PERAKITE |
- Kerajaan Persekutuan kutip RM2.3 bilion hasil judi pada 2009
- Kerajaan Persekutuan juga guna wang judi:Dr Asri
- Kenyataan Akhbar Lim Guan Eng mengenai wang judi
| Kerajaan Persekutuan kutip RM2.3 bilion hasil judi pada 2009 Posted: 27 Sep 2010 12:50 AM PDT 27 September 2010 En Reezal Merican, Saya merujuk kepada kenyataan En Reezal (Utusan Malaysia, m/s 7, 27 September 2010) yang terus melakukan fitnah dan tohmahan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan dana sumber perjudian untuk program pembasmian kemiskinan orang-orang Islam di negeri tersebut. Walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menafikan dakwaan tersebut dan memberikan penjelasan mengenai sumber dana yang digunakan untuk program membantu rakyat miskin, namun En Reezal nampaknya tidak berminat untuk mendengar fakta dan terus menggunakan taktik kotor untuk memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat. Saya tidak berasa hairan mengapa En Reezal berbuat sedemikian kerana sememangnya anda dan parti anda telah bankrap idea politik dan ketandusan isu di Pulau Pinang dan terpaksa bergantung kepada senjata fitnah untuk kekal relevan di negeri tersebut. Namun, yang menjadi bahan ketawa kepada rakyat umum ialah cara En Reezal mempermainkan isu ini yang menunjukkan tahap hipokrasi anda pada tahap yang paling tinggi. Apakah En Reezal yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang terdahulu tidak mengetahui bahawa semua bentuk hasil cukai perjudian dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan di bawah Kerajaan Persekutuan? Sekiranya En Reezal dan rakan-rakan anda dalam Pemuda UMNO begitu cetek pengetahuannya, biar saya menyalurkan sedikit maklumat kepada anda dan rakan-rakan anda. Soalan saya di Sidang Dewan Rakyat pada 9 Jun 2010 yang lalu berbunyi; Tuan Loke Siew Fook (Rasah) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada hasil cukai perjudian diasingkan daripada Akaun Hasil Disatukan, mekanisme untuk menguruskan hasil judi, kegunaan hasil ini dan berapa peratuskah hasil ini disalurkan untuk menangani masalah sosial akibat daripada masalah perjudian. JAWAPAN: 1. Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini, hasil daripada aktiviti perjudian adalah dikategorikan sebagai hasil cukai kepada Kerajaan. Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 97 dan Akta Tatacara Kewangan 1957 (semakan) 1972 semua hasil atau terimaan yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan hendaklah dikreditkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan. Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan adalah terdiri dari tiga akaun utama iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Bagi semua hasil daripada bayaran cukai ia akan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan sama seperti semua hasil Kerajaan yang lain dan digunakan untuk tujuan belanja mengurus dan pembangunan negara. 2. Pada masa ini Kerajaan tidak ada memperuntukkan sejumlah peruntukan yang khusus bagi menangani masalah sosial akibat ketagihan judi. Namun Kerajaan pada setiap tahun menyediakan peruntukan dalam bajet tahunan kepada Kementerian-kementerian berkaitan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti sosial 3. Selain dari itu Kerajaan juga sedang dalam peringkat kajian untuk mewujudkan satu kod yang khusus dalam Akaun Hasil Disatukan bagi mengakaunkan semua kutipan daripada aktiviti perjudian dan ia akan disalurkan kepada perbelanjaan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Saya yakin En Reezal fasih dalam Bahasa Malaysia dan boleh memahami maksud jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Presiden parti yang diwakili oleh En Reezal. Untuk maklumat En Reezal juga, hasil cukai perjudian yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional adalah berjumlah RM2.3 billion sepanjang tahun 2009. Ini termasuklah cukai daripada kasino di Genting, cukai pertaruhan dari nombor ramalan seperti Magnum, Sports Toto dan sebagainya. Angka ini juga bukan direka oleh saya tetapi telah dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Awang Adek di Dewan Rakyat pada tempoh hari. Untuk rekod, Senator Awang Adek juga merupakan pemimpin daripada parti yang sama dengan En Reezal. Jadi, untuk pengetahuan En Reezal, sebahagian perbelanjaan mengurus negara dan perbelanjaan pembangunan adalah dari sumber hasil perjudian yang dikatakan haram oleh En Reezal. Ini termasuklah elaun dan gaji Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti kesayangan En Reezal! Sama ada ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam dan pemimpin-pemimpin parti UMNO, terpulanglah kepada kebijaksanaan En Reezal untuk membuat kesimpulan! Sekian dimaklumkan, terima kasih "MALAYSIAN FIRST" Berkhidmat untuk rakyat, Ahli Parlimen Rasah | ||||
| Kerajaan Persekutuan juga guna wang judi:Dr Asri Posted: 27 Sep 2010 12:36 AM PDT Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata wang yang diterima daripada bantuan kewangan kerajaan yang hasilnya diperolehi dari sumber perjudian adalah tidak haram.
Menurut Dr Asri, kesalahan ditanggung oleh kerajaan dan syarikat judi. "Sama dengan mereka yang mendapat gaji dari kerajaan atau penjual yang menjual makanan lalu dibayar dengan wang judi. Wang itu halal kerana dia tidak berjudi tetapi berniaga makanan." Beliau mengulas laporan akhbar yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda negeri itu untuk disalurkan ke program membasmi kemiskinannya. Ketua Menterinya, Lim Guan Eng bagaimanapun menafikan laporan berkenaan dan berkata wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda itu diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam. Menurut Dr Asri, hakikatnya di Malaysia, wang judi digunakan bukan sahaja oleh kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi juga oleh kerajaan persekutuan. Sumber itu diperolehi menerusi bentuk cukai judi, arak, hiburan dan lain-lain lagi.
"Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, Umno pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program rakan anti-kemiskinan (RAK) membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram. Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang," kata Lim dalam satu kenyataan. Menurut beliau, wang derma RM2 juta itu telah disahkan oleh pegawai kewangan negeri, Datuk Farizan Darus bahawa ia telah diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.
Ada juga bukan Islam miskin tegar
Program penghargaan warga emas yang menjadi isu kontroversial itu membayar RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun. Sehingga sekarang, hampir 110,000 warga emas di Pulau Pinang telah mendaftarkan diri dan mendapat RM100 setiap tahun. Di samping itu, waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia.
"Oleh itu, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar. Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan Belanjawan. Dengan kata lain, program penghargaan warga emas adalah dividen 'anti-rasuah' yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit," katanya lagi. | ||||
| Kenyataan Akhbar Lim Guan Eng mengenai wang judi Posted: 27 Sep 2010 12:32 AM PDT UMNO sekali lagi meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan mendakwa bahawa Program Penghargaan Warga Emas dibiayai oleh sumber judi haram dan bila ini dibuktikan palsu, UMNO mengalih kepada program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK) untuk membasmi miskin tegar. Taktik jahat seribu jahat bertujuan menggagalkan program ini daripada kerajaan berjiwa rakyat PR yang memberi manfaat kepada rakyat. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha UMNO mengganggu-gugat program penghargaan warga emas yang membayarkan RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun. Sehingga sekarang, hampir 110,000 warga emas di Pulau Pinang telah mendaftarkan diri dan akan mendapat bayaran RM100 setiap tahun demi mengenang budi atas sumbangan warga emas. Di samping itu, si waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia. Sebanyak RM20 juta telahpun diperuntukkan untuk program ini dalam Belanjawan 2010 pada tahun lepas. Wang yang dibayar oleh kerajaan negeri untuk program ini tidak datang daripada mana-mana derma atau sumber kerajaan persekutuan. Ia adalah penjimatan hasil urustadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus serta langkah anti-rasuah yang bukan sahaja dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga disanjungi oleh badan antarabangsa anti-rasuah terunggul,Transparency International. Urustadbir CAT dan langkah anti-rasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan Belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta pada 2009. Oleh itu, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar. Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan Belanjawan. Dengan kata lain, program penghargaan warga emas adalah dividen "anti-rasuah" yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit. Ini bukan kali pertama program ini diserang, kerana sebelum ini, BN pernah mendakwa bahawa pemberian RM100 kepada warga emas adalah serupa bagi rasuah! Untuk BN, bagi wang sama rakyat adalah rasuah tetapi lain pula bagi wang ke dalam kocek sendiri. Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit! UMNO jangan harap akan mengganggu-gugat program dividen anti-rasuah RM100 setiap tahun kepada warga emas dengan fitnah dan tohmahan. Selepas gagal membuktikan Program Penghargaan Warga Emas terbabit dengan hasil judi haram, UMNO pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program RAK membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram. Bukti UMNO adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang. Program RAK adalah inisiatif murni kerajaan negeri PR untuk membasmi miskin tegar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM400 sebulan di Pulau Pinang dan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan. Menerusi RAK, kerajaan negeri PR telah berjaya membasmi miskin tegar dalam tempoh masa setahun sahaja, apa yang tidak dapat dilakukan oleh BN dalam 51 tahun. Menyedari tentang sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, maka ia diasingkan dan tidak diberikan kepada orang Islam tetapi hanya kepada orang bukan Islam. Malah, Pegawai Kewangan Negeri Dato' Farizan Darus telah mengesahkan kepada saya semalam bahawa wang derma RM2 juta ini daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam. Perlu diingati bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin BN. Adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam? Bukankah lebih salah dan haram untuk UMNO luluskan lesen judi bola? Atau adakah UMNO dendam sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang merupakan negeri pertama mengharamkan judi bola dan sekaligus merosakkan rancangan baik UMNO untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia? Yang jahat pula tuduh orang lain. Bantuan RAK kepada keluarga miskin tegar Islam dibiayai daripada hasil kerajaan negeri menerusi lebihan Belanjawan yang disebut tadi. Memang BN dan UMNO iri hati atas kejayaan kerajaan negeri membasmi miskin tegar dan program penghargaan warga emas. Walaupun terus difitnah, kerajaan negeri tidak akan berganjak atau tunduk langsung ke atas anasir jahat ini yang mahukan dua program ini dihentikan. Rakyat terus dibela, hak rakyat terus diperkasakan dan undang-undang terus didaulatkan. LIM GUAN ENG Ketua Menteri Pulau Pinang |
| You are subscribed to email updates from PERAKITE To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |




Tiada ulasan:
Catat Ulasan