Jumaat, 1 Oktober 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


CD Jatuhkan MB: Faekah Anggap Skrip Lapuk

Posted: 01 Oct 2010 05:02 AM PDT


Mohd Naeem Raffi

SHAH ALAM: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan dakwaan pendedahan cakera padat (CD) konspirasi menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim, sebagai amalan politik tidak matang.

Beliau menganggap pendedahan sedemikian adalah skrip lama bekas pemimpin yang meninggalkan PKR bagi meraih publisiti politik, selain menegaskan corak kepimpinan parti sentiasa terkedepan.

"Perjalanan cerita sebegini macam skrip 'orang berkasih-kasihan' seperti dalam skrip tahun 1998. Jadi kalau wujud skrip sama pada tahun 2010 untuk menjatuhkan seseorang, saya kira ia sudah lapuk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor apabila diminta mengulas laporan yang didakwa pendedahan CD untuk menjatuhkan Khalid, kononnya melibatkan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Dakwaan pendedahan perbualan telefon yang digembar-gemburkan bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR, Ng Lum Yong dan tersiar dalam kebanyakan media arus perdana hari ini.

Mengikut laporan media, perbualan telefon selama 10 minit itu melibatkan Ramlan Abu Bakar yang kini mengaku sebagai Ketua Reformis Malaysia dengan seseorang yang tidak diketahui identitinya.

Menyatakan perbualan telefon itu juga menimbulkan pelbagai keraguan, Faekah turut mempersoal kedudukan sebenar Ramlan dalam pertubuhan berkenaan.

"Pejabat SUK ada menerima memorandum daripada Persatuan Reformis menyatakan Ramlan bukan Presiden tetapi orang lain. Ini menimbulkan keraguan," katanya.

Mengenai dakwaan penglibatan Azmin, Faekah berkata, tiada sebab Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu mahu jatuhkan Khalid memandangkan kedudukan Azmin lebih tinggi.

"Tiada sebab Azmin mahu menjatuhkan Khalid kerana dalam hiraeki parti, Khalid tidak ada jawatan tertinggi - hanya Ahli Majlis Pimpinan Pusat sedangkan Azmin adalah Naib Presiden," katanya.

Beliau juga melihat dakwaan demikian bukan isu sebaliknya konspirasi yang menjadi rencah dan asam garam ketika pemilihan parti rancak berjalan.

"Apapun tujuannya hanya mahu menjadikan proses pemilihan ini sebagai sesuatu panas (kontroversi)," katanya yang menganggap konspirasi menjadi rencah dan asam garam ketika pemilihan parti rancak berjalan.


Polis Buat 'Perangai' Lama Jika Kekal Gaya Pentadbiran

Posted: 01 Oct 2010 04:58 AM PDT


TV SELANGOR

SHAH ALAM : Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff menyifatkan pelantikan Ketua Polis Negara yang baru tidak membawa erti jika 'perangai' mereka, kekal dengan gaya pentadbiran lama.

Beliau membuat ingtan demikian lantaran kecewa dengan laporan media berkaitan kes kecurian dadah jenis syabu seberat 40 kilogram yang dikatakan dilakukan 10 anggota polis di Rompin, Pahang.

"Tindakan polis sehingga hari ini masih lagi belum cukup kuat untuk mengembalikan imej dan integriti polis yang telah rosak di bawah kepimpinan yang lalu. Pada pandangan saya, kita perlu mengadakan pemantauan khusus terhadap urus tadbir dan tingkah laku polis.

"Saya rasa Ketua Polis hari ini, perlu menjadikan pelantikan beliau sebagai kayu ukur untuk mengembalikan integriti polis pada hari ni. Kalau tidak, saya rasa apa yang dijanjikan itu hanya janji kosong" katanya.

Mengalu-alu tindakan polis yang menahan anggota terbabit, Yusmadi berharap polis telus dalam melaksanakan prosedur kerana kes berkenaan melibatkan penjawat awam yang juga anggota mereka sendiri.

"Ini bagi saya perlu dijadikan penekanan oleh pihak polis, kerana isu integriti polis ini telah diangkat oleh Pakatan Rakyat sehingga mencadangkan IPCMC, yang mana sehingga hari ini gagal dibuat," katanya lagi.

Curi enjin: Sarjan TUDM mohon soal balas 2 Mejar

Posted: 01 Oct 2010 04:55 AM PDT

BERNAMA


Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), N Tharmendran yang menghadapi tuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5, hari ini mengemukakan permohonan notis usul di Mahkamah Tinggi di Shah Alam untuk menyoal balas dua Mejar TUDM berhubung dakwaan penyeksaan yang dialaminya ketika dalam tahanan.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua mejar itu ialah Pegawai Staf 1 Siasatan di Jabatan Arah Provos Marsyal TUDM, Mejar Ismail Omar dan Pegawai Staf 2, Mejar Norazan Md Amin.

Beliau berkata, permohonan itu penting berikutan wujudnya percanggahan berhubung dakwaan seksaan dalam afidavit yang diikrarkan oleh anak guamnya dengan Norazan dan Md Amin.

"Persoalannya, siapakah yang bercakap benar? Kebenaran ini hanya boleh diketahui jika kedua-dua Mejar itu dipanggil ke mahkamah untuk disoal balas," katanya.

Sebelum ini, Tharmendran mendakwa pasukan penyiasat TUDM menderanya secara fizikal bagi mendapatkan pengakuan bersalah daripadanya.

Dalam afidavitnya, tertuduh selaku pemohon mendakwa dia diseksa dan dakwaan tersebut disokong rakannya, Intan Yusof, 46, yang mendakwa melihat kejadian seorang tahanan diseksa ketika melawat tertuduh di penjara.

Norazan dan Md Amin dalam afidavit mereka pula menafikan dakwaan bahawa mereka yang melakukan perbuatan itu.

Latheefa juga berkata, keputusan berhubung permohonan notis usul itu penting bagi permohonan utama pihaknya iaitu untuk menggantung atau membatalkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat yang dikenakan ke atas anak guamnya.

"Dakwaan yang dibuat adalah sangat serius dan menjejaskan secara langsung prosedur dan sistem jenayah negara ini. Maka untuk tujuan integriti sistem tersebut, penting untuk kita mendapatkan kebenaran menerusi soal balas," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof yang mewakili responden membantah permohonan itu dengan alasan soal balas boleh dilakukan pada perbicaraan kelak.

Beliau berkata, sekiranya mahkamah membenarkan permohonan tersebut ia akan menyukarkan pihaknya kerana mereka yang berpotensi sebagai saksi akan dipanggil sebanyak dua kali.

"Ini diburukkan lagi apabila pemohon tidak menyatakan secara khusus bahagian yang ingin disoal balas," katanya.

Ishak turut merujuk kepada afidavit yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir bertarikh 22 September lalu yang menyatakan bahawa dakwaan diseksa tidak mempengaruhi pertuduhan terhadap Tharmendran.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad kemudian menetapkan 29 Oktober ini untuk membuat keputusan bagi membolehkan beliau melakukan penyelidikan terlebih dulu.

Tharmendran hadir di mahkamah bersama bapanya, N Nagarajah, 71, kerana dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Pada 6 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed Matra 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat Kuala Lumpur pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Liwat II: Anwar jelajah dunia beri keterangan

Posted: 01 Oct 2010 04:53 AM PDT

MALAYSIA KINI


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam kempen global bagi mendapatkan sokongan antarabangsa berhubung perbicaraan kes liwatnya yang didakwa tidak mempunyai asas dan bermotifkan politik.

Bercakap di Berlin, semalam selepas pertemuannya dengan ahli parlimen dan aktivis politik Jerman, Anwar berkata beliau menggunakan peluang tempoh pembebasan singkatnya sekarang ini untuk menerangkan kepada dunia berhubung kesnya itu yang dianggap wabak rasuah di Malaysia dan sistem perundangan yang berat sebelah.

"Kerajaan berkata kes ini tidak ada kaitan dengan mereka, tetapi fakta yang dikemukakan menunjukkan sebaliknya," katanya.

Anwar kini menghadapi pertuduhan meliwat pembantunya yang mungkin bakal mengugat kerjaya politiknya jika dihumbankan semula ke penjara. Sebelum ini, bekas timbalan perdana menteri itu telah menjalani penjara enam tahun atas pertuduhan liwat yang lain.

Anwar yang berjaya menambahkan bilangan kerusi PKR dan parti pembangkang yang lain pada pilihan raya umum 2008, kini menimbulkan kebimbangan kepada BN mengenai kemungkinan gabungan itu ditumbangkan setelah memerintah negara sejak mencapai kemerdekaan.

Anwar berkata dakwaan terbaru yang dibuat oleh seorang pembantunya itu adalah usaha kerajaan persekutuan pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menambahkan tekanan tekanan politik ke atasnya.

Homoseksual - atau hubungan sejenis, termasuk meliwat adalah satu jenayah di Malaysia. Jika terbukti salah, ketua pembangkang itu boleh dihumban ke penjara sehingga 20 tahun dan dilarang menyertai politik.

Anwar dan penyokongnya berjumpa dengan ahli parlimen dan pegawai kerajaan di Brussels dan akan berlepas ke London, Barcelona, New York dan Jakarta sebelum perbicaraannya bersambung pada 14 Oktober ini.

Anwar menerima sokongan meluas di kalangan ahli parlimen Jerman ketika di Berlin, meskipun beliau tidak mengadakan mesyuarat rasmi dengan kerajaan.

Pejabat Kementerian Luar Jerman juga tidak memberikan sebarang respon ketika diminta maklumat mengenai lawatan Anwar ke negara itu. - dpa

Pemuda Gua Musang sokong Ku Li calon Galas

Posted: 01 Oct 2010 04:51 AM PDT

Abdul Rahim Sabri

Pemuda Umno bahagian Gua Musang menyokong cadangan supaya ahli parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah diletakkan sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Ketuanya, Bazlan Baharuddin berkata, pemilihan Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, amat sesuai kerana beliau mempunyai penyokong yang ramai di kawasan tersebut.

Galas adalah antara tiga DUN dalam Parlimen Gua Musang yang diwakili Ku Li yang ketua Umno berkenaan. Dua lagi ialah Nenggiri dan Paloh yang dimenangi oleh BN.

Cadangan tersebut dibuat oleh ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian yang percaya Ku Li tokoh yang sesuai dengan keadaan politik semasa untuk memulihkan DUN Galas dan keyakinan rakyat kawasan itu kepada BN.

Anuar dilaporkan berkata, berdasarkan keupayaan Ku Li menjadi ahli parlimen Gua Musang selama lebih 30 tahun, cadangan itu wajar difikirkan oleh pucuk pimpinan parti demi masa depan rakyat Gua Musang dan Kelantan amnya.

Semalam, BN melantik Ku Li (kanan) ilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil tersebut yang bakal diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, kerana barah usus, 27 September lalu.

Dalam pilihan raya umum 2008, allahyarham memperoleh 4,399 undi menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.

Mohd Saufi memperolehi 3,753 undi. Dun Galas mempunyai komposisi kaum dengan majoriti Melayu seramai 6,200, Cina (1,900), India (170) dan Orang Asal (2,000).

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan PAS tentang Ku Li, Bazlan berkata, parti itu bertindak demikian kerana 'gelabah' dan takut dengan keupayaan Ku Li rampas semula kerusi tersebut dari PAS.

"Ku Li lebih arif tentang kawasannya. PAS hanya main sentimen sahaja. Mereka takut dengan keupayaan Ku Li merampas kerusi tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau juga menyifatkan tindakan PAS memainka isu royalti minyak "sebagai mendahului keputusan mahkamah".

Kerajaan negeri Kelantan, dengan ketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, telah memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara, Petronas, untuk menuntut royalti minyak yang tidak dibayar sejak 2004.

Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

Kes bunuh: Reman 5 suspek disambung hingga 8 Okt

Posted: 01 Oct 2010 04:50 AM PDT

BERNAMA

Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting, hari ini membenarkan tahanan reman terhadap lima suspek dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya disambung sehingga 8 Oktober.

Perintah mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Hurman Hussain bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut mengenai kes kehilangan jutawan warga India, Allal Kanthan Muthuraja.

Kelima-lima suspek yang tiba di mahkamah dengan van polis pada jam 9.30 pagi dikawal ketat oleh anggota polis.

Mereka kemudian meninggalkan mahkamah kira-kira jam 10.50 pagi.

Ia adalah kali keempat tahanan reman mereka dilanjutkan.

Sebelum ini, kelima-lima suspek telah ditahan reman bermula 12 September lalu bagi membantu siasatan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Muthuraja, 34, dilaporkan hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, sejurus tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.

Isteri mangsa, S Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lalu dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat sejak beberapa hari lalu.


S'gor jadi tumpuan minggu akhir AGM PKR

Posted: 01 Oct 2010 04:43 AM PDT

Salhan K Ahmad

Mesyuarat agung 38 lagi cabang PKR pada minggu akhir ini tertumpu kepada beberapa cabang yang diketuai nama-nama besar dalam parti yang berdepan dengan saingan sengit untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Selain memilih barisan kepimpinan cabang, mereka juga akan memilih calon jawatan tertinggi peringkat pusat - presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

Perhatian utama antaranya ditumpukan ke Selangor, khususnya di cabang Kuala Selangor - diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim, yang juga menteri besar di negeri itu.

Sekiranya sentimen akar umbi menjadi ukuran, Khalid dijangka menghadapi ujian berat dari anggota partinya sendiri dalam pertandingan empat penjuru.

Beliau dicabar bekas ketua wanita cabang tersebut Fauziah Sulaiman, bekas ketua penerangan AMK Selangor Mazli Saring, dan seorang pencabar baru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah.

Turut menjadi tumpuan ialah cabang Gombak yang bakal menyaksikan ujian ke atas kewibawaan ketuanya Azmin Ali - yang menerima pencalonan terbanyak bagi bertanding jawatan timbalan presiden November ini.

Beliau yang juga merupakan ketua PKR Selangor dan ahli parlimen Gombak, akan berdepan dengan pencabarnya - Abu Bakar Ninggal.
.
Di Kelana Jaya pula timbalan pengerusi majlis pimpinan negeri (MPPN) Selangor Syed Shahir Syed Mohamud akan mempertahankan jawatan ketua. Regu beliau ialah Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga ADUN Petaling Jaya Selatan yang bertanding timbalan ketua cabang.

Syed Shahir dicabar oleh Abdul Rakaz Mohamed Talil manakala Nik Nazmi bakal berdepan S Vigneswaran.

Di cabang Padang Serai pula, naib presiden N Gobalakrishnan yang juga ahli parlimen kawasan menghadapi tentangan daripada dua pencabar - V Sandra Sekharan dan Shamsul Anuar Abdullah - untuk mempertahan jawatan ketua cabang.

Tumpuan kali ini agak luar biasa memandangkan beberapa nama besar PKR telahpun tumbang dalam pemilihan peringkat cabang pada hujung minggu lalu.

Dua anggota exco Selangor - Elizabeth Wong and Rodziah Ismail - masing-masing tewas ketika merebut jawatan untuk mengetuai cabang masing-masing di Petaling Jaya Utara dan Kota Anggerik.

Di Negeri Sembilan pula, Datuk Kamarul Baharin Abbas pula gagal dalam percubaannya merebut jawatan ketua cabang Teluk Kemang.

Kamarul yang juga ahli parlimen kawasan itu menyimpulkan, kekalahannya itu merupakan satu isyarat dari akar umbi bahawa beliau tidak lagi layak mewakili mereka.

Signifikannya, Elizabeth dan Rodziah merupakan 'team player' utama dalam pasukan Khalid Ibrahim dalam pentadbiran Selangor.

Sekiranya sentimen akar umbi menjadi ukuran, ternyata Khalid menghadapi ujian berat daripada anggota partinya sendiri dalam pertandingan empat penjuru kali ini.

Cabang Kuala Selangor mempunyai 6,000 ahli yang layak mengundi pemilih barisan kepimpinan cabang serta calon untuk jawatan pucuk pimpinan pusat. Mesyuarat yang pada awalnya dijadualkan diadakan di sebuah dewan, kini dipindahkan ke Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Ia difahamkan untuk mengelak kebanjiran ahli untuk mengundi, sepertimana yang berlaku dalam mesyuarat di cabang lain hujung minggu lalu, yang mengakibatkan berlaku kekecohan di sekurang-kurangnya tujuh cabang, sehingga terpaksa ditangguhkan.

Mahasiswa lawan Auku, rakyat perlu buka mata

Posted: 01 Oct 2010 04:42 AM PDT

Mohd Aizat Mohd Salleh

Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan bahawa saman pemula empat mahasiswa UKM untuk mencabar Auku baru-baru ini ditolak, saya sudah menjangkakan keputusan itu.

Saman itu diketuai oleh saudara Hilman Idham bersama tiga rakannya yang lain, mahasiswa jurusan Sains Politik, UKM. Sewaktu mula-mula membuat keputusan untuk mencabar kerajaan, saya pernah memberitahu Hilman bahawa untuk mencapai kemenangan agak samar.

Saya kenal benar dengan Hilman. Beliau adalah Presiden Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) yang turut bersama-sama kami GAMIS dan SMM dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa dan masyarakat.

Dalam hujah Hakim mahkamah itu, beliau berkata larangan yang terkandung dalam Seksyen 15(5)(a) itu bertujuan mencegah kekacauan yang berpotensi berlaku di universiti, yang juga boleh disifatkan sebagai mengganggu ketenteraman awam.

Aziah berkata beliau bersetuju dengan peguam yang mewakili UKM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa larangan yang dikenakan itu adalah penting atau wajar untuk memelihara disiplin pelajar, yang merupakan sebahagian daripada akhlak orang ramai dan yang wajib dipatuhi oleh pelajar.

Beliau juga bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha Abu Bakar bahawa semua hal berkaitan disiplin dan tingkah laku pelajar terletak di bawah bidang kuasa universiti tempat mereka belajar dan tidak pernah wujud sebarang tindakan bersifat menindas terhadap mana-mana pelajar.

Seharusnya kenyataan ini mudah dibaca bagi rakan-rakan aktivis mahasiswa dan masyarakat yang mengikuti perjuangan kami menentang AUKU.

Undang-undang 'tarik tali'

Saya bukanlah pakar dalam undang-undang mahupun perlembagaan dalam membicarakan soal akta ini. Namun, berdasarkan pengalaman menyertai Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dahulu, satu dua perkara saya boleh lontarkan.

Dalam perlembagaan Malaysia, secara umum diketahui bahawa warganegara Malaysia berhak untuk berpolitik, mengundi, dan menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang dirasakan wajar baginya. Itu adalah kebebasan yang diberi perlembagaan.

Walaupun begitu, dalam AUKU, mahasiswa tidak dibenarkan berbuat demikian. Ini kerana mereka adalah pelajar universiti. Akta itu dalam pindaan pada 2008 saya petik ada menyebutkan :

(5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap:

(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawahperenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

Justeru itu, seorang mahasiswa akan terikat dengan akta universiti (AUKU) walaupun diberi jaminan kebebasan oleh perlembagaan sebagai warganegara.

Undang-undang inilah yang disebut sebagai 'tarik tali' dan pada hari ini empat rakan saya itu sedang mencabar kerajaan bagi membuktikan kesahihan dan keabsahan salah satu undang-undang tersebut. Paling penting ia memberi pendidikan kepada masyarakat betapa dilema yang dihadapi mahasiswa kini.

Bukan mansuh semua

Seperkara yang tidak difahami kerajaan terutamanya menteri KPT sendiri adalah berkenaan hasrat mahasiswa yang ingin memansuhkan akta ini.

Ketika menghantar memorandum berkenaan autonomi universiti kepada Dato' Seri Khaled Nordin di UKM dahulu, beliau pernah berkata : "Kalau mansuh AUKU, tutuplah semua universiti..".

Saya yakin beliau tidak sedangkal itu. Bagi kami akta yang perlu dimansuhkan hanyalah yang berkaitan dengan hak bersuara dan berpersatuan, hak kebebasan akademik, hak autonomi universiti dan menyertai politik sebagaimana warganegara yang lain. Itu sahaja.

Bukannya memansuh akta yang melibatkan tubuh sebuah universiti, perlantikan Naib Canselor, akta kakitangan universiti dan macam-macam lagi. Itu serahkan kepada pihak yang lebih mengetahui.

Ini termasuklah isu yang menjadi perbincangan hangat berkenaan kewajaran mahasiswa berpolitik baru-baru ini, turut melibatkan akta ini.

Apa-apa pun, selagi mana mahkamah masih belum dipengaruhi kuasa luar seperti mana yang berlaku kepada lima mahasiswa UM berkenaan isu 'Puaka UM", peluang UKM4 untuk mencabar akta ini masih ada. Selamat berjaya mahasiswa!

Disediakan oleh,

Mohd Aizat Mohd Salleh

Setiausaha Agung

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Mengapa paksa bukan Islam ikut cara Islam

Posted: 01 Oct 2010 04:39 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menjelaskan kepada golongan bukan Islam di seluruh negara mengapa pelajar bukan Islam telah dipaksa untuk membuat cara sembahyang (berdoa) orang Islam.

Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata, ini seperti yang berlaku pada 13 April 2008 di dewan kuliah Rejimen 515 Askar Wataniah, Jalan Ampang dengan meminta Zahid memberikan identiti pelatih yang terlibat dalam kes tersebut.

"Saya meminta agar Zahid menjelaskan mengapa perkara sebegini boleh berlaku di bawah kepimpinannya," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Wee Ka Siong amat kesal dengan tindakan mengungkitkan semula isu di mana pelajar bukan Islam telah dipaksa untuk meniru cara sembahyang orang Islam.

"Sekiranya Kerajaan BN mengangap kes di atas merupakan satu-satu kes yang berlaku di negara ini, maka saya akan memberikan satu lagi contoh untuk membuktikan kes tersebut bukan satu kes terpencil tetapi merupakan a tip of the iceberg," ujarnya.

Mengenai kejadian pada 13 April 2008 lalu itu, kata beliau sekiranya pelatih enggan untuk membuat perkara yang sama maka dia akan dipaksa untuk meninggalkan kem.

Selain itu, tambahnya pemberi maklumat juga risau akan dipecat kerana membongkarkan isu itu.

Baginya, Askar Wataniah merupakan pertubuhan penting dalam sistem pertahanan negara.

Mereka yang menyertai askar wataniah tidak kira berasal dari mana-mana kaum, matlamatnya adalah sama iaitu mempertahankan kedaulatan negara dan memberikan sumbangan kepada negara.

Malangnya, kata beliau remaja yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bercita-cita untuk mempertahankan negara telah berasa tidak senang hati kerana gangguan ke atas kepercayaan mereka daripada kumpulan fanatik agama yang wujud dalam pasukan.

Menurut statistik yang dikeluarkan pada 2006, kaum Cina hanya membentuk 5% daripada jumlah askar wataniah di mana Rejimen 509 Askar Wataniah yang terletak di Lebuhraya Peel merupakan satu contoh yang baik.

Rejimen ini menerima penyertaan hangat daripada orang Cina. Penyertaannya adalah tidak berasalkan kaum, malah pelatih telah mengadakan road show di setiap sudut untuk menyedarkan golongan remaja bahawa kepentingan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Kaum Cina yang menyertai askar wataniah juga terdiri daripada golongan mahasiswa dan golongan profesional.

Program askar wataniah telah memberikan masa yang fleksiber kepada para peserta untuk menggalakkan penyertaan mereka ke dalam perkhidmatan askar wataniah. Mereka akan dilatih pada hujung minggu. Latihan rekrut adalah lebih kurang seperti latihan sebenar malah mereka juga diberikan gaji.

Peserta boleh memilih Latihan Tempatan atau Latihan Lanjutan apabila latihan rekrut tamat. Mereka akan dibahagikan kepada latihan ketenteraan yang berlainan seperti Kor Armour, Rejiman Askar Jurutera, Rejimen Semboyan dan sebagainya.

"Malangnya, askar wataniah yang tidak membezakan warna kulit, terkenal dengan tindakan tatatertib yang ketat dan reputasi yang baik, kini reputasinya telah dicemari oleh dasar agama Kerajaan BN.

"Situasi yang berlaku kini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang menjanjikan kebebasan beragama," ujar Teck Hwa lagi.

Najib resah, Selangor jadi lubuk ‘puaka’ Umno

Posted: 01 Oct 2010 04:35 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sudah menampakkan keresahan kerana kehilangan kuasa di Selangor yang dianggap lubuk emas selama ini sudah menjadi lubuk puaka untuk Umno.

Sehubungan itu, PAS berpandangan ucapan Najib pada Malam Sejuta Harapan Ke-6 Yayasan Basmi Kemiskinan di Pusat Persidangan Sime Darby, di sini malam tadi sebagai satu ucapan orang yang tidak menerima kekalahan dalam sebuah negara demokrasi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata rakyat semakin menerima perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat walaupun menerima berbagai halangan daripada kerjaaan Pusat.

"Model yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan inilah yang akan menjadi peta lakaaran untuk menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti, insya Allah," ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS, katanya berpandangan kenyatan Najib yang mengatakan sealah-olah rakyat susah dengan pertukaran kerajaan di Selangor adalah tidak lojik.

Secara sinis, tambahnya orang buta yang rasional boleh membezakan antara kerajaan Umno BN di Selangor selama 51 tahun dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru sahaja mencecah umur tidak sampai 3 tahun, tetapi sudah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

"Apakah dengan pembiayaan air percuma, skim Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), skim kifalah RM2,500 untuk warga emas yang meninggal, masjid diimarahkan, program pembinaan jati diri melalui program SPIES ini adalah amalan buruk?" soalnya.

Baginya, Najib yang juga pengerusi Umno negeri melahirkan rasa kecewa kerana banyak rancangan YBK telah tergendala kerana kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah mengambil semula tanah milik yayasan itu di Serendah seluas 312 hektar itu atas alasan tidak membayar tunggakan cukai RM5.7 juta.

Tapak itu mulanya dicadangkan untuk membuka kampus cawangan UiTM.

"Perlu diingat bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat ialah mengikut peraturan," ujarnya.

Beliau menambah, kenyataan akbar mengenai kertas putih Yayasan Basmi Kemiskinan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim pada 13 April 2010 boleh dirujuk, bagaimana banyak keraguan perjalanan YBK selama ini sehingga orang miskin semakin bertambah kerana ia tidak menepati sasarannya.

Menurutnya, sejak pilihan raya umum 2008 lalu, banyak ucapan pemimpin Umno yang menampakkan kekecewaaan yang tidak berkesudahan.

Katanya, pemimpin Umno BN menganggap bahawa mereka sahaja yang boleh memerintah Malaysia ini sampai kiamat, seolah-olah kerajaan mereka tidak ada ajal sedangkan dalam sebuah negara demokrasi jatuh bangun adalah biasa.

"Selalu pemimpin Umno berhujah jika kerajaan sering bertukar, kerajaan tidak maju. Hujah ini tertolak kerana Jepun, Amerika Syarikat, Britain dan lain-lain negara tetap unggul dan hebat walaupun parti politik pemerintah sering bertukar ganti," ujarnya.

Justeru, katanya PAS menasihatkan pemimpim Umno belajarlah politik daripada PAS yang bersemangat kental dalam menghadapi perjalanan politik, walaupun tidak berada di padang yang sama.

PAS, jelasnya pernah memerintah Kelantan dari 1959 selama 18 tahun kemudian tewas pada tahun 1978 melalui tindakan yang tidak demokratik.

Akhirnya, kata beliau PAS bangkit kembali dan berjaya menguasai Kelantan 1990 hingga kini.

Begitu juga, katanya di Terengganu di mana PAS pernah menang pada tahun 1959 dan jatuh melalui teknik yang tidak bermoral pada tahun 1961, kemudian mendapat mandat kembali pada 1999 dan tewas 2004 melalui konspirasi yang terburuk dengan penambahan pengundi yang tidak masuk akal sehingga 17%.

"Namun Pas boleh bersabar dan membuat muhasabah dalaman dan menyusun strategi untuk maju ke hadapan. Perkara ini tidak berlaku kepada pemimpin Umno BN," katanya lagi.

Galas: Isu setempat bakal dominasi kempen

Posted: 01 Oct 2010 04:34 AM PDT

Wan Nordin Wan Yaakob

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang kini Penyelaras Pakatan Rakyat meramalkan isu setempat akan mendominasi kempen bagi pilihan raya kecil Dun Galas yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menurut Zaid, kedua-dua pihak (PAS dan Umno) pastinya akan menumpukan kepada isu tempatan samada persoalan keperluan asas, infrastruktur, bantuan, soal kehidupan harian masyarakat disana dan isu kebajikan.

Mengulas mengenai peluang PAS menang di kawasan kubu kuat Umno itu, beliau bagaimanapun tidak mahu menyatakan samada PAS mampu atau sebaliknya.

Tetapi beliau mahu Pakatan Rakyat bekerja keras kerana pastinya dalam pengamatan PAS mahupun pimpinan Pakatan Rakyat bahawa BN akan menggunakan segala macam strategi 'jahat' untuk mendapatkan undi.

"Di sana politik nasional saya rasa kurang relevan, sebaliknya isu setempat.Siapa yang berjaya selesaikan masalah setempat, dia ada kelebihan, saya sarankan kerajaan negeri perhalusi benda ini," katanya dalam sessi cakap-cakap di pejabat Harakah pagi ini.

Ditanya mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya Umno/BN di Dun Galas, Zaid berkata 'persoalan Ku Li' bukan keutamaan.

Sebaliknya rakyat di sana mahukan bantuan, kebajikan dan siapa yang mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, katanya.

Galas sebuah kawasan pedalaman yang pastinya merangkumi isu-isu setempat yang tidak ada dibandar, katanya.

Tambahnya, cuma di Kelantan ada sedikit faktor individu yang boleh mempengaruhi geo politik disana iaitu kelibat Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun tidak boleh dipastikan samada kawasan yang dahulunya begitu tebal dengan sokongan kepada Umno/BN ini sudah berjaya ditembusi PAS sewaktu Allahyarham Che Hashim Sulaima menjadi wakil rakyat, katanya.

Justeru beliau mengharapkan PAS dan jentera Pakatan Rakyat bekerja kuat lebih-lebih lagi Galas mempunyai 65 peratus undi Melayu yang boleh dimanipulasi oleh Umno/BN.

Ku Li dalam dilema

Posted: 01 Oct 2010 04:32 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Akhbar politik Siasah menjadikan dilema yang dihadapi oleh anggota parlimen Gua Musang yang juga ketua Umno bahagian itu, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai cerita muka depan.

Ini kerana, selepas Ku Li dilantik sebagai pengarah oleh BN dalam pilihan raya itu, apakah pendekatan yang akan diambil olehnya dalam menghadapi isu-isu utama yang bakal meletuk di situ.

"Apakah Ku Li akan berada di pihak Umno untuk menentang PAS atau kekal berpegang kepada prinsip beliau yang senada dengan PAS dalam isu royalti minyak," lapor Siasah dalam keluaran terbaru yang ada di pasaran hari ini.

Dilema Ku Li ini kerana beliau bersama dengan kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS dalam isu ini dan bertembung dengan rakan-rakannya dalam BN termasuk ketua perhubungan Umno Kelantan sendiri.

Ronnie Liu bersuara kembali

Posted: 01 Oct 2010 04:14 AM PDT

Harakahdaily

SHAH ALAM: Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu satu nama panas sejak kebelakangan ini. Beliau dikaitkan dengan pelbagai isu dan menjadi sasaran pelbagai pihak.

Sejak dua bulan lalu, beliau menutup mulut dan tidak mahu diwawancara oleh mana-mana media. Namun beliau sedia di wawancara oleh akhbar politik, Siasah baru-baru ini.

Dalam wawancara itu, pelbagai perkara dicerita oleh beliau yang berkaitan dengan pelbagai isu yang menghantui beliau sendiri dan juga DAP di Selangor.

Antaranya isu beliau didakwa sebagai tauke di belakang banyaknya rumah urut dan spa lahir di Selangor sekarang ini.

Ronie juga dikaitkan dengan kegiatan samseng dan ada yang mendakwa kongsi gelap menjadikan pejabat beliau sebagai tapak aktiviti mereka.

Juga dihalakan kepada beliau adalah isu kawasan yang beliau wakili iaitu Dun Pandamaran di Selangor serta hubungan beliau dengan bekas pegawai khasnya di sana.

Dalam wawancara ini, Ronie menjawab semua tuduhan itu dengan tegas dan jelas.

"Saya rasa Barisan Nasional atau Umno sudah tahu, sekiranya mereka tidak kacau kita, dan kita dapat terus berkhidmat membangunkan negeri Selangor seperti hala tuju yang kita ada sekarang ini, mereka tidak boleh menang dalam pilihan raya yang akan datang.

"Dahulu kita semuanya tidak ada kerajaan, tetapi apabila peluang (mandat) sudah diberi, kita sudah merakyatkan ekonomi Selangor, cara kita mentakbir bersih tanpa penyelewengan, tiada menyalahgunakan kuasa," tegas Ronie dipermulaan wawancara lebih satu jam di pejabatnya itu.

Hadapi PRK Galas dengan kekuatan sendiri

Posted: 01 Oct 2010 04:09 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya kecil Galas dengan kekuatan sendiri, kata Naib Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Atas dasar itu, isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas atau tidak, tidak berbangkit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim adalah pengarah pilihan raya ini secara automatik bagi PAS kerana parti itu telah membuat pendekatan tetap untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil.

Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis hari raya Harakahdaily semalam.

Melaui pendekatan itu, seorang naib presiden PAS akan menjadi pengarah pilihan raya kecil untuk kawasan masing-masing. Datuk Mahfuz Omar menjadi pengarah jika berlaku di utara, Salahudin Ayub di selatan dan Tuan Ibrahim di timur.

Sebelum ini, Mahfuz menjadi pengarah pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Salahudin menjadi pengarah dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagi Tuan Ibrahim, isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, dan berdasarkan beberapa tindakan mutakhir beliau yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN.

Ini ekoran pendirian beliau dalam isu royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.

Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa beliau tetap akan bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha untuk menyusun kekuatan parti bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRK kali ini, kata Tuan Ibrahim.

"PAS menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, tetapi ini bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU ke 12, dengan kejayaan PAS menawan DUN Galas dari BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan," katanya.

Menurut beliau, dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak kerja pilihanraya kecil kali ini.

Oleh kerana calon PAS hanya mendapat kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu kepada keputusan yang akan berlaku, katanya.

Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat Asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka, tambahnya.

Bagi beliau, faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mood dan sentimen pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding.

Lantaran itu, katanya, pemilihan calon kali ini teramat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK.

Mereka tentulah tidak ingin mendapat seorang wakil rakyat yang hanya menunjukkan muka apabila memerlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang.

"Budaya masyarakat Kelantan yang suka bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilih YB Arwah Che Hashim dalam PRU lalu," katanya.

Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan Bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan Kesedar diterajui kerajaan Pusat akan menceriakan lagi PRK kali ini.

Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalaskan kemenangan di sana, katanya.

PPSM kesal lewat bentang rang undang-undang keluarga Islam WP

Posted: 01 Oct 2010 04:08 AM PDT


mohd Oleh Muda Mohd Noor dan Qayum Rahman

PETALING JAYA: Penasihat Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Datuk Muhamad Burok kecewa mengenai kelewatan pembentangan rang undang-undang keluarga Islam Wilayah Persekutuan.

"Sudah tiada sebab lagi kelewatan rang undang-undang tersebut dibentang dan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan," katanya semalam.

Beliau berkata, "isu itu telah dibincangkan dengan banyak pihak termasuk beberapa badan Islam bukan kerajaan (NGO) yang membantah seperti Sisters-In-Islam.

"Selepas diberi penerangan tidak ada lagi bantahan terhadap rang undang-undang tersebut," katanya.

Muhamad berkata, rang undang-undang itu hanya menambahbaik sedia ada termasuk isu poligami yang sebelum ini dibantah oleh beberapa NGO Islam.

Katanya, kini hanya Wilayah Persekutuan sahaja yang belum meluluskan rang undang-undang keluarga Islam.

"Kelantan menjadi negeri pertama meluluskannya pada tahun 2002 manakala negeri lain pada tahun berikutnya," katanya.

Jauh lebih baik

Sementara itu, Pengarah Undang-undang Sisters-In-Islam, Ratna Osman berkata, pihaknya menerima baik Rang Undang-undang Keluarga Islam yang bakal dibentangkan di Parlimen tetapi pindaan itu nanti perlu jauh lebih baik dari pindaan terdahulu pada 2006.

Beliau berkata, pindaan yang bakal dilakukan perlu lebih ke arah membela dan melindungi wanita Islam terutamanya yang telah dizalimi dan dikhianati oleh suami yang kebanyakannya mementingkan berpoligami tanpa kerelaan.

"Rang Undang-undang Keluarga Islam ini perlu kepada pindaan secara tetap dalam usul berpoligami kerana kebanyakan wanita Islam sekarang ini mengalami masalah selepas suami berpoligami hingga ada yang diabaikan dan ditinggalkan.

"Kita harap bentangan usul pindaan rang undang-undang keluarga Islam ini dapat dinilai semula sepenuhnya sebelum dibentangkan lebih lanjut supaya bersikap adil terhadap wanita.

Ketika ditemui di satu majlis di ibu negara, Rabu lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kementeriannya masih menunggu keputusan daripada Majlis Raja-Raja sebelum dapat membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen.

"Kita akan terus bentangkan Rang Undang-Undang tersebut sejurus mendapat kata putus daripada Majlis Raja-Raja," katanya.

Bukan Melayu peralat Melayu dalam perniagaan – DPMM

Posted: 01 Oct 2010 04:00 AM PDT

datuk syed amin aljeffri Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin organisasi perniagaan Melayu hari ini mendakwa banyak syarikat bukan Melayu memperalatkan kelemahan orang Melayu dalam bidang itu.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Aljeffri berkata, sebaliknya orang-orang Melayu itu tidak pula memperalatkan peniaga kaum lain.

Bagaimanapun, tokoh perniagaan veteran itu tidak menyalahkan kaum bukan Melayu yang bertindak sedemikian.

"Saya tidak boleh menyalahkan mereka (memperalatkan perniaga Melayu). Mereka memperalatkan kita kerana kelemahan peniaga Melayu sendiri.

"Kita (peniaga Melayu) mengambil jalan mudah kerana kita masih pada tahap perintis dalam bidang ekonomi," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, antara kelemahan utama ialah ketiadaan pengetahuan mencukupi dalam perniagaan.

Syed Amin berkata, penguasaan orang Melayu dalam industri kecil dan sederhana (IKS) hanya 20 peratus dari kira-kira sejuta orang.

Katanya, sepatutnya penguasaan peniaga Melayu dalam IKS mencapai tahap 35 peratus.

Sehubungan itu, beliau meminta peniaga Melayu mempelbagaikan bidang perniagaan bukan hanya tertumpu kepada sektor pembinaan sahaja, yang bergantung kepada tender kerajaan.

Inspektor polis maut ketika bertugas operasi cegah lumba haram

Posted: 01 Oct 2010 04:00 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Seorang anggota polis berpangkat Cif Inspektor maut ketika mengetuai operasi cegah lumba haram apabila motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta di simpang tiga Jalan Datuk Senu di sini pukul 10.30 malam tadi.

Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata kejadian berlaku ketika mangsa, Mohd Khairul Zaini Mohd Zain, 31, sedang mengetuai pasukan operasi cegah lumba haram di situ bersama lapan orang lagi anggotanya dengan menaiki motosikal.

"Ketika sampai di simpang tiga sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berumur 44 tahun yang sepatutnya berhenti memberi laluan tetapi tidak berhenti dan melanggar mangsa, menyebabkan mangsa tercampak di tengah jalan.

"Mangsa yang dipercayai cedera di kepala mati serta-merta di tempat kejadian," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan telah dimandikan serta dikafankan di Masjid Bukit Aman pagi ini.

Abdullah berkata Mohd Khairul yang telah berkhidmat selama sembilan tahun dengan PDRM akan dikebumikan di kampungnya di Kota Baharu, Kelantan.

"Mayat mangsa akan dihantar ke sana dengan menaiki pesawat unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor-Panji Kota Baharu hari ini," katanya.

Beliau berkata, wanita tersebut telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

DUN Galas: BN tetap tanding, kata Najib

Posted: 01 Oct 2010 03:50 AM PDT

TERKINI
BERNAMA


PUTRAJAYA — Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan tetap meletakkan calonnya bagi menyertai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan walaupun diminta tidak berbuat demikian oleh parti pembangkang.

Malah Perdana Menteri berkata parti itu akan meletakkan calon yang terbaik bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

"Sukar bagi kita tidak bertanding. Mengikut amalan demokrasi, sesuatu kerusi bila kosong atas sebab kematian perlu diadakan pilihan raya kecil," katanya kepada media selepas melawat Pameran Pertandingan Reka Bentuk Hospital Kerajaan di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

"Sekali saja kita tidak buat kerana bila sengaja dikosongkan kita rasa membazir dari segi kewangan," katanya merujuk kepada kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata bagi kawasan Galas terdapat keperluan untuk menggantikan wakil rakyat bagi kawasan tersebut.

"Jika kita tidak bertanding maka rakyat di Galas tiada pilihan. Bila bertanding sekurang-kurangnya mereka ada pilihan sama ada mereka mahu Barisan Nasional atau PAS. Jadi itu amalan demokrasi yang sihat di negara kita."

Ditanya tentang pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebagai pengarah pilihan raya kecil itu dan tidak sebagai calon, Najib (gambar) berkata, "Saya gembira bahawa beliau sedia dan beliau komited untuk bekerja keras bagi memastikan BN menang."

"Kita tidak mahu cakap mengenai calon pada peringkat ini. Saya masih tunggu senarai bakal calon. Saya tidak mahu ramal siapa bakal tetapi kita mahu letak calon yang paling sesuai," kata Najib.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, daripada PAS Isnin lepas akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya parlimen Gua Musang daripada BN dengan majoriti 646 undi.

Selain Galas, dua lagi DUN yang terletak dalam Parlimen Gua Musang ialah Nenggiri dan Paloh.

Mengenai momentum yang dicipta parti pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya, Najib berkata, "Itu urusan mereka wujudkan ini dan adalah menjadi urusan kita untuk wujudkan momentum tersebut bagi pihak kita kerana kadangkala mereka wujudkan momentum yang palsu."

"Seperti yang anda tahu dua tahun lepas, mereka kata mereka akan tawan Putrajaya dan ia tidak berlaku. Kegagalan 16 Sept sama sekali di pihak mereka. Malah jangan lupa mereka boleh wujudkan semangat palsu bahawa perkara (pilihan raya) bergerak ke arah mereka (berpihak kepada pembangkang)."

"Tetapi apa pun, adalah penting untuk BN bekerja keras dan dapatkan keyakinan rakyat," kata Perdana Menteri.

Khalid tak percaya Azmin ingin jatuhkannnya

Posted: 01 Oct 2010 03:47 AM PDT

BERNAMA


Tan Sri Khalid Ibrahim

SHAH ALAM— Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau tidak percaya bahawa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mahu menjatuhkannya seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

Ketika diminta mengulas pendedahan seorang bekas pemimpin PKR semalam mengenai perkara itu, beliau berkata : "Kita tidak boleh terima berita itu terutama tentang kesahihannya. Saya tidak percaya yang Azmin lakukan perkara itu."

Khalid berkata walaupun wujud banyak perbezaan pendapat dalam PKR, parti itu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan cara yang tertib dan teratur melalui perbincangan oleh Biro Politik PKR.

Ketika diminta mengulas mengenai persediaan bagi pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang diketuainya pada Ahad ini selepas berlaku kekecohan pada pemilihan di beberapa cabang parti tersebut baru-baru ini, Abdul Khalid berkata beliau telah meminta pasukan sukarelawan dari cabang itu untuk membuat beberapa persediaan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Ahmad Maslan: Galas jadi medan tebus kekalahan BN di Manik Urai

Posted: 01 Oct 2010 03:45 AM PDT

BERNAMA

KUANTAN — Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dilihat sebagai medan untuk Barisan Nasional (BN) menebus kekalahan tipis parti itu kepada PAS bagi kawasan Manik Urai tahun lepas.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, dengan persiapan rapi dan kerja sama semua parti komponen BN, beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada Umno, sekaligus merampas kerusi yang dipegang Pas selama lebih 20 tahun itu.

"Kita yakin dengan persiapan rapi, kita boleh menang di Galas, jika di Manik Urai kita tewas dengan 65 undi, kita berazam untuk jadikan Galas sebagai medan menebus kekalahan itu," katanya kepada pemberita pada majlis pemimpin bersama penduduk Felda Sungai Panching Selatan di sini hari ini.

Pada 14 Julai tahun lalu, calon Pas Mohd Fauzi Abdullah, 50, mengalahkan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, 39, pada pilihan raya kecil DUN Manik Urai.

Ahmad berkata pilihan raya kecil DUN Galas penting kerana mampu memberikan kemenangang kepada BN berdasarkan empat sebab utama, antaranya penglibatan pelbagai komposisi kaum yang melambangkan sentimen rakyat iaitu mahu hanya satu kerajaan pemerintah.

"Sebab kedua Galas penting untuk kita ialah kerana dari situ, kita boleh lihat penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar baru di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata sebab ketiga ialah pemilihan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya Umno/BN bagi pilihan raya kecil berkenaan, yang dianggap tepat kerana anggota Parlimen Gua Musang itu sudah sinonim dengan kawasan tersebut, selain tidak pernah kalah setiap kali bertanding, baik atas tiket BN mahupun Semangat 46.

"Sebab keempat adalah penduduk yang sudah serik hidup di bawah jajahan PAS yang gagal memberikan pembangunan di tempat mereka dan juga bandar Gua Musang, sebaliknya hanya mampu menaburkan janji-janji manis setiap kali berceramah kepada penduduk," katanya.

Ahmad berkata DUN Galas merupakan kubu asal BN dan beliau yakin kerusi itu boleh dimenangi dalam pilihan raya kecil ini jika semua parti komponennya bekerjasama menggerakkan jentera secepat mungkin.

"Kita akan turun segera ke Galas dan akan buat semua kerja yang berkaitan bukan saja ceramah tapi mengedarkan risalah, sembang petang dengan penduduk, ceramah kecil dan sederhana bagi memastikan hal-hal berbangkit dapat kita selesaikan seperti hal pembangunan di Gua Musang," katanya.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Galas, Chek Hashim Sulaiman, 46, daripada PAS akibat barah usus.

PRU 1999: Saya mangsa konflik Mahathir-Anwar, kata Najib

Posted: 01 Oct 2010 03:44 AM PDT



KUALA LUMPUR— Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengimbas kembali situasi 11 tahun lalu dengan terbuka berkata beliau pernah menjadi "mangsa" ekoran pergolakan politik membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Najib (gambar), beliau menyedari berhadapan dengan kesan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 1999, yang diadakan setahun selepas Anwar, ketika itu timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, dipecat dari kerajaan dan parti.

"Ada masanya saya rasa kecewa dengan keadaan ketika itu... seringkali, keputusan yang bukan kerana tindakan saya sendiri," kata Najib pada forum mengenai Asean di sini hari ini.

"Itulah persekitaran anda rasakan ketika itu. Anda berhadapan dengan kemusnahan (kerosakan) kolateral... saya tidak pasti sama ada ia adalah perkataan yang tepat (untuk digunakan)," kata beliau ketika ditanya mengenai kekecewaan politik yang dialami ketika pilihan raya umum ke-10 pada akhir 1999.

Pemecatan Anwar pada awal September 1998 oleh Dr Mahathir ketika perdana menteri dan presiden Umno membawa kepada kemunculan Parti Keadilan Nasional yang kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat.

Kerjasama pembangkang menewaskan BN di Terengganu dan Kelantan, yang telah pun jatuh ke tangan PAS sembilan tahun sebelum itu.

Malah BN kehilangan undi pada jumlah yang banyak di kebanyakan negeri di pantai barat Semenanjung berbanding tahun 1995. Umno-BN kehilangan sokongan di kalangan pengundi Melayu.

"Jika anda lihat kembali 1999, ia satu situasi yang sungguh aneh. Majoriti saya jatuh menjunam sehingga, saya fikir 214 undi," kata Najib yang ketika itu merupakan anggota Kabinet dan naib presiden Umno.

Najib berkata beliau sama sekali tidak dapat memahami mengapa situasi itu wujud.

"Tetapi saya tahu bahawa saya boleh pulih dan oleh itu saya tidak mahu mengubah kawasan (untuk bertanding)," kata Najib yang kekal di bahagian pilihan raya Parlimen Pekan sehingga sekarang.

Najib berkata beliau terpaksa bekerja keras untuk mengubah nasibnya di mana berjaya memperoleh majoriti 22,922 undi pada pilihan raya umum 2004.

Empat tahun lalu beliau menambah jurang perbezaan undi sehingga 26,464, yang tertinggi diperoleh oleh calon BN pada pilihan raya umum ke-12.

"Jika anda ada rasa keyakinan, anda tidak harus rasa putus asa dengan kekecewaan sementara.

"Apa yang penting ialah keupayaan untuk pulih. Nasib menyebelahi saya, saya berada di sini (hari ini)," kata Najib yang dipilih presiden Umno akhir Mac 2009 dan minggu berikutnya sebagai perdana menteri yang keenam.

"Dalam politik, kehidupan politik boleh jadi singkat jika anda dilihat berada dalam kelompok yang salah," kata beliau lagi.

"Meskipun anda kompeten, meskipun anda berupaya, tetapi jika anda berada dalam puak yang salah, ia boleh jadi satu tragedi," tambah Najib, anak kepada bekas perdana menteri Tun Abduk Razak Hussein.

AGM PKR: JPP jamin pemilihan esok, Ahad berjalan lancar

Posted: 01 Oct 2010 03:40 AM PDT


KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan perjalanan pemilihan parti itu yang akan berlangsung hujung minggu ini — esok dan Ahad — dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan campur tangan pihak luar.

Ketuanya Dr Molly Cheah berkata pihaknya telah memanggil semua calon dan pemimpin parti di setiap peringkat cabang untuk bekerjasama dengan JPP.

"Kita telah meneliti masalah yang berlaku sebelum ini dan kita akan memastikan perjalanan pemilihan parti hujung minggu ini dapat berjalan dengan lancar.

"Kita juga telah meminta semua calon dan pemimpin parti untuk memberikan kerjasama. Kita juga memanggil Sekretariat Keadilan dan sukarelawan untuk bekerjasama," katanya dalam satu kenyaataan hari ini.

Cheah (gambar) berkata pemilihan parti di peringkat cabang akan berakhir pada hujung minggu ini.

"Mesyuarat agung tahunan dan pemilihan peringkat cabang akan berakhir pada minggu ini.

Mesyuarat agung ini akan berlangsung di 38 cabang dan pemilihan pula di 23 cabang termasuk Selangor (14), Sarawak (empat), Johor (dua), Sabah (satu), Kedah (satu) dan Pulau Pinang (satu).

"Selain itu, beberapa masalah logistik yang berlaku di beberapa cabang minggu lalu akan diatasi.

"Masalah ini terjadi kerana ahli tidak biasa dengan sistem baru yang diperkenalkan parti," katanya.

Minggu lalu beberapa kekecohan telah berlaku di beberapa cabang termasuk cabang Klang, Kapar dan Kuala Langat.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata kekecohan yang berlaku itu dipercayai akibat langkah pihak-pihak yang telah kecewa mahu memburukkan nama anggota gabungan Pakatan Rakyat itu.

Saifuddin berkata, partinya ada menerima rakaman video dan gambar menunjukkan kekecohan di bahagian-bahagian terbabit.

Beberapa dalang kejadian itu dilihat meraikan tindakan mereka merosakkan peti-peti undi, kata beliau.

Katanya, laporan awal yang diterima JPP menunjukkan insiden semalam disebabkan oleh mereka yang bukan ahli.

PKR, parti pelbagai kaum terbesar di negara ini, meminda perlembagaan tahun lalu bagi membolehkan ia mengadakan pemilihan langsung membabitkan 400,000 ahlinya.

Bahasa Muhyiddin: BN sedia timbang Ku Li calon Galas

Posted: 01 Oct 2010 03:38 AM PDT

BERNAMA


Tan Sri Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah boleh dipertimbang sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Perdana Menteri berkata BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Namun, katanya, soal sama ada Tengku Razaleigh mahu bertanding atau terdapat calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, terpulang kepadanya.

"Sebagai mana biasa kita beri lebih ruang pada beliau (selaku pengarah pilihan raya kecil Barisan Nasional bagi kerusi) untuk senaraikan (calon) dan kalau fikir ada nama paling tepat, sesuai dan boleh beri kemenangan cemerlang di situ, kita akan berikan keutamaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Sosial Negara di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian supaya Tengku Razaleigh mampu merampas semula kerusi DUN berkenaan daripada PAS jadi menjadi calon.

Mengenai dakwaan PAS kononnya pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi kerusi Galas memberi kelebihan kepada PAS kerana beliau turut menyokong tuntutan royalti minyak, Muhyiddin berkata PAS sebenarnya sedang "gundah-gulana".

"Dia (PAS) kata beri kelebihan pada dia sebab isu royalti sebenarnya mereka gundah-gulana dengan pengaruh besar yang ada pada Tengku Razaleigh sebagai pemimpin parti yang cukup berpengalaman, sudah sebati dan sinonim dengan Gua Musang.

"Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat Melayu, Cina dan India kerana sudah biasa mengenalinya secara peribadi, soal isu royalti kita boleh jelaskan lebih-lebih lagi Tengku Razaleigh pastiya bukan sahaja faham tapi pakar dalam soal itu," katanya.

Muhyiddin berkata sebenarnya PAS sangat tertekan selepas mengetahui Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat yang dipilih sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Galas.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Galas, Chek Hashim Sulaiman, 46, daripada PAS akibat barah usus.

Mustaffa Kamil sah tanding kerusi timbalan presiden PKR

Posted: 01 Oct 2010 03:35 AM PDT



Mustaffa Kamil Ayub mengumumkan keputusan bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada sidang media petang ini.

KUALA LUMPUR — Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub dengan meletakkan tema "Kesinambungan Perjuangan", hari ini secara rasmi menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden parti itu.

Dengan keputusan itu pemilihan jawatan nombor dua PKR akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa.

"Saya dengan rasa rendah diri menawarkan diri untuk kerusi timbalan presiden," kata beliau pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman di sini petang ini.

"Saya yakin, kesinambungan perjuangan perlu untuk meneruskan sumbangan yang bagi saya cukup besar oleh timbalan presiden Senator Dr Syed Husin Ali.

"Saya berharap anggota-anggota parti boleh membantu saya memperkukuh kepimpinan parti bersama Saudara Anwar dan Dr Wan Azizah," katanya lagi.

Dari segi pencalonan, Azmin dan Zaid berada di depan berbanding Mustaffa.

Mustaffa mempunyai 23 pencalonan setakat sementara 34 cabang akan mengadakan mesyuarat tahunan esok dan luas - pusingan terakhir daripada tiga minggu.

Pemilihan pucuk kepimpinan akan bermula secara berperingkat mulai minggu ketiga dan keputusan akan diumumkan pada Kongres PKR November ini.

Mengenai pencalonan, Mustaffa berkata mengakui dua calon lain di depan, tetapi menjelaskan beliau yakin dengan kebijaksanaan ahli-ahli membuat pengundian terbaik.

"Bercakap mengenai pencalonan, pada tahun 2007 saya menduduki tempat keenam dari segi pencalonan tetapi dari segi undi terbanyak, saya muncul tempat ketiga.

"Jadi percaya pada kebijaksanaan pengundi dalam membuat keputusan. Saya kalah di Pasir Salak, tetapi mendapat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden," kata yang beliau yang pernah tewas dalam pemilihan jawatan timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan PKR pada 2001.

"Saya tahu mereka ada kekuatan, mereka juga kelemahan. Saya pun ada kekuatan dan saya pun ada kelemahan. Saya yakin ahli-ahli akan membuat keputusan yang bijak," katanya lagi.

Pada 2004 beliau memenangi pemilihan jawatan naib presiden dan dikekalkan tiga tahun lalu.

Mustaffa Kamil Ayub
Mustaffa, 48, berkata beliau akan mengunjungi Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Syed Husin petang ini untuk menyatakan secara peribadi keputusannya mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Ditanya ada beliau akan berusaha mendapat sokongan kumpulan Syed Husin, Mustaffa secara berseloroh berkata, "saya mahukan sokongan beliau, sokongan semua pemimpin dan ahli parti."

Beliau menemui kedua-dua mereka selepas sidang media yang turut dihadiri sekitar 200 penyokongnya yang turut melaungkan "lawan tetap lawan" dan "Hidup Mustaffa, Hidup PKR."

Mustaffa yang tewas pemilihan ketua bahagian Pasir Salak minggu lalu berkata, dalam kempen kali ini beliau tidak mahu bertanding atas semangat "berpuak".

"Saya ajak semua kita angkat politik nilai, saya pohon teman-teman dalam parti, bantu saya untuk sama-sama kita angkat nilai moderat, inklusif, sederhana, kasih sayang, perpaduan parti, semak dan imbang dalam parti sempena pemilihan kali ini," katanya lagi.

Pengerusi PKR Perak ini berkata sekiranya diberikan amanah memikul jawatan timbalan presiden beliau akan memperkukuhkan politik ini sebagai satu kesinambungan perjuangan PKR.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan akan berkompromi dan menarik diri daripada bertanding kelak, Mustaffa berkata, keputusannya hari ini adalah muktamad.

"Tidak tidak... ini keputusan muktamad, saya tidak akan tarik diri," katanya lagi.

Mustaffa juga berkata sebagai calon beliau tidak menolak kemungkinan juga Umno akan "jadikan lagi beg tinju untuk mencalar imej parti masa depan ini."

"Tetapi saya yakin PKR dan kematangan kita mampu menangani semua cabaran ini," katanya lagi.

'Perang' PERKASA: Siswa berdemo sokong 'Nah'

Posted: 30 Sep 2010 04:54 PM PDT

Lee Way Loon

Kira-kira 100 mahasiswa Kolej New Era di Kajang hari ini berhimpun bagi menuntut pentadbiran universiti itu menarik balik pembatalan program Namewee di tempat mereka malam ini.

Kumpulan yang dipimpin oleh majlis perwakilan mahasiswa dan persatuan pengajian medianya antaranya bagi menyatakan sokongan kepada penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi itu.

Mereka mempertikaikan tindakan kolej berkenaan yang membuat pembatalan mengejut itu tanpa mendapatkan sebarang pandangan daripada mahasiswanya.

Kolej New Era tidak memaklumkan keputusan pembatalan itu sebelum membuat kenyataan kepada pihak media, dakwa mereka.

Malaysiakini difahamkan kedua-dua pihak, mahasiswa dan pentadbiran kolej milik Dong Zong - NGO pendidikan Cina terbesar masih belum membuat keputusan berhubung tindakan seterusnya.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah semua pihak - pelajar, Namewee dan juga PERKASA bersemuka dan berdialog bagi mencari jalan penyelesaian.

Kolej itu pagi ini membatalkan persembahan Namewee di kampus Kajang ekoran hasrat PERKASA untuk 'mengekori' ke mana saja penyanyi rap kontroversi itu mengadakan siri jelajahnya.

Siri jelajah itu diadakan sempena 'Nah' - tajuk video terbaru Namewee yang menyentuh mengenai isu perkauman di negara ini yang membabitkan beberapa pengetua sekolah yang menghamburkan kata-kata perkauman kepada masyarkat Cina dan India. Bagaimanapun bahasa yang digunakan dalam videonya itu dikatakan tidak bersesuaian dan menghina orang Melayu.

Dalam satu kenyataan, kolej itu menjelaskan tindakan itu diambil kerana mereka tidak gembira dengan insiden yang berlaku di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) sebelum ini.

Kelmarin, perkarangan KLSCAH kecoh dengan kehadiran kira-kira 50 orang anggota PERKASA bagi membantah tindakan Namawee yang melancarkan albumnya.

Beberapa orang daripada mereka membawa sepanduk PERKASA, bendera Malaysia dan membakar gambar Namewee.

PERKASA semalam 'mengisytiharkan' perang terhadap penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi Namewee selepas album sulungnya dilancarkan beberapa hari lau.

Ketua Wira NGO itu Arman Azha Abu Hanifah berkata, sebagai "panglima perang dan hulubalang Melayu" mereka akan sedia mengekori ke mana saja Namewee mengadakan siri jelajah dan persembahannya selepas ini.

"Kami sambut (siri jelajahnya) dengan tangan terbuka. Kalau dia buat konsert di dalam (dewan), kita akan 'berkonsert' di luar," katanya ketika diminta mengulas rancangan terbaru artis muda itu

Tiada ulasan: