Selasa, 28 September 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Jangan Halang Peneroka Felda Tuntut Hak Di Mahkamah

Posted: 27 Sep 2010 04:53 PM PDT


Salmiah Druhamad Drahsin

SHAH ALAM : Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berkata, tindakan membawa kes ke mahkamah adalah hak peneroka, bukannya dipengaruhi mana-mana pihak sebaliknya, satu keperluan supaya mereka tidak terus ditindas Felda yang terbukti memanipulasikan Kadar Perahan Gred (KPG).

"Mereka menuntut hak mereka. Peneroka mengambil pendekatan mahkamah sebagai saluran, jadi apa salahnya? Peneroka sudah menggunakan pendekatan berunding tetapi tidak diendahkan Felda, jadi mereka gunakan kaedah perundangan," katanya kepada TV Selangor.

Bernama hari ini melaporkan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mendakwa ada pihak menghasut peneroka supaya mengambil tindakan saman di mahkamah berhubung isu Felda memanipulasi isu perahan minyak.

Ahmad juga tidak mahu peneroka menjadikan kes saman Felda Kemahang 3 sebagai rujukan kerana Felda kini lebih bersedia untuk berhadapan dengan kes saman seumpama itu.

Menyelar kenyataan itu, Mazlan berkata, ia secara terang-terangan menunjukkan pendirian Felda dan kerajaan yang tidak mahu mengaku kesilapan mereka sebaliknya cuba menidakkan hak peneroka.

"Apabila Ahmad mengatakan ada dalang atau penghasut, saya fikir dia menidak dan meremehkan keupayaan kira-kira 800,000 anak peneroka di negara ini dalam memperjuang hak mereka.

"Ini lahir dari kesedaran peneroka yang merasakan sudah sampai masanya mereka membawa kes mereka ke peringkat perundangan dan ia bukan sahaja isu kadar perahan tetapi juga isu lain," katanya.

Mazlan juga menganggap Felda sebagai angkuh kerana enggan mengaku kesalahan dalam isu perahan minyak sedangkan hakim mahkamah sudah menyatakan wujud komplot menipu peneroka.

"Adakah kenyataan Ahmad itu sebagai cubaan untuk memaksa supaya kes mahkamah melibatkan Felda, sentiasa berpihak kepada kerajaan," katanya.


SPR Belum Tetap Tarikh Mesyuarat Pilihan Raya Kecil Galas

Posted: 27 Sep 2010 04:51 PM PDT


TV SELANGOR

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri Galas perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaiman akibat barah usus.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.

"Apabila SPR terima notis rasmi, baru kita akan adakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Galas. Pilihan raya kecil perlu diadakan memandangkan ia belum sampai tempoh tiga tahun daripada tarikh pilihan raya umum yang lepas.

"Pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku selepas Mei tahun depan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Che Hashim, 46, yang dimasukkan ke Hospital Al-Islam di sini sejak dua hari lepas meninggal dunia kira-kira 4.30 petang tadi.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim (PAS) berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh. Sementara itu, di RANTAU PANJANG, Speaker DUN Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata beliau akan menulis surat kepada SPR sebaik menerima sijil kematian Allahyarham.

"Sebagaimana biasa laporan bertulis akan dibuat secepat mungkin sebaik menerima laporan kematian dari pihak keluarga atau pihak berwajib.

"Kita tunggu sijil kematian Allahyarham sebelum menulis surat kepada SPRM bagi menyatakan kekosongan DUN Galas," katanya.

Pemilihan PKR: Beberapa pemimpin utama tumbang

Posted: 27 Sep 2010 04:40 PM PDT

Hazlan Zakaria

Pemilihan pemimpin peringkat cabang PKR pada mesyuarat agung tahunannya hujung minggu lalu menyaksikan beberapa pemimpin peringkat kebangsaan tumbang.

Ada yang mendakwa sesetegah calon muka baru ditaja oleh pemimpin tertentu di PKR yang mula menyusun strategi bagi merebut jawatan tertinggi parti.

Antara yang tumbang itu termasuk exco kanan kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong, ketua PKR Negri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abas dan naib presiden Mustaffa Kamil Ayub.

Kamarul tumbang di cabang Teluk Kemang manakala Wong gagal merebut Petaling Jaya Utara dan Mustaffa kecundang di Pasir Salak.

Wong, yang merupakan ADUN Bukit Lanjan meraih 161 undi berbanding 222 undi yang dipungut oleh Leee Chin Cheh dalam pertandingan empat penjuru.

Beliau bagaiamapun mendakwa Lee tidak layak bertanding kerana baru dipindahkan dari cabang Petaling Jaya Selatan pada Ogos tahun ini dan percaya tindakan itu ada kaitan dengan dalang dalaman parti.

Katanya, aduan rasmi akan dikemukakan kepada jawatankuasa pemilihan parti.

Mustaffa, yang tewas kepas bekas ketua cabang Pasir Salak, Osman Abdul Rahman dengan hanya 17 undi juga jelas tidak berpuas hati.

Beliau mendakwa pencalonan Osman dicadangkan oleh seorang anggota parti yang tidak membayar yuran keahliannya.

Menurut peraturan PKR, mereka yang ingin bertanding dan mencadangkan sebarang pencalonan mesti terdiri daripada ahli yang sah termasuk membayar yuran keahlian mereka.

Mustaffa mendakwa tiada pegawai yang dihantar untuk memeriksa dan memantau perjalanan mesyuarat cabang berkenaan.

Bagi Datuk Kamarul yang hilang jawatannya kepada ADUN Port Dickson M Ravi, beliau menerima keputusan berkenaan dan menganggapnya sebagai kehendak ahli.

Beliau juga memberi bayangan melalui laman sesawang sosialnya Facebook malam semalam yang dia mungkin meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen kerana menganggap keputusan itu sebagai undi tidak percaya ke atas dirinya.

"Saya terima keputusan dengan hati terbukadan akan memikirkan apa yang harus dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

Arwah Chek Hashim disegani ramai di Gua Musang

Posted: 27 Sep 2010 04:37 PM PDT

M Faqih

GUA MUSANG: Rakyat Gua Musang menerima dengan tabah kematian wakil rakyat mereka, Chek Hashim Sulaima, 47, selepas menderita penyakit barah paru-paru sejak lebih dua tahun lalu.

Mereka menganggap Adun Galas terbabit seorang pemimpin yang berjiwa rakyat kerana mudah mendekati masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau dikenali ramai sejak dilantik sebagai Penyelia Dun Galas pada 2004. Pada pilihan raya umum tersebut, beliau tewas kepada Mohd Saupi Deraman dari BN.

Setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad berkata, arwah disukai ramai kerana mudah mesra dan sentiasa bermurah hati membantu penduduk tanpa mengira masa.

Malah katanya, pemimpin Umno juga menyenangi kerana kewibawaannya sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

"Arwah mudah dilihat di mana sahaja termasuk kedai-kedai kopi bersama rakyat. Orang tidak segan datang ke rumahnya termasuk pada waktu malam.

"Penduduk di sini menyenanginya sejak sebelum menjadi wakil rakyat lagi. Maka tidak hairanlah biar pun Gua Musang terkenal sebagai kubu kuat Umno namun PAS boleh bertapak pada pilihan raya umum lalu," katanya di sini.

Chek Hashim meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang tadi di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Keadaannya kritikal mulai jam 10 pagi tadi. Turut berada di sisinya ketika beliau mengembus nafas terakhir kedua-dua isterinya dan anak-anak.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan lima hari lalu. Arwah meninggalkan 12 anak dan dua isteri.

Jenazahnya dijangka dikebumikan di Kampung Kerinting, Gua Musang kira-kira jam 10 malam ini.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim menyifatkan kematian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar kepada PAS dan pemimpin yang sukar dicari ganti.

Katanya, beliau merupakan seorang wakil rakyat yang kuat bekerja serta menjaga rakyatnya dengan baik tanpa mengira fahaman politik dan kaum.

"Saya yakin kematiannya memberi kesan terhadap rakyatnya di Gua Musang, khususnya di Galas sendiri,"ujarnya.

Menurutnya, sikap allahyarham yang pandai menyantuni rakyat dan kuat bekerja sehingga membolehkan PAS menang di Dun Galas pada pilihan raya umum lalu.

Dewan Pemuda PAS Kelantan turut menyifatkan PAS kehilangan mutiara berharga.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, allahyarham bekerja keras bukan sewaktu menjadi wakil rakyat, sebaliknya sejak mula aktif dalam parti politik.

Katanya, walaupun allahyarham berkhidmat tidak sampai sepenggal, namun pemergiannya meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa rakyat Gua Musang.

"Dia merupakan bekas anggota exco Pemuda PAS Kelantan, arwah memang kuat bekerja untuk parti, rakyat dan kerajaan, al-Fatihah untuk allahyarham dan sekalung takziah dari kami untuk keluarga allahyarham," ujarnya.

Youtube: Umno BN alami fobia di penghujung hayat

Posted: 27 Sep 2010 04:35 PM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno BN sekarang mengalami serangan penyakit kartun fobia, ceramah fobia, kuliah fobia, Youtube fobia, risalah fobia dan seumpamanya.

Justeru, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menganggap kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah terbaru pembangkang yang memburuk-burukkan kerajaan melalui pengedaran cakera padat (CD) termasuk memuat naik bahan itu ke dalam laman web Youtube sebagai satu kenyataan orang yang takut menerima kenyataan kerana berada di penghujung hayat pemerintahan.

Menurutnya, menjadi lumrah mana-mana pemerintah yang banyak mengkhianati amanah rakyat cukup bimbang dengan maklumat yang benar sampai kepada rakyat yang mereka perintah.

Katanya, kerajaan Umno BN tahu mereka akan terus berkuasa selagi rakyat boleh ditipu melalui saluran berita berat sebelah.

Sehubungan itu, tambahnya PAS menganggap kenyataan supaya rakyat jangan percaya dengan Youtube adalah satu kenyataan yang ketinggalan zaman, seolah-olah rakyat pada hari ini hidup di zaman batu.

Sekarang, ujarnya program yang diuar-uarkan oleh kerajaan seperti koridor raya multi media sudah menjadi hantu raya kepada Umno BN, kerana apa sahaja dakyah melalui media perdana dengan pantas dijawab oleh media internet.

"Mereka merasa gusar apa sahaja strategi yang dibuat tidak menjadi untuk menjerat rakyat supaya menyokong mereka," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, jelasnya menyebabkan semua berita yang dikeluarkan oleh media perdana telah dipandang sinis dan tidak boleh menaruh kepercayaan kepada rakyat.

"Inilah satu bala yang menimpa kepada kerajaan BN. Inilah akibat apabila selalu berbohong dalam pemberitaan akhirnya berita benar pun rakyat kata tipu," katanya lagi.

Guan Eng: Fitnah Umno tidak boleh gugat program rakyat

Posted: 27 Sep 2010 04:33 PM PDT

THE MALAYSIA INSIDER

Lim: Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit.
KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha terbaru Umno yang cuba mahu mengganggu-gugat program penghargaan warga emas dan menjaga kebajikan rakyat menerusi fitnah berterusan, kata Ketua Menterinya Lim Guan Eng.

Lim menegaskan Umno sekali lagi meneruskan tohmahan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mendakwa program penghargaan warga emas dibiayai oleh sumber judi haram dan bila ini dibuktikan palsu, mereka mengalih kepada program Rakan Anti Miskin (RAM) untuk membasmi miskin tegar.

"Taktik jahat seribu jahat bertujuan menggagalkan program ini daripada kerajaan berjiwa rakyat PR yang bermanfaat rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada usaha Umno mengganggu-gugat program penghargaan warga emas yang membayarkan RM100 setiap tahun kepada semua yang melebihi 60 tahun.

"Sehingga sekarang hampir 110,000 warga emas di Pulua Pinang telah mendaftarkan diri dan akan mendapat bayaran RM100 setiap tahun demi mengenang budi atas sumbangan warga emas," kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sabtu lalu, Lim menafikan dakwaan Pemuda Umno bahawa dana dari kelab lumba kuda digunakan sebagai sumber wang ihsan RM100 bagi warga emas negeri itu.

Sehubungan itu tegas beliau, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sehari sebelum itu sebagai "satu pembohongan."

Menurut Reezal, pihaknya mempunyai sepucuk surat, didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Kira-kira seminggu itu beliau mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Sehubungan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menurut Lim lagi, si waris warga emas yang mendaftarkan diri akan menerima RM 1,000 sekali sahaja bila warga emas meninggal dunia.

Sebanyak RM20 juta telah pun diperuntukkan untuk program ini dalam Belanjawan 2010.

"Wang yang dibayar oleh kerajaan negeri untuk program ini tidak datang daripada mana-mana derma atau sumber kerajaan persekutuan.

"Ia adalah penjimatan hasil urus tadbir CAT dan telus serta langkah antirasuah yang bukan sahaja dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga disanjungi oleh badan antarabangsa antirasuah terunggul, Transparency International," katanya lagi.

Urus tadbir CAT dan langkah antirasuah telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta tahun lalu.

"Oleh itu, tidak wujud langsung program ini dibiayai oleh sumber luar.

"Keseluruhan kos program ini dibiayai sepenuhnya oleh hasil lebihan belanjawan," kata Lim sambil menambah, dengan kata lain program penghargaan warga emas adalah dividen antirasuah yang dapat dinikmati oleh rakyat kerana mempunyai sebuah kerajaan negeri yang bersih dan tidak makan duit.

"Ini bukan kali pertama program ini diserang kerana sebelum ini BN pernah mendakwa bahawa pemberian RM100 kepada warga emas adalah serupa bagi rasuah.

"Untuk BN, bagi wang sama rakyat adalah rasuah tetapi lain pula bagi wang ke dalam kocek sendiri.

"Sekiranya kerajaan negeri tak makan duit maka rakyat boleh dapat duit," katanya lagi.

Lim menambah, Umno jangan harap boleh mengganggu-gugat program dividen antirasuah RM100 setiap tahun kepada warga emas dengan fitnah dan tohmahan.

"Program Rakan Anti Miskin membasmi miskin tegar di Pulau Pinang tetap diteruskan," katanya lagi.

Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, dakwa Lim, Umno pula cuba mengalikhan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program RAM membasmi miskin tegar datangnya daripada sumber judi haram.

"Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

"Program RAM adalah inisiatif murni kerajaan negeri PR untuk membasmi miskin tegar di kalangan keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM400 sebulan di Pulau Pinang dan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

'Menerusi RAM, kerajaan negeri Pakatan telah berjaya membasmi miskin tegar dalam tempoh masa setahun sahaja, apa yang tidak dapat dilakukan oleh BN dalam 51 tahun," kata beliau lagi.

Menyedari tentang sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, Lim juga menjelaskan bahawa ia diasingkan dan tidak diberikan kepada orang Islam tetapi hanya kepada orang bukan Islam.

"Malah Pegawai Kewangan Negeri Dato Farizan Darus telah mengesahkan kepada saya semalam bahawa wang derma RM2 juta ini daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

"Perlu diingati bahawa ada juga orang bukan Islam yang miskin tegar, bukan semua bukan Islam kaya macam pemimpin BN," katanya.

Oleh itu soal Lim, adakah salah untuk menyalurkan wang derma ini kepada orang bukan Islam?

"Bukankah lebih salah dan haram untuk Umno luluskan lesen judi bola?

"Atau adakah Umno dendam sama Kerajaan negeri Pulau Pinang yang merupakan negeri pertama mengharamkan judi bola dan sekali gus merosakkan rancangan baik Umno untuk membenarkan lesen judi bola di Malaysia?

"Yang jahat pula tuduh orang lain," kata beliau lagi.

Lim menambah, memang BN dan Umno iri hati atas kejayaan kerajaan negeri membasmi miskin tegar dan program penghargaan warga emas.

"Walaupun terus difitnah, kerajaan negeri tidak akan berganjak atau tunduk langsung ke atas anasir jahat ini yang mahukan dua program ini dihentikan," kata beliau lagi.

Sila dedah rahsia saya, Nazri cabar Ibrahim Ali

Posted: 27 Sep 2010 04:31 PM PDT



Ibrahim mendakwa beliau "mengetahui DNA" pemimpin-pemimpin Umno yang membidas Perkasa. — Gambar fail

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Nazri Aziz, yang secara konsisten mengkritik Perkasa dan kepimpinannya, mencabar Datuk Ibrahim Ali, yang memberi amaran kepada tiga pemimpin kanan Umno termasuknya dirinya, supaya mendedahkan apa saja rahsia yang beliau dakwa ada sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini menegaskan, ugutan Ibrahim kelmarin sama sekali tidak membimbangkannya, sebaliknya tindakan wakil rakyat Bebas itu memperkuatkan beliau dalam menentang sikap "rasisme" yang dibawa oleh Perkasa.

"Saya mahu Ibrahim Ali mendedahkan apa saja rahsia yang beliau ada tentang diri saya. Saya mencabar beliau.

"Lebih baik beliau mendedahkan secepat mungkin kerana saya akan terus menyerang Perkasa dan saya akan terus melawan beliau," kata Nazri kepada The Malaysian Insider.

Di Pasir Mas kelmarin, Ibrahim memberi amaran kepada tiga pemimpin Umno supaya tidak lagi mempersoalkan perjuangan pertubuhan Melayu itu yang ditubuhkan dua tahun lalu untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut adalah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Nazri dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut pernah mendakwa Perkasa boleh menjadi punca kepada BN kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.

"Saya kenal siapa mereka, mereka sepatutnya tidak salahkan Perkasa," kata beliau sambil mendakwa, "Saya tahu DNA mereka."

"Kalau saya dedahkan nanti, jadi berperang pula," kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

"Jadi lebih baik cukup sampai di sini sahaja," katanya.

Nazri kelihatan lantang dalam menzahirkan pendiriannya sejak kebelakangan ini berhubung tindak tanduk Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan dua tahun lalu, menghakis sokongan Barisan Nasional (BN) khususnya di kalangan bukan Melayu.

Bagaimanapun Ibrahim dalam perhimpunan Perkasa di Pasir Mas kelmarin juga mendakwa pandangan ketiga-tiga pemimpin Umno itu berbeza daripada pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden mereka.

"Adakah Ibrahim Ali tahu apa itu konsep 1 Malaysia? Jika kita bercakap dalam bahasa yang sama seperti Perdana Menteri, jadi mengapa kami menyokong konsep 1 Malaysia? Bagaimana, beliau lebih mengetahui berbanding saya? Tolong lah," kata Nazri.

Ahli Parlimen Padang Rengas ini berkata Ibrahim, bekas ahli Umno, memerlukan penelitian realiti untuk memahami siapa dalam kerajaan dan siapa yang memimpin pertubuhan bukan kerajaan.

"Siapa dalam Kabinet? Siapa yang menganggotai Majlis Tertinggi, dan siapa dalam Umno? Sudah tentu bukan Ibrahim Ali," kata beliau.

"Dedahkan apa sahaja yang anda ada, silakan. Dedahkan, saya cabar anda," tambah ketua bahagian Umno ini.

Nazri bersama dengan Khairy dan Tengku Adnan secara konsisten melahirkan pendirian Umno mesti menjauhkan diri daripada Perkasa pimpinan Ibrahim.

Khairy berpegang pada pendirian bahawa BN akan kehilangan sokongan bukan Melayu sekiranya ia dengan segera tidak menjauhkan diri daripada Perkasa.

Bagaimanapun Perkasa menerima sokongan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan penaung mereka.

Dr Mahathir menghadiri perhimpunan Pasir Mas kelmarin.

Umno mahu pantau ceramah pembangkang kesan isu rasis

Posted: 27 Sep 2010 04:28 PM PDT


KUALA LUMPUR — Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, parti dominan Barisan Nasional (BN) itu akan memantau ceramah-ceramah Pakatan Rakyat khususnya yang dikendalikan dalam bahasa selain Bahasa Malaysia.

Kata beliau, langkah itu akan diambil untuk mengetahui sama ada himpunan anjuran mereka menyentuh isu-isu perkauman yang sensitif.

"Kami akan memantau ceramah pembangkang dalam bahasa-bahasa bukan Bahasa Malaysia.

"Saya tidak pasti sama ada ceramah-ceramah dalam Mandarin atau Tamil ada mencetuskan isu-isu perkauman," kata beliau kepada pemberita selepas bercakap pada majlis dialog anjuran Puteri Umno.

"Jangan hanya berkata bahawa ceramah-ceramah (kami) dalam Bahasa Malaysia menyentuh isu-isu perkauman yang sensitif, hanya kerana ia boleh difahami oleh setiap orang," kata beliau.

Beliau ditanya mengenai respons Umno ke atas tindakan penulis lagu bebas Wee Meng Chee, yang menghasilkan video muzik yang didakwa mempunyai kandungan yang berbaur hasutan.

"Kadangkala pembangkang menganjurkan majlis makan malam dengan ceramah dalam bahasa Mandarin atau Tamil, kami mahu tahu sama ada isu perkauman ditimbulkan atau tidak," kata beliau yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Ahmad membandingkan tindakan Wee dengan kenyataan pengetua dari Kulaijaya Siti Inshah Mansor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Kata beliau, pembangkang menggesa dikenakan tindakan tegas ke atas pengetua berkenaan tetapi membisu dalam isu Wee.

Melayu mesti terajui negara ini, wakil BTN beritahu Puteri Umno

Posted: 27 Sep 2010 04:24 PM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) Hamim Husin berkata orang Melayu mempunyai mandat penuh untuk memerintah negara ini dan oleh itu mereka harus bersatu menghadapi sebarang ancaman.

Baru-baru ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu akan hilang kuasa jika penguasaan Putrajaya diambil alih oleh Pakatan Rakyat.

"Hak orang Melayu adalah untuk memerintah negara ini. Ia jelas," kata Hamim, timbalan pengarah BTN Wilayah Persekutuan, pada majlis dialog anjuran Puteri Umno di sini hari ini.

"Orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi cabaran," tambah beliau.

Hamim memberikan contoh di mana parti pemerintah gagal untuk bertindak ketika demonstrasi berbaur hasutan oleh bukan Islam di ibu negara beberapa tahun lalu.

"Orang beragama Hindu berarak ke Parlimen untuk menghantar memorandum. Mereka seperti Hindraf adalah kumpulan yang mengembangkan hasutan," katanya.

"Di mana parti politik ketika itu," kata beliau.

Hamim menekankan kepentingan perpaduan Melayu menjelang pilihan raya umum, kemungkinan besar tahun depan.

"Pilihan raya umum tidak lama lagi. Jika kita masih berpecah belah, kita tidak boleh adakan majlis macam ini... di mana kita boleh cakap apa kita mahukan nanti," kata beliau lagi.

Hamim juga menggesa Puteri Umno membuat pengorbanan dalam usaha mempertahankan hak-hak orang Melayu.

"Dalam konteks hak orang Melayu, jangan hanya bertanya hak-hak anda. Anda mesti bertanya 'apa yang mesti saya korbankan untuk mempertahankan hak-hak saya?" kata beliau.

Hamim juga berkata orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasaam dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.

"Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC," katanya lagi.

Kata beliau Dr Mahathir dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan juga masyarakat Cina, India dan Orang Asli hanya mempunyai hak kepada satu undi.

"Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.

"Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi," kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.

"Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu," kata beliau.

Empat suspek dibawa ke Ladang Gadong cari bahan bukti terbaru

Posted: 27 Sep 2010 04:23 PM PDT

BERNAMA

BANTING – Empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dibawa memasuki Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini hari ini dengan sebuah van polis.

Tinjauan Bernama mendapati kesemua suspek yang berpakaian oren itu dibawa ke situ kira-kira pukul 11.20 pagi tadi dipercayai bagi membantu pasukan forensic mengesan bukti-bukti terbaru kes itu.

Kira-kira 20 minit sebelum itu, lima buah kenderaan forensik termasuk kereta polis memasuki kawasan ladang itu.

Wartawan dan jurugambar yang pada mulanya dibenarkan memasuki kawasan lading kemudiannya diarah keluar oleh anggota polis yang mengawal pintu masuk lading milik suspek utama yang merupakan seorang peguam kira-kira 20 minit kemudian.

Pada kira-kira 3.30 petang, sesemua suspek dibawa keluar dari ladang itu.

Difahamkan tiada sebarang bukti terbaru ditemui selama operasi empat jam itu.

Bagaimanapun, operasi itu dijangka disambung semula esok.

Sosilawati, 47; pemandu peribadinya Kamarudin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Amaran Perkasa: Kami kekal NGO, tapi boleh tentukan nasib ahli politik

Posted: 27 Sep 2010 04:20 PM PDT

KUALA LUMPUR— Pertubuhan bela hak Melayu Perkasa tetap akan kekal sebagai sebuah badan bukan kerajaan, tetapi memberi amaran mereka ada kuasa untuk menentukan masa depan seseorang ahli politik dan parti politik.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, pasti pertubuhan berusia dua tahun itu yang ditubuhkan Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas tidak akan menjadi parti politik.

"Perkasa tidak akan menjadi sebuah parti politik. Itu yang pasti. Tapi Perkasa boleh menentukan kedudukan seseorang pemimpin politik," kata beliau merujuk kepada kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Naziz Aziz kepada Awang Selamat petang semalam.

"Itu amaran Perkasa, tak payahlah Nazri menggesa Perkasa menjadi parti politik.

"Kami tahu apa kami lakukan. Kami ingin satukan orang Melayu. Kami tolak pemimpin Melayu yang memecahbelahkan orang Melayu," kata Syed Hassan.

Syed Hassan menambah, pihaknya akan tolak parti-parti yang akan merugikan orang Melayu.

"Perkasa tidak mahu buang masa melayan budak yang sedang menangis.

"Otak kami tidak senget. Kami tahu nak bawa hala tuju Perkasa," katanya.

Sehubungan itu, Syed Hassan juga menasihatkan Nazri agar menghentikan tindakannya menyerang Perkasa.

"Perkasa tidak rugi hasil serangan Nazri, malah tambah kuat lagi di kalangan orang Melayu.

"Dan, mungkin Nazri juga tidak rugi apa-apa. Tapi yang rugi pastinya Umno jika ada pemimpin dalam Umno yang iri hati dan perkecilkan peranan Perkasa seperti Nazri," katanya.

Syed Hassan juga meminta agar jangan menuduh Perkasa tidak faham konsep 1 Malaysia.

"Kami faham dengan cara kami seperti yang dimaklumkan oleh perdana menteri di Parlimen sebelum ini.

"Tapi ada juga pihak lain yang memahami 1 Malaysia dengan cara fahaman yang lain dari kami.

"Kalau pelbagai pihak memahami 1 Malaysia dengan istilah berbeza, maknanya 1 Malaysia mendatangkan masalah," katanya.

Syed Hassan juga berkata, Nazri sendiri juga tidak faham apa itu 1 Malaysia.

"Janganlah sebut 1 Malaysia itu satu dasar ataupun satu konsep.

"(Konsep) 1 Malaysia hanyalah satu slogan saja. Ia bukan satu dasar. Kami menyokong apa saja perdana menteri ingin lakukan untuk menyatupadukan rakyat negara ini yang berbilang kaum," kata beliau.

Dalam kenyataan terbaru, Nazri, yang secara konsisten mengkritik Perkasa dan kepimpinannya, mencabar Ibrahim, yang memberi amaran kepada tiga pemimpin kanan Umno termasuknya dirinya, supaya mendedahkan apa saja rahsia yang beliau dakwa ada sekarang.

Nazri menegaskan, ugutan Ibrahim kelmarin sama sekali tidak membimbangkannya, sebaliknya tindakan wakil rakyat Bebas itu memperkuatkan beliau dalam menentang sikap "rasisme" yang dibawa oleh Perkasa.

"Saya mahu Ibrahim Ali mendedahkan apa saja rahsia yang beliau ada tentang diri saya. Saya mencabar beliau.

"Lebih baik beliau mendedahkan secepat mungkin kerana saya akan terus menyerang Perkasa dan saya akan terus melawan beliau," kata Nazri.

Di Pasir Mas kelmarin, Ibrahim memberi amaran kepada tiga pemimpin Umno supaya tidak lagi mempersoalkan perjuangan pertubuhan Melayu itu yang ditubuhkan dua tahun lalu untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut adalah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Nazri dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut pernah mendakwa Perkasa boleh menjadi punca kepada BN kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.

ADUN PAS Galas meninggal dunia, pilihan raya kecil ke-12

Posted: 27 Sep 2010 04:17 PM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Che Hashim Sulaima yang menghidap kanser usus meninggal dunia di Hospital Pakar Al Islam Kampung Baru di sini petang ini.Allahyarham Che Hashim, 48, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4.25 petang, kata Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang Hussin Embong kepada The Malaysian Insider.

Ia akan membuka ruang kepada pilihan raya kecil yang ke-12 dan kedua di Kelantan sejak pilihan raya umum 2008.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga mengesahkan perkara itu.

"Saya baru balik dari menziarahi beliau dan ketika sedang minum berhampiran pejabat PAS, tiba-tiba menerima panggilan daripada Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Taqiyuddin Hassan... baru 10 minit tadi saya terima panggilan," kata beliau.

Beliau berkata, Allahyarham kemungkinan akan dikebumikan esok.

Che Hashim telah dimasukkan ke hospital sejak dua hari lalu untuk rawatan barah usus.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Nasuruddin Daud dipetik Bernama berkata, "saya ada menelefonnya dua hari lalu dan memaklumkan bahawa beliau kini berada di ibu negara untuk menjalani rawatan."

Ini merupakan kali ketiga Che Hashim dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan barah ususnya itu sejak mendapat rawatan di China.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Dalam pada itu, Bernama memetik ADUN kawasan Semerak, Pasir Puteh Wan Hassan Wan Ibrahim berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

"Allahyarham dijangka akan dibawa pulang ke kediamannya di Gua Musang (Kelantan) selepas Maghrib untuk dikebumikan di tanah perkuburan di sana.

"Sekiranya pengurusan jenazah di sini (Hospital Al-Islam) berjalan lancar maka urusan menghantar jenazah untuk dikebumikan di sana (Gua Musang) dapat dipercepatkan," katanya.

Allahyarham meninggalkan dua orang isteri iaitu Che Busu Junuh dan Aida Zakaria dan 11 cahaya mata.

Wan Hassan yang menziarahi Allahyarham petang ini menyifatkan pemergiannya satu kehilangan besar sebagai seorang kenalan rapat sejak mengenalinya 20 tahun lepas.

"Selama saya kenal dia, dia seorang yang baik, mudah mesra dan suka tolong orang," katanya.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

Pakatan Rakyat mempunyai 39 kerusi manakala Barisan Nasional pula enam di DUN Kelantan.

Isu BTN: MIC, DAP gesa tindakan tegas, dakwa perlekeh 1 Malaysia

Posted: 27 Sep 2010 04:13 PM PDT


KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin MIC dan DAP berpendapat konsep 1 Malaysia yang dibawa Datuk Seri Najib Razak menjadi 'mangsa' tindak tanduk pihak di sekitarnya sendiri ekoran kenyataan terbaru seorang pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) hari ini.

Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) juga berkata tindakan timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong BTN secara terbuka sebelum ini juga memudaratkan idea 1 Malaysia digerakkan perdana menteri.

Pemimpin veteran itu mendakwa pendirian Muhyiddin, salah seorang yang menjadi juara mempertahankan jentera kerajaan BTN, yang didakwanya rasis juga menjadi sebab mengapa beliau gagal mengambil tindakan tegas ke atas pengetua yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman bulan lalu.

"Sepanjang 18 bulan dalam Kabinet, Muhyiddin telah bertindak sebagai juara mempertahankan racun antinasional dan anti 1 Malaysia dari BTN," kata beliau.

Lim menambah, itu sebabnya Muhyiddin terus-menerus mengambil tindakan 'membisu' daripada mengecam dua pengetua yang mengeluarkan kenyataan berbaur rasis.

Sehubungan itu Lim mengecam kata-kata yang dikeluarkan oleh timbalan pengarah BTN Wilayah Persekutuan Hamim Husin pada majlis dialog tertutup bersama Puteri Umno hari ini.

Hamim dipetik berkata hak orang Melayu adalah untuk menerajui negara ini dan mereka perlu bersatu untuk menghadapi apa jua ancaman sebelum pilihan raya umum akan datang.

Baru-baru ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu akan hilang kuasa jika penguasaan Putrajaya diambil alih oleh Pakatan Rakyat.

"Hak orang Melayu adalah untuk memerintah negara ini. Ia jelas," kata Hamim, timbalan pengarah BTN Wilayah Persekutuan, pada majlis dialog anjuran Puteri Umno di sini hari ini.

"Orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi cabaran," tambah beliau.

Hamim juga berkata orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasaam dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.

"Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC," katanya lagi.

Kata beliau Dr Mahathir dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan juga masyarakat Cina, India dan Orang Asli hanya mempunyai hak kepada satu undi.

"Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.

"Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi," kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.

"Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu," kata beliau.

Dalam ulasannya, Lim berkata ia dengan jelas menunjukkan konsep 1 Malaysia Najib diperlekehkan oleh musuh-musuh dalam kumpulannya sendiri.

"Kenyataan ini adalah bukti terbaru bahawa musuh utama 1 Malaysia Najib ialah daripada kem sendiri, bukan sahaja dari Umno tetapi juga BTN dalam kerajaan," kata beliau.

Lim menambah, apabila BTN terus-menerus menggunakan pendekatan ofensif, tidak sensitif dan kempen percambahan fikiran yang bersifat rasis, bukan sahaja di kalangan kakitangan awam tetapi diperluaskan meliputi aktivis politik dalam lingkungan Umno termasuk Puteri Umno, maka adalah jelas Najib berhadapan dengan tentangan terbuka, yang mempunyai sokongan Muhyiddin.

Dalam pada itu, Naib Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam juga mengecam kenyataan-kenyataan bersifat menghina masyarakat bukan Melayu itu hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia menggesa agar kerajaan menjalankan siasatan mengenai perkembangan tersebut.

Subramaniam juga bimbang kenyataan-kenyataan itu akan dianggap sebagai menggambarkan pendirian pentadbiran Najib, yang sudah tentu akan merosakkan imej beliau selaku perdana menteri.

"Saya merujuk kepada artikel dalam portal berita yang memetik timbalan pengarah BTN menggunakan kata-kata kesal ke atas bukan Melayu pada mesyuarat tertutup Puteri Umno hari ini.

"Saya ingin menekankan bahawa BTN adalah agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Jika seorang pegawai dari agensi itu didapati mengeluarkan kenyataan seumpama itu, ia boleh dilihat sebagai menggambarkan pandangan kerajaan," katanya.

Subramaniam menggesa Ketua Pengarah BTN Datuk Shagul Hamid Abdullah agar menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan susulan.

Tiada ulasan: