Isnin, 15 November 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Lenggong pula dilanda banjir

Posted: 15 Nov 2010 04:34 AM PST

Mohd Rashidi Yusuf
LENGGONG, 15 Nov: Sepuluh keluarga terpaksa dipindah apabila tujuh kampung termasuk pekan dilanda banjir membabitkan hampir 100 rumah, sebuah masjid dan lebih 20 premis kedai selepas hujan kira-kira tiga jam sejak petang semalam.

Di Mukim Temelong, Kampung Banggol Batu dan Taman Kota Tampan antara paling teruk dilanda banjir, di mana 10 daripada hampir 30 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di surau taman berkenaan selain di rumah saudara mara.

Banjir lumpur tersebut disebabkan limpahan air Sungai Nerok mulai jam 8.30 malam tadi turut melanda Masjid Kampung Banggol Batu dan tujuh premis kedai, termasuk sebuah kedai runcit, sebuah bengkel motorsikal, sebuah kedai pakaian dan sebuah kedai makan.

Khalid Yusof, 41, terpaksa menggunakan lori jiran untuk memunggah barangan di dalam kedai seperti beras, gula, dan pelbagai barangan lain selain peti ais dan lain-lain apabila air masuk ketika hujan masih turun.

Katanya, ketika air mulai naik, dia sedang berada di rumahnya sehingga jiran memberitahu kedainya dimasuki air.

"Sebaik jiran memberitahu air mulai masuk ke dalam kedai, saya bergegas ke kedai untuk menyelamatkan barang-barang di dalamnya yang lebih penting daripada keadaan di dalam rumah.

"Nasib baik dengan pertolongan jiran-jiran peti air serta barangan di dalamnya dapat diselamatkan,' katanya.

Khalid berkata, dia bernasib baik apabila air mulai surut jam 11 malam dan walaupun air naik hingga ke paras 0.4 meter di dalam kedainya dia tidak mengalami kerugian besar.

Pemilik bengkel motorsikal, Badri Othman, 40, pula berkata, dia kerugian kira-kira RM20,000 apabila sebuah mesin kompresor dan tiga buah motorsikal ditenggelami air, tidak sempat diselamatkan kerana rumahnya juga dilanda banjir.

Katanya, air naik dengan pantas, manakala dia dan keluarga terpaksa bergelut dengan banjir di rumahnya di Banggol Batu, menyebabkan bengkelnya yang terletak di Taman Kota Tampan tidak sempat diurus.

Seorang peniaga makanan, Mohd Yusri Yacob, 36, terpaksa menghentikan perniagaannya apabila air naik ketika hujan masih turun dan kemungkinan tidak dapat berniaga untuk sekurang-kurangnya dua hari.

Sementara itu, tiga sekeluarga di kampung banggol batu yang sedang menunggu rumah PPRT, bernasib baik dapat menyelamatkan barangan penting di dalam rumah sebelum berpindah ke rumah saudara di kampung sama.

Ketua keluarga, Mohd Mizi Abdul Rani, 28, berkata ketika hujan lebat sejak jam 6 petang, dia, adik, dan ibunya, bergegas memunggah barang-barang penting termasuk barangan elektrik ke tingkat atas rumah.

"Air naik separas 1.5 meter di dalam rumah dan walaupun semua barang-barang sempat diselamatkan, kami tiga beranak terpaksa berpindah bimbang kalau-kalau air naik lagi," katanya.

Mohd Mizi berkata, banjir kali ini adalah yang ketiga melanda rumah mereka pada tahun ini, di mana kali kedua selepas Aidilfitri lalu sepertimana dilaporkan akhbar ini.

Di pekan Lenggong sendiri, kira-kira 10 premis kedai termasuk sebuah kedai motorsikal dan kedai mesin Singer dilanda banjir limpahan air longkang, bagaimanapun tidak ada kerosakan harta benda berlaku.

Di Kampung Sumpitan 40 buah rumah dan dua buah kedai dilanda banjir lumpur mulai lebih dua jam mulai 11 malam akibat limpahan air Sungai Temelong, bagaimanapun tidak ada mangsa dipindahkan.

Umno BN Perak di hujung tanduk

Posted: 15 Nov 2010 04:33 AM PST

Harakahdaily

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyokong penuh kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tegas mengatakan bahawa Umno Barisan Nasional (BN) tidak matang dalam tindakan politik mereka.

Timbalan ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, ini terutama di dalam menerima kejatuhan di negeri ini yang menyaksikan mereka menggunakan jalan belakang bagi merampas semula pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, Tuan Guru Seri Abdul Hadi secara tegas menyatakan tindakan tersebut sebagai tidak demokratik.

Tambahnya, hal itu yang dinyatakan di dalam seminar bertajuk 'PAS Sedia Ganti Umno' baru-baru ini jelas memberikan harapan kepada rakyat agar terus yakin akan kepimpinan PAS dan PR di dalam menerajui negeri atau negara ini kelak.

"Sudah tentu sikap tidak demokratik Umno ini tidak terhenti segitu sahaja, malah diteruskan lagi dengan sikap tidak profesional mereka di dalam menguruskan negara dan rakyat itu sendiri," katanya.

Rakyat, katanya perlu menilai semula kesan rampasan kuasa oleh Umno yang berlaku di Perak kerana ianya jelas menggambarkan matinya demokrasi yang adil dan saksama sehingga sekarang ini.

"Disebabkan itulah para pelabur asing masih tidak yakin terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak yang tampok kekuasaannya terletak kepada 'kuasa ketiga' iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas yang telah melompat parti.

"Faktor merekahlah kecelaruan dan ketakutan banyak pihak terutama negara asing yang melihat drama politik hitam di Perak yang mematikan demokrasi dan menidakkan pilihan dan kuasa rakyat," ujarnya.

DPPN Pk, katanya yakin Umno BN bimbang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti yang bakal menyaksikan mereka dijatuhkan dan ditolak oleh rakyat negeri Perak.

"Kebimbangan inilah yang sedang menghantui mereka demi menjaga kedudukan yang kini berada 'di hujung tanduk'," ujarnya.

Pengakuan kasyaf Nor Idris dianggap sesat

Posted: 15 Nov 2010 04:30 AM PST

Hafiz Irwan

KOTA BHARU: Pelbagai pihak menyifatkan bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Ustaz Mohd Nor Idris yang mendakwa dirinya sebagai kasyaf sebagai sesat.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan kenyataan pemimpin Umno boleh diketawakan orang yang waras.

"Sahabat yang termasyhur di zaman Rasulullah saw tidak pernah mengakui diri mereka kasyaf.

"Sejarah mencatat seorang sahabat bernama Uwais Al-Qarni mempunyai kelebihan spiritual sehingga baginda menyuruh Saidina Omar meminta ulama itu berdoa.

"Tak tahulah saya kalau Ustaz Nor boleh mengaku diirinya kasyaf secara terbuka," katanya sebagai mengulas pengakuan pemimpin Umno terbabit yang disebarkan melalui facebook baru-baru ini.

Pada kenyataan melalui laman tersebut Ustaz Nor memberitahu enggan bersalam dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menganggap tangan Menteri Besar sebagai syaitan.

Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini Ustaz Nor juga menengking keras Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika kunjungan Menteri Besar ke rumah bekas Adun Galas, Omar Mohamad di RPT Sungai Terah.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan pengakuan kasyaf Ustaz Nor yang dianggap sebagai sesat.

Beliau juga mempertikaikan tulisan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan Ahad lalu yang mengangggap Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor.

"Sedangkan perkara sebenar yang berlaku ketika Menteri Besar menghulur tangan untuk bersalam, Ustaz Nor enggan kerana menganggap tangan pemimpin PAS itu ada syaitan," katanya.

Oleh itu beliau berharap pengarang akhbar terbabit lebih beretika dalam setiap tulisan dan bukannya menjadi jaguh menyebarkan fitnah.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Utusan sebagai lidah rasmi Umno sekali lagi cuba memfitnah Menteri Besar Kelantan dengan menyebarkan kenyataan yang tidak berasas.

Katanya, gambaran yang diberi kononnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor jauh menyimpang jauh terhadap perkara sebenar yang berlaku.

"Mengapa pengarang terbabit cuba menyembunyikan perkara sebenar apabila seorang menteri besar dimaki hamun di hadapan orang ramai ketika berkunjung ke rumah seorang pemimpin bekas Semangat 46.

"Ramai menjadi saksi kepada sikap gelojoh dan tidak beradab yang ditunjukkan Ustaz Nor. Semua rakyat di Kelantan tahu cerita sebenar dan Utusan tidak mampu untuk menyembunyikan," katanya.

Menurutnya Utusan perlu membetulkan dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan.

Kata beliau sekiranya akhbar terbabit terus berdegil tindakan selanjutnya termasuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, serangan Utusan sengaja dilontarkan akhbar terbabit dengan harapan dapat menjatuhkan karier politik Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

"Semua itu kerja sia-sia belaka, prinsip Tok Guru tidak pernah tunduk pada sebarang tekanan. Malah ini bukan satu perkara baru bagi Tok Guru. Selama 20 tahun memerintah Kelantan sudah terlalu banyak pengalaman pahit manis dilaluinya.

"Saya tidak nampak rasional atau apa untungnya di sebalik serangan itu. Bahkan, seringkali tuduhan mahupun tomahan terhadapnya akan menambah kuatkan lagi semangat Mursyidul Am," katanya.

Beliau juga berharap Awang Selamat jangan berselindung di sebalik nama murahannya untuk melacurkan pena wartawan demi kepentingan perut semata-mata.

Al-Qaeda Tak Boleh Dikalahkan, kata Panglima Tentera Inggeris

Posted: 15 Nov 2010 04:28 AM PST

FREE MALAYSAI TODAY

800_richards_101114LONDON: Panglima tentera Inggeris, Jeneral Sir David Richards, mengingatkan bahawa Barat tidak dapat mengalahkan Al-Qaeda dan kaum militan Islam. Ia mengatakan, cita-cita untuk mengalahkan kaum militan Islam merupakan sesuatu yang tidak perlu dan tidak akan pernah dicapai.

Dalam sebuah wawancara dengan The Sunday Telegraph akhir minggu lalu jenderal itu mengatakan, "Dalam perang konvensional, kekalahan dan kemenangan terpisah secara sangat jelas dan dilambangkan dengan pasukan yang berbaris menuju ibu kota bangsa lain.

"Pertama-tama anda harus bertanya, apakah kita perlu mengalahkannya (militan Islam) dalam erti sebuah kemenangan yang tampak jelas seperti itu? Saya berpendapat bahawa itu tidak diperlukan dan tidak akan pernah tercapai."

Jeneral Richards yang sudah berusia 58 tahun itu mengatakan, ancaman yang ditimbulkan Al-Qaeda dan gabungannya saat ini memiliki risko bagi keselamatan nasional Inggeris selama 30 tahun.

Menurutnya, yang harus dilakukan Inggeris adalah menjamin bahawa warganya boleh hidup aman dan ia yakin itu boleh terjamin.

"Boleh kita memaknai ancaman itu menuju ke titik baahwa kehidupan kita dan anak-anak kita selamat. Saya fikir kita boleh,"katanya.

Menurut beliau, senjata nyata dalam perang melawan Al-Qaeda adalah "pencegahan perang di hulu" serta pendidikan dan demokrasi. "Permasalahan yang memunculkan militan Islam kemungkinan tidak segera diselesaikan," katanya.

Beliau mengatakan, militer dan pemerintah Inggeris telah bersalah kerana tidak sepenuhnya memahami apa yang dipertaruhkan di Afganistan dan mengakui bahwa orang Afganistan mulai "lelah" akibat ketidakmampuan NATO dalam memenuhi janji-janjinya.

Pengorbanan pasukan Inggeris di Afganistan, sudah 343 tentara telah terbunuh sejak tahun 2001, katanya, menjadi sia-sia. Kemajuan memang sudah dibuat dan NATO kini berada tempat yang benar. Ia mengatakan, "Jangan menyerah saudara-saudara, itu semua permainan."

Ia menambah, perang Barat melawan apa yang disebutnya sebagai "ideologi jahat" itu setara dengan perang melawan Nazi Jerman pada Perang Dunia Kedua.

Mahkamah tetapkan 25 Nov dengar rayuan kes lupus mayat Sosilawati

Posted: 15 Nov 2010 04:22 AM PST

BERNAMA

sosilawatiSHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 25 Nov ini untuk mendengar rayuan pekerja ladang K.Sarawanan yang dipenjara tujuh tahun bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Pada tarikh itu juga hakim Wira Mohtarudin Baki akan membuat semakan terhadap hukuman itu yang dijatuhkan ke atas Sarawanan dan seorang lagi pekerja ladang U.Suresh.

Pada 15 Okt lepas, Sarawanan, 19, dan Suresh, 26, dihukum penjara tujuh tahun oleh mahkamah majistret Teluk Datok Banting selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, dan tiga rakannya.

Mereka ialah pemandu jutawan itu Kamaruddin Shamsudin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38.

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat Banting, sementara Suresh didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainudin dan Idham Abdul Ghani, manakala Sarawanan diwakili peguam A. S.Dhaliwal dan Suresh diwakili peguam M.Puravelan.


Speaker ada kuasa larang media buat liputan sidang DUN Kedah

Posted: 15 Nov 2010 04:16 AM PST


Persidgan DUN Kdah 043Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mempunyai kuasa melarang media daripada membuat liputan perjalanan persidangan DUN yang sedang berlangsung sekarang.

Timbalan Speaker, Ahmad Izzat Shauki berkata, kuasa tersebut terletak di bawah Perkara 90 Peraturan Dewan di mana terdapat kuasa Speaker mengenai kebebasan media memasuki DUN dan membuat liputan persidangan.`

"Bergantung kepada Datuk Dr Abdul Isa Ismail yang mempunyai kuasa sebagai Speaker sama ada untuk membenarkan media membuat liputan perjalanan dalam Dewan atau tidak," katanya ketika dihubungi FMT.

Ahmad Izzat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) Bukit Lada berkata, notis 'larangan' itu juga bergantung kepada budi bicara Speaker sama ada hanya untuk sesi ini sahaja atau terus mengekalkannya sehingga sesi akan datang.

"Notis itu hanya sah untuk sidang DUN sesi ini sahaja (sehingga esok). Sama ada untuk terus mengeluarkan notis yang sama untuk sesi akan datang juga terpulang kepada kuasa Speaker," katanya.

Ahmad Izzat bagaimanapun mempertahankan tindakan kerajaan negeri Kedah kerana mendakwa media melakukan pembohongan dan fitnah terhadap kerajaan negeri seperti yang terjadi dalam isu bantuan mangsa banjir baru-baru ini.

"Kita sudah bagi ruang kebebasan kepada media khususnya arus perdana termasuk mempertahankan tindakan kami menangani isu banjir.

"Namun mereka terus memutarbelitkan isu tersebut dan memfitnah kerajaan negeri," katanya.

Ditanya tentang tindakan tersebut yang dikatakan melanggar Perjanjian Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang mahu mendemokrasikan media, Ahmad Izzat bagaimanapun menafikannya.

"Tindakan sebegini bukan bermakna kita sekat kebebasan media. Kita tidak halang semua. Kita cuma nak elak media menyalahguna dan memanipulasi kerajaan negeri.

Semalam, hanya The Star, Harakah, Sinar Harian, Makkal Osai, Malaysian Namban, Sin Chew, Kwong Wah, China Press, Nanyang Siang Pau, Guang Ming dan Bernama dibenarkan membuat liputan perasmian persidangan DUN Penggal Ketiga Mesyuarat Bajet 2011 oleh Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Manakala media TV3, RTM, Berita Harian, jurugambar Utusan, serta portal berita Malaysiakini tidak tersenarai daripada membuat liputan sepanjang sesi perbahasan belanjawan selama tiga hari bermula semalam.

Malaysiakini, bagaimanapun menurut laporan akhbar The Star berkata pihak kerajaan negeri tidak ada masalah dengan portal berita itu, namun tidak tahu kedatangannya untuk membuat liputan.

"Malaysiakini sepatutnya menghubungi pihak kerajaan negeri lebih awal supaya kita boleh memasukkan dalam senarai," kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Helmi Mohamad Khalid.

Namun ironinya, situasi sama turut terjadi dalam persidangan DUN Perak yang lalu apabila petugas media khususnya pembangkang tidak dibenarkan membuat liputan sejak 'rampasan kuasa' berlaku di negeri itu.

Suspek tetak: Polis Pahang buru bekas tentera Azli Che Omar

Posted: 15 Nov 2010 04:14 AM PST

BERNAMA

KUANTAN – Polis Pahang sedang mengesan seorang bekas tentera yang dikenali sebagai Azli Che Omar bagi membantu siasatan berhubung kes tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak ditetak baru-baru ini.

Bekas anggota tentera berusia 30 tahun itu beralamat terakhirnya di No 143-B, Belukar Sukai, Kuala Terengganu, Terengganu.

Menurut Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, seorang remaja Nurul Hanees Syazwani Mohammad, 17, berasal dari Johor Bahru yang dipercayai isteri kepada Azli turut dicari bagi membantu siasatan.

"Azli dipercayai suspek kes tetak berkenaan, suspek terbabit pernah bertugas sebagai anggota tentera tetapi melarikan diri dari Kem Sungai Udang, Terendak, Melaka pada 14 Januari 2003," katanya kepada pemberita di sini.

Pada Sabtu lepas, seorang lelaki menetak sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dengan pedang samurai sehingga cedera parah di tingkat satu, blok D, Flat Alor Akar, di sini.

Suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan pasangan suami isteri itu yang didakwanya telah melarikan isterinya.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan (IPD) di talian 09-5132222 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

MB Selangor nafi dakwaan Noh Omar Yayasan Selangor belanja RM800,000

Posted: 15 Nov 2010 04:10 AM PST



Khalid Ibrahim
SHAH ALAM — Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan dakwaan RM800,000 telah dibelanjakan oleh Yayasan Selangor untuk menganjurkan majlis makan tengah hari sempena ulang tahun ke-40 agensi negeri itu yang sepatutnya diadakan hari ini.

Menteri Besar Selangor menegaskan kos majlis itu masih kekal RM300,000 sebagaimana dimaklumkan sebelum ini.

Majlis itu yang sepatutnya diadakan hari ini telah dibatalkan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak hadir kerana dukacita setelah dimaklumkan perbelanjaan melebihi RM300,000.

Bagaimanapun Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar mendakwa lebih RM800,000 telah dibelanjakan untuk menganjurkan majlis tersebut.

"Angka yang diberikan kepada saya hanya RM300,000," kata Khalid kepada pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

"Biar beliau (Noh Omar) tampil dan menjelaskan (angka RM800,000)," kata beliau.

Semalam, Khalid berkata siasatan awal berhubung keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar yayasan itu.

Sehubungan itu, Khalid yang juga pengerusi yayasan tersebut berkata bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, kerajaan negeri telah mengarahkan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor Mohd Sharifuldin Sulaiman mengambil cuti bergaji selama sebulan berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan selesai.

"Kerajaan menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salah guna kuasa ke muka pengadilan," katanya.

Sultan Selangor membatalkan hasrat menghadiri majlis sambutan itu Jumaat lalu.

Kelmarin, Noh mendakwa pembaziran dalam penganjuran majlis itu bukannya melebihi RM300,000 seperti yang dilaporkan sebelum ini tetapi melebihi RM800,000.

Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki sebelum ini dilaporkan berkata kos sebenar majlis itu adalah RM285,000 bagi menampung penyediaan makanan untuk jemputan khas seramai 200 orang kenamaan dan 2,000 tetamu lain.

Menteri Besar Selangor juga membidas Noh kerana akaun agensi kebajikan pendidikan itu tidak diaudit selama empat tahun ketika kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008.

"Sepanjang empat tahun lalu, akaun Yayasan Selangor tidak diaudit," kata Khalid.

Pada sidang media berasingan, Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei mendakwa 90 peratus daripada bil RM300,000 bagi majlis itu atau RM280,000 sudah pun dibayar kepada syarikat pengurusan majlis terbabit.

"Kontraktor telah pun dibayar 90 peratus, kira-kira RM280,000 telah dibayar dalam dua ansurans kepada satu syarikat pengurusan majlis.

"Sebanyak 25 hingga 30 peratus deposit adalah normal, tetapi bukannya 80 hingga 90 peratus," kata beliau.

Apabila pemberita membangkitkan dakwaan Shuhaimi dan bertanya sama ada kerajaan negeri akan dikembalikan wang yang sudah dibayar, Khalid berkata: "Ya. ya."

Nurul Izzah dahului saingan naib presiden PKR

Posted: 15 Nov 2010 04:09 AM PST

PETALING JAYA – Nurul Izzah Anwar terus mendahului saingan jawatan naib presiden PKR dengan mengumpulkan 11,042 undi daripada 165 cabang setakat ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mendahului senarai empat teratas bagi jawatan tersebut yang turut diekori Pengarah Strategi PKR Tian Chua dengan 9,524 undi, Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh dengan 7,878 undi dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman dengan 7,448.

Turut bersaing dalam jawatan naib presiden adalah Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan (5,288), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar (4,840), Yahya Sahri (4,781), Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah (4,690), Ansari Abdullah (3,971), Baru Bian (3,900), Suresh Kumar Ramachandran (3,232), Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff (2,190), James Ghani (2,122), Jonson Chong (1,616), Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam (1,558), Dominique K.H Ng (1,156) dan Saiman Marjuki (443).

Ketika sidang media hari ini Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail telah mengumumkan senarai kedudukan calon yang bertanding bagi pemilihan MPP setakat 165 cabang.

Bagi jawatan ketua wanita PKR, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin masih mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu apabila menerima 4,510 undi manakala Suraya Sudin dan Animah Ferrer masing-masing menerima 1,181 undi dan 967 undi.

Sementara itu bagi jawatan timbalan ketua wanita PKR, penyandangnya Rodziah Ismail mendapat 5,167 undi manakala pencabarnya Asmah Abd Kadir memperoleh 1,126 undi.

Untuk jawatan naib ketua wanita, Gan Pei Nei mendahului senarai dengan mendapat 3,499 undi, diikuti Haniza Talha (3,328), Noorsham Abu Samah (2,617), Felecia Ling (1,668), Aisah Lamsah (1,421), Begum Jan Abdullah (1,402), Salma Ismail (950), Rosmah Suly (508) dan Rozaini Mohd Rosli (478).

Jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan menyaksikan, penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd Akin mendapat 3,981 undi mengatasi pencabarnya Badrul Hisham Shaharin yang mendapat 3,273.

Sementara itu, jawatan timbalan ketua AMK pula Khairul Anuar mendapat 3,908 undi manakala Chang Lih Kang menerima 3,054.

Untuk jawatan naib ketua AMK, Azmizam Zaman Nuri mendahului senarai dengan 3,807 undi, Erveana Ansari Ali (2,872), Chan Ming Kai (2,786), V. Sivam (1,783), Yunus Jamhari (1,746), Nicholas J. Guntobon (1,518), Lee Khai Loon (1,158), Kesavan (1,067), Nazree Yunus (823), Farhash Wafa (499) dan Rozan Azen Mat Rasip (425).

Sebanyak 165 cabang telah menyempurnakan pemilihan parti dan masih ada 57 cabang yang akan mengadakan pemilihan hujung minggu ini.

"Masih ada berbaki 57 cabang yang akan membuat pemilihan pada 20 dan 21 November ini," kata beliau.

Beliau memberitahu, setakat ini daripada sebanyak 165 cabang yang telah membuat pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), pihaknya telah menerima sejumlah bantahan untuk bantahan sepanjang tempoh pemilihan MPP iaitu enam aduan dan tiada perubahan.

"Manakala bagi Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) kita menerima sebanyak 289 aduan dan daripada jumlah itu, 90 peratus aduan telah disampaikan secara bersurat kepada pengandu," kata Saifuddin lagi.

Tambah Saifuddin, status bagi enam aduan untuk pemilihan MPP masih lagi dalam penelitian Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang diketuai Dr Molly Cheah.

"Setakat 165 cabang yang berjalan terbukti pemilihan berdasarkan satu anggota, satu undi ini telah berjalan dengan baik," katanya.

Saifuddin berkata, setakat ini hanya 8.4 peratus ahli sahaja yang mengundi bagi pemilihan MPP.

Ketika ditanya mengenai memorandum yang dihantar Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub minggu lalu, Saifuddin bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen, namun naib presiden itu mengetahui bagaimana pemilihan parti dijalankan.

"Saya tidak mahu memberi komen terhadap aduan yang dikemukakan saudara Mustaffa.

"Beliau (Mustaffa) adalah ahli MPP yang juga naib presiden, ahli Biro Politik. Semua portfolio yang penting dipegang Mustaffa, beliau tahu perjalanan pemilihan parti," katanya.

Minggu lalu, Mustaffa telah menyerahkan memorandum kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dr Cheah.

Ia menggesa agar proses pemilihan dibatalkan dan digantikan dengan pengundian baru.

Namun Dr Cheah berkata, pemilihan MPP PKR bagi tempoh 2010-2013 tetap diteruskan walaupun ada gesaan daripada kalangan anggota parti supaya ia ditangguh atau dibatalkan.

Dr Cheah berkata, pemilihan itu tidak boleh dihentikan dengan begitu mudah semata-mata kerana ada pihak mendakwa berlaku kepincangan dalam sistem pemilihan.

Pemilihan pusat yang berlangsung pada 29 Oktober lepas dan akan berakhir 21 November ini melibatkan sebanyak 218 cabang. Ia disusuli dengan Kongres Nasional Tahunan PKR selama tiga hari mulai 26 November di Dewan Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

PAS Selangor pula pelawa Umno negeri sertai Pakatan

Posted: 15 Nov 2010 04:07 AM PST

KUALA LUMPUR – PAS Selangor pula mempelawa Umno negeri menyertai parti tersebut daripada terus mengajak agar komponen Pakatan Rakyat itu menjalin kerjasama dengannya bagi memperkukuhkan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Ghazali membuat pelawaan ini menjawab pendirian Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang terus mengajak PAS agar menyertai BN dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Ahli-ahli Umno dan pimpinan Umno meninggalkan wadah perjuangan mereka yang usang itu dan bersama PAS dalam mengejar cita-cita perubahan dan kebaikan buat umat," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

"Arus perubahan ini, syaratnya mereka perlu bersama PAS dan Pakatan Rakyat," jelas Roslan.

Ekoran itu, Roslan menganggap pelawaan Ahmad itu sebagai sesuatu yang janggal bagi PAS negeri.

"PAS Selangor merasakan janggal apabila Datuk Ahmad mempelawa PAS menyertai BN dan meninggalkan Pakatan Rakyat," jelas Roslan.

Dalam pada itu, Roslan berkata Umno negeri sepatutnya menyertai Pakatan Rakyat sekiranya pemimpin serta akar umbi parti itu ikhlas memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.

"PAS Selangor menawarkan agar ahli-ahli Umno termasuk pimpinan mereka berfikir semasak-masanya dan menginsafi bahawa untuk maju ke hadapan PAS lah alternatif terbaik untuk mereka.

"Inilah masanya demi memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negera," kata beliau yang merujuk kepada seruan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya PAS menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Tambah Roslan, Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali telah pun menggerakkan jentera pilihan raya parti agar saki baki kerusi Umno di negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu berupaya diganti oleh wakil rakyat PAS kelak.

Zaid sahkan keluar PKR, penjelasan susulan Jumaat ini

Posted: 15 Nov 2010 04:05 AM PST

TERKINI
THE MALAYSIAN INDISER
Zaid Ibrahim
KUALA LUMPUR — Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan beliau akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi belum mengemukakan notis rasmi berhubung keputusannya kepada ibu pejabat parti.

"Saya merujuk kepada tajuk akhbar The Star (hari ini). Benar saya akan keluar parti, tetapi saya belum mengemukakan (notis) keluar daripada parti secara rasmi.

"Saya akan membuat penjelasan (susulan) menerusi kenyataan akhbar Jumaat ini," kata beliau dalam kenyataan penjelasan yang disiarkan dalam blognya hari ini.

Dalam laporan tengah hari tadi, Bernama memetik Zaid berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan keluar daripada parti itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata bagaimanapun, keputusan itu masih dalam pertimbangan.

"Belum (keluar parti), mungkin tidak lama lagi," katanya menerusi SMS kepada Bernama pagi tadi.

Akhbar The Star hari ini melaporkan bekas calon timbalan presiden PKR itu telah membuat keputusan untuk keluar parti, dengan mengatakan bahawa beliau telah muak dengan pergolakan dalaman parti.

Zaid juga dilaporkan berkata bahawa "beliau tahu masanya sudah suntuk untuk terus berada dalam PKR ekoran serangan bertali arus ke atas peribadinya oleh pemimpin-pemimpin parti".

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pada 8 November lepas mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding selain melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Dalam kenyataan di blognya, Zaid berkata pucuk pimpinan PKR tidak langsung cuba menangani pelbagai isu berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil walaupun isu-isu itu sering dibangkitkan.

Pada 9 November lepas, Zaid turut menggesa Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden parti Azmin Ali supaya berundur dan mendakwa kedua mereka adalah punca segala masalah dalam parti.

PKR dakwa Umno terdesak, tak rasa malu kerana terus ajak PAS

Posted: 15 Nov 2010 04:04 AM PST


PETALING JAYA – PKR menolak dakwaan bahawa parti itu membebankan PAS dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya menyifatkan Umno sebagai "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" apabila terus-menerus mengajak parti Islam itu agar bersamanya dalam Barisan Nasional (BN).

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar), tindakan Umno itu jelas menunjukkan mereka terdesak kerana sudah mula kehilangan kepercayaan rakyat, yang kini lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP.

"PAS sudah tutup kerjasama dengan Umno, tapi Umno secara terang masih lagi ajak PAS untuk menyertai BN.

"Umno macam hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. PAS sudah lama menutup kerjasama perpaduan antara Umno dan PAS.

"Ini jelas menunjukkan betapa terdesaknya Umno untuk mendapatkan sokongan PAS. Lagipun kepimpinan PAS telah bersepakat untuk tutup isu kerjasama perpaduan dengan Umno," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini petang ini.

Malah, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kerjasama antara semua parti komponen Pakatan Rakyat begitu kuat kerana masing-masing berpegang pada prinsip yang sama.

"PAS dah tolak, Umno masih lagi nak minang PAS, jadi saya minta supaya Umno tidak lagi mengajak PAS untuk menyertai BN.

"Sekarang terbukti PAS lebih baik bersama Pakatan Rakyat, kerjasama PAS, PKR dan DAP berpegang kepada prinsip.

"Kerjasama yang berterusan ini kuat dan kita akan sentiasa berusaha untuk memperkukuhkannya," katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan terus mengajak PAS agar bersama parti teras BN itu daripada hanya bercita-cita mahu menggantikannya atau memintanya supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah Umno juga mendakwa kedudukan PAS akan lebih baik jika komponen Pakatan Rakyat itu bersama BN daripada terus berganding dengan PKR dan DAP.

"PKR dan DAP itu hanya membebankan PAS.

"PAS akan lebih baik bersama Umno-BN bukan bersama PKR dan DAP yang tidak sehaluan dengan PAS," kata Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kelmarin Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Umno perlu bersikap terbuka dalam menerima kekalahan dalam pilihan raya, bukan dengan berusaha mencari taktik untuk menang dan bertindak macam di Perak tahun lalu.

"Saya minta Umno undur diri secara terhormat sekiranya kalah, mengaku kalah sahaja. Jangan nak cari jalan menang. Macam di Perak dulu, sudah kalah terima sahajalah, begitu juga dengan undi Orang Asli.

"Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah.

"Kita tahu Umno ada masalah tapi masih cuba nak tutup tapi akhirnya akan terdedah juga," kata beliau.

Saifuddin juga menyokong tindakan PAS yang menggunakan strategi "PAS Sedia Ganti Umno" kerana berpendapat parti Islam itu layak untuk bersaing seterusnya menggantikan Umno sebagai sebuah parti Melayu.

"Ini adalah strategi terbaru yang digunakan PAS, sebagai sebuah parti Melayu dan Islam PAS boleh menggantikan Umno yang juga parti memperjuangkan orang Melayu.

"Justeru saya melihat dalam landskap politik sekarang, PAS boleh menggantikan Umno," katanya.

Azmin selesa muncul timbalan presiden baru, Zaid sah keluar PKR

Posted: 15 Nov 2010 03:57 AM PST

TERKINI

PETALING JAYA - Naib Presiden PKR Azmin Ali sudah hampir pasti untuk mengambil alih jawatan timbalan presiden dengan memperoleh majoriti 11,350 undi selepas lapan hari proses pengundian pemilihan pusat setakat semalam.

Kedudukan rasmi Azmin itu diumumkan ketika Datuk Zaid Ibrahim pula mengesahkan beliau akan keluar PKR.

Azmin (gambar) akan menggantikan Senator Dr Syed Husin Ali yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Pada sidang media di sini petang ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Azmin memperoleh 14,751 undi manakala pesaingnya Mustaffa Kamil Ayub, seorang lagi naib presiden, menerima 3,401 undi daripada 165 cabang yang telah dikira pengundian.

Azmin akan mengambil alih jawatan timbalan presiden menerusi pemilihan pusat yang julung kali dilangsungkan secara langsung.

Awalnya, jawatan timbalan presiden menyaksikan saingan tiga penjuru antara Zaid, Azmin dan Mustaffa.

Bagaimanapun persaingan jawatan itu berubah menjadi pertarungan antara Azmin dan Mustaffa selepas Zaid menarik diri daripada bertanding, Isnin lalu atas alasan kecacatan dan kepincangan dalam proses pemilihan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, Zaid yang juga bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan mengesahkan beliau akan meninggalkan PKR, tetapi belum mengemukakan notis rasmi berhubung keputusannya kepada ibu pejabat parti.

"Benar saya akan keluar parti, tetapi saya belum mengemukakan (notis) keluar daripada parti secara rasmi.

"Saya akan membuat penjelasan (susulan) menerusi kenyataan akhbar Jumaat ini," kata Zaid yang menyertai PKR pertengahan tahun lalu.

Zaid bertanding mewakili PKR pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu.

Beliau mendahului persaingan dua hari pertama tetapi dipotong oleh Azmin bermula hari ketiga.

Kedudukan Azmin semakin selesa selepas pengundian masuk hari keempat dengan memperoleh undi terbanyak dari Sabah.

Ditanya mengenai kedudukan Zaid, Saifuddin berkata, keputusan bekas menteri kerajaan pusat itu perlu dihormati, tetapi tindakannya tidak akan membawa impak negatif kepada parti.

"Zaid sudah buat keputusan, kita menghormati keputusan tersebut. Ia tidak ada impak negatif kepada parti apabila beliau keluar parti," kata Saifuddin sambil menambah, "saya doakan yang terbaik kepada beliau".

"PKR menyertai politik pada 1999 dan kita dapat sokongan 789,000 pengundi, pada 2004 kita dapat sokongan lebih 440,000 pengundi dan pada pilihan raya 2008 kita dapat 1.5 juta sokongan pengundi.

"Jadi rekod kita dah menunjukkan dengan atau tanpa Zaid, rekod kita dah buktikan," kata beliau lagi.

Minggu lalu, Azmin meminta Zaid meneliti semula sebarang hasrat untuk menubuhkan parti baru sekiranya beliau dipecat atau disingkirkan daripada parti itu.

Katanya cadangan itu diharap tidak akan berlaku kerana mengikut fahamannya, Zaid menyertai PKR dengan semangat untuk bersama-sama dengan pimpinan dan anggota PKR bagi meneruskan agenda reformasi serta melakukan perubahan.

Zaid tidak menolak kemungkinan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada PKR kerana membuat saranan supaya penasihat parti itu Datuk Anwar Ibrahim supaya berundur.

Mengenai tindakan yang bakal dihadapi Zaid berikutan kenyataannya itu, Azmin berkata perkara itu akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk menentukan bentuk tindakan kepada mana-mana anggota PKR yang telah melakukan kesalahan berdasarkan perlembagaan dan peraturan parti.

"Jawatankuasa disiplin kena buat cadangan pada biro politik dan majlis pimpinan pusat untuk diputuskan dan setakat hari ini kita belum terima sebarang cadangan daripada jawatankuasa disiplin. Kita akan teliti sebaik sahaja kita terima," katanya.

Pada 8 November lalu, Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan juga melepaskan semua jawatan dalam parti itu dengan alasan "terdapat penipuan dalam pemilihan".

Azmin merupakan antara pemimpin yang berada dalam PKR sejak ia ditubuhkan.

Sebanyak 57 cabang lagi akan mengadakan pemilihan pusat hujung minggu ini sebelum menuju ke arah kongres tahunan bermula 26 hingga 28 November.

Yayasan Selangor nafi dakwaan seleweng

Posted: 15 Nov 2010 03:09 AM PST

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Peruntukan RM179,000 bagi menjayakan Pertandingan Memancing sempena Sambutan Ulang Tahun Ke 40 Tahun Yayasan Selangor tidak termasuk dalam kos majlis makan malam.

Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki sebaliknya berkata, jumlah tersebut sememangnya sudah diperuntukkan bagi menjayakan program yang diadakan di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Menurutnya, program yang juga diadakan bagi meraikan majlis sambutan untuk mengeratkan silaturahim antara sesama kakitangan yayasan dan juga rakyat Selangor.

"Bersempena sambutan ini, yayasan mengadakan program seperti ini untuk mempromosikan yayasan selain eratkan hubungan antara semua.

"Ini kerana, berdasarkan tinjauan kami, ramai yang tidak tahu mengenai Yayasan Selangor, tidak tahu di mana letaknya yayasan dan sebagainya. Jadi, kita lakukan ini bagi mendekatkan yayasan dengan masyarakat," katanya.

Ilham berkata, pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan 200 kakitangan selain meningkatkan kualiti kerja masing-masing ke arah yang lebih baik.

UMNO tidak layak cakap :Faekah

Posted: 15 Nov 2010 03:05 AM PST

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – UMNO tidak layak bercakap cara pengurusan kewangan, kebertanggungjawaban dan pembaziran dalam Yayasan Selangor.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata,Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil alih yayasan dari kerajaan terdahulu yang tidak diaudit sejak 2005.

Menurutnya, masalah tersebut berjaya diselesaikan selepas Abdul Khalid mengarahkan kewangan yayasan tersebut diaudit dan dikemas kini.

Kalau hendak cakap mengenai cara mengurus kewangan, UMNO tidak layak bercakap mengenainya kerana yayasan tidak di audit sejak 2005. Tidak tahu ke mana keluar masuk duit yayasan. Kami dapati belanja lebih banyak dari yang masuk.

"Apabila Tan Sri masuk Selangor, barulah diaudit dan dapat diselesaikan dan tahun ini baru berjaya mengaudit dari tahun 2005 sehingga 2009 tetapi tahun 2010 berakhir lagi untuk diaudit. Kita kena bersihkan segala saki baki UMNO," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang menyifatkan Abdul Khalid tidak tahu mentadbir dan mengurus yayasan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan matlamat sebenar Noh Omar mengatakan Abdul Khalid biadab kerana menggunakan perkataan 'beliau' dan 'dia' kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kalau beliau berniat hendak memberikan teguran membina, kami menerima teguran itu dengan baik.

Tetapi dalam keadaan sekarang, beliau dilihat seperti menangguk di air keruh, seolah-olah cuba mewujudkan ketegangan di antara Kerajaan Selangor dengan istana," katanya.

Noh semalam menyifatkan Abdul Khalid sebagai biadab apabila menggunakan 'beliau' dan 'dia' kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataannya di sebuah televisyen swasta, malam kelmarin.

Menurutnya, sebagai rakyat Selangor, amat menyedihkan dan dukacita apabila seorang berbangsa Melayu malah merupakan menteri besar menggunakan bahasa tersebut kepada Sultan Sharafuddin.

"Bagaimana seorang MB, menggunakan perkataan 'beliau' dan 'dia' kepada Tuanku? Ini akibat terlampau lama berkawan dengan DAP,"katanya.

PKFZ: Perbicaraan ditangguh, tunggu kes Liong Sik selesai dahulu

Posted: 15 Nov 2010 03:01 AM PST

SELANGOR KINI

SHAH ALAM . – Kes Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Phang Oi Choo yang didakwa melakukan pecah amanah dalam skandal membabitkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini selepas perbicaraan kes Tun Ling Liong Sik selesai.

Hakim Asmadi Hussain memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan bersetuju agar perbicaraan ditangguh bagi memberi laluan kepada kes bekas Menteri Pengangkutan itu yang didakwa atas tuduhan menipu kerajaan.

Beliau yang membenarkan permohonan penangguhan oleh pihak pembelaan akan mendengar kes itu tanpa menunggu proses rayuan Liong Sik selesai.

Posted: 15 Nov 2010 02:57 AM PST

SELANGOR KINI


SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengambil langkah drastik mangambil alih semua aktiviti Selangor Fruit Valley (SPV) daripada pengurusan Oil Palm Industries Corporation Sdn Bhd (SOPIC) dan kakitangan syarikat ekoran pengurusan projek tidak memuaskan.

Exco Pembangunan Pertanian, Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaacob Sapari memberitahu tanah seluas 820 daripada 1,000 hektar itu telah diambilalih pengurusannya pada 2 Januari lalu oleh PKPS dalam usaha menjadikan SPV sebagai pusat tanaman yang mengembailkan pulangan yang lebih maksimum.

"Operasi SPV pada masa ini dikendalikan oleh pasukan yang ditempatkan oleh pengurusan yang ditempatkan di dalam ladang dan bukan lagi 'remote control' dari Shah Alam"

Tambahnya lagi,penekanan pengurusan baru ini adalah 'efficiency' dengan kos pengeluaran yang lebih rendah dan peningkatan tahap pengeluaran.

Ekoran dari itu,PKPS mengambil inisiatif menanam tanaman buah-buahan tempatan seperti durian,manggis dan kelapa pandan dalam usaha meningkatkan variasi tanaman yang ada di SPV

"Tanaman yang tidak 'viable' seperti dragon fruit dan kopi digantikan dengan tanaman tembikai."

"Pada masa yang sama PKPS bercadang mewujudkan Pusat Latihan Pertanian dan Resort bagi mangalakkan pelawat mengunjugi SPV sekaligus menyokong program pelancongan yang dikendalikan oleh Tourism Selangor," katanya.

Gelombang banjir Pahang bermula

Posted: 15 Nov 2010 02:52 AM PST

SINAR HARIAN ONLINE

LIPIS - Hujan lebat yang melanda bermula 6 petang kelmarin hingga ke jam 6 pagi semalam mengakibatkan beberapa kampung kecil di sekitar Kuala Medang, Kuala Serau, Tanjung Gahai dan Kuala Koyan ditenggelami air.

Tinjauan Sinar Harian pagi semalam di beberapa kampung itu juga mendapati terdapat beberapa jalan darat yang terputus perhubungan sehingga mengakibatkan penduduk terpaksa menaiki bot untuk pergi ke sesuatu tempat.

Selain itu, terdapat juga beberapa rumah penduduk dan deretan kedai berhampiran dengan Sungai Jelai telah ditenggelami air hingga mengakibatkan mereka terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pihaknya telah bersiap sedia bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tiba bila-bila masa sahaja selepas Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

"Seperti yang diketahui Kuala Medang dan kampung berhampiran kerap dinaiki air kerana kawasan berkenaan berada di paras rendah serta berhampiran dengan Sungai Jelai.

"Kita juga telah menyiapkan peralatan seperti bot dan jaket keselamatan untuk menghadapi banjir tidak lama lagi. Selain itu, anggota polis juga telah bersiap sedia diturunkan bagi membantu memindahkan mangsa banjir di kawasan yang dikhuatiri mengalami bah teruk," katanya.

Abdul Razak berkata, penduduk di daerah ini dinasihatkan agar segera berpindah ke kawasan yang lebih selamat seperti pusat pemindahan mangsa banjir sekiranya rumah mereka ditenggelami air.

Sementara itu di BENTONG, hujan lebat yang bermula pada jam 8 hingga 11 malam kelmarin menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar daerah ini mengalami banjir kilat.

Antara kawasan terjejas ialah Pejabat Kesihatan Daerah Bentong, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Mun Repas dan beberapa rumah di 10 kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun berkata, pihaknya mendapat maklumat awal bahawa terdapat hampir 500 rumah terbabit dengan banjir kilat kali ini.

Menurutnya, banjir kilat itu agak serius disebabkan paras air di kebanyakan sungai di daerah ini naik mendadak berbanding paras biasa.

"Hujan lebat menyebabkan paras air di semua sungai naik menyebabkan kawasan rendah banjir. Namun, kawasan yang dinaiki air adalah kawasan yang biasa dilanda banjir kilat," katanya.

Khai Mun berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) diminta mengumpulkan maklumat lengkap berkaitan mangsa banjir kilat untuk memudahkan penyaluran bantuan.

Jalan raya jerlus semakin melebar risaukan 500 penduduk

Posted: 15 Nov 2010 02:45 AM PST

KENINGAU KINI

PENSIANGAN: Kerisauan kira-kira 500 penduduk yang tinggal di kawasan terpencil Pensiangan, mengenai jalanraya jerlus ini pernah disiarkan diakhbar, namun kerana terlepas pandang – jerlusan yang pada awalnya sebesar satu kaki lilitan, membesar sehingga tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan.

"Akibatnya penduduk terbeban, dan ia tidak sepatutnya berlaku," jelas Jimmy Minggin.

Jalan raya itu merupakan satu-satunya nadi ratusan penduduk yang tinggal di lima perkampungan terpencil, yang didominasi oleh suku kaum Murut.

Jimmy yang merupakan pengerusi PIBG Kg. Simotuoh berkata, jalanraya yang pada asalnya dibina oleh syarikat pembalakan itu tidak pernah diselanggara, menyebabkan beberapa bahagian sering rosak atau jerlus disebabkan hakisan.

Difahamkan pentadbir Kg. Simotuoh telah beberapa kali mengajukan surat aduan mengenai kerosakan jalan itu kepada pihak berwajib, namun sehingga sekarang belum ada sebarang reaksi positif daripada jabatan berkenaan.

"Mereka terlepas pandang nasib yang sedang menimpa rakyat yang tinggal dipelusuk seperti kami," jelasnya penduduk yang lain dan berkata, atau mungkinkah kewujudan penduduk di kawasan itu tidak tercatat dalam diari politik pemimpin.

Beberapa orang penduduk yang berjaya ditemui ketika rakaman gambar ini dilakukan meluahkan perasaan, mengenai situasi mereka yang begitu tertekan setiap kali melalui lokasi merbahaya itu.

"Jalanraya ini tambahan tekanan kepada rakyat miskin yang hidup di tengah-tengah hutan seperti kami," luah seorang penduduk Kg. Simotuoh.

Tekanan itu turut dikongsi oleh kira-kira 12 orang guru yang bertugas di Sk. Simotuoh, selain murid-murid sekolah yang tinggal di bahagian seberang jalanraya itu.

Nasib yang sama turut dialami oleh penduduk yang menghidapi penyakit kritikal, kerana terpaksa digendong oleh saudara yang lain untuk melepasi laluan bahaya itu.

Bagi penduduk yang memiliki kenderaan, harta benda itu terpaksa ditinggalkan di seberang jalan, dan terpaksa berjalan kira-kira setengah kilometer untuk sampai di kampung masing-masing.

Kesukaran itu turut dikongsi oleh guru-guru yang menjadikan pengalaman basah kuyup ketika dibasahi hujan dalam perjalanan, merupakan catatan pahit golongan itu ketika bertugas di pelusuk pedalaman.

"Beginilah nasib kami di sini," akui seorang guru yang enggan namanya dipetik.

Akhirnya... Datuk Zaid Bakal Tubuh Parti Baru?

Posted: 15 Nov 2010 02:38 AM PST

SEDAKA SEJAHTERA

Seminggu selepas menarik diri daripada pertandingan jawatan timbalan presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau telah bersedia meninggalkan parti itu kerana sudah meluat dengan pemimpinnya.

NONE"Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan perkara buruk atau yang tidak betul dalam parti supaya orang yang tertpilih itu akan dilantik mengisi jawatan tertinggi.

"Saya benci untuk mengalah kerana akan dilabel sebagai orang yang mudah berputus asa. Saya lebih rela (ketua umum PKR) Anwar (Ibrahim) pecat saya.

"Tetapi jika mereka tidak pecat saya, sudah tentu saya akan meninggalkan parti tidak lama lagi," katanya kepada portal berita, Free Malaysia Today yang dimilikinya.

Menurut Zaid, pengumuman rasmi akan dibuatnya sebelum kongres kebangsaan PKR yang dijadualkan pada hujung bulan ini.

Beliau dijangka akan berehat seketika bagi mengelakkan segala tumpuan sekarang. Bekas menteri di jabatan perdana itu juga tidak menolak kemungkinan membentuk parti baru.

azmin aliAdalah dipercayai bidasan terbaru, naib presiden PKR, Azmin Ali pada Jumaat lalu ada berkaitan dengan keputusan Zaid untuk meninggalkan parti itu.

Rosakkan reformasi

Berucap pada penyokongnya di sebuah ceramah di Shah Alam, Azmin berkata zaid tidak boleh dibiarkan "merosakkan perjuangan reformasi".

"Jangan benarkan calon yang baru menyertai parti setahun lalu cuba merosakkan perjuangan 12 tahun kita," Azmin dilaporkan berkata.

Tanpa menamakan Zaid dalam bidasannya, Azmin berkata pemimpin berkenaan tidak pernah menyertai protes jalanan dan belum pernah ditangkap dan justeru, tidak akan memahami apa erti reformasi sebenar.

azlanDalam perkembangan berkaitan, The Star dalam laporannya hari ini mendakwa Zaid telah mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR.

"Saya sedari hari-hari saya semakin singkat kerana pemimpin parti tidak berhenti-henti membuat serangan peribadi ke atas saya.

"Saya berundur kerana mahu menjauhkan diri saya daripada penipu dan pembohong. Saya tidak lagi mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menaburkan fitnah dan sanggup menipu semata-mata untuk tujuan peribadi mereka," katanya kepada akhbar itu.

Zaid, yang menyertai PKR pada Jun 2009 selepas meninggalkan Umno berkata beliau akan bercuti seketika untuk menjauhkan diri daripada semua tumpuan ketika ini.

"Saya bukan membenci parti tetapi saya meluat dengan pemimpin yang bermasalah di dalam parti," katanya.

Bekas menteri kabinet itu menarik diri daripada pemilihan jawatan timbalan presiden PKR minggu dengan alasan kepimpinan parti gagal menangani dakwaan manipulasi dan penyelewengan dalam sistem pemilihan berkenaan.

Salah petik?

Beliau juga pada sidang akhbarnya itu membidas pemimpin PKR, termasuk ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, beliau juga mencadangkan Anwar supaya berundur kerana berpendapat dia sebagai punca masalah di PKR.

NONEDalam wawancaranya, dengan beberapa akhbar pro-Umno, semalam adalah hampir pasti bahawa Zaid akan meninggalkan PKR dan menubuhkan partinya sendiri.

Malah, Zaid pernah mengumumkan pada dialognya di Kedah bahawa beliau akan menubuhkan "Keadilan baru" jika dipecat dari PKR.

Bagimanapun, menurut sumber yang rapat dengan Zaid, kemungkinan besar ahli politik yang 'maverick' itu disalah petik bahawa beliau telah meninggalkan parti itu.

Ketika dihubungi pagi ini, sumber itu berkata Zaid akan membuat penjelasan hari ini di blognya.

Zaid kini dilaporkan berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi untuk sebarang ulasan.

SABAH NEGERI TERMISKIN DI DUNIA?

Posted: 15 Nov 2010 02:35 AM PST


Oleh: JACKSON LU

MASALAH BANJIR di kawasan Tenom dan Kemabong nampaknya tidak dapat dibendung lagi meskipun sebelum ini terdapat suara suara pemimpin BN yang berminat untuk mencari jalan penyelesaiannya supaya 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan tebing kedua-dua batang sungai tidak akan terus terseksa oleh masalah banjir yang berlaku setiap tahun.

Malahan, Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Haji Aman sendiri pernah mengumumkan semasa lawatan beliau ke Beaufort sekitar tahun 2008 bahawa beliau telah menemui kaedah yang terbaik untuk mengatasi banjir dengan bantuan Konsultan dari luar Negara namun persoalannya bilakah cadangan itu diimplementasikan atau rakyat terpaksa mengharungi beberapa siri banjir lagi.

Rakyat sudah muak dengan karenah banjir yang telah banyak mengukir seribu janji termasuk cadangan mengorek dan mendalamkan sungai Padas dan Pegalan namun cadangan itu bagaikan tenggelam ke dasar sungai bersama lumpur mengharapkan ia akan timbul menjadi emas sebagai simbolik keyakinan namun harapan itu menjadi sia- sia belaka.

Daerah Tenom yang sudah kaku dan lesu dari aspek ekonominya kini sudah tidak punya apa apa untuk ditonjolkan lagi kerana pelancong asing sudah termaklum menerusi ICT yang mencatat pelbagai kemundurannya termasuk destinasi pelancongan dan pusat riadah yang tiada perubahan yang lebih sinonim dengan perkataan 'statik'.

Sesiapa pun pelancong yang ingin menikmati suatu suasana kedamaian, keindahan alam semulajadi pasti memilih kategori itu sebagai keutamaan kunjungan mereka dan sudah tentulah daerah yang memiliki ciri ciri itu seperti kawasan pedalaman khususnya Tenom dan Kemabong sepatutnya lebih bersedia kearah itu untuk menyambut tetamu yang datangnya daripada luar.

Sebaliknya bukanlah membawa mereka (pelancong) meredah banjir yang berbau lumpur sambil dihiasai nyamuk dan agas disepanjang perjalanan. Manakala perjalanan keretapi kira-kira 40 minit ke Pangi-Rayoh untuk ke destinasi riadah 'white water rafting' selepas itu masing-masing mengalami sakit badan dan pinggang kerana landasan keretapi belum siap-siap selepas kerja-kerja menaiktaraf yang kini sudah memakan masa lebih tiga tahun. Di manakah letaknya NKRA dalam soal itu?

Mungkin juga ada kebenaran laporan sebuah media yang memaparkan kononnya Sabah salah sebuah negeri yang termiskin di dunia berdasarkan fakta sebenar sepertimana apa yang berlaku di Tenom dan Kemabong setakat ini. Agak bernasib baik jika pelapor media itu sekadar melakukan andaian mengikut pandangan mata dan bukan melakukan 'research' secara total yang benar-benar mengesahkan kedudukan yang sebenarnya.

Siapa yang harus dipersalahkan? Tepuk dada tanya selera! Pemimpin, Kerajaan dan Rakyat mempunyai tanggungjawab bersama dalam menentukan mundur atau majunya sesebuah kerajaan yang disokong dan dimandatkan Rakyat menerusi proses Demokrasi.

Saman fitnah RM10 juta Samy Vellu dibatal

Posted: 15 Nov 2010 02:34 AM PST

BERNAMA

SHAH ALAM . - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman fitnah RM10 juta yang dibawa Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu ke atas bekas Ketua Pemuda parti S. Vigneswaran dan tiga yang lain berhubung sebuah artikel yang didakwa memfitnahnya.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu di dalam kamar, membenarkan permohonan Vigneswaran dan tiga yang lain untuk membatalkan saman Samy Vellu ke atas mereka.

Peguam Vigneswaran, A. Vasanthi memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga mengarahkan Samy Vellu membayar kos guaman RM5,000 kepada setiap defendan iaitu Vigneswaran, editor Malaysia Nanban, M. Maryanandy; penerbit akhbar Tamil Penerbitan Sahabat (M) Sdn. Bhd. dan pencetak Aslita Sdn. Bhd.

Pada 22 Februari tahun ini, Vigneswaran dan tiga yang lain memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan bahawa Samy Vellu telah secara sengaja tidak meletakkan kuasa tindakan bagi melambat-lambatkan perbicaraan.

60 peratus rakyat Malaysia gemuk - Menteri

Posted: 15 Nov 2010 02:33 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR . - Tiga puluh peratus penduduk di negara ini mempunyai berat badan berlebihan manakala 30 peratus lagi obes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, ia merangkumi semua peringkat umur, manakala jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan pula menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

"Kita perlu lihat kesihatan badan tu sebagai sesuatu yang penting kerana ia adalah pintu masuk kepada segala jenis penyakit yang berpunca daripada cara pemakanan dan gaya hidup yang kurang sihat.

"Fenomena ini membimbangkan kerana ia secara langsung berkaitan dengan peningkatan risiko penyakit seperti diabetes, sakit jantung, buah pinggang, darah tinggi, barah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital 2010 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Tiong Lai menggesa rakyat supaya mengamalkan pemakanan yang seimbang selain mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal termasuk bersenam, berjoging dan bersukan.

Adun Kerdau Kembali Tidak Stabil

Posted: 14 Nov 2010 03:53 PM PST

Oleh Bernama

KUANTAN - Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kawasan Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang sebelum ini dilaporkan kritikal selepas mengalami masalah buah pinggang dan jantung, sekali lagi dimasukkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS) Temerloh kerana masalah tekanan darah tidak stabil.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengesahkan perkara itu berkata Zaharuddin dirawat di hospital itu sejak dua minggu lepas, bagaimanapun keadaannya stabil dan tidak membimbangkan dipetik Bernama.

Beliau berkata mesyuarat Perhubungan Umno Pahang malam tadi memutuskan supaya Anggota Parlimen Kuala Krau yang juga Ketua bahagian Umno Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said mengambil alih tugas menyelaras DUN Kerdau.

"Beliau (Ismail) akan dibantu Penasihat Agama kepada Menteri Besar yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Mohamad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa IKIP, disini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai keadaan kesihatan Zaharuddin.

Zaharuddin, 63, sebelum ini pernah menerima rawatan selama lebih dua bulandi Institut Jantung Negara kerana komplikasi buah pinggang dan jantung selepas menjalani pembedahan ulser usus di HSAH Mei lepas.

Aktiviti perhubungan awam PKNS pula dibekukan

Posted: 14 Nov 2010 03:46 PM PST

MALAYSIA KINI


Ekoran dakwaan salah guna kuasa, termasuk menaja jamuan majlis perkahwinan angkasawan negara, kerajaan Selangor membekukan semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam, Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pembekuan itu berkuatkuasa sehingga laporan penuh audit siap, dijangka akhir bulan ini.

"Dengan keputusan ini, Jabatan Perhubungan Awam PKNS diarah supaya melaporkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum mengadakan sebarang aktiviti termasuk membuat keputusan-keputusan penting.

"Langkah ini untuk memastikan setiap aktiviti akan dipertimbangkan secara teliti dari aspek kepentingan, keperluan dan belanjawan sebelum dilaksanakan," katanya.

Menurut Khalid, jabatan itu dijangka berjalan seperti biasa sebaik laporan audit diterima dan keputusan mengenainya diumumkan.

Pada 10 November lalu, Khalid menubuhkan jawatankuasa audit profesional untuk menyiasat pendedahan ADUN Hulu Klang Saari Sungib bahawa wujud salah guna kuasa dalam penajaan majlis perkahwinan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Khalid yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah PKNS turut tidak menolak kemungkinan bahawa kes itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat).

Media melaporkan, jumlah tajaan oleh anak syarikat kerajaan negeri itu sebanyak RM520,000.

Tiada ulasan: