Isnin, 1 November 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Azmin mendahului Zaid

Posted: 01 Nov 2010 04:19 AM PDT

Perangkaan rasmi terbaru daripada setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution menunjukkan naib presiden parti itu, Azmin Ali sedang mendahului dalam pemilihan timbalan presiden dengan mendapat 3,051.

Saifuddin memberitahu sidang akhbar di ibupejabat PKR di Petaling Jaya hari ini bahawa Datuk Zaid Ibrahim pula mendapati 2,529 undi manakala seorang lagi calon, Mustaffa Kamil Ayub memperolehi 1,149 undi.

~MK~

Chegubard mendahului Shamsul

Posted: 01 Nov 2010 04:18 AM PDT

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Badrul Hisham Shaharin mendahului Ketua Pemuda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dalam perebutan kerusi nombor satu dalam sayap itu dengan kelebihan 104 undi sahaja.

Berdasarkan keputusan rasmi daripada kesemua 68 cabang yang dimuatkan dalam laman web PKR, Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendapat 1,123 undi manakala Shamsul sebagai penyandang mendapat 1,029 undi.

Bagaimanapun, bagi kerusi timbalan, berlaku perkembangan menarik apabila regu Shamsul, Khairul Anwar Zainuddin mendapat 1,214 undi meninggalkan regu Badrul, Chang Lih Kang yang mendapat 833 undi.

Sementara itu, pemilihan bagi sayap Wanita PKR pula menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin terus di depan dengan undi sebanyak 1,160.

Ahli parlimen Ampang itu diekori Animah Ferrar dengan 408 undi dan Suraya Sudin dengan 403 undi. Manakala bagi timbalan ketua Wanita PKR pula, Asmah Abd Kadir mendapat 414 undi dan exco kerajaan Selangor Rodziah Ismail jauh mendahului dengan 1400 undi.

~MK~

Projek Mi Segera Menjelang PRK

Posted: 01 Nov 2010 04:17 AM PDT

Sebanyak RM16 juta diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bagi melaksanakan projek membesarkan Jalan Sibuga, yang kerap mendatangkan kerumitan kepada pengguna jalan raya itu, mulai tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga menteri pembangunan infrastruktur negeri, berkata berikutan rungutan penduduk kawasan itu yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri Sekong dalam kawasan parlimen Batu Sapi, beliau secara peribadi menghubungi Najib, yang juga menteri kewangan, pada jam 9.30 pagi tadi bagi meminta peruntukan untuk menaik taraf jalan sepanjang 2.75km itu.

"Perdana menteri terus meluluskan peruntukan RM16 juta dan meminta saya mengumumkannya hari ini.

"Kita akan membesarkan jalan laluan sehala itu kepada dua hala bagi mengatasi masalah kesesakan jalan yang sering berlaku di situ," katanya dalam satu sidang akhbar di Sandakan hari ini.

Menurut Pairin, jalan raya itu semakin sibuk dengan adanya lapan sekolah di sekitarnya, sebuah kompleks sukan, rumah warga tua, taman-taman perumahan dengan 5,000 unit rumah dan Institut Latihan Perindustrian.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah memberi peruntukan RM2.3 juta bagi kerja pembaikan dan penurapan 12 jalan kecil di sekitar Jalan Sibuga.

~Bernama~

Jambatan pun reput ada hati nak bina menara

Posted: 01 Nov 2010 04:14 AM PDT

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mahu mendirikan Menara Warisan 100 tingkat yang menelan perbelanjaan RM 5 billion tetapi tidak mampu menyelenggarakan jambatan kecil dan usang di Kampung Gas, Sandakan, lapor TV Selangor.

"Apa yang ada dalam Bajet 2011 yang mengutamakan penduduk Batu Sapi. Yang difikirkan oleh Najib ialah mahu mendirikan menara 100 tingkat dan mengkayakan kroni mereka.

"Balak berpuluh bilion diambil tapi jambatan kecil usang di Kampung Gas untuk kegunaan rakyat miskin pun tidak terjaga. Tak guna punya kerajaan!" perli Anwar sambil disahut dengan laungan Reformasi oleh penyokongnya pada ceramah petang semalam.

Sebelum ini calon Pakatan Rakyat, Ansari Abdullah jatuh ke laut dua kali akibat keusangan jambatan di Batu Sapi. Kali terakhir beliau jatuh semasa mengggunakan jambatan itu di Kampung Gas.

Anwar berucap di hadapan lebih seribu penduduk Batu Sapi di Sanbay Hotel dekat Sandakan petang semalam dalam majlis Debat Perdana anjuran Pakatan Rakyat.

Katanya, kemenangan di kawasan parlimen P185 akan menghantar mesej yang amat jelas bahawa pengundi Sabah dan Sarawak bersama-sama rakyat Semenanjung menolak sepenuhnya kepimpinan Najib yang mewakili Umno-BN.

Beliau berkata jika kemenangan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di Sibu, Sarawak boleh dianggap sebagai kejutan kepada 'kubu besi' BN, kemampuan pengundi Batu Sapi memartabatkan calon PKR ke Parlimen 4 November ini menjadi pukulan kepada Umno-BN.

"Kita perlu ingat pada pilihan raya umum 2008 pengundi Semenanjung telah menolak Umno-BN dan undi popular yang Pakatan Rakyat perolehi ialah 51 peratus. BN hanya menang disebabkan undi Sabah dan Sarawak, sebab itu mereka label simpanan tetap.

"Pilihan raya Batu Sapi adalah rahmat Tuhan kepada rakyat Sabah, satu peluang kepada pengundi membuat gegaran di Parlimen, membawa isu-isu yang tidak mungkin diperjuangkan oleh wakil BN mahupun Sapp," kata Anwar.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata Pakatan Rakyat sekarang mampu berdepan dengan rakyat dengan pelbagai bukti dasar yang dilaksanakan oleh negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah serta Kelantan.

"Di Pulau Pinang semasa BN memerintah belanjawan sentiasa defisit tetapi dua setengah tahun sahaja Pakatan Rakyat memerintah rizab kerajaan negeri mencecah lebih RM1 bilion.

"Di Kedah pula selepas memerintah, rakyat menikmati pengurangan cukai sebanyak 30 peratus di kawasan bandar dan 70 peratus di luar bandar. Di Selangor rakyat bukan sahaja nikmati air percuma tapi skim khairiat kematian sebanyak RN2,500, untuk pelajar universiti RM1,000 dan macam-macam lagi," katanya.

Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat Sabah membuat perubahan dengan bersama-sama melakarkan laluan ke Putrajaya bagi mengubah senario politik perkauman dan kronisme yang menjadi budaya Umno-BN sejak 50 tahun.

Katanya, kemenangan Pakatan Rakyat di Batu Sapi dianggap penting kepada rakyat Sabah khususnya dalam usaha mendapat pembelaan sebenarnya apabila diabaikan oleh pimpinan BN sejak sekian lama meskipun negeri itu makmur dengan sumber asli dan alamnya.

Seramai 1,615 pengundi pos di P185 Batu Sapi akan membuang undi bermula hari ini.

~MK~

Siapa TPM atau Pemangku PM?

Posted: 01 Nov 2010 04:09 AM PDT

Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mewakili Perdana Menteri dalam majlis yang tidak boleh disertainya menimbulkan pelbagai persoalan kini apakah beliau adalah pemangku perdana menteri.

"Saya keliru. Jika PM tidak sihat, bukankah sepatutnya timbalan perdana menteri yang mewakili beliau dan kerajaan, dan bukan Rosmah? Atau dia (Rosmah) pemangku PM," kata Malik Imtiaz Sharwa seorang peguam terkenal dalam twitternya.

Semalam, Rosmah telah berucap mewakili PM di Karnival Deepavali 1Malaysia di Litle India dekat Brickfield.

Dalam majlis itu, Najib melalui teks ucapan yang dibacakan oleh isterinya berjanji akan membantu orang India di negara ini.

Najib telah didapati mempunyai tanda-tanda awal sakit chicken pox dan diminta berehat oleh doktor.

Menurut penasihat medianya, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, Najib juga diingatkan supaya mengelakkan dirinya daripada menghadiri semua majlis rasmi berikutan rawatan perubatan selepas terdapat simptom penyakit cacar itu.

Katanya, presiden Umno itu mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari.

"Setibanya di Subang (Selangor) hari ini, beliau menunjukkan ada tanda-tanda awal menghidapi penyakit cacar dan dengan segera mendapat rawatan. Oleh kerana ubat diberikan awal, Perdana Menteri menunjukkan respon yang baik," katanya sambil menambah doktor peribadi Najib menasihatkan Perdana Menteri berehat di kediaman dan mengelak daripada menghadiri semua majlis awam dan rasmi.

"Perdana Menteri memohon maaf atas segala kesulitan," kata Jalaludin.

~harakah~

Soberi Shafii sah keluar Umno

Posted: 01 Nov 2010 04:08 AM PDT

Selepas tepat 38 tahun menjadi ahli dan memegang pelbagai jawatan dalam Umno, Mohd Soberi Shafii menghantar surat memohon keluar dari parti itu. Permohonan itu dihantar kepada pejabat Umno dan dicop pengesahan menerimanya jam 10.45 pagi tadi.

Soberi membuat pengumuman keluar Umno dalam satu sidang media bersama rakan-rakannya di Hotel Istana, hari ini. Beliau menyifatkan, pemimpin Umno yang ada sekarang bukannya mementingkan parti lagi tetapi menjaga kepentingan diri sendiri dan kroni masing-masing.

"Umno khasnya Umno Kelantan lupakanlah khayalan masing-masing untuk menawan Kelantan bahkan kerusi (Umno) yang ada pun akan hilang dalam pilihan raya umum akan datang," kata Soberi yang pernah menjadi calon BN di Dun Kadok, Kelantan pada tahun 1995 lalu.

Beliau yang pernah menjadi Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda Umno Kelantan berkata, kekecewaan kepada para pemimpin Umno yang ada menjadi punca utama beliau mengambil keputusan keluar dari Umno.

"Bayangkan, saya tidak diberikan sebarang tugas untuk parti," katanya kepada wartawan dalam sidang media itu.

Soberi berkata, sikap berpuak-puak Umno khasnya di Kelantan akan menggagalakn segala visi dan misi baik yang dicanangkan oleh presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

"Sebab itulah, selepas seminggu perhimpunan agung, saya mengambil keputusan ini," katanya.

Soberi berkata, sikap pemimpin Umno yang berpuak-puak akan menggagalkan pelaksanaan segala ucapan Najib itu.

"Di Galas di atas bolehlah nampak bersatu tetapi siapa tahu apa yang berlaku di bawah sana. Saya yakin cantas mencantas berlaku," kata Soberi mengulas pilihan raya kecil Galas yang menunjukkan seolah-olah pemimpin Umno bersatu apabila Tengku Razaleigh dipilih sebagai pemimpin manakala Datuk Mustapha Mohamad sebagai timbalannya.

Soberi berkata, selepas berhenti beliau akan menjelajah seluruh Kelantan untuk berjumpa dengan rakan-rakan yang senasib dengan beliau.

"Mereka ramai di seluruh Kelantan. Saya akan himpunkan mereka kembali dan membentuk satu kuasa baru," kata Soberi. Bagaimanapun beliau nafi akan bersama dengan Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim ahli.

"Saya tidak akan bersama dia bahkan saya bukanpun ahli Perkasa," kata Soberi.

~harakah~

RM100 untuk majlis 1Malaysia di Galas

Posted: 01 Nov 2010 04:03 AM PDT

Penduduk sekitar Kampung Baru Cina di Gua Musang dilaporkan dibayar RM100 dan diberi sehelai kemeja-T untuk mengambil bahagian berhimpun untuk majlis 1Malaysia di kawasan perumahan mereka semalam.

Kebanyakan mereka dibayar untuk memakai kemeja-T dengan logo 1Malaysia di depan dan belakang serta dilihat berkeliaran di sekitar kawasan pilihan raya kecil Gasa di Gua Musang itu sejak beberapa hari lalu.

Kemuncaknya, semalam pada jam 3 petang, mereka berkumpul dan melaungkan slogan "1Malaysia" dan berarak sekitar kawasan berkenaan. Habuannya, selain wang tunai, mereka juga dibekalkan dengan sebuah beg yang mengandungi beberapa tin susu serta Milo.

Selain itu, mereka juga menikmati jamuan makan malam yang disediakan oleh pihak penganjur yang menamakan diri mereka sebagai 'NGO 1Malaysia' yang ditugaskan menyebarkan kempen perpaduan kerajaan, tetapi menafikan mereka berkempen untuk mana-mana parti politik.

"Antara 1,000 hingga 2,000 orang tiba untuk mendaftar (untuk majlis perakan itu). Ada juga yang bukan penduduk tempatan tetapi orang luar. Pihak penganjur hanya minta nama dan beberapa butiran lain," kata seorang penduduk yang turut mengambil bahagian selepas jamuan makan malam berkenaan.

Dakwanya, ada juga penduduk yang mengambil kesempatan untuk mendaftar lebih daripada sekali dan oleh kerana majlis ini membabitkan ramai orang, makan tidak mungkin bagi penganjur mengecam mereka.

Pengerusi Dewan Penyokong PAS Gua Musang, Hua Pang Chow, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata dia dimaklumkan mengenainya oleh penduduk tempatan.

"Malah, saya alu-alukan penduduk supaya pergi dan ambil wang serta barangan. Yang penting, kita tetap undi PAS," katanya.

Sia Teck Keong, penyelaras bagi NGO 1Malaysia di Gua Musang, ketika dihubungi berkata mereka berada di Galas untuk memupuk kempen perpaduan. Beliau menafikan mereka yang terlibat dibayar tetapi mengakui penduduk diberikan barangan dan kemeja-T.

"Kita lakukan ini di seluruh Malaysia dan secara kebetulan pilihan raya kecil diadakan di sini. Kita akan anjurkan sekali lagi (hari ini), pada jam 11 pagi," katanya.

Ditanya sumber kewangan yang diperolehi bagi membeli barangan untuk diedarkan kepada penduduk, Sia berkata, ia hasil derma usahawan dan peniaga yang menyokong usaha kumpulan itu.

~MK~

RPK Bebas Dari ISA

Posted: 01 Nov 2010 04:01 AM PDT

Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini membatalkan rayuan kerajaan berhubung keputusan pembebasan Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Keputusan sebulat suara itu dibuat tiga panel hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang berpendapat bahawa isu di mana KDN mahu mahkamah menentukan adalah akademik kerana perintah penahanan yang dikeluarkan ke atas Raja Petra telah luput.

Dua lagi panel hakim adalah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Datuk Seri Md Raus Sharif. Keputusan itu dibuat selepas mahkamah dimaklumkan bahawa perintah tahanan dua tahun telahpun berakhir.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memaklumkan panel bahawa ia merupakan pendiriannya untuk tidak menarik balik rayuan itu walaupun perintah tahanan itu telah luput.

Beliau juga berkata pendakwaan tidak dapat menyerahkan notis rayuan kepada Raja Petra yang tidak hadir ke mahkamah hari ini. Dia dipercayai berada di luar negara. Bagaimanapun, katanya, beliau sedar bahawa Raja Petra mesti hadir dalam prosiding rayuan mengikut Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan kerana beliau berpendapat beliau dapat meneruskan rayuan mengikut keadaan.

Peguam bela Raja Petra, Malik Imtiaz Sarwar memohon mahkamah untuk membatalkan rayuan berdasarkan bahawa rayuan itu telah menjadi akademik kerana perintah menteri untuk menahan anak guamnya selama dua tahun telahpun tamat.

Raja Petra ditahan mengikut ISA untuk 56 hari tetapi pada November 2008, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membenarkan permohonan habeas corpus dengan berkata Kementerian Dalam Negeri telah bertindak melampaui batas kuasanya.

Kementerian Dalam Negeri merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 November 2008 yang membebaskan Raja Petra yang ditahan selama dua tahun di bawah ISA.

Awal September lalu, Tun Abdul Majid memberitahu tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Arifin bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan notis rayuan kepada Raja Petra.

Oleh itu, Arifin yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan rayuan itu kerana mereka masih belum menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra.

Apabila ditanya oleh Hashim tentang peluang untuk menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra Tun Majid menjawab "Alamat Raja Petra masih tidak diketahui " .

Ketika itu peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Raja Petra memberitahu mahkamah rayuan itu bersifat akademik kerana perintah menteri untuk menahan anak guamnya selama dua tahun telah pun tamat.

"Perkara itu bersifat akademik tetapi tiada apa yang boleh menghalang menteri untuk mengeluarkan perintah baru selepas dua tahun " katanya.

Tun Majid berkata perintah menteri itu akan bersifat akademik selepas 21 September 2010 Pada 7 November 2008 Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada ISA selepas memutuskan penahanannya selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting di Taiping Perak adalah tidak sah.

Raja Petra ditangkap pada 12 September 2008 kerana beliau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara dan perintah untuk menahan beliau di bawah ISA dikeluarkan pada 22 September 2008.

Raja Petra ditahan berdasarkan antara lain, memiliki dan menjalankan laman web Malaysia-Today dan dengan niat dan menerbitkan artikelnya dan juga komen-komen pembaca Malaysia Today dengan sewenang-wenangnya, yang menghina orang Islam, kesucian Islam dan peribadi Nabi Muhammad SAW.

~MK~

Hero Kampung Dusun Kena Gantung Lagi

Posted: 01 Nov 2010 03:59 AM PDT

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim daripada menghadiri sidang dewan selama enam bulan kerana 'mengucapkan perkataan berbaur hasutan' dalam DUN itu Mei lalu.

Keputusan itu diluluskan oleh Yang Dipertua DUN Datuk Abdul Halim Hussain pada persidangan hari ini setelah usul yang dikemukakan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng (Air Putih-DAP) disokong oleh ADUN Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun segala saraan dan elaun Azhar sebagai ADUN dikekalkan. Keputusan tersebut menyebabkan semua ADUN Umno bertindak keluar dewan. Azhar, yang juga ADUN Penaga dirujuk kepada jawatankuasa hak dan istimewa ekoran kenyataannya itu yang telah mencetuskan kekecohan di dewan tersebut.

Jawatankuasa tersebut, yang telah bermesyuarat beberapa kali untuk membincangkan perkara itu, dijadual menyerahkan laporannya kepada DUN pada jam 2.30 petang ini. Difahamkan, Azhar akan diminta memohon maaf terhadap kenyataannya itu.

Jika berbuat demikian, beliau tidak akan digantung daripada menghadiri sidang dewan hari ini dan esok, serta disambung semula dari 8-16 November selepas cuti Deepavali.

Terdahulu pada perbahasan yang diadakan selepas pembentangan usul itu, Azhar bertegas dengan pendiriannya tidak mahu memohon maaf disebabkan beberapa perkara iaitu tiada dakwaan khusus untuk mengenakan hukuman terhadap dirinya.

"Selain itu usul yang dirujuk juga cacat dan bercanggah dengan peraturan 37 kerana usul itu tidak pernah dibahaskan sebaliknya speaker ketika itu terus mengambil keputusan mengemukakan masalah itu dan satu undi telah diambil," katanya.

Azhar, yang juga setiausaha Umno negeri, mendakwa prosedur yang digunakan untuk merujuk kepada jawatankuasa tersebut adalah tidak betul. Katanya, satu resolusi perlu dicadang dan dibahaskan, dan hanya baru selepas itu, satu keputusan dibuat sama ada untuk merujuk beliau atau tidak, kepada jawatankuasa tersebut.

Mei lalu, ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Singh telah membentangkan usul untuk merujuk Azhar kepada jawatankuasa tersebut.

Ini berlaku selepas Azhar menggesa tentera mengambilalih tugas dari pihak polis kerana pentadbiran negeri itu telah menyatakan ia tidak lagi mempunyai kepercayaan pihak polis. Beliau memberi amaran bahawa rusuhan kaum boleh berlaku lagi jika rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan.

Azhar kemudian menjelaskan bahawa beliau membuat kenyataan itu kerana kerajaan negeri cenderung menghina polis.

Pada bulan Ogos, pengerusi jawatan tersebut, Datuk Hussein Abdul Halim, yang juga speaker dewan, berkata semua ADUN akan dibekalkan dengan senarai perkataan yang dianggap tidak sesuai disebut sewaktu persidangan.

~MK~

Biarlah Ketua Audit Negara Buat Kerja Dia

Posted: 01 Nov 2010 03:57 AM PDT

Apabila Laporan Ketua Audit Negara 2009 dikeluarkan minggu lalu, pelbagai kepincangan dalam perkhidmatan awam yang membabitkan wang rakyat oleh kerajaan didedahkan.

Daripada papan tanda menunjukkan arah tandas berharga RM871 yang dibayar oleh Majlis Perbandaran Bentong hingga projek tergendala yang menelan kerugian perbelanjaan jutaan ringgit - tidak ada yang terlalu kecil kepada Jabatan Audit Negara.

Di sebalik pendedahan semua itu, kekuatan dan teraju di belakangnya tidak lain dan tidak bukan adalah Ketua Audit Negara sendiri - Tan Sri Ambrin Buang.

Pejabatnya di Putrajaya bertimbun dengan kenyataan kewangan negeri-negeri, kementerian dan agensi kerajaan yang sesetengahnya membabitkan pelbagai bayaran yang 'agak merapu' pernah disaksikan.

Buat kali pertamanya, Malaysiakini berjaya menemubual Ambrin, baru-baru ini di mana beliau bercakap mengenai campur tangan politi, kakitangan awam dan bahaya kesihatan pekerjaan.

Berikut petikan temuramah itu.

S: Jadi, bagaimana proses audit setiap tahun?

J: Terdapat tiga jenis audit atau laporan yang perlu diterbitkan, audit pembuktian atau pengakusaksian, audit pematuhan dan audit prestasi.

Dalam audit pengakusaksian, ia berhubung kenyataan kewangan oleh badan berkanun atau syarikat kerajaan disediakan mengikut piawaian perakuana. Jika ia menepati piawaian, mereka diberikan sijil bersih. Jika tidak, mereka mendapat sijil layak tetapi ada yang beranggapan ia sebagai teguran.

Jika anda mendapat hanya sijil layak, bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan cara akaun disediakan.

Jadi bagaiamana projek-projek dipilih?

Kami mengambil banyak perkara untuk pertimbangan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan lombong pasir (kedua-duanya dimuatkan dalam laporan 2009). Perkara ini adalah kepentingan umum. Meskipun media membuat siasatan sendiri, kami juga menjalankan penyisatan sendiri. Mungkin kami meliputi perkara yang tidak diliputi. Kami cuba berlaku adil tetapi menjalankannya secara rawak. Ada kalanya kami mendapati panggilan dan cadangan untuk siasatan.

Bagaimana pula kes yang menjadi tajuk utama seperti kes enjin jet yang hilang dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang juga muncul tahun lalu?

Seperti enjin jet, ia dilaporkan dan disiasat oleh polis dan Jawatankuasa Kira-kira Awam. Oleh kerana sudah ada orang menyiasat, biarkan mereka kerana sesetengah siasatan itu memerlukan kaedah forensik.

Ia adalah tindakan jenayah. Bila sesetengah benda hilang, kita kena maklumkan kepada polis. Jadi ada perkara yang mereka dilengkapi dengan baik untuk menjalankan tugas, jadi mengapa membazir sumber tenaga saya?

Kita tidak membuat andaian. Kita tidak anggap seseorang itu bersalah hanya kerana seseorang membuat tuduhan. Kita tidak bertindak cara itu. Setiap perkara mesti disiasat oleh pihak berkecuali. Seperti 'barang' Kementerian Pertahanan, ia mesti disiasat oleh polis.

~MK~

Pengundi muda sokong PAS di Galas

Posted: 01 Nov 2010 03:50 AM PDT

Kebanyakan pengundi muda yang ditemubual menerusi panggilan telefon oleh sebuah badan penyelidikan bebas berkata mereka akan mengundi PAS dalam pilihanraya kecil DUN Galas yang akan berlangsung 4 November ini.

Dapatan ini dikeluarkan oleh badan penyelidikan bebas Ilham Centre, yang sentiasa mengikuti perkembangan pilihanraya-pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

"Kami membuat panggilan telefon semalam dan hari ini kepada 2150 pengundi muda dalam kawasan DUN Galas dan 320 melayan dengan baik dan member I kerjasama," kata Pengarah Eksekutif Ilham, Muhamad Hisommudin Bakar di sini petang ini.

Mereka yang ditelefon mewakili semua daerah-daerah mengundi di Galas dan berumur antara 21 hingga 40 tahun.

Daripada jumlah itu beliau berkata 168 responden mengaku akan mengundi calon PAS, 41 akan mengundi calon BN manakala 112 lagi belum membuat keputusan.

Ilham turut mengadakan kajian lapangan dalam tempoh kempen pilihanraya kecil ini dengan menurunkan 50 pembanci dan satu gambaran menyeluruh akan dikeluarkan kepada pihak media sebelum hari mengundi.

Sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Ilham telah membuat kajian lapangan menjelang sesuatu pilihan raya kecil.

Sehingga kini, kesemua hasil kajian Ilham adalah tepat dengan keputusan pilihan raya sebenarnya termasuk yang terakhir di Bgan Pinang di mana sejak dari awal lagi kajian Ilham menunjukkan sokongan terhadap PAS lemah di kawasan pilihan raya itu.

~harakah~

Jangan Janji Tinggal Janji

Posted: 01 Nov 2010 03:44 AM PDT

Kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan ketetapan untuk mewartakan kawasan penempatan Orang Asli di Gua Musang sebagai satu kawasan rizab, kata timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yaakob.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis kerajaan negeri pada Mac lalu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan surat perakuan memaklum kepada masyarakat itu bahawa kawasan yang didiami mereka dimasukkan ke dalam rizab berkenaan.

"Keputusan itu dibuat melalui kuasa di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Kita akan beri dua ekar seorang dalam kawasan rizab tersebut," katanya ketika ditemui selepas satu mesyuarat khas ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Lojing hari ini.

Menurut Ahmad, setakat ini kerajaan negeri telah mengenalpasti dua buah kawasan yang masing-masingnya berkeluasa 101 dan 11 ekar di Kampung Sendrop yang terletak dalam jajahan kecil Lojing di Gua Musang.

Bagaimanapun, kawasan penempatan masyarakat Orang Asli itu belum digazetkan kerana perlu melalui proses penelitian untuk menentukan keluasan kawasan terbabit. Pada peringkat ini, kerajaan negeri masih dalam peringkat menyukat perimeter kawasan tersebut.

"Kemudian kerajaan melalui pejabat tanah akan senaraikan nama-nama Orang Asli yang berada di dalam itu supaya tidak dimasukkan orang (bukan Orang Asli).

"Kita belum pasti keluasannya (keseluruhan bagi negeri Kelantan) tapi kita akan kenalpasti. Semua kawasan Orang Asli kita akan rizabkan," katanya lagi.

Selepas melalui proses tersebut, barulah ia diluluskan pada mesyuarat kerajaan negeri dan digazetkan, katanya lagi. Mesyuarat selama kira-kira dua jam itu dipengerusikan menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Difahamkan, mesyuarat yang diadakan di Pejabat Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lojing di Gua Musang bagi menyesuaikan jadual kempen pemimpin PAS termasuk Nik Abdul Aziz. Nik Abdul Aziz pada petang ini dijadualkan untuk melawat satu perkampungan Orang Asli di Sendrop yang terletak berhampiran.

~MK~

Tiada ulasan: