Khamis, 9 September 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Kerajaan Negeri akan berusaha untuk martabatkan rakyat Pulau Pinang

Posted: 09 Sep 2010 08:30 AM PDT

Salam Hari Raya Aidil Fitri 1431H saya hulurkan kepada semua umat Islam di Malaysia serta selamat bercuti kepada semua warga Malaysia. Semoga 1 Syawal yang mulia ini dapat memberi berkat dan rahmat buat kita semua.

Sempena Syawal sebagai bulan suci bagi umat Islam untuk membersihkan diri dari segala gejala buruk, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf jika ada salah silap yang sememangnya tidak disengajakan.

Untuk itu, saya harap kita dapat bersama-sama kembali kepada sifat kemanusiaan yang jujur dan ikhlas dengan membuang sifat-sifat keji seperti perkauman dan keagamaan yang melampau. Bagi saya, agama membawa kebaikan insan dan bukannya pencetus kepada sikap benci-membenci. Kasih sayang antara jiran, antara sahabat, malah antara penyokong politik yang berbeza fahaman adalah penting kerana kita semua adalah sama dan setaraf sebagai manusia.

Sebarang perbezaan fahaman politik boleh dibincang atau dibahaskan, bukannya dibenci atau dihina; bukannya dikenakan tindakan undang-undang atau didiskriminasikan oleh mereka yang berkuasa.

Kata-kata perkauman yang meghina maruah dan harga diri warga Malaysia perlu dihentikan serta-merta. Tuduh-menuduh antara kaum dan agama tidak akan dapat merapatkan hubungan kita sebagai rakyat yang cintakan Malaysia.

Saya sedih kerana sepanjang bulan Ramadan yang mulia lalu, masih ada anasir-anasir yang sanggup mencemarkan kesucian bulan puasa dengan fitnah dan pembohongan perkauman dan agama di mana saya sendiri sekali lagi menjadi mangsanya. Sedih sungguh apabila kemurnian Ramadan dikotorkan oleh segelintir manusia yang gelap hati mereka.

Saya berharap Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat yang telah berjanji untuk menangani masalah perkauman supaya benar-benar berani melaksanakan langkah-langkah tegas. Tidak boleh ada pilih kasih. Yang bersalah, sama ada dari kalangan orang Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban dan sebagainya atau pun dari kalangan penganut apa-apa agama, perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang atas prinsip keadilan.

Memerangi masalah perkauman dan amalan agama yang ekstrem bukan sekadar soal politik kepartian. Ia adalah isu nasional yang harus ditangani bersama oleh setiap warga yang prihatin kepada keadilan dan demokrasi.

Di negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri akan berusaha untuk martabatkan rakyat Pulau Pinang dan orang Melayu memiliki daya dinamik, daya kepakaran dan daya keusahawanan. Peruntukan untuk hal ehwal Islam telah bertambah daripada RM 12.5 juta pada 2008 kepada RM 24.3 juta pada 2010. Di antara langkah yang diambil oleh kerajaan negeri adalah:

a) mengadakan tender terbuka di mana kontraktor Melayu biasa menunjukkan kebolehan berdaya saing dengan kontraktor lain dengan kontraktor Melayu biasa memenangi kebanyakan tender. Jelas hanya kontraktor UMNO sahaja yang tidak dapat berdaya saing.

b) menubuhkan Majlis Sains Pulau Pinang yang menggalakkan pelajar pintar dan menubuhkan Penang Tech Center yang menonjolkan pencapaian industri di sini agar menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemeralangan sains dan teknologi; dan

c) memberikan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat, elaun dan duit raya kepada guru kafa dan mengiktiraf para huffaz;

d) menubuhkan Hab Pendidikan Pulau Pinang untuk menggalakkan universiti terkemuka dunia termasuk dalam Islam untuk mendirikan kampus cawangan;

e) memberikan bantuan mikro-kredit tanpa faedah kepada peniaga-peniaga kecil dan mengurangkan bayaran lesen penjaja dan nelayan sebanyak 50%.

Semoga semangat Syawal akan membuka hati kita untuk menerima hakikat bahawa kita adalah warga yang bersaudara dalam satu negara yang sama-sama kita bina dan hidup bersama. Ikhlas dari saya, maaf zahir dan batin.

DAP kutuk pelan gereja AS bakar al-Quran peringati 11 Sept

Posted: 09 Sep 2010 07:59 AM PDT

DAP mengutuk rancangan sebuah gereja di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang mahu membakar al-Quran sempena ulang tahun kesembilan memperingati peristiwa 11 September ketika bantahan meningkat terhadap rancangan komuniti Islam New York membina masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Komponen Pakatan Rakyat itu berpendapat tindakan sedemikian hanya akan mencetuskan lebih banyak kebencian dan keganasan di kalangan orang yang berbeza kepercayaannya, bukan sahaja di AS, malah di negara-negara lain.

Ulang tahun memperingati insiden itu jatuh selang sehari umat Islam menyambut Aidilfitri esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti itu menentang apa jua bentuk permusuhan, jenayah, perkauman dan tindakan melampau agama sama ada ia dilakukan di tanah air sendiri mahupun antarabangsa.

"Kami memilih untuk berdialog, rundingan dan debat daripada keganasan dan pelampau.

"Justeru, kami menyeru semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan agama untuk mengutuk tindakan gila lagi merbahaya untuk mencemarkan naskhah kitab suci al-Quran," kata beliau.

Laporan-laporan dari Florida menyebut Pastor Terry Jones bertegas untuk membakar al-Quran di Dove Outreach Center, Gainesville lusa, meskipun menerima tekanan daripada White House, pemimpin-pemimpin agama dan masyarakat agar tidak berbuat demikian.

Setiausaha Negara Amerika Senator Hillary Clinton juga menggesa Jones agar membatalkan rancangannya itu.

Jones sambil mendakwa beliau menerima galakan daripada banyak pihak berkata beliau menerima sejumlah naskhah al-Quran menerusi pos.

Pada Julai lalu beliau berkata akan mengadakan Hari Membakar Al-Quran Sedunia bagi memperingati ulang tahun kesembilan serangan 11 September.

Jones, 58, juga setakat ini telah menerima lebih 100 ugutan bunuh.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan menambah, pihak berkuasa Amerika seharusnya mencegah cadangan untuk membakar kitab suci berkenaan daripada berlaku agar tidak membangkitkan sentimen di kalangan umat Islam terutama ketika mereka sedang menyambut Aidilfitri.

"Paderi Terry Jones mendakwa bahawa beliau mahu menghantar mesej kepada pihak radikal Islam bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan pelakuan mereka.

"Namun begitu, beliau tersilap cara," kata Lim.

Katanya, rancangan tidak masuk akal itu bukan sahaja akan mencetuskan kekmarahan umat Islam di seluruh dunia, malah turut menjarakkan hubungan dengan umat Islam biasa selain turut merosakkan imej agama Kristian yang mengajar pengikutnya tentang keamanan dan sikap menghormati semua kepercayaan.

Lim yang baru-baru ini menjadi sasaran serangan berhubung isu khutbah di Pulau Pinang berkata, keganasan sama ada dilakukan oleh puak fanatik keagamaan atau ditaja oleh pihak tertentu, harus dikutuk.

"... ilham untuk membakar al-Quran, kitab suci yang menjadi rujukan berbilion-bilion umat Islam di seluruh dunia, adalah melampau dan tidak dapat diterima," kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini.

Justeru kata beliau, DAP merasakan jalan terbaik untuk memperingati ulang tahun serangan 11 September ialah "dengan menawarkan perpaduan kepada semua yang menerima kesan atas serangan berkenaan dan berdoa untuk mereka" sambil memastikan ia tidak berulang lagi."

"Saya yakin masyarakat Kristian di samping rakyat berbilang bangsa dan kepercayaan di negara ini akan mengenang mereka yang terkorban semasa tragedi 11 September dengan banyakkan berdoa agar perpaduan dan keazaman bersama ke arah keamanan, keadilan dan hormat-menghormati dalam masyarakat yang berkongsi banyak perkara.

"Kita juga harus mengukuhkan keazaman untuk membanteras pengganas dan aktiviti keganasan yang dilakukan atas nama keagamaan," kata beliau.

Lim menambah, kepada masyarakat Islam di Malaysia dan di mana jua anda berada, DAP menawarkan persahabatan yang ikhlas lagi sejati dan bersatu padu menentang apa jua bentuk serangan atas kepercayaan yang luhur.

"Semoga bulan-bulan suci iaitu Ramadan dan Syawal akan membawa bersama keamanan, kegembiraan serta rasa mencintai di kalangan kita semua," katanya.

Dengan rancangan mahu membakar al-Quran, sambutan Aidilfitri di Amerika kali ini agar tegang dengan bantahan terhadap pelan masyarakat Islam di New York mahu membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid di Manhattan, berhampiran WTC yang menjadi sasaran pengganas sembilan tahun lalu.

Presiden Barack Obama dan Datuk Bandar New York Michael Bloomberg sebelum ini mengatakan bahawa mereka menyokong hak bagi masyarakat Islam membina pusat itu manakala Republikan termasuk bekas calon jawatan Naib Presiden Sarah Palin menentangnya.

Suruhanjaya Pemuliharaan Lokasi Ternama New York sebulat suara menolak bantahan mempertikaikan status bangunan di Lower Manhattan, sekali gus membuka laluan kepada pelan pembinaan masjid dan pusat kebudayaan tersebut, 3 Ogos lalu.

Keputusan itu membenarkan bangunan sedia ada diroboh dan dibina pusat Islam 13 tingkat menerusi pembiayaan sekitar RM300 juta.

Suruhanjaya itu mendapati bahawa bangunan sedia ada, yang berusia 152 tahun berkenaan, dua blok dari tapak WTC yang ranap, bukan premis yang istimewa untuk memenuhi kriteria dijadikan bangunan ternama.

Projek itu mencetuskan protes hangat daripada pengkritik yang mengatakan kehadirannya berhampiran dengan WTC akan menyinggung upacara memperingati kematian 3,000 orang sembilan tahun lalu dalam serangan pengganas di bumi Amerika Syarikat.

Malam Hari Raya dan ancaman bakar al-Quran

Posted: 09 Sep 2010 07:52 AM PDT

Bila al-Quran hendak dibakar di Amerika Syarikat oleh Paderi Dr Terry Jones dari Dove World Outreach Center di Florida, saya dan ramai yang lain tidak ada duit nak pergi ke sana nak halang kerja kurang ajaq itu. Tentulah kita marah, sakit hati dan rasa nak kepak tangan syaitan itu.

Kita juga tidaklah bodoh nak bakar pula kita agama lain. Kita tidak bodoh untuk mencetuskan ketegangan tak tentu pasal dalam negara ini.

Di malam Raya ini, saya menyeru diri saya sendiri dan semua umat Islam yang prihatin memohon kepada Allah agar dimusnahkan musuh-musuh-Nya. Allahummal'anil jibta wat-taghut! (Ya Allah, la'natkanlah mereka yang berlagak sebagai Tuhan dan yang melampau).

Kita memohon kepada Allah agar semakin meresap ajaran al-Quran di dalam hati lebih ramai makhluq-Nya. Semakin ramai yang beriman dan sujud kepada-Nya.

Mereka yang memegang kuasa di dalam negara-negara umat Islam pula jangalah sekadar lip service sahaja. Buatlah sesuatu yang lebih mendatangkan kesan.

Selamat Hari Raya, di mana sahaja anda berada. TaqabbalaLlahu minna wa minkum. Minal 'aidin wal faizin wal maqbulin. Kullu amin wa antum bi khair.




Oleh bakaq a.k.a. ~penarik beca

Perutusan Eidulfitri 2010/1431H daripada Anwar Ibrahim

Posted: 09 Sep 2010 03:21 AM PDT

Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, kerana dengan limpah KurniaNya, berjaya kita menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Eidulfitri kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.

Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.

Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.

Makanya saya memohon izin berkongsi ibrah dari sirah Rasulullah SAW ketika Perang Hunain yang meletus pada bulan Syawal. Selepas kejayaan Pembukaan Kota Mekah, umat Islam ternyata begitu bersemangat, oleh itu ketika menuju medan perang, ada yang mula mengungkapkan "di hari ini kami tidak akan terkalahkan".

Keangkuhan menjalar dan merasuk! Seperti yang kita semua ketahui, umat Islam kalah pada pusingan awal sehinggalah ampunan dan pertolongan dari Allah SWT tiba merubah kekalahan yang sebelumnya hampir pasti. Turunlah ayat 25, Surah at Taubah yang menegur dan mengingatkan umat Islam:

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri."

Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. Mengakhiri pesan ringkas sempena sambutan hari yang penuh keberkatan ini, saya nukilkan pesan dari Quran yang mulia, ayat 128, Surah al Nahl, buat menjadi pedoman untuk saya dan semua,

"sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan"

Moga Eid ul Fitr tahun ini mendorong kita untuk merenung diri dan menjana perubahan agar tidak tidak tergelincir dari fitrah yang murni serta luhur. Bersesuaian dengan pesananNya, perbanyakkan lah amal dan berbuat kebajikan.

Salam Eidulfitri
Minal 'aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin
.





*Perutusan Eidulfitri 2010/1431H oleh Anwar Ibrahim, selaku Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat.

Pemimpin PKR Selangor gesa statu quo dikekal atau Anwar dipilih presiden

Posted: 09 Sep 2010 03:17 AM PDT

Di sebalik "kehangatan" menjelang pemilihan bahagian dan pusat PKR, Majlis Muafakat Kepemimpinan Selangor mengesyorkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Presiden manakala isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyandang jawatan nombor dua.

Majlis itu mengesyorkan tindakan tersebut jika usaha berkompromi mengelakan pertandingan sengit — yang dikhuatiri mencetuskan "politicking" melampau — dengan mengekalkan status-quo gagal.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat merupakan Penasihat PKR.

Awal minggu ini sekumpulan Ahli Parlimen, senator dan ADUN dari Selangor dan Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada Azmin Ali untuk bertanding kerusi nombor dua.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Zaid Ibrahim juga melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan itu jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak turun gelanggang.

Bagi mengelakkan persekitaran pemilihan yang tidak sihat, majlis itu yang dikatakan diketuai 19 pemimpin peringkat cabang dari Selangor, mahu Dr Wan Azizah dan Senator Dr Syed Husin masing-masing dikekalkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

"Dengan ini, calon-calon yang telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden hendaklah menarik diri," kata Majlis Muafakat Kepemimpinan PKR Negeri Selangor dalam satu kenyataan dikeluarkan di Petaling Jaya hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Syed Shahir Syed Mahamud selaku Pengerusi majlis itu dan Abd Kudus Omar sebagai timbalannya.

Syed Shahir merupakan Ketua PKR Kelana Jaya dan Timbalan Pengerusi PKR Selangor manakala Abd Kudus pula Ketua PKR Tanjung Karang.

Kata kenyataan itu, majlis itu telah memutuskan bahawa usaha-usaha strategis perlu dilakukan untuk mempastikan supaya proses pemilihan kepimpinan PKR dapat dilaksanakan secara demokratik dan harmonis seterusnya benar-benar dapat memperkasa perpaduan serta kejituan kepemimpinan parti pada masa depan.

Azmin juga merupakan pengerusi PKR Selangor.

PKR buat julung kali mengadakan pemilihan dengan membolehkan setiap ahli mengundi.

Pemilihan peringkat bahagian bermula 17 September ini manakala peringkat pusat pula selama tiga minggu secara berperingkat bermula minggu ketiga bulan depan.

Majlis itu berkata pihaknya amat menyedari bahawa PKR adalah parti harapan rakyat untuk mengemudi negara Malaysia yang lebih adil dan sejahtera.

"Oleh itu, PKR erlu menerapkan budaya politik baru yang harmonis, telus dan adil sebagai prinsip amalannya.

"Maka, amalan-amalan 'politicking' dan budaya politik kotor seperti yang telah membarah pada tubuh parti lawan hendaklah disekat dan dimusnahkan sejak dari awal lagi," katanya.

Malah majlis tersebut juga menambah, wujud beberapa gejala negatif sebahagian kecil calon-calon yang ingin bertanding pelbagai jawatan dalam parti di pelbagai peringkat, boleh mencalarkan imej parti dan ia amatlah dikesalkan.

"Kami berpandangan ia harus ditangani segera dengan bijaksana oleh barisan kepimpinan parti di semua peringkat.

"Justeru itu beberapa pendekatan baru dalam mengurus proses pemilihan barisan pimpinan parti perlulah diperhalusi dan diolah.

"Kami berpandangan usaha ini perlu bermula dengan penyelesaian konflik pemilihan jawatan timbalan presiden parti," kata majlis itu lagi.

Rumah terbuka PKR P Pinang 2 Syawal

Posted: 09 Sep 2010 03:06 AM PDT


Pada Hari Raya Aidil Fitri kedua nanti Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang akan mengadakan 'Rumah Terbuka' di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Permatang Pauh bermula jam 12 tengah hari sehingga 5 petang.

Program yang dihadiri oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan program rutin setiap kali sambutan Aidil Fitri.

Mereka akan bertemu rakyat dari berbagai bangsa dan agama yang tidak putus-putus menyokong PKR dan Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri.

Tapak Ekspo Seberang Jaya menjadi lokasi pilihan kerana lokasinya di pertengahan perjalanan, tepi Lebuh raya Utara Selatan dan mempunyai parkir yang luas.

MCMC Pula Jadi Alat Umno-BN Kekang Kebebasan Bersuara

Posted: 08 Sep 2010 08:58 PM PDT

Badan hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap ke atas seorang penulis blog yang dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan untuk mengekang kebebasan bersuara di negara ini.

Dalam satu kenyataan media Isnin lalu, Koordinator Suaram, Hasbeemasputra Abu Bakar berkata badan itu terkejut dengan tindakan MCMC untuk mendakwa Irwan Abdul Rahman berhubung tulisan satira dalam blog beliau bertajuk "TNB to Sue WWF over Earth Hour" di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Irwan, 36, atau nama samarannya Hasan Skodeng yang juga bertugas sebagai Pengarang Malay Mail di dakwa mengguna aplikasi internet bagi menghantar komen bersifat palsu pada Mac lalu.

"Dakwaan MCMC tersebut adalah amat tidak berasas kerana ia menganggap penulisan blog yang bersifat satira dan jenaka sebagai sesuatu yang berniat jahat.

"Tetapi yang lebih merisaukan ialah tindakan ini nampaknya contoh terbaru dalam usaha kerajaan untuk mengecilkan ruang bagi kebebasan bersuara serta diskusi dan seterusnya membisukan suara bangkangan," tegas Hasbeemasputra.

Suaram itu memberi contoh tindakan ke atas hos popular Radio 98.8FM, Jamaluddin Ibrahim dan Pengarang Sarawak Tribune, Paul Si sebagai trend yang jelas dan terancang untuk menekan hak kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia.

Badan itu juga berkata is memandang berat pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai penubuhan jawatankuasa pantau berita palsu di dalam internet yang boleh 'mengugat perpaduan dan ketegangan kaum' yang dilihat sebagai cengkaman kerajaan terhadap penggunaan internet.

"Penubuhan jawatankuasa ini menimbulkan masalah kerana rekod menunjukkan tindakan kerajaan menangani isu berhubung perkauman selalunya berat sebelah, dengan individu dan organisasi yang dikaitkan dengan Umno berterusan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman secara bebas dan berani tanpa sebarang tindakan atau hukuman daripada pihak berkuasa," tegas Hasbeemasputra lagi.

Justeru itu, Suaram mendesak agar MCMC segera menggugurkan dakwaan terhadap Irwan disampimng menggesa kerajaan menghentikan intimidasi dan tindakan terhadap mereka yang hanya menggunakan hak asasi untuk bersuara dan berekspresi.

Tiada ulasan: