Isnin, 4 Oktober 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Zon Umur Subsidi Perlu Digunakan Sebaik-baiknya

Posted: 04 Oct 2010 01:00 AM PDT

Dr M semakin sembuh

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Tun Dr Mahathir Mohamad memberi respons baik terhadap rawatan yang beliau terima di Epworth Hospital Melbourne Australia, setelah dimasukkan ke hospital itu kerana mengadu sakit dada semalam.

"Para doktor gembira dengan perkembangan kesihatan Dr Mahathir dan beliau memberi respons baik kepada rawatan antibiotik serta fisioterapi," menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat bekas perdana menteri itu di sini hari ini.

Pagi tadi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir melawat bapanya di hospital itu dan menikmati sarapan pagi bersama-sama bapa dan ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Kenyataan berkenaan berkata doktor menasihati Dr Mahathir supaya terus berehat dan memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu diletakkan di bawah pengawasan di wad biasa hospital berkenaan selama beberapa hari lagi.

"Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah juga menyampaikan salam dan penghargaan mereka kepada semua yang mengutuskan ucap selamat dan mendoakan agar beliau lekas sembuh," kata kenyataan itu.

Dr Mahathir, yang ditemani Dr Siti Hasmah, tiba di sini pada Khamis dan dijadualkan berucap pada seminar pembangunan insan anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne semalam.

Dr Mahathir meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang singgah di Melbourne setelah menghadiri Persidangan Forbes Global CEO di Sydney, berucap bagi pihak beliau pada seminar itu. — Bernama

Ulasan GB

Seseorang insan apabila disayangi Allah, Allah akan mengurniakan sedikit masa di zon umur subsidi. Pengalaman ramai yang menghidapi penyakit samada kronik atau pun tidak sehingga sudah terlantar di ICU pun, kemudian tiba-tiba seperti muncul satu keajaiban di dalam hidup, mendapati diri disegarkan semula oleh s.w.t. untuk satu jangkawaktu yang ditentukan olehNya.

Ia adalah satu zon waktu yang amat singkat, pemberian Allah s.w.t. kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan di waktu inilah sepatutnya dipergunakan untuk membersihkan diri serta memuhasabah diri agar kita dapat diterima kembali ke sisiNya.

Seandainya kita lalai untuk melakukan penghisaban diri sendiri sewaktu di zon berkenaan, alangkah ruginya kita, kerana selepas itu, kita kembali ke rahmatNya dan tidak akan datang-datang lagi ke dunia fana ini.

Naluri manusia cenderung ingin hidup selama-lamanya. Al-Quran melukiskan keinginan sekelompok manusia untuk hidup selama mungkin dengan firman Allah yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya kamu akan mendapati mereka seloba-loba manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) daripada orang- orang musyrik. Masing-masing ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Dan Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan." (Surah Al Baqarah: Ayat 96).

Maka itu Allah memperingatkan kita dengan pelbagai ujian berupa kekurangan, kesakitan dan sebagainya sebelum kita dibawa pulang selama-lamanya supaya nanti kita dapat melakukan penilaian diri disamping memohon ampun terhadap apa jua kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan.

Andainya zon singkat itu diabaikan, tiada lagi peluang selepas itu. FirmanNya:

"Sehingga apabila maut mendatangi seseorang daripada mereka, dia berkata: "Rabbi (wahai Tuhanku), kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku kerjakan amal yang salih, terhadap yang aku tinggalkan dahulu. (Jawapan Tuhan)Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu cuma perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan ke belakang (iaitu di hadapan) mereka ada barzakh (sempadan pembatas), sampai hari mereka dibangkitkan." (Al-Mukminun 99-100)


Rasisma: Koh Hanya Boleh Mengeluh Dalam Sendu..

Posted: 03 Oct 2010 11:30 PM PDT

Koh: Tindakan perlu terhadap semua pihak bangkit soal rasis

PETALING JAYA, 3 Okt — Prosedur jelas perlu dipertimbangkan seperti menyemak semula proses dan prosedur tindakan dsiplin terhadap petugas awam yang membuat kenyataan berbaur perkauman dan agama di khalayak ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi) Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (gambar) berkata tindakan disiplin terhadap petugas awam perlu adil.

Bagaimanapun, tindakan bukan sahaja hanya dikenakan terhadap petugas awam tetapi sesiapa sahaja yang membuat kenyataan berbaur perkauman dan agama di tempat awam, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Selangor 2010 di Bandar Utama di sini hari ini.

Koh, yang juga presiden Gerakan, berkata demikian ketika mengulas Surat Pekeliling Am kerajaan kepada semua ketua jabatan Jumaat lepas yang meminta mereka mengingatkan pegawai masing-masing supaya jangan membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Surat pekeliling itu juga meminta semua ketua jabatan mengambil tindakan segera dan tegas ke atas pegawai yang melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakukan & Tataterbit) 1993. — Bernama

Ulasan GB

Kamu boleh mengeluh sajalah Koh di dalam BN. UMNO tetap rasis dulu, kini dan selamanya. Apa tah lagi sekarang kini UMNO udah ada Perkasa yang menyediakan bahan bakar untuk api perkauman bersemarak lebih tinggi.

Anda tak ingat ker bagaimana UMNO memperlakukan anda sewaktu anda berkuasa di Pulau Pinang dulu? Dan pemimpin UMNO itu sudah bebas sekarang malah diangkat wira lagi. Cuma Gerakan masih mahu terhegeh-hegeh bersama BN sebab kamu nak kekalkan jawatan menteri kamu di atas nama seorang yang bergelar senator.


Puad Diberitahu: Jangan Perbodohkan Rakyat Kelantan!

Posted: 03 Oct 2010 09:30 PM PDT

Puad kena 'boo' kata Kelantan tidak disisih

KOTA BHARU, 3 Okt: Jarang kita melihat ada menteri yang diboo orang ramai pada wacana perdana apabila jawapan diberi tidak dapat diterima penonton.

Itulah nasib yang menimpa Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zakarshi apabila menganggap Kelantan tidak disisih dalam konteks semangat federalisme di negara ini.

Katanya, penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tidak menggambarkan Kelantan diganggu gugat kerajaan Persekutuan.

"Sebenarnya ramai tidak faham apa itu federalisme," katanya ketika menjawab soalan pada wacana perdana bertajuk Wawasan 2020, Realiti atau Ilusi yang diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre di sini, malam tadi.

Belum pun sempat Puad menjawab orang ramai meneriak dan memboo berkali-kali jawapannya.

Ekoran itu katanya, "kalau tidak mahu mendengar tak apa lebih baik saya alih kepada soalan lain."

Sejak awal wacana lagi Dr Puad tidak disenangi penonton apabila banyak jawapannya lebih bersifat teknikal yang sukar difahami orang ramai yang memenuhi ruang dewan tersebut.

Dua lagi ahli panel, anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Maamor Osman. Manakala Prof Madya Dr Mohd Agus Yusof bertindak sebagai moderator.

Wacana siri keenam itu dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Pada wacana yang diadakan pertengahan tahun lepas, Puad membatalkan kehadiran di saat-saat akhir.

Ekoran itu pihak penganjur menjemputnya buat kali kedua malam tadi.

Ketika menjawab isu tuntutan royalti minyak kerajaan Kelantan, Puad mengulangi pendirian kerajaan pusat dengan mengatakan negeri ini tidak layak menerimanya.

Asas jawapan yang digunakan iaitu lebih dari tiga batu nautika.

Bagaimanapun hujah itu ditolak Saifuddin dengan membentang fakta perjanjian di antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.

Ketika Dr Puad menyebut fakta 3 batu nautika penonton sekali lagi naik angin dengan menyebut pelawak (bohong).

Malah katanya, kalau ramai masih tidak puas hati beliau sanggup menyertai debat dalam isu tersebut.

Namun katanya, beliau tidak mahu menghurai panjang isu berkenaan kerana ia sudah dibawa ke mahkamah oleh kerajaan negeri.

"Biarlah mahkamah yang membuat keputusan," katanya.

Turut mengikut forum tersebut ramai di kalangan warga pendidik.

Bagaimanapun ramai di kalangan mereka tidak senang dengan jawapan diberi Puad dalam banyak isu.

Seorang dari mereka menyebut jawapan timbalan menteri hanya berputar pada perkara yang sama kerana tidak ada hujah bernas.

Seorang lagi guru yang juga aktivis Umno mencadangkan kerajaan negeri menganjurkan wacana bertajuk 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan.

Pada sidang media selepas itu, Dr Puad memuji pihak penganjur mengadakan wacana tersebut yang dianggap sebagai satu permulaan yang baik.

Bagaimananapun beliau agak terkilan apabila penonton tidak dapat mengawal emosi.

"Sepatutnya kita mendengar dahulu pandangan orang lain.

"Wacana ini merupakan satu platform yang baik dan perlu diteruskan. Ini dapat melahirkan generasi muda yang lebih terbuka," ujarnya. -harakahdaily

Ulasan GB

Kita berharap Puad Zakarshi telah mendapat mesej yang jelas dari rakyat Kelantan, bahawa kamu Puad, usah berdalih dan jangan samasekali memperbodohkan rakyat Kelantan.

Kerajaan UMNO BN yang tidak menghormati semangat Federalisma serta terus melakukan rampasan royalti lambat-laun pasti akan tersungkur ke bumi.

Kelantan adalah negeri yang miskin tetapi dipimpin oleh seorang yang beriman dengan hukum-hakamNya, lalu Allah melimpahkan kepada Kelantan hasil minyak yang banyak, namun ia dirompak oleh Kerajaan UMNO BN. Allah menangguhkan hukumanNya ke atas UMNO BN sehinggalah ke satu masa, pada satu hari yang tidak akan dapat ditolak.

Sultan Ismail Petra Hendak Dilarikan Ke Siam?

Posted: 03 Oct 2010 08:30 PM PDT

1. Kami telah menerima maklumat terperinci dari sumber-sumber yang berwibawa mengenai perancangan pihak tertentu untuk membawa keluar secara sembunyi-sembunyi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra keluar dari Kelantan menuju ke Thailand melalui Takbai dan Pattani untuk bersemayam di sana.

2. Kami merasa amat bimbang jika perancangan ini, yang akan cuba dibuat di dalam masa terdekat ini, berjaya direalisasikan oleh pihak berkenaan maka ia akan mendatangkan kesan yang amat negatif ke atas kebajikan dan keselamatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra yang masih di dalam keadaan gering.

3. Kami dengan ini menyeru pihak berkenaan supaya segera menghentikan usaha-usaha untuk terus mempergunakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra untuk kepentingan diri sendiri, apatah lagi apabila usaha-usaha ini menjangkaui tahap membawa lari sekaligus memperjudikan kebajikan dan keselamatan Baginda.

4. Kami dengan ini juga menyeru pihak-pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan perancangan untuk membawa keluar secara sembunyi-sembunyi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra keluar dari Kelantan menuju ke Thailand ini tidak terlaksana.

5. Kami memandang amat serius perkara ini kerana apabila sempadan negara telah diseberangi maka apa-apa sahaja perkara mungkin boleh berlaku kerana kita tidak lagi mempunyai sebarang kawalan ke atasnya. Cukuplah dengan hanya satu insiden yang menyayat hati itu sahaja.

6. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra bukanlah milik peribadi sesiapa sahaja tetapi Baginda adalah milik semua golongan rakyat yang masih tetap mengasihi Baginda seperti dahulu. Sebarang cubaan untuk memisahkan Baginda dari mereka adalah satu tindakan yang amat zalim.

7. Ingatlah, jika kita ditimpa kesusahan, Allah mengajar kita supaya tidak berputus asa daripada, malah supaya menaruh sepenuh harapan kepada, rahmat serta pertolongan-Nya (dan bukan supaya menaruh sepenuh harapan kepada rahmat serta pertolongan pihak-pihak lain!):

Firman Allah, mafhumnya: "Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf: Ayat 87)

Firman Allah, mafhumnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah jua yang Amat Pengampun, lagi Amat Mengasihani." (Surah al-Zumar: Ayat 53)

8. Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Ilahi agar Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra sentiasa berada di dalam peliharaan dan lindungan-Nya. Jauhkanlah Baginda, ya Allah, dari sebarang perbuatan zalim walau oleh mana-mana pihak sekalipun.
THURSDAY, SEPTEMBER 30, 2010 -kelantaninsider

Kisah Gadis Zaman Sekarang

Posted: 03 Oct 2010 07:00 PM PDT

Helah gadis laram baju

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tidak menyangka tindakan anak gadisnya berusia 17 tahun melaram dengan berhias diri serta memakai seluar jeans dan berbaju-T ketika menunaikan solat Isyak di kediaman mereka di Kampung Melayu Baru, Gelang Patah, di sini, Khamis lalu, adalah rancangan gadis terbabit untuk melarikan diri bersama kekasih.

Salina Salleh, 41, berkata, dia terkilan apabila mendapati anaknya, Nazlia Mohamed Azlan Putra menghilangkan diri dari kediaman mereka sejurus azan Subuh keesokan harinya (Jumaat).

Menurutnya, hanya selepas kejadian dia dan suami faham mengenai perubahan sikap Nazlia berpakaian pelik seolah-olah mahu keluar bersiar-siar walaupun ketika menunaikan solat bersama-sama.

"Kami tidak menduga kejadian seperti itu berlaku memandangkan hampir dua bulan saya dan suami mengawasi kegiatannya di dalam mahupun di luar rumah kerana sedar cubaan teman lelaki Nazlia mempengaruhinya supaya melarikan diri.

"Saya sanggup bersengkang mata menjaga Nazlia dan melarang dia bertemu lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit, termasuk menghalang mereka berkomunikasi menerusi telefon bimbit," katanya.

Menurut Salina, ini bukan kali pertama Nazlia melarikan diri dari rumah kerana sebulan lalu, perkara sama dilakukan gadis itu dengan seorang daripada teman lelakinya.

Bagaimanapun, Nazlia berjaya ditemui hasil maklumat seorang kenalan keluarga mereka. Salina sekeluarga semakin bimbang dengan perlakuan Nazlia kerana dia terus hanyut dengan gelora cinta, malah sanggup melarikan diri buat kali kedua.

"Selepas azan Subuh pagi kejadian, kami dapati Nazlia sudah tiada di biliknya dan pemeriksaan mendapati barangan peribadi miliknya juga di bawa bersama.

"Kami cuba mencarinya di kawasan sekitar, tetapi hanya menemui motosikal ditunggangnya ditinggalkan di hentian bas Gelang Patah," katanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada hari kejadian.

Pemeriksaan pada telefon bimbit Salina mendapati nombor tidak dikenali dan rujukan pada buku nota Nazlia, nombor berkenaan milik teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Rin.

Menurut Salina, keluarganya yakin Nazlia termakan kata-kata manis yang dikirim Rin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa pengetahuan mereka ke telefon bimbitnya.

Sementara itu, bapa Nazlia, Mohamed Azlan Putra Omar, 48, berkata, dia ada menghantar SMS kepada Rin bertanyakan keadaan anaknya dan lelaki terbabit mengakui gadis berkenaan kini bersamanya.

"Bagaimanapun, Rin enggan memberikan alamat dengan alasan Nazlia enggan pulang. Selepas dipujuk barulah lelaki terbabit memaklumkan mereka berada di sebuah rumah di kawasan Felda di Kota Tinggi.

"Jika benar mereka menyukai antara satu sama lain, kami tidak menghalang, tetapi biarlah Nazlia pulang ke rumah dulu. Urusan seterusnya biarlah keluarga menyelesaikannya mengikut agama serta adat," katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azlan turut berharap Nazlia menamatkan kursus pengurusan komputer diikuti di Pusat Giat Mara sejak tiga bulan lalu sebelum memutuskan untuk berkahwin. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nazlia diminta menghubungi talian 016-7360978, 014-3868532 atau balai polis berhampiran. -hmetro


Kes 2

Keluarga terima dua panggilan berbeza

PRAI: Kelibat bakal pengantin, Siti Nor Paraf Ismail, 22, yang dilaporkan hilang sejak 25 September lalu selepas menghantar kad jemputan majlis perkahwinannya kepada rakan di Pinang Tunggal, Kepala Batas, didakwa dilihat di dua negeri berbeza.

Ahli keluarga gadis berkenaan, Abdul Razak Darus, berkata sejurus berita kehilangannya disiarkan Harian Metro Sabtu lalu, dia menerima dua panggilan telefon masing-masing daripada lelaki dan wanita yang mendakwa Siti Nor Paraf berada di Sabah dan Gerik, Perak.

"Kira-kira jam 9 pagi semalam (Sabtu), seorang gadis yang mendakwa dirinya pelajar menghubungi saya melalui nombor telefon yang tertera dan menyatakan Siti Nor Paraf ada di Sabah dan ketika itu tidur di sebuah asrama pelajar.

"Gadis itu memberitahu dia menyelamatkan Siti Nor Paraf daripada satu kumpulan yang menculiknya dan meminta kami mengirimkan RM800 untuk membeli tiket kapal terbang untuk membolehkan Siti Nor Paraf pulang dari Sabah ke Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi semalam.

Abdul Razak berkata, kira-kira jam 2 petang hari sama, seorang lelaki yang menggelarkan dirinya Pak Long, menghubunginya dan menyatakan ternampak kelibat seorang gadis seakan-akan Siti Nor Paraf di pekan Gerik, Perak sejak lima hari lalu.

Begitupun katanya, Pak Long memberitahunya gadis itu tidak bertudung dan berjalan bersama seorang lelaki berusia sekitar 20-an. -hmetro

Azmin Serang Zaid Habis-habisan Setelah Mendapat Pencalonan Tertinggi

Posted: 03 Oct 2010 05:30 PM PDT

Azmin kecam pemimpin baru yang cuba hancurkan parti

AMPANG: Naib Presiden PKR Azmin Ali hari ini mengecam pemimpin yang baru menyertai parti yang didakwa bersekongkol dengan media Umno untuk menghancurkan parti.

Beliau yang akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR berkata, pemimpin itu mencerca dan pempersoalkan pimpinan parti secara terbuka melalui akhbar milik Umno.

Katanya, jangan ingat dalam demokrasi akan bebas segala-galanya dan bercakap kepada media yang yang sebelum ini kita kata `kertas tandas.' Bagaimanapun, ahli parlimen Gombak berkata, beliau akan melawan mana-mana individu yang sanggup menghancurkan parti.

Beliau turut meminta ahli PKR menolak pemimpin ini sebaliknya memilih pemimpin yang telah terbukti kesetiaannya kepada perjuangan parti. "Individu (pemimpin) ini telah mempertikaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua umum parti kita.

"Siapa kita nak pertikaikan Anwar Ibrahim. Cermin muka dulu, kalau kita jadi pemimpin adakah kita boleh bawa agenda reformasi," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat PKR cabang Gombak hari ini yang dihadiri kira-kira 100 orang.

Individu ini, kata Azmin turut memperkecil-perkecilkan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali.

"Jawatan presiden yang disandang oleh Dr Wan Azizah, dia kata boneka sahaja. Syed Husin , pemimpin yang cukup berpengalam yang menghambakan diri kepada perjuangan parti pula dia kata nyanyuk atau nyanyu.

"Individu ini baru setahun menyertai PKR tetapi tidak faham agenda reformasi yang ditegaskan dalam dekrelasi Permatang Pauh 10 tahun yang lalu,"katanya.

Azmin menambah, "adakah pemimpin ini yang hendak kita pilih menjadi pemimpin parti kita."

Menurutnya, setelah menang besar pada 2008, gerombolan datang untuk masuk PKR dan parti menerima dengan tangan terbuka.

Tetapi, katanya, ada juga yang masuk untuk merosakkan parti.

Dalam ucapan kira-kira 40 minit itu, orang kuat Anwar itu turut menempelak beberapa pemimpin lain yang telah melompat parti.

"Ada ahli yang baru dua tahun menjadi ahli parlimen melompat parti, ada wakil rakyat yang khianat dan ada pemimpin yang tidak tahan diuji lompat parti dan dapat jawatan Senator," katanya.

Azmin ketika ditemui selepas majlis itu berkata, beliau akan mencadangkan kepada parti supaya mengadakan sistem iaitu mengutamakan kesetiaan sebelum boleh bertanding.

Katanya, dua tahun pertama setelah menyertai PKR adalah untuk melihat dan menguji kesetiaan.

"Selepas dua tahun barulah mereka bertanding jawatan parti, mungkin cara ini lebih baik kepada parti," katanya. -FMT


MB Selangor: Jangan cerca lawan, kempen secara tertib
October 03, 2010

KUALA SELANGOR, 3 Okt — Walaupun kecewa dengan insiden pergaduhan yang berlaku semasa proses pengiraan undi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Sabak Bernam malam tadi, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan ia sebagai pengajaran berguna dalam menguruskan pemilihan parti pada masa akan datang.

Beliau berkata anggota parti mesti matang untuk menerima keputusan pemilihan sama ada kalah atau menang dan ia ditentukan menerusi kertas undi.

"Dalam kempen juga, ia mesti dilakukan dengan tertib, tidak boleh mencerca lawan sebaliknya berbincang bagaimana calon boleh meningkatkan prestasi parti.


"Saya percaya kalau ini dilakukan sudah tentu rakyat memberi kepercayaan kepada parti untuk menerajui mana-mana negeri atau negara," kata beliau yang ditemui ketika meninjau proses pemilihan PKR cabang Kuala Selangor di Stadium Tertutup di sini hari ini.

Setakat pukul 12.30 tengah hari proses pemilihan masih berjalan dalam keadaan aman dan lancar.

Ditanya kekecohan terbaru pada pemilihan PKR cabang Sabak Bernam, Khalid yang mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor enggan mengulas kerana ia adalah tanggung jawab Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

"JPP telah dilantik untuk membuat laporan dan mencadangkan apa-apa keputusan yang boleh diambil untuk menyelesaikan perkara ini.

"Ia kemudian tertakluk kepada Jawatankuasa Politik Pusat untuk pelaksanaan seterusnya," katanya.

Mengenai pencalonan di peringkat Majlis Pimpinan PKR Pusat (MPP) Ahad depan dan diikuti kempen untuk menentukan pemilihan pemimpin tertinggi parti selepas itu, Khalid berharap pemilihan dilakukan secara tertib dan kemas sebagai contoh kepada masyarakat bahawa PKR dapat memilih pemimpin yang akan ditentukan oleh 400,000 anggota parti.

Beliau berkata Selangor adalah kawasan terpenting dalam pemilihan MPP kerana ia mempunyai 100,000 orang keanggotaan.

"Ini bermakna lebih 25 peratus daripada pengundi adalah di Selangor dan sudah tentu mempunyai kuasa pemilihan yang besar berbanding 12 kawasan lain.

"Jadi, sudah tentu kita akan menghadapi satu kempen yang hebat di Selangor," katanya.

Pada pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor kali ini, Khalid dijangka ditentang dua bekas pemimpin PKR cabang iaitu bekas Ketua AMK, Mazli Saring dan bekas Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, selain seorang anggota biasa bekas guru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah.

Seramai 6,123 ahli PKR Cabang Kuala Selangor layak mengundi pada kali ini. -TMI


Ulasan GB

GB dah kata, kebenaran akan terdedah juga. Azmin sendiri kini mendedahkan personalitinya yang sebenar.

Kerana mungkin terpesona dengan jumlah pencalonan yang begitu banyak diterimanya, kini Azmin bangun dengan segala keangkuhan menyerang lawannya.

Serangan 1: Beliau menuduh Zaid menggunakan media UMNO iaitu Utusan.

Azmin juga menggunakan media UMNO, Berita Harian untuk mengangkat dirinya sendiri.

"Saya berkhidmat dengan Anwar selama lebih 26 tahun termasuk 13 tahun dalam kerajaan dan saya adalah pegawai yang paling lama memberikan khidmat kepada beliau, tujuh tahun ketika beliau berada dalam penjara saya terus setia pada perjuangan dan menjaga kebajikan keluarganya.

Saya tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangan ketika PKR berada pada tahap paling lemah terutama ketika pasca 2004 walaupun pemimpin lain bertindak keluar parti. Ini adalah sejarah yang tidak boleh dipadamkan, saya diuji, teruji tetapi tetap istiqamah dalam perjuangan, katanya kepada Berita Harian."


Selain menggunakan media UMNO, tidak ada yang jelek selain dari perbuatannya memasukkan diri ke dalam bakul, sama perangai dengan Ezam yang masuk dalam kotak.

Zaid sendiri mungkin tidak tahu bahawa Utusan Malaysia mewawancaranya secara ekslusif dan disiarkan secara penuh wawancara itu kerana berkemungkinan Zaid hanya menjangka wartawan-wartawan Utusan itu sekadar ingin mendapatkan berita daripadanya. Sementelah lagi, media-media PKR seperti Suara keadilan dan TVSelangor telah menutup semua ruang untuk Zaid.

Zaid belum lagi masuk bakul!

Serangan 2: Kata Azmin "Individu ini baru setahun menyertai PKR tetapi tidak faham agenda reformasi.."

Betul tulis seorang pengkomen di dalam blog GB. Katanya: Orang boleh tawarkan diri untuk rebut jawatan sejak di hari pertama seseorang itu menjadi ahli. Perlembagaan parti tidak menghalangnya. Anwar, atau sesiapa juga tak boleh halang.

Lama di dalam parti tak semestinya boleh membela ahli, baru di dalam parti tak semestinya perlu dihalang untuk bertanding merebut mana-mana jawatan dalam parti.

Gila apa nak halang2 ahli bertanding. Mana demokrasi yang dilaung-laungkan oleh parti?.


Fikir-fikirkanlah!



Khalid Menang Di Kuala Selangor, Azmin Di Gombak, Gobala Di Padang Serai

Posted: 03 Oct 2010 03:22 PM PDT

Update Keputusan Ketua Cabang Kuala Selangor : TS Khalid 772, Kamil 348, Mazli 122, Undi rosak 202.

Azmin pertahan Gombak, Padang Serai milik Gobalakrishnan

PETALING JAYA: Calon kegemaran untuk jawatan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini berjaya mempertahankan pengaruhnya di cabang Gombak apabila mendapat undian majoriti untuk jawatan ketua cabang.

Keputusan rasmi kira-kira 10 malam tadi memutuskan Azmin yang juga ahli parlimen kawasan tersebut memperoleh 324 undi, manakala pencabar tunggalnya Bakar Ninggal hanya mendapat 60 undi.

Di Kedah pula, perebutan tiga penjuru bagi jawatan ketua cabang Pedang Serai terjawab apabila ahli parlimennya, N Gobalakrishnan berjaya memenangi pertaruhan tersebut setelah dua minggu tertangguh akibat masalah 'teknikal'.

Menurut Gobalakrishnan ketika dihubungi FMT, beliau berjaya memperolehi undi sebanyak 412 undi berbanding pencabarnya Shamsul Anuar Abdullah yang hanya mendapat 217 undi. Manakala calon ketiga V Sandrasekharan mendapat hanya 159 undi.

Kemenangan itu sekaligus memberikan nafas baru kepada cabang Padang Serai setelah penyandang ketua cabang terdahulu yang dikenali sebagai 'Cikgu Hamid' bertindak keluar PKR dan menyertai Umno pada tahun lalu.

Sementara itu, pengerusi tetap yang juga calon Naib Presiden Yahya Sahri mendapat mandat daripada akar umbi untuk menerajui cabang Tanjong Karang apabila diumumkan menang tanpa bertanding.

Berlainan pula bagi nasib Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban Raveentharan Subramaniam apabila tewas kepada peguam Lim Boo Chang yang menyapu bersih undian bagi jawatan ketua cabang Bukit Gelugor.

Di cabang Ampang, sumber dalaman parti menjangkakan kemenangan besar bagi Ketua Wanita PKR Pusat yang juga ahli parlimen kawasan tersebut Zuraida Kamaruddin berikutan kemenangan barisan pasukannya merebut jawatan Ketua Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang.

Manakala nasib Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim masih lagi samar berikutan pengiraan undi bagi ketua cabang masih dijalankan dan keputusannya dijangka akan diumumkan kira-kira 11malam nanti.

Keputusan seri di Pandan

Di cabang Pandan pula, keadaan menjadi agak rumit apabila pengiraan undi antara Nik Md Zain Nik Mohamad dan Zakaria Abdul Rahim mendapati kedua-duanya mendapat undi yang sama dengan 105 undi bagi merebut jawatan ketua cabang.

Pengawas Jawatakuasa Pemilihan Pusat (JPP) Mohd Yusof Mohd Amin berkata, berikutan persamaan jumlah undi pihaknya telah menerima bantahan daripada kedua-dua pihak dan ini akan diputuskan oleh JPP kelak.

"Perkara ini adalah diluar jangkaan kerana jumlahnya tetap sama walaupun pihak kami sudah melakukan pengiraan undi semula," katanya ketika dihubungi FMT.

Di Sarawak, mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) di cabang Sarikei, Sibu, Selangau, serta Kanowit dilaporkan berjalan dengan lancar pada hari ini.

Namun MATC terpaksa ditangguhkan di Sibuti kerana bilangan keahlian yang tidak mencukupi, dan cabang Baram akibat ketiadaan pengawas JPP kerana dikatakan 'sibuk dengan persiapan Konvensyen Nasional November ini'.

Timbalan Presiden: Azmin 'berpengaruh' di Selangor

Peluang Azmin merebut jawatan Timbalan Presiden PKR semakin cerah apabila enam daripada lapan cabang di Selangor yang bermesyuarat hari ini mencalonkan beliau untuk jawatan tersebut.

Menariknya, di cabang Ampang wujudnya pertandingan untuk pencalonan jawatan timbalan presiden apabila Azmin menang besar sebanyak 164 undi mengalahkan pesaingnya Khalid Ibrahim yang hanya mendapat 43 undi.

Manakala pencabar terdekatnya Zaid Ibrahim tidak mendapat sebarang pencalonan bagi timbalan presiden di Selangor, namun masih mendapat sokongan di cabang Padang Serai, Bukit Gelugor dan Gelang Patah.

Zaid turut mendapat pencalonan ketiga bagi jawatan presiden di Pontian walaupun beliau hanya berminat untuk bertanding timbalan presiden.

Di bawah merupakan pencalonan terkini yang diterima FMT di setiap cabang yang bermesyuarat hari ini:

SELANGOR:

Tanjong Karang

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Azmin Ali
Naib Presiden: Yahya Sahri, Nurul Izzah Anwar, Suresh Kumar, Dr Xavier Jeyakumar
Ketua Cabang: Yahya Sahri (menang tanpa bertanding)

Kuala Selangor

Presiden: Datuk Seri Anwar Ibrahim
Timbalan: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Naib Presiden: Tan Sri Khalid Ibrahim, Azmin Ali, Suresh Kumar, Mustafa Kamil Ayub

Selayang

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Azmin Ali
Naib Presiden: Tian Chua, Fuziah Salleh, Lee Boon Chye, Yahya Sahri

Gombak

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Azmin Ali
Naib Presiden: Mansor Osman, Dr Lee Boon Chye, Dr Xavier Jeyakumar, Baru Bian

Ampang

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Azmin Ali (164) Khalid (43)
Naib Presiden: Shamsul Iskandar, Fuziah Salleh, Abdullah Sani, Yusmadi Yusoff

Hulu Langat

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Azmin Ali
Naib Presiden: Dr Xavier Jeyakumar, S Manikavasagam, R Sivarasa, Tan Sri Khalid Ibrahim

Serdang

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Azmin Ali
Naib Presiden: Nurul Izzah Anwar, R Sivarasa, Mustaffa Kamil Ayub, Shamsul Iskandar

Pandan

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Mustaffa Kamil Ayub
Naib Presiden: Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Tan Sri Khalid Ibrahim, R Sivarasa

KEDAH:

Padang Serai

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Datuk Zaid Ibrahim
Naib Presiden: N Gobalakrishnan, Datuk Dr Jeffrey Kittingan, Mustaffa Kamil Ayub, Nurul Izzah Anwar
Ketua Cabang: N Gobalakrishnan

PULAU PINANG:

Bukit Gelugor

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Datuk Zaid Ibrahim
Naib Presiden: Mansor Othman, Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar
Ketua Cabang: Lim Boo Chang

JOHOR:

Gelang Patah

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Datuk Zaid Ibrahim
Naib Presiden: Shamsul Iskandar Mohd Akin, Fuziah Salleh, Datuk Dr Chua Jui Meng, Nurul Izzah Anwar

Kulai

Presiden: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan: Azmin Ali
Naib Presiden: Datuk Zaid Ibrahim, Tian Chua, Saiman Marzuki, S Manikavasagam

Pontian

Presiden: Datuk Zaid Ibrahim
Timbalan: Azmin Ali
Naib Presiden: Fuziah Salleh, Mustaffa Kamil Ayub, Dr Lee Boon Chye, Saiman Marzuki

SARAWAK:

Sibu - tiada pencalonan untuk jawatan Pusat

Sibuti- tangguh

Baram- tangguh


Tengku Razaleigh Tolak Jadi Calon Di Pilihanraya Kecil Galas?

Posted: 03 Oct 2010 08:56 AM PDT

Menurut laporan daripada Kwong Wah Daily, Tengku Razaleigh atau dikenali Kuli tidak akan menerima cadangan untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Galas.

Tetapi beliau mungkin akan menjadi ketua dalam kempen pilihan raya kecil tersebut.

Seorang yang dekat dengan Kuli telah memberitahu pembrita bahawa kebarangkalian Kuli akan menerima pencalonan tersebut adalah hampir tidak mungkin. Hal ini kerana beliau sanggup untuk memberikan peluang kepada mereka yang lebih muda. Selain itu, beliau juga dipilih sebagai Ahli Parlimen Gua Musang sebanyak 9 kali.

Selian itu, penolong khas bagi Tengku Razaleight juga memberitahu pemberita bahawa beliau akan membuat pengumuman penting di KLIA pada 9 September 2010.

Berita ini diterjemahkan daripada www.kwongwah.com.my
http://www.kwongwah.com.my/news/2010/10/03/9.html


sumber: gomalaysian

Galas: PAS Sudah Tetapkan Untuk Bertanding

Posted: 03 Oct 2010 08:11 AM PDT

PAS tetap tanding di Galas, soal Ku Li tak sentuh

KUALA LUMPUR, 3 Okt — PAS membuat keputusan muktamad akan meletakan calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong selepas penyandangnya dari parti itu meninggal dunia Isnin lalu.

Pendirian ini dicapai pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat PAS di sini, petang tadi.

PAS juga melantik Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Fatah Harun sebagai pengarah operasi manakala Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman sebagai pengarah strategi.

"Mesyuarat tadi ada membincangkan soal pilihan raya kecil Galas, kami sudah mengambil keputusan akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Galas," kata Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata beliau, mesyuarat hari ini tidak menyentuh soal cakap-cakap bahawa Umno-BN akan menurunkan Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di Galas.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 Oktober lepas akibat barah usus.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil Rabu ini.

Mahfuz juga berkata pihaknya juga tidak membincangkan soal calon pada mesyuarat hari ini.

"Lagipun kawasan Gua Musang dan negeri belum membincangkan soal calon, ia belum diangkat ke peringkat negeri.

"Perkara itu akan dibincangkan selepas kemudian. Tarikh pelancaran jentera dan pengumuman nama calon akan diputuskan oleh jawatankuasa jentera pilihan raya yang dibentuk," kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengesahkan isu soal calon tidak disentuh hari ini.

Mengenai saranan kemungkinan Tengku Razaleigh akan diturunkan oleh Umno-BN, Tuan Ibrahim menjelaskan pihaknya juga tidak menyentuh soalan itu, lagi pun Ahli Parlimen Gua Musang itu sendiri tidak mengatakan apa-apa.

"Kami hanya bincang soal pembentukan jawatankuasa operasi dan induk... soal Ku Li bukan agenda mesyuarat," katanya lagi.

Kata Tuan Ibrahim, satu mesyuarat khas akan diadakan kemudian untuk membincangkan soal calon khususnya selepas tarikh pilihan raya kecil diputuskan. -TMI

Kedudukan Khalid Di Kuala S'ngor Diketahui Tengah Malam Ini

Posted: 03 Oct 2010 06:06 AM PDT

Status Khalid dijangka tengah malam

Gambar: Suasana tenang ketika Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pemilihan calon pemimpin semasa proses mengundi Pemilihan Pemimpin Cabang PKR Kuala Selangor di Shah Alam, Ahad. - Foto BERNAMA

Sebanyak 18 cabang PKR di Selangor, Johor dan Sarawak akan menjadi yang terakhir mengadakan menyuarat agung tahunan dan pemilihannya bermula pagi ini.

Cabang-cabang itu, tujuh di Selangor, tiga di Johor dan lima di Sarawak dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Kedah dan Pulau Pinang.

Tumpuan hari ini sekitar Selangor - yang menyaksikan penyertaan tokoh-tokoh besar PKR bertanding jawatan tertinggi di peringkat cabang - melibatkan Gombak (Azmin Ali), Kuala Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim), Selayang (William Leong) dan Ampang (Zuraida Kamarudin).

Di Pulau Pinang, pertandingan di Bukit Gelugor antara kumpulan "Berjiwa Rakyat" pimpinan ADUN Batu Uban S Raveentharan dan kumpulan "Progresif" yang dipimpin bekas ADUN Datuk Keramat Lim Boo Chang.

Setakat semalam, berdasarkan keputusan yang berjaya diperoleh, kerusi tumpuan timbalan presiden menyaksikan Azmin Ali mendahului degan 93 pencalonan, Datuk Zaid Ibrahim 35, Mustafa Kamil Ayub 17, Tian Chua 5 dan Khalid Ibrahim sebanyak 4 pencalonan.

Berikut perkembangan semasa pencalonan PKR di seluruh negara:

8.00pm Di Kuala Selangor, debaran kerusi nombor satu di peringkat cabang dijangka berterusan sampai ke tengah malam.

Setakat ini, pengawas pemilihan baru mengasingkan kertas undi untuk peti Pemuda PKR dan Wanita.

7.31pm Bendahari PKR William Leong menang jawatan ketua cabang Selayang.

7.24pm Di Bukit Gelugor, difahamkam Raveentharan dan pasukanya "Berjiwa Rakyat" kalah teruk oleh gelombang "Progresif" yang dipimpin bekas ADUN Datok Keramat Lim Boo Chang.

5.02pm Peti undi untuk cabang Kuala Selangor ditutup pada jam 4 petang tadi, sekali gus bermakna proses pengiraan (kanan) sudah bermula.

Dalam pemelihihan cabang itu, sekurang-kurangnya 1,400 kertas undi dikeluarkan.

Ketua pengawas bagi pemilihan cabang ini Abdul Manaff Yusof ketika ditemui berkata, keputusan akan dapat diketahui lebih awal sekiranya calon untuk jawatan tertinggi bersetuju untuk membuka peti undi mereka terlebih dahulu.

"Ada yang mahu buka peti untuk jawatankuasa lebih dulu, untuk ketua cabang paling akhir sebab mereka mahu keputusan yang klimaks," katanya lagi.

4.08pm Khalid tolak pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden setelah dicadangkan oleh anggota cabangnya Kuala Selangor hari ini.

12.37pm Di Kuala Selangor, pusat pengundian untuk jawatankuasa cabang PKR sesak dengan anggota cabang yang berpusu-pusu memasuki kawasan pengundian di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Sejak tengahari, kira-kira 1,000 orang daripada 6,218 yang layak mengundi telah keluar mengundi.

Khalid yang juga menteri besar Selangor mempertahankan jawatan ketua dicabar bekas ketua penerangan AMK Selangor Mazli Saring.

Seorang lagi pencabarnya ialah M Thamilvaanan @ Muhammad Kamilvaanan Abdullah.

11.41am Keputusan rasmi untuk pemilihan Kelana Jaya semalam pertembungan sengit apabila aktivis kesatuan sekerja Syed Shahir Mohamud (penyandang) menang tipis untuk jawatan ketua dengan enam undi.

Syed Shahir mendapat 422 undi, manakala pencabarnya Razak Jalil mendapat 416 undi.

Manakala regunya ADUN Seri Setia menewaskan pencabarkanya Dr S Vigneswaran dengan hanya 22 undi. Beliau mendapat 423 manakala pencabarnya sebanya 409.

Pemilihan itu penuh warna-warni apabila penyokong Razak meraikan 'kemenangan' mereka lebih awal apabila kiraan baru undi mencecah 400, dakwa sumber yang rapat dengan regu Syed Shahir-Nik Nazmi.

Difahamkan juga terdapat puluhan orang memakai baju bertulis "I am a Trojan Horse (saya musuh dalam selimut), dipercayai menyindir kumpulan tertentu.

11.15am Pemilihan sudah bermula di Gombak. Manakalah mesyuarat agung tahunnya dijadual pada jam 2 petang ini.

Sebanyak 7320 ahli layak mengundi. Peraih undi pelbagai pihak masing-masing kelihatan sibuk mengedarkan 'chai' (senarai regu masing-masing).

10.45am Keadaan masih tenang di Hotel De Palma Ampang, tempat PKR Gombak melangsungkan mesyuarat agungnya. Kelihatan beberapa anggota parti mula mendaftar perlahan-lahan. -mk

Majistret Berumur 28 Tahun Dipenjara 6 Tahun & Denda RM40,000

Posted: 03 Oct 2010 05:00 AM PDT

Majistret dipenjara 6 tahun, denda RM40,000 kerana rasuah

KOTA BHARU: Seorang Majistret dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah.

Mohd Firdaus Ramlan, 28, baru bertugas selama dua tahun sebagai Majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperoleh rasuah berupa wang tunai RM3,000 daripada Md Shani Ishak di sebuah stesen minyak Esso, Machang, kira-kira 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu.

Wang suapan itu dikatakan diperoleh sebagai dorongan baginya melepaskan lelaki berkenaan daripada kesalahan jenayah yang dilakukan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Bagi tuduhan kedua, Mohd Firdaus didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Md Shani di Bilik Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Krai di sini, pada 6 Oktober tahun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, dan Mohd Firdaus diwakili peguam Datuk Shukri Mohammed.

Bagi tuduhan pertama Mohd Firdaus dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000, dan jika tidak dibayar denda, beliau boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan, manakala bagi pertuduhan kedua beliau dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda RM25,000, dan jika denda tidak dibayar beliau boleh dihukum penjara 18 bulan.

Hakim Sabariah Othman mengarahkan agar perintah penjara ditangguhkan sehingga Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan rayuan.

Hukuman denda pula ditangguh tiga bulan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin. - BERNAMA

Ulasan GB

Apa yang menarik di atas?

Umur majistret berkenaan. Baru 28 tahun. Dah berkhidmat selama 2 tahun. Bererti beliau telah menjawat jawatan majistret tatkala berumur 26 tahun.

Ini bererti juga bahawa di negara kita perlantikan majistret hanya bersandarkan kepada kelayakan di atas sijil. Tidak memperdulikan latabelakang dan pengalaman seseorang.

Untuk seseorang yang jawatannya begitu penting, adalah tidak menasabah samasekali untuk melantik seseorang sebagai majistret pada umur yang terlalu muda disamping belum mempunyai pengalaman yang mencukupi di dalam soal-soal kehakiman dan perundangan.

Saya turut merasakan seseorang majistret itu sepatutnya dilantik dari kalangan mereka yang lebih senior, contohnya 5 tahun di dalam perkhidmatan ke atas. latihan guaman selama beberapa tahun sepatutnya menjadi kriteria sebelum seseorang itu dilantik sebagai majistret.

Dimensi Tarbiah Amat Perlu Diperluaskan - GB

Posted: 03 Oct 2010 03:45 AM PDT

Tarbiah agenda paling penting jemaah Islam

MARANG, 3 Okt: Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 berakhir hari ini dengan enam deklarasi.

Enam deklarasi itu disampaikan Timbalan Ketua DPPP, Azman Shapawi Abdul Rani, selaku pengarah program.

Deklarasi itu antaranya ialah DPPP bertekad untuk memperkasakan tarbiah di kalangan pemuda.

"Pemuda mesti memahami semua peringkat tarbiah dalam parti kerana tarbiah merupakan agenda yang paling penting dalam jemaah Islam," kata Azman di majlis penutup ijtima' di Masjid Rusila.

Majlis penutup disempurnakan oleh Ahli Parlimen Mesir dari Ikhwan Muslimin, Sheikh Al-Syed Abdul Mas'ud Mohamed Asqar.

DPPP turut bersetuju untuk mengukuhkan program usram sebagai asas kepada segala gerak kerja parti.

Selain itu, program ijtima' akan dijadikan sebagai program tahunan DPPP sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan tarbiah di kalangan pemuda di semua peringkat.

DPPP turut mengulangi pendirian mereka sebelum ini untuk memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan ulama yang merupakan tunjang kepada PAS yang memperjuangkan Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Menurut Azman juga, DPPP berazam untuk membina sahsiah dalam diri setiap pemuda dengan mendalami segala ilmu pengetahuan merangkumi ilmu dunia dan juga ilmu akhirat.

Selain itu, DPPP akan menjadikan tarbiah merentasi tanzim iaitu semua gerak kerja parti adalah berorentasikan tarbiah bagi mengukuhkan kekuatan dalaman setiap ahli.

Azman dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada semua pemuda dan pemudi yang berjaya menghadirkan diri sehingga ke akhir program berkenaan.

Kehadiran peserta yang mencecah 5,000 orang disifatkan sebagai kejayaan awal DPPP dalam memobilisasi seluruh pemuda ke setiap program dan gerak kerja.

"Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada peserta yang hadir dan istiqamah sehingga berakhirnya program.

"Kehadiran peserta ternyata melebihi jumlah yang kita sasarkan dan ini menunjukkan kejayaan awal DPPP dalam menganjurkan program sebegini," katanya.

Beliau turut memberitahu, ijtima' pemuda pada tahun hadapan akan diadakan di Pulau Melaka, Kelantan.



Ulasan GB

GB telah mengulas mengenai Ijtima' Tarbawi itu di SINI.

Persepsi negatif yang timbul dari segi jawatankuasa penganjur Ijtima' berkenaan berkisar kepada pimpinan yang dilihat dijemput hanya mereka yang dikaitkan dengan gagasan kerajaan perpaduan.

Itu Pemuda punya agenda. GB tak mahu sentuh. Ia perlu diperbaiki di masa muka sebelum nanti menjadi barah yang kronik menyerang jemaah.

Tetapi soal tarbiah yang diberikan penekanan di dalam Ijtima', izinkan GB untuk mengutarakan saranan supaya kurikulum tarbiah yang henk dilaksanakan benar-benar dapat melahirkan petugas yang mampu menggalas cita-cita perjuangan.

Selain daripada aktiviti-aktiviti konvensional seperti usrah yang di dalamnya terkandung pengisian seperti membaiki bacaan Al-quran, pemahaman kitab-kitab haraki, perbincangan isu semasa, namun bagi GB, ruang lingkup tarbiyah hendaklah dibuka dimensinya dengan mengambil-kira aspek fizikal selain dari aspek pembangunan rohaniah dan aqliah. Corak usrah yang dilakukan kini terlalu rigid dan terlalu semalam.

Maksud GB di sini ialah perlu diwujudkan aktiviti baru yang menjurus kepada pemupukan kerjasama, ketabahan, keyakinan diri, serta ketahanan mental dan fizikal.

Antara aktiviti yang GB maksudkan termasuklah seperti 'Flying Fox' yang menghendaki para peserta menyeberangi arus sungai yang deras dengan menggunakan tali yang direntang.

Selain daripada itu, boleh diadakan aktiviti-aktiviti tahan lasak seperti berjalan di permukaan batu kerikil yang tajam, berenang di sungai, menuruni tebing batu yang curam, jungle tracking, compass marching, perlumabaan mengayuh perahu, memanjat tembok, pokok, persilata, tae kwan do dan seumpamanya.

Pemahaman terhadap undang-undang negara juga perlu dilakukan untuk mempastikan pemuda tahu apa yang boleh dan apa yang tidak wajar dilakukan di dalam konteks hidup bernegara. Satu sessi penerangan dan soal-jawab tentang dan bagaimana bertindak apabila berdepan dengan provokasi atau tatkala ditahan oleh pihak berkuasa.

Ini penting. Pemuda sering berdepan dengan tribulasi hebat tatkala menggalas perjuangan seperti di dalam menyertai demo dan seumpamanya. Mereka berdepan dengan tekanan, hambatan malah siksaan dari pihak yang telah diarah untuk melakukan kezaliman ke atas ahli dan pemimpin PR khususnya.

Tanpa keyakinan diri, tanpa kemantapan fizikal dan spiritual, kita khuatir para amilin ini akan menjadi seperti umat Islam di tragedi Tak Bai satu ketika dulu, diangkat dan dicampakkan ke atas lori pihak berkuasa dengan mayat bergelimpangan walaupun ilmu Al-Quran penuh di dada.

Ini sesuai dengan firmanullah:

Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya.. [Surah al-Anfal: 60]

Rasulullah bersabda, "Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada mukmin yang lemah walaupundalam keduanya ada kebaikan".

Selain daripada itu, pendedahan teknik dan teknik "perang baru" perlu diderikan penekanan seperti bagaimana berstrategi di dalam berblogging, konsentrasi isu, dan ketangkasan menangani serangan lawan dan sebagainya.

Muga Ijtima' Tarbawi memberhasilkan sesuatu yang lebih bermakna buat pemuda.

"Kami (Allah) ceritakan kisah mereka kepada engkau (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Rab (Tuhan) mereka, dan Kami (Allah) tambahkan kepada mereka petunjuk.

Dan Kami (Allah) telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri, lalu mereka berkata: "Rabbuna (Tuhan kami) adalah Rab (Tuhan) langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Rab (Tuhan) selain Dia (Allah), kerana jika demikian, sesungguhnya kami telah mengucapkan perkataan yang amat jauh daripada kebenaran".
Al-Kahf : 13-14



Tiada ulasan: