Khamis, 23 September 2010

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Nurul Izzah bertanding Naib Presiden? .. Padan Muka Hangpa!!!

Posted: 23 Sep 2010 07:53 AM PDT

"Atas semangat demokrasi dan reformasi, saya (Nurul Izzah) ingin mengumumkan kesediaan bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat." itu pengumuman oleh Anak Anwar Ibrahim Nurul Izzah pagi tadi..

Pendapat aku, ini adalah satu langkah bijak dari seorang Puteri Reformasi yang jelas dapat meredakan ketegangan yang jelas sekarang antara Azmin Ali dan juga Dato Zaid Ibrahim.

Kedengaran juga berbagai cerita dari berbagai pihak bahawa ada diantara mereka itu telah menggunakan segala cara biarpun melanggar etika hanya untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR itu..

Pagi tadi Azmin Ali yang begitu yakin akan memenangi jawatan nombor dua dalam PKR setelah mendapat 43 pencalonan mendahului Dato Zaid Ibrahim yang mendapat 2 pencalonan berkata bahawa jika beliau menang dalam pertandingan merebut jawatan nombor dua dalam parti itu, akan masih ada tempat dalam parti untuk pesaing utamanya Datuk Zaid Ibrahim.

Demi mengharapkan kuasa dikekalkan kepada mereka, kita melihat ramai ADUN dan juga Ahli Parlimen menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada Azmin Ali yang kononnya akan lebih berkuasa jika Pakatan Rakyat Berjaya ke Putrajaya dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kerana Azmin juga dikatakan rapat dengan Anwar Ibrahim.

Setelah Nurul Izzah membuat pengumuman.. kita pasti melihat Pemimpin-pemimpin PKR yang hidup dibawah bayang Anwar pasti akan terpinga-pinga… kemanakah arah sokongan mereka kini..

Hendak menyokong Anak Anwar Ibrahim atau hendak menyokong kawan Anwar Ibrahim.. siapa yang lebih dekat dengan Anwar Ibrahim ?

Nurul Izzah ataupun Azmin Ali??

Perlu diingatkan bahawa Nurul Izzah itu adalah anak Anwar Ibrahim.. dan Azmin Ali pula hanyalah kawan rapat Anwar Ibrahim.. apalah sangat kawan rapat tu kan.. kan dah ramai kawan rapat Anwar yang melompat keluar PKR.. nak percaya lagi kah kepada kawan Anwar??

Apapun... bodeklah lagi.... PADAN MUKA HANGPA!!!


Nurul Izzah tawar diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden KEADILAN
Sep 23, 2010 05:09:51 pm

Atas semangat demokrasi dan reformasi, saya ingin mengumumkan kesediaan bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Saya bersyukur dan terharu atas pencalonan yang diterima dari cabang-cabang dan saya ucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Saya gembira sekali kerana Suara Ahli hari ini menjadi Suara Hati saya dengan kesediaan saya mengambil peluang untuk memikul tanggungjawab dalam parti.

Saya juga ingin menjelaskan yang saya tidak akan mengisytiharkan sokongan kepada mana-mana calon kerana mereka bebas untuk membuat pencalonan dan saya juga bertanggungjawab untuk menghormati pilihan mereka.

Saya adalah antara mereka yang bertuah kerana dapat menjadi saksi dan terlibat dalam gerakan Reformasi 12 tahun lalu dan kini menyaksikan pencapaian Keadilan hari ini.


Saya percaya pemilihan parti tahun ini akan menjadi titik perubahan bagi memperkasakan parti dan mendekatkannya dengan nadi dan semangat rakyat demi mewujudkan Malaysia Yang Lebih Baik.

Saya juga menyedari bahawa pertandingan ini adalah persaingan adik-beradik dalam keluarga Keadilan.

Percayalah, ahli-ahli parti akan memilih pimpinan berdasarkan kepada wawasan calon, idea dan komitmen kepada nilai-nilai parti dan matlamat perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik dan bukannya setakat pertandingan personaliti.

Hargailah sumbangan pimpinan daripada pelbagai peringkat, pengorbanan mereka dalam membentuk gerakan Reformasi kepada sebuah parti politik yang akan mentadbir negara ini bersama-sama rakan-rakan dalam Pakatan.

Yakinilah bahawa setiap pimpinan dipandu oleh kiblat akhlak mereka untuk melakukan yang terbaik, walaupun dalam keadaan sukar demi kebaikan bersama.

Sesungguhnya setiap ahli berkongsi aspirasi yang sama dan mempunyai niat baik dalam mencapai matlamat perjuangan.

Segala persamaan yang dimiliki ini sepatutnya memperkuatkan kita dan bukan sebaliknya.

Selesai sahaja pemilihan, bersatulah kita dan terus sahaja bekerja dengan pimpinan yang dipilih dan rakan-rakan Pakatan dalam membentuk halatuju dengan prinsip-prinsip dan rancangan untuk Malaysia yang lebih baik.

Akhir kata, saya yakin masih belum terlambat untuk pemilihan parti dijalankan dengan adil dan bebas, seperti mana seruan kita supaya kerajaan melakukan yang sama.

Inilah ujian integriti kita dan kewibawaan sebagai pengasas Pakatan Rakyat untuk menunjukkan kita mampu bersikap telus, dan bertanggungjawab.

Ahli-ahli parti, rakan-rakan dalam Pakatan dan seluruh rakyat Malaysia akan menilai kita tentang bagaimana kita mendukung prinsip-prinsip demokrasi dalam pemilihan parti.

Marilah kita menyahut seruan demokrasi dan tidak mengkhianati harapan rakyat dan janji kita untuk membentuk Malaysia yang lebih baik.

Janganlah berfikiran singkat, mementingkan diri sendiri dan sampai matlamat menghalalkan cara ketika berkempen.

Berkempenlah dengan penuh etika ketika mencari mandat daripada ahli-ahli.

Sebagai tanda tanggungjawab bersama, demi masa depan negara, saya juga mencadangkan semua calon-calon supaya menandatangani secara terbuka "Deklarasi Kempen Adil dan Bebas" minggu depan bagi menggalakkan dan melindungi matlamat dan wawasan kita untuk Malaysia yang benar-benar demokratik.

Saya percaya parti ini adalah penentu masa depan negara.

Di sinilah bermulanya titik perubahan parti.

Terima kasih.

Kes Bunuh Sosilawati : Usharani Dedah Rakaman Perbualan Telefon Dengan Suspek

Posted: 23 Sep 2010 05:25 AM PDT

S Usharani, 27, isteri kepada jutawan dari India yang hilang, Allal Kanthan Muthuraja, 35, hari ini mendedahkan satu rakaman perbualan telefon antara beliau dengan seorang peguam yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga individu lain.

Usharani memperdengarkan perbualan selama kira-kira dua minit yang dirakam menggunakan telefon bimbitnya dengan peguam terbabit yang juga suspek utama dalam kes pembunuhan itu pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, di Kapar di sini.


Rakaman perbualan menerusi telefon bimbit Nokia yang berlangsung dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan oleh peguam Y Murugan itu berkisar mengenai pertanyaan Usharani kepada suspek berkenaan keadaan suaminya, Allal.

Usharani berkata, dalam perbualan pada 28 Januari itu, suspek mendakwa dia berada di Thailand dan hanya akan memberitahu beliau mengenai keadaan suaminya sebaik suspek balik dari negara itu.

Turut dimainkan ialah rakaman perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa dia adalah pegawai polis dari Bukit Aman bernama ASP Suresh.

"ASP Suresh meminta saya wang bernilai RM1 juta untuk menyelamatkan suami saya kerana mendakwa ditangkap atas kesalahan penyeludupan dadah jenis ketamin di negara ini," kata Usharani melalui terjemahan oleh Murugan.

Selain itu, beliau yang baru tiba dari Chennai, India, semalam berkata beliau turut menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dia adalah Inspektor Muru dari Bukit Aman dengan tujuan yang sama iaitu untuk meminta wang daripadanya.
Sementara itu, Manikavasagam berkata Usharani akan menyerahkan rakaman perbualan telefon itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, 11.30 pagi esok.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, semalam berkata kes kehilangan Allal kini disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain apabila dia dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lalu.

Usharani membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lalu dan telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat tengah hari tadi untuk memberikan keterangan kepada polis.


BERNAMA

I'Da World Group sudah Merajuk...

Posted: 23 Sep 2010 05:09 AM PDT

Abdul Rahim berkata syarikatnya iaitu I'Da World Group Sdn Bhd juga belum mempunyai wang RM4 bilion yang hendak didermakan kepada PAS Kelantan..

Apa cerita ni.. tak ada duit tapi nak menderma..



Pengerusi eksekutif I'Da World Group bersama
MB Kesayangan rakyat Perak Zambry

I'Da World batal niat laksana projek RM313b di K'tan

Syarikat I'Da World Group Sdn Bhd memutuskan untuk membatalkan niatnya melaksanakan cadangan projek pembangunan bernilai RM313 bilion di negeri Kelantan.

"Jadi projek yang kita hendak buat di negeri Kelantan itu telah dibatalkanlah. Kita hendak tutup cerita ini. Saya pun dah malas dah. Kalau dia kata kita disenaraihitamkan, kita hendak tegakkan apa lagi?" kata pengerusi eksekutifnya, Abdul Rahim Abdul Wahab.


"Kita tarik diri. Minta maaflah. Mereka kata tidak mahu, apa lagi kita boleh buat?," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kelana Jaya hari ini

Abdul Rahim berkata syarikatnya juga belum mempunyai wang RM4 bilion yang hendak didermakan kepada PAS Kelantan.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk menjayakan projek di negeri-negeri lain.

Syarikat itu dilanda kontroversi ekoran tindakannya yang mengekut semua pihak kerana bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Cek replika sumbangan itu diterima oleh adik menteri besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.


Sementara itu, Abdul Rahim menjelaskan bahawa sumbangan RM4 bilion itu merupakan satu bentuk bayaran pendahuluan daripada jumlah keuntungan daripada projek yang hendak dilaksanakan itu.

"Tiap-tiap negeri, bila buat projek usahasama, 20 peratus akan diperolehi kerajaan negeri, 80 peratus kepada (rakan niaga). Jadi bila bercakap tentang RM300 bilion, 20 peratus itu lebih kurang RM60 bilion.

"Jadi dalam RM4 bilion tadi, sebenarnnya (replika cek) itu tidak ada haribulan. Duit ini kita hendak beri bila kita dapat buat kerja (jalankan projek), dasar daripada 20 peratus tadi," tambahnya.

Katanya lagi, beliau telah berusaha untuk menjalankan projek tersebut sejak tahun 1998 lagi melalui sebuah syarikat dikenali Asas Naim Holdings.

"Pada masa itu Tuanku (Ismail Petra) masih sihat lagi," tambahnya.

Bagaimanapun, sumbangan RM4 bilion yang ingin disumbangkan kepada PAS seperti yang tercatat pada replika cek itu mencetuskan kontroversi.

PAS juga menafikan parti itu telah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion daripada syarikat berkenaan.


Malaysiakini

UMNO Paya Besar hina Sultan Pahang

Posted: 23 Sep 2010 03:45 AM PDT

UMNO buat.. tak apa..



TEMERLOH: Rakyat merasa kecewa dengan perbuatan ahli-ahli sebuah parti politik perkauman yang "menghina" Sultan Pahang sewaktu menganjurkan Majlis Bersama Raja dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Ketua Cabang PKR Paya Besar Haji Zahari Mamat berkata, "Umno memasang sepanduk yang menggunakan nama Sultan Pahang bahawa baginda akan hadir tetapi tidak menyiarkan gambar baginda di sepanduk tersebut."

Sebaliknya Umno kawasan itu, menyiarkan gambar Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Manan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing Suhaimi Md Shah.


"Tinjauan kami mendapati khemah berwarna kuning telah ditegakkan bagi membuktikan kehadiran Sultan Pahang tapi gambar baginda tidak disiarkan pada sepanduk itu," kata Zahari melalui emel kepada FMT hari ini.

Zahari berkata, "kalau dahulu di Johor, sepanduk yang memuatkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Chua Jui Meng yang ditohmahkan sebagai bakal menteri besar berdampingan dengan Sultan Johor menjadi kecuh.

"Tetapi kenapa Umno berdiam diri apabila nama Sultan Pahang digunakan pada sepanduk dengan tidak memuatkan gambar baginda.

"Kalau dulu, mereka mencetuskan provokasi dengan mendakwa PKR tidak menghormati institusi raja hingga menyebabkan Anwar terpaksa memberi keterangan di balai polis untuk siasatan.

"Tapi kini Umno cuba mengelirukan orang ramai dengan menggunakan nama baginda tanpa gambar baginda. Jelas mereka menghina Sultan Pahang dan institusi raja," ujar beliau.


Free Malaysia Today

Kes Bunuh Sosilawati : Reman 5 Suspek disambung seminggu lagi

Posted: 23 Sep 2010 01:22 AM PDT



KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman lima suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain disambung untuk seminggu lagi mulai hari ini.

Pendaftar Mahkamah Majistret Ahmad Shakib Ismail membenarkan lanjutan tahanan reman ke atas kelima-lima lelaki yang berumur antara 20-an hingga 30-an yang berakhir hari ini itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kes itu.

Perintah dikeluarkan Ahmad Shakib itu dibuat di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil di sini, iaitu tempat kesemua suspek terbabit ditahan.


Ini merupakan kali ketiga tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan.

Sementara itu, tempoh tahanan reman tiga lagi termasuk dua peguam adik
beradik yang dipercayai suspek utama pembunuhan akan berakhir pada Sabtu ini.

Kelmarin, Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan kepada polis kerana berpendapat siasatan lanjut perlu dijalankan.

Beberapa arahan baru turut diberikan kepada polis termasuk meminta polis
menyiasat lanjut kes-kes lain yang mempunyai kaitan dengan suspek pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain itu.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44,
pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38,
dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos
lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul
sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai
berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.


Bernama

Mustahil wang ihsan Pulau Pinang guna hasil sumber judi

Posted: 22 Sep 2010 11:57 PM PDT

Oleh Muaz Mustaqim

GEORGE TOWN, 23 Sept — Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas.

Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat minggu lalu adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran.

Menurut beliau lagi kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut.

"Daripada peruntukkan yang diberikan kita telah membelanjakan sebanyak RM10.7 juta dan masih mempunyai lebihan RM9.3 juta untuk meneruskan program penghargaan warga emas.


"Suka ditegaskan di sini bahawa wang ihsan tersebut bukan hasil dari sumber judi. Ia adalah hasil dari pungutan cukai tanah serta sumber selain dari judi.

"Kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan lesen judi sedangkan kerajaan pusat sahaja yang mempunyai kuasa untuk meluluskan semua lesen judi yang ada dalam negara kini," katanya lagi.

Sabtu lalu, Pergerakan Pemuda Umno meminta kerajaan negeri Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan iaitu RM100 setahun kepada warga emas dan RM1,000 kepada waris keluarga warga emas meninggal dunia menerusi program penghargaan warga emas adalah menggunakan wang daripada sumber judi.

Ketua Penerangannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng perlu segera memberi penjelasan kerana dakwaan dalam blog "pisau.net" itu telah menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang segelintir penerima wang ehsan itu, terutama yang beragama Islam

Malik menambah, dakwaan mereka adalah umpama pekerja upahan yang sentiasa menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

Pada anggapan mereka dengan membuat fitnah dan tohmahan sedemikian rakyat akan mengalih sokongan kepada mereka.

"Namun begitu, tidak mudah untuk memperdayakan rakyat yang telah memberi sokongan kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat.

"Selama hampir 30 bulan kita menerajui kepimpinan kerajaan negeri, rakyat sudah merasa selesa dengan amanah dan tanggungjawab yang diterajui oleh Guan Eng bersama-sama kepimpinan PAS dan PKR," ujarnya lagi.

Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung menambah, kerajaan negeri terpaksa mengadakan penjelasan dan penerangan kepada rakyat negeri ini ekoran dakwaan-dakwaan tidak berasas itu.

Program penerangan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjelaskan perkara sebenar mengenai tuduhan yang dibuat.

"Risalah penerangan dan penafian mengenai setiap tuduhan yang dilemparkan oleh Umno dan BN yang bertopengkan blogger-blogger yang ada akan kita pantau dan ambil tindakan supaya rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan mereka," tegasnya lagi.

Kelmarin, Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Utara di Butterworth.

Dalam laporan itu Pemuda Pakatan Rakyat meminta suruhanjaya itu membuat siasatan segera terhadap dakwaan yang berunsurkan fitnah yang dilemparkan oleh blog berkenaan.


The Malaysian Insider

Kes Bunuh Sosilawati : Suspek Utama dibawa ke saluran air

Posted: 22 Sep 2010 11:44 PM PDT

Seorang lelaki, yang dipercayai suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sekali lagi dibawa ke sebuah saluran air di sini, dipercayai bagi mencari bahan bukti baru kes itu.


ANGGOTA Unit Skuba Pasukan Gerakan Marin mencari bahan bukti di bawah
jambatan berdekatan kunci air sungai berhampiran Pasar Besar Banting selepas
lokasi ini ditunjukkan oleh suspek utama, hari ini. - Foto Luqman Hakim

Pasukan forensik dilihat membawa suspek, yang berpakaian lokap berwarna ungu dengan tangan bergari, ke sebuah saluran air yang menghubungkan tali air Kampung Sungai Lang di sini kira-kira pukul 10.30 pagi ini.


Mereka kemudiannya meninggalkan lokasi itu dua setengah jam kemudian, dengan tidak menemui sebarang objek atau bahan bukti.

Kelmarin, suspek berusia 41 tahun itu turut dibawa polis ke lokasi sama dipercayai bagi mencari petunjuk baru kes pembunuhan itu.

Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.


BERNAMA

Videoclip : Penjelasan dari TG Nik Aziz berkenaan derma RM4Billion.

Posted: 22 Sep 2010 10:09 PM PDT

Penjelasan YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan mengenai isu wang derma RM4 bilion kepada Kelantan.

Kes Bunuh Sosilawati : 8 suspek jalani ujian SPERMA

Posted: 22 Sep 2010 08:39 PM PDT

2010/09/23
Polis menyiasat kemungkinan Sosilawati juga dirogol




KUALA LUMPUR: Lapan suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan kes kehilangan ahli perniagaan India, termasuk dua beradik peguam diambil sampel darah dan air mani bagi ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Difahamkan, sampel air mani diambil bagi menyiasat maklumat baru kemungkinan salah seorang mangsa turut dirogol.

Dalam pada itu, Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan kepada polis kerana berpendapat siasatan lanjut perlu dijalankan. Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah, berkata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sudah memberi beberapa arahan baru untuk disiasat polis.


Peguam Negara juga meminta polis menyiasat lanjut kes-kes lain yang mempunyai kaitan dengan suspek yang ditangkap (berhubung pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya).

Polis menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 September lalu, dan Peguam Negara mendapati ada banyak lagi perlu dibuat siasatan lanjut. Kertas siasatan itu dikembalikan kepada polis pada hari sama, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan sudah menerima kembali kertas siasatan awal itu daripada Jabatan Peguam Negara dan menyifatkannya sebagai prosedur biasa bagi memperkukuhkan siasatan kes.

Sementara itu, difahamkan pengambilan sampel semua suspek itu adalah yang kedua selepas kali pertama, minggu lalu berikutan ada penemuan beberapa petunjuk baru dalam siasatan kes berkenaan.

Sumber memberitahu Berita Harian, proses itu sebahagian daripada prosedur standard operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), khusus untuk memperlengkapkan kertas siasatan kes berkenaan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

Polis menemui beberapa bukti dan maklumat baru sepanjang proses siasatan, di mana penemuan itu memerlukan pengambilan sampel darah dan air mani suspek. Ini bertujuan melengkapkan kertas siasatan seperti diarahkan Peguam Negara, katanya.

Kelapan-lapan suspek lelaki terbabit, iaitu enam berkaitan kes pembunuhan Sosilawati dan dua lagi berhubung kehilangan ahli perniagaan India, Muthuraja Allal Kanthan tiba di Jabatan Patologi HKL kira-kira jam 3 petang, menaiki empat kenderaan berasingan dengan kawalan ketat pasukan khas yang mengendalikan kes itu.

Proses ini berlangsung selama dua jam sebelum suspek dihantar semula ke Pusat Tahanan Sementara di Bukit Jalil kira-kira jam 5 petang, katanya.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh kejam bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38, di sebuah ladang persendirian di Morib, Banting pada 30 Ogos lalu.

Semua mangsa dilaporkan diikat, dipukul dan ditikam sampai mati sebelum mayat dibakar serta abu mereka dibuang ke beberapa sungai berhampiran.

Berikutan itu, polis menahan lapan suspek berusia 19 hingga 41 tahun, termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Turut ditahan dua suspek lelaki berusia 30 dan 34 tahun berhubung siasatan kes kehilangan saudagar batu permata, Muthuraja, 34, dari Chennai, India pada 18 Januari lalu, yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kes Sosilawati.


Berita Harian

Zahid Mat Arip! Jangan hidup bercerminkan bangkai

Posted: 22 Sep 2010 08:31 PM PDT

KUALA LUMPUR, 23 Sept: "Soal saudara lompat dan meninggal rakan seperjuangan itu adalah hak saudara, tetapi janganlah mengorbankan prinsip perjuangan, biarlah kita mati daripada hidup bercerminkan bangkai," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau menujukan kata-kata sinis itu kepada Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari cenderung kepada pembangkang.

Justeru, tegasnya PAS menyokong penuh pendirian Hata untuk mendukung etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.

Sebagai menjawab dakwaan itu, Hata dilaporkan berkata, NUJ merupakan organisasi bebas dan tidak menyokong mana-mana parti politik.

Sebaliknya, ia memperjuangkan etika kewartawanan bagi memastikan para wartawan mampu menjalankan tugas secara profesional tanpa berat sebelah, sekali gus memastikan laporan tepat dan telus.


Sebagai presiden NUJ, beliau menegakkan prinsip tersebut, di samping memperjuangkan lebih dari sekadar kewartawanan beretika.

Beliau menegaskan, perjuangannya adalah untuk melihat akhbar di negara ini bebas daripada cengkaman tuan politik sama ada Barisan Nasional, Pakatan Rakyat atau pemimpin politik lain.

"Sebenarnya inilah yang sepatutnya dipegang dalam etika kewartawanan, dengan melaporkan secara jujur dan bertanggungjawab," ujar Idris dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat telah menjadi mangsa kepada media perdana di negara ini yang melaporkan berita fitnah dan bohong yang jauh menyimpang dari etika kewartawanan.

Beliau menambah, menjadi lumrah sebagai manusia, wartawan tidak sunyi daripada kesilapan tetapi jika perkara itu berlaku sepatutnya dengan segera memohon kemaafan dan membetulkan kembali sebarang kesilapan.

Apa yang berlaku pada hari ini, ujarnya media yang pro Barisan Nasional tidak berpegang dengan etika itu.

Katanya, mereka sanggup membiarkan perkara itu berlegar dan melekat dalam pemikiran pembaca walaupun ianya bohong dan fitnah.

"Contoh yang terbaru ialah kes khatib membaca khutbah di Pulau Pinang dilaporkan Lim Guan Eng menggantikan Yang di-Pertuan Agong dalam doa," ujarnya.

Begitu juga, katanya Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching difitnah bertazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS di Surau Al-Huda, Kajang Sentral.

"Walaupun penjelasan diberi mereka masih meneruskan laporan fitnah ini, sikap yang ditunjukkan oleh media ini tidak menggambarkan sikap yang profesional," katanya lagi.

Apa yang penting kepada mereka, ujarnya ialah dapat memenuhi agenda politik jahat tuan mereka.

"PAS sedar banyak juga wartawan jujur dalam laporan, tetapi dikhianati oleh ketua pengarang mereka untuk memenuhi citarasa golongan penindas rakyat di negara ini," katanya.

PAS, katanya bukan minta dipuji, tetapi laporlah yang benar dan tidak kecil hati kalau berita mengenai PAS tidak dilaporkan tetapi tidak rela berita mengenai perjuangannya difitnah sehingga mengelirukan rakyat di negara ini.

Tambahnya, kemampuan untuk menjernihkan tanggapan fitnah kepada PAS adalah terbatas melalui media Harakah yang dikenakan dengan syarat-syarat yang ketat, sedangkan berita fitnah disebarkan oleh media BN ke pelosok kampung.

"PAS ingin mengingatkan Zahid Md Arip , bukankah dulu kita sama-sama menentang laporan media yang berat sebelah terhadap pembangkang ketika kita sama-sama menuntut keadilan dalam sebuah negara demokrasi.

"Kalau pun saudara sudah menyeberang di sana, janganlah lupa perjuangan kita semasa berada di atas pentas untuk menuntut hak sebuah parti politik di negara ini," ujarnya.


Harakahdaily

Cek RM4 bilion, GNI RM1.7 trilion hanya dongeng penglipurlara

Posted: 22 Sep 2010 08:20 PM PDT

Abd Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Cerita Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala pada Hari Terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) tidak ubah seperti cerita penglipurlara menyumbang derma RM4 bilion, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Dua-dua penglipurlara. Tidak ada bezanya cerita Pendapatan Negara Kasar (GNI) meningkat hampir RM1.7 trilion yang didakwa dalam program ETP di Kuala Lumpur dengan kisah derma RM4 bilion kepada PAS Kelantan di Kota Bharu.

"Yang seronoknya, Umno percaya kedua-duanya. Penglipurlara ETP sudah tentulah Umno percaya sebab mereka hendak paksa rakyat pula turut mempercayainya. Dengan pemikiran ala ETP itu, kisah penglipurlara derma RM4 bilion juga mereka telan dengan rakus," kata beliau sambil merujuk gesaan supaya 'derma' RM4 bilion itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga laporan polis mengenainya.


Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menggesa SPRM menyiasat sumbangan RM4 bilion yang didakwanya diterima oleh PAS daripada sebuah syarikat.

Pergerakan Pemuda Umno Kelantan menjadi bahan tertawaan ramai apabila membuat laporan di balai polis Kota Bharu berhubung 'sumbangan' itu.

"Tidak menghairankan jika Umno begitu teruja dan percaya habis-habisan cerita-cerita penglipurlara seperti itu kerana memang itulah pemikiran mereka.

"Sama seperti mereka mempercayai dongeng sumbangan derma itu, seperti itulah juga mereka mahu rakyat mempercayai penglipurlara ETP.

"Bila rakyat mempercayai penglipurlara ETP sama seperti yang mereka percayai, Umno berharap senanglah mereka hendak memperdayakan rakyat supaya terus mengundi Barisan Nasional (BN)," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Bagi Mahfuz, kisah derma RM4 bilion adalah kisah ahli perniagaan yang berangan-angan banyak duit kononnya sehingga US$2.7 trilion yang tidak banyak bezanya kisah Umno yang berangan-angan panjang hendak mencipta pendapatan negara sehingga RM1.258 trilion dengan projek-projek ETP menjelang 2020 ketika Merrill Lynch melaporkan bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang paling tidak digemari pelabur di kawasan Asia Pasifik.

"Tidak pula ditunjukkan dengan jelas dari mana datangnya duit untuk melaksanakan projek-projek penglipurlara ETP itu.

"Persoalannya, adakah cerita penglipurlara ETP itu sengaja dibuat untuk mewajarkan lebih banyak lagi pembantaian duit Petronas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) misalnya?" beliau mempersoalkan.


Harakahdaily

Kes Bunuh Sosilawati : Pegawai Polis minta RM1Juta dari isteri mangsa?

Posted: 22 Sep 2010 09:10 AM PDT

Oleh Stephanie Sta Maria
Wed, Sep 22, 2010

KUALA LUMPUR: Isteri ahli perniagaan India yang hilang tiba di Malaysia pagi ini untuk membantu siasatan tetapi beliau membawa bersamanya bukti yang boleh mendatangkan kesusahan kepada polis.

S Usharani, 24, membawa rakaman perbualan telefon di antara beliau dan seorang lelaki yang didakwa sebagai pegawai polis Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen PKR Kapar Manikavasagam, "pegawai polis" itu menelefon Usharani di Chennai dan menuntut sebanyak RM1 juta untuk pembebasan suaminya.

Muthuraja, pembiaya panggung wayang, dikatakan mempunyai hubungan dengan suspek-suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Sosilawati Lowiya dan tiga yang lain. Beliau dilaporkan hilang Januari tahun ini selepas menemui peguam dua beradik itu.

Manikavasagam memberitahu hari ini bahawa apabila beliau menemani Usharani ke ibu pejabat polis daerah Kuala Langat, pihak polis meminta bukti rakaman itu tetapi beliau enggan memberi kepada mereka.


"Saya tetap tidak mempercayai mereka. Jadi saya mahu memberi rakaman ini kepada pihak media terlebih dahulu sebelum memberinya kepada polis," katanya, menambah beliau akan melakukannya pada sidang media esok.

Mengenai perbualan telefon, Manikavasagam berkata, ia dalam bahasa Tamil dan "pegawai polis" itu menyebut namanya sebagai "ASP Suresh".

Ditanya adakah ini menunjukkan bahawa suspek-suspek utama itu (peguam-peguam yang hidup mewah), mempunyai hubungan dengan polis, beliau menjawab, "sudah tentu, kemungkinan mereka turut terlibat."

"Malahan firma peguam suspek (di Banting) terletak betul-betul di hadapan di seberang jalan dengan ibu pejabat polis daerah itu," tambah beliau.

Isteri melawat tempat kejadian

Manikavasagam berkata polis memberitahu Usharani bahawa mereka yakin suaminya telah dibunuh dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 302.

Usharani dibawa ke Ladang Gadong di mana pembunuhan itu berlaku dan juga ke sungai di mana tulang-tulang manusia yang tidak dikenali ditemui.

Meskipun demikian, Manikavasagam berkata Usharani enggan mempercayai suaminya telah mati.

"Usharani kelihatan tenang apabila bercakap dengan polis tapi menangis di tempat kejadian. Beliau sungguh sedih tapi berjanji untuk memberi kerjasama penuh kepada polis dalam usaha mencari suaminya," tambah beliau.

Sementara itu, pihak polis meminta salah seorang anggota keluarga Muthuraja datang ke Malaysia untuk memberi bukti DNA bagi mempercepatkan penyiasatan.

Ditanya kenapa Usharani meminta pertolongannya, Manikavasagam menerangkan bahawa beliau telah diperkenalkan oleh rakan-rakan di India.

"Ramai orang di India mengenali saya melalui tugas saya," jelas beliau. "Orang ini secara kebetulan merupakan salah seorang daripada mereka dan memberinya (Usharani) nombor saya. Beliau (Usharani) menelefon saya meminta tolong dan saya setuju."

Manikavasagam memuji pihak polis kerana berjaya menjalankan tugas dengan baik dan menekankan bahawa ini berhubung dengan keadilan untuk para mangsa dan bukan hanya untuk Muthuraja.

Usharani, yang menginap di sini bersama saudaranya, akan berada di Malaysia selama seminggu untuk membantu siasatan.


Free Malaysia Today

Tiada ulasan: