Kelab Greenboc |
- 3 Penjuru Di Batu Sapi?
- Janda Asah Pisau Di rumah Duda Sewaktu Orang Solat Jumaat
- [Bergambar] Taufan Megi Landa Filipina. Menuju Cina
- Pelajar Ketagih Filem Lucah Sanggup Ponteng Sekolah Dan Tipu Ibubapa
- Pembebasan Ketua Pengarah Imigresen Memalukan Pejabat Peguam Negara
- 20 Kedai Pasar Chow Kit Terbakar
- [Bergambar] Projek Membesarkan Kota Ibadah Makkah Al-Mukkaramah Siap Menjelang 2012
- Tunang Dolak-dalik, Keluarga Syak Rozaliya Disembunyikan Tunangnya
- Anwar Semakin Hampir Ke Penjara, Bukan Putrajaya. Percubaan Akhir Dapatkan Kenyataan Saksi Ditolak
- Tokoh UMNO Sabah, Karim Ghani Keluar Parti
- 2 Pengetua Rasis Telah Digantung Tugas Serta Merta - Nazri
- Remaja Maut Di Tragedi Lebuhraya Berhampiran Tol Senawang
- Usah Cari Lagi Perisian Cetakrompak Di Plaza Low Yat
- Tg Muhammad Fa-iz Dilantik Sebagai Pewaris Kesultanan Kelantan
- Gempa Di Tawau Lemah Seperti Petunjuk PR Tak Bersedia Di Batu Sapi
- PKR Tak Dapat Turun Sepenuhnya Di Galas Dan Batu Sapi Kerana Pemilihan Sedang Berlansung
- Kedua-dua Adik Beradik Tertuduh Kes Sosilawati Bukan Lagi Peguam
- Seruan Untuk Dr.Xavier: "Jangan Aniaya Kami"
| Posted: 19 Oct 2010 12:30 AM PDT Batu Sapi: PKR akan wakili Pakatan RakyatPakatan Rakyat hari ini mengumumkan pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November in akan diwakili oleh calon daripada PKR, kata ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Serentak dengan keputusan itu, Anwar berkata beliau berharap sebuah lagi parti pembangkang di Sabah - Parti Maju Sabah (SAPP) - akan memberikan laluan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru. Pada 16 Oktober lalu, presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengumumkan parti itu akan bertanding bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri. Katanya, keputusan untuk bertanding adalah ujian getit bagi SAPP setelah berkerat arang dengan BN dan mengisytiharkan mereka sebagai parti pembangkang pada 2008. Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu. Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan. Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi. Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771. -mk
Ulasan GB Kan GB dah cakap. Semalam GB melaporkan PR lembab bertindak untuk PRK Batu Sapi. Apabila melihat keadaan demikian SAPP telah mengeluarkan kenyataan bahawa SAPP akan bertanding. Cuma pagi ini PR buat pengumuman untuk bertanding dengan meletakkan calon PKR. PKR sendiri kecoh dengan Pemilihannya dan tidak dapat menumpukan sepenuhnya kepada PRK-PRK Galas dan Batu Sapi. Musuh sudah beberapa langkah di hadapan. Kita masih terhegeh-hegeh. Pertingkatkan kecekapan dan keberkesanan di dalam berorganisasi. Kata nak ke Purajaya. |
| Janda Asah Pisau Di rumah Duda Sewaktu Orang Solat Jumaat Posted: 19 Oct 2010 12:12 AM PDT Sik - "Saya datang ke rumahnya sekadar meminta tolong dia mengasah pisau pemotong getah sahaja," kata pasangan wanita berumur 54 tahun ketika ditanya penguatkuasaan ketika di rumah pasangan lelakinya berumur 57 tahun.Maklumat orang awam mendapati, wanita berstatus janda itu sering dilihat mengunjungi rumah lelaki yang berstatus duda itu dan kemudiannya mereka membuat keputusan untuk membuat aduan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Sik (PAIDS). Pegawai Agama, PAIDS Syeikh Mohd Haizan Hamzah, berkata, kakitangan PADS menerima aduan tersebut sekitar jam 12.50 tengah hari dan selepas solat Jumaat sekitar 2.50 petang mereka menyerbu rumah pasangan berkenaan. Menurutnya, kemungkinan pasangan berkenaan menyangka waktu golongan lelaki sedang menunaikan solat Jumaat adalah waktu paling selamat untuk mereka berdua-duaan. "Namun tekaan mereka ternyata silap, kerana orang awam sudah lama memerhati gelagat mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram. "Sepatutnya pada masa itu, pasangan lelaki berkenaan seharusnya pergi melaksanakan solat Jumaat di masjid bersama jemaah lain tetapi dia lebih rela memilih untuk bersama pasangan wanita itu," katanya. Beliau berkata, ketika ditahan kedua-duanya berada di dalam rumah, seorang di ruang tamu dan seorang lagi berada dalam bilik, manakala pintu hadapan tidak ditutup bagi mengelakkan sebarang reaksi yang mencurigakan. "Selain itu, pasangan wanita juga lengkap berpakaian dengan seluar jeans, baju T lengan panjang dan bertudung seperti baru lepas pulang dari menoreh getah," katanya. Menurutnya, kedua-dua mereka dipanggil untuk memberikan keterangan di PAIDS semalam dan siasatan lanjut berhubung kes ini akan dilaksanakan dengan segera berdasarkan segala maklumat yang diperoleh. -SH |
| [Bergambar] Taufan Megi Landa Filipina. Menuju Cina Posted: 18 Oct 2010 10:43 PM PDT Manila: Taufan Megi menjadi ribut paling kuat dalam tempoh beberapa tahun ini melanda Filipina semalam, manakala banjir di Vietnam menghanyutkan sebuah bas dan menyebabkan 20 orang hilang termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang terlepas dari pegangan ibunya. Ribut yang melanda Filipina itu menyebabkan sekurang-kurangnya seorang lelaki dilaporkan lemas dan taufan yang sama dijangka akan melanda China di mana pihak berkuasa sudah memulakan aktiviti memindahkan 100,000 penduduk dari sebuah kawasan wilayah pantai. Ribut berkenaan kemudian akan berpindah ke Vietnam di mana 24 kematian akibat banjir dilaporkan sejak beberapa hari lalu. Pihak berkuasa memberi amaran berjuta penduduk di sepanjang laluan taufan supaya berjaga-jaga berhadapan dengan kerosakan tanaman, rumah dan terputus bekalan elektrik. Megi membawa angin selaju 225 kilometer sejam (kmj) hingga 260 kmj ketika mendarat di Teluk Palanan tengahari semalam di wilayah Isabela dan dilaporkan mula reda apabila merentasi pergunungan di utara Filipina, Luzon. Seorang lelaki yang cuba menyelamatkan kerbaunya dilaporkan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai sebelum lemas, kata Bonifacio Cuarteros, seorang pegawai agensi bencana wilayah Cagayan. Taufan berkenaan turut menumbangkan tiang elektrik selain memutuskan bekalan kuasa, telefon dan perkhidmatan internet di kebanyakan kawasan. – AP ![]() ![]() ![]() ![]() |
| Pelajar Ketagih Filem Lucah Sanggup Ponteng Sekolah Dan Tipu Ibubapa Posted: 18 Oct 2010 09:45 PM PDT Simpang Ampat – Seorang remaja berusia 14 tahun membuat pengakuan bahawa gara-gara ketagih menonton filem lucah dia sanggup tidak ke sekolah dan menipu ibu bapanya.Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zairul berkata, puncanya bermula apabila dia dan ibu bapanya berpindah ke sini dan berkawan dengan rakan-rakan sekitar kampungnya. "Sikap liar kawan-kawan membuatkan saya terikut-ikut dengan cara mereka. Saya dibawa ke sebuah kafe siber di sekitar kawasan sini dan diajak untuk menonton filem lucah yang mudah diperoleh. "Dengan hanya dibekalkan alamat laman web oleh pemilik kafe siber berkenaan, kami boleh melayari filem itu dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa bersalah dan malu," katanya. Menurutnya, dia akan menghabiskan masa berjam-jam lamanya hanya kerana ingin menonton filem berkenaan. "Bukan saya sahaja yang menonton, abang saya yang belajar di salah sebuah sekolah agama di daerah ini juga turut serta. "Benarlah kata pepatah, 'sepandai-padai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga'. Kegiatan kami dikesan oleh bapa kerana suatu hari kami membawa adik yang berusia lima tahun ke kafe siber berkenaan. Kami membenarkan adik yang masih suci jiwanya dan tidak mengerti apa-apa menontonnya sekali. Apabila pulang dia menceritakan apa yang dilakukannya kepada ibu dan ayah," katanya. Zairul berkata, bapanya mula menyiasat dan suatu hari dia ke kafe siber berkenaan. "Sejurus melihat kami asyik menonton filem berkenaan, bapa bertindak merotan kami di kafe siber itu dan tindakan berkenaan betul-betul memalukan saya. "Insaf akan perkara itu, saya berjanji tidak mahu mengulanginya dan harap bapa dan ibu dapat maafkan saya dan abang. Bagaimanapun, abang saya tidak serik dan dia tetap mengunjungi kafe siber itu. Akibat ketagih, dia sanggup mencuri duit simpanan nenek di rumah," katanya. Ibunya, Rosmah berkata, dia berasa kesal kerana walaupun diberikan didikan agama yang sempurna tetapi anaknya terjebak dalam aktiviti tidak bermoral. "Saya kecewa kerana anak-anak berkelakuan seperti ini. Lebih memalukan apabila dia merupakan pelajar sekolah agama dan sanggup menipu ibu bapanya bahawa dia pergi ke sekolah sedangkan dia melepak di kafe siber berkenaan. "Bertambah teruk apabila anak saya yang sulung ini mencuri duit simpanan neneknya akibat mahu menggunakan wang itu untuk membayar kepada kafe siber berkenaan. Berkali-kali saya dan suami menasihatinya tetapi apabila dinasihat, dia melenting dan merajuk lalu lari ke rumah emak saudara sehingga kini," katanya. Kata Rosmah, dia bukan hendak mengaibkan kisah keluarganya tetapi dia hanya mahu berkongsi dengan masyarakat bahawa kehidupan sekeliling amat mempengaruhi tindak tanduk anak-anak. Difahamkan, hampir sebahagian besar golongan muda di sekitar sini terutamanya pelajar sekolah bawah umur dibiarkan sesuka hati masuk ke kafe siber berkenaan. Katanya, dia sentiasa berharap dan berdoa moga anak sulungnya dibukakan hati untuk mengetahui kesalahan akan perbuatannya. "Pihak polis juga pernah melakukan serbuan ke atas kafe siber berkenaan tetapi ia tetap beroperasi seperti biasa seperti keadaan sebelum ini malah bertambah teruk lagi apabila jam tiga sehingga jam 4 pagi ia masih lagi beroperasi. "Anak sulung saya dahulunya seorang yang dengar kata dan taat kepada ibu bapa serta tidak sangka kedatangan kami di sini diuji sebegini dan saya menerima sebagai hikmah dari tuhan dalam membesarkan anak-anak. Justeru, saya memohon kerjasama daripada pihak berkuasa supaya memandang serius terhadap perkara ini demi melahirkan anak bangsa yang berwawasan," katanya. -SH |
| Pembebasan Ketua Pengarah Imigresen Memalukan Pejabat Peguam Negara Posted: 18 Oct 2010 09:00 PM PDT Kuala Lumpur: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) menyifatkan pembebasan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don (gambar) daripada pertuduhan rasuah, Jumaat lalu, sesuatu yang boleh memalukan pejabat Peguam Negara sebagai pendakwa raya.Berikutan itu, ahli Exconya yang juga anggota Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan bagi mengenal pasti punca kekalahan banyak kes membabitkan rasuah dan salah guna kuasa. "Dalam kes berkenaan, Wahid dituduh menerima suapan sebanyak RM60,000 bagi mempercepatkan kelulusan visa kepada pekerja asing. "Oleh itu, Peguam Negara perlu memberi penjelasan terhadap kegagalan pihaknya supaya rakyat tidak terkeliru dan kita juga berharap Peguam Negara memandang serius perkara ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam. Phang juga melahirkan kebimbangan kerana sejak kebelakangan ini banyak kes yang dikendalikan pejabat Peguam Negara kalah di mahkamah dan ia boleh memberi imej negatif terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah. Beliau berkata, kegagalan pendakwaan turut mengundang keresahan di kalangan rakyat, selain mengakibatkan pelabur asing hilang keyakinan terhadap badan kehakiman negara. Katanya, kekalahan kes rasuah dan salah guna kuasa juga akan menyebabkan tanggapan negatif dilemparkan terhadap SPRM sebagai badan penyiasat. "Rakyat hendak tahu sama ada Peguam Negara sudah melakukan siasatan menyeluruh dengan memastikan segala bukti lengkap dikumpul dan diletakkan di hadapan sebelum dibawa ke mahkamah. "Saya harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang dipertanggungjawabkan bagi tujuan itu mencari jalan penyelesaian segera bagi masalah ini," katanya. Sementara itu, SPRM memfailkan rayuan terhadap pembebasan Wahid, semalam. Ketua Pendakwa SPRM, Datuk Abdul Razak Musa (gambar) ketika dihubungi BERNAMA, mengesahkan rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, pagi semalam. Wahid, 57, dilepas dan dibebaskan tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Seri Low Chang Hian bagi mempercepatkan kelulusan 4,337 visa untuk pekerja Bangladesh pada 10 Julai 2008. Dalam satu kenyataan akhbar segera selepas keputusan mahkamah itu, SPRM berkata ada 'alasan kukuh' bagi suruhanjaya itu mengemukakan rayuan. -Bernama Terkini Bekas Timbalan KP Imigresen Diperintah Bela Diri Kes Rasuah KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa memerintahkan bekas Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Imigresen Yusof Abu Bakar membela diri terhadap 14 tuduhan menerima rasuah bagi meluluskan lanjutan pas warganegara China. Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yusof, 56. Pada 15 Okt lepas, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don atas tuduhan menerima rasuah melibatkan wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh. - BERNAMA Ulasan GB Apa tidaknya SPRM sentiasa kalah di dalam kes rasuah. Tumpuan hanya diberikan untuk membela kesalahan SPRM di dalam inkues Teoh beng Hock, dengan memandang ringan kes-kes rasuah berprofil tinggi. Diperburukkan oleh pentadbiran negara di bawah pemerintahan Najib yang tidak serius menangani gejala rasuah, malah dalam banyak ketika menyemarakkannya. Pagi ini baru terhegeh-hegeh mahu mendakwa semula Ketua Pengarah Imigresyen tersebut dengan tiba-tiba hakim menyatakan pada pagi ini ada kes prima facie terhadap Yusof yang sebelum ini dinafikan. Flip-flop flip-flop flipflop Itulah yang dapat dinyatakan dari perspektif rakyat. |
| 20 Kedai Pasar Chow Kit Terbakar Posted: 18 Oct 2010 08:20 PM PDT Kuala Lumpur: Kira-kira 20 deretan kedai yang menjual pelbagai barangan musnah dalam kebakaran di Pasar Chow Kit di sini, malam tadi. Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di kedai yang menjual barangan runcit, pakaian dan buah-buahan itu disedari seorang pemilik restoran sebelum menghubungi pihak bomba dan penyelamat. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9 malam sebelum menghantar 50 anggota dan enam jentera dari empat Balai Bomba dan Penyelamat berdekatan untuk memadam kebakaran itu. "Bomba mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan kebakaran kerana laluan sempit. Usaha memadamkan kebakaran juga mengambil masa kerana keadaan gelap. "Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. "Pemeriksaan mendapati, kebakaran yang berlaku itu dipercayai berpunca daripada litar pintas," katanya di sini, malam tadi. Azizan berkata, jumlah kerugian membabitkan 20 peniaga itu masih dalam siasatan dan operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya kira-kira jam 11.30 malam. -BH |
| [Bergambar] Projek Membesarkan Kota Ibadah Makkah Al-Mukkaramah Siap Menjelang 2012 Posted: 18 Oct 2010 07:45 PM PDT Mekah: Datuk Bandar Makkah, Dr Osama Al-Bar, berkata beberapa projek mega yang dilaksana di kota suci ini dijamin siap menjelang 2012. Saudi Gazette melaporkan Osama yang juga Pengerusi serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Makkah sebagai berkata jaminan itu bersandarkan kepada arahan Raja Abdullah. Antara projek berkenaan ialah Lebuh Raya Raja Abdul Aziz yang menghubungkan Makkah dan Jeddah. Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu sudah bermula dan ia akan menjadi contoh untuk pembinaan jalan raya di wilayah itu pada masa depan. Satu lagi projek yang hampir siap ialah lapan rumah penyembelihan yang dilengkapi peralatan moden dan akan diurus oleh Bank Pembangunan Islam. Juga dalam pembinaan ialah empat terowong pejalan kaki yang menghubungkan daerah Al-Hujun dan Al-Jarwal dengan Masjidil Haram. Osama juga dilapor berkata projek membina 5,000 unit rumah juga telah bermula dan apabila siap kelak akan diberi kepada penduduk terutama mereka yang rumahnya dirobohkan. Selain itu, sembilan stesen monorel yang menghubungkan Padang Arafah, Mina dan Mudzalifah juga hampir siap. Projek lain yang diarahkan siap menjelang 2012 oleh Raja Abdullah ialah pembinaan ruang tambahan di timur Masjidil Haram, projek Jabal Omar dan sistem keretapi laju antara Makkah dan Madinah. - BERNAMA ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() |
| Tunang Dolak-dalik, Keluarga Syak Rozaliya Disembunyikan Tunangnya Posted: 18 Oct 2010 06:00 PM PDT Keluarga Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang hilang selepas keluar bersama tunangnya untuk membeli barangan perkahwinan kini bingung apabila tunang mangsa dikatakan cuba melarikan diri dan sukar dihubungi sejak semalam.Ibu mangsa, Sabariah Mansor, 42, berkata dia sekeluarga cuba menghubungi tunang anaknya berkali-kali sejak pagi semalam, namun gagal sehinggalah bakal menantunya itu menjawab panggilan jam 5.30 petang, menyatakan dia berada di Johor Bahru. "Apabila dihubungi semula adik saya selepas itu, dia mendakwa berada di Melaka pula. Saya bingung dengan jawapan diberikan dan kini mula mengesyaki dia cuba menipu kami kerana keretanya masih berada di rumahnya di sini," katanya kepada Berita Harian, semalam. Sabariah berkata, dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena mengenai hubungan pasangan itu kerana Rozaliya pernah mengadu dia tawar hati berkahwin pada 12 November depan, serta pernah meminta diputuskan pertunangan. "Saya juga ada menghubungi rakan tunang anak untuk mengesahkan sama ada dia benar-benar pulang ke pejabat seperti dikatakannya ketika meninggalkan Rozaliya di Kuantan. Saya terkejut kerana ternyata semua yang dikatakannya meleset dan tidak benar," katanya. Sabariah berkata, Rozaliya yang bekerja sebagai pembantu kedai pernah mengadu kepada seorang bapa saudaranya yang mereka sering bergaduh, malah tunangnya pernah melakukan perkara yang tidak baik terhadapnya. Dalam pada itu, Sabariah berkata, beliau menerima panggilan daripada seorang lelaki yang kemudian datang ke rumahnya petang semalam, memaklumkan ternampak anak gadisnya sedang makan bersama seorang lelaki di gerai makan berhampiran Pasar Besar Kuantan, kira-kira jam 12 tengah malam semalam. "Menurut lelaki itu, dia terpandang gadis seperti Rozaliya yang dilihatnya di televisyen ketika siaran berita di TV1 malam kelmarin. Malah, dia yakin tidak tersilap orang selepas membaca dan melihat gambar Rozaliya di akhbar hari ini (semalam)," katanya. Sabariah berkata, lelaki terbabit meminta supaya dia ke Kuantan malam ini untuk mencari di sekitar kawasan berkenaan dan mengecam sendiri gadis itu. Di KUANTAN: Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha berkata, siasatan terperinci dalam semua aspek sedang dilakukan pihaknya bagi mengenal pasti kehilangan gadis berkenaan. "Pasukan penyiasat kita turut menemu bual rakan dan kenalannya sebelum dapat mengesahkan gadis itu diculik atau kemungkinan menghilang diri dengan alasan tertentu," katanya. Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Shamsul Sazali Md Shah, 37, berkata pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan anak saudaranya itu. "Kami sendiri sudah buntu dan tidak tahu sama ada dia benar-benar diculik, atau sesuatu yang buruk menimpanya atau kemungkinan melarikan diri. "Saya bersama bapanya serta seorang jiran baru pulang dari Kuala Lumpur selepas mencarinya di sekitar Chow Kit, Puchong dan beberapa tempat lain. "Kami berdoa dan berharap dia akan pulang dengan selamat," katanya ketika dihubungi semalam. -BH |
| Anwar Semakin Hampir Ke Penjara, Bukan Putrajaya. Percubaan Akhir Dapatkan Kenyataan Saksi Ditolak Posted: 18 Oct 2010 04:50 PM PDT Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak percubaan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kenyataan saksi Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dirakamkan oleh polis dalam kes tuduhan liwatnya. Anwar mahu semua kenyataan tersebut kerana beliau mendakwa terdapat percanggahan dalam keterangan Mohd Saiful semasa dalam perbicaraan kes tuduhan liwat terhadapnya sehingga boleh mendorong kebolehpercayaan pengadu dicabar. Ketua Pembangkang berusia 63 tahun itu mendakwa Mohd Saiful telah memberi keterangan bahawa dakwaan liwat itu berlaku tanpa kerelaannya tetapi dia (Anwar) didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu mengadakan hubungan seksual secara rela. Mohd Saiful, 25, telahpun memberi keterangan sebagai pengadu dan saksi utama dalam perbicaraan itu. Dalam keputusan sebulat suara, Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, memutuskan bahawa perintah Mahkamah Tinggi tidak merangkumi definasi perkataan "keputusan" dan ia bukan perintah akhir di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. "Kami setuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa keputusan mahkamah perbicaraan dalam kes ini bukan merupakan satu keputusan dan ianya tidak boleh dirayu," kata Hakim Arifin yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong dan Datuk Seri Md Raus Sharif. Mengenai isu dua mukasurat "alasan lebar" yang dibangkitkan oleh peguam Anwar, Karpal Singh semasa hujahan dalam rayuan itu, Hakim Arifin berkata alasan Mahkamah Rayuan menyifatkan sebagai "alasan lebar" adalah jelas dan menyeluruh kerana ia mengandungi semua bahan dalam hujahan penghakiman. Pada 19 Ogos lalu, Karpal mendesak Mahkamah Persekutuan untuk mengarahkan Mahkamah Rayuan memberikan alasan lanjutan atas penolakan rayuan Anwar, dengan berkata penghakiman tersebut hanya alasan lebar sahaja. Bagaimanapun, Hakim Arifin dalam penghakimannya berkata Mahkamah Rayuan telah memberi alasan ringkas dan padat dengan memetik beberapa pihak berkuasa dalam menyokong keputusan mereka. "Dalam beberapa insiden, alasan penghakiman ringkas dan padat sudah memadai. Dalam kes ini, isu di hadapan Mahkamah Rayuan ialah sama ada terdapat hak untuk merayu terhadap keputusan," katanya. Beliau menegaskan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi sedang memperjuangkan bahawa hakim perlu berusaha menulis penghakiman ringkas dan padat di mana ia diperlukan. "Kami sangat bersetuju dengannya. Inilah apa yang dilakukan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes ini," kata Hakim Arifin dalam penghakiman 19 mukasurat semasa menolak rayuan Anwar itu. Anwar sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. Ulasan GB Ada yang bertanya GB, tak kasihan GB kepada Anwar? Untuk menjawabnya, GB orang yang pertama kasihankan dia sewaktu dia mula-mula ditangkap. Baca SINI. Tapi Anwar dan orang-orangnya memandang GB macam sampah. Teguran dan nasihat GB sudah tidak dipedulikan lagi. Justeru, peduli apa lagi mereka semua itu? Dan GB mengulas panjang untuk episod yang menyedihkan tentang Anwar di SINI. PKR yang mencalonkan Wan Azizah sebagai Presiden dan Azmin sebagai Timbalan Presiden di dalam pemilihan 2010 adalah seperti merestui penghantaran Anwar ke penjara semula. Baca di SINI. Ada yang bertanya: Tidakkah kita perlu ikhlas di dalam perjuangan GB? Saya bertanya kembali, apa yang kamu tahu erti ikhlas? Kalau tak tahu, pergilah baca surah Al-Ikhlas banyak-banyak. Nanti kamu akan tahu sifat hamba dan hanya mengikhlaskan diri kepadaNya, bukan ikhlas membuta tuli terutama kepada manusia-manusia yang tidak jujur kepadamu. Jika demikian halnya kamu si bebal yang menjadi buaya diketuk kepala oleh sang kancil yang menyeberangi sungai untuk memakan buah-buahan di pulau sana. Guru GB di akhir hayatnya dahulu berpesan: "jangan jadikan dirimu terlalu lurus, kelak orang akan jadikanmu kayu jembatan yang dipijak orang dan jangan jadikan dirimu terlalu bengkok, kelak orang akan jadikanmu kayu api untuk dibakar. Ambillah pertengahannya, kelak engkau menjadi senjata yang terang, tepat dan tajam menusuk jantung musuhmu". GB akan terus berdoa kepada Allah s.w.t. Apakah doa GB? Itu rahsia diantara GB dengan Dia. |
| Tokoh UMNO Sabah, Karim Ghani Keluar Parti Posted: 18 Oct 2010 08:30 AM PDT Ahli politik veteran yang membawa Umno ke Sabah, Datuk Karim Ghani, hari ini mengumumkan keluar parti itu.Beliau adalah antara bekas pemimpin parti Usno, termasuk Tun Datu Mustapha Datu Harun (pengasas Usno), yang memainkan peranan penting membawa Umno ke negeri itu pada 1990-an. Usno dibubarkan untuk memberi laluan kepada Umno bertapak di Sabah. Karim berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada ibupejabat Umno di Kuala Lumpur dan pejabat parti itu di Kota Kinabalu, awal hari ini. Beliau berkata, keputusannya untuk meninggal Umno itu berkuatkuasa serta-merta. Katanya, beliau akan kekal tanpa parti sehinggalah menemui parti politik yang sesuai untuk disertainya. Karim berkata, beliau sudah bosan dengan kegagalan Umno untuk memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Sabah. - Bernama |
| 2 Pengetua Rasis Telah Digantung Tugas Serta Merta - Nazri Posted: 18 Oct 2010 08:15 AM PDT Parlimen: Pengetua Telah Dikenakan TindakanKUALA LUMPUR: Dua pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman sudah ditukar ke Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. "Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulai telah ditukar ke Jabatan Pelajaran Johor sementara Pengetua Bukit Selambau telah ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda," katanya ketika Sidang Dewan Rakyat pada Isnin. Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berhubung tindakan kerajaan terhadap pengetua yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini. "Dalam kes membabitkan pengetua dari Kulaijaya tindakan telah diambil dengan pegawai kanan itu sudah pun digantung perkhidmatan bermula 13 Oktober lalu. "Dalam tempoh prosiding siasatan, kakitangan kerajaan terbabit telah dilarang daripada meneruskan perkhidmatannya. Bagi kes pengetua Johor, terdapat ramai saksi (yang menghadiri) perhimpunan sekolah ketika insiden didakwa berlaku, justeru banyak keterangan perlu diambil," katanya. Mohamed Nazri menegaskan, kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua guru berkenaan. "Semua pihak harus faham ini adalah kali pertama seorang pegawai kerajaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. "Jadi ia makan masa sedikit untuk menyiasat dan ambil tindakan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu mengapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap guru-guru terlibat. Jelasnya, situasi ketika kejadian juga perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, sama ada guru berkenaan benar-benar mempunyai niat menghasut atau berada dalam keadaan marah. Bagi kes di Bukit Selambau, Mohamed Nazri berkata, guru itu telah diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran dan dia telah memohon maaf secara terbuka. "Paling penting, mereka telah digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan perlu mendalam sebelum mereka boleh disabitkan dengan pertuduhan. "Kita tak mahu penyiasatan yang 'flip-flop' akhirnya menyebabkan keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati," katanya. |
| Remaja Maut Di Tragedi Lebuhraya Berhampiran Tol Senawang Posted: 18 Oct 2010 07:30 AM PDT Seremban: Seorang remaja perempuan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 252.7, Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran plaza tol Senawang dekat sini, pagi ini.Jurucakap polis berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 5.45 pagi itu, ketika Foo Hui Theng, 19, yang menumpang kereta tersebut bersama empat lagi termasuk pemandu kereta Liu Ah Gan, 55, dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur. Katanya, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa dipercayai rosak dan bergerak perlahan ketika berada di lorong ketiga lebuh raya dan ketika hendak memberhentikan kereta di lorong kecemasan kereta yang mereka naiki tiba-tiba dirempuh oleh sebuah treler dari arah belakang. Ekoran rempuhan itu, belakang kereta terbabit remuk dan mangsa yang berada di tempat duduk belakang tersepit di tempat duduk. Mangsa yang cedera teruk di kepala dan badan mati di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja''afar Seremban di sini untuk bedah siasat, sementara Liu yang cedera parah di kepala dan kaki dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan. Isteri Liu, Tan Siew Neo, 49, serta anak lelaki mereka dan seorang lagi penumpang remaja perempuan hanya cedera ringan. -Bernama |
| Usah Cari Lagi Perisian Cetakrompak Di Plaza Low Yat Posted: 18 Oct 2010 06:35 AM PDT Plaza Low Yat halau penyewa disabit kesalahan cetak rompakKUALA LUMPUR: Plaza Low Yat akan menghalau penyewa yang disabitkan dengan cetak rompak bagi menyokong usaha anti-cetak rompak kerajaan. Pengurus Besar Pengurusan Hartanah dan Operasinya, Michael Lee, berkata langkah proaktif itu akan melengkapkan kempen anti cetak rompak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang dilancar pada Mei tahun lalu. "Inisiatif ini menyaksikan tindakan kami untuk terus komited menjadi pusat beli-belah teknologi maklumat yang tulen 100 peratus. "Kami gembira mendapat sokongan daripada kerajaan dan juga gergasi perisian seperti Microsoft," katanya pada pengumuman untuk meneruskan kerjasama dengan Microsoft bagi memerangi cetak rompak di sini hari ini. Lee berharap inisiatif Plaza Low Yat itu dicontohi plaza IT lain. "Kami menyeru semua pusat beli-belah di Malaysia menyertai kami memerangi cetak rompak ini," katanya. Pengurus Besar Pengeluaran Kelengkapan Asli Microsoft Malaysia, Low Sin Yip, berkata berdasarkan kepada penyelidikan International Data Corp, pasaran cetak rompak bernilai AS$453 juta setahun. - BERNAMA |
| Tg Muhammad Fa-iz Dilantik Sebagai Pewaris Kesultanan Kelantan Posted: 18 Oct 2010 05:30 AM PDT Tengku Muhammad Fa-iz Petra pewaris Kesultanan KelantanKOTA BHARU: Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, adinda kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V, dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan pewaris takhta Kesultanan Kelantan, berkutkuasa serta merta. Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias, berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) yang bermesyuarat hari ini dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Istiadat penyerahan watikah pelantikan gelaran Tengku Mahkota Kelantan berlangsung di Istana Negeri di Kubang Kerian pada 2 petang tadi. Mohd Aiseri memberitahu satu sidang akhbar bahawa mesyuarat MPN itu dihadiri oleh 14 daripada 15 anggotanya kecuali Tengku Razaleigh Hamzah yang tergugur secara automatik sebagai anggota kerana tidak hadir mesyuarat sebelum ini tanpa keizinan majlis itu. Tengku Muhammad Fa-iz, 36, adalah anakanda kedua Sultan Ismail Petra daripada empat beradik. Dua lagi ialah Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A-Ishah Putri. Tengku Muhammad Fa-iz yang diputerakan di Istana Kota Lama pada 20 Januari 1974, dilantik sebagai Tengku Bendahara Kelantan pada 30 Mac 1989 dan menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak 21 Jun 2009. Mohd Aiseri berkata, mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz bakal menjadi raja atau pemangku raja apabila baginda Sultan Kelantan berangkat ke luar negara melebihi 12 bulan atau tidak boleh menjalankan tugas sebagai Sultan dalam tempoh berkenaan. Beliau juga berkata, mesyuarat MPN itu tidak membincangkan mengenai pelantikan Tengku Temenggong kerana mesyuarat hari ini adalah untuk menentukan pewaris yang bakal menjadi raja. "Pelantikan Tengku Temenggong hanya sebagai pelengkap sahaja dan tidak membabitkan pewaris yang bakal mewarisi takhta kesultanan Kelantan," katanya. Gelaran Tengku Temenggong sebelum ini adalah milik Tengku Muhammad Fakhry Petra namun ia ditarik balik oleh Sultan Muhammad ke-V baru-baru ini. - BERNAMA ![]()
|
| Gempa Di Tawau Lemah Seperti Petunjuk PR Tak Bersedia Di Batu Sapi Posted: 18 Oct 2010 04:00 AM PDT TAWAU: Gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter dikesan berlaku di Tawau kira-kira jam 4.37 pagi tadi. Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kira-kira jam 5.05 pagi tadi di sini menyebut bahawa pusat gegaran itu dikesan di latitud 4.4 Utara dan longitud 118.1 Timur iaitu lapan kilometer dari barat laut Tawau. Menurut kenyataan itu, gegaran lemah dapat dirasai di sekitar Tawau dan jabatan itu sedang memantau perkembangan berkenaan dan akan memaklumkan orang ramai jika ada perkembangan terbaru. - BERNAMA
|
| PKR Tak Dapat Turun Sepenuhnya Di Galas Dan Batu Sapi Kerana Pemilihan Sedang Berlansung Posted: 18 Oct 2010 03:45 AM PDT Pemilihan PKR tidak ditangguh walaupun ada pilihan raya kecilPETALING JAYA, Pemilihan PKR peringkat pusat yang akan berlangsung secara berperingkat-peringkat mulai 29 Oktober ini tetap diteruskan walaupun ia berlangsung di sebalik pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon sementara 4 November pula hari membuang undi bagi kedua-dua pilihan raya kecil tersebut. "Kita akan tetap teruskan pemilihan peringkat pusat ini walaupun ketika itu ada kempen pilihan raya kecil. "Tiada penangguhan bagi pemilihan ini. Kita ada jentera yang akan menguruskan hal kempen dan ada yang menguruskan pemilihan parti," kata Timbalan Setiausaha Agung PKR Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman pada sidang media di sini petang ini. Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS akibat barah usus pada 27 September lalu. Sementara kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu. Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu. Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat. -TMI |
| Kedua-dua Adik Beradik Tertuduh Kes Sosilawati Bukan Lagi Peguam Posted: 18 Oct 2010 03:00 AM PDT Tertuduh kes Sosilawati dan adiknya bukan lagi peguamKUALA LUMPUR: Tetuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan adiknya kini tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam cara dan peguam bela. Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak dengan kos permohonan N Pathmanabhan dan juga adiknya N Surendran supaya mahkamah mengetepikan perintah Lembaga Tatatertib Peguam-peguam yang membatalkan nama mereka sebagai peguam berdaftar. Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh yang membuat keputusan itu di dalam kamar juga menolak permohonan kedua beradik itu supaya perintah Lembaga Tatatertib itu digantung sementara menunggu perbicaraan dan keputusan terhadap permohonan itu. Peguam T Rajasekaran yang mewakili responden M Rajeanteran memberitahu pemberita dengan keputusan tersebut Pathmanabhan dan adiknya yang juga pernah ditahan sebagai suspek dalam kes yang sama, tidak boleh bertindak dalam mana-mana urusan sebagai peguam termasuk pembelian hartanah. Rajeanteran adalah anak guam kedua beradik itu dalam pembelian satu hartanah pada 1999 dan beliau yang menyedari ditipu membuat aduan polis pada 2003. Pihak lembaga mula menyiasat aduan Rajeanteran pada 8 Februari 2007 hingga 5 November 2009. Pada 24 November tahun lalu, kedua adik-beradik itu memfailkan notis usul pemula memohon agar perintah Lembaga Tatatertib bertarikh 5 November 2009 diketepikan dan perintah lembaga itu digantung sementara menunggu perbicaraan dan keputusan notis usul pemula. Di dalam notis itu Pathmanabhan dan Surendran menyatakan perintah Lembaga Tatatertib itu tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal kerana pihak lembaga tidak mematuhi Seksyen 103, D(1) Akta Profesyen Undang-undang 1976 apabila ia tidak menyatakan sama ada pihak lembaga menerima atau menolak keputusan atau pengesyoran Jawatankuasa Tatatertib. Mereka juga mendakwa pembatalan pemohon daripada daftar peguam Mahkamah Tinggi Malaya adalah tidak sah kerana Jawatankuasa Tatatertib tidak memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan keterangan seorang saksi penting serta terdapat keterangan saksi yang tidak boleh dipercayai. Sementara itu, di dalam afidavit balasan, Rajeanteran berkata, siasatan yang dijalankan pihak lembaga dan jawatankuasa selama enam tahun adalah sah dan kesemua saksi penting telah dipanggil. Katanya, kedua pemohon telah menyediakan suatu writ saman dan penyata tuntutan untuk menipunya. Menerusi keputusan Lembaga Tatatertib, dua beradik itu didapati terbabit dalam penjualan jual beli dan menandatangani dokumen itu dengan menyamar diri sebagai peguambela dan peguamcara pada bulan Disember 1998 sedangkan mereka belum lagi diterima masuk sebagai peguamcara. Mereka hanya diterima masuk setahun kemudian pada Disember 1999. Lembaga itu juga mendapati mereka menyamar sebagai peguamcara di sebuah firma guaman di Banting dan setahun kemudian berkhidmat di syarikat Pathma Nall Nalli&Partners. Lembaga juga mendapati adik-beradik itu mengemukakan satu surat kuasa palsu. Turut hadir hari ini ialah peguam Biliwi Singh mewakili Lembaga Tatatertib dan Robert Lau mewakili Majlis Peguam. -Bernama |
| Seruan Untuk Dr.Xavier: "Jangan Aniaya Kami" Posted: 18 Oct 2010 01:43 AM PDT Kuala Selangor: "Kami sudah tiga generasi tinggal di estet ini. Kami desak supaya diberi pampasan sewajarnya dan jangan aniaya kami sebegini," kata R Lobat, 42, wakil penduduk di Ladang Coalfield, Sungai Buloh, Ijok, dekat sini, semalam.Lobat mendakwa, seramai 24 keluarga yang mendiami perumahan di situ diberhentikan kerja awal tahun lalu selepas majikan menukar operasi ladang kepada kawasan perumahan menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan tetap dan lebih memilukan mereka diarahkan berpindah. Katanya, penduduk di situ diberikan pilihan dengan membeli rumah kos rendah dengan harga RM42,000 dan diberi sejumlah pampasan, bagaimanapun mereka gagal mendapatkan pinjaman bank berikutan faktor usia dan tiada pendapatan tetap. "Kami dijanjikan akan diberi rumah teres yang akan dibina di atas tanah seluas empat hektar dan wang pampasan RM30,000. "Jadi, kami mahu tawaran itu, bukan diberi pilihan beli rumah kos rendah. Lagi pun mana kami nak cari duit untuk bayar dengan hanya bekerja sebagai pengutip bunga, buruh kasar, pencari besi buruk dan kelindan lori," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Difahamkan kira-kira 100 penghuni di situ turut mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin) Dr Xavier Jayakumar, namun mereka masih gagal mendapatkan hak sewajarnya. Penduduk turut membawa kes itu ke mahkamah melalui kesatuan pekerja ladang bagi menuntut hak mereka. Lobat berkata, pihaknya terkejut selepas membaca laporan akhbar baru-baru ini yang dibuat Xavier mendakwa masalah mereka selesai, tetapi sebaliknya berlaku. "Kenyataan itu mengelirukan. Kami tidak menerima sebarang jawapan pihak majikan mengenai pampasan yang dijanjikan itu dan kenyataan Xavier mengelirukan kami. "Kami dianiaya. Kebanyakan penduduk di sini tidak tahu membaca dan menulis dan ia diambil kesempatan pihak tertentu untuk aniaya kami," katanya. Penduduk, M Susila Kumary, 54, berkata dia mempunyai 10 anak dan menaruh harapan supaya diberikan hak sewajarnya. "Saya tak tahu nak mengadu di mana, ada wakil rakyat, tetapi dia tak boleh membela nasib kami," katanya. -BH Ulasan GB Dr Xavier Jayakumar yang menjadi calon Naib Presiden PKR sepatutnya lebih prihatin terhadap masalah rakyat, bukan untuk merebut jawatan di dalam parti. GB pernah nyatakan: Kita perlu buktikan kerja-kerja kita secara bersungguh-sungguh. Berlumba-lumba membuat kebaikan bukan berlumba-lumba untuk jawatan. Kes ini serupa dengan kes di SINI. |
| You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |











.jpg)

























.jpg)





.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan