Selasa, 2 November 2010

.

.


Menyisih Fajar Menanti Menteri

Posted: 01 Nov 2010 04:20 PM PDT

Piala Malaysia: Kenapa Memberi Bekas Kepada Sultan?

DUA orang besar KAFA, Presiden Annuar Musa dan Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim ketika mengulas megenai kemenangan Kelantan menggondol piala Malaysia, mereka mengatakan piala itu adalah hadiah kepada Sultan Mohamad Ke V bersempena dengan pemashyuran baginda.

Kata mereka piala itu akan dibawa terus ke istana Kelantan untuk di persembahkan kepada Sultan. Semua rakyat bersetuju dan berbesar hati atas cadangan berkenaan. Cadangan itu menandakan kasih sekalian rakyat kepada Tuanku Sultan yang berhamba diri dengan rakyat itu.

Sebagai sultan yang baru dimashyurkan molek benarlah piala kemenangan itu dihadiahkan kepada baginda. Baginda tentu gembira dan berbesar hati atas kejayaan pasukan negerinya itu.

Walaupun baginda tidak berkehendak demikian, tetapi persembahan itu adalah sebaik-baik persembahan. Apa lagi itulah pertama kali Kelantan dapat membawa balik piala keagungan bolasepak negara ini. Selepas sultan memegang dan melihatnya, barulah ia dipamerkan kepada rakyat jelata dan para pembesar yang lainnya. Pembesar yang perlu diutamakan ialah Tok Guru Nik Aziz selalu MB Kelantan.

Itu yang sepatutnya berlaku. Bagaimana pun agak malang dan mendukacitakan sedikit. Apa yang dihasratkan oleh Annuar Musa itu tidak menjadi kenyataan. Rancangan awal telah tersasar dan melencung. Hasrat murni untuk membawa terus piala itu ke istana Kelantan bagi dikongsikan kegembiraan dengan sultan batal, arahnya bertukar haluan. Piala itu sebaliknya di bawa ke Galas terlebih dahulu kemudian baru akan dipersembahkan kepada sultan. Dalam kata mudah diserahkan kepada Orang Asli dulu baru diberikan kepada Sultan.

Memang rakyat Gua Musang juga berhak untuk melihat dan memegang piala berkenaan. Penduduk Galas juga ramai yang ke stadium termasuk Orang Alis. Tetapi dirasakan tidak kena kalau piala itu di bawa ke Galas kemudian baru hendak diserahkan kepada Sultan Mohamamd Ke V. Apakah tindakan itu seumpama memberi bekas kepada sultan?

Memberi sesuatu yang buruk atau bekas kepada sultan satu penghinaan dalam tamadun Melayu. Ia mengaibkan sultan, seolah-olah sultan di belakangkan dan orang lain diutamakan. Walaupun mungkin Annuar tidak berniat begitu tetapi apa yang berlaku memberi gambaran bahawa Sultan di belakangnya apabila ianya dibawa sesudah piala itu diusung dan digosok oleh orang lain.

Sepatutnya bawa piala itu ke istana dan persembahkan dulu kepada sultan kemudian baru di bawa ke Gua Musang. Para pemain bola terus ke Gua Musang dari Kuala Lumpur. Tetapi piala itu bawa dengan kapal terbang. Selepas ia dipersembahkan kepada Tuanku barulah ia dibawa ke Gua Musang. Itu sepatutnya berlaku demikian.

Apabila piala itu dibawa ke Gua Musang, dijulang oleh Tengku Razaleigh Hamzah, digosok oleh Mustapa Mohamad dan juga calon Galas, Abdul Aziz Yusuf baru ia hendak dipersembahkan kepada sultan, perbuatan sesuatu yang menghinakan. Ia seperti memberi bekas kepada Tuanku. Kalau piala itu ibarat kek, ianya sudah disentuh dan sudah menjadi 'lembek lotek' dan sudah basi baru diberikan kepada sultan. Apakah dalam minda mereka sultan layak menerima benda basi?

Dalam adat dan budaya Melayu sultan diutamakan sebagai tanda kasih dan sayang kepada baginda. Sesuai dengan kedudukannya juga sultan berhak menerima pemberian dan persembahan begitu. Jarang orang memberi sesuatu yang huduh atau bekas kepada sultan. Kalau ikut riwayat atau kisah sultan-sultan zaman dahulu pemberian bekas kepada baginda menyebabkan orang itu dianggap sebagai penderhaka dan dihalau dari mendiam negeri berkenaan.

Ingatkah kisah Sultan Mahmod mangkat di Julang? Baginda sangat murka apabila buah nangka yang dipersembahkan kepadanya telah diambil seulas untuk diberi kepada wanita mengandung. Apa jadi dengan wanita berkenaan? Walaupun Sultan Mahmod akhirnya dibunuh ketika berada di atas tandu, tetapi salahnya dalam hal ini ialah orang yang memberi buah nangka kepada perempuan yang mengandung itu. Beliau tidak menjunjung adat ke bawah duli dan sanggup melakukan penghinaan kepada sultan. Natijah dari perbuatan tidak beradat itu menyebabkan timbul celaka kepada orang lain dan juga sultan.

Kalau diamat-amati apa dilakukan Annuar dan Mustapa Mohamad itu samalah dengan apa dilakukan oleh pemberian buah nangka kepada perempuan mengandung itu. Membawa piala itu ke Galas tidak menjadi kesalahan. Kalau piala itu berhenti setakat itu tidak mengapa. Tetapi kalau selepas itu dibawa ke istana untuk dipersembahkan kepada sultan, maka piala itu jadi seperti buah nangka yang telah diusik itu.

Umum tahu niat Annuar ialah untuk menggembira hati rakyat di Galas. Niatnya sama dengan pemberian seulas nangka itu kepada perempuan mengandung. Tetapi dalam niat yang suci itu perbuatan itu menyalahi adat dan tatabudaya Melayu dengan raja. Di sinilah salahnya kalau Annuar cuba menjadikan piala itu sebagai bahan kempen di Galas. Niat itu sudah lari dan tujuannnya juga sudah tidak kena.

Tetapi jika ditilik kepada sejarah hidup Annuar pula, perbuatan itu tidak pelik kerana sebelum ini pun beliau pernah menabalkan Sultan di bawah pokok ketapang. Sultan Annuar ialah Sultan Shahrul Nizam... !

Sukan adalah sukan yang tidak boleh dicampur aduk dengan sebarang unsur. Ia sesuatu yang murni. Sokongan rakyat Kelantan kepada pasukan Kelantan kerana mereka sokong atas semangat kesukananya. Tetapi Annuar jangan cuba menangguk di air keruh untuk mengambil sokongan rakyat itu untuk kepentingan politik dan partinya. Beliau tidak bolek gilap karat politiknya dengan politiknya dengan bola sepak. Bolasepak bukan brasor.

Kata Annuar Najib Razak banyak membantu Kafa. Saya tidak percaya kalau Najib Razak membantu pasukan Kelantan seperti mana Annuar dakwa itu. Kata-kata itu hanya untuk menjustifikasikan kenapa jersi Kelantan pakai 1 Malaysia saja. Meletakkan 1 Malaysia di jersi adalah helah Annuar untuk membodek hati Rosmah dan Najib sahaja. Yang membantu bolasepak Kelantan ialah kerajaan Kelantan bukannya Najib Razak. Annuar tidak perlu tusuk kalau dakwaan itu benar. Sebut berapa jumlah yang Najib berikan kepada Kafa?

Annuar ada cita-cita lain di sebalik pujian kepada Najib itu. Hubungan diplomatiknya dengan Najib tidak berapa sihat. Jadi beliau akan menggunakan apa saja kesempatan untuk memulihkan hubungan itu. Bolasepak adalah salah satu caranya. Tindakan itu umpama menembak burung dengan sebutir peluru. Di samping ingin menjalinkan semula hubungan diplomatik politik dengan Najib beliau mengharapkan Najib meluluskan pembinaan stadium di Kelantan.

Sepak terajang politik Annuar ini kena difahami.. Rakyat Kelantan jangan mudah tersimpul dalam manipulasi Annuar. Orang politik tetap licik dan lincah kandatipun di mana saja mereka bertapak.

Saya tidak tahu apakah Sultan Muhamad menerima perkenan untuk dibawa piala itu ke Istana. Kalau diambil kira atas kecacatan itu sukar untuk baginda menrimanya. Tetapi atas kerendahan budi baginda mungkin baginda akan memberi perkenan. Makanya dilain hari diingat kepada Annuar dan rakyat lain jangan memberi bekas kepada sultan kerana itu mengaibkan. Iya... mengaibkan. Kalau bijak batalkan saja hasrat untuk membawa piala itu kepada sultan agar sultan tidak menerima barang yang sudah menjadi bekas. [wm.kl.7:00 am 02/11/10]

Peristiwa Hari Ini

Posted: 01 Nov 2010 02:37 AM PDT

Soberi Keluar Umno Kerana Tidak Mahu Kecewa Dari Dalam

APABILA saya postingkan berita mengenai desas desus seorang tokoh Umno Kelantan akan keluar parti dengan menampilkan gambarnya dalam keadaan gelap, ramai orang bertanya dan tercari-cari siapakah gerangan orang itu. Ada yang membuat berbagai spekulasi mengenai tokoh berkenaan. Ada juga yang sudah dapat menekanya dengan tepat.

Beberapa nama disebut dan dikaitkan dengan rumours berkenaan. Kerana gambar yang ditampilkan itu gelap maka ramailah membuat andaian dalam gelap. Ada juga penjenguk membuat tuduhan ia sebagai spekulasi atau gimik saja. Tetapi tidak kurang juga yang menanti dan merasakan apa yang saya postingkan itu sebagai benar. Hari ini gambar itu saya terangkan.

Hari ini, tepat jam 10:45 pagi tadi apa yang dituliskan itu benar, seorang tokoh Umno Kelantan telah menghantar surat keluar dari parti berkenaan. Sang tokoh itu ialah Mohd Soberi Shafi dari Cawangan Kubang Mas, bahagian Ketereh Kelantan. Siapa yang tidak kenal Soberi? Beliau adalah seorang penggerak parti yang dikenali baik oleh kawan dan lawan. Seorang yang setia dan menjadi 'budak suruhan' kepada bekas Ketua Penerangan Malaysia, Tan Sri Hussein Ahmad.

Bagi mereka yang tidak 'berkenan' dengan Soberi menganggap pengumuman beliau hari ini tidak mengejutkan. Mungkin ada merasakan ia baik bagi membersihkan Umno dari orang sepertinya. Mereka menganggap Soberi adalah sampah di dalam mata, walaupun kecil tetapi kehadirannya menyebabkan mata untuk berkelip tidak selesa.

Makanya tindakan Soberi itu disambut sebagai orang mengantuk disorong bantal, terutama mereka yang dengki dengan beliau dan sudah lama mengasah golok untuk memancungnya terutama di kawasan Ketereh.

Tetapi sebaliknya bagi mereka yang mengenali dan tahu pengorbanan beliau di dalam parti berkenaan merasa terkedu dengan tindakan beliau itu. Bagi mereka tindakan Soberi itu merugikan Umno dan boleh menjejaskan tumpuan UBN di Galas.

Bagi mereka yang tahu menilai jasa dan baktinya akan merasakan Soberi memberi sumbangan besar kepada parti. Kalaupun jasanya tidak sebesar Tuanku Abdul Rahman atau Tun Razak rasanya dia lebih berjasa dan perananya lebih signifiken dalam Umno berbanding dengan orang lain sebaya dengannya.

Sebenarnya apa yang dilakukan Soberi selama beliau berada dalam Umno belum tentu sedia dipikul oleh oleh ahli yang lain. Soberi seorang yang setia kepada parti dan patuh kepada arahan ketua. Beliau bekerja dengan semangat tanpa mengharap apa-apa imbuhan dari parti. Baginya bekerja untuk parti dan tidak memikirkan apakah keuntungan peribadi dirinya.

Penglibatan atau jasa besar Soberi yang tidak diketahui ramai ialah semasa beliau berkawan dan bekerja dengan Hussein Ahmad. Beliau berkawan atau bekerja dengan Hussein sejak beliau belum aktif dalam Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, sekitar akhir tahun 70-an. Beliau bersama Hussein ketika Hussein menjadi Ketua Persatuan Penulis Kelantan. Kerja-kerja psywar Hussein banyak dibantu olehnya.

Semasa Umno diharamkan dalam tahun 1987 beliaulah orang yang menjaga dan mengawal fail Umno di Ibu Pejabat Umno di PWTC. Ketika itu beliau menjadi Pegawai Khas kepada Hussein Ahmad. Siapa yang mahu bersetia dengan Umno yang dalam keadaan krtikal semasa itu. Beliaulah satu-satu anak muda dari Kelantan yang menyerahkan batang tubuhnya demi Umno.

Selama Umno dalam keadaan kritikal itu beliau berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Hujung minggu beliau pulang ke Kelantan, manakala awal pagi Isnin beliau akan tercegak di Ibu Pejabat Umno. Tugas beliau di ibu pejabat itu nampak senang, hanya menjaga ibu pejabat Umno berkenaan. Tetapi ia mempunyai risiko besar kerana semua fail dan dokumen penting di ibu pejabat Umno itu dikawal olehnya. Tugas itu juga memerlukan orang yang benar ikhas dan setia.

Tugas itu mungkin kecil kepada sesetengah pemimpin Umno hari ini. Malahan baik Muhyiddin Yassin, Najib Razak, Zahid Hamidi hatta Anwar Ibrahim sendiri dan lain-lain tiak pun tahu akan tugas maha penting yang diamanahkan kepadanya. Tetapi sayang tugas dan tanggungjawab beliau itu seakan tidak pernah dikenang. Selepas saja Umno kembali pulih beliau dilupakan begitu saja.

Soberi bukan seorang mengejar kedudukan dan pengkat. Baginya pangkat dan kedudukan hanya kebetulan saja. Baginya yang penting berkhidmat kepada parti. Beliau bukan seorang oportunis yang menanti buah yang sudah ranum. Dia seorang pekerja yang rajin. Jika boleh diibaratkan beliau seperti seekor beruk yang kerjanya memanjat pokok kelapa tidak lebih dari itu. Tengkuknya dijerat tali dan dia akan naik bila disuruh naik dan akan turun bila disuruh turun. Beliau akan bekerja walaupun tidak diberi makan dan minum. Beliau tidak akan 'hingguk' selongen atau menerkam tuan walaupun lapar.

Tetapi kenapa beliau akhirnya keluar dari Umno? Kenapa hari ini tiba-tiba beliau menghingguk selongen? Seperti mana jelasnya dalam sidang akhbar siang tadi beliau kecewa dengan Umno. Kekecewaanya bukan kerana kalah dalam pertandingan atau tidak diberikan kekayaan seperti orang lain, tetapi kecewa kerana tiada perubahan di dalam Umno walaupun Presiden parti beriya mahukan perubahan.

"Saya mengambil keputusan ini kerana kecewa dengan amalan yang berlaku dalam Umno hari ini yang tidak bingkas kepada kehendak Presiden parti," katanya. Menurutnya presiden parti telah berusaha keras untuk merubahkan atau melakukan transformasi ke atas Umno termasuk menukar budaya kronisme dan nepitome tetapi nampaknya hanya sia-sia saja.

"Jadi biarlah saya keluar dari Umno kerana saya tidak mahu kecewa." katanya. soberi merujuk kekecewaan itu kerana usahanya untuk memperbaiki parti dinafikan ini termasuklah tidak memberi peranan sewajarnya kepada beliau untuk berkhidmat dengan parti.

Tindakan itu juga katanya berlaku kepada mereka yang lain. Manakala sikap pilih bulu terus diamalkan dalam Umno di mana budaya ini menyebabkan Umno masih kekal ditakuk lama.

Memahami apa yang tersendak di dalam hati Soberi itu, keputusan dibuat itu kerana sangat kesal dengan sikap tidak mahu berubah dikalangan pemimpin parti berkenaan. Di sini Soberi merasakan usaha presiden itu sia-sia saja kerana tidak diambut oleh ahli. Jadi keadaan itulah mengecewakannya dan menjadi antara sebab kenapa beliau merasakan tidak perlu lagi berada dalam parti yang tidak sedia untuk berubah.

Sepanjang menjadi ahli Umno Soberi juga telah memegang berbagai jawatan dari peringkat bawah hingga peringkat nasional. Antaranya ialah beliau pernah menjadi setiausaha kerja Pergerakan Pemuda Umno Kelantan (1980 - 1986), Ketua Pemuda Bahagian Peringat (Ketereh) 1993. Ahlijawatankuasa Umno Bahagian Ketereh (2005 - 2008), ahli Biro Antarabangsa Pegerakan Pemuda Umno Malaysia, AJK Biro Kemiskinan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan lain-lain.

Dalam tahun 1996 beliau diberi amanah oleh parti bertanding dikerusi Dun Kadak tetapi kalah.

Ditanya apakah tindakannya selas ini dan parti mana yang akan disertai, Soberi menjelaskan buat masa ini beliau belum memikirkannya lagi. Bagaimana pun sebagai seorang pejuang beliau tidak akan menolak akan meneruskan perjuangan. Sementara itu difahamkan tindakan beliau keluar Umno hari ini adalah permulaan kepada satu grand design kepada satu perubahan yang turut melibatkan Umno Kelantan.

Waaupun beliau cuba menafikannya, tetapi dari sumber dipercayai pertemuan beliau dengan sekurang-kurangnya tidak ketua bahagian Umno dan empat timbalan ketua bahagian Umno Kelantan di ibu negara beberapa hari lalu memberi erti dan natijah tersendiri ke atas apa yang diambil hari ini. Ada sumber mengatakan tindakan beliau meninggal Umno terilham selepas pertemuan berkenaan? [wm.kl. 4:00 pm 01/11/10]

Tiada ulasan: