Ahad, 14 November 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Chegu Bard Tidak Setuju Dengan Zaid

Posted: 14 Nov 2010 08:02 AM PST

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan, Badrul Hisham Shaharin menyambut baik kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sentiasa memberi perhatian serius kepada setiap aduan yang diterima.

Malah ujar Badrul, Rapat Anak Muda berkeyakinan dengan jaminan yang diberikan dan berharap segala masalah yang timbul sepanjang tempoh pemilihan dapat diselesaikan dengan segera. " Rapat Anak Muda sudah bertindak kerana sayangkan parti. Kami minta mesti ada tindakan. Kita tak nak dengar, 'dalam proses', 'masih mencuba', 'akan tengok' dan sebagainya," kata Badrul kepada Tv Selangor.

Khamis lalu, Badrul atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard telah menganjurkan Rapat Anak Muda yang berjaya menggariskan enam resolusi untuk penambahbaikan parti. Memorandum yang mengandungi enam resolusi itu telah diterima oleh Wan Azizah semalam. "Ini merupakan satu proses yang baik mengikut saluran tepat dan menunjukkan kematangan para ahli dalam menangani isu-isu berbangkit," ujar Wan Azizah dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut beliau JPP sudah pun memulakan siasatan ke atas aduan-aduan yang diterima dan tumpuan diberikan kepada kes-kes yang mempunyai petunjuk yang jelas. Tambahnya, tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahi etika yang digariskan parti. Wan Azizah juga turut mengingatkan bahawa serangan peribadi sesama pimpinan hanya memberi ruang kepada musuh politik parti untuk mengambil kesempatan untuk mengusutkan keadaan. "Apa yang berlaku ini merupakan proses mematang dan memantapkan parti," katanya lagi.

Sementara itu, Chegubard turut melahirkan kekecewaan beliau terhadap bekas Pengerusi PKR Wilayah Persetuan, Datuk Zaid Ibrahim yang sebelum ini bertegas mahu terus bertanding dan mengharapkan calon lain tidak menarik diri serta menasihatkan semua calon supaya tidak membuat kritikan berbentuk peribadi terhadap calon lain. " Apa yang Zaid buat itu benar-benar salah. Saya tak bersetuju langsung dengan tindakan Zaid. "

Bagi saya Zaid perlu menggunakan sepenuhnya ruang dalam parti untuk memperbaiki keadaan. Perlu membuat aduan, perlu bertemu, membuat rapat dengan anggota," tambah Chegubard lagi.



-WFAUZDIN NS

Pemimpin PAS Takkan Layan Zaid

Posted: 14 Nov 2010 06:18 AM PST

Bekas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim terus membuat ugutan untuk menubuhkan parti baru walaupun pada masa sama memberi komitmen untuk mendokong perjuangan Parti Keadilan rakyat.

Beliau mengulangi hasrat untuk menubuhkan parti baru dalam satu lagi wawancara ekslusif dengan akhbar kawalan Umno iaitu Mingguan Malaysia dan New Sunday Times hari ini.

Dalam wawancara itu, Zaid, seperti yang dijangka, terus menyerang Ketua Umum PKR, Datuk Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang.

Bekas ketua bahagian Umno yang menarik diri dari saingan untuk menjadi Timbalan Presiden PKR itu mahu menubuhkan parti baru yang akan mendokong agenda beliau.

Menurut Zaid lagi, beliau mahukan parti politik yang menggambarkan idealismenya, tidak kira sama ada ia berjaya atau pun tidak.

Pendirian Zaid untuk menubuhkan parti baru dilihat bercanggah keengganan beliau untuk terus keluar dari PKR sungguhpun beliau lantang mengkritik kepimpinan parti itu.

Zaid sebelum ini mengugut untuk menubuhkan parti baru hanya jika dipecat dari PKR, malah menegaskan beliau masih mendokong perjuangan parti itu.

Zaid akur bahawa rekodnya dalam PKR menyukarkan beliau untuk menganggotai DAP dan PAS kerana beliau dilihat sebagai pengacau.

"Imej saya dah macam ini tidak ada siapa yang nak ambil saya. Mereka akan kata Zaid ini pengacau," kata Zaid dalam wawancara tersebut.

Dalam wawancara dengan media arus perdana, Zaid cuba mengheret parti komponen Pakatan Rakyat dalam pertikaiannya dengan pemimpin-pemimpin PKR.

Beliau mencadangkan supaya PAS mengambil alih teraju Pakatan dari Anwar malah menamakan pemimpin seperti Husam Musa, Dr Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad sebagai calon yang layak.

Namun pemimpin-pemimpin muda PAS itu tidak mahu terjebak dalam sifir politik yang cuba dibawa oleh Zaid.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Zaid tidak seharusnya mengaitkan parti lain dalam soal pemilihan PKR.

" Tidak perlu sabitkan PAS, sabitkan DAP dan tidak perlu juga menjadikan suasana lebih keruh. Tidak perlu nak heretkan dan babitkan yang lain," katanya kepada Tv Selangor.

Malah Dr Dzul dalam nada sinis mengucapkan terima kasih kepada Zaid yang mengiktiraf pemimpin parti itu namun menyifatkan PAS tidak mungkin terperangkap dalam jerangkap samar yang dibina oleh Zaid itu.

" Terima kasihlah atas cadangan Datuk Zaid Ibrahim bahawa PAS punya pimpinan layak untuk memimpin Pakatan Rakyat tetapi kami sebenarnya dalam Pakatan ini telah mewujudkan satu persefahaman dan permuafakatan politik yang cukup baik.Memimpin Pakatan dalam semangat satu kepimpinan kolektif.

" Kami tidak mudah diperangkap dan terperangkap dengan jerangkap yang mereka pasang untuk pecah dan perintah kami," tambah Dr Dzul lagi.

Gambar terkini Tok Guru Nik Aziz di Mekkah

Posted: 14 Nov 2010 06:14 AM PST








Sultan Kedah Dukacita Ada Pihak Nafi Sumbangan Negeri

Posted: 14 Nov 2010 06:06 AM PST

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kecewa dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan negeri membantu mangsa banjir besar baru-baru ini.

"Namun, beta dukacita kerana ada suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan beta

serta semua pihak yang terlibat di dalam membantu mangsa banjir," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Penggal Ketiga, dekat sini, pagi tadi.

Gambar: Pemeriksaan perbarisan PDRM oleh Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika perasmian Sidang Dun Kedah.

Sementara itu, baginda juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dana, saling membantu dan bekerjasama memberi bantuan tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan fahaman politik semasa negeri menghadapi bencana banjir terburuk itu.

"Beta merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membantu mangsa banjir dan keadaan ini jelas menggambarkan semangat persaudaraan dan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat beta yang berbilang kaum dalam menghadapi bencana, titah baginda lagi.

Ucapan tahniah turut dirakamkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) yang berjaya menerajui kerajaan negeri secara adil, beramanah dan proaktif.

"Rakyat di negeri ini telah diberi layanan yang adil, hubungan antara kaum semakin erat melalui pelbagai aktiviti yang telah dijalankan. Beta dapati kerajaan negeri telah memberikan sepenuh daya usaha dan kerjasama dengan semua pihak bagi memajukan negeri ini," titah baginda.


Dari Harakah

Pemimpin Umno buta sejarah dan Perlembagaan

Posted: 14 Nov 2010 06:02 AM PST

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menuduh pemimpin-pemimpin Umno "buta sejarah, Perlembagaan" dengan mencetuskan perasaan kebencian dan tidak toleransi di kalangan rakyat negara ini. Sambil merujuk kepada beberapa insiden berkaitan dengan sentimen perkauman sejak kebelakangan ini, Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa pemimpin-pemimpin Umno "melarikan" Perlembagaan Persekutuan dan menggunakannya mengikut kehendak dan kemahuan mereka bagi memecahbelahkan rakyat Malaysia.

"Apabila Umno bercakap mengenai Perlembagaan, mereka hanya bercakap mengenai kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bukannya kepentingan sahih kaum-kaum lain.
"Ini menunjukkan Umno buta sejarah, buta Perlembagaan, dan buta hati. Kita mesti lawan mereka," kata beliau ketika berucap merasmikan Kongres DAP Perak Ke-15 di sini hari ini.

Lim (gambar) menekankan bahawa Artikel 153 menyebut, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang lain dan kepentingan komuniti-komuniti lain selaras dengan peruntukan perkara ini.

"Tetapi Umno sentiasa merujuk Artikel 153 Perlembagaan mengenai kedudukan orang Melayu sebagai justifikasi pendekatan rasis mereka hanya untuk orang Melayu.

"Mereka juga seringkali gagal untuk menyebutkan kepentingan sahih komuniti-komuniti lain juga mesti dilindungi," tegas beliau.

Justeru Lim juga berkata, agenda "rakyat Malaysia terlebih dahulu" jelas disemadikan dalam Perlembagaan, malangnya aspek ini tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin rasis Umno.

Lim mendakwa pemikiran rasis yang meletakkan kepentingan perkauman mengatasi kepentingan nasional ditimbulkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mendakwa kadar penyertaan bukan Melayu dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah disebabkan rendahnya semangat patriotisme mereka.

Selain itu kata Lim, akhbar keluaran Kumpulan Utusan, milik Umno, yang cuba mencetuskan semula peristiwa 13 Mei 1969 dengan menganggapnya sebagai "hari keramat".

"Kerajaan mesti mengambil tindakan ke atas Utusan memandangkan ia mengembangkan rasa kebencian dan pelampau, bertindak seolah-olah mereka mahukan satu lagi 13 Mei dengan menyambutnya sebagai hari suci.

"Saya percaya orang Melayu di negara ini bukan macam Utusan Malaysia. Utusan ekstremis Umno," katanya lagi.

Lim juga menekankan insiden kenyataan rasis yang dikeluarkan oleh dua pengetua sekolah dan pegawai kanan Biro Tata Negara baru-baru ini.

Tindakan dilapor telah dikenakan ke atas mereka termasuk menggantung tugas.

"Lihat kenyataan-kenyataan rasis dan menghina daripada pengetua-pengetua yang menimbulkan rasa benci dengan memanggil orang India anjing dan Cina pendatang, yang harus balik ke China atau pegawai BTN yang melabelkan orang India sebagai si botol dan Cina sebagai si mata sepet.

"Atau, pemimpin-pemimpin Umno yang secara terbuka mengatakan mereka tidak memerlukan undi orang India dan Cina," katanya lagi.

Serentak dengan itu, Lim juga membidas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan bertanya mengapa bukan Melayu di Perak mestik menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mengapa harus rakyat Perak mesti menyokong seorang pemimpin yang komradnya merasakan mereka tidak memerlukan undi Cina dan India?

"Minta Zambry lihat mukanya di cermin... adakah anda maksudkan anda tidak memerlukan undi orang India?" kata beliau pada majlis yang dihadiri sekitar 1,000 perwakilan.

Lim berkata, pemimpin-pemimpin DAP bukannya antiorang Melayu, anti-Islam ataupun menentang institusi diraja sebagaimana didakwa oleh Umno saban hari.

"Dalam perjuangan kami, kita dipaksa berhadapan dengan banyak dakwaan palsu. Saya ingin menekankan di sini, tidak sesiapa pun harus mempersoalkan kesetiaan kami kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Mereka membuat tuduhan tetapi mereka tidak boleh mencari bukti," kata beliau.

Kata Lim, perjuangan DAP adalah bersandarkan pada prinsip Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, parti telah meminda perlembagaannya pada 2006.

Justeru kata beliau, parti komponen Pakatan Rakyat itu bergerak seiringan dengan perlembagaan yang membawa kepada kemerdekaan.

Selain itu beliau juga mengingatkan kembali tema DAP "Malaysia Sederhana" yang bersandarkan lima prinsip iaitu agenda "Rakyat Malaysia" terdahulu, hak asasi manusia dan masyarakat madani, peluang yang saksama, keluhuran undang-undang dan integriti dan komuniti bandar yang intelek.

Sehubungan itu, Lim meminta rakyat tidak membuat kesilapan kerana pendekatan Malaysia yang sederhana akan memutuskan pakatan mana yang bakal memerintah kelak.

Umno terus ajak PAS bersama BN

Posted: 13 Nov 2010 07:53 PM PST

Umno terus mengajak PAS agar bersama parti teras Barisan Nasional (BN) itu daripada hanya bercita-cita mahu menggantikannya atau memintanya supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah Umno juga mendakwa kedudukan PAS akan lebih baik jika komponen Pakatan Rakyat (PR) itu bersama BN daripada terus berganding dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"PKR dan DAP itu hanya membebankan PAS.

"PAS akan lebih baik bersama Umno-BN bukan bersama PKR dan DAP yang tidak sehaluan dengan PAS," kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Suara dan pandangan agar Umno-PAS terus kedengaran sejak selepas pilihan raya umum 2008 yang mana PAS bersama DAP dan PKR menafikan kedudukan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan selepas pentadbiran lima negeri jatuh ke tangan PR.

Sehubungan itu, Ahmad juga mengingatkan PAS supaya mengkaji dahulu kedudukan mereka dalam PR dan Parlimen sebelum membuat keputusan untuk menggantikan parti Melayu terbesar itu.

Malah, Ahmad berkata Umno-BN masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara sambil menjelaskan pilihan raya umum ke-13 masih belum diketahui bila akan diadakan.

"Kita belum kalah lagi, pilihan raya pun kita belum tahu lagi bila.

"Lagipun yang memerintah sekarang adalah Umno-BN, pilihan raya lambat lagi iaitu kalau ikut tarikh adalah pada 2013.

"Macam-macam boleh berlaku sebelum pilihan raya, kita tunggu sahaja nanti.

"Tapi kalau melihat daripada keadaan sekarang rakyat menyebelahi Umno-BN," kata timbalan menteri ini.

Beliau juga mencadangkan kepada PAS supaya bertanding lebih banyak kerusi di Parlimen sekiranya mahu mencabar kedudukan Umno.

"PAS-Pakatan Rakyat bertanding 60 kerusi, Parlimen ada 222 kerusi kecuali kalau PAS bertanding banyak kerusi.

"(Sebanyak) 60 kerusi tak sampai satu pertiga pun dari 222 kerusi Parlimen. Kalau PAS-Pakatan Rakyat tanding hanya 60 kerusi macam mana nak ketuai Pakatan Rakyat.

"Pada saya, PAS kena fikirkan kedudukan dalam Pakatan Rakyat, sama ada berdiri sendiri atau bersama BN," kata Ahmad ketika mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, yang mendesak parti Melayu terbesar itu berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Hadi berkata Umno yang merupakan teras kepada BN sepatutnya perlu bersikap terbuka dalam menerima kekalahan dalam pilihan raya, bukan dengan berusaha mencari taktik untuk menang dan bertindak macam di Perak tahun lalu.

"Saya minta Umno undur diri secara terhormat sekiranya kalah, mengaku kalah sahaja. Jangan nak cari jalan menang. Macam di Perak dulu, sudah kalah terima sahajalah, begitu juga dengan undi Orang Asli.

"Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah.

"Kita tahu Umno ada masalah tapi masih cuba nak tutup tapi akhirnya akan terdedah juga," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan program PAS Sedia Ganti Umno di Shah Alam semalam.


-The Malaysian Insider

Sudah sampai masa Umno diganti

Posted: 13 Nov 2010 07:46 PM PST

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata sudah sampai masanya PAS menggantikan Umno dimana rakyat khususnya Melayu diseru bersama PAS.

Bercakap sewaktu membentangkan kertas kerja 'PAS Ganti Umno; Rasional dan Tindakan' di sini hari ini, beliau berkata Umno sudah hilang arah dan tidak mampu lagi untuk menjaga Melayu di negara ini.

"Orang Melayu perlu mencari bahtera penyelamat, maka parti yang mempunyai landasan yang jelas, terbukti dan teruji ialah PAS," katanya.

Beliau juga menggariskan 23 sebab mengapa rasional Umno perlu diganti, antaranya kerana Islam bukan dasar Umno malah Islam hanya menjadi kuda tunggangan.

Umno kata Idris hanya menjadikan Islam tidak lebih sebagai alat politik mereka.

Selain Islam, Umno juga jelasnya turut memperalatkan Melayu untuk kepentingan peribadi.

"Mereka guna perkara 153 dalam perlembagaan untuk mengaut keuntungan peribadi dan keluarga, akhirnya Melayu terus merempat di bumi sendiri.

"Di mana tempat Umno kuat, di situ Melayu merempat," tambahnya.

Umno juga dakwanya mengamalkan dasar Umno Putera bukan bumiputera.

Ianya satu bentuk diskriminasi bangsa hanya kerana berlainan ideologi yang menyebabkan peratus kemiskinan bumiputera meningkat.

Tambahnya lagi, Umno juga mengkhianat bahasa sendiri apabila memperkenal Pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Dari segi pembangunan modal insan pula, Umno katanya gagal mengatasi masalah sosial dan akhlak.

Ianya juga antara lain disebabkan peranan masjid yang turut dimatikan Umno malah meyuburkan pula industri maksiat.

Tambah Idris lagi, sejak 50 tahun memerintah juga, rasuah di bawah Umno terus meningkat malah sudah membarah di kalangan pemimpin dan ahli mereka.

"Sebenarnya punca kerosakan besar sebuah negara dan tamadun berpunca dari rasuah sehingga keselamatan negara terancam," katanya.

Paling teruk katanya Umno juga sanggup menggadai harta negara ke tangan asing.

Ianya termasuk menyerahkan telaga Blok L dan M kepada Brunei dengan nilai RM320 bilion, pulau Batu Putih kepada Singapura, dan juga memberi 217 hektar tanah KTMB kepada republik itu.

Sehubungan itu, ahli PAS perlu menerangkan perkara tersebut kepada rakyat agar mereka sedar siapa Umno sebenarnya.

Sebagai pelan tindakan, penjelasan perlu dibuat bagi menangkis fitnah Umno yang mendakwa kedudukan Islam, hak Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu tergugat.
D'PERBATASAN

Tiada ulasan: