Biaqpila |
- Keluarga Kamaruddin adakan solat sunat ghaib
- Planet asing sudah hancur
- Sandiwara Umno-Perkasa Mahu Paparkan Najib Wira 1Malaysia
- Bomoh terlampau ditahan
- 4 mengaku bunuh, bakar Sosilawati
| Keluarga Kamaruddin adakan solat sunat ghaib Posted: 13 Sep 2010 05:00 AM PDT KUANTAN - Keluarga Kamaruddin Shansuddin, pemandu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, malam tadi mengadakan solat sunat ghaib di rumah mereka di Bandar Indera Mahkota 2, di sini, selepas dimaklumkan penemuan tragis keempat-empat mangsa bunuh yang dibakar dan dibuang abunya ke dalam sungai. Abang ipar mangsa, Ismail Ibrahim, 56, berkata, anggota keluarga mereka yang berada di Mekah bagi menunaikan umrah ketika ini turut mendirikan solat sunat ghaib di Tanah Suci itu sebaik menerima berita berkenaan. "Solat sunat ghaib dibuat malam tadi selepas semua ahli keluarga yakin berdasar hasil siasatan awal pihak polis dan mula menerima bahawa sisa mayat yang dibakar itu adalah Kamaruddin bersama majikan serta dua rakan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini. Polis semalam mengesahkan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Selangor. Dua lagi mangsa adalah pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Ismail berkata, keluarga dan sanak-saudaranya turut mengadakan majlis tahlil selama tiga malam berturut-turut bermula semalam. "Kami mendoakan rohnya tenang. Semua keluarga bersedih dan masih belum memahami apa yang sebenarnya terjadi kepada arwah," katanya sebak. SH |
| Posted: 13 Sep 2010 01:00 AM PDT ![]() MARYLAND - Planet-planet asing yang masih dicari dan ingin diteroka saintis dan angkasawan mungkin sudah hancur dan pupus sejak lama dahulu. Dua pengkaji dari Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard (GSFC) mengeluarkan kenyataan itu berdasarkan kajian kedoktoran mereka berhubung topik berkenaan. Brian Jackson dan John Debes percaya bahawa planet-planet lain di galaksi berhampiran sudah hancur jutaan tahun lalu dan itulah sebabnya usaha penerokaan ke galaksi luar tidak membuahkan sebarang hasil selama ini. "Sepuluh tahun lalu, satu misi dibuat untuk mengesan sekitar sepuluh daripada 34,000 planet dan bintang dalam longgokan galaksi yang kita namakan :47 Tucanae:. "Tetapi pengkaji tidak menemui apa-apa kerana kami percaya kesemuanya sudah pun hancur lama dahulu," kata Jackson. GSFC tempat mereka berdua membuat kajian adalah makmal induk Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dan ditubuhkan pada 1 Mei 1959 sebagai pusat penerbangan angkasa lepas yang pertama. "Ada beberapa kemungkinan mengapa planet dan bintang di galaksi lain sudah hancur. Misalnya, ada terlalu banyak bintang dalam longgokan galaksi itu dan sebahagian besar planet terkeluar dari sistem solar akibat pelanggaran," Debes menghuraikan teori mereka berdua. Pada pandangan mereka, mungkin ada planet-planet lebih kecil yang masih ada di galaksi lain dan sesuai diteroka. "Kita perlukan peralatan lebih canggih untuk meneroka misteri ini," katanya. SH |
| Sandiwara Umno-Perkasa Mahu Paparkan Najib Wira 1Malaysia Posted: 12 Sep 2010 10:00 PM PDT Oleh Taf4 Telenovela pertelingkahan Umno-Perkasa berterusan. ![]() Babak kali ini menyaksikan penulis editorial Utusan Malaysia membidas Perdana Menteri Najib Abdul Razak kerana menjauhkan diri dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, pimpinan Ibrahim Ali. Ada pihak yang berpendapat Najib tidak lagi mampu mengekang pemberontakan blok konservatif dalam Umno. Namun bagi pembaca setia kolum Awang Selamat, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, skrip kali ini disyaki untuk mengangkat Najib sebagai wira mempertahankan 1Malaysia dari tekanan puak-puak rasis. Utusan Malaysia hari ini mempertikaikan dakwaan bahawa Umno perlu menjarakkan diri dari Perkasa jika ia mahu menarik sokongan bukan Melayu. Bagi Awang Selamat, Umno perlu mempertahankan teras masyarakat yang diwakilinya, sepertimana badan-badan yang mewakili etnik-etnik lain di negara ini. Semalam, kepimpinan kanan Umno ditayangkan media seperti berbahagi pendapat. Ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz dan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar Perkasa, Ketua Penerangan Ahmad Maslan, Menteri Pertahanan Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Noh Omar berkata Perkasa adalah perlu untuk mempertahankan kepentingan Melayu. Bagi Mahfuz, babak sandiwara ini tidak mempunyai perisa secukupnya untuk mengamit imaginasi rakyat Malaysia, yang umumnya sedar Perkasa dinaungi Umno. "Umno selama ini pun bukan juara orang Melayu pun, hanya retorik. Hakikatnya dibawah cengkaman Umno, Melayu tidak maju dan berkembang manapun," kata Mahfuz. "Buat masa ini, Perkasa dilihat tidak menguntungkan sudut politik. Maka mereka perlu membuat kenyataan seolah-olah untuk meminggirkan Perkasa," tambah beliau. Mahfuz berkata Umno dalam dilema menghadapi Pilihanraya Umum akan datang. Beliau menjelaskan bahawa Umno menyedari sokongan pengundi atas pagar dan pengundi bukan Melayu adalah penting untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Di mata Mahfuz, sandiwara ini membuktikan Najib sedang merencana strategi untuk menawarkan sesuatu yang seakan-akan sama dengan komitmen Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan yang berteraskan merit, keadilan dan lapangan peluang yang saksama untuk semua kaum yang memerlukan bantuan. "Pakatan Rakyat akan mengisi tuntutan-tuntutan rakyat Malaysia, untuk Melayu, untuk Islam. Bukan lagi Umno atau Perkasa," kata Mahfuz. tvs DD |
| Posted: 12 Sep 2010 07:00 PM PDT SEGAMAT – Lelaki menyamar bomoh berjaya ditahan apabila kanak-kanak berumur 10 tahun yang menjadi mangsa nafsu seksnya membuat laporan polis di Kampung Abdullah Segamat, Oktober 2007. Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, satu risikan telah dijalankan di beberapa negeri dan negara jiran selama hampir tiga tahun sebelum berjaya menahan lelaki terbabit berikutan jenayah yang dilakukannya. Menurutnya, lelaki terbabit berjaya ditahan ketika berada di Melaka pada 8 September lalu dan dia telah direman selama empat hari bermula 9 September. Sekiranya sabit kesalahan, lelaki terbabit dikenakan hukuman penjara lima tahun dan sebatan. "Pihak kami telah lihat rekod yang ada dan kita percaya ramai telah menjadi mangsa lelaki terbabit yang masih belum membuat laporan polis melainkan mangsa yang berada di Segamat," katanya. Abdul Majid berkata, lelaki terbabit mengumpan mangsa dengan memanggilnya dan memberikan makanan seperti buah-buahan dan barang-barang lain. "Apabila mangsa telah berjaya diumpan, dia akan memaksa mangsa melakukan seks di biliknya," katanya. Selain itu, lelaki terbabit memiliki 16 rekod lampau dari pelbagai jenis kesalahan sejak tahun 1974 sehingga 2001. "Antara jenayah yang dilakukan termasuk lucah melampau, mencuri dan beberapa kes lain. Lelaki terbabit juga pernah ditahan di Penjara Simpang Renggam sebelum ini," katanya. SH |
| 4 mengaku bunuh, bakar Sosilawati Posted: 12 Sep 2010 04:29 PM PDT ![]() BANTING - Empat pekerja ladang buah-buahan dan ternakan milik seorang peguam bergelar Datuk mengaku terlibat membunuh dan membakar Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersama jutawan kosmetik itu di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada lapan lelaki yang ditahan reman itu, polis kemudian berjaya menemui lokasi empat mangsa yang dipercayai ditahan, dibunuh dan dibakar di ladang ternakan tersebut. "Kesemua lelaki terbabit mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka kemudian dibakar. "Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke sebatang sungai berhampiran sebuah ladang ternakan di situ," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dekat sini semalam. kosmo Sementara itu laporan BERNAMA menyebut; 8 suspek, termasuk peguam bergelar datuk ditahan Sep 12, Seorang peguam berusia 41 tahun yang dikenali ramai di Banting dan bergelar 'Datuk', telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka berhubung kes kehilangan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, yang kemudiannya dibunuh, dibakar dan abunya dibuang di sebatang sungai di Tanjong Sepat dekat pekan itu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar. Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, kata Mohd Bakri dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Langat hari ini. Beliau berkata keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai perkara itu, bagaimanapun, polis masih memerlukan pengesahan daripada bahagian forensik dan Jabatan Kimia. "Apa yang boleh saya sahkan sekarang ialah selepas pengakuan suspek, peluang kesemua mangsa ditemui masih bernyawa adalah sangat tipis," katanya. Polis telah menghantar pasukan forensik dan kimia bagi mencari bahan bukti di kawasan tersebut, selain pakar patologi serta unit anjing pengesan. Seorang kakitangan forensik yang enggan dikenali berkata mereka tercium bau petrol di kawasan di mana keempat-empat mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar. Selain pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke kawasan itu untuk urusan pembelian tanah. Seminggu selepas itu, polis menjumpai kereta BMW Sosilawati di Apartmen Angsana di USJ 1, Subang Jaya serta kereta BMW Ahmad Kamil di kawasan perumahan di depan sebuah hotel di Subang Jaya. Mohd Bakri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, dan polis Kuala Lumpur akan menjalankan siasatan memandangkan kali terakhir kesemua mangsa dilihat adalah ketika mereka meninggalkan pejabat Sosilawati di Kuala Lumpur. Mengenai motif kejadian tragis itu, beliau berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati. Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati. Kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 dan 41 tahun, kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dan difahamkan polis telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap mereka bagi membantu siasatan berhubung kes itu. Kes membabitkan Sosilawati dan tiga yang lain itu juga bakal merungkai misteri di sebalik tembok besar yang mengelilingi kawasan ladang kelapa sawit yang turut menempatkan beberapa kandang lembu dan kambing. Malah menurut Mohd Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu. Menurut seorang penduduk tempatan, peguam berkenaan amat dikenali di kawasan itu kerana dia membantu pekerja asing yang ditipu gajinya oleh majikan mereka. "Dia juga dikenali sebagai broker tanah. Tetapi kami amat terkejut apabila dia ditahan," katanya. Sementara itu, seorang pemilik tanah yang terletak berhampiran kawasan kejadian berkata, ladang tersebut dilengkapi pintu elektronik dan tiada sesiapapun dibenarkan masuk. - Bernama |
| You are subscribed to email updates from Biaqpila To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |



Tiada ulasan:
Catat Ulasan