Jumaat, 3 September 2010

.

.


Ulasan Isu

Posted: 02 Sep 2010 07:04 PM PDT

Macam Mana Bentuk Perkasa Hendak Bantu Umno

SEBAGAI orang awal terlibat dengan Pertubuhan Peribumi Negara (Perkasa) saya rasa berhak untuk bercakap sedikit mengenainya. Rasanya ini tidaklah merupakan dosa bagi saya dan bagi orang lain juga. Tentu mereka yang tahu Perkasa setelah ia popular dan lantang ingin mengetahui sejarah awalnya. Bagaimana pun di sini saya tidak berminat untuk menulis sejarah awalnya, tetapi apa yang saya nak tulis mengenai sesuatu kemungkinan yang sangat berkemungkinan.

Kisah lain mengenai Perkasa akan saya tulisan kemudian.

Ada tanda-tanda Perkasa akan menukar wajahnya dari sebuah NGO bebas kepada sebuah parti politik. Sekiranya segala rundingan tidak menampakkan jalan jelas dan menguntungkan, Perkasa akan didaftarkan sebagai parti politik. Seorang ahlijawatankuasa tertinggi Perkasa memberi tahu saya, usaha ke arah itu sedang dilakukan. Tetapi beliau tidak bersetuju dan menganggap sebagai satu pengkhianatan.

Kononnya Perkasa akan didaftar menjadi sebuah parti. Kalau ianya tidak akan diterima sebagai komponen BN, tetapi ia akan bekerjasama dengan BN. Untuk kerjasama ini Perkasa akan meletakkan calon-calonnya di kawasan yang mana Umo tidak meletakkan calonnya kerana diserahkan kepada parti komponen lain.

Kemusykilan saya, apakah Umno tidak akan meletakkan calonnya di Pasir Mas, Kelantan? Kalau Umno sedia akur atau pun teruja dengan gemercingan psikologis Perkasa kemungkinan Umno tidak akan meletakkan calonnya di situ. Sudah pasti presiden Perkasa yang menang atas tikit Pas di Pasir Mas akan bertanding mewakili Perkasa sekaligus mewakili Umno.

Walaupun banyak orang tidak fikir Umno akan menjadi sedayus itu untuk memenuhi permintaan Perkasa tetapi ia tidak mustahil ia berlaku. Dalam politik semuanya serba mungkin. Seperti mana juga Pas mengharapkan kemenangan kerusi berkenaan, dalam pilihan raya umum lalu, Pas sanggup memberi bulan kepada Inchek Ibrahim Ali, maka begitulah juga mungkinnya Umno.

Namun perancangan dan persiapan dibuat Perkasa bukan setakat itu saja. Ia meyeluruh dan serius. Perkasa ada angan-angan besar untuk ditonjolkan. Angan-angan ini pula nampaknya lebih besar nafsu dari kemampuan. Saya tidak bercadang menulis apa yang ada dalam seluar Perkasa. Tetapi saya akan cuba membuat kemungkinan yang akan berlaku. Dan juga natijah daripada kemungkinan-kemungkinan ini.

Katanya Perkasa akan bertukar menjadi parti politik dan meletakkan calon di seluruh Kelantan. Mustahil kalau Umno sedia memberi laluan. Apa istimewanya Perkasa untuk mendapat laluan itu. Kalaupun berlaku, dua tiga kerusi saja. Mungkin mana-mana kerusi yang menjadi kubu Pas, Perkasa akan masuk, sama ada tiga pejuru atau pun menjadi wakil Umno.

Jika ditilik sudah ada kerusi-kerusi yang akan ditandingi Perkasa. Sama ada kemungkinan ini berlaku atau tidak, tetapi ia menampakkan Perkasa ada akal bagaimana untuk merampas Kelantan. Mungkin juga pemimpin utama Perkasa menyedari bahawa Umno dibawah pimpinan Mustapa Mohamed kini tidak mampu membawa Umno ke mana-mana. Lagipun Mustapa dilihat lebih berusaha memastikan beliau menang saja dan orang lain biarlah kalah. Mustapa bukan pejuang tetapi seorang bekerja mendapat rezeki menerusi jawatan Ahli Parlimen dan menteri.

Kalau begitu lebih baik Perkasa kecek Mustapa agar swastakan saja pilihan raya umum akan datang untuk diuruskan oleh Perkasa. Saya rasa Perkasa lebih berkemampuan untuk menghadapi Pas berbanding dengan Umno. Mungkin cara Inchek Ibrahim membuat 'taboo' berguna untuk Umno. Manalah tahu silap-silap hari bulan ia boleh memberi pukulan hebat kepada Pas.

Kalau dalam bidang perniagaan dan projek boleh diswastakan atau dipajak kenapa tidak dengan politik. Umno pajakkan pilihan raya akan datang kepada Perkasa. Mustapa tidak rugi apa, kerana pajakan itu tidak terlibat dengan kawasannya. Dan kalau menang Mustapa juga akan mendapat untung. Kerja juga senang macam orang pajak pokok durian ambil duit saja.

Kalaulah Perkasa menjadi parti dan bercadang meletakkan calon siapakah yang akan jadi god fathernya, untuk mengeluarkan wang bagi menanggung semua perbelanjaan pilihan raya. Kalau Umno sedia pajakan pilihan raya itu tentulah Umno kena tanggung. Atau kalau tidak, apakah ianya Tengku Razaleigh Hamzah atau Dr Mahathir Mohamad. Saya tidak kira kalau Mahathir bersedia untuk memperdagangkan maruahnya untuk Perkasa.

Kalau Tengku Razaleigh (foto) ada kemungkinannya. Bersediakah Tengku Razaleigh? Pun begitu Tengku Razaleigh harus fikir sejauh manakah kemampuan Perkasa. Kalau setakat menang dua tiga kerusi ia tidak berbaloi ia mencemarkan tangan saja. Ataupun akan ada kombinasi penaungan di sini antara Tengku Razaleigh dengan Dr Mahathir? Kalau ini berlaku ia memberi impak besar kepada Perkasa dan kepada Umno. Tentulah presiden Perkasa gembira sampai terlompat-lompat.

Tidakkah pula kalau itu berlaku ia memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat? Bila Perkasa bertanding atas dirinya sendiri tanpa bekerjasama sepenuhnya dengan Umno ia akan menjejaskan Umno. Perkasa sudah tentu tidak menang, dan Umno yang ada harapan senipis kulit bawang juga akan terus kalah. Cara itu akan berlaku perpecahan undi Melayu yang sama-sama didambakan Perkasa dan Umno.

Nah, kalau begitu, mimpi yang cambah dalam kepala Perkasa ini bakal memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat. Perkasa hanya mampu meraih undi Melayu tetapi bukan undi Cina dan India. Undi Melayu tegar pula sudah berpihak kepada Umno. Kalaulah ini berlaku bermakna Pakatan Rakyat boleh sapu tangan dan akan menang dengan bantuan Perkasa juga. Jangan-jangan selepas ini Perkasa pula akan bersama Pakatan Rakyat? [wm.kl.10:00 am 03/09/10]

Sesudah Subuh

Posted: 02 Sep 2010 03:21 PM PDT

Hudud Bukan Hak Pas Seorang

PARA algojo politik cuba mempertikai dan mengaitkan langsung isu hukum hudud dengan Pas. Mereka mempersoalkan kenapa kini Pas tidak lagi memperjuangkan untuk menegakkan hudud. Kalau algojo itu memahami Pas sebagai badan siasah, mereka tidak akan mempersoalkannya. Mempersoalkan perkara itu samalah mendedahkan kebodohan diri sendiri.

Pas bukan gerakan Islam seperti Tabligh atau jamaah bersistem khalifah dan ahlinya kaum sufi. Pas adalah badan politik yang ahlinya mengamal dan menerima berbagai aliran mazhab. Bila disebut politik perjungan Pas untuk menegakkan syariah Islam termasuk hukum hudud secara politik. Politik ertinya bijaksana dalam melakukan sesuatu tanpa mengira halal dan haram kaedahnya. Pas menerima dan mengamalkan konsep matlamat menghalalkan cara untuk mencapai cita-cita itu.

Mungkin Pas menidakkan tanggapan ini tetapi dari tindak tanduk dan perbuatan Pas ia membuktikan kenyataan itu.

Jadi untuk apa dipertikaikan mengenai hal itu. Kerana konsep itulah maka orang tidak perlu merasa pelik dengan sikap (perubahan approach) Pas hari ini yang tidak lagi menjadikan hudud sebagai asas perjuangannya seperti berberapa dekad lalu. Hudud kini bukan lagi modal untuk meraih undi, bahkan ia menjadi liabiliti kepada Pas. Bagaimana pun sebagai parti berlandaskan Islam, berjanji dan berikrar untuk melaksanakan Islam, hudud masih menjadi agenda. Hudud ada tersimpan dalam sanubari Pas.

Pas tidak dapat membuang hukum hudud seperti mana Pakatan Rakyat hendak buang Akta Keselmatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kolej dan Universiti (AUKU) atau seperti mana nak hapuskan saman ekor atau memindah peraturan dalam SPR dan SPRM. Hudud adalah perintah Allah yang tetap. Hudud akan dilaksanakan apabila Pas sudah mendapat kuasa. Sama ada betul atau tidak ia kena tunggu setelah Pas mendapat kuasa kelak.

Hari ini Pas sedang berkerja dan berusaha untuk mendapatkan kuasa. Kuasa dulu baru agenda, bukan agenda dulu baru kuasa. Inilah kebijaksanaan baru Pas. Jadi mana-mana perkara yang boleh menghalang daripada mendapat kuasa, Pas terpaksa kendurkan dulu. Bukan saja hudud, hendak bercakap atau menyebut Islam itu syumul pun sudah tidak lantang lagi.

Pas terpaksa memandag belakang, depan, kiri dan kanan dulu untuk menyebut Islam, bimbang menimbulkan salah faham rakan-rakannya. Hadith dan ayat-ayat Quran yang menjadi hafalan Pas dulu kini sudah termansuh. Inilah perubahan dan dinamika Pas sebagai sebuah parti politik.

Semua ulama dalam Pas sudah jadi liberal. Mereka banyak membaca kitab-kitab ekonomi, siasah, falsafah pemodenan dari Barat. Fahaman yang diterapkan dalam kitab-kitab kuning sudah dibuang. Sebab itu hari ini segala macam kejadian pelik dan ganjil berlaku. Orang Cina boleh masuk ke surau tanpa tutup aurat, ustaz dan ulama boleh masuk kilang arak atau gereja tanpa ada bantahan oleh Pas. Atas nama dakwah kononnya semuanya boleh dilakukan.

Hakikat ini terserlah daripada penjelasan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah. Cuba hayati penjelasan Mohd Amar ini betul-betul. Katanya; Pas tidak lupa kepada hudud tetapi ia akan melihat kepada kesediaan rakyat untuk menerimanya. Ertinya hudud itu akan dilaksanakan selepas rakyat memahaminya.

"Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya.

"Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat.

"Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan," kata Mohd Amar. Pendirian dan sikap Mohd Amal ini, itulah juga sikap dan pendirian Pas pada masa kini.

Apabila mendengar ini saya teringat kepada apa yang Ashaari Muhammad bekas pemimpin Arqam (Allahyarham) perkatakan dulu dalam bukunya tentang hudud. Katanya hukum hudud tidak wajib dilaksanakan selagi rakyat tidak memahaminya. Maka tegasnya rakyat perlu diberi penjelasan, didakwah agar memahami hukum itu betul-batul baru boleh dilaksanakan. Melaksanakan hukum hudud dalam keadaan rakyat tidak bersedia satu kezaliman.

Ertinya kalau rakyat tidak hendak kepada hudud (walaupun wajib) ia tidak akan dilaksanakan, walaupun sesudah ada kuasa. Saya tidak nampak Pas akan menentang arus rakyat dengan terus melaksanakan hukum berkenaan walaupun sesudah mendapat kuasa. Kerana apa, kerana yang berkuasa ialah rakyat bukannya Pas. Pas hanya mendapat kuasa dari rakyat. Apa lagi rakyat yang memberi kuasa (kemenangan undi) bukan 100 % Islam. Menentang kehendak rakyat bermakna Pas akan kehilangan kuasa.

Jadi kesimpulannya hudud tidak akan dilaksanakan kalaupun Pas mendapat kuasa selagi rakyat tidak merasakan ia perlu. Makanya untuk melaksanakan hudud ia bukan dari politik, bukan selepas parti politik Islam seperti Pas dapat kuasa, tetapi ia boleh dilaksanakan apabila rakyat sudah faham mengenai hikmah dan falsafah hukum berkenaan. Umno juga boleh melaksanakan hudud jika rakyat yang dipimpinnya mahukan hudud.

Justeru Pas sebagai parti Islam kena memberi kefahaman kepada umum mengenai hudud dari masa ke semasa. Laksana seperti mana memberi kefahaman mengenai bahaya ades, bahaya dadah, bahaya pelacuran dan sebagainya. Bahkan penerangan hudud ini lebih penting dan utama dari itu.

Kepada algojo yang cuba menyalahkan Pas mengenai hudud ini juga tidak betul. Tugas melaksanakan hudud bukan terwajib kepada Pas saja. Ia adalah hak semua. Janganlah melihat hudud itu seperti kopiah yang dikaitkan dengan Pas. Sesiapa pun boleh pakai kopiah dan begitu juga songkok.

Kopiah bukan saja hak Pas dan songkok bukan saja hak Umno. Cuma kita pandai-pandai membahagikan penutup kepala itu sebagai hak golongan itu dan hak golongan ini. Walhal kopiah dan songkok hak semua orang yang selesa memakainya. Setiap yang mengaku Islam mereka berhak memperjuangkan hudud tanpa melaung-laungkannya. Jangan pula pakai songkok atau kopiah kerana nak lindungkan kepala botak! [wm.kl.6:30 am 03/09/10]

Tiada ulasan: