Selasa, 12 Oktober 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Pakatan Rakyat akan kembali tawan Perak

Posted: 12 Oct 2010 06:33 AM PDT

Pakatan Rakyat akan merampas semula Perak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun ada usaha untuk memindahkan para pengundi ke tempat-tempat tertentu, kata Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Pakatan Rakyat, kata naib presiden PAS itu, akan membincangkan pembahagian kerusi di kalangan parti komponen kemudian nanti.

Menurutnya, Pakatan Rakyat juga menilai calon berdasarkan masa pilihan raya diadakan tetapi memberi jaminan hanya calon yang berwibawa akan dipilih.

Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR memenangi PRU 2008 dan membentuk kerajaan negeri Perak sebelum digulingkan, dipercayai didalangi oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak pada 2009.

Ujar beliau, "kalau pilihan raya itu diadakan sekarang atau serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak, Pakatan rakyat akan menang.

BN main kotor?

Nizar berkata, "cuma kita takut Barisan Nasional (BN) main kotor. BN telah memindahkan para pengundi ke kawasan sasaran mereka. Sebagai contoh, para pengundi PAS dari kawasan saya (Pasir Panjang) telah dipindahkan ke Dun Sitiawan.

"Tetapi oleh kerana DAP menang dengan majoriti lebih 8,000 undi di kawasan itu maka ia tidak boleh memberi kemenangan kepada BN," katanya ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Nizar juga berkata, politik dalaman PKR tidak memberi kesan kepada sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat termasuk kepada calon PKR.

Bagaimanapun, naib presiden PAS itu berkata, Pakatan Rakyat perlu menyebarluaskan maklumat kepada penduduk luar bandar termasuk di kawasan peneroka Felda.

"Di kawasan bandar atau separuh bandar, kita tidak ada masalah kerana mereka faham dengan apa yang berlaku," tambahnya.

Nizar berkata, prestasi pentadbiran Najib yang menurun dari 72% kepada 68% juga boleh membantu Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU.

Sementara itu, Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beberapa kenyataan Menteri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menimbulkan tanda tanya.

Ujar beliau, "bancian keluarga miskin di Perak menunjukkan seramai 2,000 keluarga tetapi menteri besar memberitahu terdapat hanya 700 keluarga sahaja. Kita tanya macam mana angka begitu, dia tidak boleh jawab.

"Kita tanya mengenai status tanah seluas 35,000 ekar di Gerik, juga dia tidak boleh jawab. Jadi biar rakyat Perak menilai pentadbiran BN Perak itu," katanya.

Warga emas tolak fitnah Umno

Posted: 12 Oct 2010 06:24 AM PDT

Warga emas sekitar Seberang Perai Utara mengatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta meminta meneruskan program penghargaan kepada golongan veteran pada masa depan.

Seramai 70 orang warga emas yang datang dari Penaga, Kepala Batas, Bagan, Teluk Air Tawar, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Pokok Sena, Lahar Yooi dan kawasan lain turut kesal dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim yang tiba-tiba mengajak mereka mengembalikan RM100 dan RM1,000 untuk para waris jika terdapat kematian warga emas kononnya berpunca dari wang judi.

Bagi mereka, semua itu merupakan mainan politik jahat yang sengaja dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, Reezal Merican Naina Merican yang menuduh pemberian wang pada pertengahan tahun ini berpunca dari wang Kelab Lumba Kuda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man pula meminta warga emas usah terpengaruh dengan dakyah jahat pembangkang negeri ini yang sudah kehabisan modal.

Beliau berkata, sebenarnya wang itu adalah lebihan perbelanjaan Kerajaan Pakatan Rakyat tahun ini sebanyak RM88 juta dan RM20 juta diperuntukkan kepada warga emas sebagai menghargai pengorbanan mereka terhadap kemajuan Pulau Pinang.

"Wang hasil pemberikan Lumba Kuda memang ada tapi ia tidak dimasukkan pada tabung sumbangan kepada warga emas sebaliknya digunakan untuk Rancangan Anti Kemiskinan (RAK) khas untuk masyarakat bukan Islam, " jelasnya lagi.

Seorang warga emas, Zainab Mat (kanan) dari Butterworth menyifatkan, apa yang diperjelaskan oleh kerajaan negeri cukup meyakinkan bahawa semua itu pembohongan.

"Bila datang mendengar sendiri keterangan yang disampaikan oleh Adun dan Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) baru tahu hal sebenar," ujarnya.

Bekas ahli Umno, Abu Bakar Said (kiri) dari Bagan Ajam pula menambah, di zaman BN tidak pernah berlaku ketua menteri melawat surau atau masjid tetapi berlaku di era kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Bila KM sendiri turun padang menziarahi umat Islam di samping memberikan penghargaan warga emas, ia satu peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Bagi Sambasivam (kanan) pula, kini baru beliau tahu hal sebenar mengenai perkara itu kerana selama ini mendengar sebelah pihak sahaja.

Sesi penerangan untuk menolak fitnah Umno itu diadakan di Bangunan Datuk Ahmad Badawi disampaikan oleh beberapa orang Adun termasuk Adun Bagan Dalam, Thanasekharan dan Adun Bagan Jermal, Lim Hock Seng.





Lebih ramai ahli Gerakan akan sertai Pakatan, PCM

Posted: 12 Oct 2010 06:19 AM PDT

Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Gerakan Pulau Pinang yang berakhir Ahad lalu dilihat masih belum meredakan krisis kepimpinan parti itu. Ia berikutan beberapa bahagian yang tidak berpuas hati, mengugut untuk menyertai parti lawan.

Menurut bekas naib presiden Gerakan, Huan Cheng Guan, parti yang baru ditubuhkannya, Parti Cinta Malaysia (PCM) telah didatangi oleh beberapa ahli Gerakan yang bercadang membubarkan bahagian mereka kerana tidak berpuas hati dengan keputusan EGM berkenaan.

EGM pada 10 Oktober lalu memutuskan bahawa lebih separuh daripada 322 perwakilan yang mengundi menyokong Datuk Dr Teng Hock Nan kekal sebagai ketua Gerakan Pulau Pinang. Beliau menang dengan kelebihan 29 undi, manakala 145 perwakilan mahu Teng dilucutkan jawatannya. Terdapat satu undi rosak.

Di sebalik kemenangan Teng, ada perwakilan yang berpendapat rasa tidak puas hati terhadap mereka yang mahu beliau dipecat diberikan tumpuan khas agara pembaharuan dapat dilakukan.

Huan yang sekarang ini adalah naib presiden PCM berkata beberapa pemimpin peringkat bahagian dan cawangan juga telah menyatakan minat mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat atau PCM.

Antara mereka, dakwanya adalah Kebun Sireh yang bercadang membubarkan bahagiannya bagi membolehkan ahlinya menyertai PKR manakala ahli bahagian Bukit Tengah pula dikatakan berminat menyerati DAP.

"Lebih banyak bahagian akan mengambil tindakan yang sama dan membubarkan bahagian masing-masing dan anggota mereka akan menyertai PCM. Orang yang patut dipersalahkan ialah diri Teng sendiri, kerana mengamalkan politik berpuak-puak," Kata Huan.

Ketika dihubungi, ketua bahagian Kebun Sireh, Sim Chooi Kung mengesahkan anggota bahagiannya bercadang meninggalkan Gerakan kerana tidak berpuas hati Teng kekal ketua parti itu meskipun mereka mengundi menentangnya.

Menurut Sim, anggota Kebun Sireh yang dianggarkan berjumlah 250, bebas menyertai mana-mana parti tetapi kebanyakan mereka memilih PKR, meskipun parti itu tidak mempunyai bahagian di kawasan itu.

"Kami bercadang letak jawatan beramai-ramai dan menubuhkan bahagian PKR yang baru. Ahli akan bermesyuarat minggu ini sebelum kami mengumumkan keputusan rasmi," katanya.

Ketua bahagian Bukit Tengah Lee Nam Sim pula keberatan untuk mendedahkan rancangan pembubaran bahagian itu tetapi memberitahu mereka akan bermesyuarat dalam sehari dua ini bagi membincangkan tindakan susulan.

"Selepas berbincang, kita akan membuat keputusan rasmi," kata Lee.

Sementara itu, Teng berkata beliau tidak mempunyai maklumat berhubung desas desus ada bahagian yang mahu meninggalkan Gerakan berikutan EGM berkenaan.

"Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Saya juga tidak akan memanggil untuk bertanyakan mengapa mereka mahu meninggalkan Gerakan. Kita akan lihat apa yang terjadi selepas ini," katanya ketika dihubungi.

Adalah dipercayai ketua bahagian Kepala Batas Gerakan Jeffrey Beh meletakkan jawatannya hari ini bersama 300 penyokongnya.

Nurul tunggu notis rasmi pencalonan

Posted: 11 Oct 2010 11:51 PM PDT

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini. Dalam khidmat pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider, anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih menunggu notis rasmi tentang senarai calon yang layak bertanding untuk jawatan tertinggi parti sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya sedang menunggu kenyataan rasmi dari pejabat pusat tentang senarai calon yang layak bertanding untuk jawatan-jawatan tertinggi parti.

"Bila keluar kenyataan rasmi barulah keputusan boleh dibuat," katanya.

Tiga pemimpin sudah mengesahkan bertanding jawatan timbalan presiden PKR iaitu Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub yang masing-masing merupakan naib presiden PKR dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kelmarin Khalid telah mengumumkan untuk bertanding jawatan nombor dua PKR.
Sebelum ini Nurul Izzah berkata akan mengumumkan pendiriannya kelmarin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu merupakan antara 27 orang yang layak telah bertanding kerusi naib presiden pada pemilihan secara langsung yang juga kali diadakan oleh PKR.

Datuk Zaid Ibrahim yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR disebut-sebut akan bertanding kerusi ini, minggu lalu menyatakan kesediaan memberi laluan kepada Nurul Izzah jika bersedia bersaing jawatan timbalan presiden.





Dari The Malaysian Insider

Persimpangan Terakhir buat Kuli?

Posted: 11 Oct 2010 11:19 PM PDT

Sejarah politik Ku Li yang gemilang di zaman mudanya telah dicantas dengan ja
yanya oleh Dr Mahathir. Beliau yang lebih dilihat kekananannya berbanding Dr Mahathir, telah dilangkaui gara-gara pemilihan yang dilakukan oleh Tun Hussien Onn. Selepas itu Ku Li beberapa kali cuba mencabar, tetapi hanya hampir-hampir mencapai kejayaan pada tahun 1987. Selepas itu kerjaya politiknya semakin malap.

Kalaulah Ku Li tidak membubarkan Parti Melayu Semangat 46 pada 1995, sudah pasti gabungannya dengan Anwar akan memberi kesan berbeza semasa era reformasi. Selepas kembali kepada UMNO Ku Li sering melakukan tindakan 'play safe' takut-takut dia tersilap langkah sekali lagiDi ketika itulah Ku Li dipermain-mainkan oleh Dr Mahathir sehingga rakan-rakan di sekelilingnya termasuklah 'budak' setia beliau Ahmad Shabery Chik sendiri mulai merenggangkan diri daripadanya. Kini tinggallah Ku Li terkontang-kanting berpencak dalam UMNO.

Ku Li cuba mencabar beberapa kali, yang cabarannya bukan dengan mereka yang kecil-kecil politik. Beliau cuba mencabar bertanding sebagai Presiden UMNO, tetapi pencalonannya sangat sedikit. Kawasan yang begitu setia mencalonkannya ialah Gua Musang. Itupun dalam pemilihan yang lalu Gua Musang sendiri hampir-hampir tidak mencalonkan Ku Li. Dari segi politik, kerjaya politik Ku Li hampir berkubur melainkan kubu politiknya di Gua Musang. Hadirnya Ku Li dalam politik UMNO dan politik Malaysia seumpama 'melukut di tepi gantang'. Ku Li benar-benar mengharapkan lampu ajaib Aladdin untuk kembali semula ke persada politik tanahair.

Kali terakhir usaha yang dilakukan oleh Ku Li sebagai lampu ajaib ialah mengg
agaskan Kerajaan perpaduan. Menurut sumber-sumber tertentu, hampir-hampir gagasan itu akan mengangkat semula Ku Li ke persada politik, tetapi sekali lagi musuh tradisinya Dr Mahathir menjadi batu penghalang. Kemudian Ku Li cuba pula menjadi tokoh politik yang diterima semua pihak termasuk menyokong usaha Kelantan untuk mendapatkan royalti petroleum. Sedikit sebanyak usaha ini menaikkan semula martabat politik Ku Li, setidak-tidaknya sejarah penglibatan politik beliau diimbaukan semula.

Bagaimanapun, tiba-tiba UMNO mencadangkan beliau sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil DUN Galas, malah kemungkinan pula menjadi calon. Cadangan ini bukanlah satu penghormatan kepada Ku Li, sebaliknya satu penunjuk arah untuk Ku Li sampai ke garisan penamat politiknya. Ku Li benar-benar berada di penjuru gelagang yang dihimpit oleh kepentingan politik UMNO dan PR khususnya PAS. Tujuan UMNO melantik beliau adalah untuk menamatkan karier politiknya. Berdasarkan PRU 2008, UMNO dan Ku Li sendiri kalah di DUN Galas. Bayangkan kalau keputusan yang sama berulang. Secara tidak langsung pengaruh Ku Li akan dilihat pupus di kubunya sendiri. Sekiranya keputusan sebaliknya, Ku Li tidak mendapat apa-apa merit yang lebih.

Sekiranya beliau menerima pencalonan sebagai Pengarah tersebut, dengan sendirinya pengaruhnya terhadap PR dan PAS khususnya akan putus. Beliau tidak lagi disandarkan harapan oleh PR dan PAS dalam isu royalti dan kemungkinan selepas ini beliau akan benar-benar keseorangan dalam politik. Oleh sebab itu, perkiraan yang dibuat oleh Ku Li seumpama telan mati emak, luah mati ayah. Beliau kini benar-benar telah di Checkmate oleh Najib dan Muhyiddin. Hanya satu pilihan terbaik Ku Li, iaitu menyertai pembangkang pada ketika keemasan begini. Potensi untuk beliau muncul semula dalam politik akan lebih cerah.





Oleh Telaah Politik

Pemilihan 2010 tak hancurkan PKR

Posted: 11 Oct 2010 11:08 PM PDT

Persaingan ekoran pemilihan kaedah langsung julung kali diguna pakai termasuk pertarungan jawatan timbalan presiden tidak akan membawa kepada perpecahan ataupun sama sekali tidak akan menghancurkan PKR, kata Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail.

"Apakah melahirkan sokongan akan membawa perpecahan dalam parti, saya tidak fikir begitu," kata beliau pada satu pertemuan di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau yang dilantik sebagai ketua pentadbir Februari lalu berkata, beliau percaya bahawa sebuah parti yang matang harus boleh menguruskan perbezaan pendapat dengan baik dan ia berlaku dalam PKR dari semasa ke semasa.

Kata Saifuddin, perbezaan pendapat paling besar berlaku dalam sejarah PKR adalah ketika merundingkan idea penggabungan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang membawa kepada PKR.

"Tak ramai orang yang ingat proses percantuman itu memerlukan diadakan tiga kongres khas. Mula-mula di Kelana Jaya, usul bercantum Keadilan dan PRM, tewas dengan 11 undi.

"Maka tak jadilah bercantum," kata beliau sambil memberitahu, ia telah dibawa ke kongres khas di Kemaman dan Sungai Petani.

Sambil menegaskan pandangan bahawa PKR akan hancur bukan baru pertama kali didengar, kata beliau, ia terus dibangkitkan oleh musuh mereka khususnya Umno dan rakan-rakan mereka sepanjang sedekad lalu.

"Saya masih ingat editorial sebuah akhbar perdana bahawa Keadilan (PKR) ini hancur bersepai dah, sebab kumpulan yang pro-Abim sudah meninggalkan parti, berdondong-dondong, ayat yang digunakan.. dan satu lagi, perpecahan yang tiada perekat, yang boleh mendekatkan (semula). Keadilan dianggap sebagai sesuatu yang palsu," katanya.

Pun begitu, Saifuddin yang mengetuai proses pemilihan keempat bagi PKR sejak ia ditubuhkan menjelaskan, kemudian PKR terbukti muncul sebuah parti pelbagai kaum yang "gagah selepas episod itu."

"Kalau percantuman dua parti yang berbeza budaya, berbeza pendekatan, berbeza sasaran kumpulan masyarakatnya boleh dicantumkan dan hari ini boleh bergerak sebagai satu kekuatan, apa sangatlah pemilihan parti.

"Kalau kita boleh melepasi ujian itu dengan jayanya, saya optimis perbezaan, sokongan yang ada sekarang boleh saja didekatkan kembali," kata beliau.

PKR selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan cabang 3 Oktober lalu tetapi sembilan cabangnya bermasalah.

Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat.

Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Machang menggariskan ukuran tertentu yang boleh menentukan sama ada hancur atau tidak sesebuah parti pilitik.

"Nak tengok hancur atau tidak parti, mesti ada beberapa petunjuk... (antaranya) berapa banyak kerusi Parlimen dan DUN dimenangi?" katanya.

Pada pilihan raya umum 1999 PKR menang lima kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN.

"Kemudian cantum dengan PRM, dan kita tinggal satu kerusi (pada 2004), maka ramai mengatakan bahawa parti ini sudah hancur.

"Kemudian pada 2008, kami memenangi 31 kerusi Parlimen dan DUN 43, ada kerajaan negeri kita kuasai dan ada negeri yang kami menyumbang kepada kerajaan PR, membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Kedah dan untuk tempoh singkat di Perak.

"Kami juga menerima 1.5 juta undi (populariti) dengan bertanding di 68 kerusi (pada 8 Mac 2008). PAS dapat 1.1 juta manakala DAP pula 1 juta undi," katanya lagi.

Oleh itu Saifuddin berkata, antara pemimpin yang mengasaskan penubuhan PKR 12 tahun lalu berkata, beliau tidak fikir situasi yang digembar-gemburkan seolah-olah PKR sudah hancur atau sedang menuju saat kehancuran hanya kerana persaingan timbalan presiden dilihat begitu tegang.

"Tiada suasana lebih tegang berbanding ketika episod hendak mencantumkan kedua-dua parti. Itu optimis saya berdasarkan fakta-fakta itu," katanya lagi.

Sementara ramai yang beranggapan bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengekalkan jawatan presidennya, tiga orang telah mengesahkan akan bertanding kerusi nombor iaitu dua naib presiden Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub serta Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim menawarkan diri tetapi belum ada pengesahan rasmi setakat ini.

Kesemua mereka yang dicalonkan perlu mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum 16 Oktober ini.

Daripada 145 bahagian atau cabang, mengikut istilah perlembagaan PKR yang mengadakan pemilihan, sembilan cabang bermasalah yang bersamaan dengan 6.2 peratus.

Saifuddin menegaskan PKR sudah melalui ujian lebih mencabar ketika merundingkan penggabungan Keadilan dan PRM. — Gambar
Serangan Umno-BN


Mengenai serangan musuh PKR khususnya Umno dan BN, Saifuddin juga mengkui Umno dan BN sedang memberikan tumpuan yang luar biasa.

"Dan, diterjemahkan dalam bentuk serangan dan juga pandangan negatif terhadap proses pemilihan PKR kali, saya percaya dengan satu niat iaitu memberikan gambaran bahawa PKR tidak ada kemampuan dan keupayaan untuk menjalankan proses pemilihan parti secara satu anggota, satu undi seperti yang kita laksanakan," katanya.

Beliau menambah serangan seumpama itu bertujuan supaya rakyat khususnya akan berpaling sokongan yang mereka berikan kepada PKR jika menggambarkan komponen PR ini tidak punyai keupayaan menjalankan pemilihan parti dengan cekap.

"Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana mesyuarat agung tahunan cabang, pemilihan cabang yang berakhir 3 Oktober, walaupun ada kekurangan di sana, di sini, pengalaman pertama PKR dan sistem baru ini akan memberi satu lonjakan semangat dan juga kekuatan baru kepada parti.

"Oleh itu, niat dan tujuan pemimpin Umno-BN untuk menidakkan keupayaan parti, saya percaya akan berkubur begitu sahaja," katanya.

Saifuddin seterusnya berkata, beliau menilai pandangannya itu berasaskan kepada respons dalam bentuk surat, emel, SMS, panggilan langsung yang diterimanya setakat ini.

"Kalau yang terima itu daripada anggota, saya anggap itu sebagai pujian biasa, tetapi kalau yang memberi maklum balas itu adalah kalangan mereka yang di luar parti, saya anggap ini kejayaan PKR untuk 'reach-out' kepada segmen masyarakat yang sebelum ini pasif terhasap isu-isu politik dan pilihan raya," katanya.

Katanya, antara kesannya ialah mereka memandang tinggi terhadap kesungguhan PKR meneruskan pemilihan parti ini disebut-sebutkan oleh perdana menteri bahawa pilihan raya umum boleh berlangsung bila-bila masa sahaja.

"Kita sanggup berdepan dengan walau apa jua kesan dan akibatnya," katanya lagi.

"Dan, hari ini terbukti bahawa kekecohan yang berlaku adalah pada tahap yang sangat kecil, tahap minimum.

"Ini memerlukan lagi proses pembelajaran dalam PKR. Itu maklum balas-maklum balas yang paling berharga. Kalau tak berlangsung sistem pemilihan langsung ini, ada elemen dan aspek disiplin, kesedaran terhadap perjuangan parti itu diperkukuhkan," katanya.

Saifuddin juga menjustifikasikan persekitaran itu dengan berkata, segmen keanggotaan parti itu yang pelbagai, terdiri daripada kelompok intelektual, kelas menengah, sampai ke peringkat masyarakat bawahan, golongan pekerja dan sebagainya.

"Sudah tentulah tahap pemahaman terhadap perjuangan parti akan berbeza," kata beliau menjawab soalan sama ada benar masalah kekecohan wujud kerana tiada idealisme parti.

"Kenapa Umno tumpu? Lebih kepada mereka hendak menyerang soal keupayaan dan kemampuan parti. Namun hasil adalah sebaliknya.

"Saya melihat bahawa parti telah membuat keputusan yang betul dan kami bergerak di landasan betul, kalau melihat parti masa depan, inilah wajah Malaysia dengan keanggotaan 50 peratus Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus lain-lain.

"Inilah rupa wajah Malaysia akan datang. Kalaulah boleh kita jalankan pemilihan, dan menguruskan parti dengan baik, saya percaya parti mempunyai masa depan yang cerah," kata beliau sambil menambah, parti berurusan dengan manusia yang ada ego, perasaan dan sentimen yang berlainan.

Saifuddin juga tidak menolak tanggapan bahawa PKR terlalu "bercita-cita tinggi" dalam melaksanakan sistem pemilihan langsung sedangkan Umno, dengan tiga juta ahli, sendiri tidak berupaya disebabkan masalah logistik.

"Ini yang membezakan kita dengan umno. Ada seorang ahli MT Umno berkata PKR terlalu 'ambitious', sebab itu juga PKR teruskan juga buat pemilihan.

"Saya tanya kenapa Umno tangguh (sistem pemilihan langsung), dia kata Umno menghadapi logistik. Kalau cukup baru kita di Umno akan melakukan, tetapi saya kata biarlah kami (PKR) lakukan.

"Kita buktikan bahawa daripada 204 cabang, 145 bertanding, daripada situ, sembilan bermasalah. Saya fikir pengalaman yang mahal ini, untuk kita tambah nilai," kata Saifuddin yang turut mengakui bahawa pihaknya akan melakukan beberapa penambahbaikan selepas ini.

"... misalnya ketua pentadbir (Setiausaha agung) sedang memikirkan perlembagaan parti dalam soal pemilihan.

"Saya hampir pasti akan mengemukakan beberapa cadangan terhadap perlembagaan parti, misalnya pengundian mesyuarat agung tahunan cabang dan pengundian MPP yang jarak masa begitu panjang, ini menyebabkan kesulitan di peringkat kepimpinan cabang untuk melakukan mobilisasi dua kali, maknanya kos, ertinya persiapan logistik.

"Jadi, alangkah baiknya kalau pengundian cabang dan MPP dibuat pada hari yang sama, bagi membolehkan ini berlaku, pindaan perlembagaan parti mesti dibuat," katanya lagi.

Suasana pemilihan cabang Hulu Selangor pada 2 Oktober lalu, yang menyaksikan pilihan raya kecil April lalu, seolah-olah ia mengadakan pilihan raya.
Kekecewaan


Ditanya sama ada kecewa dengan kekecohan yang berlaku di sesetengah cabang, Saifuddin berkata, "saya, dari sudut pelaksanaan, tentulah saya tidak boleh menyembunyikan rasa kekecewaan."

"Insiden yang berlaku sebenarnya mampu, boleh dielakkan. Pertama, ia berpunca daripada... saya sendiri salah anggar berkenaan dengan lonjakan keghairahan yang luar biasa, saya salah sangka."

Sebagai contoh, ada cabang dengan keanggotaan seramai 5,000 orang hanya menyaksikan penyertaan 200 orang pada mesyuarat tahunan 2004 dan 300 orang tiga tahun lalu.

"Jadi, saya kata saya nak cetak berapa banyak kertas undi? Tetapi rekod 2004 dan 2007, hanya 200 dan 300, tidak sampai pun 10 peratus, tak apalah saya kata kalau cetak 50 peratus, saya selamat... 2,500 okeylah, tapi tiba-tiba yang keluar 3,000 orang. Jadi tidak cukup.

"Pada saya perkara itu boleh dielak kalau ada sikap tolak ansur dan persefahaman misal kata... tetapi tidak.

"Ketika pertandingan berlaku suasana tegang, dia akan tengok setiap perkara, dengan teliti. Jadi sebagai pentadbir parti, saya kecewa atau tidak, saya kecewa," katanya.

"Tetapi sebahagian kekecewaan wujud kerana kelemahan perancangan, di mana kita salah sangka," jelas Saifuddin.

Selain itu, kata beliau, pihaknya awalnya menganggap persaingan pemilihan adalah pertandingan keluarga, tetapi yang berlaku sebaliknya.

"Kita sifatkan ini sebagai pertandingan keluarga, keluarga besar PKR.

"Rupanya tidak. Kalau namanya pertandingan, setengah daripada calon memandang serius, pemilihan parti mestilah standard SPR. Ini berlaku di Hulu Selangor.

"Ada pondok panas, ada tujuh calon ada tujuh pondok panas. Ada ejen calon... maklumkah dia baru ada pilihan raya kecil (April lalu) setiap undi dia kira, begitu juga berlaku di Kelana Jaya," katanya.

"Jika ini keadaan, saya melihat SPR tidak akan senang duduk (nanti)... saya fikir ini berjaya melengkapkan dengan pengalaman di mana kepentingan parti akan dipertahankan, dari segi itu, saya terubat sedikit (walaupun ada kelemahan)," tegas beliau.

Bekas setiausaha Pemuda Umno ini juga menjelaskan, insiden kekecohan di Kuala Langat, Klang dan Kota Raja cuma kecil berbanding pengalaman beliau ketika menguruskan sayap parti dominan BN itu.

"Sebab itu, saya tidak risau. Kalau saya lulus sebagai (bekas) setiausaha Pemuda Umno, saya boleh jadi setiausha agung mana-mana parti, dalam hal-hal menguruskan kekacauan ini... jadi ini kecil sangat.

"Menjawab soalan tadi, dalam kekecohan ada kepuasan," kata beliau.

Mengenai kebimbangan bahawa ekoran kekecohan pemilihan cabang dan pusat akan ada mereka yang mungkin keluar parti, Saifuddin menjawab: "Saya tidak mahu membuat spekulasi, dan saya juga tidak menolak kemungkinan."

"Apabila ada situasi tidak dapat menguruskan yang kalah. ini menguruskan yang kalah, kalau mereka tidak dapat mengawal sentimen, emosi, dan perasaan sebagaimana saya katakan (tadi), senario paling buruk ialah mereka akan meninggalkan parti," katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan bahawa parti ada saluran untuk mereka yang ada masalah dengan pemilihan.

Saifuddin juga menolak tanggapan bahawa pemilihan cabang PKR kali ini dicemari dengan sentimen perkauman meskipun ia digambarkan sebagai parti pelbagai kaum.

Kata Saifuddin, beliau boleh menyangkal tanggapan sedemikian kerana walaupun ada cabang yang majoriti ahli mengundi dalam pemilihan adalah orang India, tetapi yang menang calon Melayu.

"Ada cabang yang keanggotaan ramai orang India, tetapi yang menang orang Melayu. Kuala Selangor jelas... Kuala Langat (cabang yang digantung), yang ramai keluar mengundi ialah India.

"Kalau dalam kes Kuala Selangor, ternyata ahli tidak mengundi ikut garisan kaum, dia (ahli) bagi begitu sahaja. Ada cabang, misalnya Grik, yang mempunyai kawasan Felda, ketuanya orang India.

"Saya dapat tengok beberapa cabang, pengundian ada ukuran lain, bukan ukuran kaum," kata beliau sambil menambah, "kalaulah ada beberapa kejayaan, tidak mengundi ikut sentimen kaum adalah antaranya."

Jawatan ketua cabang Kuala Selangor dipertahankan oleh Menteri Besar Selangor.

"Sangat menarik sama ada ia paten umum, saya kena buat analisis, tetapi mengikut pemantauan rambang, pengundian tidak ikut sentimen kaum," katanya lagi.

Hanya 14 wanita pertama sertai sidang?

Posted: 11 Oct 2010 10:56 PM PDT

Mengapa hanya 14 negara dan hanya dari negara-negara Afrika sahaja menghantar wanita pertama mereka ke persidangan pertama Wanita Pertama Dunia menjadi tanda tanya.

Bagi Speaker Dun Selangor, Teng Chan Kim, jawapannya hanya satu sahaja iaitu tuan rumah sidang ini bukannya wanita pertama Malaysia iaitu Raja Permaisuri Agung.

Sidang pertama ini dianjurkan oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Dr Rosmah Mansur. Sebelum ini, Rosmah menimbulkan kekeliruan apabila menyiarkan iklan bernilai RM1.5 juta di akhbar The New York Times di Amerika dan menamakan beliau sebagai wanita pertama Malaysia.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib terpaksa membuat penjelasan di Parlimen dan mempertahankan gelaran untuk isteri beliau itu.

Persidangan Wanita Pertama yang bermula hari ini di hotel Palace of The Golden Horses disertai 14 wanita pertama iaitu kira-kira 7.3 peratus dari 192 negara di dunia. Ia turut dihadiri enam perwakilan wanita pertama dan 20 menteri.

Antara negara yang menghantar wanita pertama mereka adalah Albania, Congo, Gambia, Ghana, Jamaica, Kiribati, Laos, Mali, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Paraguay, Seychelles, Sierra Leone, Sri Lanka dan Zambia.

Sidang hari ini bermula dengan ucaptama oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Perbincangan panel membabitkan lima wanita pertama yang terdiri daripada Ernestina Naadu Mills dari Ghana, Lorna Golding dari Jamaica, Nyama Koroma dari Sierra Leone, Mercedes Lugo De Maidana dari Paraguay dan Thandiwe Banda dari Zambia.

Memimpin tangan yang sudah pandai berlari

Posted: 11 Oct 2010 10:51 PM PDT

Apabila anak sulung saya Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir mula pandai berjalan tidak lama dahulu, saya mahu memasang pintu pagar kecil di laluan menuju ke anak-anak tangga di dalam rumah, kerana risau dia menaiki atau menuruni tangga tanpa pengawasan.

Sebagai ibu, naluri saya ketika itu ialah memberi perlindungan 100 peratus dengan setiap gerak-geri dan proses pembesaran dipantau sepanjang masa.

Tekanan untuk memberi perlindungan berterusan ini bertambah kuat dengan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen. Semasa saya dipilih rakyat Lembah Pantai, umurnya baru beberapa bulan.

Namun kerja-kerja seharian sebagai ahli politik menyedarkan saya bahawa perlindungan melampau ini akan merosakkan proses tumbesaran Safiyah.

Saya mula terfikir, tidak mungkin mengongkong dia sepanjang masa tanpa menjejaskan proses pengenalan kepada dunia sebenar apabila melihat kelemahan dalam sistem kuota Bumiputera yang tegas dipertahankan kerajaan hari ini.

Sebarang usaha menilai dasar-dasar ini sering disambut cercaan, dan mereka yang membangkitkannya akan dipanggil pengkhianat oleh mereka yang menggelar diri pejuang Melayu.

Bukanlah tujuan saya untuk meminta sistem kuota ini dihapuskan sepenuhnya. Apa yang ingin saya bincangkan, apakah perlindungan melampau ini sebenarnya membantu atau semakin mengongkong komuniti yang ingin dibantu itu.

Saya tidak nafikan penduduk luar bandar yang kurang kemudahan atau pendedahan kepada dunia luar sememangnya perlukan bantuan dan panduan kerajaan dalam mendapat pendidikan yang lebih baik.

Bantuan pendidikan seperti sekolah berasrama penuh, tempat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan lain-lain institusi awam adalah kemudahan untuk golongan dari latar belakang kurang bernasib baik yang akan terus saya pertahankan.

Apa ingin saya persoalkan, apakah keperluannya untuk memimpin tangan mereka yang sudah pandai berlari?

Di sini saya ingin membawa satu contoh, iaitu permit import (AP) kereta asing yang tujuan asalnya untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang automotif. Masih adakah keperluan untuk sistem ini diteruskan?

Kerajaan bercadang hapus sistem ini 2015, namun tekanan puak 'pembela umat Melayu' meyakinkan saya kerajaan akan berganjak.

Jun lalu, Kongres Ekonomi Bumiputera diketuai Perkasa desak dasar pemberian AP kepada Bumiputera ini diteruskan dengan alasan ia selari Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan istimewa Melayu.

Tuntutan kumpulan ini terkandung dalam memorandum mereka yang menolak cadangan Model Baru Ekonomi diilhamkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin mewujudkan keterbukaan dalam perdagangan Malaysia.

Kelompok yang mendesak ini sudah tentulah mewakili kumpulan usahawan automotif yang sudah meningkat taraf ekonominya berbanding Bumiputera luar bandar yang masih mengharapkan campur tangan besar pihak kerajaan untuk membaiki taraf kehidupan mereka.

Kisah salah guna AP ini sangat menakutkan. Beberapa tahun lalu apabila senarai penerima AP didedahkan, tidak kelihatan pula nama-nama besar syarikat automotif antarabangsa. Sudah tentu mereka membeli AP daripada 'pengusaha' tempatan untuk mengimport kereta, dan semua ini sekali lagi dilakukan atas nama mempertahankan Bumiputera.

Saya faham, ada hujah mempertahan sistem ini agar industri tempatan dapat dilindungi. Namun siapakah yang akhirnya membayar kos import ini? Bukankah rakyat terbanyak juga membayar lebih wang untuk kereta mereka? Adilkah jika wang itu diambil dan disalurkan pula kepada 'usahawan' Bumiputera kaya yang sudah tidak memerlukan bantuan kewangan?

Sistem ini sememangnya tidak boleh lagi dipertahankan. Selain daripada kisah-kisah 'usahawan' yang cari makan dengan menjual AP tanpa penglibatan sebenar dalam industri penjualan kereta, apa kewajarannya membantu mereka yang sudah senang-lenang atas alasan mempertahankan hak Bumiputera?

Seharusnya kumpulan ini bersaing secara terbuka sebagaimana syarikat-syarikat lain tanpa mengharapkan ihsan kerajaan membantu mereka bertatih, saat mereka sudah sepatutnya berlari laju.




Oleh NURUL IZZAH ANUAR



*Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Tiada ulasan: