Selasa, 19 Oktober 2010

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


DEBAT - SEMENJAK BILA KM MELAKA INI BERANI ?

Posted: 18 Oct 2010 12:51 PM PDT

Sofi Wahab

MELAKA, 18 Okt: PAS Negeri Melaka sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklum balas dari Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam isu debat mengenai sekolah mengandung.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman (gambar) dalam jawapan spontan sedia berdebat dengan Ketua Menteri Melaka berkaitan isu penubuhan Sekolah Harapan.

Menurutnya, PAS menerima cabaran debat dan bersedia pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk menerangkan kebenaran kepada rakyat.

Beberapa orang rakyat yang ditemui kesal dengan sikap Mohd Ali yang seolah-olah takut untuk berdebat sedangkan beliau sendiri yang mencadangkan mengenainya.

Haji Jaya Mohamad, 65, dari Bukit Katil berkata, apa yang hendak ditakutkan kerana perdebatan itu adalah untuk mencari kebenaran, bukannya atas emosi dan kepentingan diri.

"Kita mesti berbincang dan berdebat dalam sesetengah isu untuk mencari kebenaran bukannya untuk tunjuk pandai," ujar beliau.

Mohd Jas Abdul Rahman, 66, dari Taman Saujana kesal dengan sikap Umno yang tidak mahu berbincang sebelum mengambil keputusan.

"Bila kita tegur mereka melenting tanpa usul periksa dan berlapang dada, kita mesti sedar rakyat berhak untuk menegur dan menasihatkan pemimpin dalam apa juga isu lebih-lebih isu penting seperti ini," kata beliau.

Dalam kenyataan sebelum ini, Abdul Ghani menyifatkan cabaran ketua menteri itu untuk berdebat bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, orang menjual maka PAS sanggup membelinya walaupun dengan harga yang mahal.

Menurutnya, PAS meminta Mohd Ali menentukan masanya dan di mana tempat dan mencadangkan supaya dibuat siaran langsung secara terbuka agar rakyat dapat menilai hujah kedua-dua pihak.

Dua minggu lalu, Mohd Ali dilaporkan mencabar PAS berdebat dalam isu sekolah hamil, Sekolah Harapan.

Beliau berbuat demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri di Seri Negeri yang dihadiri oleh pegawai-pegawai agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab kesal dengan sikap Umno yang sering menuduh PAS hanya mengkritik setiap program dan projek yang dilaksanakan tanpa memberikan cadangan balas yang membina.

Beliau berkata, dalam isu sekolah mengandung yang dikatakan sebagai penyelesaian masalah buang bayi dan zina, PAS sudah sejak dari dahulu, kini dan selamanya menasihatkan Umno supaya kembali kepada Islam dalam menangani isu zina dan maksiat ini.

Katanya, malangnya Ketua Menteri Melaka dalam akhbar Sinar Harian menghentam PAS kerana dikatakan hanya pandai mengkritik tanpa memberikan cadangan membina.

Namun, ujarnya Ali langsung tidak mempedulikan saranan PAS sejak dahulu iaitu mengamalkan amar makhruf nahi mungkar dalam menangani masalah zina dan pembuangan bayi.

"Contohnya dalam isu sekolah mengandung, Ketua Menteri berulang kali menyatakan penubuhan sekolah mengandung dapat menyelesaikan masalah buang bayi dan perzinaan sedangkan punca sebenarnya berlakunya buang bayi adalah disebab perzinaan.

"Punca perzinaan pula adalah disebabkan ajaran agama yang longgar, banyaknya pusat-pusat maksiat, pergaulan bebas dan tiadanya undang-undang yang mampu mencegah kemungkaran sertanya pemantauan yang amat minima oleh pihak berkuatkuasa," katanya.

Yusof juga menggesa Mohd Ali supaya menyatakan masa, tempat dan tajuk debat yang dicadangkannya beberapa minggu lalu kerana sehingga kini masih membisu tentang kesanggupan PAS untuk berdebat.

"Jika benar Umno ikhlas dan berani berdebat dalam isu Sekolah Harapan ini, sila nyatakan masa, tempat dan tarikh bila ia hendak dilaksanakan kerana Pesuruhjaya PAS negeri telah sanggup untuk berdebat," ujarnya./Harakahdaily

KEPUTUSAN YUSMADI LEPAS JAWATAN CARA TERPUJI

Posted: 18 Oct 2010 10:25 AM PDT

MP Balik Pulau lepas pemantau pemilihan PKR
Okt 18, 10

Ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff akhirnya melepaskan peranannya sebagai pemantau bebas pemilihan PKR setelah membuat keputusan bertanding jawatan naib presiden parti itu kelmarin.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas mendapati berlakunya pertentangan kepentingan ekoran keputusan mengejutnya itu.

Sehubungan itu, Yusmadi (kanan) berkata, tugas-tugas memantau perjalanan pemilihan langsung pertama PKR melalui MyDemocracyWatch itu kini diwariskan kepada seorang pegawai di pejabat Menteri Besar Selangor Amin Ahmad.

Manakala Amin (bawah) - pegawai komunikasi di pejabat Tan Sri Khalid Ibrahim - berkata, setelah banyak berbincang dengan Yusmadi, beliau merancang meluaskan skop badan itu ke peringkat Asean.

"Memandangkan Yusmadi telah mengumumkan kesediaan beliau untuk bertanding dan pertentangan kepentingan perlu dielakkan, beliau merasakan kedudukan saya sebagai orang di luar parti, di samping tulisan-tulisan saya mencerminkan dokongan saya kepada proses demokrasi yang sihat dan tidak menunjukkan kecenderungan kepada mana-mana calon," katanya.

Sementara itu, mengulas penyertaannya dalam kerusi nombor tiga dalam parti itu, Yusmadi berkata, beliau mahu turut sama bersaing bagi menghargai hajat ahli PKR yang mencalonkannya walaupun tidak menawarkan diri sebelum ini.

"(Ia) menggambarkan suara anak muda diiktiraf dan diperlukan sebagai kombinasi sinergi dengan pemimpin berpengalaman.

"Ia juga menunjukkan suara akar umbi parti mahu melihat Pemilihan PKR 2010 sebagai persedian sebagai parti masa depan," katanya yang kini menyertai Persidangan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York sebagai wakil tunggal Pakatan Rakyat./Malaysiakini

PEMILIHAN PKR - CALON MENARIK DIRI PUN SALAH AZMIN JUGA ?

Posted: 18 Oct 2010 03:13 AM PDT

PEMILIHAN PKR - CALON MENARIK DIRI PUN SALAH AZMIN JUGA ?

Oleh: WFAUZDIN NS

NAMPAKNYA tidak habis-habis lagi tuduhan dibuat ke atas YB Azmin salah seorang calon popular yang akan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Semuanya dibebankan di atas kepala YB Azmin dan kelihatannya YB Azmin masih tenang dengan berbagai ujian yang menimpa ke atasnya. Inilah salah satu faktor menyebabkan sokongan ke atas YB azmin semakin meningkat mutakhir ini.

Lojikkah penarikan diri Tan Sri Khalid dan Nurul Izzah dari merebut jawatan Timbalan Presiden PKR disebabkan oleh Azmin? Terlalu bodoh atau pengecut sangatkah anak sulung DS Anwar dan juga MB Selangor itu sehinggakan tunduk kepada Azmin? Jika benar begitu, tidak layak mereka menjadi Wakil Rakyat yang dipilih dan menjadi MB Selangor. Saya tidak percaya mereka berdua menarik diri kerana tekanan yang diatur oleh Azmin. Cerita mengarut ini dibawa oleh mereka yang mempunyai satu selera dengan YB Gobalakrisnan yang terang-terang anti Azmin sehinggakan mengugut untuk keluar dari PKR.

Lagi tidak masuk akal dikatakan tindakan `U-Turn' oleh Sdr Shamsul Iskandar untuk mempertahankan jawatan Ketua AMK pun dikaitkan dengan pengaruh Azmin. Apa pentingnya Azmin untuk campurtangan pemilihan di dalam AMK? Bukankah Sdr Shamsul dan Chegu Bard dilihat tidak pro atau anti beliau? Politik Sdr Shamsul dan Chegu Bard bukan seperti politik Dato Zaid atau Gobalakrisnan. Jika Gobala ingin sangat keluar dari PKR, saya ucapkan `pergi berambus' sajalah.

Jika kita ingin menyokong Azmin, jangan kita ukur kepada berbagai persepsi atau cerita dongeng seperti ini. Kebanyakan pimpinan PKR telah teruji dengan hebat sejak dari zaman reformasi lagi, masakan jiwa mereka begitu kecil sehinggakan kununnya ditekan oleh Azmin? Ukurlah Azmin dari segi komitmen beliau terhadap parti dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin atasan parti. Jangan kerana cerita dongeng seperti yang dibawa oleh Gobala itu kita sanggup mengangkat orang yang awal-awal lagi memburukkan pimpinan parti./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: