Isnin, 4 Oktober 2010

pemuda cheh

pemuda cheh


RAJA DAN SULTAN MESTI ADIL UNTUK TERUS DIHORMATI

Posted: 04 Oct 2010 07:41 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

TERTARIK dan bersetuju apabila membaca kenyataan titah Tuanku Sultan Johor yang mahukan isu perkauman dan agama dihentikan. Baca di sini. Ketika pihak Polis masih menyiasat siapakah yang menjadi dalang memasang Banner di Johor yang terpapar gambar Tuanku Sultan bersama Pengerusi PKR Johor Chua Jui Ming, maka titah ini amat bertepatan sekali.

Isu banner yang menyebut bahawa Chua Jui Ming bakal menjadi MB Johor jika PR memerintah Johor dan dipasangkan di sekitar penempatan Melayu adalah salah satu contoh bagaimana dalang ini cuba memainkan isu sensitif yang melibatkan Perlembagaan. Persoalan yang masih tidak terjawab adalah siapakah dalang itu? Sukar mungkin untuk pihak Polis menyiasatnya sebab itulah sehingga kini tiada lagi kita dengar siapakah yang terlibat telah ditahan atau didakwa. Saya tidak percaya pihak Polis sengaja mendiamkan kes tersebut atas apa jua sebab.

Begitu juga dengan beberapa kes yang berlaku di mana seorang Pengetua mengeluarkan perkataan yang berunsur perkauman. Kisah yang terjadi di BTN yang menyebut perkataan `Si Botol' dan `Si Sepet'. Isu MP Cina dari PR yang memasuki ruang madrasah dan masjid dijadikan isu besar sedangkan kisah MP India dari Bn yang memasuki ruang masjid didiamkan sahaja. Bukankah ini ada unsur perkauman dan agama yang sempit? Saya percaya Tuanku menyedari perkara ini. Persoalannya, siapa yang memainkan isu ini?

Kenyataan Tun Mahathir yang menyebut Melayu akan musnah jika PR memerintah adalah satu kenyataan perkauman yang merbahaya. Mantan pemimpin Umno ini yang mencipta sejarah menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu dahulu kini tidak serik untuk mencipta sejarah baru untuk menghancurkan keharmonian dan perpaduan di dalam negara ini. Justeru itu, tidak hairanlah jika Tun Mahathir menyokong kuat Perkasa yang dilihat lebih `Melayu' dari Umno.

Titah Tuanku Sultan wajib kita patuhi selagi ianya tidak bertentangan dengan perintah Allah. Raja adil Raja di sembah, Raja zalim Raja disanggah. Perkataan ini pernah dilafazkan oleh Hang Jebat ketika menentang Sultan yang zalim. Kita tidak mahu menjadi Hang Jebat, jauh sekali untuk menjadi Pak Turut seperti Hang Tuah. Biarlah kita menjadi Bendahara dalam Hikayat Hang Tuah itu, kerana Bendahara seorang yang bijaksana.

Orang-orang Melayu khasnya amat menyayangi dan memelihara institusi raja. Raja yang adil mestilah menampakkan keadilannya dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak. Jika seseoang raja atau Sultan menyebut di khalayak ramai secara terbuka agar rakyat memilih parti A atau B, maka hilanglah kemuliaan raja atau Sultan itu. Segala aduan dari rakyat tidak kira datangnya dari pihak mana, Raja atau Sultan mestilah meneliti dan mengambil tindakan yang seadil-adilnya. Inilah Raja dan Sultan yang kita mahukan dan kita sentiasa mendoakan kesejahteraannya.

Menjelang PRU-13, Bagaimana lanskap politik kalau Anwar-Ku Li bergabung?

Posted: 03 Oct 2010 07:27 PM PDT

Tidak ramai pemimpin yang berjaya memerintah selama 2 dekad mentadbir sesebuah pemerintahan kerajaan di Malaysia. Diperingkat pusat setakat ini hanya Tun Dr. Mahathir sahaja yang berjaya melakukannya dengan memerintah selama 22 tahun, satu rekod yang mungkin sukar dilakukan lagi selepas ini.
Tetapi diperingkat negeri, terdapat beberapa pemimpin kerajaan negeri yang berjaya melakukannya, iaitu Tan Sri Osman Saat (bekas Menteri Besar Johor), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (bekas Menteri Besar Terengganu) dan Tun Lim Chong Eu (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) serta Pehin Sri Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak) dan Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan).Rekod semasa Menteri Besar atau Ketua Menteri paling lama berkuasa setakat ini masih dipegang oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (gambar – kanan), 74 yang juga Presiden Parti PBB, sebuah komponen BN dari Sarawak selama hampir 30 tahun yang memerintah negeri Sarawak sejak dari tahun 1981 hingga sekarang.
Manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya baru memerintah Kelantan sebagai Menteri Besar hampir 20 tahun sejak 20 Oktober, 1990 dijangka berjaya memasuki tempoh tersebut jika pilihanraya umum tidak diadakan secara mengejut sebelum 20 Oktober tahun ini.
Kejayaan PAS memerintah Kelantan ketika itu adalah kerana sikap PAS yang bersedia bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li bersama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), serpihan UMNO berjaya mengembelengkan kekuatan pembangkang Melayu/Islam membentuk  Angkatan Perpaduan Ummah dengan PAS-Berjasa-Hamim-Kimma dan membentuk Gagasan Rakyat dengan DAP-IPF-PRM-PBS.
Kemampuan Ku Li menyakinkan PBS komponen BN yang memerintah negeri Sabah ketika itu keluar BN beberapa hari menjelang pilihanraya umum1990 untuk bersama dengan Gagasan Rakyat ternyata memberikan kejutan yang besar kepada BN. Kegagalan pembangkang terutama PMS46 di Pulau Pinang dan lain-lain negeri adalah disebabkan serangan saat-saat akhir terhadap Ku Li oleh media BN yang gagal ditangkis oleh pembangkang. 
Tetapi hasilnya cukup memberangsangkan di seluruh negara walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Selain negeri Sabah yang berada dalam genggaman pembangkang, pembangkang (APU) Berjaya mencipta yang rekod yang tidak pernah dicipta dari dulu hingga sekarang, yakni menyapu bersih semua kerusi di Kelantan (APU:39, BN:0).
Saya tidak berapa ingat berapa lama Lim Chong Eu dari Gerakan memerintah Pulau Pinang tetapi lebih 20 tahun dan beliau hanya berjaya diundurkan dengan rakyat menolaknya dalam pilihanraya umum tahun 1990. Walaupun Gagasan Rakyat (GR) tidak mampu merampas Pulau Pinang tetapi berjaya menamatkan era pemerintahan Lim Chong Eu.
Begitu juga dengan Tan Sri Wan Mokhtar dan UMNO/BN yang memerintah Terengganu juga terselamat dalam pilihanraya umum tahun 1990 tersebut tetapi rakyat berjaya menolaknya dalam pilihanraya umum 1999 akibat kezaliman melampau UMNO/BN terhadap Anwar Ibrahim setelah  lebih 25 tahun Wan Mokhtar memerintah Terengganu menyebabkan rakyat muak.
Tetapi BN cepat menyedari mood rakyat yang sudah menolak Tun Mahathir pada tahun 1999 menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik menggantikannya dengan muka baru, Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar – kiri ) atau mesranya dipanggil Pak Lah yang dianggap "Mr. Clean" menyebabkan rakyat memberikan peluang kepadanya dengan mengembalikan Terengganu kepada BN dan Kelantan pun hampir-hampir tumbang dalam pilihanraya umum tahun 2004.
Tetapi disebabkan Pak Lah yang leka dengan kemenangan yang terlalu besar dalam sejarah politik Malaysia dan tidak menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat menyebabkan rakyat bangkit memberikan pengajaran kepadanya dan sekalgus tidak lagi mempercayai UMNO/BN pada pilihanraya umum tahun 2008.
Jika tahun 1990 ekoran keterlibatan Ku Li bersama pembangkang, menyebabkan negerinya Kelantan berjaya di tawan dari UMNo/BN, keterlibatan Anwar pula pada tahun 2008 menyebabkan bukan sahaja negerinya Pulau Pinang tumbang tetapi merebak kepada Kedah, Perak dan Selangor.
Selepas 20 tahun Kelantan diperintah PAS, Ibrahim Ali bercita-cita jadi MB?
PAS dijangka akan menyambut ulangtahun ke-20 pemerintahan mereka pada bulan oktober akan datang ini. Selain daripada mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berjaya mengemudi Kelantan selama 20 tahun, saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan rakyat Kelantan yang berjaya menabalkan seorang Sultan baru mengikut perlembagaan tidak seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN yang juga menabalkan Sultan baru yang dengan dengan kontroversi dalam tahun 1990'an dulu.
Ketika pemimpin-pemimpin PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk terus menerajui Kelantan selepas ini, dilaporkan Ibrahim Ali, Presiden sebuah NGO dikenali sebagai PERKASA mula memberitahu rakyat bahawa beliau bersedia menjadi Menteri Besar Kelantan.
Dilaporkan beliau berkata, "PAS selama ini tidak buat apa-apa. Sebagai contoh masalah air di negeri ini sehingga sekarang masih belum selesai. Jadi kalau nak Kelantan maju, ikut saya. Kalau nak Kelantan maju, saya adalah orangnya kerana saya boleh membawa perubahan kepada negeri ini. Kelantan akan menjadi lebih baik sekiranya beliau menjadi Menteri Besar"
Dalam pilihanraya umumyang lepas, beliau diberikan 'ehsan' bertanding kerusi PAS di Parlimen Pair Mas setelah puas mengekori Tuan Guru Nik AbdulAziz dan dan memujuk PAS memberikan laluan kepada beliau bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun ke-12 tahun 2008.
Ibrahim Ali  (gambar – kanan) memenangi kerusi Pasir Mas buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 diatas tiket UMNO dengan memperoleh 55 peratus atau 15,711 undi dan mempertahankan kerusi itu empat tahun kemudian (1990) atas menggunakan tiket S46. Selepas itu tidak pernah memenangi sebarang kerusi parlimen atau DUN sehinggalah beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 atas tiket PAS setelah menewaskan calon Umno dengan majoriti 8,991 undi
Apa yang menarik dalam analisa sepintas lalu ini, Ibrahim Ali tidak ada kekuatan politik di Kelantan hatta di Pasir Mas sendiri yang dikatakan kubunya  kerana hanya memenangi kerusi parlimen Pasir Mas tersebut atas tiket UMNO (1986) dan Semangat 46 (1990) serta PAS (2008).
Beliau bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir tetapi hanya mendapat sekitar 500 undi sahaja dan kalah dengan hilang wang deposit kepada calon UMNO, Hanafi Mamat selepas pilihanraya umum 2004 dalam pertandingan 3 penjuru. Begitu juga dalam pilihanraya umum 2004 bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas tetapi tewas kepada Calon PAS Ismail Noh dalam pertandingan 3 penjuru.
Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau akan menjadi Menteri Besar Kelantan? Kalau inilah calon Menteri Besar Kelantan yang hendak menggantikan Nik Abdul Aziz, beliau akan mengikut jejak Awang Adek, calon Menteri Besar Kelantan dalam pilihanraya umum yang lepas.
Apakah PERKASA ini akan ditukarkan menjadi sebuah parti politik seperti BERJASA yang beliau juga menjadi perancangnya pada penghujung tahun 1970'an dahulu ketika krisis Asri-Mohd Nasir dahulu? Kita lihat dahulu rentak dan tarinya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO yang sudah tidak mendapat tempat dalam UMNO sama seperti IbrahimAli juga.        
Bagaimana agaknya politik Malaysia jika Ku Li yang juga sudah tersisih dalam UMNO bergabung dengan Anwar dalam pilihanraya umum ke 13 nanti? Jika Anwar dikatakan berjaya memujuk SAPP keluar BN selepas PRU ke-12 pada 2008, mampukah Ku Li sekali lagi memujuk PBS keluar BN jika beliau memilih untuk bergabung dengan pembangkang menjelang PRU-13 nanti?

Nik Aziz: Cadangan calon, rendahkan darjat Ku Li

Posted: 03 Oct 2010 07:22 PM PDT

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk menamakan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas sebagai tidak wajar.Menteri Besar Kelantan itu menyifatkan cadangan itu juga sebagai merendahkan darjat Tengku Razaleigh yang tidak layak sama sekali bagi seorang pemimpin veteran itu bertanding di peringkat DUN.Saya boleh sebut ini dah melampau. Ku Li (Tengku Razaleigh) bukan taraf dia (bertanding di DUN), dia menteri dah. Dia dah ke Parlimen dan turun ke DUN ini ada benda tak betul.

"Tak jaga lidah betul (cadangan pilih Tengku Razaleigh), jagalah lidah sikit. Ku Li ni berketurunan raja dan (pernah) jadi Menteri Kewangan tiba-tiba nak letak di DUN. Ini tak betul. Ada masalah lain le ni...," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-13 Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata demikian mengulas cadangan untuk memilih Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu sebagai calon pada pilihan raya kecil DUN Galas berikutan ketokohan pemimpin itu.

Cadangan untuk memilih Tengku Razaleigh itu juga mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata BN bersedia untuk mencalonkan pemimpin itu kerana ia paling sesuai dan tepat berdasarkan kepada pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Sementara itu Nik Aziz berkata PAS masih belum membuat keputusan untuk menamakan calon untuk pilihan raya kecil itu kerana ia akan diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi parti tersebut.

"Walaupun saya Pesuruhjaya (PAS Kelantan) tapi calon PAS dipilih di peringkat jawatankuasa dan ini dibuat supaya tidak ada yang berebut (jadi calon)," katanya.

Nik Aziz berkata antara kriteria calon PAS itu nanti adalah kalangan mereka yang diterima penduduk di Galas seperti tidak merokok, tidak meninggalkan solat dan tidak pernah berpoya dengan perempuan.

"Kalau merokok saya memang tidak boleh terima untuk jadi calon. Itu kena bagi tau awal-awal kerana merokok ini boleh merosakkan segala-galanya dan tidak ada doktor baik Islam atau kafir mengatakan rokok ini baik.

"Yang lain kriteria mesti diterima rakyat dan kita pilih hak terbaik tetapi nak cari satu orang yang boleh diterima semua memang tidak ada kerana Nabi Muhammad S.A.W pun ada yang kritik," katanya.

Tiada ulasan: