Selasa, 19 Oktober 2010

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Kena Tumbuk Kot..!!

Posted: 18 Oct 2010 11:15 PM PDT

Tunggu tumbukan BN di PRU-13, Ku Nan beri Pakatan amaran

Di sebalik spekulasi kemungkinan pilihan raya umum tergempar dalam waktu terdekat, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada Pakatan Rakyat (PR) agar "tunggu tumbukan kami" di gelanggang pilihan raya umum ke-13.

"Tunggu dan lihat, akan ada tumbukan," jawab beliau berhubung soalan mengenai persiapan BN menghadapi saingan PR berdasarkan prestasi pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Pada 8 Mac 2008, BN tidak dapat mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan penguasaan lima kerajaan negeri diambil alih oleh PR.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno memberitahu, parti-parti pembangkang tidak tahu apa yang "kami lakukan."

"Lebih baik kami mendiamkan diri," katanya.


"Ada pihak yang mempersoalkan saya ini berbeza dariapda Tok Mat (Tan Sri Mohamed Rahmat) (kini Tun) Tan Sri Khalid Yaakob... saya memberitahu Tan Sri Khalid adalah Menteri Penerangan, Tok Mat pun Menteri Penerangan, mereka juga boleh bercakap mengenai kementerian. Apa kementerian yang saya ada? Saya sifar kementerian.

"Dan, lebih baik saya mendiamkan diri untuk merancang (kerja), saya tidak memberitahu, kalau saya beritahu pembangkang akan berwaspada, mengapa harus saya beritahu mereka, mengapa saya benarkan mereka (mengetahui apa yang kami lakukan).

"Saya mahu memerangkap mereka. Tunggu dan lihatlah, akan ada tumbukan," kata beliau dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.

Kedua-dua Mohamed dan Khalil pernah memegang kedua-dua jawatan Setiausaha Agung Umno dan BN serta bertindak sebagai Menteri Penerangan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Putrajaya ini mendakwa pihaknya juga merasakan bahawa persekitaran semasa sebenarnya tidak mencabar berbanding cabaran 'sengit' ketika pilihan raya umum 11 tahun yang lalu.

"Pada tahun 2004, saya ada di sini. Saya sudah melalui situasi lebih teruk pada 1998/99, kami berhadapan dengan reformasi jalanan, kami perlu menangani situasi itu.

"Kami berhadapan dengan masalah besar ketika itu berbanding sekarang," katanya lagi.

Sehubungan itu menurut Tengku Adnan, "sekarang, bagi saya tiada masalah sebab tiada reformasi jalanan."

"Orang cuba untuk mewujudkan, mencetuskan ketidakharmonian kaum kecuali cakap-cakap begitu dan menerusi media, tetapi secara fizikal tidak ada.

"Pada 1998, ia berlaku, setiap orang pada masa itu, anda mesti ingat, setiap orang... disebabkan karakter Anwar (Ibrahim), dalam Melayu orang kata ketaksuban kepada pemimpin, taksub kepada... malah pada 1999," kata beliau.

Mengenai perbandingan dengan kemenangan pada pilihan raya umum 2004, kata Tengku Adnan, pihaknya telah membuat persiapan sebaik sahaja selesainya pilihan raya umum 1999.

"Selepas pilihan raya umum 1999, kami telah diminta oleh pucuk kepimpinan untuk bersiap menghadapi pilihan raya... kerja keras saya, pasukan Umno, kerja keras Tan Sri Khalil... itu yang menyebabkan menang besar (pada 2004)," kata beliau sambil menambah, ia juga hasil perubahan pucuk kepimpinan termasuk keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berundur.

Kata Tengku Adnan, Daim berhenti setahun sebelum Dr Mahathir atas permintaan pucuk kepimpinan dan permintaan itu dipenuhi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-11.

"Tetapi mereka yang mendapat kuasa selepas itu mereka tidak kisah," katanya.

"Itu sebabnya saya berkata, anda mahu jadi ahli politik untuk apa? Untuk merombak? Maaflah, anda tidak akan bertahan lama, Akhirnya negara ini akan menjadi seperti di Amerika Latin dan beberapa negara lain di Afrika yang sudah ketinggalan," katanya lagi.

Oleh itu, kata beliau, keputusan pilihan raya bergantung kepada bagaimana rakyat membuat pilihan dan percaya rakyat masa sekarang berfikiran terbuka untuk menentukan mana yang baik dan mana yang buruk.

"Jadi, kami juga sedar, apabila mereka hendak mengajar kami pada 2008, mereka juga membuat kesilapan.

"Pada masa itu mereka juga tiada pilihan, mereka tiada pilihan, kalau ada pilihan baik sudah tentu memberikan pilihan terbaik, bukannya DAP, bukan parti Anwar (PKR), atau PAS, mereka tiada pilihan selepas BN, mereka tiada pilihan," katanya.

DAP, PKR dan PAS membentuk PR.

Tengku Adnan menambah, pihaknya berusaha untuk memenuhi keyakinan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Kita juga ada kekurangan, sebagaimana anda katakan tadi pada 2004, kita menang besar pada 2004 disebabkan perubahan kepimpinan dan dari 1999, pasukan kami bekerja (kuat).

"Inilah masalah yang kami hadapi tetapi pokoknya, kami kena berubah," kata Tengku Adnan yang turut menekankan bahawa beliau secara peribadi cuba mendampingi setiap bahagian untuk memberi panggilan "bangun kembali" demi memperbaiki kedudukan.

Tengku Adnan juga mengakui walupun parti-parti utama dalam BN merupakan entiti yang berstruktur, tetapi apa yang penting ialah kuasa untuk berkhidmat.

"Kalau ada parti politik dan jika tiada kuasa, kita tidak akan berfungsi dengan baik... itu sebabnya rakyat menguji (Lim) Guan Eng di Pulau Pinang, (Tan Sri) Khalid di selangor.

Lim Guan Eng dan Tan Sri Khalid Ibrahim masing-masing menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang jatuh ke tangan PR pada 8 Mac 2008.

Remaja Baling Cat Pada Surau Didenda RM2,000

Posted: 18 Oct 2010 11:12 PM PDT

Tiga remaja masing-masing didenda RM2,000 selepas mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan melemparkan botol minuman keras ke sebuah surau di Taman Pulai Impian, Sikamat, Seremban Ogos lalu.

Dua daripada mereka juga dibebaskan dengan bon RM3,000 kerana menyimbah cat merah di dinding luar surau berkenaan, lapor TheStar.

Remaja ketiga dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana bersubahat dengan dua rakannya memercik cat merah tersebut.

Ketiga-tiga mereka diperintahkan melapor diri kepada Jabatan Kebajikan setiap bulan selama dua tahun.

Tertuduh pertama berumur 17 tahun, tertuduh kedua berumur 15 tahun dan tertuduh ketiga berumur 16 tahun yang berasal dari sekitar Ulu Temiang dan Sikamat di Seremban didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3 pagi hingga 4 pagi, 23 Ogos lalu.

Mereka bertiga didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bersama dengan Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Siapa Cakap Kapal Selam Malaysia Tak Boleh Menyelam?

Posted: 18 Oct 2010 08:34 PM PDT



Amarah

Misteri Di Sebalik Pembinaan Istana Negara

Posted: 18 Oct 2010 06:31 PM PDT

Kontrektor Yang Bina Istana Negara Milik Kroni Umno

KETIKA Ibrahim Ali sedang bertarung dengan maut di Hospital Ampang Putri kerana melalui pembedahan jantung, Anwar Ibrahim berucap membahas ucapan belanja 2010 di Parlimen. Mungkin kalau Ibrahim ada di Dewan beliau dapat mendengar beberapa pendedahan menarik yang dibuat Anwar di mana memungkinkan beliau akan bersetuju dengan Anwar dalam beberapa perkara.

Salah satu didedahkan Anwar ialah mengenai misteri di sebalik pembinaan istana negara yang baru di mana banyak perkara-perkara diungkitkan Anwar menimbulkan tanda tanya dan keganjilan. Seolah ketelusan yang dijanjikan perdana menteri semuanya nihil kabne nihil belaka di sebalik projek raksasa berkenaan.

Misalnya dedah Anwar mulanya projek pembinaan istana negara itu berharga RM394.8 juta kemudian dinaikkan kepada RM649 juta. Manalala semasa kontrak itu diberikan pada Oktober 2008 ia dinaikkan kepada RM811 juta. Ini bermakna kenaikan kos projek itu sebanyak tiga kali.


Pembeian projek itu tanpa tander juga banyak melanggar syarat-syarat yang sepatutnya dipenuhi oleh kontrektor berkenaan. Tetapi kerana ianya milik kroni Umno semua syarat dan peraturan di langgar begitu saja.

Bukan itu saja yang mungkin memeningkan kepala rakyat berhubung dengan status syarikat yang memperolehi projek berkenaan iaitu Syarikat Mayamaju Sdn Bhd. Status syarikat ini meragukan. Menurut Anwar dari semakan dengan SSM syarikat berkenaan tidak pernah menjalankan perniagaan dan akaunnya domen. Ini menunjukkan syarikat berkenaan bukan syarikay berwibawa dan tidak layak menerima projek itu.

Syarikat itu juga tidak mempuyai sijik atau lesen daripada Pusat Khidmat Kontrekto (PKK) dan juga CIDB di mana lazimnya syarikat atau kontraktor seharusnya mempunyai lesen dari kedua agensi itu baru boleh ditawarkan projek apa lagi sebesar itu.

Paling pelik dan ganjil lagi projek berkenaan diberikan kontrak itu pada Oktober 2007 sedangkan ianya didaftarkan Ogos 2008?

Syarikat itu adalah milik bekas bendahari Umno Merbok, Haji Man bin Mat.

Anwar akan menyambung perbahasann disebelah petang nanti apabila Dewan bersambung. Insyaallah saya akan menyorotnya.

Penulis Tamu - Mohd Sayuti Omar

Otai Umno Sabah Sertai Pakatan Rakyat

Posted: 18 Oct 2010 05:13 PM PDT

Karim Ghani Keluar Umno, Mungkin Sertai Pakatan?

SEMALAM Umno Sabah dikejutkan dengan pengumuman bekas Ketua Penerangan Umno Sabah, Abdul Karim Ghani yang telah mengumumkan keluar dari parti berkenaan serta merta. Surat perletakan itu sudah dihantar ke ibu pejabat Umno Sabah dan Kuala Lumpur.

Mungkin Karim waktu ini hanya melukut di tepi gantang saja dalam arena politik Sabah tetapi penglibatannya dalam perjuangan politik Sabah 30 tahun lalu bukan kecil anak.

Beliaulah antara pelopor yang telah membawa Umno masuk ke Sabah kerana ingin menyelamatkan agama Islam di negeri berkenaan yang ketika itu diancaman pengaruh Kristinasi yang hebat pada masa Sabah di bawah naungan PBS.

Karim adalah tokoh sezaman dengan bapa kemerdekaan Sabah Tun Datu Mustapa Haron dan boleh dianggap Datu Mustapa sebagai idolanya.

Dengan tindakan Karim itu ia memberi kesan kepada Umno Sabah apa lagi menjelang pilihan raya umum ke 13. Golongan veteran dan mereka yang berjiwa Sabahan pasti akan bersama beliau.


Beberapa hari sebelum itu beliau ke Kuala Lunmpur dan sempat bertemu saya dan beberapa rakannya yang lain. Biasalah kalau ke sini beliau akan mencari teman-teman penulis yang dikenal sejak lama dulu untuk berbual dan makan.

Beliau seorang yang humble dan tidak pernah sombong dan senantiasa mengenang dan merai kawan baik ketika di Kuala Lumpur atau kami ke Sabah. Malam itu antara penulis yang dipanggil ialah saya, Syed Abdullah dan Yahaya Ismail. Sdr Zabidi Saidi rakannya semasa Zabidi di Sabah telah dipanggil malam sebelumnya.

Malam itu Karim tidak mencerita lanjut apa yang akan berlaku. Cuma beliau ada membayangkan sesuatu kejutan akan berlaku. "Tunggulah 18 Oktober saya akan membuat pengumuman penting di Kota Kinabalu," begitulah ujarnya. Dan ternyata hari ini beliau mengambil langkah nekad meninggalkan Umno atas alasan parti itu gagal untuk mengambil langkah objektif untuk memaju dan membela masyarakat Sabah. Ada juga mengatakan tindakan itu kerana Umno telah meminggirkan orang lama dalam Usno yang menyertai Umno.

Sebenarnya saya sudah dapat mengagak tindakannya itu. Lama sebelum ini semasa bertemu di Kota Kinabalu kira-kira dua setengah tahun lalu beliau sudah membayangkan rasa tidak puas hati terhadap Umno dalam membangunkan Sabah. Menurutnya penghijarahan Umno ke Sabah bukan membawa harapan tetapi memusnahkan Sabah. Hatinya ketika sudah tawar terhadap Umno di mana ketika Abdullah Badawi melawat Sabah beliau tidak pun ke aiport menyambut Abdullah.

Beliau membayangkan rasa putus asa kepada Umno yang telah menjanjikan macam-macam untuk kepentingan rakyat Sabah yang sanggup mengorbankan Usno. Pengorbanan yang mahal itu dirasakan tidak berbaloi.

Bagi Karim janji Umno itu hanya manis dibibir mulut saja dan dirasai sebagai perangkap semata-mata untuk kepentingan individu tertentu yang berjaya memperalatkan pemimpin Umno Sabah waktu ini.

Apabila beliau mengumumkan keluar Umno serta merta maka jelas, apa lagi menjelang 24 jam Perhimpunan Agung Umno beliau sudah tidak dapat lagi menahan rasa pedih dan kesal kepada Umno. Apakah tindakan beliau selepas ini. Katanya beliau dan rakan-rakan seangkatan dengannya sedang berusaha untuk menghidupkan semula Usno untuk dijadikan wadah perjuangan.

Orang seperti Karim yang tidak boleh duduk diam pasti akan berusaha apa saja untuk meneruskan sisa-sia usianya dalam perjuangan. Semasa dalam Usno dulu beliau merupakan Naib Presiden yang sangat berpengaruh.

Apakah sekiranya usaha menghidupkan Usno gagal Karim dan ribuan penyokongnya akan bertindak menyertai PKR atau Pas? Pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November depan akan memberi petunjuk ke mana arah jalan masa depan Karim dalam politik. Sebagai pejuang Karim tidak akan boleh duduk diam pasti beliau akan merayau ke Batu Sapi. Apa lagi khabarnya 30% pengundi di Batu Sapi orang Melayu yang rata-rata asalnya dari Usno. [wm.kl. 1:10 am 19/10/10]

Dalang Ahli AMK Desak Anwar Bertaubat Terbongkar Kini

Posted: 18 Oct 2010 04:55 AM PDT

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang, Amir Md Ghazali menafikan seramai 60 ahli AMK negeri itu dan juga Perak terlibat dalam penyerahan memorandum kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa hari penamaan calon di ibu pejabat parti Sabtu lalu.

Malah beliau menyanggah dakwaan 60 individu yang mengaku ahli AMK sebagai satu pembohongan dan fitnah yang sengaja direkacipta.

"Jumlah yang dilaporkan oleh media adalah tidak logik sama sekali. Berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh AMK Pulau Pinang, kita mendapati hanya lima sahaja individu yang terlibat dan bukannya 60 orang.

"Mereka ini pula adalah ahli yang telah dipecat. Salah seorang dari mereka adalah anak kepada petugas bekas Ahli Parlimen Bayan Baru yang masih setia dengan Ahli Parlimen tersebut, " kata Amir ketika ditemui pada majlis meraikan 105 jemaah haji oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini semalam.


Kata Amir lagi, provokasi yang dilakukan ini adalah sebagai satu helah untuk meraih sokongan masyarakat menjelang pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi.

"AMK Pulau Pinang begitu kesal dengan tindakan pihak tersebut yang sengaja menggunakan nama AMK dengan niat jahat dan berbentuk provokasi semata-mata memberi pandangan serong terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami AMK Pulau Pinang, tetap menyokong dan berdiri teguh dibelakang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana yakin dengan kredibiliti dan kepimpinan yang dibawa oleh beliau kearah reformasi politik baru dalam negara ini, " ujar beliau lagi.

Sehubungan itu tindakan tegas akan diambil selepas ini bagi mempertahankan nama baik AMK Pulau Pinang dari terus dicemari dan dipermainkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab serta mempunyai kepentingan politik yang didalangi oleh pihak tertentu.

Sementara itu Ketua Cabang Bayan Baru yang baru YB Sim Tze Tzin menulis dalam FB nya - Pengkhianat Zahrain cuba buat kecoh lagi. Dia hantar Nor Hilmi Ismail, hentam Anwar Ibrahim. Hilmi anak Ismail (Kerang) Ali, Personal Assistant Zahrain. Taubatlah Zahrain!

Jalan Anwar Menuju Penjara Terbentang Luas

Posted: 18 Oct 2010 04:15 AM PDT

Terkini! Pemecah Berita! Konspirasi Liwat II!




Baru sebentar tadi, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyatakan dalam Twitternya ( http://twitter.com/anwaribrahim ) berkenaan kes Liwat terhadap Saiful Bukhari Azlan. Dia menyatakan bahawa:

"Mahkamah Persekutuan menolak lagi permohonan saya utk mendpatkan kenyataan Saiful kpd polis(112)yg bercanggah. Alahai!"

Dan dalam Bahasa Inggeris juga dengan maksud yang sama 10 minit lalu:

"Federal Court again rejected our application to obtain Saiful's(112)statement- ie contradicts testimony in court! Why deny my defense?"

Ternyata mahkamah sedang dipaksa menerima apa saja keterangan yang dibuat oleh pasukan pendakwaan, dan menolak segala permintaan pasukan peguambela.

Apakah anda fikir, Umno-APCO bukan dalang di sebalik keputusan ini??/Jalan Pulang

Tiada ulasan: