Jumaat, 1 Oktober 2010

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Posted: 01 Oct 2010 04:29 AM PDT

Bersatu teguh bercerai roboh

Bermula dengan kebakaran gereja di Kuala Lumpur, kemudian surau di Seremban yang disimbah cat. Kemudian kenyataan "rasis" Hajjah Siti Inshah Mansor Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulai Johor. Ini diikuti dengan video klip Namewee yang mengkritik tindakan Siti Inshah dengan senikata dan aksi lucah dan biadap.

Ini diikuti lagi dengan ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah BTN yang menghina kaum tertentu ditambah dengan pendedahan video klip seorang paderi di Sarawak yang menghina Islam dan umat Islam.

Apa nak jadi dengan hubungan antara kaum dalan Negara kita yang berbilang kaum dan agama ini?

Beratus tahun kaum-kaum terbesar di tanah air kita, Melayu, Cina dan India dapat hidup dengan aman, rukun dan damai, hormat-menghormati serta saling faham-memahami antara satu sama lain. Tanah Melayu beratus tahun lalu berubah menjadi Malaya dan kini Malaysia lantaran hubungan harmonis ini.

Hari ini ada antara kita yang tidak menghargai apa yang telah dibina dan sedia terjalin sejak zaman berzaman. Ada di antara kita sudah berani mencabar kehalusan hubungan intim ini.
Apabila ini berlaku, tercetuslah ketegangan, masing-masing akan bangkit mempertahankan kelompok masing-masing. Punah hancurlah persefahaman yang kita wairisi.

Bahaya.........

Tanah air ini milik semua. Tiada lagi Negara Cina untuk orang Cina Malaysia kembali atau Tanah India untuk orang India Malaysia, inilah bumi kita, inilah tanahair kita untuk orang Melayu, Cina dan India warga Malaysia.

Kerana itu kita wajar memelihara dan cemburu dengan apa yang telah dibina oleh datuk nenek kita ini. Tak perlulah orang Cina bangkit apabila mereka dihina atau dinista, atau umat Islam sahaja bangkit apabila agam mereka dipersenda. Semua kita perlu bangkit dan pertahankan bersama.

Tidak perlulah juga "juara" yang mahu mempertahankan mana-mana pihak yang tidak sayang pada binaa kerharmonian ini. Kalau Siti Inshah bersalah kita hukum dia begitu juga Namawee. Kalau yang bakar gerja dihumban ke penjara begitu juga patutunya yang menyimbah cat ke surau.

Jangan politikkan orang yang rosakkan kesejahteraan antara kaum dalam Negara tercinta kita ini. Tak kiralah dia Siti Inshah atau Namawee atau orang BTN atau Paderi Benjamin, semua mereka ini tiada tempat dalam masyarakat kita. Mereka samada diajar untuk menghargai kehadiran kita semua atau dirihatkan biar tidak menggugat masyarakat.

Malaysia ini milik kita semua, itulah hakikatnya. Bersatu teguh bercerai roboh.

Posted: 01 Oct 2010 02:40 AM PDT

Biarlah PKR dengan cara mereka

Baru-baru ini saya sempat bersarapan pagi bersama Tuan Syed Shahir Syed Mohamud, Timbalan Pengerusi PKR Selangor merangkap Ketua Cabang Kelana Jaya yang juga selaku Presiden MTUC. Saya dan Tuan Syed adalah kawan lama, beliau seorang pejuang tulen yang saya kagumi dan sentiasa terpesona dengan hujah dan kekayaan ilmu dan pengalamannya.

Ketika berbual saya ceritakan pada Tuan Syed yang saya sehari sebelumnya telah dihubungi oleh seorang rakan wartawan media arus perdana. Akhbarnya memang dibenci oleh sebahagian besar rakyat, dan ketika itu mereka sedang mahu sensasikan pergelutan dalaman yang berlaku dalam PKR yang sedang menghadapi proses pemilihan pimpinan.

Beberapa insiden dalam proses pemilihan diperingkat cabang dijadikan bukti bahawa PKR sedang bergelora ke arah perpecahan besar.

Saya beritahu Tuan Syed yang saya nyatakan pada wartawan tadi PKR sedang melalui satu sejarah yang sebenarnya tidak pernah ditempa oleh mana-mana parti politik di Malaysia sebelum ini. Kata saya PKR sedang memperkenalkan demokrasi secara terus atau "direct democracy" yang paling baik dalam amalan demokrasi. Yang lainnya mengamal demokrasi berperwakilan, ada juga langsung tiada demokrasi malah kukubesi.

Sesuatu yang baru pastilah menarik perhatian. Yang penting adalah kemahuan untuk memperkenalkan perubahan ke arah yang lebih baik. Dan kata saya pada Tuan Syed, pasti komen saya akan dibaku sampahkan oleh akhbar itu, betul pun.

Berbalik kepada proses pemilhan dalam parti.

Lihatlah Umno. Belum pun menghampiri bau "direct democracy" sudah riuh berpecah, punah ranah. Baru amalkan demokrasi berperwakilan pun dah ranap. Siapa punya parti yang sampai dikuburkan angkara proses pemilihan parti, diharamkan, jika tidak Umno!

Tanyalah Pengarah Pilihanraya DUN Galas, Ku Li, bagaimana beliau diperlakukan angkara demokrasi ala Umno. Demokrasi dibega-bega dan ditukang-tukang dan ditunggang kerana yang berkuasa mahu terus berkuasa. Tanyalah Dr Mahathir yang menggodam Umno lantaran mahu tepis ancaman dari Ku Li.

Parti siapa yang perkenalkan "kouta" sehingga jawatan tertinggi parti tidak mampu dicabar oleh sesiapa pun. Ku Li pilu kerana tak mampu cabar Dollah Badawi yang lemah itu.

Tiba-tiba bila PKR mahu amalkan proses pemilihan yang mereka yakin lebih telus dan terbuka, anasir-nasir pembunuh demokrasi ini yang mahu bersuara. Biarlah PKR dengan cara mereka, bak kata Musa Hitam ketika merajuk angkara perubatan kuasa dalam Umno satu ketika dahulu, "Jagalah Umno baik-baik".

Syabas PKR kerana berani memperkenalkan suatu amalan yang baru. Teruskan perjuangan demi kebaikan rakyat dan Negara.

Esok beberapa rakan saya akan berentap di cabang masing-masing termasuklah Tan Sri Khalid di Kuala Selangor, YB Azmin di Gombak dan Tuan Syed sendiri di Kelana Jaya. Semoga mereka terus kekal memimpin PKR dan bersama dalam PR melangkah ke ambang Malaysia yang lebih adil dan sejahtera. Selamat bersidang.

Posted: 01 Oct 2010 02:03 AM PDT

Pegawai kerajaan jangan cabar kami

Bukan mudah menumbangkan BN. Apabila berkuasa, menggunakan kedudukan yang ada mereka akan memasak kuat cerucuk kuasa mereka itu sehingga terpaku dalam bumi, walau apa cara sekalipun. Seluruh kekuatan jentera kerajaan seakan warisan dan pusaka milik mereka.
Bukan calang-calang tenaga boleh mencabut paku kuasa tadi, tetapi dengan takdir Allah swt PR berjaya pada PRU ke 12 lalu di Selangor.

Kejayaan ini suatu pencapaian yang besar. Bagi PAS umpamanya setelah berjuang habis-habisan, dengan kudrat dan airmata, tekanan dan penindasan, menderita lebih 50 tahun, sudah pastilah kejayaan ini amat manis.

Lantaran itu PR yang bertungkus-lumus menumbangkan BN bagi merampas kuasa ini menerusi mandat rakyat sudah pasti akan memelihara amanah yang mahal ini untuk memastikan ia tidak terlepas bolos ke tangan BN kembali. Segala janji dan kehendak rakyat yang bosan, mual dan muak dengan gelagat dan karenah BN perlu ditepati dan dipenuhi.

PR bersedia kerana selama ini mereka menjiwai hati dan perasaan rakyat.

Oleh itu seluruh tenaga dan jentera kerajaan bawah teraju PR perlu tunduk dan memberikan kerjasama sepenuhnya menepati mandat rakyat. Memang berteduh lebih 50 tahun bawah payung BN telah mengenyang dan melenakan beberapa kerat dari mereka, namun hakikatnya mereka perlu sedar bahawa payung tadi atas kehendak rakyat sudah dihumban jauh.
Dari segi adab dan etika, kakitangan kerajaan khasnya para pegawai kanan perlu taat dan patuh pada "government of the day". Anda mungkin ada yang selesa atau akrab dengan tokoh dan individu tertentu semasa payung BN melebar meneduhi anda, tetapi ingat mereka sekarang bukan lagi "political master" atau "tuan politik" anda. Ianya sudah berganti tangan. Kalau dalam istilah Melayu lamanya melayan dan "meniduri" tuan politik lama adalah berpaling tadah namanya iaitu bersamaan dengan durhaka!

Dalam akhbar SINAR HARIAN hari ini dilaporkan:

Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPNS) memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar mengambil tindakan setimpal terhadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Laporannya boleh di baca di

http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story8240931.asp

Inilah satu contoh hidup seorang yang telah lama berteduh selesa bawah payung BN, seakan lupa dan tidak sedar bahawa payung besar itu telah dirobohkan oleh rakyat. Mana mungkin kita yang makan gaji dengan rakyat mahu melawan arus kebangkitan rakyat!

Kerajaan PR Selangor tidak pernah menyekat kakitangan kerajaan dari melibatkan diri dalam parti-parti politik. Berlainan semasa BN dan Umno pegang tunggak dahulu. Kalau ada sahaja contohnya pegawai kerajaan bukan pun menjadi ahli atau pimpinan PAS tetapi sekadar bersimpati pada PAS, nescaya hamba Allah tadi akan dilanyak dan ditendang bagaikan sampah. Ada yang ditukar ke hutan belantara pedalaman, kalau tidak pun disekat kenaikan, dipulaukan dan berbagai lagi penganiayaan.

Dalam kes Adzib ini beliau memilih untuk hadir dalam majlis anjuran BN Selangor sedangkan beliau adalah Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Selangor. Tidak pernah pula Adzib kita dengar tergiur mahu hadir majlis PAS atau PKR apalagi DAP. Tetapi bila BN, terangsang sungguh nafsunya untuk hadir (maklumlah selesa berteduh dahulu) sedangkan jawatan beliau itu menghendaki beliau tidak memihak mana-mana belah.

DYMM Tuanku Sultan murka apabila ada wakil rakyat PR yang bukan Islam hadir dalam masjid dalam suatu majlis rasmi bertemu rakyat, PR akur dan menjunjung sembah mohon maaf atas ketelanjuran yang mengundang murka Tuanku itu, tetapi Adzib yang bertanggungjawab ke bawah Duli Tuanku selepas tahu akan titah Tuanku itu boleh pula hadir bersama wakil rakyat BN yang bukan Islam di masjid?!

Pada kerajaan PR Adzib tunjuk belang, pada Tuanku Adzib durhaka!

Kerajaan PR sebagaimana saya sebutkan dibina atas gelombang kebangkitan rakyat. Mereka menghargai dan member keyakinan kepada kerajaan baru ini, mana-mana pegawai kerajaan yang bersikap begini sudah pasti akan dicela rakyat. Lantas wajar sangatlah mereka yang sebegini diambli tindakan, kalau teduhan payung BN itu yang dirindui, terjun sahaja bersama BN dalam kandang mereka, jangan ganggu kerajaan ini!

Syabas Dewan Pemuda PAS Selangor, Allahu Akbar.

Tiada ulasan: