Isnin, 13 September 2010

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Kes Bunuh Sosilawati: Suspek dibawa ke lokasi dibunuh, polis temui jam pemandu

Posted: 13 Sep 2010 06:42 AM PDT

BANTING, 13 Sept — Pasukan penyelam Polis Marin hari ini meneruskan operasi mencari bahan-bahan bukti untuk siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut di sini.

Sungai itu terletak di Kampung Endah, kira-kira dua kilometer dari Ladang Gadong Tanjung Sepat di mana Sosilawati dan tiga lagi dipercayai dibunuh dan dibakar di ladang ternakan ayam di situ.

Operasi mencari bahan bukti itu bermula kira-kira 4.30 petang tadi dan berakhir pada pukul 7 malam ini. Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyertai operasi itu.

Seorang suspek lelaki dilihat dibawa ke atas jambatan sungai itu bagi menunjukkan di mana dia mencampakkan sesuatu dari atas jambatan berkenaan.

Apabila operasi itu dihentikan pada 7 malam ini, kelihatan beberapa anggota Unit Forensik sedang membelek satu bungkusan plastik yang berisi seutas jam tangan.

Pasukan penyelam Polis Marin menjalankan kerja menyelam di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, untuk mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik Sosilawati, 47, (gambar) dan tiga orang lain.

Semalam polis menemui jam tangan mewah milik Sosilawati pada salah seorang suspek yang ditangkap.

Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Semalam, polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong.


The Malaysian Insider

______________________________________________

Kes Bunuh Sosilawati : Tiada RM4 Juta dan Jam diambil sebagai kenang-kenangan..

Posted: 13 Sep 2010 02:01 AM PDT

Menurut sumber polis tiada wang tunai ditemui di tempat kejadian pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain walaupun sebelum ini khabar angin mengatakan jutawan itu membawa wang RM4 juta ketika menghilangkan diri.

Ini disahkan setelah polis menahan lapan suspek termasuk suspek utama kes berkenaan, seorang peguam bergelar Datuk, segala urusan berkaitan wang yang dijalankan mangsa dan suspek adalah melalui transaksi bank.

Menurut sumber terbabit juga, nilai transaksi yang dilakukan lebih besar daripada nilai yang tersebar sebaik berita kehilangan jutawan kosmetik berkenaan disiarkan. Sumber berita dari SINI.

Selain itu salah seorang penjenayah telah mengambil jam mahal milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya sebagai 'kenang-kenangan' selepas mangsa dibunuh.

Kerana kebodohan penjenayah tersebut jam itu telah menjadi petunjuk paling penting berhubung kes bunuh dan bakar mangsa berkenaan.

Difahamkan jam milik Sosilawati terbabit dipakai salah seorang daripada lapan suspek termasuk dua daripadanya adalah wanita yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan kejam berkenaan.

Manakala 4 daripada 8 suspek diberkas polis mengaku membelasah, membunuh dan membakar Datuk Sosilawati, pemandu, peguam dan pegawai bank dilaporkan hilang.

Suspek juga mengaku pernah terbabit dalam perlakuan sama membabitkan mangsa berbeza sebelum ini. Maka tidak hairanlah.. Alah bisa tegal biasa.

Memang perbuatan mereka teramat kejam.

'Membelasah', 'membunuh' dan 'membakar', bagi kita hanya sekadar 3 perkataan menggambarkan perbuatan jika tidak dinilai secara terperinci

Perbuatan tanpa perikemanusiaan suspek 'membelasah' 4 mangsa termasuk wanita, sukar dibayangkan. Pastinya sewaktu kejadian mangsa merayu, meraung dan menjerit kesakitan tetapi tidak diendahkan.

Barangkali penyeksaan dirasai mangsa hampir sama ketika tragedi malang menimpa penganalis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian pada tahun 2003. Dia dirogol, ditikam dan mayatnya dibakar pesalah, Ahmad Najib Aris.



Pastinya sebelum menghela nafas terakhir mangsa terbabit menggigil dan merayu berulang kali agar mereka tidak dibunuh. Sukar untuk kita membayangkan saat suspek mencurahkan minyak petrol ke tubuh mangsa, menyalakan api bertujuan melupuskan bahan bukti dan kemudian mengutip abu mayat dan tulang sebelum dibuang ke Sungai Panchau, 2 kilometer dari lokasi kejadian.



Pasukan polis marin kemudian terpaksa menyelam mencari cebisan daging dan tulang manakala pegawai dan anggota forensik bertungkus-lumus mengumpulkan bahan bukti.

_____________________________________________

Calon Oxford Diperlukan Untuk Ketua AMK !!

Posted: 13 Sep 2010 12:18 AM PDT

Oleh : EDYES

Perjuangan, perjuangan dan perjuangan. Untuk menewaskan Barisan Nasional, Angkatan Muda Keadilan memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber untuk membawa perubahan total sebuah organisasi suram menjadi sebuah organisasi yang lebih tersusun dan penuh strategi perlawanan.

Ia terutamanya, ketika anak muda semakin bosan dengan politik sempit, AMK seharusnya mempunyai pemimpin yang paling layak untuk membangkitkan revolusi politik bijak dengan menjadikan Parti Keadilan Rakyat sebagai pilihan utama untuk anak muda mengambil bahagian dalam wadah memperjuangkan nasib mereka.

Realiti yang dihadapi anak muda hari ini perlu diterjemah dengan jelas, kerana anak muda itu adalah pewaris kepada negara ini. Realiti keperitan hidup setiap anak muda yang bangkit dan jatuh dan kemudiannya cuba bangkit kembali, adalah menjadi tanggungjawab AMK untuk mengenalpasti segala keperluan mereka demi menjadikan AMK itu satu-satunya wadah untuk anak muda terus berjuang demi keadilan semua.

Siapakah pemimpin yang mempunyai kebolehan untuk menjadikan AMK sebuah sayap pemuda yang paling relevan? Setidaknya, sepuluh kali lebih aktif di bawah kepimpinan Shamsul Iskandar.

Reformasi dalam sayap pemuda keadilan perlu dilaksanakan secepat mungkin. Jaringan padu di antara AMK negeri dan pusat perlu diperkemas. Hanya calon yang kerap turun ke padang sahaja layak untuk dipilih sebagai Ketua AMK kerana calon ini sentiasa bergerak dalam perjuangan melumpuhkan propa-propa musuh selain daripada mempunyai jaringan kuat di kalangan pemuda AMK yang lain.

Seorang pemimpin sejati tidak memerlukan barisan bayangan demi melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua. Walau siapapun timbalannya, kerjasama utuh tetap akan terlaksana. Adalah jauh lebih baik dari menamakan timbalan dan keseluruhan barisan exco, dikhuatiri sekiranya timbalan pilihan tidak menang, ia pasti menyukarkan lantas menimbulkan masalah perhubungan.

Apakah calon yang direstui oleh Anwar Ibrahim itu harus menjadi pilihan para perwakilan ? Harus diingat, Parti Keadilan Rakyat bukanlah parti Anwar, tetapi parti rakyat untuk rakyat. Calon berjiwa rakyat yang sanggup mendepani segala permasalahan rakyat, yang sanggup bermatian untuk rakyat, yang sanggup diheret di atas tar jalanraya demi nasib rakyat, sepatutnya diberi laluan oleh perwakilan. Bukan calon yang hanya tahu menyindir pemimpin jalanan mahupun mengutuk demonstrat-demonstrat, kerana sindirin seumpama itu sudah menyerupai pendekatan Khairy Jamaluddin. Pemuda harus berani berjuang di jalanan sekiranya perlu, bukan di depan kaunter aduan di balai polis semata-mata.

Adakah seorang calon ketua AMK itu perlu setinggi-tinggi latar belakang pelajarannya? Belajar di Oxford hanya menjadikan seseorang itu pandai, tetapi tidak menjadikan seseorang itu lebih cerdik. Apalah yang lebih penting daripada perjuangan yang melaksanakan kata-kata? Dengan kebijaksanaan yang tidak semestinya diperolehi dari pengajian luar negara, ia pasti membolehkan sayap itu menerbangkan Parti Keadilan Nasional ke tahap yang paling relevan.

Perlukah seorang calon yang kaya raya untuk menjadi ketua AMK? Ingatlah, PKR bukan UMNO! PKR juga bukan parti serpihan UMNO! Hanya yang dangkal sahaja berfikiran begitu. Hanya mereka yang masih berjiwa UMNO sahaja akan melakukan pemilihan berdasarkan latar belakang kewangan seseorang. Pejuang sebenar ialah pejuang yang berusaha untuk menjadikan rakyat hidup senang. Pemimpin sejati ialah menjadikan rakyat jauh lebih kaya dari dirinya sendiri. Jadi fikirlah, adakah kita serupa dengan regim UMNO ?

Perwakilan, telitilah dengan bijak bahawa siapa pejuang sebenar di dalam AMK. Hebatnya seseorang itu bukan dari pangkatnya, tetapi dari amanah yang dijaga rapi.

Hanya pemimpin berjiwa pejuang, berhati rakyat wajar dipilih menjadi ketua. Pemimpin celik suasana dan peka terhadap situasi wajar diberi laluan. Pemimpin yang bijak dalam perlawanan dan tegak dalam istiqomah, wajib ditolak ke hadapan !

Itulah CheguBard atau nama penuhnya Badrul Hisham Shaharin.


Undilah Chegubard untuk Ketua AMK




____________________________________________

Sosilawati dan tiga individu di SEKSA sampai MATI.

Posted: 12 Sep 2010 09:17 PM PDT

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Sri Bakri Zinin setelah menyeksa, membelasah dan menikam sehingga mati berlumuran darah.. tanpa belas kasihan penjenayah mencurahkan petrol sebelum membakar mayat mangsa sehingga menjadi abu bertujuan menghilangkan bukti jenayah.

2010/09/13

KUALA LANGAT: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu hilang bersamanya melalui detik ngeri diseksa, dibelasah selain ditikam menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah hingga mati berlumuran darah.


SIDANG AKHBAR...

Penjenayah yang seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan mencurahkan petrol sebelum membakar mayat mangsa sehingga menjadi abu bertujuan menghilangkan bukti jenayah.

Penjenayah kemudian mengutip cebisan dan abu mayat semua mangsa yang dimasukkan ke dalam guni atau bekas tertentu sebelum dibuang ke Sungai Panchau, di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dibunuh.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Sri Bakri Zinin, selepas anggotanya melakukan soal siasat lapan suspek ditahan selepas dipercayai ada hubung kait kes kehilangan jutawan berkenaan sejak 12 hari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan, polis memberkas seorang peguam berstatus Datuk berusia 41 tahun disyaki dalang utama merancang kes penculikan dan pembunuhan kejam selain adik suspek berusia 38 tahun.

"Polis mengesan lokasi mangsa dipercayai dibunuh berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, di sini, selepas menahan adik-beradik terbabit selain enam lagi suspek turut terbabit.

"Lima suspek awal diberkas Jumaat lalu sebelum peguam berstatus Datuk dan adiknya diberkas kelmarin. Polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun turut dikaitkan kes pembunuhan berkenaan," katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia 19 hingga 45 tahun berkenaan dikenal pasti pekerja kepada Datuk berkenaan termasuk ada antara mereka pekerja di ladang tempat mangsa dibunuh

"Polis setakat ini tidak menolak kemungkinan mangsa dibawa ke ladang itu sebelum dibunuh dengan kejam, Ada kemungkinan mangsa dipukul sehingga mati menggunakan senjata sebelum sengaja dibakar hingga menjadi debu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini, petang semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa yang bertukar menjadi debu dicampak ke sungai berhampiran dan dihanyutkan ke laut berhampiran pantai Morib, di sini.

|"Polis percaya mangsa dibunuh dan dibakar di tempat sama di dalam ladang kelapa sawit terbabit berdasarkan bukti awal diperoleh. Suspek dipercayai turut membuang senjata digunakan untuk membunuh mangsa di dalam sungai sama.

"Setakat ini polis masih menjalankan gerakan memburu saki-baki dan rangkaian kumpulan penjenayah merbahaya terbabit. Polis percaya kumpulan terbabit turut bertanggungjawab dalam satu lagi kes sama awal tahun ini," katanya.

Difahamkan empat individu turut mempunyai kaitan dan urusan perniagaan dengan peguam berkenaan dilaporkan hilang sebelum ini dipercayai dibunuh dengan kaedah sama.

"Ada kemungkinan kes pembunuhan ini bermotifkan saingan perniagaan, namun polis masih menyiasat motif sebenar mangsa dibunuh kejam. Semua suspek akan ditahan reman sehingga 19 September depan untuk tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan.

"Apa yang boleh saya katakan, andaian mangsa masih hidup amat tipis. Bagaimanapun polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik mengesahkan sepenuhnya perkara berkenaan termasuk DNA bagi mengesahkan identiti mangsa dibunuh," katanya.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu semasa keempat-empat mangsa berada di Banting untuk bertemu peguam bergelar Datuk berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar mereka dibunuh, tetapi ia mungkin antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehingga semalam.

Mengenai keluarga mangsa, beliau memberitahu, keluarga mangsa sudah dimaklumkan berhubung kes terbabit dan polis menjelaskan kepada mereka pengesahan lanjut daripada forensik dan Jabatan Kimia diperlukan mengesahkan sepenuhnya kematian semua mangsa.

"Apa yang saya boleh sahkan sekarang, pengakuan suspek menjurus ke arah itu," katanya.

Mengenai tahap siasatan, beliau berkata, pihaknya tidak dapat menyatakan daripada segi peratusan, namun semua perkara hanya dapat disahkan dan disempurnakan selepas polis menerima laporan forensik dan kimia.

"Laporan forensik dan kimia akan mengambil masa, dan keluarga mangsa dan media akan dimaklumkan sebaik saja kami menerima semua laporan mengenai perkara ini," katanya.


myMetro

________________________________________________

Kes bunuh Sosilawati: Transaksi jutaan ringgit telah berlaku

Posted: 12 Sep 2010 08:59 PM PDT

Berlaku transaksi bernilai jutaan ringgit daripada akaun Datuk Sosilawati dengan seorang suspek yang ditahan berikutan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik terbabit dan tiga lagi individu.

Sumber polis berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku kes peras ugut berikutan penemuan bukti transaksi wang ke dalam akaun bank milik suspek yang ditahan polis berkenaan sepanjang tempoh kehilangan Sosilawati bersama tiga yang lain.


Antara yang ditahan

"Susulan penemuan wang terbabit, semua aset dan wang milik suspek utama terbabit akan dibekukan. Polis akan menggunakan Akta Anti Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) dalam usaha mengesan daripada mana sumber wang terbabit diperoleh," katanya.

Menurutnya, polis mendapati dalang utama berstatus Datuk terbabit mempunyai kekayaan melampau.

Berdasarkan maklumat, peguam terbabit sebelum ini dipercayai pernah beberapa kali berurusan dengan Sosilawati, 47, berhubung urusan jual beli hartanah termasuk terbaru membabitkan tanah di Pulau Pinang.

Difahamkan, tanah berkenaan sebelum ini dibeli Sosilawati dengan anggaran RM25 juta sebelum mahu dijual RM200 juta berikutan harga pasaran semasa yang meningkat.

"Ada kemungkinan faktor itu menyebabkan suspek 'gelap mata' dan merancang untuk menyapu semua wang terbabit dengan membunuh mangsa bersama tiga yang lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, yang ditemui berkata, polis menemui sejumlah wang dalam jumlah amat 'besar' di dalam akaun milik suspek utama berkenaan.

Beliau yang ditemui di Banting, semalam, berkata, berdasarkan siasatan berlaku pemindahan wang ke dalam akaun bank milik suspek dan siasatan masih dijalankan bagi memastikan dari mana sumber wang itu diperoleh.

"Polis akan siasat secara rapi adakah wang terbabit diperoleh secara haram atau melalui pemerasan jenayah terhadap ramai mangsa lain sebelum ini," katanya.

Selain itu, maklumat polis turut mendakwa Sosilawati berkemungkinan ditahan dan dibunuh suspek utama yang berang selepas mangsa enggan membawa wang tunai seperti dijanjikan pada 30 Ogos lalu.

Wang yang sepatutnya dibawa seperti dipersetujui antara kedua-dua belah pihak turut menjadi punca semua mangsa ditahan sebelum dibawa ke ladang maut terbabit.

Berdasarkan maklumat diperoleh, suspek dianggap popular di kalangan penduduk sekitar Banting di sini, selain turut dikenali polis berikutan pejabat guamannya yang terletak tidak jauh dari Balai Polis Banting.

"Bagaimanapun, polis sedang menyiasat kemungkinan suspek turut terbabit dengan aktiviti gangterism selain menggunakan kaedah bakar mayat untuk menghilangkan bukti," katanya.


Harian Metro

Pemilihan PKR : Mengapa Anwar perlu memimpin secara langsung?

Posted: 12 Sep 2010 08:47 PM PDT

Ketika para jeneralnya kalut melobi dan berkempen untuk menduduki kerusi nombor dua parti, Datuk Seri Anwar masih berdiam diri dan tidak memberikan indikasi jelas samada dia mahu atau tidak memegang jawatan presiden PKR.

Ahli-ahli parti barangkali masih lagi menunggu pengumuman rasmi beliau, sama ada untuk tampil memimpin PKR secara langsung sebagai presiden atau mahu terus dengan kedudukannya sebagai Ketua Umum parti; suatu kedudukan yang dicipta khas untuk dirinya ketika mana dia tidak diperbolehkan memegang apa-apa jawatan dalam parti ekoran hukuman yang dipaksakan ke atasnya.

Alasan Anwar dan alasan yang dikongsi bersama oleh barisan pimpinan tertinggi PKR adalah; jika Anwar ditakdirkan dipenjara lagi nanti, maka siapa pula yang akan memangku jawatan tersebut.

Makanya pada pendapat kolektif mereka, adalah lebih selamat jika Datuk Seri Dr Wan Azizah terus menjadi presiden. Namun yang selamat hanyalah "kuasa" Anwar ke atas PKR kerana dia masih boleh memberi arahan kepada isterinya yang tidak mungkin akan engkar. Jika orang lain yang memangku jawatan tersebut barangkali Anwar akan sakit kepala di dalam penjara.

Orang penting

Namun formula seperti itu tidak juga dapat menyelesaikan polimik kepemimpinan PKR secara keseluruhannya kerana ada satu lagi jawatan penting yang menjadi sasaran mereka yang berminat menjadi orang penting parti.

Hal ini menjadi nyata apabila timbalan presiden sekarang, iaitu Syed Hussin Ali sudah memberikan tanda-tanda untuk tidak lagi memegang jawatan tersebut. Hakikat ini membuka ruang kepada perebutan jawatan tersebut di kalangan beberapa pemimpin lama dan baru dalam PKR, yang terngiur dengan prospek kedudukan berimbuhan besar dalam kerajaan baru yang mahu dibentuk selepas PRU ke 13 nanti, baik di negeri mahupun di persekutuan.

Maka berterbanganlah calon-calon timbalan presiden ke seluruh pelusuk negara menemui ahli parti dan memohon sokongan bagi menjawat jawatan tersebut. Malah adalah yang mendakwa mereka direstui oleh Anwar untuk bertanding merebut jawatan kedua penting itu.

Nyaris-nyaris pula para calon tersebut "berlanggaran" antara satu dengan lain di medan kempen dek kerana "lajunya" jentera kempen yang terpaksa mengatur "agenda bersalam" dengan sebanyak mungkin bakal pengundi dalam pemilihan pemimpin PKR yang dianggarkan berjumlah hampir setengah juta itu.

Kini, agenda parti untuk menang pilihanraya umum yang akan datang nampaknya sudah jatuh ke urutan nombor dua. Agenda calon-calon berkenaan adalah memastikan jawatan nombor dua dapat dipegang menjelang bulan November nanti.

Begitulah juga, penyokong masing-masing pun menjadi sibuk dengan pelbagai program yang bermatlamat mendapatkan sebanyak mungkin ahli turun mengundi calon pilihan mereka. Bajet pengangkutan, makan minum dan duit saguhati atas pelbagai nama sudah mula disiapkan dalam blueprint kempen masing-masing.

"Envelop-envelop" pun sudah ditempah. Malahan wang pendahuluan bagi belanja berkaitan sudahpun keluar masuk akaun-akaun rahsia yang ramai ahli parti tidak tahu mengenainya.

Makan-makan

Kalau tidak dengan turunnya bajet seperti itu masakan mungkin jentera parti peringkat cabang dan ranting yang diketahui miskin itu mampu menganjur siri-siri pertemuan dan makan-makan yang ditopengkan dengan majlis berbuka, jamuan hari raya, meraikan anak yatim dan pelbagai acara kreatif yang tidak berupaya dianjurkan selama ini.

Inilah "wajah-wajah politik lama" yang diperbaharui dan dimodifikasi serta dipaksakan ke dalam budaya politik PKR, oleh mereka yang dulunya pernah dijangkiti oleh sindrom yang memualkan itu.

Semua amalan yang tidak relevan itu dihidangkan kembali demi untuk merebut jawatan dalam parti termasuklah jawatan nombor dua PKR, yang pada pendangan mereka akan menjanjikan jawatan terpenting dalam kerajaan yang mahu mereka rampas nanti.

Ini belum lagi di kira betapa "gah"nya kempen pemilihan di peringkat cabang yang sudah menampakkan amalan huduh bakal-bakal pemimpin yang akan di amanahkan memimpin negara dan negeri . Apatah lagi dengan kempen jawatan ketua AMK yang mirip stail berkempen jawatan dalam pemuda Umno, dan tidak kurang hebat jawatan ketua wanita.

Budaya mempromosi pencaicai oleh "Ketua Kem" yang bertanding membayangkan seolah-olah PKR sedang asyik menostalgiakan fenomena puak Ghee Hin dan Hai San yang berebut kuasa untuk memerintah lombong bijih di Perak dan Selangor suatu ketika dulu.

Apakah PKR mahu menghidupkan kembali budaya berkempen seperti ini yang telah membusukkan dan mereputkan kepemimpinan Umno ? Tidakkah ada kaedah lain yang dapat difikirkan bagi mengurang dan meniadakan budaya berkempen dan memilih pemimpin dengan cara begitu ?

Jika benar ajaran Islam menjadi salah satu teras penting perjuangan PKR, maka budaya seperti ini tidak wajar dibenarkan berputik dan mengakar dalam parti.

Ahli-ahli parti akhirnya akan menjadi bosan dengan karenah pemimpin yang hanya sibuk dengan agenda menjamin kedudukan mereka di dalam parti daripada berusaha menjamin kedudukan dan nasib rakyat terbanyak.

Justeru itu Anwar harus segera melakukan sesuatu tindakan yang "di luar kebiasaan" dalam konteks mendidik pemimpin dan pendokong parti mengamal pendemokrasian pemilihan barisan kepemimpinan parti.

Autokrasi perlu digunakan

Tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua amalan demokrasi dapat menatijahkan kebaikan kepada organisasi. Ada kalanya elemen autokrasi perlu digunakan sesekali dan dalam banyak hal elemen perundingan dan permuafakatan perlu diutama serta diperbanyakkan.

Kenapa tidak dibudayakan amalan permuafakatan dan perundingan sesama pemimpin pelbagai peringkat dalam menentukan barisan pemimpin PKR. Kenapa juga tidak dibudayakan amalan berkongsi dan bergiliran memimpin dalam parti jika benar para pemimpin PKR mendukung semangat perjuangan yang mengutamakan rakyat daripada kedudukan mereka sendiri.

Banyak sekali ajaran dan pengalaman dari sejarah kepemimpinan Islam yang barangkali disifatkan tidak demokratik oleh sesetengah pihak namun terbukti berjaya "mengamankan organisasi" .

Hujah untuk menyuburkan demokrasi dalam parti melalui amalan bertanding dan berkempen memang ada kebenarannya, tetapi mempraktikkan elemen-elemen demokrasi yang berpotensi memusnahkan keharmonian dan keintiman silaturrahim anggota parti tentunya tidak akan mendatang apa-apa kebaikan kepada parti. Lebih malang lagi apabila ianya menjurus kepada sengketa dan permusuhan sesama pendokong dan juga penyokong yang akhirnya melemah dan mencederakan parti.

Anwar harus segera bertindak membunuh "ulser kecil" yang bakal membengkak menjadi "kanser" dalam PKR ini. Dia harus segera menamatkan persaingan tidak sihat bagi jawatan-jawatan dalam parti terutamanya jawatan penting seperti timbalan presiden yang hangat diperkatakan sekarang ini.

Sebagai "Mudir Am" parti sekarang ini, Anwar seharusnya sudah mencium bau-bau busuk yang "dikencingkan" oleh beberapa pemimpin parti yang beriya-iya mahu bertanding. Bau busuk ini tidak harus dibenarkan menghancing parti. Anwar tidak boleh membenarkan gejala buruk ini dihidupkan dalam PKR yang menjadi harapan rakyat untuk merubah senario politik negara.

Sila sambung bacaan anda di SINI

Inikah Datuk yang disyaki Membunuh Sosilawati?

Posted: 12 Sep 2010 10:34 AM PDT

Ini adalah gambar-gambar suspek yang ditahan oleh pihak polis berikutan kes pembunuhan Dato Sosilawati..


Perhatikan lelaki yang berpakaian warna oren..


Perhatikan juga wajah lelaki yang ditengah-tengah ini..

Berdasarkan laporan oleh The Malaysian Insider di SINI seorang peguam berusia 41 tahun yang dikenali ramai di kawasan ini dan bergelar "Datuk", telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka telah ditahan berikutan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi.

Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.

Cuba baca Notis yang dikeluarkan oleh Bar Council dibawah yang dikeluarkan pada 31 Mac 2007..
DALAM PERKARA AKTA UNDANG-UNDANG PROFESYEN 1976

PER : EN. PATHMANABHAN A/L NALLIANNEN (NO K/P : 690211-10-5525)
EN. SURENDREN A/L NALLIANNEN (NO K/P: 720801-10-5773)
EN. UMAR BAKI BIN ABDUL MAJID (NO K/P : 480805-08-5765)

NOTIS ADALAH DIBERIKAN bahawa Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam telah menjatuhkan perintah-perintah disiplin terhadap peguambela dan peguamcara yang dinamakan di bawah, berkuatkuasa 21 hari dari tarikh perintah-perintah tersebut.

Digantung dari amalan guaman selama satu (1) tahun menurut perintah bertarikh 9 Mac 2007 dan akan tamat pada 30 Mac 2008

En. Pathmanabhan a/l Nalliannen
En. Surendren a/l Nalliannen

Beramal di :
Tetuan Pathma Nalli & Partners
No. 198, Jalan Sultan Abdul Samad
42700 Banting
Selangor

Dibatal dari daftarai Peguambela dan Peguamcara menurut perintah bertarikh 9 Mac 2007

En Umar Baki Bin Abdul Majid

Dahulunya beramal di:
Tetuan Umar Baki & Co.
No. 3348, Tingkat 1
Jalan 18/32, Taman Sri Serdang
43300 Seri Kembangan
Selangor

Oleh yang demikian, mereka tidak layak untuk menjalankan amalan guaman mereka dan pihak Mahkamah, ahli-ahli Majlis Peguam dan pihak awam dinasihat mengambil perhatian tentang perkara ini.

Bertarikh : 31 Mac 2007

Lim Chee Wee
Setiausaha
Majlis Peguam

Sumber dari SINI

Ini pula berita yang mengaitkan ladang berkenaan dengan seorang penguam yang bergelar Datuk..
Kes Sosilawati: Polis Berkampung Di Lokasi Sejak 2 Minggu Lalu

KUALA LANGAT: Sudah dua minggu ramai polis dilihat di sekitar Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini bagi melakukan siasatan.

Keadaan itu disedari penduduk sekitar sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dan andaian.

Bagaimanapun ia terungkai ekoran penemuan empat mayat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47 bersama tiga individu lain.

Ketua MIC Cawangan Taman Gadong, M. Mohan, 53, berkata, beliau mendapat tahu berita tersebut apabila pihak polis mula mengawal pergerakan keluar masuk di simpang ke ladang terbabit pada Sabtu.

"Ketika itu saya mahu ke Kuil Sri Maryaman yang terletak di laluan masuk berkenaan. Saya dimaklumkan polis bahawa mereka sedang melakukan siasatan. Ini pertama kali kejadian seumpama ini berlaku di sini," katanya di sini pada Ahad.

Difahamkan, Ladang Gadong itu dimiliki seorang peguam bergelar datuk yang pernah dicari polis bagi membantu siasatan.

Ladang milik persendirian berkeluasan tiga ekar itu mempunyai ternakan ayam, lembu dan kambing.

Sementara itu, tinjauan mStar Online di rumah banglo Sosilawati pada 11:30 pagi, lebih 10 wartawan dan jurugambar telah berkumpul di depan kediaman mewah itu.sepenuhnya sila baca di SINI

Cuba bezakan antara kedua-dua gambar dibawah ini dengan gambar-gambar diatas


Datuk Pathmanabhan A/L Nalliannen
Sumber gambar dari SINI


Surrendren adik Datuk Pathmanabhan
Sumber gambar dari SINI


Jadi.. Adakah mereka ini, Dato dan Adik lelakinya yang ditahan kerana disyaki membunuh Sosilawati ?

Perhatian : Aku sekadar bertanya.. adakah mereka itu yang ditahan oleh pihak Polis berikutan pembunuhan Datuk Sosilawati itu setelah sebuah Blog dengan nama Pengundi Setia Sungai Rapat mengesahkan bahawa kedua-dua mereka itulah yang ditahan oleh pihak Polis.


______________________________________________

Tiada ulasan: