Selasa, 21 September 2010

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


1 Malaysia Ditipu Hidup-Hidup

Posted: 21 Sep 2010 12:52 AM PDT

Tanah KTMB: Mungkinkah rakyat ditipu lagi

"Adakah rakyat Malaysia ditipu lagi menerusi jualan hartanah terbaru milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)?" tanya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, tapak seluas 8 hektar dan bernilai RM400 juta itu terletak di belakang bekas ibupejabat Unilever di Jalan Bangsar dan dijual kepada Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad yang kini dikenali sebagai Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), untuk jumlah yang jauh lebih rendah daripada harga semasa iaitu sebanyak RM50 juta.

Katanya, pelaburan Hartanah Berhad adalah anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, sebuah yayasan ditubuhkan pada tahun 2006 dengan modal RM2 bilion, untuk meningkatkan pemilikan hartanah bumiputra.

Tanah itu, ujarnya yang dianggarkan bernilai RM500 per kaki persegi, berkemungkinan digunakan sebagai sumber pendapatan tetap untuk KTMB, selari dengan niat awal tanah tersebut yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan sistem kereta api.


Beliau berkata, KTMB juga sepatutnya boleh membangunkan tanah tersebut secara usahasama ataupun menerima pulangan menerusi sewaan tanah yang dapat memberikan pendapatan berterusan bagi KTMB.

"Cara sebegini adalah cara bagaimana perkhidmatan MRT di Hong Kong dan Singapura serta London Underground mempertahankan perkhidmatan kereta api mereka untuk kepentingan awam," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mekanisma pulangan sebegini bukan sahaja dapat menyelamatkan prestasi kewangan KTMB yang kini dalam kerugian, tetapi juga berpeluang membantu rakyat menerusi penurunan harga tiket dan penyediakan perkhidmatan yang lebih cekap untuk rakyat.

Namun, tambahnya kerajaan memutuskan supaya tanah KTMB di Jalan Bangsar ini dipindah milik kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.

"Justeru, dapatkah kita andaikan bahawa selepas dibangunkan semula, unit-unit pembangunan akan dijual kepada Bumiputera dengan harga diskaun?" soalnya.

Beliau juga mempersoalkan memandangkan tanah KTMB diperolehi oleh PHB dengan diskaun sebanyak 80%, bagaimanakah ianya dapat dinikmati oleh golongan bumiputera.

"Adakah akan terdapat kawalan bagi memastikan pemilikan Bumiputera semasa penjualan unit-unit pembangunan nanti?"

"Ataupun rakyat terpaksa menelan kekecewaan apabila sekali lagi terpaksa menerima penggunaan tanah kerajaan untuk memperkaya golongan terpilih?" soalnya lagi.

Justeru, beliau benar-benar berharap bahawa penjualan tanah KTMB tidak dimanipulasikan atas nama mempertahankan hak bumiputera.

"Kita tidak mahu dasar hartanah Bumiputera disalahgunakan seperti dalam kes PKFZ," ujarnya.

Beliau turut memberikan berikut:

1) Orang tertentu yang berkepentingan akan menggunakan syarikat persendirian (seperti dalam PKFZ) atau agensi kerajaan atau badan berkanun untuk mewajarkan pembelian tanah kerajaan pada kadar diskaun yang sangat tinggi. Perbezaan ini dikenali sebagai jurang nilai.

2) Semasa fasa pembangunan hartanah, mereka yang berkepentingan akan mendapat faedah sama ada daripada projek usahasama yang berat sebelah, atau melalui kontrak-kontrak yang dianugerahkan kepada kawan-kawan dan keluarga. Ia pastinya dianugerahkan melalui rundingan terus, atau proses tender yang kabur, dengan kos yang melampau, dan akhirnya sub-kontraktor diberi bayaran sangat rendah, supaya untung kontraktor utama dapat dimaksimumkan.

3) Kos pembangunan yang tinggi melampau itu kemudiannya bolehlah digunakan syarikat yang terlibat untuk mendapat pinjaman kerajaan seperti kes jaminan kerajaan untuk bon-bon persendirian dalam kes PKFZ.

4) Syarikat-syarikat kroni ini kemudiannya akan menjual pula unit-unit yang sudah siap untuk golongan bumiputera pada harga diskaun. Walaupun dengan diskaun, harga-harganya masih dikira tinggi untuk rakyat biasa.

5) Pemilik-pemilik bumiputera ini kemudiannya akan dibenarkan untuk menjual hartanah ini pada harga pasaran sebenar (mungkin juga boleh dipaksakan penjualan kepada agensi kerajaan untuk dijadikan pejabat) dengan untung yang sangat besar setelah dicampur dengan jurang nilai.

6) Untungnya akan mengalir ke tangan-tangan persendirian dan bukannya institusi bumiputera. Ini seperti merompak Ahmad untuk membayar Ali (baba).

7) Jika projek ini berakhir tanpa nilai komersial dan tidak mendatangkan keuntungan, sudah tentu kerajaan akan sedia untuk menyelamatkannya dan menggunakan hujah membela bumiputera, untuk menegakkan benang basah.

"Bentuk manipulasi keuntungan ini juga dikenali sebagai ketirisan ekonomi.

"Sama seperti transaksi tanah KTMB di Tanjung Pagar, Singapura, urusan terbaru ini menimbulkan banyak tanda tanya," kata Nurul Izzah lagi.

Ini, katanya seperti satu bentuk subsidi tidak langsung yang hanya menguntungkan segelintir rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, subsidi untuk majoriti sudah ditarik.

"Saya harap saya salah dalam hal ini. Saya akan memantau perkembangan projek ini dengan lebih dekat, kerana rakyat mengharapkan kepada kerajaan yang telus dan bertanggungjawab," ujarnya.

Oleh itu, dalam sesi parlimen akan datang, beliau akan mencadangkan penubuhan kaukus antara parti untuk pelaksanaan dasar-dasar Bumiputera dengan matlamat mengeluarkan laporan tahunan kepada awam tentang hasil dan penerima faedah dasar-dasar itu.

"Saya harap, rakyat akan menyertai saya dalam menuntut kerajaan bersikap lebih telus dan bertanggungjawab," katanya. - kedahlanie

Pemuda Umno Boikot Rumah Terbuka Najib

Posted: 20 Sep 2010 10:00 PM PDT


Baca di sini

Lupakan Pas.. Macam La Pas Nak Sangat Kat Dia..

Posted: 20 Sep 2010 08:18 PM PDT

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata perpaduan Umno dan PAS tidak akan menjamin kekuatan bangsa, sebaliknya tiga parti utama pengasas BN iaitu Umno, MCA serta MIC perlu memulihkan jati diri dengan tegas dan berani menerusi
pendekatan baru, untuk menjamin masa depan negara.

"Umno seharusnya melupakan sahaja perpaduan Melayumenerusi PAS yang sejarahnya berakar umbi perkauman dan keagamaan dogmatik, sebaliknya bersama-sama dengan rakan-rakan sejatinya dalam BN menolak sentimen kaum masing-masing," katanya dalam temubual eksklusif kepada umno-online.com.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam berkata Umno, MCA, MIC dan parti komponen BN yang lain sewajarnya meneruskan kerjasama membina dan seharusnya tidak membicarakan isu sensitif secara terbuka kerana ia tidak akan memulihkan kekuatan parti.

"Sebaliknya akan tambah meluaskan perasaan tidak puas hati apabila sesuatu tuntutan tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan dengan segera, ataupun menghadapi halangan," katanya.


Musuh sebenar

Beliau berkata BN juga harus menampakkan pemisahan identiti daripada golongan mencari kekuatan menerusi sentimen perkauman dan keagamaan dan di luar daripada formula serta nilai sosial yang telah diasaskan oleh parti Perikatan sejak sebelum merdeka.

Katanya, Umno dan BN mesti berani dan tegas mengimbangi kehendak yang munasabah serta realistik, selain tidak terikut-ikut dalam kerakusan pendemokrasian baru sehingga melupakan ancaman musuh sebenar.
Bagaimanapun, beliau berkata kekeliruan rakyat dalam hala tuju negara akan dapat diperbetulkan sekiranya semua parti komponan BN kembali kepada keperibadian asal dan jati diri, dengan hanya membuat pembaharuan pendekatan tanpa mengetepikan nilai asal serta kawalan sosial yang telah dibangunkan.

Zainuddin berkata perjuangan berasaskan ideologi, terutamanya agama, tidak mengenal tolak-ansur, bersifat keras serta wajah manis mereka adalah bersifat sementara dalam menunggu kesempatan dan kuasa.

"Ketika itu, tentu sudah terlewat untuk rakyat, kerana yang sesal dahulu pendapatan, dan sesal kemudian tak ada gunanya," kata beliau.

- Bernama

Najib Mungkin Terus Tunduk Kepada Singapura

Posted: 20 Sep 2010 02:32 PM PDT

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan bahawa Singapura akan mendapat lebih banyak manfaat dalam rundingan dengan Malaysia
.
Beliau membuat andaian demikian ekoran melihat tindakan pentadbiran Najib Razak pada 24 Mei lalu menyerahkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar pada republik itu yang baginya merugikan negara.

"Apakah kemungkinan Lee Hsien Loong (Perdana Menteri Singapura) mempunyai gambar pembunuh sebenar Altantuya menyebabkan Najib akan kalah dalam rundingan kedua hari ini," ujarnya pagi tadi pada Harakahdaily.

Beliau mengulas lawatan Najib hari ini ke Singapura hari ini bagi meneruskan siri perbincangan seterusnya berhubung beberapa perkara yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.


Najib sebelum ini dikaitkan dengan wanita Mongolia itu biarpun beliau beberapa kali menafikannya.

Altantuya dibunuh menggunakan bahan peledak C4 di Bukit Raja, Shah Alam pada 19 Oktober empat tahun lalu.

"Yang didapati bersalah Koperal Sirul Azhar Umar dan (Cif Inspektor) Azilah Hadri dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman sedangkan motif pembunuhan tidak dikenal pasti.

"Apabila mahkamah membebaskan setiausaha politik (Abdul Razak Abdullah Baginda) Perdana Menteri tanpa terlebih dahulu menjelaskan motif pembunuhan dasyat itu, seolah-olah ada pemimpin politik tertinggi tertentu dilindungi," ujar Mahfuz lagi.
Sebelum ini, penyiasat persendirian, P.Bala Subramaniam dalam akuan bersumpahnya mendakwa Najib ada bersama Altantuya pada pameran intan berlian di Singapura.
Sehubungan itu, ada pihak mendakwa Siangapura mempunyai rakaman tetamu yang menghadiri pameran tersebut.

Mereka juga mendakwa pembahagian 60:40 tanah KTMB di Tanjong Pagar kepada republik itu ada kaitan dengan bukti rakaman tersebut. - hrkh

Nota Misteri Teoh Beng Hock Dipertikai Peguam

Posted: 20 Sep 2010 07:33 AM PDT

"Minta maaf, saya sangat penat, Selamat Tinggal" antara kandungan nota yang dijumpai pegawai penyiasat dalam beg sandang milik Teoh Beng Hock, tiga bulan selepas kematiannya.

Jurubahasa mahkamah Ting Chin Kin ketika memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh, berkata terjemahan daripada Bahasa Cina ke Bahasa Melayu itu turut mengandungi luahan perasaan serta permohonan maaf kerana tidak dapat membantu.

Ting kemudian diminta membaca terjemahan keseluruhan nota yang dipercayai ditulis oleh Teoh yang berbunyi seperti berikut: "Ou Yang.

"Dalam keadaan tidak menyalin fail dalam komputer saya, mereka telah mengambil semua komputer itu. Mereka asyik menyalahkan kamu. Minta maaf.

"Tidak mengerti tapi pura-pura mengerti, akhirnya menyusahkan kamu. Saya kata, 'mendapat kelulusan YB' mereka berdegil menaip jadi 'mengikut arahan YB'.

"Saya tidak dapat membantu kamu, maaf. Minta maaf, saya sangat penat, Selamat Tinggal."


Ting berkata beliau menterjemah nota yang ditulis pada kertas A4 itu pada 4 September selepas diarahkan Koroner Azmil Muntapha Abbas dan tidak pernah mendedahkan maklumat berkenaan kepada sesiapa.

Dalam pemeriksaan balas, peguam Gobind Singh Deo (gambar) yang mewakili keluarga Teoh mempertikaikan terjemahan Ting berhubung perkataan "selamat tinggal" dengan mengemukakan dua kamus terjemahan.

Walaupun mengakui perkataan sama boleh diterjemah sebagai "jumpa lagi", Tin berkata menerusi cariannya di Google, perkataan yang tertera dalam nota itu sebenarnya membawa maksud "selamat tinggal".

Terdahulu, pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal memberitahu mahkamah bahawa beliau mula mengesan nota berkenaan selepas tiga bulan kematian Teoh selepas dinasihatkan supaya berbuat demikian oleh pakar perunding forensik psikiatri Hospital Permai Dr Badi'ah Yahya.

"Pada 7 Oktober 2009, jam 3 petang ketika saya di pejabat saya ada hubungi Dr Badi'ah tentang perkara-perkara yang perlu diambil dari sudut psikologi.

"Beliau ada beritahu saya biasanya kes bunuh diri akan ada surat atau nota yang akan ditinggalkan dan minta saya periksa apa-apa nota yang ditinggalkan Teoh."

Ahmad Nazri berkata, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Zurinawati Zulkufli menunjukkan kepada dia beg sandang milik Teo yang dijumpai di (bekas) pejabat bekas SPRM Selangor di tingkat 14 Plaza Masalam.

"Ketika saya berada di tingkat 14 kira-kira pada pukul 5 petang 16 Julai 2009, Zurinawati menunjukkan beg Teo Beng Hock, yang ada di atas sofa," kata Ahmad Nazri.

Dia kemudian membawa beg tersebut ke pejabatnya dan menyenaraikan barang-barang yang terdapat dalam beg itu pada pukul 12.20 tengah hari hari keesokan.

"Beg itu berjenama Vzvec dan dalam beg itu terdapat dompet jenama Kaufmane," kata Ahmad Nazri.

Menurutnya, barang-barang yang ditemui dalam dompet hitam itu antara lain terdiri daripada kad pengenalan Teoh, kad ATM RHB, Bumiputra Commerce, Bank Simpanan Nasional dan Public Bank, kredit kad Visa dan Mastercard, kad ahli DAP, kad media dengan nama Teoh Beng Hock, kad Great Eastern dengan nama Teoh Beng Hock, kad Jusco, kad Bonuslink, kad Autopass, kad Mesra Petronas, kad Sushi King, kad tiket Plaza Masalah, 11 keping wang kertas RM50, lima keping wang kertas RM10, satu keping wang kertas RM5 dan tiga keping wang kertas RM1.

"Itu semua yang saya senaraikan dari dalam dompet. Sebenarnya ada lagi barang-barang lain tetapi saya tidak senaraikan kerana bukan barang penting," kata Ahmad Nazri.

Katanya, dia hanya menyenaraikan barang-barang itu selepas tiga bulan iaitu pada 7 Oktober tahun lalu, yang mana terdapat duit syiling, pen, kad PVC, kalendar kecil 2009, slip bank CIMB bertarikh 13 Julai 2009, resit tol Mines bertarikh 4 Julai 2008, kenyataan baki akaun bank RHB, lesen kenderaan Teoh dan 13 gambar berukuran pasport milik Teoh.

Ahmad Nazri berkata barang-barang itu ditemui dalam beg hitam.

"Dalam beg Teoh terdapat lima keping DVD, CD perisian, CD dengan label 'Perbelanjaan Persekutuan 2009, CDR, CD dengan tulisan Cina, kamera digital jenis Lumix, dua pembaca kad memori berwarna merah jambu dan kuning, 'pendrive', pemadan, peranti untuk mengecas bateri Lumix Panasonic, 'adaptor bluetooth USB', gelang, empat gambar berlainan saiz dan buku nota yang bertajuk Catatan Ringkas Dewan Undangan Negeri Selangor Darul Ehsan," katanya.

Pegawai polis itu berkata, turut ditemui ialah kad Universiti Kebangsaan Malaysia milik Teoh Beng Hock, pas pejabat setiausaha Selangor, kunci, rantai kunci dengan tiga kunci, rantai kunci dengan lima kunci, rantai kunci dengan dua kunci, rantai kunci dengan 11 kunci dan kunci kereta Toyota yang mana ia kemudian diserahkan kepada ayah Teoh pada 24 Julai tahun lalu.

"Ini adalah semua barang yang saya senaraikan. Terdapat barang lain yang saya tidak senaraikan kerana tidak penting," kata Ahmad Nazri.

Antara barang yang tidak disenaraikan pada malam itu adalah angpau dengan wang kertas RM50, kad nama, buku cek Public Bank, dua batang pen hitam Kilometrico yang kemudian dihantar ke Jabatan Kimia, sebatang lagi pen hitam Kilometrico juga dihantar ke Jabatan Kimia, sebatang pen Zebra juga dihantar ke Jabatan Kimia, tiub kaca, sepasang alat pendengar Motorola, sebatang pemutar skru kecil, dua cenderahati, gunting kecil, tiga keping kertas yang bertajuk 'AGM Qualifying Member List', voucher tunai, sekeping kertas bertajuk 'Minit Mesyuarat DAP Serdang 12 Feb 2009', dua keping kertas dengan tulisan Cina, dua keping bersaiz A4 yang mempunyai tulisan di depan dan belakang dan sekeping kertas putih bersaiz A4 dengan tulisan Cina dan Bahasa Malaysia dihantar ke Jabatan Kimia, yang mana kemudian Gobind mengesahkan ia adalah nota kontroversi itu.

Ahmad Nazri berkata, dia mengambil masa lebih satu jam setengah untuk menyenaraikan barang-barang yang terdapat dalam beg Teoh sambil menambah dia membuat laporan polis pada hari berikutnya iaitu 18 Julai.

"Pendakwa menyerahkan kepada kami terjemahan dari nota itu pagi tadi," kata Gobind.

Peguam itu berkata akan menguji terjemahan itu jika beliau hadir di perbicaraan inkues itu yang akan bersambung tengah hari dan berharap beliau boleh bertanya kepada Ahmad Nazri dulu.

"Saya harap untuk menyelesaikan perkara ini hari ini," kata Gobind.

"Jika beliau (jurubahasa mahkamah) tidak setuju dengan cadangan saya (kandungan nota itu), saya akan memanggail jurubahasa sendiri," tambahnya.

Sebelum ini, Gobind dan peguam kerajaan Selangor Malik Imtiaz Sarwar mempersoalkan kesahihan bukti baru yang dikemukan Jabatan Peguam Negara selepas Dr Pornthip Rojanasunand berkata protokol ketat perlu untuk menjaga bukti.

Bulan lalu pakar forensik Thailand itu berkata institusinya mengamalkan protokol ketat dalam menguruskan bahan bukti seperti dokumen, termasuk menguruskan cap jari dan ujian DNA selepas kejadian.

Keluarga Teoh sebelum ini kecewa dengan Jabatan Peguam Negara yang cuba untuk mengatakan nota itu adalah bahan bukti dan ia dikatakan ditulis Teoh sebelum ditemui mati secara misteri tahun lalu.

Bekas Sultan Mahu Cabar Sultan

Posted: 20 Sep 2010 02:06 AM PDT

Pemasyhuran Sultan Kelantan tak sah, Tuanku Ismail mahu cabar

Peguam-peguam mewakili Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra berkata, pemasyhuran anakanda sebagai Sultan Kelantan yang baru minggu lalu tidak sah dari segi perlembagaan dan akan dicabar di mahkamah.

"Tuanku Ismail Petra masih Sultan (yang sah) dan kami akan meminta campur tangan Mahkamah Persekutuan," kata Datuk Param Cumaraswamy.

Pada sidang media khas 14 September lalu, seorang anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang juga seorang peguam terkenal, Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan berdasarkan Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Oleh itu, tiada pihak yang boleh mencabar keputusan MPN dalam urusan pelantikan atau pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru kerana ia dibuat mengikut perlembagaan di bawah undang-undang tubuh kerajaan negeri," katanya.

Mohd Shukri yang mengaku dititahkan oleh Sultan Kelantan untuk mengendalikan sidang media itu juga turut merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli mewakili Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra semalam yang mempertikaikan keputusan MPN mengadakan majlis pemasyuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu.

Tiada ulasan: