Anak Sungai Derhaka |
- Debat AMK : Live dari Taiping...
- Etika Pemilihan PKR untuk SIAPA?
- Kes Bunuh Sosilawati : Tiga Suspek ditahan reman tujuh hari lagi
- Kes Bunuh Sosilawati: Pekida berkabung
- Pemilihan PKR : Bebas Dari Fitnah, Sogokan - Anwar
- Kes Bunuh Sosilawati : Mangsa Dipukul guna kayu kriket
- Kes Bunuh Sosilawat i: Pemukul Kriket Mungkin Antara Senjata Yang Digunakan
- Kes Bunuh Sosilawati : Laporan Penuh Dikemukakan ke Peguam Negara Minggu Depan
- Kes Pembunuhan Sosilawati : Polis Punya Bukti Kukuh Terhadap Suspek
- M Rajoli meninggal dunia
- Kes Bunuh Sosilawati : Polis menjumpai ratusan fragmen tulang
- Kes Bunuh Sosilawati : Nama Murugiah dikaitkan.
| Debat AMK : Live dari Taiping... Posted: 18 Sep 2010 06:52 AM PDT Dibawakan khas dari Taiping Debat Calon-calon Ketua Pemuda AMK.. buat yang tidak dapat hadir bersama ..dengan ihsan Ureka.asia. |
| Etika Pemilihan PKR untuk SIAPA? Posted: 18 Sep 2010 01:58 AM PDT Berapa banyak etika yang perlu dilanggar beliau hanya kerana mahukan jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR tersebut Oleh : Anak Sungai Derhaka Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan pemilihan pemimpin secara berperingkat mulai hari ini dimana 208 cabang, juga dikenali sebagai bahagian, akan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan pimpinan dari hari ini hingga 3 Okt.Bagi mewujudkan suasana pemilihan yang sihat, bersih dan telus PKR telah menggariskan beberapa etika atau tatalaku pemilihan Parti seperti berikut: Tatalaku Pemilihan Parti 1. Setiap anggota tidak boleh menyalahgunakan kedudukan dan kuasa-kuasa dalam Parti dengan tujuan mempengaruhi keputusan pemilihan Parti. 2. Setiap anggota tidak boleh memberi atau menerima dari anggota lain sebarang bentuk rangsangan, termasuklah (tetapi tidak terhad) hadiah-hadiah, wang, derma, makanan, dan perkhidmatan dengan tujuan untuk mempengaruhi keputusan pemilihan Parti. 3. Setiap anggota tidak boleh mencederakan, mengugut atau menyebabkan tekanan terhadap mana-mana anggota parti dengan tujuan untuk mempengaruhi keputusan pemilihan Parti. 4. Setiap anggota tidak boleh memfitnah, mengeji, menghina, menjalankan kempen atau serangan berupa cacian terhadap calon lain atau kehidupan peribadi calon atau keluarganya. 5. Setiap anggota tidak boleh menganjurkan dan menggunakan sebarang jamuan sebagai sebahagian daripada kempennya dengan tujuan mempengaruhi keputusan pemilihan Parti. "Jamuan" bermaksud acara jamuan/kenduri yang lengkap dengan makanan dan minuman. Sepenuhnya sila lihat di SINI dan sedikit penjelasan tambahan yang boleh di baca di SINI Dalam tatalaku pemilihan parti yang ke 5 jelas dipaparkan bahawa Setiap anggota tidak boleh menganjurkan dan menggunakan sebarang jamuan sebagai sebahagian daripada kempennya dengan tujuan mempengaruhi keputusan pemilihan Parti. Di Permatang Pauh, jawatan untuk Timbalan Ketua Cabang telah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Che Mat bin Hashim (Pak Tam) dan TKM1 Pulau Pinang Datuk Mansor Othman yang juga merupakan ADUN Penanti. Penyandang bagi jawatan tersebut buat masa ini ialah Che Mat bin Hashim, yang telah menyandang jawatan tersebut hampir 10 tahun. Pemilihan dan juga Mesyuarat Agong peringkat Cabang akan diadakan pada 19 September 2010 ini bertempat di Yayasan Aman, Penanti. Tidakkah tindakan mengadakan Rumah Terbuka ini menyalahi etika yang telah ditetapkan oleh PKR sendiri, mustahil beliau tidak mengetahui akan ujudnya etika tersebut memandangkan beliau adalah seorang Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Pulau Pinang. Mungkin tujuan beliau hanyalah untuk meraikan penduduk-penduduk penanti dan beliau tidak mempunyai niat untuk berkempen mempengaruhi pengundi atau ahli-ahli PKR yang akan mengundi pada hari tersebut tetapi siapakah yang boleh memastikan tiada kempen dijalankan? Jika alasan beliau adalah seorang ADUN dan beliau memang berhak untuk mengadakan jamuan tersebut tidakkah beliau sedar sebagai seorang calon yang turut bertanding beliau terikat dengan tatalaku pemilihan parti yang dijadikan garis itu? Jelas pada perenggan yang pertama mengatakan 'Setiap anggota tidak boleh menyalahgunakan kedudukan dan kuasa-kuasa dalam Parti dengan tujuan mempengaruhi keputusan pemilihan Parti.' Apa salahnya jika jamuan Aidilfitri tersebut diadakan selepas pemilihan, sedangkan kita menyambut Hari Raya selama sebulan? Itu hanya mengenai rumah terbuka, bagaimanapula dengan janji-janji yang ditaburkan oleh pembantu-pembantu beliau yang berkempen hingga menjanjikan, kalau anda undi Datuk Mansur, kami akan tolong apa saja atau jika dalam Bahasa Inggerisnya ' You help me, I help you..' biasa dengarkan ayat itu.. ya.. ayat yang Najib gunakan ketika PRK Sibu yang lalu yang telah menimbulkan kontroversi. Ayat tersebut telah dikatakan diucapkan kepada bukan ahli PKR yang disangkakan mereka ahli PKR di sebuah perkampungan masyarakat Cina. Dan pagi ini pula, satu SMS yang berbunyi 'Calon terbaik untuk Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh adalah Dr Mansor, TKM1 PP seorang yang berpelajaran tinggi& perintis penubuhan parti pd 1998. Kita nak lihat perubahan besar PKR Pmtg Pauh agar lebih terurus pengurusan, kewangan yg lebih telus & pemimpin yg sihat. Jangan lupa keluar undi Dr Mansor!.. Saranan DSAI.. Sebarkan.. Kotornya cara kempen mereka dijalankan.. mereka mengatakan seolah-olah tidak ujud atau kurang ketelusan dalam pengurusan kewangan PKR Permatang Pauh yang di Ketuai oleh DS Wan Azizah sendiri.. Sedar atau tidak sedar dalam masa yang sama mereka telah memperlekehkan Pak Tam, seorang calon yang tdak berpendidikan tinggi dan mereka juga menyindir Pak Tam yang tidak begitu sihat sekarang.. Mereka juga mengatakan pengundi PKR Permatang Pauh perlu mengundi Datuk Mansor kerana ianyan disarankan oleh DSAI sendiri, sedangkan DSAI telah berkata "Saya menginginkan persaingan yg sihat; dengan semua calon yang dikemuka mematuhi etika pemilihan sepenuhnya dan tidak mendakwa mendapat restu saya. Berapa banyak etika yang perlu dilanggar beliau hanya kerana mahukan jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh? Untuk siapakah disediakan etika pemilihan Parti tersebut? Adakah ianya hanya dikenakan terhadap ahli-ahli biasa dan tidak pemimpin-pemimpin PKR? ETIKA PEMILIHAN ITU UNTUK SIAPA???? |
| Kes Bunuh Sosilawati : Tiga Suspek ditahan reman tujuh hari lagi Posted: 18 Sep 2010 01:11 AM PDT KUALA LUMPUR, 18 Sept — Tempoh tahanan reman seorang peguam yang mendakwa dirinya bergelar "Datuk" bersama adiknya dan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dilanjutkan sehingga 25 September ini.Majistret Mohd Azeli Ibrahim hari ini membenarkan lanjutan tahanan reman ke atas ketiga-tiga lelaki yang berumur lingkungan 30 dan 40an itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kes tersebut. Perintah dikeluarkan Mohd Azeli di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil di sini, iaitu tempat semua suspek terbabit ditahan. "Datuk" itu dan adiknya yang juga seorang peguam adalah suspek pertama yang ditahan polis pada 9 September di Banting, manakala enam lagi ditahan pada 10 September. Sementara itu seorang jurucakap polis mengesahkan bahawa tempoh reman ke atas lima lagi suspek disambung hingga Khamis ini. Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah. Pada 13 September lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayatnya dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor. Dan Bernama juga melaporkan Dua suspek kes ugut isteri jutawan India direman tujuh hari SEPANG, 18 Sept — Mahkamah Majistret Litar di sini hari ini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman dua suspek kes ugut isteri seorang jutawan India yang dilaporkan hilang di Banting, di sini sejak awal tahun ini. Majistret Hurman Hussain membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengugut isteri jutawan itu yang juga warganegara India, S. Usharani, 24. Kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan perbuatan mengugut Usharani bagi memperoleh wang RM100,000 sebagai pendahuluan 10 peratus daripada RM1 juta yang kononnya bagi membebaskan suamninya, Allal Kathan Muturaja. Jutawan berumur 34 tahun itu dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini. Kedua-dua lelaki itu dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi tadi dan perintah reman itu dikeluarkan kira-kira sejam kemudian. Bernama |
| Kes Bunuh Sosilawati: Pekida berkabung Posted: 18 Sep 2010 01:00 AM PDT Kira-kira 120 anggota Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) hadir ke rumah Noorhisham Mohamad yang mati dibunuh bersama Datuk Sosilawati Lawiya pada 30 Ogos lalu bagi menyertai bacaan Yaasin dan tahlil kepada arwah.Majlis itu diadakan di rumah Noorhisham di Taman Seraya, Ampang pada jam 12.00 tengah hari diketuai oleh Pengerusi hal ehwal khas Pekida Shahril Abdul Aziz. Noorhisham - seorang pegawai bank, Sosilawati, pemandu jutawan kosmetik itu Kamaruddin Shansuddin dan peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, dipercayai dipukul sampai mati dan dibakar di Ladang Gadong dan abunya dibuang di Sungai Panchau, Banting, Selangor. Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Shahril menyalahkan majlis peguam yang didakwanya "gagal membersihkan peguam-peguam yang bermasalah". "Sepatutnya Majlis Peguam mengambil langkah-langkah yang lebih tepat dengan mengasingkan peguam-peguam bermasalah dengan membuat penyataan terbuka di dalam media ataupun memperkenalkan kad kuasa yang mesti diperbaharui setiap tahun sebelum peguam-peguam mahu menjalankan perniagaan mereka," katanya. Justeru, Shahril mencadangkan satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat majlis berkenaan. Sebelum ini, dilaporkan seorang peguam merupakan suspek utama kes pembunuhan kejam itu. Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan Roslan Dahaman dan Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (PERWARIS) Rahimuddin Md Harun. Sejurus selepas tamat sidang media itu, kelihatan beberapa orang yang hadir membakar kain rentang bertulis "Presiden majlis peguam mesti letak jawatan" tanda tidak puas hati mereka.Sambil mengucapkan tahniah kepada kecekapan polis menyiasat kes itu dengan segera, Shahril juga mengingatkan supaya isu pembunuhan itu tidak dipolitikkan. "Kami juga mengingatkan dan mempersetankan mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu ini serta merendah-rendahkan kewibawaaan serta martabat PDRM...," katanya. Sebelum itu, pertubuhan itu juga membuat kutipan wang bagi membantu meringankan beban keluarga Noorhisham. Kelihatan beberapa anggota keluarga pegawai bank itu agak tenang dan menyertai majlis bacaan tahlil di halaman rumah keluarga si mati. Malaysiakini |
| Pemilihan PKR : Bebas Dari Fitnah, Sogokan - Anwar Posted: 18 Sep 2010 12:54 AM PDT DAMANSARA 18 SEPT: JAWATANKUASA PEMILIHAN AKAN MEMBUAT PEMANTAUAN TELITI PADA PROSES PEMILIHAN PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR), SUPAYA KOD ETIKA DIPATUHI SETERUSNYA MENGHINDAR ANASIR FITNAH DAN SOGOKAN."Begitu banyak ulasan dalam blog, facebook dan twitter yang saya ikuti dengan dekat, terpancar kekhuatiran akibat pertandingan dalam proses pemilihan parti. "Pemilihan kali ini mengundang perhatian umum. Ini bermakna PKR kini terangkul sebagai antara parti utama negara," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu kenyataan media, hari ini. Ketua Pembangkang itu mengingatkan semua pihak, ahli parti yang akhirnya membuat penilaian dan penentuan. Katanya, PKR mempamer keberanian dan ketegasan luar biasa apabila menetapkan sistem pemilihan terbuka dan langsung dari setiap ahli, bukan lagi ditentukan wakil mereka. Anwar berkata, PKR digerakkan sebagai parti perjuangan menolak kezaliman dan menegak keadilan serta menyatakan saf kepimpinan perlu tegas dan mantap memberi nafas reformasi. "Meskipun ada agenda luar termasuk media Umno-BN dan gerombolan luar yang akan teruskan dengan politik adu domba, mengheret khalayak membicara dari sudut negatif, saya yakin anggota parti akan memilih kepimpinan berdasarkan prinsip perjuangan, ikatan dan adab jamaah," katanya. |
| Kes Bunuh Sosilawati : Mangsa Dipukul guna kayu kriket Posted: 17 Sep 2010 08:25 PM PDT Polis buat pertama kali semalam mendedahkan cara pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang diikat, sebelum dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat mereka dibakar. PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin (tengah), menunjukkan kertas kenyataan media polis pada sidang akhbar Polis sahkan suspek utama tidak pernah dikurnia Datuk KUALA LUMPUR: Polis buat pertama kali semalam mendedahkan cara pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang diikat, sebelum dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat mereka dibakar. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin pada sidang medianya, berkata abu mayat semua mangsa kemudian dibuang ke beberapa sungai sekitar Tanjung Sepat, Morib di Banting bersama barang peribadi mangsa untuk menghapuskan bukti. Beliau berkata, pengakuan itu dibuat oleh empat pekerja ladang persendirian milik seorang peguam dan ahli perniagaan yang mendakwa dirinya 'Datuk' yang kini menjadi suspek utama pembunuhan kejam yang dirancang rapi itu. Keempat-empat pekerja terbabit dikatakan terlalu taksub kepada suspek utama hingga sanggup membunuh pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages itu bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangan CIMB Bank, Noorhisham Mohamad, 38. Mohd Bakri juga mengesahkan pemeriksaan polis mendapati suspek utama tidak pernah dikurniakan gelaran Datuk oleh mana-mana negeri. Setakat ini katanya, polis sudah menemui bat (kayu pemukul) kriket dan sebilah pisau di beberapa lokasi berhampiran tempat kejadian, dipercayai digunakan untuk membunuh ahli perniagaan terbabit dan tiga rakannya. "Berdasarkan pengakuan pekerja berkenaan, beberapa barangan peribadi milik mangsa turut ditemui di sekitar tempat kejadian. "Ini termasuk barang kemas, jam tangan dan telefon yang boleh membantu siasatan kes. Penemuan dua kereta mewah jenis BMW, masing-masing milik Sosilawati dan peguamnya juga adalah petunjuk untuk mengheret suspek ke muka pengadilan. Kita yakin mempunyai bukti kukuh bagi mengaitkan suspek utama dengan kes ini," katanya. Bagaimanapun Mohd Bakri menafikan keempat-empat mangsa disembelih, selain dakwaan suspek utama memelihara anjing pembunuh di ladang persendirian miliknya dan menganggap perkara itu boleh mengganggu kelancaran proses siasatan. "Dakwaan kononnya mangsa disembelih, suspek sudah bunuh 17 mangsa, mangsa diumpan cek tertunda, sungai dipenuhi tulang (manusia), anjing pembunuh dan beberapa dakwaan lain menggunakan sumber adalah spekulasi semata-mata. Ini langsung tidak menggambarkan kejadian sebenar. "Yang pasti, soal siasat yang dijalankan ke atas suspek, semua mangsa dibunuh dengan diikat sebelum dipukul dan ditikam hingga mati, kemudian dibakar dan abu mereka dibuang ke sungai. Jangan suka-suka buat andaian hingga mengganggu kelancaran proses siasatan," katanya. Hadir sama Timbalan Pengarah JSJ (Penyiasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah; Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua JSJ Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas apabila ditanya sama ada mayat keempat-empat mangsa dikerat sebelum dibakar, selain terdapat senjata tertentu, termasuk parang digunakan untuk mengerat semua mayat berkenaan. "Itu sedang kita siasat," katanya. Beliau turut mengesahkan hanya lapan suspek ditahan setakat ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jika ada suspek lain terbabit dalam kes itu. "Aset suspek utama turut dibekukan untuk proses siasatan. Suspek juga disahkan tidak meminta apa-apa wang tebusan daripada keluarga mangsa sebelum ini," katanya. Katanya, perintah reman tiga daripada lapan suspek akan tamat esok, manakala lima lagi termasuk peguam terbabit disambung sehingga 23 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. "Orang ramai perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah dalam bidang kuasa Peguam Negara dan menjatuhkan hukuman sama ada suspek bersalah atau tidak adalah kuasa mahkamah, bukannya polis," katanya. Berita Harian |
| Kes Bunuh Sosilawat i: Pemukul Kriket Mungkin Antara Senjata Yang Digunakan Posted: 17 Sep 2010 08:14 PM PDT Sabtu September 18, 2010 Oleh M. KUMAR KUALA LUMPUR: Sebatang pemukul kriket yang ditemui di Sungai Panchau, Banting, dekat sini, mungkin satu daripada senjata yang digunakan dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, pemukul kriket itu merupakan sebahagian daripada objek yang ditemui di sungai dalam gerakan mencari bukti pembunuhan tersebut. "Antara objek yang dijumpai dari sungai ialah pemukul kriket yang dipercayai satu daripada senjata pembunuhan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, di sini Jumaat. Sosilawati, 47, peguam Ahmad Kamal Abdul Karim, 32, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dipercayai dibakar sebelum abu mereka ditabur di sekitar sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting seminggu kemudian. Mohd Bakri berkata, polis menjangkakan akan memperoleh laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)daripada cebisan tulang yang dijumpai dalam sungai dan juga ladang tersebut dalam tempoh empat hari lagi. Beliau menambah, buat masa ini polis telah menghentikan usaha mengumpul bahan bukti daripada sungai dan juga ladang yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan yang menggemparkan negara itu. Mohd Bakri juga berkata, polis percaya telah membina kes yang kuat terhadap peguam dua beradik tersebut dan enam lagi yang ditahan dalam siasatan. "Bagaimanapun, kawasan terbabit masih dikawal kerana kita mungkin akan meneruskan siasatan jika diperlukan," katanya. Beliau juga mengesahkan bahawa pihaknya kini menyiasat kes pembunuhan lain yang berkaitan dengan peguam tersebut, termasuk seorang wanita yang dibunuh di Banting pada April lalu. Polis juga telah memperoleh perintah lanjutan reman terhadap lima suspek sehingga 23 September ini. "Kita juga akan mendapatkan lanjutan reman untuk tiga lagi suspek esok (Sabtu)," katanya. Semasa ditanya jika siasatan dalaman perlu diadakan berhubung kurangnya tindakan dalam laporan orang hilang sehingga pembunuhan berprofil tinggi Sosilawati, Mohd Bakri berkata: "Biar kami fokus pada pembunuhan ini dahulu." Beliau menambah, polis juga masih belum menghubungi pihak berkuasa India dan Interpol mengenai kehilangan seorang warga negara berkenaan selepas kali terakhir dilihat berjumpa dengan peguam terbabit. "Sekiranya dan apabila kami memerlukan bantuan berkaitan kes, kami akan menghubungi mereka," katanya. Mohd Bakri juga mengingatkan media untuk menghentikan membuat spekulasi dalam kes tersebut dan membiarkan polis menjalankan tugas mereka. "Tolong beri kami masa dan ruang untuk membuat penyiasatan. Jangan biarkan ia tergelincir dengan maklumat salah," tambah beliau. mStar |
| Kes Bunuh Sosilawati : Laporan Penuh Dikemukakan ke Peguam Negara Minggu Depan Posted: 17 Sep 2010 08:05 PM PDT Sabtu September 18, 2010 KUALA LUMPUR: Laporan lengkap siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara minggu hadapan.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pihaknya yakin bahawa mereka telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti kukuh bagi mengaitkan dan mengheret suspek ke muka pengadilan. "Polis percaya kes pembunuhan melibatkan Sosilawati dan empat rakannya itu telah dapat diselesaikan berdasarkan tindakan yang telah diambil dan bahan-bahan bukti yang telah berjaya diperoleh. "Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dinilai, berkemungkinan minggu hadapan...kita yakin siasatan kita punya bukti yang kukuh," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Jumaat. Beliau berkata keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa pembunuhan kejam itu yang dijumpai di sekitar tempat kejadian, hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya empat hari lagi. "Tulang-tulang berkenaan baru dihantar ke Jabatan Kimia, Hospital Kuala Lumpur semalam dan difahamkan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya empat hari untuk proses penganalisaan. "Selepas ujian patologi itu selesai barulah kita dapat menentukan dan mengenal pasti profil DNA serpihan tulang tersebut sama ada ia milik Sosilawati dan tiga yang lain atau bukan," kata Mohd Bakri. Beliau berkata polis juga telah menghentikan operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, Selangor bermula hari ini, bagaimanapun anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai. "Misi mencari bahan bukti dihentikan hari ini dan jika selepas ini kita dapati ada keperluan atau masih ada lagi benda-benda yang perlu dicari atau dilakukan, kita akan sambung lagi operasi," katanya. Mohd Bakri berkata dua pasukan khas telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi pembunuhan keempat-empat mangsa dan kes kehilangan tiga lagi individu serta seorang wanita yang mati dibunuh sebelum ini. Beliau berkata bagi kes Sosilawati dan tiga rakannya, pasukan khas tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah manakala bagi pasukan menyiasat individu hilang ia diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi Datuk Hadi Ho Abdullah. "Setakat ini kita telah kenal pasti suspek terlibat dalam empat kes lain iaitu tiga kes individu hilang selepas mengadakan pertemuan dengan suspek utama di mana kita tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadi mangsa bunuh selain satu kes wanita mati ditikam di hadapan rumahnya tahun lepas," katanya. Beliau turut memberi amaran sekali lagi kepada media terutamanya media arus perdana agar tidak melampaui batas dengan melaporkan berita yang tidak sahih dan spekulasi yang boleh menggugat keadilan. Mohd Bakri berkata terlampau banyak artikel dan kenyataan yang memetik sumber, didapati bercanggah, tidak tepat dan diputar belit yang membolehkan pemberita dan editor bertanggungjawab dipanggil untuk memberi penjelasan atau menyatakan kewajaran berita mereka di mahkamah undang-undang nanti. "Dakwaan mangsa disembelih, 17 mangsa dibunuh suspek, mangsa diumpan dengan cek, sungai dipenuhi dengan ratusan tulang, anjing pembunuh dan beberapa lagi dakwaan yang menggunakan sumber adalah spekulasi dan tidak menggambarkan kejadian sebenar, hanya mengganggu siasatan. "Jangan buat andaian bukan-bukan, sebenarnya hasil pengakuan suspek - Sosilawati dan tiga rakannya diikat, dipukul dan ditikam sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai," katanya. Beliau turut mengesahkan, setakat ini hanya lapan suspek ditahan dan polis sedang meneliti sekiranya masih ada lagi mereka yang terlibat dalam kes ini. Katanya, pekerja kepada peguam yang kononnya bergelar 'Datuk' itu disifatkan sebagai taksub dengan ketuanya, malah ada yang telah bekerja selama 15 tahun dengan suspek tersebut. "Suspek utama yang tidak pernah dikurnia gelaran Datuk itu telah dibekukan asetnya namun jumlahnya akan kita umumkan kelak dan suspek juga tidak meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa sebelum ini," katanya sambil menambah polis telah mengambil keterangan dan DNA keluarga kepada semua mangsa. Beliau berkata tempoh reman lima suspek disambung hingga Khamis ini manakala tiga lagi akan tamat esok dan polis akan memohon untuk menyambung reman mereka untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Tambahnya, masyarakat perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah dalam bidang kuasa Peguam Negara dan menjatuhkan hukuman sama ada suspek bersalah atau tidak adalah kuasa mahkamah, bukannya polis. Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah sebelum keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. BERNAMA |
| Kes Pembunuhan Sosilawati : Polis Punya Bukti Kukuh Terhadap Suspek Posted: 17 Sep 2010 07:48 PM PDT Sabtu September 18, 2010 PETALING JAYA: Polis telah berjaya mengumpulkan bukti kukuh bagi mensabitkan kesalahan ke atas kesemua suspek yang terlibat dalam kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin pada Jumaat telah mengumumkan bahawa laporan lengkap siasatan kes pembunuhan kejam itu dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara minggu hadapan. Dalam perkembangan lain: * Polis juga telah menghentikan operasi mencari bahan bukti di tempat pembunuhan, Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, Selangor bermula semalam. * Polis turut menahan seorang lelaki berumur 34 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan seorang lelaki warga India di Banting tahun lalu. * Polis meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu dalam siasatan menjejaki warga India berkenaan. * Seorang Timbalan Menteri menafikan dakwaaan beliau mempunyai kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati. mStar |
| Posted: 17 Sep 2010 11:56 AM PDT 2010/09/17 KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon terkenal M. Rajoli meninggal dunia di Hospital Ampang di sini, pada pukul 10.55 malam ini akibat penyakit kelenjar kanser otak.Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik berkata, Allahyarham dirawat di hospital itu sejak tengah malam semalam setelah mengalami komplikasi penyakit itu. "Allahyarham meninggal akibat penyakit lamanya itu dan dijangka akan disembahyang dan dikebumi di Keramat petang esok," katanya di sini hari ini. Beliau berkata hampir keseluruhan anggota keluarga Allahyarham berada bersamanya sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya. Harun berkata, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada industri perfileman negara kerana Allahyarham adalah 'bintang yang sentiasa menyinar'. M Rajoli atau nama penuhnya Mohd Rajoli @ Mohd Rajab Mohamed, 64, menghidap penyakit kelenjar kanser otak sejak 2007 dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Beliau dimasukkan ke HKL pada 10 Oktober 2007 dan dibedah pada keesokannya apabila doktor mendapati komplikasi penyakit di otaknya. Selepas tiga minggu berada di Unit Neurologi, HKL, beliau dipindahkan ke Hospital Ampang pada 1 November 2007 untuk menjalani rawatan susulan kimoterapi dan fisioterapi sebelum dimasukkan ke HKL semula untuk rawatan radioterapi kerana keadaan jantungnya yang lemah. Allahyarham terkenal dengan lakonan versatilnya dan pernah membintangi pelbagai drama dan filem antaranya Congkak dan Lembing Awang Pulang ke Dayang. Bernama Al Fatihah! |
| Kes Bunuh Sosilawati : Polis menjumpai ratusan fragmen tulang Posted: 17 Sep 2010 11:49 AM PDT Oleh M.KUMAR, STEVEN CHIEW, WANI MUTHIAH, A.RUBAN dan PRISCILLA DIELENBERG KUALA LANGAT: Sungai Panchau dekat sini kemungkinan memiliki lebih banyak rahsia mengerikan daripada yang dibayangkan.Di sebalik air sungai yang keruh itu mengandungi ratusan fragmen tulang manusia, dipercayai dijadikan sebagai 'kubur berair' bagi mangsa bunuh. Difahamkan, polis menjumpai lebih 300 fragmen tulang manusia dari dasar sungai yang terletak hanya antara empat dan lima kilometer daripada ladang berlakunya pembunuhan empat individu. Menurut seorang pakar yang mengendalikan pembakaran mayat sejak 20 tahun, apabila badan manusia itu dibakar, ia akan meninggalkan kira-kira 20 sehingga 25 fragmen tulang yang dapat dilihat. Setakat ini, polis sedang menyiasat pembunuhan ngeri jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dan mengesahkan sekurang-kuranya lapan laporan mengenai individu hilang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama ke berkenaan. Selain Sosilawati, tiga individu lain adalah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32. Mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dan seminggu selepas itu cebisan mayat mereka dijumpai dalam Sungai Panchau dan beberapa sungai lain berhampiran Ladang Gadong. Jumlah fragmen tulang yang banyak menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai mereka yang lain mungkin dibunuh di ladang terbabit sebelum Sosilawati bersama tiga individu. Sumber yang mempunyai kaitan dalam penyiasatan itu berkata, fragmen tulang dianalisis oleh pasukan khas forensik dan jabatan kimia bagi mengenal pasti latar belakang mereka. Pasukan polis forensik memulakan pencarian di sungai berkenaan sejak Ahad lalu dan menjumpai dua pisau, beberapa jam tangan dan barangan kemas. Polis telah melantik dua pasukan khas manakala penyiasat melakukan tugas mereka sepanjang masa di lokasi kejadian. Polis turut meneliti laporan kehilangan beberapa individu yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lalu bagi mengenal pasti terdapat kaitan dengan suspek utama yang merupakan adik-beradik peguam. "Diharapkan, kita dapat menyelesaikan beberapa kes yang dibuka semula dengan petunjuk-petunjuk baru ini," menurut satu sumber. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, satu pasukan khas kini menyiasat semua laporan kehilangan individu yang mempunyai kaitan dengan suspek. "Tiada satu pun akan terkecuali dan semua laporan orang hilang akan disiasat," katanya. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pada Ahad, terdapat empat kes orang hilang yang disiasat semula berdasarkan laporan polis dibuat oleh keluarga yang mempunyai kaitan dengan adik-beradik peguam. Satu sumber berkata, antara mereka yang hilang dipercayai 'dihapuskan' adalah seorang warga India, seorang wanita tempatan dan dua lelaki. Difahamkan polis di bahagian pemalsuan wang akan memohon Majlis Peguam supaya aset dua peguam terbabit dibekukan. mStar |
| Kes Bunuh Sosilawati : Nama Murugiah dikaitkan. Posted: 17 Sep 2010 11:38 AM PDT "peguam yang kena tuduh dalam kes Sosilawati bercadang sertai MIC kata Murugiah yang juga kawan baik beliau. Peguam ini juga adalah salah seorang penasihat Timbalan Menteri berkenaan dalam kes ROS (Pendaftar Pertubuhan). Murugiah adalah rakan kongsi peguam dalam perniagaan di mana Murugiah dapat RM3 juta dalam urusan itu" Murugiah buat laporan polis kaitkannya dengan suspek utama kes Sosilawati KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah hari ini membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang beliau terima mengaitkannya dengan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.Beliau berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh berikutan SMS yang dihantar melalui telefon bimbit yang berbaur fitnah. "SMS ini adalah fitnah terhadap saya yang sengaja mengaitkan saya dengan suspek utama pembunuhan kejam Sosilawati di mana SMS berkenaan tidak benar sama sekali," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini. Beliau berkata antara kandungan SMS itu berbunyi :"peguam yang kena tuduh dalam kes Sosilawati bercadang sertai MIC kata Murugiah yang juga kawan baik beliau. Peguam ini juga adalah salah seorang penasihat Timbalan Menteri berkenaan dalam kes ROS (Pendaftar Pertubuhan). Murugiah adalah rakan kongsi peguam dalam perniagaan di mana Murugiah dapat RM3 juta dalam urusan itu". Murugiah berkata suspek tersebut bukan peguam yang mengendalikan kes ROS seperti yang dinyatakan dan SMS itu sengaja dihantar bagi menjejaskan imej dan kedudukannya dalam politik dan sebagai Timbalan Menteri. "Saya yakin SMS berkenaan kemungkinan dihantar oleh orang yang mempunyai kepentingan politik dan mendapat manfaat sekiranya karier politik saya dibunuh. "Perkara ini amat serius bukan sahaja ia SMS fitnah terhadap saya tetapi juga penyebarannya boleh menjejaskan penyiasatan kes Sosilawati yang merupakan kes berprofil tinggi," katanya. Sebelum ini Murugiah ketika menziarahi keluarga Sosilawati mendedahkan pernah bertemu dengan suspek utama pembunuhan tersebut, iaitu peguam bergelar Datuk itu dalam satu majlis penyampaian sumbangan hari raya di Banting, Selangor pada 8 September lalu. Pada majlis itu suspek turut menyatakan hasratnya kepada Murugiah untuk menyertai MIC. Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan berkenaan daripada Murugiah. Beliau berkata setiausaha Timbalan Menteri berkenaan membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru 10 pagi tadi. "SMS berkenaan diterima ketika Timbalan Menteri itu menghadiri satu program di Teluk Intan (Perak) semalam," katanya. Selain itu, menurutnya satu laporan polis berkaitan perkara itu turut dibuat oleh setiausaha beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Teluk Intan semalam. BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |












Tiada ulasan:
Catat Ulasan