheng Ho, teknologi yang digunakan dan kemajuan yang dibawa Cheng Ho di tempat yang disinggahi sepanjang pelayarannya.

"Terdapat juga International Pavillion dari negara-negara Asia Tengah seperti Krygyzistan, Kazakhstan, Tajikistan dan negara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean)," katanya.

Beliau berkata, antara tarikan penting yang lain adalah tulisan al-Quran terpanjang iaitu sepanjang 209 meter dan ditulis seorang Muslim, Yusuf dari Shanghai.

Zulkefli berkata, proses membuat kaligrafi berdasarkan al-Quran itu mengambil masa dua tahun menggunakan 80 pekerja.

Antara pertunjukan turut diadakan ialah akrobatik China, Adili yang berjalan atas tali yang direntangkan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Mayat Reput Ditemui Terapung Di Pulau Kapas

Posted: 16 Nov 2010 04:45 AM PST

Mayat reput ditemui terapung di Pulau Kapas

Gambar Hiasan: Kejernihan air Pulau Kapas memikat pelancong

MARANG - Mayat lelaki yang telah reput dan tidak berpakaian ditemui terapung di perairan Pulau Kapas di sini semalam.

Mayat itu ditemui oleh penduduk setempat pada pukul 5.10 petang, kata Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahya.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat, lelaki yang dipercayai rakyat asing itu dianggar telah seminggu meninggal dunia.

"Ketika ditemui, kaki kanan antara buku lali ke bawah sudah hampir putus," katanya.

Ahmad berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. - Bernama

Mustaffa Ulangi Desakan Tangguhkan Pemilihan

Posted: 16 Nov 2010 04:00 AM PST

Mustaffa ulang desak tangguh pemilihan PKR

Naib Presiden PKR Mustaffa Kamili Ayub hari ini mengulangi desakan supaya pemilihan PKR ditangguhkan kerana kelompongan dalam pengurusan pemilihan parti itu didakwa masih berterusan.

Katanya, terdapat beberapa aduan tambahan sedang dibuat, termasuk oleh beberapa calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang memfailkan kes khusus untuk disiasat.

"Ingin ditegaskan bahawa saya meneruskan bertanding jawatan timbalan presiden dalam protes," katanya yang mencuba nasib merusi kerusi timbalan presiden.

"Dalam erti kata (lain), kita masih sangsi dengan perjalanan pemilihan yang ada, namun demi menyelamatkan perjuangan dan parti serta keadaan, saya meneruskan pertandingan."

Ulasan GB

Sudah terlewat Mustaffa. Sepatutnya jika anda benar-benar berjiwa pemimpin, awak telah menyatakan pendirian tegas awak lebih awal sebelum ini dengan mengundur diri dari bertanding.

Sekarang, orang Azmin akan melemparkan pelbagai tuduhan kepada awak jika awak mengulangi desakan untuk mengadakan pemilihan sepertimana mereka lakukan terhadap Zaid.

Anda telah pun terjerat dengan proses "turn-over" sepertimana GB telah ulaskan sebelum ini.

Pangsapuri 28 Tingkat Terbakar Korbankan 53 Orang Setakat Ini

Posted: 16 Nov 2010 03:00 AM PST

Shanghai - Lapan orang terbunuh dan 90 lagi cedera dalam kebakaran besar yang berlaku di sebuah bangunan apartmen yang menjadi kediaman untuk guru-guru di Shanghai, China semalam.

Gambar: SEMBURAN air dari sebuah jentera bomba cuba memadamkan kebakaran di sebuah bangunan apartmen di Shanghai semalam.

Apartmen 28 tingkat itu sedang dalam proses pengubahsuaian ketika kebakaran berlaku pada kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan.

Sebanyak 10 buah jentera bomba berjaya mengawal api daripada merebak dalam tempoh tiga jam. Menurut agensi berita Xinhua, anggota-anggota polis mengawal lokasi kejadian.

Saksi-saksi memberitahu, perancah buluh yang mengelilingi bangunan itu terbakar terlebih dahulu sebelum api merebak ke dalam bangunan.

Seorang mangsa yang terselamat, Li Xiuyun, 61, memberitahu, dia, suami, anak lelaki dan seorang cucu perempuan turun melalui tangga dari apartmen mereka di tingkat 16.

"Anak lelaki saya menanggalkan stoking dan merendamnya dengan air untuk digunakan bagi menutup hidung," jelas Xiuyun. Seorang doktor dari Hospital Daerah Jingan memberitahu, lebih 20 mangsa yang mengalami kecederaan teruk telah dihantar untuk mendapatkan rawatan. - AFP


Angka korban kebakaran pangsapuri Shanghai cecah 53 orang

SHANGHAI: Angka korban kebakaran besar terhadap bangunan pangsapuri yang sedang diubah suai di Shanghai meningkat kepada 53 orang hari ini dengan lebih 70 yang lain dirawat di hospital.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan saksi sebagai berkata kebakaran itu bermula apabila bahan binaan terbakar dan merebak ke perancah sebelum ke bangunan 28 tingkat itu.

Kerajaan berkata lebih 100 jentera bomba dipanggil untuk melawan kebakaran yang berjaya dipadam empat jam kemudian.
Anggota bomba dilihat membawa keluar mayat dari bangunan itu manakala mangsa yang terselamat dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

Laman berita Eastday.com melaporkan seorang pekerja pembinaan sebagai berkata mereka sedang memasang penebat penjimat elektrik apabila kebakaran itu berlaku. - AP


60% Rakyat Malaysia Alami Kegemukan, 30% Obesiti

Posted: 16 Nov 2010 01:45 AM PST

16.2 juta rakyat alami kegemukan

Gaya hidup jadi punca: Liow

KUALA LUMPUR: Seramai 16.2 juta atau 60 peratus rakyat di negara ini dikesan mengalami masalah kegemukan seawal usia kanak-kanak lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 8.1 juta penduduk atau 30 peratus mengalami masalah berat badan, manakala 30 peratus lagi mengalami masalah kegemukan berlebihan (obesiti).

"Masalah berat badan dan obesiti ini menyebabkan penyakit kronik yang tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, barah buah pinggang dan diabetes. Penyakit ini boleh dielak dan dicegah dari semasa ke semasa tetapi kita dapati trend penyakit ini semakin meningkat.

"Masalah ini disebabkan gaya hidup rakyat di negara ini dan kita tiada pilihan, melainkan perlu mengadakan pelbagai kempen dan program kesedaran bagi membolehkan rakyat mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengelak penyakit kronik berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital 2010 di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sementara itu, Liow mengumumkan kementerian akan menyalurkan peruntukan kewangan RM10,000 kepada setiap Lembaga Pelawat Hospital (LPH) di 112 hospital di seluruh negara, pada tahun depan.

"Peruntukan ini disalurkan terus kepada akaun LPH bagi menjalankan aktiviti dan program bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital dan kesejahteraan pesakit," katanya.
Liow berkata, bermula tahun depan, mereka juga diberi tanggungjawab dan peranan lebih berat termasuk menganjurkan pelbagai program kesedaran untuk meningkatkan pengetahuian kesihatan rakyat.

Beliau berkata, kementerian juga mewujudkan sistem penarafan bintang bagi semua LPH dan sebagai permulaan, 18 hospital negeri dan utama dibuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria termasuk pengendalian mesyuarat, projek, aktiviti serta lawatan, selain idea dan inovasi diterapkan dalam menambahbaik perkhidmatan hospital dan pesakit.

Katanya, antara LPH mendapat pengiktirafan empat bintang ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Selangor; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu dan Hospital Pulau Pinang.

LPH yang mendapat tiga bintang ialah Hospital Tuanku Fauziah, Kangar; Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star; Hospital Melaka, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya. -BH

Tiada ulasan: