Isnin, 27 September 2010

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


PAS dan Perlembagaan

Posted: 27 Sep 2010 05:22 AM PDT

Hujung Ramadan yang lalu saya diminta melancarkan dua buku karangan Ahli Jawatankuasa Agung Pas dan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa. Pada mulanya saya berasa hairan mengapa anak bekas Presiden Pas Datuk Yusuf Rawa itu memilih saya. Apa pun, dalam ucapan dan perbualannya dengan saya selepas itu Mujahid, yang juga Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas yang menjadi penggerak penting di belakang Dewan Himpunan Penyokong Pas - sayap bukan Islam parti itu - memberitahu sebab-sebabnya, antaranya kepercayaan beliau yang kerangka perlembagaan negara hari ini boleh digunakan untuk melaksanakan cita-cita perjuangan partinya. 

Saya berasa terharu; bukan sangat kerana beliau mengakui kepentingan perlembagaan tetapi kerana kesediaan beliau untuk memahami dan menerima kenyataan yang ada di negara kita. Pada saya ini amat penting dalam memastikan proses demokrasi – yang mahu tidak mahu menentukan keberkesanan perjalanan perlembagaan – berjalan dengan baik dan Pas, sebagai salah satu parti tertua dan utama dalam sistem politik kita, mempunyai sumbangan dan peranan tidak kecil. Sejak 1990 Pas memainkan peranan penting dalam percubaan membentuk sistem dua parti; dari Angkatan Perpaduan Ummah (APU) kemudian Barisan Alternatif (BA) dan sekarang Pakatan Rakyat (PR). 

Beberapa bulan lalu seorang penganalisis India dalam sebuah harian berbahasa Inggeris menyatakan, Pas adalah komponen utama berbanding DAP dan PKR. Ini dikatakan berdasarkan kedudukan Pas sebagai parti tertua – wujud sejak 1951 – dan terbesar. Setakat ini Pas dianggarkan mempunyai hampir sejuta ahli. Selain itu Pas dilihat sebagai parti berdisiplin: ia masih belum mengalami penyakit melompat sebagaimana DAP dan PKR. Pas juga mempunyai organisasi dan logistik yang mantap. Bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamarudin Jaffar, malah mendakwa dalam soal itu Pas lebih baik dari UMNO. Sebagai bekas pemimpin UMNO saya fikir Kamarudin mempunyai sebab kukuh untuk berkata begitu. Katanya UMNO kuat kerana ia menguasai kerajaan ditambah dengan perangainya yang suka menyalahgunakan agensi dan kemudahan kerajaan. 

Berbalik kepada apa yang dikatakan Mujahid tentang perlembagaan tadi, sebenarnya ia mengungkapkan tanggapan Pas terhadap sistem dan suasana politik yang ada sekarang. Begitu jelas Pas menerima sistem yang ada, selain mula menguasai permainan dan rentak politik semasa. Ini jelas dalam kesungguhan Pas menyantuni kedudukan dan masalah bukan Melayu yang kelihatan dalam kesediaannya meletakkan calon bukan Melayu dan bukan Islam, selain menerima mereka sebagai ahli dan sayap parti. Beberapa minggu lalu saya menyinggung kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tentang pendekatan Pas dalam pelaksanaan hudud di Malaysia. 

Itu semua membuat UMNO menuduh Pas menjual prinsip kerana kuasa. Pada saya ini tidak perlu dipedulikan. Hakikatnya ialah semua parti mengatur strategi mengikut keperluan dan senario semasa. 20 tahun dulu Pas lain kerana ketika itu ia berhadapan dengan isu hidup mati. Sekarang ia berada dalam posisi kerajaan alternatif. UMNO sebaliknya berhadapan dengan senario hidup mati. Sebab itu UMNO makin rasis dan kadangkala Islamik. 

Bagaimanapun Pas masih ada masalah dan ini agak jelas apabila ia kelihatan dipimpin oleh dua naib presiden; yakni Datuk Mahfuz Omar dan Sallahudin Ayub. Selain mereka ada beberapa pemimpin barisan kedua seperti Khalid Samad dan Dr Dzulkefly Ahmad yang sering kelihatan dan kedengaran. Apa yang saya maksudkan dengan memimpin di sini ialah suara dan inisiatif parti dalam isu-isu nasional; contohnya isu Felda, kempen saman ekor dan insurans kereta. Selepas ini mungkin ada orang Pas, khususnya yang taksub dengan pemimpin tertentu, menuduh saya masih berdendam dengan Pas. Saya tak kisah kerana saya bukan orang politik. Saya hanya mahu melihat politik Malaysia lebih beradab dan ini hanya boleh dicapai sekiranya kita ada dua barisan parti yang kukuh dan bersedia untuk memerintah bila-bila masa. Ini tidak akan berlaku jika Pas dipimpin oleh mereka yang asyik menunggu mimpi dan banyak keluar negara. 

Salah satu soalan yang dikemukakan wartawan kepada Mujahid selepas pelancaran buku itu ialah apakah projek tersebut ada kaitan dengan pemilihan parti tahun depan. Sebagai ahli politik Mujahid hanya tersenyum. Tetapi ia tetap mempunyai makna. 

Selain perspektif yang betul tadi, Mujahid mempunyai kelebihan tersendiri dengan kedudukannya sebagai anak seorang pemimpin tertinggi parti. Tetapi apa yang lebih penting ialah kelebihan ini tidak digunakan untuk diri sendiri, sebaliknya untuk memperkasa parti sebagaimana yang dilakukan dalam pembentukan sayap non-muslim itu. Mujahid turut mempunyai kelebihan untuk diterima lebih daripada satu pihak. Ini kerana kemampuannya berbahasa Arab – beliau graduan Al-Azhar – selain Melayu dan Inggeris. Tetapi ini sahaja tidak memadai kerana kalau hanya kemampuan berbahasa yang menjadi kriteria, lebih baik beliau buat bisnes macam Datuk Mahadzir Lokman. Apa pun dalam Pas sudah ada contoh orang yang dinaikkan atas kekuatan itu dan berakhir dengan kegagalan. 

* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang hampir 21 tahun

Leher Pelajar Dikelar Mat Rempit

Posted: 26 Sep 2010 04:10 PM PDT

Tidak ubah seperti binatang apabila sekumpulan kira-kira 10 Mat Rempit cuba merompak dan menyerang seorang penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam sebelum mengelar leher mangsa hingga berlumuran darah.



Dalam kejadian jam 2.30 pagi kelmarin di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, kumpulan Mat Rempit berkenaan yang bersenjatakan pisau mencederakan pelajar berkenaan yang cuba menyelamatkan dompet dan telefon bimbitnya daripada dirompak.


Difahamkan, mangsa yang cedera parah dan berlumuran darah terpaksa lari ke tengah lebuh raya bagi menyelamatkan diri dan meminta bantuan beberapa pemandu kenderaan selepas dikejar kumpulan Mat Rempit terbabit.





Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faris, 21, berkata kejadian berlaku berhampiran sebuah stesen minyak sebelum susur keluar ke Padang Jawa. Dia dan seorang rakan yang membonceng motosikalnya dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berdekatan.





Menurutnya, dia tidak menggunakan laluan motosikal lebuh raya berkenaan kerana hari sudah pagi dan bimbang disamun kerana jalan agak sunyi. Namun, malang tidak berbau apabila sekumpulan Mat Rempit menaiki tujuh motosikal mengekorinya daripada belakang.





"Sebaik saja kumpulan terbabit mendekati, mereka tiba-tiba mengepung motosikal saya dan mengarahkan berhenti, namun saya yang bimbang sesuatu buruk berlaku cuba memecut.

"Tindakan saya itu menyebabkan kumpulan remaja terbabit tambah berang sebelum menendang motosikal saya hingga jatuh," katanya.

Faris berkata, sebaik jatuh, kumpulan berkenaan terus menerpa dan membelasah dia serta rakannya untuk merampas dompet dan telefon bimbit.

"Mereka bertindak ganas, saya disepak dan ditumbuk manakala rakan pula ditampar. Kunci motosikal juga dirampas mungkin untuk melarikannya, saya cuba mempertahankan diri dan semasa bergelut saya tidak sedar leher sudah dikelar seorang daripada lelaki berkenaan.

"Saya yang berlumuran darah bertindak menyelamatkan diri dengan berlari ke tengah lebuh raya dan cuba menahan beberapa kereta untuk bantuan," katanya.

Menurutnya lagi, dia bernasib baik apabila ada kereta berhenti dan sudi membantu.

Katanya, pemandu kereta itu menghantar dia dan rakan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

"Luka akibat dikelar itu agak parah dan leher terpaksa dijahit dengan lapan jahitan, manakala rakan tidak mengalami kecederaan.

"Selepas selesai mendapat rawatan dan dibenarkan pulang saya terus membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam," katanya.

Tambah Faris lagi, dia tidak dapat ke kuliah tiga hari selepas insiden itu dan terpaksa menjalani rawatan susulan serta trauma melalui lebuh raya berkenaan.

Tiada ulasan: