Jumaat, 10 September 2010

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kenyataan Balas Isu Pemasyuran T. Muhammad Faris Oleh Akhbar Utusan Malaysia

Posted: 10 Sep 2010 08:05 AM PDT

LAPORAN UTUSAN MALAYSIA MENGENAI PEMASYHURAN TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA

Laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 September 2010, bertajuk "Tengku Faris Sultan Kelantan?", adalah dirujuk.

Kami di The Kelantan Insider merasa terkejut dengan "kebolehan" akhbar Utusan Malaysia menyiarkan satu laporan yang cukup sensasi pada hari raya yang mulia ini dengan hanya berpandukan kepada kata-kata sumber-sumber yang tidak dikenal pasti.

Sehubungan dengan itu, kami suka mengingatkan akhbar-akhbar tempatan supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab di dalam menyiarkan sebarang laporan mengenai Istana Kelantan, apatah lagi jika laporan itu mempunyai nilai kesensasian yang tinggi.

Tanpa mengira sama ada sesuatu laporan itu mempunyai kebenaran ataupun tidak, akhbar-akhbar tempatan seharusnya mengikuti apa-apa peraturan yang telah ditetapkan di dalam melaporkan sebarang berita yang ada hubung-kaitnya dengan Istana Kelantan.

Pejabat Sultan Kelantan mempunyai carta organisasinya yang tersendiri di mana ia adalah diketuai oleh Pengelola Istana D'Raja, Datuk Abdul Halim Hamad, yang melaksanakan tugas beliau dengan berpandukan kepada titah-titah Pemangku Raja Kelantan.

Oleh itu, akhbar-akhbar tempatan mahupun mana-mana media lain sewajarnya merujuk kepada Datuk Abdul Halim Hamad ataupun pegawai-pegawai beliau, khususnya Pegawai Media, dahulu sebelum menyiarkan apa-apa laporan mengenai Istana Kelantan.

Kami faham bahawa memperolehi "scoop" adalah satu keutamaan kepada mana-mana media, tetapi perlulah diingat bahawa di dalam keghairahan berbuat demikian tata susila juga perlulah sentiasa dijaga, lainlah jika media itu memang memiliki agenda tertentu.

Jika pada hari ini anda memilih untuk menyusahkan pihak lain, janganlah pula anda menyalahkan pihak itu jika anda berhadapan dengan kesusahan untuk mendapatkan apa-apa berita pada hari esoknya. Setiap yang berlaku tentulah ada sebab-musababnya.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin, dari kami.

Disertakan di sini laporan akhbar yang berkaitan.

Tengku Faris Sultan Kelantan?
(Utusan Malaysia, 10 September 2010)

KOTA BHARU 9 Sept. – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, yang gering sejak setahun lalu.

Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.

Terdahulu, Utusan Malaysia telah dimaklumkan satu program khas akan diadakan pada hari tersebut di Istana Balai Besar dan meminta wartawan serta jurugambar memakai pakaian kebangsaan berwarna hitam mengikut protokol rasmi.

Bagaimanapun pegawai terbabit tidak mendedahkan secara terperinci mengenai program itu dan maklumat lengkap akan hanya disampaikan kepada media pada hari berkenaan.
Sementara itu sumber lain memberitahu, istiadat pemasyhuran tersebut akan dilangsungkan selepas mesyuarat penuh kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sebelah pagi.

"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga diminta hadir pada istiadat tersebut dengan berpakaian lengkap mengikut istiadat istana.

"Pihak polis juga diarah supaya meningkatkan kawalan keselamatan pada hari berkenaan malah cuti anggota polis sempena Hari Raya Aidilfitri di beberapa unit tertentu turut ditarik balik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Spekulasi mengenai pertabalan Sultan Kelantan yang baru bertiup kencang sejak seminggu lalu dan beberapa petunjuk seperti yang dinyatakan sebelum ini seolah-olah mengesahkannya.

Sebelum ini, Institusi Diraja Kelantan dilanda krisis yang berpanjangan sejak Tuanku Ismail Petra gering dan mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, pada 14 Mei 2009.

Ekoran itu, Tengku Muhammad Faris yang juga anakanda sulung baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebelum baginda berangkat ke Hospital Mount Elizabeth.
Sementara itu, seorang ADUN yang enggan identitinya didedahkan mengesahkan beliau telah menerima jemputan ke Istana Balai Besar dengan pakaian istiadat tetapi beliau tidak dimaklumkan mengenai majlis tersebut.

"Ya saya menerima jemputan untuk ke Istana Balai Besar pada hari raya keempat tetapi saya tidak diberitahu majlis apa. Kami cuma diarahkan supaya memakai baju Melayu hitam mengikut istiadat rasmi diraja," katanya.

http://thekelantaninsider.blogspot.com/2010/09/posting-31-laporan-utusan-malaysia.html

Nik Aziz: ‘Allah akan laknat jika pemimpin agama bakar al-Quran’

Posted: 10 Sep 2010 08:00 AM PDT

KOTA BARU, 10 Sept — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rancangan paderi di Amerika Syarikat untuk membakar al-Quran sebagai sempena ulang tahun kesembilan serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) sebagai tindakan di luar jangkaan manusia.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Allah Taala akan laknat jika ada pemimpin agama seperti itu.

Katanya, cadangan paderi berkenaan tidak masuk akal kerana mereka orang berilmu, yang tahu bahawa Islam bukanlah agama pengganas dan golongan ini boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa.

Malah, katanya persoalan siapa yang bertanggungjawab ke atas serangan WTC sehingga hari ini belum dikenal pasti lagi.

"Kalau kata komunis bakar nak bakar al-Quran itu munasabah kerana mereka tiada beragama, sedangkan paderi Kristian adalah orang yang berilmu dan boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa.

Beliau tahu bahawa Islam tidak perlu khianat kepada orang lain, jadi tak ada sebab mereka boleh bertindak demikian.

Nik Aziz berkata demikian kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan Amerika Syarikat membidas rancangan membakar al-Quran.

Menurut kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di sini, kerajaan negara itu memandang tindakan sengaja memusnahkan sebarang buku suci adalah menjijikkan dan menimbulkan perbalahan, sesuatu yang ditolak oleh majoriti rakyat Amerika.

"Kami mempunyai penghormatan tidak berbelah bagi untuk al-Quran dan Islam sebagai salah sebuah agama teragung di dunia," katanya.

Kenyataan itu menyebut semalam Presiden Barack Obama telah menyatakan cadangan kumpulan itu adalah bertentangan dengan nilai-nilai rakyat Amerika.

Selain itu, pertubuhan Islam Utara Amerika turut mengadakan sidang kemuncak antara agama pada 7 September lalu bagi menyatupadukan masyarakat pelbagai agama bagi menggalakkan toleransi dan menentang retorik anti-Islam. Wakil-wakil pada sidang itu termasuk pemimpin Kristian, Yahudi dan Islam.

Dalam perkembangan terbaru , Paderi Terry Jones dari Dove Outreach Center di Gainesville, Florida — yang mencetuskan kemarahan antarabangsa itu — telah memutuskan untuk menggantungkan rancangannya itu.

Di Johor Baru, Diokese Gereja Katolik Melaka-Johor hari ini mengutuk rancangan gereja di Gainesville itu.

Dalam kenyataannya, Biskop Paderi Tan Chee Ing menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bermoral.

"Kami tidak mempunyai hak mencaci kepercayaan agama lain. Saling menghormati dan penerimaan merupakan langkah ke arah mencapai keharmonian," katanya. — Bernama

Pemilihan PKR: MB Selangor masih timbang pelbagai faktor

Posted: 10 Sep 2010 07:40 AM PDT

Oleh Neville Spykerman dan Melissa Chi

SHAH ALAM, 10 Sept —Tan Sri Khalid Ibrahim masih mempertimbangkan pelbagai faktor sama ada mahu bertanding jawatan tertinggi pada pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini.

"Saya perlu tunggu dan lihat," kata Menteri Besar Selangor.

Khalid berkata keputusan akhir beliau akan berdasarkan kekuatan pasukan yang bakal bertanding.

Menteri Besar membayangkan beliau tidak akan turun gelanggang jika pasukan bertanding adalah mencukupi.

Setakat ini, hanya anggota Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim membayangkan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Sekumpulan 20 Ahli Parlimen PKR dan majoriti ADUN dari Selangor dan Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada Naib Presiden Azmin Ali untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu.

Ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka kerajaan negeri Selangor di sini hari ini, Khalid berkata, beliau mengalu-alukan saingan bagi kerusi ketua cabang Kuala Selangor.

Khalid berhadapan dengan saingan daripada bekas ketua Wanita PKR Kuala Selangor Fauziah Sulaiman, 52; bekas ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor Mazli Saring, 42, dan bekas guru Muhammad Kamil Vaanan Abdullah, 44.

Kata Khalid, pemilihan langsung memberikan setiap orang peluang untuk bertanding.

"Setiap ahli ada hak untuk mengundi memilih pemimpin mereka," katanya.

Seramai 6,218 ahli berpeluang mengundi pada pemilihan cabang itu 3 Oktober ini.

Sambutan Aidilfitri muram tanpa Sosilawati

Posted: 10 Sep 2010 04:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Suasana sambutan Aidilfitri bagi keluarga jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang kebiasaannya meriah apabila berkumpul beramai-ramai, hari ini muram berikutan ketiadaan beliau.

Adiknya, Masturi, 44, berkata kebiasaannya setiap kali perayaan Aidilfitri mereka sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.

"Hari raya tahun ni rasa lain tanpa dia (Sosilawati)...setiap tahun dia akan mengadakan majlis rumah terbuka di kampung.

"Di kediamannya di Gombak, dia akan adakan majlis rumah terbuka pada hari raya kedua atau ketiga," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak di sini.

Masturi berkata mereka sekeluarga masih lagi menunggu perkembangan Sosilawati yang telah hilang bersama tiga lelaki sejak 30 Ogos lepas.

"Tiada langsung persiapan pada tahun ini dan kami hanya menanti perkembangan kes kehilangannya.

"Kami masih tidak menerima apa-apa sebarang panggilan ugutan daripada mana-mana individu... apa-apa pun kami serahkan kepada pihak polis untuk siasat dan mengesan di mana dia berada," katanya.

Sosilawati dan pembantu peribadi Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Isnin lepas, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya. - Bernama

Susut daya saing tiada kesan besar ke Malaysia, kata menteri

Posted: 10 Sep 2010 04:00 AM PDT

PUTRAJAYA, 10 Sept — Kedudukan daya saing global Malaysia yang menurun dua tangga, tidak ada kesan besar terhadap ekonomi negara dan sentimen pelabur-pelabur, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun, kerajaan mengakui sesetengah isu yang telah dinyatakan dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2010-2011 itu, dan akan berusaha sedaya mungkin untuk memperbaikinya.

"Jika ada keperluan untuk perubahan, kita mesti mengubahnya," kata beliau kepada Bernama di Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Perubahan seperti itu, kata Mustapa akan menambah lebih banyak nilai kepada Pelan Transformasi Kerajaan, yang sedang dilaksanakan.

"Kita harap untuk melihat (banyak) pembaikan dalam beberapa bulan akan datang kerana kerajaan sedang giat mengadakan pendekatan untuk transformasi," kata beliau.

Kedudukan Malaysia merosot dari tangga 24 ke tangga 26 dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2010-2011 yang dikeluarkan semalam, dengan\ pendidikan tinggi, latihan, institusi, kecekapan pasaran buruh antara kebimbangan dan kesediaan teknologi antara teras yang perlu diperbaiki.

Laporan itu juga menyatakan tidak semuanya buruk bagi Malaysia, kerana ia telah mendapat kedudukan baik dalam bidang-bidang penting seperti Indeks Hak Perundangan, bersama-sama dengan Hong Kong dan Singapura.

Negara ini juga mendapat kedudukan tinggi mengenai Kekuatan Melindungi Pelabur, menduduki tempat keempat selepas New Zealand, Singapura dan Hong Kong.

Antara negara-negara Asia-Pasifik, Malaysia menduduki tempat kelapan, mendahului China, Thailand, India, Indonesia dan Filipina, memperoleh kedudukan tertinggi dalam Indeks Hak Perundangan dan juga Kekuatan Melindungi Pelabur.

Mengenai Ringgit yang kini pada tahap tertinggi dalam masa 13 tahun iaitu pada paras RM3.11 bagi setiap US dollar, katanya: "Pengeksport tidak terjejas pada ketika ini kerana kita masih menikmati pertumbuhan yang baik."

Menteri itu menekankan kekukuhan ringgit bukan suatu isu besar kerana eksport dan import negara mengembang, dan Malaysia terus menjadi destinasi yang menarik bagi pelabur kerana asas-asas yang baik.

Menyentuh syarikat peruncitan gergasi dari Perancis, Carrefour merancang menjual perniagaannya di Malaysia, Mustapa berkata ia adalah kitaran perniagaan biasa dan bukan sesuatu yang membimbangkan.

"Terdapat persaingan serius di sini dan banyak pasar raya yang berminat untuk datang dan menjadi penyumbang besar dalam peningkatan pelaburan.

"Oleh itu ia bukan masalah," tambah beliau. — Bernama

Kesian! Ramai Dah Mula Tunjuk Penentangan Kepada PERKASA

Posted: 10 Sep 2010 03:30 AM PDT

Pemimpin BN mula pamer suara 'tentang' pendirian Perkasa

Oleh Clara Chooi

Najib Razak menyambut bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana pagi tadi. - Gambar oleh Jack Ooi

PUTRAJAYA, 10 Sept - Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) - dalam perkembangan julung kali kelihatan mula bersatu untuk melahirkan pendirian mereka menyangkal matlamat perjuangan Perkasa dan pemimpinnya Datuk Ibrahim Ali, yang mula disisihkan oleh pentadbiran Najib.

Pemimpin-pemimpin Umno yang selama ini kelihatan 'membisu' dalam melahirkan pendirian mereka, hari ini secara terbuka mengaku bahawa perjuangan Perkasa boleh memudaratkan dasar BN dan sokongan kepada perikatan 13 komponen itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu The Malaysian Insider bahawa sudah sampai masanya Umno membuat pendirian tegas terhadap Ibrahim dan Perkasa.

"Saya sudah berkata perkara ini awal-awal lagi... Umno seharusnya tampil lebih awal lagi. Hanya sekarang mereka mengekori pandangan saya.

"Bagaimanapun langkah ini baik, ya, ia akan membantu kami, dalam perjuangan kami sebab langkah untuk menjauhkan diri daripada kumpulan seperti ini adalah baik.

"Perkasa bercanggah dengan dasar 1 Malaysia kami," kata beliau ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana di sini hari ini.

Nazri yang sejak dulu lagi lantang berbanding pemimpin-pemimpin Umno yang lain apabila menyentuh topik berkaitan Perkasa menambah, kesemua ahli Perkasa dan penaungnya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah mereka yang berkepentingan "politik."

"Siapa mereka?" kata Nazri sambil menambah, pihak berkenaan adalah mereka yang gagal memperoleh jawatan dalam parti, lalu menyertai Perkasa.

"Dan, Dr Mahathir?" kata beliau.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga bersetuju bahawa pandangan-pandangan Perkasa "sangat berat sebelah", dan Umno tidak pernah menerima pendirian pertubuhan bukan kerajaan itu.

"Dalam Umno, apabila mempertahankan hak Melayu, kami cuba untuk berlaku adil.

"Apa yang dilakukan oleh Perkasa adalah apabila mereka membawa sesuatu, ia dilihat mereka telah gagal untuk mengambil kira pertimbangan atau kepentingan kaum-kaum lain.

"Umno tidak menerima apa yang dilakukan oleh Perkasa," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengingatkan Ibrahim bahawa negara diikat bersama oleh aspek kepelbagaian dan hidup dalam harmoni ekoran kefahaman dan aturan sosial yang sudah pun dipersetujui pada masa lalu.

"Jika kita kecewa dengan keseimbangan ini, sudah pasti ia akan membawa kepada kekecewaan.

"Itu sebab, dalam Umno, kami mempertahankan hak orang Melayu tetapi kami percaya bahawa adanya tempat bagi setiap rakyat Malaysia. Kami mahu kesemua kumpulan memahami perkara ini," kata beliau lagi.

Dalam temu bual terbaru, Dr Mahathir secara terbuka terus menyatakan sokongan beliau kepada Perkasa ketika Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak semakin menjauhkan diri daripada pertubuhan bukan kerajaan itu.

Dr Mahathir, yang dilihat sebagai 'orang kuat' Perkasa, telah merasmikan mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu Mac lalu.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa Najib telah meminta pemimpin-pemimpin Umno agar tidak menyatakan sokongan kepada Perkasa.

Semalam, dalam kenyataan terbuka Ibrahim berkata, Perkasa pimpinannya tidak memerlukan sokongan Umno termasuk jika pihaknya bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

"Perkasa, NGO tidak memerlukan sokongan Umno atau mana-mana parti politik.

"Cuma (kami) memerlukan sokongan semua ahli seluruh negara dan rakyat biasa yang menyokong perjuangan Perkasa," kata beliau.

Sehari sebelum itu bekas ahli Umno itu membidas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hanya berminat untuk mendapatkan undi masyarakat Cina berbanding orang Melayu.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider Selasa lalu, Tengku Adnan menegaskan, partinya tidak akan menyokong Ibrahim jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan Perkasa pimpinan Ibrahim.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

"Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas," kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.

Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

"Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami," kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.

"Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi," katanya lagi.

Sebelum ini Perkasa pernah mengatakan bahawa sesiapa yang memusuhi pertubuhan ini tidak akan menerima sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir merupakan penaung Perkasa yang dilihat mewakili pandangan kumpulan konservatif dalam Umno, yang menentang pendekatan Najib melakukan pembaharuan ekonomi atas alasan ia akan menghakis kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

"Ahli Perkasa adalah penyokong Umno. Tindakan mengetepikan mereka tidak akan membantu perjuangan Umno," kata Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno dan bekas pengerusi BN.

Dalam pada itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga melahirkan pendirian yang seiring dengan dua rakan sejawatannya itu.

Naib Presiden Umno ini menekankan pendirian Perkasa sangat bersifat etnosentrik.

"Kita harus menolak pendirian bersifat etnosentrik di negara ini. Ia tidak harus digalakkan.

"Saya khuatir kumpulan-kumpulan lain akan mula berjuang untuk kepentingan kaum masing-masing," kata beliau.

Kata Zahid, Umno kemungkinan adalah hak orang Melayu dam Bumiputera, tetapi masih berjuang bagi kepentingan bukan Melayu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyokong pandangan Zahid dengan menegaskan bahawa Perkasa hanya berjuang untuk kaum tunggal.

"Kami berjuang untuk semua," kata Ketua Penerangan Umno ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata Perkasa hanya sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

"Kita seharusnya berupaya untuk bercakap antara sebuah parti politik dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Mereka harus bertindak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan itu sahaja.

"Mereka boleh adakan majlis mereka dan menjalankan program-program sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan," kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor ini.

Nazri berkata Perkasa tidak akan membawa impak ke atas Umno dan BN.

"Tiada siapa yang peduli mengenai Perkasa. Mereka hanya terkenal di media," katanya lagi.

Nazri juga meramalkan sekiranya Ibrahim bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas beliau akan kalah.

"Ini kerana beliau menipu PAS dan menang atas tiket PAS. Siapa yang akan menyokong beliau sebagai calon Bebas nanti?" katanya.

Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan juga menyatakan pendirian dengan menolak Perkasa.

"MIC gembira kerana sekarang kita sudah mula menjauhkan diri daripada Perkasa. Mereka, dalam apa jua keadaan tidak akan membantu BN," kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ini.

Beberapa pemimpib MCA juga mengalu-alukan pendirian Tengku Adnan yang meminta BN menolak Perkasa.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata, Ibrahim bukan seorang yang penting dan oleh itu beliau harus diketepikan.

"Kita tidak harus menaikkan darjatnya dengan memberikan terlalu banyak reaksi dan jawapan," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung juga menyifatkan kenyataan Tengku Adnan sebagai pendirian yang sangat bijak daripada seorang pemimpin Umno dan BN setakat ini.

Bagaimanapun Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek enggan mengulas perkara ini.

5000 Orang Sambut Raya Dengan TG Haji Hadi

Posted: 10 Sep 2010 02:43 AM PDT


TOL

Ops Sikap: 23 lagi maut, angka cecah 118

Posted: 10 Sep 2010 12:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Hari ketujuh Ops Sikap ke-22 mencatatkan 23 lagi korban jalan raya menjadikan jumlah mereka yang maut sejak operasi dilancarkan pada Jumaat lepas meningkat kepada 118 orang.

Pegawai Perhubungan Ops Sikap Polis Diraja Malaysia ASP Bakri Jainal Abidin berkata pemandu dan penumpang kereta mencatatkan korban tertinggi dengan 12 kematian diikuti sembilan penunggang dan pembonceng motosikal, serta masing-masing satu pengguna lori dan pejalan kaki.

Sebanyak 1,269 kemalangan dilaporkan berlaku semalam, iaitu 578 di jalan persekutuan, 314 jalan bandaran, 192 jalan negeri, 99 di lebuh raya dan 86 di lain-lain jalan, katanya kepada Bernama.

Sebanyak 10,827 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya melibatkan 6,609 dan 4,218.

Ops Sikap ke-22 sempena Aidilfitri ini akan berakhir pada 17 September. — Bernama

Imam: Umat Islam New York sedia bincang alih tapak masjid

Posted: 10 Sep 2010 12:00 AM PDT

MIAMI, 10 Sept — Imam dari New York yang terlibat dalam rancangan membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) bersedia untuk memindahkan projek itu ke lokasi lain bagi mengelakkan kontroversi, kata pemimpin Islam Florida semalam.

Kontroversi projek pembinaan itu muncul seiring pelan Pastor Terry Jones yang mahu membakar al-Quran sempena ulang tahun kesembilan serangan 11 September ke atas WTC.

Ulang tahun kali ini secara kebetulan jatuh ketika umat Islam mula merayakan Aidilfitri.

"Saya fikir beliau sedang mempertimbangkan," kata Imam Muhammad Musri, ketua Islamic Society of Central Florida kepada CNN.

Dipetik Reuters, Muhammad berkata beliau ada bercakap dengan isteri imam New York Feisal Abdul Rauf mengenai usaha itu.

Muhammad bercakap kepada pemberita selepas Jones, yang mengetuai gereja kecil Dove World Outreach Center di Gainesville, Florida, membatalkan rancangannya mahu membakar al-Quran esok.

Katanya, satu kata sepakat telah dicapai melibatkan rancangan membina pusat tersebut berhampiran tapak WTC.

"Kami telah menerima komitmen daripada pejabat imam untuk diadakan pertemuan membabitkan saya dan pastor... akan terbang ke New York untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan pelan... atau memindahkan tapak pembinaan itu ke lokasi ideal yang lain, yang tidak berkontroversi," kata Muhammad.

Muhammad mengakui tiada jaminan bertulis lagi.

Terdahulu Feisal menafikan sudah ada perjanjian seumpama itu. — Reuters

Gereja batal kempen bakar al-Quran, imam nafi kompromi alih bina masjid

Posted: 09 Sep 2010 11:45 PM PDT

WASHINGTON, 10 Sept — Di sebalik tekanan dari dalam dan luar Amerika, Pastor Terry Jones dari Florida membatalkan kempennya mahu membakar al-Quran yang dijadual untuk dilakukan esok sempena ulang tahun kesembilan memperingati serangan pengganas 11 September.

Jones, pastor sebuah gereja kecil di Gainesville mengumumkan keputusan itu pada sidang media di Florida semalam, yang turut dihadiri Imam Muhammad Musri dari Islamic Society of Central Florida.

Beliau juga mendakwa pemimpin-pemimpin Islam telah bersetuju untuk menggugurkan projek membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah dalam serangan 11 September 2001.

Dipetik Reuters, Jones (gambar) berkata beliau mendapat jaminan daripada Muhammad Musri tentang pendirian masyarakat Muslim.

Jones turut meminta mana-mana kumpulan lain agar tidak membakar al-Quran dan beliau akan terbang ke New York esok untuk mengadakan pertemuan dengan Imam Feisal Abdul Rauf, yang mengetuai projek pembinaan itu.

Bagaimanapun laporan menyusul berkata, Feisal menafikan kenyataan Jones bahawa satu perjanjian telah dicapai untuk memindahkan tapak projek pembinaan pusat dan masjid.

"Saya gembira kerana Pastor Jones telah memutuskan untuk tidak membakar al-Quran," kata Feisal dalam satu kenyataan dikeluarkan di New York.

"Bagaimanapun, saya tidak bercakap dengan Pastor Jones atau Imam Muhammad Musri (dari Florida). Saya terkejut dengan pengumumman mereka.

"Kami tidak bermain-main dengan agama kami atau agama lain. Ataupun kami akan adakan perjanjian barter (sedemikian).

"Kami berada di sini untuk menghulur tangan bagi membina keamanan dan keharmonian," kata Feisal lagi.

Laman web NBC melaporkan, pada sidang media kedua sejurus selepas penafian Feisal, Jones pula berkata, beliau "berbohong tetapi saya tetap akan mengadakan pertemuan dengan beliau."

Pada sidang media pertama, Jones bertemu dengan Muhammad Musri yang memberitahunya bahawa pegawai-pegawai masyarakat Islam memberi jaminan bahawa tapak pembinaan masjid akan dipindahkan.

"Saya ada bertanya beliau tiga kali, dan saya ada saksi," kata Jones.

Bagaimanapun selepas sidang media pertama Muhammad Musri memberitahu beliau dijemput untuk mengadakan satu pertemuan bersama Jones dan imam New York berhubung cadangan memindahkan masjid.

Jones juga memberitahu Setiausaha Pertahanan Amerika Robert Gates ada menghubunginya awal semalam.

Gates meminta Jones agar menggugurkan rancangan membakar al-Quran.

Rancangan Jones itu menjadi kontroversi antarabangsa sejak awal minggu ini, yang turut dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertuduhan Persidangan Islam (OIC).

Pelbagai pihak dari Malaysia juga mengecam tindakan sedemikian.

Awal semalam, Presiden Barack Obama dan Setiausaha Negara Hillary Clinton telah merayu Jones akan mengkaji semula rancangannya.

Pemimpin-pemimpin tentera Amerika menjelaksan pendirian mereka bahawa rancangan Jones akan membawa kesan buruk mendalam di luar negara.

Laporan Reuters juga menyebut pentadbiran Obama juga telah mengadakan perbincangan bagi menentukan sama ada mahu memanggil pastor itu bagi memintanya membatalkan rancangan membakar al-Quran.

"Kemungkinna itu ada dibincangkan dengan mendalam oleh pentadbiran," kata jurucakap Pentagon Geoffrey Morrell.

Pastor Jones membuat pengumuman itu ketika Interpol mengeluarkan kenyataan amaran kepada kerajaan di seluruh dunia berhubung kemungkinan peningkatan risiko tindakan pengganas jika pelan membakar al-Quran diteruskan.

"Jika rancangan untuk membakar al-Quran diteruskan di Amerika sebagaimana telah dirancang, ada kemungkinan besar serangan ganas akan menimpa mereka yang tidak berdosa," kata kenyataan Interpol atas nasihat Pakistan, rakan pentadbiran White House.

Dengan rancangan mahu membakar al-Quran, sambutan Aidilfitri di Amerika kali ini agar tegang dengan bantahan terhadap pelan masyarakat Islam di New York mahu membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid di Manhattan, berhampiran WTC yang menjadi sasaran pengganas sembilan tahun lalu.

Obama dan Datuk Bandar New York Michael Bloomberg sebelum ini mengatakan bahawa mereka menyokong hak bagi masyarakat Islam membina pusat itu manakala Republikan termasuk bekas calon jawatan Naib Presiden Sarah Palin menentangnya.

Suruhanjaya Pemuliharaan Lokasi Ternama New York sebulat suara menolak bantahan mempertikaikan status bangunan di Lower Manhattan, sekali gus membuka laluan kepada pelan pembinaan masjid dan pusat kebudayaan tersebut, 3 Ogos lalu.

Keputusan itu membenarkan bangunan sedia ada diroboh dan dibina pusat Islam 13 tingkat menerusi pembiayaan sekitar RM300 juta (AS$100 juta).

Suruhanjaya itu mendapati bahawa bangunan sedia ada, yang berusia 152 tahun berkenaan, dua blok dari tapak WTC yang ranap, bukan premis yang istimewa untuk memenuhi kriteria dijadikan bangunan ternama.

Projek itu mencetuskan protes hangat daripada pengkritik yang mengatakan kehadirannya berhampiran dengan WTC akan menyinggung upacara memperingati kematian 3,000 orang sembilan tahun lalu dalam serangan pengganas di bumi Amerika Syarikat.

Selesaikan Segera Isu Malaysia - Indonesia

Posted: 09 Sep 2010 11:18 PM PDT

Parti Islam SeMalaysia (PAS) memandang serius perkembangan isu sempadan dan tindakan agresif serta beremosi yang dilakukan oleh pihak tertentu dalam isu hubungan dua hala Malaysia-Indonesia akhir-akhir ini.

PAS menyeru semua pihak agar dapat melihat hubungan ini dalam konteks hubungan erat selama ratusan tahun yang banyak menyumbang kepada keamanan serantau. Sikap saling hormat menghormati, dan bertindak dengan jiwa yang besar serta berlapang dada adalah antara teras yang boleh memperkukuhkan ikatan persaudaraan Islam yang dibentuk oleh Al Quran dan As Sunnah.

Sehubungan dengan itu semua pihak wajar menghentikan sebarang kenyataan dan tindakan yang boleh mengeruhkan suasana dan mengguris hati jiran serantau ini, yang bukan sahaja wujud dalam satu rumpun tetapi mempunyai hubungan kekeluargaan dan persaudaraan sesama Islam. Tindakan beremosi sebenarnya tidak menyumbang kepada suasana yang lebih aman dan tenteram dalam hubungan dua hala kedua-dua negara ini.

Kami menyeru agar mana-mana pihak yang mungkin telah terkhilaf dan silap dalam tindakan mereka, walaupun dilakukan oleh kerajaan dan agensi penguatkuasaan Malaysia atau Indonesia, agar dapat berbincang dengan semangat ukhuwwah dan saling bermaafan dengan membuka lembaran baru di bulan Syawal yang mulia ini. Sikap ego dan berkeras tanpa bertempat akan hanya mengundang campurtangan pihak ketiga yang senantiasa menanti untuk mengambil kesempatan bagi melebarkan perselisihan pendapat saudara seagama ini. Apa yang sepatutnya kita sama-sama laksanakan ialah memanafaatkan hubungan ini untuk memperkasakan Islam di rantau Nusantara ini.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
30 Ramadhan 1431 H/ 9 September 2010

Dr M tetap sokong Perkasa meskipun Umno pimpinan Najib mula sisih

Posted: 09 Sep 2010 01:00 PM PDT

KUALA LUMPUR, 10 Sept - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka terus menyatakan sokongan beliau kepada Perkasa ketika Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak semakin menjauhkan diri daripada pertubuhan bukan kerajaan itu.

Pendirian Dr Mahathir ini disiarkan oleh New Straits Times hari ini, dua hari selepas Umno secara terbuka mengisytiharkan ia tidak menyokong pertubuhan bukan kerajaan Melayu pimpinan Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.

Dr Mahathir, yang dilihat sebagai 'orang kuat' Perkasa, telah merasmikan mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu Mac lalu.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa Najib telah meminta pemimpin-pemimpin Umno agar tidak menyatakan sokongan kepada Perkasa.

Semalam, dalam kenyataan terbuka Ibrahim berkata, Perkasa pimpinannya tidak memerlukan sokongan Umno termasuk jika pihaknya bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

"Perkasa, NGO tidak memerlukan sokongan Umno atau mana-mana parti politik.

"Cuma (kami) memerlukan sokongan semua ahli seluruh negara dan rakyat biasa yang menyokong perjuangan Perkasa," kata beliau.

Sehari sebelum itu bekas ahli Umno itu membidas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hanya berminat untuk mendapatkan undi masyarakat Cina berbanding orang Melayu.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider Selasa lalu, Tengku Adnan menegaskan, partinya tidak akan menyokong Ibrahim jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan Perkasa pimpinan Ibrahim.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

"Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas," kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.

Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

"Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami," kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.

"Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi," katanya lagi.

Sebelum ini Perkasa pernah mengatakan bahawa sesiapa yang memusuhi pertubuhan ini tidak akan menerima sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir merupakan penaung Perkasa yang dilihat mewakili pandangan kumpulan konservatif dalam Umno, yang menentang pendekatan Najib melakukan pembaharuan ekonomi atas alasan ia akan menghakis kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

"Ahli Perkasa adalah penyokong Umno. Tindakan mengetepikan mereka tidak akan membantu perjuangan Umno," kata Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno dan bekas pengerusi BN.

Dr Mahathir memberitahu akhbar dikuasai Umno bahawa parti itu tidak wajar menjauhkan dirinya daripada kumpulan bukan kerajaaan Melayu seperti Perkasa yang ditubuhkan atas alasan Umno gagal melakukan yang terbaik demi kepentingan orang Melayu.

Ketika Najib sedar akan risiko, beliau dikatakan sedang mempertimbangkan kemungkinan memanggil pilihan raya awal sementara pentadbirannya dijangka berhadapan dengan iklim ekonomi yang tidak menentu.

Tindakan beliau menjauhkan Umno daripada Perkasa dilihat sebagai satu petanda bahawa pilihan raya umum tidak mungkin diadakan dalam waktu terdekat.

Najib disebut-sebut sedang mempertimbangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh enam bulan ini.

Bagaimanapun Dr Mahathir dan Perkasa dilihat merumitkan strategi Najib.

Najib juga dikatakan sedar akan nasib yang dilalui perdana menteri terdahulu Tun Abdullah Badawi selepas Dr Mahathir secara terbuka menentang kepimpinannya, sekali gus Umno-BN menyaksikan prestasi paling buruk dalam sejarahnya pada Mac 2008.

Abdullah 'dipaksa' meninggalkan jawatan awal tahun lalu.

Tiada ulasan: