Selasa, 30 November 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Antara Lembu Khalid & Lembu Najib. Mana satu rasuah dan Korban?

Posted: 30 Nov 2010 09:31 PM PST

Oleh : Ustaz Saiful Bahri Mamat

Dulu gawat masa Hari raya eidul adha apabila MB Selangor mengagihkan 46 ekor lembu korban untuk HariRaya Adha. Gerakan Anti Korupsi (Gerak) dan Pemuda Umno Selangor membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan tersebut. Gerak membuat aduan kepada SPRM terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak – kawasan Parlimen Abdul Khalid – ketika Hari Raya Korban yang lalu.

Masa itu PR baru menang. Ramai yang nak jadi pahlawan. Para media pun nak tunjuk juara mengampu mereka. Pemuda UMNO ketika menyerang MB Selangor itu memberi sebab dan alasan dengan menyebut amalan korban ni adalah satu amalan yang dikhaskan untuk dilakukan oleh seseorang individu. Amalan korban bukan ditujukan kepada institusi. Kalau suruh institusi yang buat korban, nilai amalan dan pahala tu tuhan nak bagi siapa pulak. Jadi, di sini sudah wujud dua kesalahan.

Pertama melakukan amalan korban tidak mengikut seperti mana tertib yang tuhan syaratkan iaitu kepada individu muslim dengan duit poket sendiri.

Kedua, mengarahkan institusi perbendaharaan kerajaan pula menanggong kos amalan korban bagi pihak Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Ini adalah satu penipuan serentak yang dilakukan terhadap tuhan dan manusia. Inilah bahananya bila amalan agama pun mahu dijadikan sandaran untuk persembahan politik..

Khalid Ibrahim pula menafikan tuduhan yang mendakwa beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri oleh Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak).

Beliau berkata : Kerajaan negeri sentiasa berpegang teguh kepada konsep ketelusan dan bertanggungjawab secara menyeluruh dalam menjalankan pentadbiran negeri dan anak syarikat.

"Saya peka dengan tuduhan ini yang dilemparkan tentang menyalahgunakan kuasa dalam isu pembelian 46 lembu untuk program korban diperingkat Perlimen Bandar Tun Razak untuk 46 buah surau dikawasan itu.

"Lembu tersebut sebenarnya disumbangkan oleh sebuah syarikat milik agensi kerajaan negeri" tambahnya ketika diminta mengulas tuduhan ini.

Tegas beliau, dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk membeli lembu-lembu tersebut. Sebaliknya, lembu itu telah didermakan oleh enam anak syarikat dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah membuat apa-apa keputusan yang boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat.

Entah kenapa SPRM senyap aje isu ini hingga kini. Kot-kot tak boleh makan. Apatah lagi pengerusi GERAK pun dah lompat menyertai PKR. Puak-puak UMNO pun mungkin dah habis suara kot nak menyalak. Tahun ini sunyi sepi. SPRM pun mungkin sibuk, mungkin terlalu banyak kes-kes rasuah?. Ish yang ni tak sempat nak siasat ke?

Eidul Adha 2010: Najib bahagi 659 ekor lembu kepada Umno bahagian Pahang.

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ibadah korban bukanlah diertikan sebagai penyembelihan haiwan semata-mata tetapi perlu diterjemahkan kepada skop yang lebih luas.
Beliau berkata ibadah korban perlu dilihat sebagai suatu konsep yang menuntut setiap umat Islam berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan negara mereka.

“Kita mesti melihat pengertian berkorban dari skop kecil penyembelihan binatang korban kepada skop yang lebih luas iaitu pada setiap saat dan ketika. “Kita mesti menggandakan korban tenaga, pemikiran, kepakaran dan masa bagi mentransformasikan negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan politik". katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan lembu-lembu korban untuk Parlimen Pekan di sini, Selasa.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan ketua-ketua Bahagian Umno bahagian di Pahang. Sebanyak 659 ekor lembu disumbangkan oleh 20 syarikat untuk diagih-agihkan kepada 14 bahagian Umno di Pahang dan 55 buah masjid di kawasan Parlimen Pekan- BERNAMA

Hah! Macamana yang ini ni? Apakah makna korban yang lebih luas? Selama ini UMNO faham secara sempit ke? Berjuang atas nama bangsa tu sempit ke luas. Dalam masa yang sama slogan 1 Malaysia, berbilang kaum pulak. Pemimpin UMNO kekadang melarang mencampur adukkan ibadah dan politik. Mereka nakkan sekular. Dah bagi lembu ke Bahagian UMNO di Pekan Pahang tu apa? Lidah mereka ni bercabang berapa sebenarnya? Kekadang tak faham mana satu nak ikut pemimpin-pemimpin UMNO ni bercakap? Inilah bahana apabila si jahil menjadi pemimpin! rakyat akan dilembukan. Mufti dibisukan. Bila berkuasa yang lain menjadi mangsa.

Semoga Eidul-Adha kali ini dapat kita mempertingkatkan perjuangan kita. Bukan hanya sekadar berupaya melakukan pengorbanan terhadap lembu dan kambing sahaja. tetapi mempertingkatkan jihad kita ke arah menegakkan cita-cita Islam di negara tercinta ini.

Jangan lupa kita pakat-pakat korbankan UMNO-BN dalam Pru-13 nanti


Resolusi Persidangan Shah Alam : Meneruskan cita-cita Rakyat

Posted: 30 Nov 2010 04:00 AM PST

Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat
29 November 2010, Shah Alam, Selangor

Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.

Hasrat

Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan:

  • Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;
  • Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai  berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;
  • Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;
  • Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan
  • Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan.

Janji

Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:

  • Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;
  • Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);
  • Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;
  • Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan
  • Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri.

Komited

Kami selanjutnya komited untuk "meneruskan cita-cita rakyat" berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:

  • Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;
  • Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;
  • Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;
  • Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;
  • Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;
  • Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;
  • Menjamin 'security' makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.
  • Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam "dana kelab" (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;
  • Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan;
  • Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat;  berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri;  dan kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.

Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
(Menteri Besar Kelantan)

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
(Menteri Besar Selangor)

Lim Guan Eng
(Ketua Menteri Pulau Pinang)

Datuk Seri Azizan Abdul Razak
(Menteri Besar Kedah)


Pakatan perlu ofensif untuk tawan negeri-negeri lain

Posted: 30 Nov 2010 01:00 AM PST

Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat dilihat sebagai membawa kembali Pakatan Rakyat ke landasan yang betul bagi menawan Putrajaya, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

TV Selangor melaporkan Lim juga menolak tanggapan Pakatan Rakyat sudah berkubur dan tidak lagi senada. Malah, katanya, gabungan itu terus erat terutama selepas terbentuknya Resolusi Persidangan Shah Alam, semalam.

“Kita masih lagi bernyawa dan bersemangat dan merancang untuk terus ke depan dalam perjuangan politik di Malaysia.

"Saya percaya bahawa persidangan kemuncak ini ini merupakan peristiwa penting bagi ‘turn around’ Pakatan Rakyat, ‘turn around’ untuk mengembalikan momentum politik bagi melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Lim berucap pada sesi penggulungan persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat yang berlangsung di kediaman pegawai kerajaan Seksyen 7 di Shah Alam.

Menurut Lim, hanya pertukaran kerajaan dapat menjadikan Malaysia negara demokrasi normal.

Malah katanya, Pakatan Rakyat perlu menjadi ‘ofensif’ dan merampas kembali Perak selain menawan negeri utama seperti Johor, Negeri Sembilan, Pahang serta Sabah dan Sarawak dalam pilihan raya umum akan datang.

“Hanya jika ada perubahan radikal yang bermakna perubahan kerajaan. Ia boleh jadi transformasi asas yang besar di negara ini dan inilah harapan yang diberi apabila berlaku tsunami politik dua tahun dulu.

"Untuk pertama kali, rakyat Malaysia melihat kemungkinan perubahan berlaku dan pilihan raya umum depan merupakan saat penting menentukan sama kita dapat menjadi negara demokratik yang normal,” katanya.

Menurut Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur, rakyat perlu melihat tiada perubahan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun pelbagai program kononnya telah diperkenalkan sejak 20 bulan beliau menerajui BN.

“Kita lihat saja laporan berita. Setiap hari satu peringatan bahawa keadaan masih tak berubah walau banyak yang diperkatakan mengenai ‘reform’ dan transformasi, samada slogan baru 1Malaysia Najib atau GTP, rancangan negara untuk perbaiki kehidupan, penuhi ‘standard‘ antarabangsa,” katanya.

Hadi: Perbaiki kelemahan

Sementara itu, bagi presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, negeri-negeri Pakatan Rakyat perlu muhasabah atau memeriksa kelemahan dan kekuatan diri bagi membetulkan kesilapan dan menambah keyakinan rakyat negeri lain terhadap kepimpinan mereka.

Katanya, usaha meneruskan kesinambungan kejayaan mereka mentadbir negeri dengan baik ini penting agar menjadi kekuatan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

“Seterusnya marilah kita membuat muhasabah bagi menghadapi pilihan raya akan datang dengan mengambil kekuatan dari perubahan yang telah kita lakukan dalam pilihan raya umum ke-12 dengan kita membina kejayaan itu melalui pencapaian kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan penerusan agenda yang berjaya,” kata Abdul Hadi.

Dakwa ahli parlimen Marang itu lagi, usaha kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berhadapan serangan dan penindasan kerajaan pusat sehingga semua perbuatan mereka diperhati teliti dan diperbesar media kawalan Umno-BN haruslah menjadi kebanggaan.

“Kerajaan Menteri Besar dan Exco untuk bertahan adalah kejayaan yang perlu dibanggakan. Kita menyedari kita berdepan dengan demokrasi yang salah, tidak tulen dan tak sama rata sehingga kita berdepan dengan amalan federalisme yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak mengikut polisi federalisme yang sebenarnya,” katanya.

Abdul Hadi turut menyelar sikap segelintir pegawai kerajaan negeri yang bersikap tidak profesional dan melakukan sabotaj kerana memihak kepada BN.

“Dalam masa yang sama kita berdepan dengan kakitangan kerajaan yang tidak semuanya bertugas secara profesional. Ada diantaranya mempunyai semangat kepartian, yang menjadi duri dalam daging yang tidak melancarkan jentera kerajaan walau dalam amalan sistem demokrasi.

"Pegawai kerajaan haruslah bekerja di bawah kerajaan parti yang memerintah walaupun apa kepercayaan yang dianut oleh parti itu. Kadang-kadang kita berhadapan dengan hal seperti ini yang tentu menyebabkan Menteri Besar dan Exco tidak selesa menjalankan tugas mereka,” katanya yang berpengalaman mentadbir Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Pakatan Rakyat berjaya merampas negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak pada pilihan raya lalu tetapi kehilangan Perak tahun lalu setelah campur tangan kerajaan Pusat.


Tiada ulasan: