Rabu, 27 Oktober 2010

.

.


Lidah Tidak Bertulang

Posted: 26 Oct 2010 06:08 PM PDT

Politik Beruk Bengkeng dan Tengku Razaleigh

ADA bloger tertentu di pihak Pakatan Rakyat yang mempertikaikan kehadiran Tengku Razaleigh Hamzah di tempat proses penamaan calon semalam dan cuba mengeskploitkan keadaan kononnya berlaku sesuatu kepada pengarah pilihan kecil Galas itu. Sebenarnya mereka yang lekas menjadikan isu dengan keadaan itu sebenarnya tidak memahami dan mengenali siapa dia Tengku Razaleigh.

Mereka yang mengenalinya baru semalam akan merasa terkejut apabila beliau tidak mengiringi calon dan masuk sama ke bilik penamaan calon bersama pemimpin tertinggi BN lain. Tindakan Tengku Razaleigh itu dirasakan pelik. Tengku Razaleigh seorang yang tidak suka berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjuk kerana baginya tidak perlu berbuat begitu. Penaka orang kaya dia tidak suka menunjukkan kekayaannya. Selalunya yang cuba tonjolkan diri sebagai kaya ialah orang miskin yang ego.

Ketiadaan Tengku Razaleigh dalam bilik penamaan calon dan pulang sebelum calon diisytihar menjadi isu bagi menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena di pihak BN. Namun bagi mereka yang mengenali dan pernah mengiringi Tengku Razaleigh ke pusat penamaan calon dalam beberapa pilihan raya melibatkan dirinya sendiri sebelum ini apa yang berlaku itu bukan anih dan bukan satu keluar biasaan yang perlu diberikan perhatian.

Sebelum ini pun semasa menyerah borang pencalonannya sendiri, kekadang Tengku Razaleigh tidak hadir sendiri dan diserahkan kepada wakilnya saja. Orang perlu ingat bahawa Tengku Razaleigh adalah anak raja. Ada masanya beliau masih berdiri atas sifatnya sebagai anak raja. Walaupun pun beliau merendah, humble tetapi sesekali dia tidak akan berada dari paras bawah rakyat marhaen dan darahnya tidak akan bercampur dengan rakyat biasa walaupun digaul dan diuli berapa lama sekalipun. Kenal perangai raja?

Jadi tidak timbul dan perlu diungkitkan kalau beliau tidak bersama calon kemudian dan tidak membuat kenyataan selepas proses itu selesai. Lagipun semalam beliau bukan tidak hadir langsung, ada... berada di luar bersama pengundi. Seperkara lagi yang perlu difahami dan ditafsirkan pilihan raya Galas ini saya lihat ia bukan realistik!

Sebaliknya kalau orang hendak persoal dan mempertikaikan untuk dijadikan isu ialah mengenai bekas Timbalan Ketua Bahagian Gua Musang Saufi Deraman dan bekas Setiausaha Bahagian, Mohd Salleh. Katanya wajah mereka ini langsung tidak timbul (nampak) di sepanjang proses penamaan calon itu. Di mana-mana saja di bawah khemah BN orang bertanyakan mengenai Saufi.

Malam sebelum hari penamaan calon, pihak Umno sudah bersunggut mengenai sikap Saufi dan Salleh yang menghilang diri. Seorang rakan rapat calon BN, Abdul Aziz ketika ditemui di perkarangan rumah Tengku Razaleigh di Bukit Cekati, menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku dan menuduh Saufi tidak berterima kasih dan mengenang budi yang Umno Gua Musang lakukan kepadanya.

"Pelik orang Umno ini bila tiba giliran orang lain dia lari, tetapi masa dia bertanding cari kita sampai belakang rumah, berbeza dengan Pas. Pas bila sudah pilih calon semua sokong sepenuh hati," begitulah keluh rakan calon BN penuh kekesalan.

Kehilangan Saufi sememangnya sesuatu yang menyedihkan kepada Umno. Mungkin tidak sangat bagi Tengku Razaleigh tetapi bagi orang lain termasuk calon BN Abdul Aziz Yusuf. Saufi tidak sepatutnya menghilangkan diri dan beliau perlu memberi sokongan seperti mana orang lain memberi sokongan kepadanya untuk dua pilihan raya.

Mungkin Saufi kecewa dan sedih atas apa yang berlaku kepada dirinya. Selepas kalah beliau tidak dipedulikan oleh parti. Masalah kewangan katanya menjempitkan hidupnya. Tetapi beliau patut sedar keadaan itu bukan kerana Tengku Razaleigh ataupun Aziz. Ia adalah satu perangai atau budaya dalam Umno dan politik. Bahkan dalam mana-mana parti politik sekalipun. Bila kamu kalah, apa lagi tidak kaya dan berdarjat kamu akan dilupakan macam kucing tua saja.

Sebab itu saya bermadah mengenai perjuangan dalam politik dan memberi ingatan kepada pemainnya; "Sebaik kamu melangkah masuk dalam dunia politik kamu kena siapkan diri kamu untuk menangis bersendirian. Kamu harus membayangkan penjara dan kehinaan di depan. Kalau kamu tidak melakukan ini nescaya kamu akan kecewa dan menderita suatu hari kelak. Kita akan diusung dan dijulang bila menang dan kita akan dirembas (dinyah) bila sudah kalah."

Orang politik yang telah kalah dan tidak ada kekuatan dan pengaruh, dia umpama seekor kucing tua. Kucing ini bukan saja tidak dimandikan, di elus, makanan pun tidak lagi disediakan bahkan didoakan supaya jatuh longkang atau digilis kereta dan mati agar ia tidak menyusahkan lagi. Begitulah dalam politik. Saufi yang kalah dalam pilihan raya lalu adalah seekor kucing tua di dapur Umno.

Rajuk Saufi ini katanya sudah sampai ke kemuncak dan membimbangkan. Terdengar beliau akan mengistyharkan diri menyertai Pas menjelang hari mengundi. Katanya Pas sedia mempedulikan Saufi mengikut statusnya. Satu jawatan sudah disediakan bagi membela dan membalas budi Saufi kalau dia rela berpaling tadah.

Sekali lagi...cara Pas ini juga tidak betul. Sikap suka memberi susu kepada anak kera di hutan dan memberi air sejuk kepada anak sendiri sering kali diamalkan. Pas sedia memberi apa saja kepada orang baru menyertai partinya. Projek, balak, jawatan ... minta sajalah akan dipenuhi. Ini cara Pas. Disebabkan terlalu peduli ini menyebabkan ahli sendiri terasa hati. Paling menyedihkan budi ditabur Pas tidak pun dibalas sewajarnya. Padi yang ditanam lalang yang tumbuh.

Tenguk apa yang berlaku kepada Rosli Ibrahim. Masuk Pas, bersembahyang berjemaah dengan Tok Guru tidak sampai pun 10 kali sudah diberi berbagai imbuhan dan jawatan. Balak, senator malahan jawatan speaker pun hendak diberikan. Akhirnya apa jadi? Apakah pengorbanan Rosli di atas segala pemberian dan baik hati Pas itu? Jawablah... dan tanggung di akhirat.

Berbalik kepada kisah Saufi tadi, bagaimana pun rancangan itu tidak sempat berlaku. Katanya pucuk pimpinan Umno mengetahui dan mengambil langkah awal menghalang Saufi. Caranya seperti biasalah memberi sesuatu berbentuk kewangan. Katanya dua hari lalu beliau telah menemui Perdana Menteri, Najib Razak. Dua kali bertemu, sekali di Putrajaya dan sekali di Parlimen. Dalam pertemuan itu katanya beliau berhasil mendapat hajatnya. Najib telah menawarkan satu jawatan di sebuah agensi kerajaan yang bergaji dan berelaun.

Jadi perjuangan Saufi sudah berhasil. Dia mendapat apa yang dikehendaknya. Pancingannya sudah berjaya. Biasalah di dalam Umno dan biasa juga bagi ahlinya. Mereka akan memberi benda kepada orang terdesak dan orang terdesak pula akan meminta apa yang dikehendakinya. Inilah yang menjadi masalah kepada Umno. Perjuangan yang berlandaskan benda tidak akan kekal lama. Politik seperti ini politik beruk bengkeng.

Beruk bengkeng bila dia lapar dia akan menyerang sesiapa saja, dia akan merajuk untuk tidak naik kelapa. Tapi sesudah diberikan sesikat pisang dan air setempurung dia akan kembali tenang dan baik semula. Dia akan cepat-cepat panjat pokok nyiur semula menggugurkan nyiur. Tetapi bila dia lapar kembali dia akan mengukangi fiil haiwanannya itu.

Kalau hendak dikira Saufi sudah pun mendapat jawatan itu. Kalau beliau menuntut, tuntutan sudahpun diperolehi. Dan kalau dia boleh diibaratkan beruk bengkeng itu dia sudah pun dapat pisang. Seharusnya beliau sudah memanjat pokok nyiur semula. Tetapi malangnya sehingga kini beliau masih belum muncul-muncul lagi. Kenapa? Apakah dia kemabukan pisang sehingga tidak tahu jalan untuk kembali ke Galas? Dan sekiranya Saufi tidak juga muncul sampai akhirnya membantu Aziz, apakah relevan Najib mengulurkan nasi kepada Saufi?
Berbahagialah Mat Maslan dengan Feldanya. [wm.kl.10:00 am 27/10/10]

Ulasan Tengah Malam

Posted: 26 Oct 2010 08:27 AM PDT

Sharizat Ulangi Kesilapan Khairy?

MENEJLANG pilihan raya umum 2008 dua tahun lalu Khairy Jamaluddin telah melancar kempen untuk menumbangkan kerajaan Pas Kelantan dengan slogan "18 Tahun Padan Dan". Maksudnya pemerintahan Pas yang menjangkau 18 tahun di bawah Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu sudah cukup.

Pemuda Umno bertekad untuk mengentikan Pas dari terus menguasai Kelantan. Alasan Khairy ialah Pas miskin dan tidak membangun di bawah Pas.

Kempen Khairy itu ternyata menimbulkan kemarahan rakyat Kelantan kepada Umno dan juga dirinya. Bagi mereka yang menyanyangi Nik Aziz melihat Mursyidul Am Pas itu bukan saja MB tetapi seorang tok guru yang mendidik agama kepada mereka, menganggap kempen Khairy itu melampau dan biadab.

Anak-anak muda Pas yang tercabar dengan seruan kempen Khairy itu marah dan bangkit mempertahankan kerajaan Pas Kelantan. Dalam sekelip mata saja Pas membuat gerak bingkas untuk menentang kempen berkenaan. Bingkasan Pas itu berhasil, bila mana kempen Khairy itu diejak dan dijadikan bahan ketawa.

Ekoran itu Khairy menghadapi masalah di Kelantan. Beliau bukan saja dibenci oleh rakyat Kelantan tetapi dari kalangan ahli Umno juga. Mereka mengira cara Khairy itu menyalahi adat resam orang Kelantan dan memalukan rakyat Kelantan. Kempen dilancarkan Khairy itu akhirnya memakan diri BN sendiri. Buktikan dalam pilihan umum 2008 UBN hanya mampu menang di enam kerusi saja berbanding 22 kerusi sebelum itu.

Apabila saya mendengar kenyataan Sharizat Jalil dalam siaran tv Astro Awani sekejap tadi yang membayangkan keadaan orang Kelantan seolah berada di bawah paras kemiskinan selagi di perintah Pas saya terus jadi teringat kepada seruan kempen Khairy itu.

Kata Sharizat, "rakyat Kelantan sedar kalau bukan kerajaan BN periok nasi mereka tidak asap". Kenyataan itu begitu sinikal sekali dan mengina rakyat Kelantan seluruhnya. Apa yang hendak digambarkan Sharizat kononnya kerajaan BN saja boleh memjamin kesejahtraan hidup rakyat negara ini. Pernyataan demikin sungguh angkuh dan seolah Sharizat melupai bahawa kuasa menghidup dan mematikan seseorang itu terletak di tangan Tuhan.

Pasti bagi orang Pas Kelantan marah dengan kenyataan itu. Ia menghina kebolehan kerajaan Pas selama ini. Mungkin Sharizat tidak berfikir sewaktu mengeluarkan kata-kata itu.

Saya percaya kata-kata Sharizat itu akan dijadikan modal kempen oleh Pas. Sekiranya Sharizat tidak membuat pembetualan dan penjelasan maksud sebenar kata-kata itu kemungkinan dia akan menjadi libaliti kepada BN di Galas.

Sikap Sharizat itu juga bertentangan dengan sikap dan pendekatan politik pengarah pilihan raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengambil pendekatan lemah lembut dan memujuk. Walaupun Tengku Razaleigh berdarah raja tetapi beliau begitu bersopan santun dan menghormati semua orang.

Sekiranya BN mahu mendapat kepercayaan rakyat Kelantan di Galas parti itu harus mengawal mulut para pemimpin dan penceramahnnya. Tindakan menghina rakyat Kelantan terutamanya soal kemiskinan dan pembangunan tidak akan dipedulikan rakyat Kelantan. Bahkan kalau soal-soal sosial ekonomi itu diungkit ia akan menimbulkan kebencian dan kemarahan.

Lagipun rakyat Kelantan termasuk pengundi di Galas lebih memahami kehidupan mereka. Adalah salah kalau Sharizat atau mana-mana menteri hendak mengambil kira kemajuan di bandar untuk dijadikan perbandingan dengan Gua Musang. Sharizat harus faham beza antara bandar dengan Gua Musang jauhnya seumpama jarak dari KL ke Gua Musang. [wm.kl.8:35 am 27/10/10]

Haluan Mata Dari Galas

Posted: 26 Oct 2010 07:15 AM PDT

Foto Sekitar Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Galas

BARU sampai rumah dari Galas. Seperti mana dijanjikan di sini di postingkan beberapa keping gambar sekitar proses penamaan calon pilihan raya kecil Galas. Semasa di Galas pagi tadi saya menghadapi kesulitan untuk download foto disebabkan tiada kemudahan untuk berbuat demikian - tertinggal wayer. Jadi walaupun letih dan baru sampai rumah saya cuba gagahkan juga diri untuk postingkan beberapa keping gembar berikut untuk tatapan anda.

Keadaan yang penuh sesak menyebabkan saya tidak mendapat sudut yang baik. Tetapi cukuplah untuk memenuhi janji saya sore tadi. Saya cuba mendapat gambaran di kedua pihak, Pas dan UBN untuk memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di Galas. Tetapi nampaknya tidak begitu memuaskan.

Iya apa lah yang dapat dilakukan oleh seorang petugas seperti saya, untuk berkerja ke sana ke sini dalam asakan manusia ribuan tidak terdapat. Aksi pemimpin Pas langsung tidak sempat dirakam. Tetapi saya yakin sudah ada rakan bloger lain telah membuat posting awal. Jadi terimalah sumbangsih dari saya khas untuk pejenguk blog Merah Tinta.

Ulasan di sebalik proses penamaan calon dan desas desus yang kian rancak kedengaran di Gua Musang termasuk perihal UBN yang dikatakan bermasalah akan diulas esok. InsyaAllah. [wm.kl. 10:30 pm 26.10/10]


Calon Pas Dr Zulkefli Mohamad diiringi Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa ke pusat penamaan calon. Foto: Ruzely.

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim ikut sama memberi sokongan, mengiringi calon Pas. Foto: Ruzley.

Sebahagian dari kira-kira 8,000 penyokong Pas sedang menanti penuh sabar pengistyharan calon oleh SPR. Foto: Ruzley.

Lagi pemandangan penyokokong Pas yang mengiringi calon.


Perakan calon Pas sepanjang hampir satu kilometer.

Di belah UB, kelihatan Idris Jusuh dan Fatmi Salleh.

Ahmad Zahid Hamidi mengepali perarakan calon UBN.

Wanita Umno berpakaian serba merah bersiap sedia untuk berarak.

Tiada ulasan: