Kerabu Bersuara ® |
- Dua Lelaki Rompak, Culik, Rogol Pelajar Dihantar Ke Penjara
- Misteri kain rentang berwajah sultan
- Dua Sahabat Diserang Ketika Malam Ambang Merdeka
- Mereka Menjunjung Al-Quran di Malam Laylatul Qadar
- PM Mahu Media Arus Perdana Terus Lapor Fakta Tepat
- Ucapan TG Nik Aziz Peramian Kilang Air
- Persiapan Syawal Musnah Empat Rumah Hangus Dijilat Api
- Antara saman ekor dan pejuang Melayu
- Kerajaan Jamin Keselamatan Rakyat Indonesia - Hishammuddin
- Radio swasta terus siar tazkirah Nik Aziz
- Mais: Larangan bukan Islam masuk ruang solat liputi semua
- TPM: Rakyat Indon Tidak Terpengaruh
- 18 cedera bas terbalik di Km35.1 Lebuhraya Karak
- Pahang dan Selangor sokong Shamsul Ketua AMK
- Sumber air mineral ditemui di Kelantan
- Demonstrasi Buruk Boleh Jejas Hubungan Malaysia-Indonesia
- 25 Syarikat Konsesi Beri Diskaun Sempena Aidilfitri
- Pang masih Timbalan Ketua Menteri Sabah, kata Musa
- Jalan Raya Tidak Sempurna Penyebab Kemalangan Di Kelantan - Nik Aziz
- JPA tentukan nasib pengetua sekolah Johor, kata Muhyiddin
- Keputusan Sultan Selangor Gantung Gelaran Perlu Diteladani Pimpinan Rasuah Umno-BN
- Zakat Fitrah
- Diskaun Tol Aidilfitri 2010
- Isu Felda: PAS minta polis siasat Najib hina mahkamah
- Mahasiswa berpolitik: Saifuddin terima memo Pemuda PAS
| Dua Lelaki Rompak, Culik, Rogol Pelajar Dihantar Ke Penjara Posted: 02 Sep 2010 03:00 PM PDT Oleh SALWA SHA'ARI SHAH ALAM: Perjalanan ke sekolah untuk dua pelajar menjadi detik hitam selepas mereka diculik dan salah seorang dirogol oleh dua lelaki yang melanggar kereta yang dipandu oleh ayah mangsa. Dua lelaki tersebut, S.Kalidas, 23, dan R.Shasidaran, 26, yang bersenjatakan parang itu terlebih dahulu mengarahkan ayah mangsa untuk membonceng motosikal yang ditunggang mereka sebelum ditinggalkan di sebuah masjid. Mereka kemudiannya melarikan kereta Kancil mangsa bersama dua pelajar berusia 17 dan 12 tahun. Lebih memilukan apabila mangsa berusia 17 tahun dirogol secara bergilir-gilir manakala rakannya hanya dicabul memandangkan dia sedang datang bulan. Tidak cukup dengan kesalahan itu, Kalidas dan Shasidaran turut memeras ugut ayah kepada mangsa yang dirogol sehingga peniaga kedai kopi berusia 51 tahun itu membayar wang RM1,000 kepada mereka. Pada Khamis, Kalidas dan Shasidaran menerima balasannya selepas Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan mereka dihukum penjara dan disebat dua kali selepas mengaku salah terhadap semua pertuduhan. Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memerintahkan Kalidas dihukum penjara selama 10 tahun manakala Shasidaran ditahan selama 11 tahun bagi kesalahan merogol mangsa. Khalidas yang merupakan seorang juruelektrik juga dihukum penjara lapan tahun bagi kesalahan merompak, empat tahun bagi setiap pertuduhan menculik dan juga kerana memeras ugut. Shasidaran yang pernah bekerja di tempat cuci kereta pula dihukum penjara sembilan tahun kerana merompak, lima tahun untuk kesalahan menculik dan memeras ugut serta empat tahun kerana mencabul. Bagaimanapun, semua hukuman itu diarahkan berjalan secara serentak dari tarikh tangkap, yang mana Khalidas ditangkap pada 20 April 2006 dan Shasidaran ditangkap 19 Oktober 2006. Mereka didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 1 Ogos 2007. Mereka didakwa merompak wang tunai RM140 dan dompet yang mengandungi dokumen peribadi ayah mangsa berusia 49 tahun, seorang pemandu lori antara pukul 5.30 dan 7 pagi, 17 Februari 2006 di Simpang Tiga, Perusahaan Rahman Putra, hadapan Kompleks Hong Leong Yamaha, Sungai Buloh, dekat sini. Tertuduh juga didakwa menculik pelajar-pelajar tersebut dengan niat mahu mengurung secara salah di tempat dan pada masa yang sama. Mereka juga didakwa merogol mangsa di dalam kereta Kancil antara pukul 5.40 dan 6.40 pagi, hari yang sama di kawasan Bukit Pencawang Elektrik, Batu 11, Kampung Desa Ampang, Sungai Buloh. Shasidaran turut didakwa mencabul mangsa dan bagi pertuduhan terakhir, mereka didakwa memeras ugut bapa mangsa berusia 17 tahun pada antara pukul 5.30 dan 7 pagi, hari yang sama di jalan sebelah kolam pancing ikan, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh. |
| Misteri kain rentang berwajah sultan Posted: 02 Sep 2010 02:00 PM PDT Ahmad Tajdid RASANYA tidak ada di antara pemimpin Pakatan Rakyat di Johor yangg terlalu bodoh dan naif untuk mengaitkan kempen politik dengan istana. Apatah lagi jika menggantung sepanduk memaparkan wajah Sultan Johor. Gambar Sultan Johor pada sepanduk atau kain rentang itu dilapor diletakkan di bawah gambar Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebaris dengan gambar Pengerusi PKR Johor, Datuk Dr Chua Jui Meng. Lebih bodoh lagi apabila Dr Chua disifatkan sebagai calon Menteri Besar; sesuatu yang mustahil bagi negeri-negeri Melayu yang berketuakan seorang Sultan. Para pemimpin Pakatan Rakyat, dari peringkat organisasi paling bawah - cawangan atau ranting - hinggalah ke peringkat nasional tentu maklum tentang perkara-perkara asas dalam perlembagaan negara dan negeri. Proses perlantikan Menteri Besar Perak sebaik berakhirnya Pilihan Raya Umum 2008 dan krisis yang tercetus akibat rampasan kuasa BN banyak mengajar mereka tentang perkara-perkara berhubung perlembagaan negeri dan kuasa yang ada pada Raja-Raja Melayu dalam memilih Menteri Besar. Adalah mustahil bagi seorang pemimpin politik bukan Melayu dan bukan Islam untuk dipilih sebagai calon Menteri Besar kerana secara tersurat mahupun tersirat, Menteri Besar bagi sebuah negeri Melayu mestilah seorang Melayu yang ditakrifkan juga sebagai seorang Islam. Sehubungan itu, adalah suatu tindakan yang bodoh dan naif untuk PKR menggantung sepanduk dan mengisytiharkan Dr Chua sebagai Menteri Besar. Apatah lagi di saat istana Johor beberapa bulan lalu telah menarik balik gelaran Datuk Seri yang dianugerahkan kepada bekas Menteri Kabinet itu. Setakat ini Dr Chua dan para pemimpin Pakatan Rakyat negeri menafikan bahawa sepanduk itu digantung oleh aktivis PKR. Malah Dr Chua tanpa ragu-ragu menganggap ianya sebagai 'kerja' orang Umno bagi menjejaskan imejnya. Jika benarpun sepanduk itu dipasang ketika PKR dan Pakatan Rakyat mengadakan majlis di Batu Pahat, kerja bodoh itu tidak semestinya dilakukan oleh petugas parti. Ia juga telah dinafikan para pemimpin Pakatan Rakyat negeri. Program lawatan Anwar ke Batu Pahat pada 31 Julai lalu sebenarnya tidak berjalan lancar kerana diganggu pihak polis. Anwar dijadualkan berucap di Markaz PAS Kampung Sungai Tongkang, Batu Pahat selepas menghadiri majlis makan malam dan perasmian Pakatan Rakyat Batu Pahat di Restoran Grand Sea View, di Jalan Tanjung Labuh. Sepanduk yang digantung di sebuah dewan, tempat Anwar dijadualkan berceramah turut diturunkan pihak polis walaupun ia tidak memaparkan wajah sultan. Pihak penganjur terpaksa membatalkan ceramah berkenaan selepas diserbu oleh pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Tujuh orang termasuk peniaga ditahan di Balai Polis Rengit tetapi mereka dibebaskan dengan jaminan polis keesokan paginya. Bila polis masih sibuk mengganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat di saat indeks jenayah negara semakin meningkat, kita tentunya maklum pihak di sebalik arahan itu. Walau apa pun motif kejadian tersebut, nyata ada pihak yang tidak begitu senang dengan kemaraan Pakatan Rakyat di Johor. Kerja-kerja sabotaj ini bukanlah suatu yang asing bagi BN dan Umno. Lihat sahajalah bagaimana Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah dijadikan sasaran fitnah Umno dan BN seminggu sebelum pilihan raya umum 1990 berlangsung. Pada waktu itu, Tengku Razaleigh yang memimpin dua gagasan politik, Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat mempunyai peluang besar bagi menewaskan BN. Tengku Razaleigh berjaya mendapatkan sokongan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dato' Joseph Pairin Kitingan dan menjadikan kedudukan BN bagaikan telur dihujung tanduk. Selain berasa tidak selamat di Semenanjung, BN yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad ketika itu terkejut dengan kejayaan Ku Li menkucar-kacirkan kubu BN di Sabah melalui PBS. Ku Li juga aktif mencari sokongan dan pakatan politik dengan parti-parti politik Sarawak. Dan sudah menjadi resmi politik Umno untuk memainkan sentimen kaum dan agama bagi meraih sokongan rakyat. Sigah Kadazan yang dipakai Ku Li dijadikan modal untuk menggambarkan beliau sebagai seorang oportunis politik yang sanggup menjual agama dan bangsa semata-mata untuk berkuasa, sedangkan sigah yang sama (bermotif salib) dipakai Presiden Umno yang juga Perdana Menteri ketika berkunjung ke Sabah. Kempen jijik Umno yang dilancarkan dengan bantuan media massa utama negara itu berjaya menjatuhkan imej Ku Li di mata pengundi Melayu, dan hasilnya Semangat 46 kalah di kebanyakan kerusi majoriti Melayu kecuali di Kelantan. Usaha untuk menepis fitnah dan pembohongan Umno melalui penyebaran foto Dr Mahathir yang memakai sigah yang sama juga gagal akibat ketiadaan media alternatif yang berkesan. Insiden yang berlaku di Johor ini tidak mustahil dilakukan oleh Umno yang semakin gusar dengan penularan pengaruh Pakatan Rakyat di negeri itu. Ia bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan berbanding apa yang pernah dilakukan oleh parti itu sebelum ini. Kerja-kerja sabotaj bukan sesuatu yang asing dalam kempen politik Umno. Dalam sejarah politik negara, Umno bukan sahaja sanggup berbohong, memanipulasikan fakta, hatta secara semberono memperalatkan jentera dan pentadbiran kerajaan untuk terus berkuasa. Menuduh Pakatan Rakyat sebagai tidak menghormati istana ekoran insiden sepanduk itu juga adalah strategi Umno bagi menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap PAS, PKR dan DAP. Rakyat Johor sendiri boleh menilai parti manakah sebenarnya yang sering memperalatkan istana untuk terus berkuasa hatta mewar-warkan bahawa Umno ditubuhkan di tangga istana. Ketika diminta mengulas bidasan Dr Chua bahawa sepanduk itu sebenarnya digantung Umno bagi menjejaskan imej beliau, Menteri Besar Johor Dato' Abdul Ghani Othman menafikannya. "Tiada siapa hendak buat pun, kita tidak pernah mengamalkan politik seperti itu. Apa yang kita tahu parti pembangkang yang membuat perjumpaan dalam tempoh berkenaan dan kain rentang yang dimaksudkan itu dinaikkan," kenyataan beliau dipetik media. Abdul Ghani boleh membuat penafian tetapi semuanya kini terserah kepada tanggapan umum. Rakyat bukanlah senaif dahulu tatkala pemerintah mempunyai kuasa untuk mengawal sumber maklumat. Dalam perkembangan berkaitan tiga anggota polis pada 18 Ogos lalu telah merakam kenyataan Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu di Tropicana, Petaling Jaya. Turut hadir dalam pertemuan hampir 1 jam itu ialah Pengerusi Perhubungan PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng. Keterangan itu bagi membantu siasatan berhubung penggunaan foto Sultan Johor pada kain rentang itu. Pada sidang media selepas dirakamkan kenyataannya, Anwar berkata isu kain rentang provokatif itu bertujuan mengheret institusi diraja ke kancah politik kepartian sebagai muslihat dan niat buruk dengan matlamat menimbulkan kemarahan rakyat Johor, terutamanya di kawasan majoriti Melayu di luar bandar. "Sudah tentu perkara ini tidak menguntungkan PKR ataupun Pakatan Rakyat. Ia sengaja dihantar ke kawasan majoriti orang Melayu, seolah-olah kita memperkenalkan Datuk Chua Jui sebagai Menteri Besar Johor," tegasnya. Chua pula berkata tindakan memasang sepanduk itu berniat jahat untuk menimbulkan kemurkaan Sultan Johor. "Kita tidak sebegitu bodoh untuk katakan, yang saya dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor. Ini adalah satu muslihat yang gagal. "Sebagai seorang peguam yang terlatih dalam bidang undang-undang, saya tahu bahawa orang Cina seperti saya tidak boleh menjadi Menteri Besar. Ini tak masuk akal dan tak logik langsung. "Matlamat mereka gagal, kerana tidak ramai orang yang percaya dengan apa yang ditulis di atas kain rentang itu. Tiada siapa yang untung daripada perbuatan mereka ini. Jadi kami minta pegawai polis siasat dengan segera kejadian ini, dan tangkap mereka yang terlibat dengan komplot ini," kata Chua. Apa juga yang berlaku, kita menuntut pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh bagi mencari dalang sebenar kejadian itu. Kita tidak mahu kejadian ini terbiar menjadi misteri. Seperti juga misteri yang berlegar berhubung insiden cubaan rasuah Umno terhadap calon PAS di Dun Pasir Raja, Johor pada pilihan raya umum 2004. Bukti tentang kejadian rasuah itu benar-benar kukuh. Sipelakunya ditangkap di rumah calon PAS sendiri. Nombor telefon calon BN juga disimpan dalam telefon tertuduh. Kejadian itu dirakam dengan kamera dan video. Pertuduhan dibacakan pegawai BPR ketika tangkapan dibuat dan wang suapan itu diambil pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai bukti. Pegawai BPR yang hadir memuji usaha para petugas PAS memerangkap sipelaku rasuah. Malah polis yang cuba campur tangan tidak dibenarkan masuk ke rumah calon sehingga pegawai BPR hadir. Apabila ditanya BPR yang kini diangkat status sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), para pegawainya berkata, "kami dan serah kertas pertuduhan ke Pejabat Peguam Negara." Namun sudah enam tahun berlalu, tiada sebarang pertuduhan yang dilakukan Peguam Negara. Itu pun satu misteri juga! |
| Dua Sahabat Diserang Ketika Malam Ambang Merdeka Posted: 02 Sep 2010 01:00 PM PDT KUALA LUMPUR: Dua sahabat yang keluar untuk menyaksikan persembahan bunga api pada Ambang Merdeka di KLCC di sini diserang oleh sekumpulan remaja dekat Jalan Pinang, di sini. Dalam kejadian pukul 10.15 malam itu, Lau Chee Kin, 27 dan seorang sahabatnya sedang berjalan ke arah KLCC dari pejabat mereka di Jalan Imbi apabila secara tiba-tiba diserang oleh kumpulan remaja tersebut. Salah seorang penyerang juga turut mengeluarkan kata-kata berbaur perkaumanan terhadap dua mangsa tersebut. Dalam nota yang dipaparkan dalam laman sosial Facebooknya, Lau, seorang pengurus operasi dalam firma teknologi maklumat, berkata mereka kemudian bergegas ke pondok polis di kompleks membeli-belah, Pavilion, tetapi mendakwa pegawai polis yang bertugas di situ enggan menerima aduan mereka. Lau mendakwa mereka diberitahu bahawa mereka hanya boleh membuat laporan di pondok polis di hospital selepas mendapat rawatan. Kedua-dua mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada hari berikutnya. Lau berkata beliau tidak menagih simpati atas paparan nota dalam Facebooknya tetapi ingin berkongsi insiden itu kerana sesiapa sahaja boleh mengalami nasib yang sama. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, yang mengesahkan menerima laporan itu, berkata polis akan meneliti dakwaan Lau itu. Lembaga Disiplin jabatan telah memulakan siasatan dalaman dan jika ia merupakan kes salah laku pegawai maka tindakan tegas akan diambil, katanya. Ku berkata pada malam kejadian, polis juga menerima tujuh laporan sama dan kecurian di kawasan berkenaan. "Satu pergaduhan tercetus di Jalan Raja Chulan, membabitkan kira-kira 30 remaja berusia antara 15 dan 19 tahun dari Selayang dan Sentul pada malam yang sama. "Tiga daripada mereka dimasukkan ke hospital selepas mengalami kecederaanparah manakala tujuh lagi ditahan untuk membantu siasatan," katanya. Polis turut merampas beberapa senjata daripada suspek yang ditahan. Adalah difahamkan bahawa polis menyiasat sama ada kumpulan remaja itu adalah kumpulan yang sama menyerang Lau dan rakannya sebelum itu di Jalan Pinang. -BERNAMA |
| Mereka Menjunjung Al-Quran di Malam Laylatul Qadar Posted: 02 Sep 2010 12:00 PM PDT Saya mendapati pandangan mazhab Ja'fari adalah paling jelas dalam memperihalkan persoalan lailatul qadar. Ramai dalam kalangan kita mencari-cari lailatul qadar. Rupa-rupanya mazhab ahlul bait telah menggariskan malam agung ini dengan begitu jelas untuk diusahakan sekian manfaatnya. Imam Jaafar As-Sadiq berkata: Pada malam ke sembilan belas Allah mempertemukan dua hal, di malam ke dua puluh satu Allah menjelaskan setiap persoalan yang bijaksana, dan di malam dua puluh tiga Allah menetapkan apa yang dikehendaki-Nya, malam itu adalah malam Al-Qadar yang oleh Allah Azza wa Jalla dinyatakan lebih baik dari seribu bulan." Ishaq, murid dan sahabat Imam Sadiq bertanya: Apa yang dimaksud dengan pertemuan dua hal? Baginda menjawab: "Pada malam itu Allah menghimpun apa yang dikehendaki tentang sesuatu yang didahulukan dan yang ditunda, kehendak-Nya dan ketetapan-Nya." Ishaq bertanya lagi: Apa yang dimaksud dengan Allah menetapkan persoalan pada malam ke dua puluh tiga? Imam menjawab: "Sesungguhnya Allah swt memperjelas dan menimbang-nimbang persoalan pada malam ke dua puluh satu, pada malam ini masih terdapat bada' (perubahan), sedangkan pada malam ke dua puluh tiga Allah swt menetapkannya sehingga menjadi mahtum (pasti) iaitu Allah swt tidak melakukan perubahan di dalamnya." Saya dapati ilmu baharu ini sangat menarik. Sebagai pencinta ilmu, mencari 'kebenaran' tentang setiap satu persoalan yang ada dalam agama kita amat mengujakan. Dan saya dapati mazhab Jafari amat terkehadapan dalam hal-hal 'misterius' begini. Ini pasti kerana mazhab ahlul bait adalah mazhab keluarga Rasulullah saw. Dan Nabi Muhammad saw sendiri sudah berpesan supaya kita umat Islam jika inginkan keselamatan eloklah berpegang kepada ahlul bait. Tidaklah menghairankan mazhab ahlul bait mempunyai segala jawapan. Aduh, sayang (baca: malang) sekali bila ketinggalan. [Sumber] |
| PM Mahu Media Arus Perdana Terus Lapor Fakta Tepat Posted: 02 Sep 2010 11:30 AM PDT KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar media arus perdana meneruskan laporan berita berdasarkan fakta yang tepat untuk terus kekal mendapat tempat di kalangan masyarakat. Beliau berkata media arus perdana kini menghadapi saingan sengit daripada media baru seperti blog dan laman-laman web yang lebih bersifat peribadi dan tidak menyediakan laporan berdasarkan fakta tepat. Justeru itu, beliau berkata media arus perdana perlu kreatif dan inovatif dalam penyampaian berita yang baik dan terus tetap mendapat tempat di kalangan masyarakat. "Kalau kita baca media arus perdana, intuitifnya adalah laporan yang tidak boleh disangkal, daripada segi faktanya ada pendapat, ada kecenderungan tapi asasnya, prinsipnya ialah berdasarkan kepada fakta. "Oleh itu, saya ingin menggalakkan media arus perdana untuk terus berpegang kepada peranannya sebagai akhbar yang mensajikan laporan berdasarkan fakta yang disulami dengan pendapat yang bernas, ilmiah dan berdasarkan kepada fakta yang sebenarnya," katanya. Perdana Menteri berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama media di News Straits Times (NST), Jalan Riong dekat sini pada Khamis. Selain itu, Najib berkata masyarakat juga mesti mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian yang boleh membezakan kekuatan media arus perdana, yang masih ada dalam era teknologi maklumat pada hari ini. Dalam pada itu, Najib sekali lagi menekankan bahawa sebagai seorang ketuakerajaan, beliau amat komited untuk melakukan transformasi yang besar kepadanegara. "Apa yang saya lihat (melalui) gambar dan akhbar, kita berada dalam perjalanan. Pengasas-pengasas telah membina negara dan hari ini menjadi kewajipan kita untuk meneruskan perjalanan itu dan membawa transformasi," katanya. Terdahulu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dibawa melawat balai berita NSTP di tingkat empat sebelum berbuka puasa bersama kira-kira 500 warga media di pekarangan bangunan berkenaan. - BERNAMA |
| Ucapan TG Nik Aziz Peramian Kilang Air Posted: 02 Sep 2010 11:00 AM PDT Bismilla'hirrahma'nirrahim, assalamualaikum w.b.t وانزلنا من السماء ماء بقدر فاسكنه فى الارض وانا على ذهاب به لقدرون, فانشانالكم به جنات من نخيل واعناب لكم فيها فواكه كثيرة ومنها تاكلون –المؤمنون -19-18)" Dan Kami (Allah) turunkan air dari langit dengan sukatan ketentuan, maka Kami jadikannya tetap di bumi (sama ada di permukaan seperti sungai dan tasik atau di sebagai air bawah tanah dan di rekahan batu), dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya. Lalu dengan air itu kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun daripada pokok tamar dan anggur, di dalamnya kamu memperolehi buah-buahan yang banyak, dan sebahagian daripada buah-buahan itu kamu makan" Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin Nya, di dalam bulan Ramadhan, bulan yang suci ini, kita hari ini bersedia melangkah ke hadapan dalam pembangunan ekonomi di negeri Kelantan dengan upacara perasmian pecah tanah pembinaan kilang air mineral tabi'ie di atas tapak yang terpilih ini. الحمداللهkita berada di tempat istimewa, pada hari yang istimewa, yakni hari-akhir 10 terakhir Ramadhan, dalam Bulan yang istimewa pula. Semoga kesemua keistimewaan ini akan membawa keberkatan yang banyak, antaranya memberkati air yang akan dihasilkan di sini sebagai air mineral yang istimewa, pengurusan dan pentadbirannya juga akan mendapat limpahan keberkatan. Memanglah keistimewaan masa dan keistimewaan sesuatu tempat itu diakui di dalam ajaran agama kita. Allah menyebut yang Dia menurunkan al-Quran dari sisi-Nya, Allah juga menyebut yang Dia menurunkan air dari langit, sebagai rahmat, pembawaan kehidupan dan unsur pembersih. Allah juga menyebut yang Dia menurunkan besi yang mempunyai kegunaan dan kekuatan untuk kegunaan manusia. Perkataan yang Allah gunakan adalah نزل , Inilah antara lain menunjukkan mustahaknya ketiga-tiga perkara ini; al-Quran sebagai Kitab Petunjuk, kita akan sesat sekiranya tidak berpandukan al-Quran. Air sebagai sumber kehidupan, tiada kehidupan tanpa adanya air. Dan besi sebagai bahan asas kegunaan manusia dalam pembangunan dan persenjataan. Apabila Allah menyebut yang Dia menjadikan segala kehidupan dari air, (وجعلنا من الماء كل شئ حي أفلايؤمنون ) (Al-Anbiya':30)Dulunya kita bayangkan kaitannya dengan kehidupan di bumi ini semata-mata. Dua tiga tahun yang lepas, kita dimaklumkan bahawa saintis angkasa mengasaskan dalam kajian mereka tentang kemungkinan pernah wujud atau tidaknya kehidupan di planet marikh dan di bulan berdasarkan adakah terdapat kesan-kesan kewujudan air di kedua-dua objek langit ini. Kita juga mengetahui yang 7/10 daripada permukaan bumi ini adalah air, sel-sel tubuh kita juga dalam bentuk cecair bahkan tubuh kita sendiripun 7/10 beratnya adalah kandungan air. Benarlah firman Allah: سنريهم أيتنا في الأفاق وفى أنفسهم حتى يتبين أنه الحق اولم يكف بربك انه على كل شئ شهيد (Al-Fussilat:53) Kerajaan Negeri Kelantan meletak harapan yang tinggi kepada Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. (KUM) dan rakan kongsinya Tabb Global Sdn. Bhd. agar dapat menguruskan punca air ini dengan cara yang terbaik. Uruslah punca air ini dengan cara yang paling optima بالقصد , paling optima kepada resource (bahan air) ini, paling optima kepada ekonomi syarikat dan negeri, paling optima dalam memberikan peluang kepada rakyat tempatan untuk terlibat, dan paling optima kepada kesan alam sekitar. Ringkasnya uruslah ia dengan penuh hemah dan beradab. Kedudukan tapak kilang di kawasan hutan semulajadi pada aras yang agak tinggi, berdekatan pula dengan kolam air panas yang juga mempunyai khasiat untuk kesihatan menjadikan kawasan ini begitu strategik. Lokasi sebegini boleh difikirkan potensi yang boleh dimanfaatkan di samping kilang air mineral semulajadi iaitu mewujudkan kawasan sekitar sebagai kawasan tarikan pelancongan memandangkan kedudukannya adalah agak unik iaitu di atas bukit. Sukalah saya mengambil kesempatan dalam Bulan Ramadan ini, Bulan yang diturunkan al-Quran dan juga bersempena dengan majlis pecah tanah kilang memproses air mineral untuk memperingatkan kita tentang beberapa ayat Allah yang berkaitan dengan kandungan mineral di dalam air.1-Air hujan (semata-mata air tanpa garam galian): وهو الذى أرسل الرياح بين يدي رحمة وأنزلنا من السماء ماء طهورا(Al-Furqan: 48) طهورا bermaksud air yang bersih, suci : sememangnya air hujan adalah air yang paling bersih dan paling suci, kecuali selepas ruang angkasa kita dikotori oleh pencemaran udara. Ianya adalah air semata-mata. Ianya tidak mempunyai apa-apa kandungan mineral. Kerana itu ianya mempunyai keupayaan untuk membersih dan menyerap bahan (elemen) lain secara yang efisien. Jika diminum ianya boleh berfungsi sebagai pembersih kepada sebahagian sistem dalaman tubuh kita. 2-Air Minuman yang bermineral. Allah menyebut:وأسقينا كم ماء فراتا(Al-Mursalat: 27) فراتا bermaksud air yang mempunyai rasa lazat dan manis . Sifat air yang terasa manis dan lazat ini hasil daripada kandungan garam galian yang larut di dalam air tersebut. Allah menyebutnya sebagai air minuman. Sudah tentu air sebegini ada manfaatnya kepada kesihatan manusia. Apa lagi sebaik-baik air di atas muka bumi ini adalah air zam-zam. Air zam-zam adalah air mineral yang kandungan garam galiannya, umpama sodium, kalsium, nitrat dan lain-lainnya wujud dengan kadar munasabah yang tinggi. 3-Air Laut yang kandungan garam galiannya terlalu tinggi. Tidak sesuai untuk diminum. Allah menyebut:وما يستوى البحران هذا عذب فرهت وهذا ملح أجاج (Al-Fathir: 12) ملح أجاج biasanya ditafsirkan sebagai masin-pahit, atau bergaram yang terlalu masin. Lihat bagaimana Allah menyebut 'ملح' yakni sifat bergaram sahaja; sudah tentu air minuman bermineral juga mempunyai kandungan garam, lalu Allah menyebut selepas ملح dengan penambahan perkataan أجاج bagi menjelaskan kandungan garam yang terlampau tinggi sehingga tidak sesuai bahkan bermudarat untuk diminum. Pembahagian air dalam hubungannya dengan kandungan mineral serta kaitannya sebagai bahan minuman sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran ini adalah suatu petunjuk yang menunjukkan isi al-Quran sebenar-benarnya datang dari Allah, Tuhan yang menjadikan segala sesuatu termasuklah air dan garam mineral itu sendiri. Bagaimana mungkin seorang manusia, walau sebijak manapun, yang hidup dalam persekitaran padang pasir pada 1400 tahun yang lalu dapat menceritakan tentang kelas-kelas air sebegini sekali, sekiranya berita itu tidak diturunkan daripada Allah, Tuhan yang menjadikan langit dan bumi. Dia-lah, Allah yang Maha Mengetahui tentang apa yang mendatangkan manfaat dan mudarat kepada manusia. Saya berani bertegas yang tidak ada, tidak pernah ada dan belum ada suatu tamadun ataupun peradaban yang membincangkan persoalan tentang air terperinci yang dibincangkan di dalam Islam. Air disebut sebagai sumber kehidupan, air disebut sebagai rahmat, air disebut sebagai penumbuh tumbuh-tumbuhan, air disebut sebagai perantaraan bala' Allah, air disebut sebagai medium pembersih dan lain-lain. Bahkan air disebut sebagai elemen keindahan dan kelazatan di dalam syurga, sesuatu yang kita sentiasa doa-doakan. Sekiranya kita menadah kitab feqah dalam rubu ibadah, antara yang mula-mula kita temui adalah باب الطهارة . Di dalam bab ini air dibahagi jenis-jenisnya yang berbeza. Ada air mutlak, ada air mustamal, ada air mutanajjis dan ada air musyammas. Serta disebutkan ciri-ciri khusus air dari jenis yang berbeza ini dan kegunaan masing-masing. Ini semua menunjukkan yang kita umat Islam, yang sepatutnya paling mengambil berat tentang pengurusan air, paling memperduli tentang kesucian dan kebersihan air baik ianya air sungai, air mata air, air laut, bahkan air buangan. Semoga usaha yang telah diambil oleh KUM dan rakan-rakan perniagaannya merupakan usaha awal yang akan membawa ummah ini untuk kembali semula kepada peranannya sebagai امة وسطة yang menjadi standard ikutan شهدأ على الناس bagi manusia lainnya khususnya di dalam bidang ini. Biarpun usaha ini mungkin diumpamakan dalam rangkap hikmah warisan cina "perjalanan seribu batu itu bermula dengan selangkah awal yang sederhana" Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar semua pihak, samaada agensi ataupun perseorangan di semua peringkat agar dapat memberi kerjasama untuk menjayakan gagasan dan usaha yang baik ini. Semoga Allah menganjari usaha-usaha kita dalam membangunkan potensi negeri kita sebagai amal soleh yang diredhai-Nya, serta kita dianugerahi hidayah oleh Allah untuk melakukan segala tindakan berdasarkan ajaran agama-Nya. Setakat ini sahaja ucapan saya pada pagi ini dan bagi menyudahinya saya dengan lafaz "Bismillah Hirahma Nirahhim" merasmikan majlis pecah tanah pembinaan kilang air mineral semulajadi Sihhat-Afiat Sdn. Bhd. di Kg. Batu Melintang, Mukim Belimbing, Jeli pada pagi ini. Dengan itu, saya sudahi dengan akhir kata Wabillah Hitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh. |
| Persiapan Syawal Musnah Empat Rumah Hangus Dijilat Api Posted: 02 Sep 2010 10:30 AM PDT KUALA LUMPUR: Empat buah keluarga terpaksa menjalani Ramadan dan menyambut kedatangan Syawal dalam keadaan pilu apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di kawasan setinggan di Kampung Melayu, Wira Damai, Batu Caves, dekat sini, Khamis. Dalam kebakaran pukul 5.52 petang itu, kesemua mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila hanya sempat menyelamatkan diri sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam masa sejam. Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Zakaria Aini berkata lima jentera termasuk dari Balai Bomba dan penyelamat Wangsa Maju, Jinjang, Gombak Selatan dan Rawang telah bergegas ke tempat kejadian. "Kesemua rumah yang diperbuat daripada papan musnah apabila api merebak dengan cepat kerana rumah berkenaan terlalu dekat antara satu sama lain," katanya. Zakaria berkata jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - BERNAMA |
| Antara saman ekor dan pejuang Melayu Posted: 02 Sep 2010 10:00 AM PDT M Faqih DERAMAN YAAKUB, seorang kakitangan swasta terkejut ketika datang menuntut road tax, tempoh cukai jalan keretanya hanya dibenarkan untuk enam bulan sahaja. Terkejut sakan lelaki separuh usia itu apabila diberitahu kakitangan di bank tempatnya membuat bayaran. Dia membayar road tax melalui bank kerana keretanya masih ada ansuran bulanan. Sedangkan sebelum itu Deraman tidak pernah menerima apa-apa saman daripada polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Namun, baru-baru ini isu yang digeger orang lain turut menimpa dirinya. Saman dari Bahagian Trafik Bukit Aman diketahuinya selepas tempoh hayat road tax dipendek JPJ. Lima bulan selepas disaman barulah Deraman menerima surat daripada polis. Cekapkah polis kita seperti disebut dalam slogan PDRM? Seorang pegawai di sebuah syarikat milik kerajaan pula terkejut motosikalnya di saman di Pulau Pinang beberapa kali. Sedangkan dia tidak pernah sampai ke Pulau Pinang dengan motosikal. Lagi pun jarak Kota Bharu dengan Pulau Pinang lebih 300 km. Lebih malang lagi 10 saman diterima pegawai terbabit. Apabila dia mengadu kepada polis dan JPJ, kata mereka masih lagi dalam siasatan. Kereta roller disaman ekor Pernahkah anda ingat beberapa tahun lalu kereta 'roller' disaman kerana dipandu laju. Sedangkan kereta itu lajunya lebih sama dengan orang berjalan kaki. Banyak aduan tidak puas hati rakyat didedahkan melalui media massa. Namun, kerajaan pada awalnya buat seperti lembu kenyang. Namun setelah Jawatankuasa Bertindak Kempen Saman Ekor (KASE) dilancarkan, kerajaan mulai gelabah. KASE dipengerusikan anggota parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. Hujah Naib Presiden PAS itu, tindakan JPJ menyenarai hitam kenderaan dengan menghalang mereka membaharui cukai jalan, bersalahan di sisi undang-undang. Peguam Hanipa Maidin menyebut prinsip asas dalam undang-undang jenayah iaitu seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Kata Hanipa tafsiran polis dan JPJ dengan menyenarai hitam kenderaan yang belum menjelaskan saman dengan menghalang mereka membayar cukai jalan disifat bertentangan dengan prinsip asas undang-undang. Seksyen 17 dan Seksyen 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membawa maksud kesalahan dan perlanggaran yang telah dibuktikan mengikut prinsip dan prosedur undang-undang. Sejak September 2009, polis telah mengeluarkan 2.5 juta saman ekor. Dan sejak dikuatkuasakan pada 15 April lalu, sebanyak 1.07 juta pemilik kenderaan telah disenarai hitam. Setiap saman dikenakan denda maksimum RM300. Ini bermakna kerajaan dapat mengaut duit rakyat sehingga RM750 juta dari saman ekor. Isu saman ekor timbul ketika masalah pemilik kenderaan yang berusia lebih 20 tahun membaharui cukai jalan dan insurans belum lagi selesai. Ahmad, seorang peniaga kecil memberitahu tahun lepas dia terpaksa membayar sehingga hampir RM400 bagi membolehkan insurans body kereta lamanya hidup. Sedangkan kebiasaannya hanya sekitar RM150 bagi insurans kelas tiga. Masalah sudah hampir dua tahun berlarutan, namun tidak nampak ada jalan penyelesaian. Ekoran itu seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub melancarkan Gerakan Bela Rakyat (Bela) untuk membela nasib pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun. Itu belum lagi diambil kira dengan kos lain yang sentiasa meningkat. Harga besi satu tan pada awal bulan Ogos sekitar RM2,800. Sedangkan ketika peraturan harga siling hanya sekitar RM1,000 satu tan. Begitu juga dengan harga simen sekarang melonjat kepada RM18 satu beg. Ada juga kedai menjual RM18.50 atau RM19 satu beg. Sedangkan ketika harga siling sekitar RM13 sebeg. Alasan diberi kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan simen di pasaran. Namun kenaikan sehingga hampir 40 peratus cukup membebankan orang ramai. Maka tidak hairanlah harga rumah kos rendah tidak mampu lagi dijual dengan harga sekitar RM35,000 seunit. Hairannya dalam masa yang sama kerajaan mendakwa berlaku pemulihan ekonomi dalam separuh pertama tahun ini. Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberitahu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tertinggi iaitu 9.5 peratus dalam tempoh tersebut. Kerajaan pungut wang rakyat Berdasar kepada pertumbuhan berkenaan sepatutnya kerajaan tidak perlu lagi mencari wang segera daripada rakyat melalui saman ekor. Biar pun polis atau menteri bercakap mahu mendidik rakyat supaya lebih berhemah di jalan raya, namun dalam kes saman ekor lebih banyak buruk daripada baik. Cuba bayangkan bagaimana sebuah motosikal yang terperap di Kota Bharu boleh disaman di Pulau Pinang. Nampaknya Nilai Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak ke mana-mana. Apabila NKRA polis dan JPJ menjadi runggutan ramai, ia membawa mesej NKRA impian Najib gagal mencapai matlamat. Sistem penyampaian kerajaan hanya nampak indah di atas kertas dan bukan di dunia realiti. NKRA kerajaan Barisan Nasional juga menjadi cacat apabila dibiarkan media massa memainkan isu perkauman berulang-ulang. Kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harusani Zakaria mengenai ada kumpulan cuba mewujudkan perlembagaan baru boleh mengaibkan banyak pihak. Ini kerana kenyataan itu dibuat sekadar persepsi tohor dan tidak ada sandaran yang kuat. Sepatutnya kenyataan seperti itu dibuat Ketua Penerangan Umno dan bukan seorang mufti. Namun dalam situasi sekarang, Mufti Perak nampaknya banyak menghulur bola lambung kepada Umno bagi memperlekehkan Pakatan Rakyat. Begitu juga dalam isu khatib menyebut nama Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang, awal-awal lagi dipintas Harusani dengan menghukum sebagai salah. Sedangkan khatib terbabit, Ustaz Zakaria Ahmad menjelaskan nama Guan Eng disebut sekadar memohon Allah Taala memberi hidayah Islam terhadapnya. Semua pemimpin Umno naik angin dengan isu terbabit, sedangkan mereka lupa Umno pernah menganjurkan majlis bacaan Yaasin dan solat hajat untuk calon MIC, Kamalanathan di Kuala Selangor April lepas. Apakah membaca Yaasin untuk memohon kemenangan calon bukan Islam lebih baik berbanding mendoakan Guan Eng diberi hidayah. Nampak isu tersebut hampir sama, namun nawaitunya berbeza. Biar apa pun akhbar harian telah meletak kesalahan di bahu Pakatan Rakyat. Mereka juga seperti menobatkan Umno dan Harusani sebagai pejuang Melayu sejati. |
| Kerajaan Jamin Keselamatan Rakyat Indonesia - Hishammuddin Posted: 02 Sep 2010 09:32 AM PDT SEPANG: Kerajaan Malaysia memberi jaminan keselamatan penuh kepada semua warga Indonesia yang berada di negara ini atau mereka yang berhasrat berkunjung ke sini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Katanya setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai tindakan keganasan terhadap rakyat Indonesia di negara ini berikutan gerakan sentimen anti-Malaysia di negara itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kaunter Jabatan Imigresen di Terminal Penerbangan Tambah Murah (LCCT) di sini, Khamis. Pada majlis tersebut, Hishammuddin turut menyampaikan bantuan kuih raya kepada Ketua Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang, depoh tahanan sementara KLIA, Lenggeng dan Machap Umbu. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam danKetua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman. Segelintir kumpulan di Indonesia menganjurkan demonstrasi di Kedutaan BesarMalaysia di Jakarta baru-baru ini bagi membantah insiden di sempadan perairanMalaysia-Indonesia dekat Kepulauan Riau pada 13 Ogos lalu. Dalam insiden itu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing dengan alasan pencerobohan terhadap wilayah perairan masing-masing. - BERNAMA |
| Radio swasta terus siar tazkirah Nik Aziz Posted: 02 Sep 2010 09:00 AM PDT Lan Jusoh KOTA BHARU, 2 Sept: Usaha dilakukan kerajaan negeri supaya diberi sedikit ruang kepada Menteri Besar untuk menyampaikan tazkirah atau perutusan kepada rakyat sehingga kini tidak dilayan RTM. Malah permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan lesen penyiaran sendiri juga tidak dilayan Kementerian Penerangan. Namun anehnya beberapa stesen radio di negara jiran memberi ruang kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan tazkirah agama. Stesen radio tersebut termasuk di Sungai Padi di Wilayah Narathiwat pernah menyiarkan kuliah agama oleh Menteri Besar Kelantan. Langkah serupa juga diambil sebuah stesen radio swasta yang berpangkalan di sini apabila memberi ruang kepada pemimpin kerajaan negeri menyampaikan takzirah agama. Radio Manis FM milik milik bekas Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Hussin Ahmad berpejabat di Lundang, Kota Bharu mengambil sikap berkompromi apabila memberi ruang takzirah agama oleh Menteri Besar. Langkah berani yang dipelopori stesen radio terbabit membolehkan rakyat di Pantai Timur berpeluang mengikuti tazkirah agama yang disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tazkirah Ramadan itu dikeudarakan melalui stesen radion berkenaan mulai 20 Ramadan lalu sehingga 5 Syawal ini iaitu sebanyak empat kali setiap hari. Waktu siaran bermula jam 7.30 pagi, selepas azan solat Zohor, selepas azan solat Asar dan jam 7 petang. Bagaimanapun pada hari Jumaat siaran tazkirah selepas azan Zohor diawal kepada jam 12.45 pagi. Program tazkirah tersebut ditaja Perbadanan Menteri Besar Kelantan dengan kerjasama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Pendengar boleh mengikuti siaran tersebut menerusi gelombang 90.6 Megahertz di Kelantan, 102 Megahertz (Terengganu) dan 96.5 Megahertz (Pahang). Menurut jurucakapnya siaran tazkirah agama oleh Menteri Besar Kelantan diadakan sejak lima tahun lalu. |
| Mais: Larangan bukan Islam masuk ruang solat liputi semua Posted: 02 Sep 2010 08:45 AM PDT Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 2 Sept — Larangan ke atas bukan Islam memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor tidak terhad kepada Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang kini berhadapan dengan kontroversi. Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menegaskan larangan dikenakan ke atas Teo menerusi surat amaran, yang diterima wakil rakyat itu semalam, merangkumi semua orang bukan Islam di Selangor termasuk wakil rakyat dan ahli-ahli politik. Setiausaha Mais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata larangan itu perlu dipatuhi demi menjaga kesucian dan kehormatan masjid dan surau. "Dalam surat amaran yang diberikan Teo, kita melarang beliau daripada memasuki ruang solat masjid dan surau di negeri ini. "Kalau beliau mahu buat program boleh buat di kawasan luar ruang solat... keputusan kita tegas," kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini. Selain itu, beliau berkata larangan daripada memasuki ruang solat itu juga turut melibatkan semua orang bukan Islam termasuk wakil rakyat sama ada dari Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN). "Semua orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat masjid dan surau. Mereka hanya boleh memasuki kawasan lain tetapi dengan syarat mesti ikut peraturan yang ditetapkan. "Kalau ada pihak pengurusan masjid dan surau yang membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat kita akan ambil tindakan terhadap mereka kerana melanggar arahan yang dikeluarkan," katanya. Mohammed Khusrin juga menegaskan jika masih ada wakil rakyat bukan Islam memasuki ruang solat tindakan tegas akan diambil terhadap mereka. "Kita tidak ada undang-undang untuk dikenakan kepada orang bukan Islam yang memasuki masjid dan surau tetapi jika secara berterusan ia dilakukan kita akan ambil tindakan lain termasuk membuat laporan polis," tegasnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat amaran yang dihantar kepada Teo kerana dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu. Dalam surat amaran itu, Mais meminta supaya beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor. Mais juga menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Namun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo. Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam. Selain itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid atau surau bertentangan dengan semangat keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dicapai awal tahun ini. Perkasa meminta kerajaan mengadakan undang-undang baru menghalang bukan Islam memasuki masjid dan surau. |
| TPM: Rakyat Indon Tidak Terpengaruh Posted: 02 Sep 2010 08:30 AM PDT PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau percaya sebahagian besar rakyat Indonesia yang berada di negara ini tidak akan terpengaruh dengan seruan kumpulan di negara itu dikenali Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) agar mereka pulang ke Indonesia dan tidak lagi bekerja di negara ini. Timbalan Perdana Menteri berkata, "saya percaya sebahagian besar mereka yang berada di sini adalah orang yang menghargai apa yang telahpun kita buat untuk menolong mereka dan kita di sini juga amat menghargai pentingnya sumbangan perkhidmatan mereka kepada warga Malaysia. "Saling memerlukan ini saya fikir adalah sesuatu yang patutnya menjadi asas pertimbangan, bukannya kerana ada seruan pihak di sana. "Kalau mereka pulang ke sana pun mungkin mereka tak dapat jaminan dari Bendera ke, apa ke, mengatakan mereka akan memperoleh pendapatan dan pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan di sini hari ini. Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai gesaan Koordinator Bendera, Mustar Bona Ventura Manurung, agar Jakarta segera mencari jalan untuk membawa pulang kira-kira dua juta warga Indonesia yang bekerja di negara ini, dan seterusnya memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur bagi mempertahankan kehormatan serta kedaulatan negara itu. Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan Malaysia juga tidak perlu memberi reaksi terhadap tuntutan berkenaan kerana apa yang lebih penting adalah menyelesaikan masalah secara diplomasi bagi menjaga hubungan jangka panjang kedua-dua pihak. - Bernama |
| 18 cedera bas terbalik di Km35.1 Lebuhraya Karak Posted: 02 Sep 2010 08:05 AM PDT KUALA LUMPUR, 2 Sept — Lapan belas orang cedera apabila bas persiaran yang dinaiki terbabas dan terbalik di Km 35.1 Lebuhraya Karak-KualaLumpur hari ini. Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika hujan lebat. Bas itu yang dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Batu Pahat dan membawa 25 penumpang terbabas akibat jalan licin ketika menuruni jalan di laluan tersebut, katanya kepada Bernama di sini. Che Hussin berkata mangsa yang cedera dirawat di Hospital Selayang manakala yang tidak mengalami kecederaan meneruskan perjalanan ke destinasi dengan menaiki bas lain. Tujuh yang cedera mengalami patah dan retak tulang manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar, katanya. Beliau berkata antara yang mengalami cedera agak teruk itu ialah seorang wanita warga China dan seorang lelaki rakyat Indonesia. Bas tersebut katanya, membawa tujuh rakyat tempatan manakala bakinya adalah warga asing. Sementara itu, pemandu bas Atan Mohamad, 44, berkata dia tidak memandu laju kerana keadaan hujan lebat serta jalan yang licin. "Semasa saya memandu tiba-tiba air melimpah di atas jalan menyebabkan saya tidak dapat mengawal bas lalu melanggar penghadang jalan dan terbalik," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Atan, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu. Seorang penumpang, Manja Kasim, 28, yang mengalami cedera ringan berkata ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga apabila menyedari bas tersebut sudah terbalik. — Bernama |
| Pahang dan Selangor sokong Shamsul Ketua AMK Posted: 02 Sep 2010 08:01 AM PDT PETALING JAYA: Sehari selepas Bendahari PKR Terengganu, Mohd Rafizi Ramli mengumumkan bertanding jawatan Ketua AMK, Pahang dan Selangor pula membuat keputusan menyokong Shamsul Iskandar Mohd Akin mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan akhir tahun ini. Ketua AMK Pahang, Rizal Jamin berkata, negerinya sebulat suara mahu mengekalkan Shamsul kerana prestasi cemerlangnya memimpin AMK sejak 2007. Shamsul, ketua PKR Melaka mengambil alih jawatan ketua AMK dari Senator Ezam Mohd Nor (kini kembali menyertai Umno) yang tidak bertanding dalam kongres parti di Seremban pada 2007. Ketika dihubungi, Rizal berkata, "prestasi Shamsul cemerlang kerana dalam tempoh tiga tahun, AMK mempunyai 166 Cabang (Bahagian) di seluruh negara. "Sekitar tahun 2007, AMK hanya mempunyai antara 30 dan 40 cabang, maknanya dalam kepayahan beliau berjaya menubuhkan begitu banyak cabang AMK." AMK Pahang mempunyai 14 cabang dan dalam mesyuarat Selasa lalu memutuskan menyokong Shamsul dalam pemilihan ketua AMK kelak. Selain Mohd Rafizi, beberapa nama lagi dijangka berbuat demikian sedikit masa lagi, antara yang disebut-sebut ialah ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin dan Hasmi Hashim. Pemimpin akar umbi Sementara itu, Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, majoriti pimpinan AMK negeri itu akan menyokong Shamsul. AMK Selangor mempunyai 22 cabang antara terbanyak di Malaysia. "Shamsul merupakan pemimpin akar umbi AMK, seorang yang mempunyai komitmen dan konsisten dalam perjuangan," katanya ketika dihubungi hari ini. Shamsul berkata, Khairul Anuar mahu menggilap pemimpin AMK lain supaya menjadi pemimpin besar. Malah Khairul Anuar sendiri akan bertanding jawatan timbalan ketua AMK untuk berganding dengan Shamsul berikutan penyandang sekarang, Fariz Musa sudah melebihi umur 40 tahun. Beberapa pemimpin AMK negeri lain yang dihubungi memberitahu mereka belum membuat keputusan sama ada memilih Shamsul atau Rafizi. Seorang pemimpin AMK Negeri Sembilan pula menyatakan negeri itu menyokong Badrul atau lebih dikenali sebagai CheguBard untuk jawatan ketua AMK. "Saya harap CheguBard bertanding kali ini setelah menarik diri dalam pemilihan 2007," katanya. |
| Sumber air mineral ditemui di Kelantan Posted: 02 Sep 2010 07:45 AM PDT ![]() JELI, 2 Sept: Biar pun kerajaan pusat menafikan hak Kelantan ke atas royalti minyak, namun kekayaan hasil buminya masih mampu memberi pulangan hasil kepada kerajaan negeri. Buktinya, penemuan emas di perut bumi Kelantan di Sokor, Tanah Merah kini sedang dimajukan syarikat dari China, CNMC Goldmine Limited dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan. Dan baru-baru ini pula sumber air air semula jadi (mineral) ditemui di Batu Melintang, Jeli. Ekoran penemuan tersebut syarikat Sihhat–Afiat Sdn Bhd (Sihhat) dengan usahasama Tabb Global Sdn Bhd dan Kelantan Utilities Mubarakan Holding Sdn Bhd akan membina kilang bagi mengeluarkan minuman tersebut. Kilang terbabit akan mencatat satu lagi sejarah kerana ia merupakan industri pertama mengeluar, membotol dan membungkus air mineral semula jadi di Kelantan. Pengerusi Lembaga Pengarah Sihhat, Datuk Husam Musa berkata, pemilihan tapak kilang air mineral semulajadi itu dibuat setelah mendapat nasihat pakar dari Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan dan pakar geologi dari Sihhat. "Kilang yang akan dibina terletak di pinggir jalan utama menghubung Kelantan - Perak dijangka dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. "Pada peringkat awal dua telaga tiub telah dibina kedalaman tidak kurang 120 meter. Standard air mineral menepati kehendak jabatan berkaitan," katanya di majlis perasmian pecah tanah pembinaan kilang air mineral di sini, semalam. Perasmiannya dilakukan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Turut hadir anggota Exco, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Ketua Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir Mustafa Salleh dan Adun Ayer Lanas, Abdullah Yakob. Husam berkata, kerajaan melulus kawasan seluas 10 ekar bagi pembangunan industri pengeluaran air mineral terbabit. |
| Demonstrasi Buruk Boleh Jejas Hubungan Malaysia-Indonesia Posted: 02 Sep 2010 07:30 AM PDT Oleh Ahmad Fuad Yahya JAKARTA: Demonstrasi buruk baru-baru ini depan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) nampaknya telah merubah senario diplomasi hubungan dua hala Indonesia-Malaysia. Pelemparan najis manusia di perkarangan kedutaan itu dan pengotoran bendera Malaysia sebagai membantah penangkapan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia di perairan Riau, pada 13 Ogos itu nampaknya telah menjejas hubungan itu. Kuala Lumpur berpendirian pegawai penguatkuasa berkenaan telah menceroboh perairan Malaysia dan menculik nelayan-nelayan Malaysia pada tarikh berkenaan. Manakala Jakarta pula mendakwa bahawa nelayan Malaysia menceroboh dan mencuri ikan di perairannya. Sementara suasana baru mula memanas di Malaysia, situasi di Indonesia sudah meningkat ke tahap mendesak diputuskan hubungan diplomatiknya dengan Malaysia. Pensyarah Kanan bidang Hubungan Antarabangsa Universiti Indonesia Andi Widjojanto dan peneliti Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) Ikrar Nusa Bhakti misalnya sudah mencadangkan agar Indonesia menurunkan tahap hubungan dengan Malaysia, jika tidak memutuskan terus hubungan itu, sebagai langkah terapi kejutan terhadap Malaysia. Namun Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), yang sering dipersalahkan masyarakat kerana tidak tegas menangani persoalan ini berkata jalan terbaik menyelesaikannya ialah melalui perundingan namun Indonesia tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan wilayahnya. SBY telah mengirim surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, menyatakan harapan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan baik dan rundingan mengenai masalah perbatasan diteruskan. Aktivis masyarakat yang tidak suka melihat hubungan baik Malaysia-Indonesia cepat menggunakan peluang daripada insiden ini untuk mencetuskan semangat nasionalisme dan menyalahkan SBY, yang didakwa terlalu mengalah dalam perundingan dengan Malaysia. Ahli-ahli politik termasuk menteri kabinet Indonesia cepat menyalahkan Malaysia kerana insiden Riau itu, yang diburukkan lagi dengan laporan media yang menggambarkan Malaysia sebagai angkuh. Tekanan yang terus meningkat telah memaksa Menteri Luar Dr Marty Natalegawa untuk mengirim nota diplomatik kepada Malaysia bagi membantah tindakan Polis Marin Malaysia itu, dengan menyatakan bahawa insiden itu berlaku di perairan Indonesia. Indonesia mendasarkan keputusan itu pada peta tahun 2009 berbanding Malaysia yang menggunakan peta 1979. Malaysia menjawab dengan menegaskan kejadian itu berlaku di luar pantai Johor.Kawasan ini berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982. Dalam pada itu, media Indonesia terus memainkan isu seperti layanan buruk terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia dan isu ratusan warga Indonesia menghadapi hukuman mati di Malaysia kerana kesalahan dadah dan jenayah berat, untuk menambah rasa benci rakyat Indonesia terhadap Malaysia. Undian pendapat oleh harian Republika pada 23 Ogos menunjukkan 3,607 responden atau 72.91 peratus daripada responden mengatakan Malaysia negara paling kurang mesra dengan Indonesia, di kalangan tujuh negara lain termasuk Australia, Singapura, Brunei dan Filipina. Malaysia sendiri berdepan dengan pelbagai masalah di Indonesia termasuk tanah kediaman Duta Besar Malaysia di Kemang, Jakarta Selatan dirampas oleh pihak tententu. Ia mengambil masa 12 tahun untuk mahkamah mengembalikan tanah itu sedangkan ini adalah tanggungjawab Jakarta untuk melindungi kepentingan perwakilan asing. Tanah ladang kelapa sawit milik Sime Darby berjumlah 48,000 hektar, yang sebahagian besarnya di Kalimantan kini terancam akan dilelong manakala Petronas yang diminta melabur di Indonesia dengan janji dapat menjual bahan bakar bersubsidi tidak diberikan hak itu kecuali di Sumatera dengan jumlah yang amat kecil. Pertemuan Anifah dan Dr Marty yang dijadualkan pada 6 Sept di Kota Kinabalu bagi membincangkan soal sempadan bersama merupakan perkembangan positif. Oleh kerana pertikaian sempadan ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam jangka masa singkat, insiden seperti ini berkemungkinan berulang. Kita harap segala mekanisme sudah tersedia dan hubungan bilateral ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya nanti. - BERNAMA |
| 25 Syarikat Konsesi Beri Diskaun Sempena Aidilfitri Posted: 02 Sep 2010 07:15 AM PDT Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI KUALA LUMPUR: Bersempena perayaan Aidilfitri tahun ini, sebanyak 25 syarikat konsesi lebuh raya telah bersetuju untuk memberikan insentif kepada pengguna termasuk pengecualian dan diskaun kadar tol. Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pengecualian dan diskaun kadar tol sehingga 40 peratus itu adalah sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan dan syarikat konsesi kepada rakyat. "Inilah komitmen sosial syarikat konsesi kepada pengguna menjelang Aidilfitri tahun ini dan sebagai penghargaan kepada semua pengguna lebuh raya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat kementerian di sini pada Khamis. Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 di bawah pengurusan kumpulan MTD akan mendapat pengecualian bayaran tol bagi semua kelas kenderaan mulai pukul 9 malam (7 September 2010) hingga pukul 6 pagi (8 September 2010) dan mulai pukul 9 malam (15 September 2010) hingga pukul 6 pagi (16 September 2010). Antara syarikat konsesi yang memberikan diskaun selain kumpulan MTD adalah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan sebagainya. Kata Shaziman, antara lain, diskaun diberikan kepada pengguna lebuh raya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu siang. "Kita tidak mahu semua pengguna berpusu-pusu balik ke kampung serentak terutama pada waktu puncak, oleh sebab itu kita beri diskaun pada waktu malam," katanya. Dalam pada itu, Shaziman berkata, beliau telah mengarahkan semua kerja-kerja baik pulih dan penyelengaraan lebuh raya yang sedang berjalan dihentikan buat sementara waktu sejak semalam sehingga 17 September depan bagi melancarkan perjalanan pengguna balik ke kampung. Katanya lagi, keadaan jalan raya pada masa ini adalah di dalam keadaan baik walaupun kemalangan tetap berlaku terutama pada musim perayaan. "Ini yang membimbangkan, walaupun keadaan jalan raya dalam keadaan baik kemalangan tetap berlaku terutama pada musim perayaan," katanya. Sementara itu, ketika dalam ucapan perasmiannya, Shaziman berkata, pelajar sekolah dilihat dapat memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam usaha menyemai kesedaran tentang kepentingan aspek keselamatan di jalan raya. Beliau berkata, kempen yang berteraskan program pendidikan berterusan itu adalah langkah proaktif khususnya pengisian dalam mengubah sikap pemanduan ke arah lebih selamat dan bertanggungjawab bermula dari peringkat sekolah. |
| Pang masih Timbalan Ketua Menteri Sabah, kata Musa Posted: 02 Sep 2010 07:00 AM PDT KOTA KINABALU, 2 Sept — Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin, yang mengisytiharkan keluar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) semalam, dikekalkan dalam semua jawatannya dalam kerajaan sehingga perkara itu dibincangkan dengan semua parti komponen Barisan Nasional, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. "Saya sudah jumpa dia semalam dan buat masa ini, Datuk Peter kekal dalam kabinet negeri. Saya akan bincang dengan rakan-rakan dalam BN," katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau telah menerima tawaran pang untuk meletak semua jawatan kerajaan ekoran keputusannya keluar daripada LDP itu. Semalam, Pang yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Karamunting, mengumumkan keputusannya untuk keluar daripada LDP kerana tidak setuju dengan pendirian parti itu bahawa ia tidak dapat bekerjasama dengan Musa. Mengulas lanjut, Musa berkata soal Pang keluar daripada LDP adalah urusan parti itu. "Kita tak boleh campur hal ini, ini hal parti dia," katanya. Musa juga berkata terpulang kepada Pang jika beliau hendak menyertai parti komponen BN yang lain. Ketika ditanya sama ada Pang memberitahu beliau mengenai parti mana yang ingin disertainya kerana ada laporan memetik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai berkata beliau akan menyertai parti Gerakan, Musa berkata : "Saya tak tahu, mungkin juga, tetapi beliau tidak memberitahu saya." Mengenai kelewatan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabngsa Kota Kinabalu, Musa berkata kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada Kementerian Pengangkutan. — Bernama |
| Jalan Raya Tidak Sempurna Penyebab Kemalangan Di Kelantan - Nik Aziz Posted: 02 Sep 2010 06:45 AM PDT KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kemudahan jalan yang tidak sempurna di Kelantan penyebab banyak kemalangan berlaku di negeri ini terutama pada musim perayaan. Mursyidul Am PAS itu berkata, kebanyakan jalan di Kelantan, termasuk jalan Persekutuan sempit dan tidak mampu menampung kenderaan yang bertambah setiaptahun. Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan, terutama mereka yang akan kembali berhari raya di kampung masing-masing supaya berhati-hati memandu. "Antara punca kemalangan jalan raya kerap berlaku di negeri ini adalah disebabkan jalan raya di negeri ini, sama ada jalan Persekutuan atau jalan negeri, sempit dan tidak diselenggara dengan baik sedangkan kenderaan bertambah," katanya kepada pemberita ketika menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Wad Orthopedik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini,Khamis. Hadir sama, Pengarah Hospital berkenaan, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nasiruddin Daud dan beberapa anggota Exco. - BERNAMA |
| JPA tentukan nasib pengetua sekolah Johor, kata Muhyiddin Posted: 02 Sep 2010 06:30 AM PDT Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani PUTRAJAYA, 2 Sept — Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membuat keputusan ke atas pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Johor Siti Inshah Mansor yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis terhadap pelajarnya dengan "secepat yang mungkin", kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya telah memindahkan kes itu ke JPA minggu lalu. "Kami telah memindahkan kes ini kepada JPA dan kami berharap mereka akan membuat keputusan segera. "Itu sebabnya, ia (kes itu) telah dipindahkan minggu lalu dan ketua pengarah JPA telah diminta membuat keputusan secepat mungkin," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini. Awal bulan lalu, pengetua tersebut dilaporkan membuat kenyataan bersifat menghina semasa perasmian sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah itu. "Pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China atau sekolah Foon Yew. Kepada pelajar India, rantai keagamaan yang dipakai di leher dan tangan membuatkan mereka kelihatan seperti anjing kerana hanya anjing diikat sebegitu," Siti Inshah dilaporkan berkata. Sebelum ini Penolong Pengarah Pelajaran Negeri Markom Giran juga telah mengeluarkan kenyataan pengetua itu 'direhatkan' sementara menunggu tindakan disiplin. Pada 20 Ogos lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementeriannya akan menjalankan siasatan mereka sendiri sebelum memutuskan nasib Siti Inshah. Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom agar menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan tersebut. Kata beliau, tindakan disiplin ke atas pengetuia berkenaan akan diputuskan selepas laporan lengkap diterima. Susulan kejadian itu, seorang pengetua sekolah rendah di Kedah juga didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat rasis terhadap kira-kira 10 muridnya pertengahan bulan lalu, tetapi beliau telah memohon maaf kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan. Pengetua wanita itu didakwa mengeluarkan kenyataan itu semasa menegur murid-murid Cina bahawa tidak sensitif kepada rakan-rakan mereka yang beragama Islam dengan makan di kawasan sekolah ketika bulan Ramadan. Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno mengulangi kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam isu dasar perkauman. Timbalan perdana menteri berkata, Malaysia sebuah negara demokratik yang menggalakkan kebebasan bersuara tetapi menekankan, ia perlu dikawal selia untuk mengelakkan ketegangan kaum. "Meskipun, pada masa-masa lalu ada pihak yang mendakwa kerajaan tidak tegas menangani isu perkauman tetapi kami telah meneliti perkara ini (isu Namewee) kerana apa yang penting ialah kami tidak mahu sebarang ketegangan kaum yang boleh menyebabkan kesan buruk ke atas negara," katanya lagi. "Sebab itu, jika ada seseorang yang mahu melahirkan pandangan mereka dalam negara demokratik, mereka tertakluk kepada undang-undang khususnya Akta Hasutan," katanya. Oleh itu tegas beliau, kerajaan telah memutuskan bahawa perlu bertindak dengan lebih tegas tanpa mengira kaum. "Kami mahu mengelakkan keadaan macam ini," kata beliau. |
| Keputusan Sultan Selangor Gantung Gelaran Perlu Diteladani Pimpinan Rasuah Umno-BN Posted: 02 Sep 2010 06:15 AM PDT Oleh Rusnizam Mahat SHAH ALAM 2 Sept - Keputusan Sultan Selangor menggantung darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKFZ), Phang Oi Chooi wajar diteladani oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional di negeri itu. Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, keputusan itu menunjukkan kemurkaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kepada individu terbabit yang didakwa atas kesalahan pecah amanah berhubung projek PKFZ yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit. "Keputusan Sultan ini berdasarkan kepada alasan kukuh untuk menggantung pingat kebesaran kepada individu berkenaan. Ini kerana pangkat dan pingat dari Sultan hanya diberi kepada mereka yang jujur dan berbakti kepada negara dan bukannya pengkhianat dan petualang yang tidak diterima oleh rakyat," katanya kepada Suara Keadilan. Beliau berkata keputusan baginda harus diteladani pimpinan Umno lain yang sering dikaitkan dengan pelbagai skandal dan salahguna kuasa termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo semasa memegang jawatan itu. "Kaedah penarikan balik darjah kebesaran ini seharusnya menyebabkan pimpinan yang di sekeliling merasa malu dan insaf supaya mereka tidak melakukan kesilapan serupa. "Kes ini menunjukkan kemurkaan Sultan terhadap mereka yang dituduh sebagai tidak amanah dan seharusnya memberi kesan kepada yang lain," ujar beliau. Liong Sik yang dianugerah Darjah kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk pada 1992 didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Putrajaya yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali jika sabit kesalahan. Beliau didakwa menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek di Pelabuhan Klang dan secara curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya. Manakala Oi Chooi yang dianugerah Darjah Kebesaran Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) bergelar Datin Paduka didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun kerana dituduh melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,00 di Lembaga Pelabuhan Klang antara 1 Oktober dan 5 September 2005. Dia dituduh dengan dua lagi tuduhan serupa masing-masing melibatkan RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang didakwa dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Jan 2006. Menurut satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan kedua-dua mereka tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan. "Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara," jelas kenyataan itu lagi. |
| Posted: 02 Sep 2010 06:00 AM PDT Ibnu Umar meriwayatkan: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu segantang kurma atau gandum." (HR Muslim) Imam mazhab (Malik , Syafie dan Ahmad) mengatakan zakat fitrah hendaklah dibayar dengan makanan kecuali imam Abu Hanifah. Walau bagaimana pun kebanyakan ulama Muhaqqiqin / Mutaakhirin yang mengatakan harus mengeluarkan zakat fitrah dengan duit atas alasan lebih memudahkan dan sesuai di zaman sekarang dan lebih praktikal seperti antaranya kata-kata : 1. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqhuz Zakat dengan katanya , keharusan mengeluarkan zakat dengan duit adalah lebih menepati kehendak semasa dan dapat memberikan kemudahan kepada fakir miskin. 2. Dr. Mutafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha juga menjelaskan dalam kitab mereka al-Fiqh al-Manhaji "Tidak mengapa pada zaman ini untuk kita mengikuti pandangan mazhab Hanafi dalam masalah ini iaitu keharusan membayar zakat fitrah dengan wang kerana ia lebih mendatangkan manfaat kepada orang fakir dan lebih dekat kepada tujuan yang ingin dicapai…" Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah dan memerintahkan agar ia dibayar sebelum solat Aidil Fitri. [HR al-Bukhari] Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa. [HR Abu Daud] |
| Posted: 02 Sep 2010 05:45 AM PDT BERIKUT adalah senarai syarikat konsesi yang bakal menawarkan pengecualian dan diskaun kepada pengguna lebuh raya sempena Aidilfitri. 1. LEBUHRAYA UTARA SELATAN (PLUS) Diskaun sebanyak 20% (10% dan 10%) kepada pengguna kenderaan ringan (Kelas 1) yang menggunakan lebuh raya di antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi· Rebat Tambahan sebanyak 20% kepada pengguna PLUSMILES sepanjang masa. TARIKH PELAKSANAAN 6,7,8 September 2010 dan 13,14,15 September 2010. KADAR TOL SEDIA ADA Kelas 1 – 13.60 sen/km KADAR TOL SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI Kelas 1 – 11.02 sen/km 2. LEBUHRAYA UTARA SELATAN HUBUNGAN TENGAH (ELITE) Diskaun sebanyak 20% (10% dan 10% ) kepada pengguna kenderaan ringan (Kelas 1) yang menggunakan lebuh raya di antara jam 12:00 tengah malam hingga 7:00 pagi· Rebat Tambahan sebanyak 20% kepada pengguna PLUSMILES sepanjang masa. TARIKH PELAKSANAAN 6,7,8 September 2010 & 13,14,15 September 2010. KADAR TOL SEDIA ADA Kelas 1 –14.96 sen/km KADAR TOL SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI Kelas 1 –12.11 sen/km 3. LEBUHRAYA SEREMBAN-PORT DICKSON(SPDH) BENTUK PROGRAM CSR Diskaun sebanyak 20% (10% dan 10% ) kepada pengguna kenderaan ringan (Kelas 1) yang menggunakan lebuh raya di antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi). Rebat Tambahan sebanyak 20% kepada pengguna PLUSMILES sepanjang masa. TARIKH PELAKSANAAN 6,7,8 September 2010 & 13,14,15 September 2010. KADAR TOL SEDIA ADA Plaza Tol Mambau Kelas 1 – RM 3.20 Plaza Tol Lukut Kelas 1 – RM 0.80 KADAR TOL SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI Plaza Tol MambauKelas 1 – RM 2.60(Diskaun RM0.60) Plaza Tol Lukut Kelas 1 – RM 0.60 (Diskaun RM0.20) 4. LEBUHRAYA KULIM-BUTTERWORTH (KLBK) Rebat Tambahan sebanyak 20% kepada pengguna PLUSMILES sepanjang masa. TARIKH PELAKSANAAN 6,7,8 September 2010 & 13,14,15 September 2010. KADAR TOL SEDIA ADA Plaza Tol Kubang Semang/LunasKelas 1 – RM 1.60 KADAR TOL SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI Plaza Tol Kubang Semang/Lunas Kelas 1 – RM 1.60 (20% rebat ke atas bayaran tol akan dimasukkan di dalam kad PlusmileJumlah RebatK. Semang = RM0.30 Lunas = RM0.30) 5. LEBUHRAYA LALUAN KEDUA MALAYSIAN-SINGAPURA (LINKEDUA) Diskaun sebanyak 20% (10% dan 10% ) kepada pengguna kenderaan ringan (Kelas 1) yang menggunakan lebuh raya (kecuali Plaza Tol Tanjung Kupang) di antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi). Rebat Tambahan sebanyak 20% kepada pengguna PLUSMILES sepanjang masa. TARIKH PELAKSANAAN 6,7,8 September 2010 & 13,14,15 September 2010. KADAR TOL SEDIA ADA Plaza Tol Lima Kedai Kelas 1 – RM 3.90 Plaza Tol Perling Kelas 1 – RM 2.30 KADAR TOL SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI Plaza Tol Lima Kedai Kelas 1 – RM 3.20 (Diskaun RM0.70) Plaza Tol Perling Kelas 1 – RM 1.90 (Diskaun RM0.40) |
| Isu Felda: PAS minta polis siasat Najib hina mahkamah Posted: 02 Sep 2010 05:30 AM PDT Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 2 Sept — PAS membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ucapannya yang didakwa mengandungi unsur-unsur yang menghina Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan kes saman peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan. Laporan polis dibuat oleh Yang Dipertua PAS Jempol Abdul Rahman Ramli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IDP) Dang Wangi kira-kira pukul 10.45 pagi tadi. Selain Najib, turut dinamakan dalam laporan polis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Yusof Nor. Turut mengiringi Abdul Rahman ialah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkifli dan empat wakil peneroka dari Felda Serting, Jempol. Dalam laporan itu, Abd Rahman mendakwa Najib telah membuat ucapan tersebut ketika program berbuka puasa dengan peneroka Felda Gugusan Serting, Negeri Sembilan pada 26 Ogos lalu di Masjid Seri Jempol. Beliau mendakwa Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan Mahkamah Pesekutuan itu adalah disebabkan ketidakhadiran peguam yang mewakili Felda dan bukan sebab penipuan. Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan rayuan Felda terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Baru pada 13 Januari 2008. Dengan keputusan itu, Felda akan menyerahkan wang penghakiman berjumlah RM11 juta (termasuk faedah) seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Baru kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3 kerana menipu berhubung gred buah kelapa sawit. Abdul Rahman juga mendakwa Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno dan Yusof telah menghina keputusan Mahkamah Rayuan selain mencemarkan nama baik hakim yang terbabit dalam membuat keputusan yang memihak kepada peneroka Felda Kemahang 3. Justeru, Abd Rahman mahu polis agar menyiasat ketiga-tiga individu tersebut berasaskan peruntukan undang-undang dan mendakwa mereka segera ke muka keadilan. Ahmad sebelum ini juga dilaporkan sebagai berkata kekalahan Felda dalam kes tersebut bukan disebabkan wujudnya penipuan tetapi adalah ketidakhadiran peguam di mahkamah. Sementara itu, Salahuddin berkata isu membabitkan penipuan dan penyelewengan yang berlaku merupakan satu isu yang besar dan peneroka harus mendapatkan keadilan. "Isu ini merupakan satu kes yang berprofil tinggi dan kita dapati melalui kajian yang dibuat apa yang berlaku (penipuan) adalah benar dan bukan direka. "Sebagai contoh kita ambil kes di Felda Kemahang 3, memang berlaku penipuan dan lepas ini lebih banyak kes akan dibongkarkan," katanya di pekarangan IPD Dang Wangi. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak) berkata pihak polis patut mengambil berat akan laporan polis yang dibuat Abd Rahman. "Ini adalah satu penghinaan terhadap institusi kehakiman dan kita mahu polis menyiasat secara terperinci akan perkara ini," katanya. Tindak ditubuhkan untuk membawa isu-isu berkaitan dengan Felda secara lebih sistematik dan menyeluruh — perkembangan yang dilihat sebagai langkah susulan parti itu mahu semakin dengan dekat dengan peneroka-peneroka Felda. |
| Mahasiswa berpolitik: Saifuddin terima memo Pemuda PAS Posted: 02 Sep 2010 05:15 AM PDT Oleh G. Manimaran dan Syed Mu'az Syed Putra PUTRAJAYA, 2 Sept — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menerima memorandum daripada Dewan Pemuda PAS berhubung soal sama ada dibolehkan pelajar institusi pengajian tinggi aktif dalam politik. "Tadi saya menerima memorandum daripada Ketua Pemuda PAS tentang mahasiswa dan politik, tiada perbincangan. Beliau menyerahkan memorandum," kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini. Pertemuan itu berlangsung di sini hari ini. Pada Ahad lalu, Saifuddin berkata beliau akan berbincang dengan Pemuda PAS dan Gerakan berhubung soal sama ada dibolehkan pelajar institusi pengajian tinggi aktif dalam politik. Jumaat lalu beliau menjelaskan kepada Majlis Tertinggi Umno mengenai idea itu, yang membolehkan mahasiswa dan pensyarah menyertai politik secara aktif. Beliau berkata ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan terbaik daripada pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan mengenai perkara itu diputuskan. "Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri sangat terbuka dengan perkara ini, maknanya ia masih lagi boleh dibincangkan antara pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju," katanya awal minggu ini. Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan Al-Tantawi berkata, pihaknya menyerahkan memorandum supaya Saifuddin dapat membawa isu mahasiswa berpolitik ke peringkat lebih tinggi. "Kita berharap agar beliau (Saifuddin) boleh bawa isu ini ke peringkat lebih tinggi sama ada di Kabinet atau mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Beliau berkata beberapa aspek utama ditekankan dalam memorandum yang diserahkan kepada Saifuddin di Putrajaya pagi tadi. "Dalam memorandum itu kita mahu agar mahasiswa ini dibebaskan dan dibenarkan berpolitik termasuk menyertai mana-mana parti politik. "Kita juga mahu supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kerana selama ini ia telah dijadikan alat untuk menyekat kebebasan mahasiswa berpolitik. "Selain itu, kita juga mahu supaya mahasiswa ini dibenarkan memegang jawatan dalam parti politik," katanya lagi. Nasrudin berkata tindakan menghalang mahasiswa daripada terlibat dalam politik seolah-olah menyekat kebebasan mereka sebagai pengundi. "Mereka (mahasiswa) ada hak untuk mengundi, jadi kenapa perlu halang? "Adakah kita mahu melahirkan bakal pemimpin yang mandul tentang perkembangan politik?," soalnya. |
| You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |


Tiada ulasan:
Catat Ulasan