Selasa, 19 Oktober 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Kos perjalanan rasmi PM naik kerana Rosmah

Posted: 19 Oct 2010 03:10 AM PDT

Urusan perjalanan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin naik mendadak sehingga melebihi 75.2 peratus daripada perangkaan 2008.

Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata jumlah kos 1,102 pegawai yang mengiringi Najib dan Muhyiddin sejak 2008 berjumlah RM21.45 juta.

Soalan berkenaan dikemukakan oleh ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang ingin tahu jumlah pegawai yang mengiringi kedua-dua pemimpin berkenaan apabila mereka membuat lawatan rasmi.

"Pada 2008, kos lawatan perdana menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan timbalannya ketika itu (Najib) adalah RM5,597,583.20," kata Chua.


Menurut beliau, apabila Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009 kos lawatan perdana menteri dan timbalannya terus meningkat kepada RM6,041,934.35 dan jumlah itu melambung kepada RM9,807,310.63 bagi tahun ini.

Membanding jumlah lawatan, Chua berkata antara 2008 hingga 2009, kos perbelanjaan perjalanan adalah 7.94 peratus manakala daripada 2009 hingga 2010 ia naik kepada 62.32 peratus.

"Saya percaya semasa lawatan rasmi jabatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri terpaksa membayar perbelanjaan boros isteri perdana menteri," katanya.


"Rosmah Mansor (kanan) mempunyai rekod sebagai berbelanja besar di London pada 2008, saya percaya jumlah kos yang tinggi itu adalah untuk menampung perbelanjaan isterinya, sebagai contoh lawatan (Rosmah) ke Forum Antarabangsa Wanita di Washington dan New York pada Mei lalu," kata Chua dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, jawapan kepada soalan kedua Tian berhubung kos pengurusan dan pembangunan Jabatan Perdana Menteri, timbalannya serta agensi berkaitan mendedahkan jumlah itu yang berjumlah RM4.3 bilion pada 2006 melonjak kepada RM10.2 bilion tahun lalu.

"Ini bermakna ia meningkat 136 peratus dan ini tidak termasuk perbelanjaan tambahan," kata Tian.

Pada pementangan Bajet 2011, Jumaat lalu, Najib mengumumkan peruntukkan RM18.14 bilion kepada Jabatan Perdana Menteri.

Peruntukan itu mewakili 8.55 peratus daripada jumlah peruntukan bajet yang bernilai RM212 bilion.

"Ia menerima peruntukan ketiga terbesar mengikut agihan kementerian dengan RM35.76 billion untuk Kementerian Pelajaran dan RM31.2 bilion untuk Kementerian Kewangan," kata Tian.

~MK~

Jangan turunkan darjat perjuangkan Anwar saja

Posted: 19 Oct 2010 03:09 AM PDT

PKR tidak patut menurunkan darjat parti itu menjadi sebuah parti yang hanya memperjuangkan keadilan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia tidak adil bagi rakyat yang ingin diwakili, kata calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim.

"Kita bukan sahaja sebuah parti 'Reformasi', sebagai nama bagi sebuah gelombang di hujung 1990-an, tetapi juga sebuah parti yang menuntut reformasi tulen dan sanggup untuk mereformasi diri.

"Saya menitikberatkan masa depan proses perubahan," kata Zaid.

Katanya, PKR harus menguntungkan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat dan bukannya menjadi satu "hambatan".

"Kita perlu memperjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun pada masa yang sama juga terdapat banyak ketidakadilan yang menimpa rakyat negara ini yang memerlukan perhatian kita.

"Rakyat rata-rata mendesak mahukan keadilan ekonomi dan keadilan sosial dan hak supaya diberi layanan dengan hormat dan bermaruah mengikut kedaulatan undang-undang," katanya bekas menteri yang juga penyelaras Pakatan Rakyat itu.

~MK~

'Tangan ghaib' pindah pengundi di Perak

Posted: 19 Oct 2010 03:08 AM PDT

Perang mulut tercetus lagi antara Pakatan Rakyat dan BN Perak berhubung tuduhan berlakunya perpindahan sulit nama pengundi dari kawasan pilihan raya mereka - ketika spekulasi semakin kencang bahawa pilihanraya umum akan diadakan pada Mac tahun depan.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan ketua Pakatan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menuduh BN menjadi "tangan ghaib" di sebalik pemindahan pengundi dari kawasan pilihan raya Nizar di Pasir Panjang ke kawasan pilihan raya Ngeh di Sitiawan.

Ngeh berkata pemindahan pengundi itu bertujuan untuk menafikan Nizar peluang untuk menang kerusinya dan sekali lagi menjadi menteri besar Pakatan di Perak dalam pilihan raya umum akan datang, di mana Pakatan yakin akan menang.

Pada 2008, Nizar memenangi kerusi Pasir Panjang dengan majoriti 4,474 undi, manakala Ngeh memenangi kerusi Sitiawan dengan majoriti 8,529 undi.

Ngeh berkata BN menyedari bahawa ia tidak dapat mengalahkannya di kerusi yang menjadi kubu kuat DAP itu, maka ia bertumpu di kerusi Pakatan yang lemah di Pasir Panjang dengan memindahkan mereka yang mengundi Pakatan ke Sitiawan.

Dia memberi amaran kepada Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan BN supaya mengalihkan perhatian rakyat daripada pembabitan mereka dalam pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan pilihan raya yang lain.

"Kami juga membangkitkan isu BN di sebalik tindakan memindahkan penyokong PAS dan Pakatan dari kerusi Pengkalan Baharu, yang dimenangi BN dengan 14 undi," kata Ngeh.

Katanya, beliau faham bagaimana Zambry boleh membuat kenyataan media pada 16 Oktober, menuduhnya dan Nizar memindahkan pengundi dari Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Batu Gajah ke kerusi negeri Sungai Rapat supaya exco negeri BN Hamidah Osman kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

~MK~

AGM Umno 2010 diharap terus jana sokongan

Posted: 19 Oct 2010 03:05 AM PDT

Beberapa pemimpin menyandar harapan penuh dalam perhimpunan Agung Umno ke-64 yang berlangsung bermula hari ini sebagai titik tolak menarik semula sokongan rakyat kepada parti itu selepas pilihan raya umum 2008.

Bahkan ada di kalangan pemimpin memberitahu Malaysiakini menganggap perkampungan selama lima hari yang akan membahaskan tiga usul - politik, agama dan bangsa serta ekonomi - menganggapnya sebagai "persidangan ke arah penerimaan kembali sokongan rakyat" kepada parti tersebut.

Apatah lagi, perhimpunan itu diadakan berdekatan dengan tarikh kempen dua pilihan raya kecil - DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi - yang bermula 26 Oktober ini dianggap peluang terbaik yang terhidang di hadapan mata untuk menterjemahkan dan membuktikan penerimaan rakyat terhadap parti itu.

Malah terdapat permerhati politik turut menegaskan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi tersebut, bakal menghangatkan dan menjadi perbahasan utama perwakilan yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Saya lihat persidangan tahun ini adalah persidangan ke arah penerimaan kembali sokongan rakyat. Sokongan rakyat kepada Umno ada penambahan.

"Adalah menjadi harapan kita berkampung di PWTC, selepas membahaskan tiga usul tersebut, kita pulang dengan semangat baru dan azam baru untuk terus mengembalikan sokongan rakyat," kata Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus.

Bajet terima cadangan akar umbi

Menurutnya, mengekalkan sokongan rakyat amat penting untuk memastikan kerajaan BN terus berkuasa seterusnya berusaha untuk mengembalikan negeri yang terlepas kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, bagi memastikan usaha itu tercapai perkara utama yang perlu diberi perhatian penuh dengan menyandarkan harapan kepada semua kepimpinan Umno semua peringkat menghayati konssep 1Malaysia dengan penuh rasa tanggungjawab.

"Kita perlu menghayati konsep 1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan, saya yakin rakyat akan menerima kita. Mereka akan seronok dengan kita.

"Kalau kita ikhlas dan menghayati 1Malaysia di semua peringkat, saya berkeyakinan penuh Umno dapat meneruskan khidmat terbaik untuk rakyat," katanya yang juga ketua bahagian Selayang.

Menurutnya, banyak perkara yang dilaksanakan contohnya agihan biasiswa dan pembentangan bajet pada Jumaat lalu yang disifatkan "bajet rakyat" setelah mengambil kira pandangan dan kehendak rakyat.

"Saya sebagai pemimpin di akar umbi, turut diminta (memberi) cadangan, dan saya kira pemimpin lain pun dapat (arahan itu), maka saya hantar (cadangan) itu kepada pucuk pimpinan (untuk pertimbangan)," katanya.

Pemuda, Puteri jangan lari tumpuan

Mengulas lanjut mengenai dua pilihan raya kecil itu, Abdul Shukor berkata walaupun ia menjadi tumpuan perbahasan akar umbi dan jentera harus bekerja kuat dan tidak mengambil mudah dengan kekuatan parti lawan.

"Ia (kemenangan) menjadi titik permulaan. Ia penting untuk memberi tamparan kepada Pakatan Rakyat walaupun kita berjaya dalam pilihan raya kecil sebelum ini," katanya yang juga ADUN Kuang.

Katanya, beliau optimis yakin BN mampu merampas kerusi DUN Galas daripada PAS dan mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya kecil DUN tersebut 4 November depan.

Mengulas mengenai ketiga-tiga sayap parti, Abdul Shukor berkata walaupun Pemuda dan Puteri menerima teguran daripada pucuk pimpinan, ia perlu dianggap sebagai teguran membina. Malah, katanya, Pemuda dan Puteri juga perlu lebih memberi fokus ke arah menarik minat golongan muda khususnya pengundi berumur 45 kebawah.

"Jadi usaha perlu dibuat, harus diperbanyakkan program-program. Saya berharap Pemuda dan puteri memberi tumpuan. Jangan lari tumpuan untuk mengukuhkan parti," katanya yang merupakan bekas ketua Pemuda Umno Selangor.

~MK~

Karim Ghani cuba ditarik ke 'Usno 2006'

Posted: 19 Oct 2010 03:04 AM PDT

Ahli politik veteran Sabah yang mengumumkan keluar dari Umno Datuk Karim Ghani semalam, mendedahkan terdapat usaha menjemputnya menyertai sebuah kumpulan yang mahu menghidupkan semula Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) di negeri itu.

"Kelmarin ada orang datang jumpa hendak lantik saya sebagai penasihat Usno," katanya merujuk kepada Usno yang cuba didaftarkan pada 2006 di bawah pimpinan presiden penajanya Perais Sherif Baba.

Semalam, Karim, antara orang kuat yang membawa Umno ke Sabah, mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta kerana sudah bosan dengan kegagalan Umno memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat negeri itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Karim berkata, beliau masih belum membuat keputusan terlibat dalam mana-mana parti politik sama ada melalui Usno 2006 atau parti-parti pembangkang seperti PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

"Tunggulah," kata bekas naib presiden Usno itu sambil ketawa kecil ketika ditanya sama ada beliau akan menerima lantikan daripada Usno 2006.

Sejak awal 90-an, terdapat pelbagai usaha menghidupkan semula Usno, termasuk melalui Usno Plus (1994), Usno Baru (2002), Usno 2006, Parti Usno Baru (2008) dan NGO seperti Mantan Ahli Usno (2007), Pertubuhan Bekas Ahli Usno (2008 dan Kelab Usno Sabah (2008).

Ditanya mengenai perkembangan tersebut, Karim berkata wujudnya pelbagai kumpulan itu, melambangkan penolakan terhadap Umno Sabah yang 95 peratus daripadanya didakwa daripada bekas anggota Usno.

"Mereka tidak puas hati pada Umno. Walaupun tidak boleh daftar, semangat Usno tidak boleh mati. Ia adalah hati dan jantung mereka," katanya sambil menyeru semua yang terbabit bersatu.

Karim juga menjelaskan, beliau "meletup" semalam selepas memendam perasaan tidak puas hati lebih daripada 15 tahun. Perkara itu, antaranya disebabkan soal pengagihan kekayaan dan sumber negeri dan permintaan kuasa autonomi kepada Sabah "seperti yang dijanjikan" tidak diberikan, kata Karim.

Ditanya tentang percakapannya yang bernada pembangkang, Karim sambil ketawa bertanya kembali: "Kalau tidak ke arah itu, kenapa saya keluar dari Umno?"

Pada tahun 1990, Usno bergabung dengan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) untuk membawa Umno melebarkan sayap ke Sabah. Tun Datu Mustapha Datu Harun (pengasas Usno) menjadi pengerusi pertama Umno Sabah setelah Usno dibubarkan untuk bergabung dengan Umno pada tahun 1991.

~MK~

'Kkuasa rakyat' tentukan Warisan Merdeka

Posted: 19 Oct 2010 03:02 AM PDT

Bagi membuktikan bahawa bantahan mereka terhadap pembinaan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat itu bukan tanpa asas yang kukuh, sekumpulan ahli parlimen DAP membawa wartwan ke tapak lokasi projek berkenaan hari ini.

Bermula dari bangunan Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA), kira-kira 15 wartawan dibawa melihat persekitaran yang juga membabitkan bangunan Stadium Negara dan Stadium Merdeka yang bersejarah itu.

Lima ahli parlimen itu kemudiannya mengadakan sidang media mereka bagi menghuraikan mengapa projek berkenaan bakal membebankan rakyat. Menurut MP Bukit Bintang, Ong Kui Loon, jalan-jalan yang sempit dengan kehadiran lima sekolah di kawasan itu telah memburukkan lagi masalah lalu lintas di kawasan berkenaan.

Katanya, dengan siapnya projek Warisan Merdeka, keadaan lalulintas di sini akan menjadi lebih bercelaru.

MP Segambut Lim Lip Eng pula berhujah projek itu belum diluluskan memandangkan tiada papan tanda pengumuman projek daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ia pra-syarat utama sebelum sesuatu projek diumumkan.

"DBKL mesti menaikkan papan tanda dan umumkan projek. Selepas itu mesti ada tempoh bantahan bagi orang ramai menyuarakan pendapat dan komen," kata Lim.

Katanya, ini bagi membolehkan rakyat menentukan sama ada mereka mahukan projek itu ataupun tidak serta alasan mengapa mereka berbuat demikian.

"Kami di pihak pembangkang telah membuat kenyataan berhubung pendirian kami tetapi kerajaan mendakwa kami hanya mempolitikkan isu berkenaan. Jadi sekarang kami mahu menggunakan kuasa rakyat," kata Lim lagi.

MP Cheras Tan Kok Wai juga mempersoalkan rasional mengapa Malaysia memerlukan bangunan pencakar langit lagi.

"Tiada bandaraya yang hebat hanya dibuat dengan bangunan pencakar langit sahaja.

"Adalah lebih baik kriteria lain digunakan seperti menjamin sistem keselamatan yang baik serta membekalkan sistem pengangkutan yang cekap," katanya.

MP Kepong, Dr Tan Seng Giaw juga sependapat dengan rakan-rakannya dan berkata peruntukkan RM5 bilion untuk menara itu sepatutnya dibelanjakan untuk memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara .

"Tidak dinafikan ada yang akan dapat manfaat daripada menara itu, antaranya sebagai contoh mereka yang akan ada pejabat di situ tetapi bilangan mereka terhad.

"Sebagai kontras, wang itu jika dibelanjakan untuk meningkatkan perkhidmatan penagngkutan awam akan membawa manfaat kepada lebih ramai orang," hujah Tan.

Bagi MP Seputeh Teresa Kok pula projek Warisan Merdeka itu menimbulkan pelbagi persoalan kerana ia dirancang secara tergesa-gesa tanpa perbincangan lanjut. Katanya, contoh seperti beberapa projek di kawasan parlimennya di Seputeh.

Ahli-ahli parlimen Pakatan menganggap pembinaan itu sebagai projek 'gajah putih' dan berulangnya projek-projek mega yang membazirkan seperti dijalankan semasa zaman bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

~MK~

Ahmad Maslan menteri 'putar alam'

Posted: 19 Oct 2010 02:59 AM PDT

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan disifatkan sebagai 'menteri putar alam' apabila didakwa cuba memutar belit isu Felda.

Ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad mendakwa Felda tidak pernah menipu peneroka berkaitan kadar perahan gred buah tandan sawit dalam kes Felda Kemahang 3.

Selain itu katanya, Felda kalah dalam kes tersebut kerana peguamnya tidak hadir pada hari perbicaraan tersebut.

Bagi kes Felda Sungai Koyan pula, beliau berkata Felda tidak kalah kerana keputusan mahkamah sama dengan pendirian Felda yang hanya akan membayar wang tanam semula kepada peneroka yang memenuhi syarat Felda.

Felda juga katanya tidak akan membuat rayuan kes tersebut. Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang). Penjelasan itu kemudiannya mengundang soalan bertalu-talu dari ahli parlimen pakatan rakyat khususnya dari Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

"Lawyer letak jawatan 2007, kes 2008 sepatutnya hantar lawyer lain lah.

"Dia tak bantah, dia tak rayu...kalau keputusan sama, patut tak hantar lawyer lawan la.

"Pusing...memang kuat putar alam...menteri kelam kabut," katanya lagi.

Ahmad Maslan dalam responsnya bagaimanapun mengajak Mahfuz berjumpa di luar dewan termasuk di Galas untuk selesaikan pertelingkahan tersebut.

Sementara itu, bercakap dalam sidang medi di lobi Parlimen selepas itu, Mahfuz menggesa Felda diletakkan di bawah Parlimen dan mesti menghantar laporan terperinci mengenai permasalahan Felda dan peneroka.

"Saya minta supaya satu laporan terperinci tentang permasalahan hubungan antara Felda dan peneroka dibentangkan di Parlimen. Ini sangat penting untuk kepentingan peneroka," katanya.

Ahmad Maslan turut dijemput ke sidang media tersebut, bagaimanapun beliau menolak dan mahu mengadakan sidang media berasingan.

Pada sidang media sama, Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) menggesa Felda mengakui kekalahan mereka dan menunaikan tanggungjawab sebaiknya kepada peneroka seperti yang diputuskan mahkamah.

"Bila Felda kalah ertinya kalahlah. Bukan kerana kes peguam tak datang. Dalam rayuan, saya yakin peguam Felda sudah memberikan segala hujah tapi kalah juga. Tapi tak mengaku kalah.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) pula menggesa Ahmad tidak memutar belit fakta sebenar berkaitan kedua-dua kes melibatkan Felda.

Yang dipertikaikan sekarang ini lawyer itu layak buat tuntutan atau tidak. Mahkamah kata layak tapi di Parlimen dikatakan seolah-olah tak ada isu. Kalau semua dah setuju kenapa nak bawa ke mahkamah.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah mengarahkan agar Felda membayar kepada peneroka Felda Kemahang 3 sebanyak RM11 juta kerana menipu berhubung menggred buah kelapa sawit.

Manakala dalam kes Sungai Koyan, Felda diarahkan membayar RM17 ribu kepada peneroka sebagai wang tanam semula.

~harakah~

Pakatan Rakyat Janji Autonomi Sabah

Posted: 19 Oct 2010 02:53 AM PDT

Janji Pakatan Rakyat hendak memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika mereka membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya umum akan datang hendaklah dinyatakan dalam manifesto dan bukannya sekadar "cakap mulut".

Menurut ahli politik veteran Sabah Datuk Karim Ghani - yang keluar Umno, antaranya kerana parti itu gagal memberikan autonomi kepada negeri itu - berkata, perkara itu harus dilakukan supaya rakyat dapat membuat pilihan dalam pilihan raya.

"Jangan cakap di mulut sahaja. Masukkanlah dalam manifesto. Barulah kita dapat buat keputusan.

"Kalau lepas (tempoh mandat) lima tahun tidak buat juga, kita tukarlah balik (kerajaan)," kata Karim ketika ditanya sama ada janji itu memikatnya untuk menyertai parti gabungan dalam Pakatan.

Karim, antara orang kuat yang membawa Umno ke Sabah semalam mengumumkan keluar parti serta-merta kerana sudah bosan dengan kegagalan Umno memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat negeri itu.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, bekas naib presiden Usno itu menjelaskan, beliau "meletup" semalam selepas memendam perasaan tidak puas hati lebih daripada 15 tahun, antaranya disebabkan soal pengagihan kekayaan dan autonomi kepada Sabah.

Pada 15 September lalu, ketika melancarkan Pakatan Sabah di Kota Kinabalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama penasihat DAP Lim Kit Siang dan timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dilaporkan berikrar mahu memberikan autonomi penuh jika mereka menduduki Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Anwar dilaporkan berkata oleh The Borneo Post bahawa hal ehwal Sabah akan ditentukan oleh negeri itu sendiri. Sementara itu, Karim berkata, beliau juga kecewa berhubung isu tuntutan royalti minyak Sabah daripada 5 kepada 12 peratus yang dituntutnya selama ini tidak diberikan.

~MK~

Ku Li dan Tengku Amilin bukan lagi ahli MPN

Posted: 19 Oct 2010 02:52 AM PDT

Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin Aisyah Puteri bukan lagi ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) sejak 13 September lalu. Keputusan itu dibuat oleh MPN selepas Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang gagal hadir mesyuarat tanpa menyatakan penjelasan berhubung kegagalan mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiesri Alias pada sidang medianya ketika diminta mengulas berhubung perkara itu di Pejabat Sultan, Istana Negeri Kubang Kerian, petang ini.

Menurutnya, mengikut perkara 11(1) dan 11(2), mana-mana ahli yang tidak hadir tanpa mendapat kemaafan daripada pengerusi dan tanpa sebarang huraian di atas ketidakhadirannya itu akan gugur dengan sendiri.

"Maka ketidakkehadiraan Tengku Razaleigh pada hari itu tidak mendapat sebarang huraian dan kemaafan dari MPN," ujarnya.

Jelasnya, walaupun hanya sekali anggota MPN tidak hadir bermesyuarat tanpa menyatakan huraian berhubung kegagalan serta tidak mendapat kemaafan dari Pengerusi MPN, secara 'automatik' mereka akan terkeluar dari majlis itu.

~harakah~

PKR Wakili Pakatan Rakyat Di Batu Sapi

Posted: 19 Oct 2010 02:49 AM PDT

Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan untuk meletakkan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat setelah bermesyuarat dengan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Sabah.

"Atas cadangan Pakatan Rakyat Sabah, untuk pilihan raya kecil kawasan Batu Sapi mereka bersetuju dan kemukakan kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk Parti Keadilan meletakkan calon mewakili Pakatan Rakyat," kata Anwar dalam sidang media di lobi Parlimen pagi ini.

Turut serta pada sidang media tersebut, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Ketua Pembangkang di Parlimen itu juga berkata, senarai calon akan diputuskan dalam masa terdekat ini.

"Pakatan Rakyat meletakkan calon-calon dari PKR dan kita akan letakkan nama dalam masa yang singkat setelah saya dan pimpinan PKR berunding dengan (Datuk Seri) Abdul Hadi dan Lim Kit Siang.

Tambah Anwar lagi, Pakatan turut berharap agar Parti Bersatu Rakyat Sabah (SUPP) tidak bertanding bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu.

"Kita harap SUPP tidak bertanding bagi membolehkan kita lawan satu lawan satu dengan Barisan Nasional," katanya.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu adalah pada 26 Oktober dan jika ada pertandingan pengundian diadakan pada 4 November.

PRK itu diadakan berikutan kematian wakil Parlimennya daripada Barisan Nasional (BN) Edmund Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Oktober lepas.

"Pemimpin Pakatan Rakyat telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa calon PKR akan mewakili Pakatan dan kita akan umumkan (berhubung siapa calonnya) tidak lama lagi.

"Kami harap SAPP tidak akan bertanding supaya pertandingan ini adalah satu lawan satu menentang BN," katanya.

Pada 16 Oktober lalu, presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengumumkan parti itu akan bertanding bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri.

Katanya, keputusan untuk bertanding adalah ujian getir bagi SAPP setelah berkerat arang dengan BN dan mengisytiharkan mereka sebagai parti pembangkang pada 2008.

Anwar yang membuat pengumuman di lobi parlimen hari ini berkata keputusan menyerahkan kerusi Batu Sapi kepada PKR dicapai pada mesyuarat Pakatan Sabah yang diadakan di Kota Kinabalu pada hujung minggu lalu.

Meskipun calon dari PKR itu belum dikenalpasti tetapi beberapa nama disebut-sebut sebagai mereka yang layak. Antara mereka ketua PKR Sabah - Ahmad Thamrin Jai, pengerusi cawangan Tuaran - Ansari Abdullah dan ketua cawangan Batu Sapi yang baru dilantik - Hasnar Ibrahim.

Pada sidang media yang turut dihadiri oleh pemimpin Pakatan yang lain, Anwar juga mengumumkan bahawa ahli parlimen Kota Kinabalu dan pengerusi DAP Sabah Hiew King Cheu dilantik mengetuai kempen mereka di Batu Sapi.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan. Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

Tiada ulasan: