Isnin, 13 September 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


TERKINI - DR SYED HUSIN TIDAK PERTAHAN JAWATAN TIMB PRESIDEN PKR

Posted: 13 Sep 2010 11:00 PM PDT

KENYATAAN DR SYED HUSIN ALI, TIMBALAN PRESIDEN MENGENAI KEDUDUKAN
DALAM PEMILIHAN KEADILAN PUSAT


Bermula 17hb September ini, Cabang-cabang KEADILAN akan memulakan proses mencadang nama-nama calon bagi setiap jawatan dalam Parti. Sudah sampai waktunya untuk saya menjelaskan samada saya mempertahan kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden atau tidak.

Akhir-akhir ini ramai juga pemimpin Pusat, Negeri, Cabang dan anggota biasa yang menghantar sms atau emel dan menelefon meminta bahkan menggesa saya agar bertanding. Macam-macam hujah mereka kemukakan. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka.

Sebenarnya, saya ingin melihat orang yang lebih muda dan aktif menggantikan saya, walaupun dalam umur tepat 74 tahun minggu depan, Insha Allah, saya terkadang merasa belum tua lagi. Saya ingin menumpukan lebih banyak masa kepada menulis. Selain isteri, anak dan cucu ini merupakan cinta utama saya. Sudah lama saya membayangkan hasrat mahu mengundurkan diri dari jawatan Timbalan Presiden bila sampai waktunya.

Saya telah berbincang dengan keluarga, beberapa orang pemimpin Parti dan juga sahabat rapat. Kini saya mengambil keputusan tidak akan bertanding. Akan tetapi, tidak bererti saya akan meninggalkan politik ataupun Parti sepenuhnya. Saya menceburkan diri dalam politik dengan memasuki Parti Rakyat Malaysia pada tahun 1958. Saya menyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat semenjak 2003. Politik dan perjuangan untuk rakyat sudah menjadi darah daging saya. Oleh itu tidak mudah bagi saya meninggalkannya begitu saja.

Saya berharap dan berdoa agar KEADILAN Pusat, Wanita dan Angkatan Muda akan dipimpin oleh tokoh-tokoh yang komited kepada asas-asas perjuangan Parti seperti termaktub dalam Perlembagaannya, menghormati disiplin organisasi Parti, sudah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara pemain berpasukan (team player), menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendukung nilai akhlak yang tinggi.

Terserahlah kepada anggota-anggota Parti bagi menentukan siapakah yang mereka mahu menjadi pemimpin. Cara pemilihan, yang baru diperkenalkan oleh KEADILAN dengan memberi setiap anggota satu undi adalah cara yang demokratik. Jikalau tidak silap saya, Parti ini merupakan satu-satunya parti politik dalam dunia yang mengamalkan cara ini. Adalah penting cara ini dilaksana dan diamalkan oleh setiap calon yang bertanding dan setiap anggota yang mengundi dengan cara yang adil, bersih, telus dan bebas dari korupsi politik wang.

Dr Syed Husin Ali
14 September 2010


TUN MAHATHIR TIDAK BERBOHONG BILA MENYEBUT UMNO LEMAH

Posted: 13 Sep 2010 09:00 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

TELAH lama kita maklum bahawa Umno sebenarnya semakin lemah selepas PRU Ke 12 yang lalu. Kelemahan Umno semakin ketara apabila parti sekular tersebut hilang cengkamannya terhadap parti-parti sekutu mereka di dalam Bn terutamanya dari MCA, Gerakan dan MIC. Bahkan jelas kita lihat betapa Umno sudah semakin tunduk kepada kehendak parti-parti berkenaan dan yang terbaru Umno terpaksa `menyahkan' sebuah badan NGO yang `kuat Melayu'nya iaitu PERKASA.

Semua tahu betapa PERKASA amat dibenci oleh MCA dan juga Gerakan kerana celuparnya pemimpin NGO tersebut di dalam beberapa isu yang menyentuh hak kaum lain selain dari kaum Melayu. Tunduknya Umno kepada sekutu mereka di dalam Bn, tidak menyenangkan mantan PM yang juga mantan Presiden Umno iaitu Tun Dr Mahathir. Tun Dr Mahathir mengaku secara terbuka betapa Umno semakin lemah dan kelemahan Umno akan bertambah parah jika menolak PERKASA. Kenyataan Tun Dr Mahathir itu ada benarnya kerana Umno tidak akan mampu boleh hidup tanpa isu perkauman dan PERKASA mungkin sesuai untuk dijadikan teman buat Umno.

Umno cuba untuk menunjukkan kepada rakan-rakan mereka di dalam Bn betapa Umno sebenarnya bukan parti yang `racist' . Umno cuba untuk membuktikan bahawa di bawah kepimpinan Najib, hak-hak kaum lain terpelihara dan kerajaan yang ada sekarang serius untuk merealisasikan konsep `1 Malaysia'. Benarkah Umno serius?

Jika kita lihat beberapa pemimpin di dalam PERKASA dan ahli-ahlinya, berapa ramaikah ahli-ahli Umno yang aktif di dalam PERKASA? Lojiknya jika Umno serius untuk menolak PERKASA, apakah tindakan Umno kepada mereka yang masih aktif di dalam PERKASA sekarang? Ada benarnya bak kata DS Anwar, Umno sebenarnya bersandiwara dengan PERKASA untuk `menipu' rakan-rakan mereka di dalam Bn.

Umno amat terdesak sekarang apabila melihat kaum Melayu sendiri tidak memberikan kepercayaan kepada parti sekular yang kununnya berjuang untuk Melayu itu. Kaum-kaum lain telah lama `memusuhi' Umno kerana parti ini dilihat tidak pernah ikhlas untuk menyatukan perpaduan di dalam negara ini. Sebagai contoh, Umno hanya ingin bersatu dan menyebut soal perpaduan dengan PAS sahaja, sedangkan di negara ini masyarakatnya berbilang kaum dan mereka juga harus dipelawa untuk bersama membincangkan soal perpaduan. Mengapa Umno mensisihkan PKR, DAP malahan MCA, Gerakan dan MIC untuk bersama mereka membincangkan soal perpaduan? Mengapa mesti perpaduan Melayu?

Adakah jika dilibatkan dengan parti yang selain dari Umno dan PAS, maka hak istimewa atau ketuanan Melayu yang dijamin dalam perlembagaan itu hilang? Umno begitu takut hilang kuasa bukan kerana takut hak istimewa itu hilang. Sejauh mana hak istimewa itu memberi manafaat kepada kaum Melayu yang masih ketinggalan sekarang ini sepanjang 50 tahun Umno berkuasa? /wfauzdin.blogspot.com

PKR Kedah Mahu Calonkan Anwar Tanding Jawatan Presiden

Posted: 13 Sep 2010 06:00 PM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah mahu mencalonkan agar penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden pada pemilihan kali ini.

Bagi jawatan timbalan presiden PKR akan membuat pengumuman dalam sehari dua ini.

"Setakat ini kami hanya memutuskan pendirian berkenaan jawatan presiden manakala bagi jawatan timbalan presiden akan dibuat dalam sehari dua ini," kata Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kasim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, menjelang pemilihan kepimpinan di peringkat cabang PKR di Kedah, Biro Politik negeri itu yang bermesyuarat 5 September lalu telah meminta semua cabangnya mencalonkan Anwar bagi jawatan presiden.

Mesyuarat agung tahunan cabang bermula 17 September ini. Ia akan berlangsung selama sebulan.

Terdapat 218 cabang PKR.

Minggu lalu, Majlis Muafakat Kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat Selangor juga mengesyorkan Anwar bertanding jawatan presiden manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan presiden.

Ahmad berkata, pencalonan ini selaras dengan usaha untuk meletakkan kepimpinan parti yang mempunyai kuasa eksekutif yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Walaupun ketokohan dan kepimpinan Datuk Seri Anwar tidak siapa yang dapat menafikan, sama ada kawan ataupun lawan kepimpinan karismatik yang beliau miliki adalah anugerah semula jadi yang telah membawa parti sehinggga ke tahap yang cemerlang kini, namun kepimpinan yang rasmi memerlukan beliau memegang jawatan sebagai presiden parti," katanya.

Kata beliau, bagi jawatan timbalan presiden dan naib presiden parti, Biro Politik PKR Kedah memberikan kebebasan kepada bahagian untuk mencalonkan mana-mana individu yang mempunyai kelayakkan bagi memantapkan perjuangan parti dimasa akan datang.

"Ketua cabang telah pun didedahkan mengenai calon-calon yang mempunyai kelayakkan bagi memantapkan hala tuju perjuangan parti dan mereka matang serta bijak untuk membuat keputusan dengan dokongan kuat dari anggota cabang dalam mesyuarat agung tahunan cabang akan datang," kata beliau.

Berkenaan pencalonan kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), mesyuarat agung tahunan cabang diminta untuk mencalonkan kepimpinan dari Kedah yang akan dimaklumkan kepada semua ketua cabang.

"Jumlah berbaki untuk mencukupi 20 orang boleh datang dari pelbagai negeri mengikut cadangan mesyuarat agung tahunan cabang tersebut," katanya.-THE MALAYSIAN INSIDER

Kerabat dakwa Kelantan kini ada dua sultan

Posted: 13 Sep 2010 12:38 PM PDT


ISTANA Mahkota, Kubang Kerian merupakan tempat Sultan Ismail Petra bersemayam. Gambar kecil, Tengku Merjan.

KOTA BHARU - "Kelantan kini diperintah oleh dua sultan". Tengku Merjan Sultan Yahya Petra, kekanda Sultan Ismail Petra, membuat dakwaan itu ekoran pelantikan anak saudaranya, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam./Kosmo

Kes Sosilawati mirip kekejaman pembunuhan Altantuya

Posted: 13 Sep 2010 09:18 AM PDT

KENYATAAN MEDIA 13 SEPTEMBER 2010

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati Binti Lawiya Abdullah Yusof, pemandu, pegawai bank dan peguam beliau dalam insiden culik, pukul, bunuh dan bakar yang berakhir dengan berita kematian keempat-empat mereka di Morib dua hari lepas, Wanita Keadilan mengecam perbuatan terkutuk ini sebagai sesuatu yang kejam dan zalim. Wanita Keadilan juga merasakan tragedi tersebut merupakan satu lagi kes pencabulan terhadap wanita di negara ini.Perasaan hormat kapada kaum Hawa semakin hari semakin terhakis.

Sebelum ini negara digemparkan dengan berita kematian ngeri seorang model yang dikenali sebagai Altantuya Saribbu beberapa tahun yang lalu.Beliau dibunuh secara kejam dengan letupan bom.Peristiwa pembunuhan kejam dan zalim itu tidak wajar dan ini dengan jelas menunjukan bahawa tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya wanita makin tidak terjamin. Akibat daripada sikap lepas pandang dan tidak komitednya PDRM dalam membuat siasatan dan kegagalan menangkap penjenayah sebenar dalam kes Altantuya, menyebabkan ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas ketidakmampuan PDRM menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan juga beberapa kes lain yang melibatkan wanita .Masihkah kita ingat kes pembunuhan Mustakhizah. Jenayah ini berulang lagi hari ini akibat kegagalan kita sendiri memilih kerajaan yang telus, berwibawa, amanah yang tidak mempergunakan institusi kerajaan untuk kepentingan peribadi.

Oleh itu Wanita Keadilan mengecam kes pembunuhan ini dan menyampaikan perasaan simpati dan takziah kepada keluarga allayarhamah dan 3 yang lain. Wanita Keadilan mengharapkan satu bentuk tindakan yang tegas oleh pihak PDRM dan berharap Ketua Polis yang baru dilantik dapat membawa perubahan dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat Malaysia sekaligus menyegerakan siasatan dan mengheret semua mereka yang bersalah ke muka pengadilan.


YB Hajjah Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita Keadilan Malaysia

Dihantarkan Melalui Email Oleh:

BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya

Tiada ulasan: