Isnin, 1 November 2010

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


FIRASAT PEMIMPIN [2]

Posted: 01 Nov 2010 02:32 PM PDT

[1]

Merujuk kepada kisah nabi Sulaiman lepas, didapati firasat yang mendalam itu wujud pada diri pemimpin itu sendiri. Namun begitu, ada sebilangan pemimpin itu tidak mempunyai kecerdikan yang terlalu mendalam. Ataupun, mereka mempunyai kecerdikan, tetapi kecerdikannya itu perlu disempurnakan dengan 'pembantu-pembantu' yang cerdik juga.

Ini disandarkan kepada kejayaan Umar bin Al-Khattab dalam pemerintahan beliau. Tidak dinafikan bahawa Umar bin Al-Khattab adalah salah seorang khalifah yang mempunyai firasat yang cukup mendalam. Ini dibuktikan dengan banyak fatwa-fatwa beliau ternyata berani, malahan merentasi zaman.

Namun, dalam beberapa keadaan dan ketika, Umar bin Al-Khattab mempunyai kelemahan firasat yang memerlukan kepada bantuan dari 'pembantu-pembantu'.

Diceritakan dalam satu atsar, bahawa seorang perempuan muda telah datang berjumpa dengan Umar yang ketika itu, Kaab bin Sur sedang duduk bersama dengannya.

Perempuan itu berkata, "Wahai Amirul Mu'minin, aku tidak melihat seorang pun lelaki yang lebih baik daripada suamiku. Demi Allah, malamnya sentiasa qiyamullail, dan siangnya sentiasa berpuas".

Mendengar perkataan perempuan itu, Umar memuji suaminya itu. Perempuan itu merasa malu dan terus pulang dengan wajah yang hampa.

Melihat keadaan itu, Kaab berkata kepada Umar, "Wahai Amirul Mu'minin, apakah tuan tidak mengira masalah perempuan itu terhadap suaminya?

Umar berkata, "apa sebenarnya? Lalu berkata (kaab), sesungguhnya perempuan itu datang untuk membuat laporan kepada kamu. Apabila suaminya sentiasa dengan ibadat, bilakah masanya suaminya meluangkan masa untuknya (dengan jimak)?"

Mendengar kata-kata kaab, Umar menyuruh suami perempuan itu dipanggil. Ketika suami itu berada di hadapan Umar, Kaab diminta agar menjatuhkan hukuman terhadap suami tersebut.

Kaab terus berkata, "Sesungguhnya aku melihat, seakan-akan lelaki ini mempunyai tiga orang isteri. Dan isterinya (yang datang) itu adalah isteri yang keempat. Maka aku hukumkan kepadanya, tiga hari dan tiga malam merupakan hari dia beribadat (puasa dan qiyamullail), dan bagi isterinya adalah hari yang keempat pada siang dan malamnya"

Umar bertanya, bagaimana kamu berhukum ini? Kaab menjawab, aku berdalilkan firman Allah SWT;

"maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat"

(Surah An-nisa' : 3)

Mendengar ini, Umar terus berkata; "Demi Allah, pandangan kamu dalam perkara pertama adalah bersangatan aku kagum berbanding satu lagi. Pergilah kamu menjadi qadi kepada penduduk Basrah"

[Al-Mughni : 16/53 – 54]

[2]

Penentuan firasat bagi seseorang pemimpin adalah perkara yang dikhilafi oleh ulama atas kewajipannya. Ada ulama yang mewajibkan, dan ada juga ulama yang tidak mewajibkannya; dalam ertikata ia sebagai penambah kesempurnaan bagi seseorang pemimpin sahaja.

Namun perlu diingat, sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh ulama, ia tertakluk dengan 'tarikh tasyri''. Dengan maksud, fatwa tersebut terkesan kepada masa dan tempat dengan ulama yang berijtihad.

Lantaran, dalam konteks Malaysia [khususnya PAS], seseorang pemimpin yang berfirasat tidak boleh dikatakan sebagai perkara kesempurnaan sahaja, malahan ia sudah sampai kepada satu perkara yang wajib. Ini kerana, keberadaan PAS kini bukan sekadar berhadapan dengan musuh bernama UMNO/BN, tetapi PAS sedang 'berlumba-lumba melakukan kebaikan' dengan dua parti yang bersama, iaitu PKR dan DAP.

Seseorang pemimpin yang mengepalai sesuatu parti seterusnya mahu mengepalai usaha menguasai Putrajaya, ia tidak cukup sekadar seorang pemimpin yang bersih dan dilihat bersih, tetapi kebijaksanaan dalam politik adalah satu perkara yang wajib. Tanpanya, kepercayaan rakyat untuk menyerahkan kekuasaan politik tidak akan tercapai.

[3]

Konkulasi dari tulisan ini, dinyatakan perkara-perkara penting adalah seperti berikut;

Pertama :

Seseorang pemimpin parti itu hendaklah dilihat pemimpin Malaysia. Ia tidak cukup sekadar dilihat pemimpin sesebuah parti sahaja.

Kedua:

Seseorang pemimpin itu hendaklah mempunyai bacaan politik yang hebat; dengan ertikata menjangkaui zaman dan tempat. Ia tidak boleh berfikir sekadar mempunyai hubungan sesame Negara-negara Islam sahaja, malahan hendaklah mempunyai hubungan yang baik dengan Negara-negara barat.

Ketiga:

Pemimpin itu sememangnya direspek oleh rakyat Malaysia secara majority. Ia tidak boleh menjadi seorang pemimpin yang dipaksa supaya direspek [dipaksa wala'], tetapi sememangnya pemimpin itu secara sukarela rakyat untuk memberikan respek kepada mereka.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg Buloh
2 November 2010 * 5:32 pagi

IKLAN PROGRAM NISA' SHAH ALAM

Posted: 01 Nov 2010 03:41 AM PDT



[Klik gambar untuk besarkan]

FIRASAT PEMIMPIN [1]

Posted: 31 Oct 2010 04:09 PM PDT

[1]

Seseorang pemimpin yang memimpin sesuatu organisasi [lebih besar, kerajaan], sudah pasti memerlukan kepada syarat-syarat yang selayaknya. Tidak memenuhi syarat kelayakan, melahirkan kehancuran pada sesuatu organisasi.

Sebuah syarikat perniagaan yang mahu maju, sudah pasti perlantikan sesuatu jawatan itu tertakluk kepada kelayakkan; dalam erti kata, seseorang itu mempunyai kemampuan dalam menjayakan misi sesebuah syarikat dalam menyesuaikan dengan tujuan penubuhan sesuatu syarikat.

Organisasi berbentuk 'korporat' pun memerlukan kepada syarat-syarat kelayakkan, inikan pula organisasi dalam menjayakan perlaksanaan islam. terlebih utama, jika seseorang pemimpin itu bukan sekadar mahu menjadi seorang ketua parti, tetapi lebih dari itu; menjadi ketua kepada sebuah kerajaan.

Dalam islam, seseorang ketua itu memerlukan syarat-syarat yang wajib ditunaikan. Antaranya adalah, seorang pemimpin utama itu hendaklah seorang yang beragama Islam, baligh, berakal, merdeka, lelaki, berilmu dan 'adalah [tidak melakukan dosa besar dan kecil].

Syarat-syarat yang disebutkan di atas adalah syarat-syarat yang disepakati oleh ulama. Di sana wujud beberapa syarat-syarat yang dikhilafi oleh ulama, seperti firasat.

Mengikut sebahagian ulama, firasat bagi seseorang pemimpin adalah satu perkara yang wajib. Pendapat ulama yang lain pula menyatakan ia tidak wajib. Walaupun ulama berbeda pendapat dalam mewajibkan seseorang pemimpin itu hendaklah seorang yang mempunyai firasat atau tidak, yang pastinya, kewajipan ini tertakluk kepada waqie tempat dan masa, agar imej islam berjaya dilihat sebagai baik.

[2]

firasat yang dimaksudkan, bukanlah pemahaman firasat seperti yang difahami dalam budaya melayu. Maksud firasat yang mahu diungkapkan adalah kebijaksanaan dalam berpolitik; seperti mempunyai pandangan jauh, berjaya mengemukakan harapan rakyat lebih dari kemahuan mereka, berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat secara majoriti dan sebagainya. [marketing politik : 284]

Nabi Sulaiman AS adalah seorang yang tidak sekadar dikenali sebagai berjawatan Nabi lantikan Allah SWT, malahan baginda juga dikenali seorang pemimpin di dunia; meliputi manusia, jin dan binatang. Kepimpinan baginda ternyata membuktikan keperluan seseorang pemimpin itu perlu mempunyai firasat [kebijakan siyasah] yang cukup mengkagumkan.

Dalam Sahih muslim, ada diceritakan tentang dua orang ibu telah berjumpa dengan nabi Daud [bapa Nabi Sulaiman] untuk menyelesaikan kes perebutan seorang bayi. Nabi Daud membuat keputusan bahawa bayi itu hendaklah diberikan kepada ibu yang tua. Keputusan itu, membuatkan ibu yang muda tidak berpuas hati, lalu dimaklumkan kepada Nabi Sulaiman. Ketika kedua-dua ibu itu berada di hadapan Nabi Sulaiman, baginda berkata, "bawakan kepadaku sebilah pisau untuk aku belah dua terhadap bayi ini [untuk diberikan seorang sebelah]"

Mendengar arahan Nabi Sulaiman AS itu, menyebabkan ibu yang muda berkata, "Mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepadamu. Anak ini adalah kepunyaan kamu [ibu yang tua]"

Melihat belas kasihan yang wujud dalam diri ibu yang muda, disamping tidak kelihatan belas yang sama pada ibu yang tua, menyebabkan Nabi Sulaiman AS faham bahawa bayi yang direbuti itu adalah milik ibu yang muda. [Muslim]

Dari kisah ini, dapat dilihat kefirasatan yang wujud pada diri Nabi Sulaiman merupakan bukti kukuh betapa firasat merupakan satu perkara yang penting bagi seseorang pemimpin.

Bersambung……

- Sri Indah [b] Sg Buloh
1 November 2010 * 7:05 pagi


Tiada ulasan: