Khamis, 23 September 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Kedudukan Perkahwinan Sultan Ismail Petra

Posted: 22 Sep 2010 07:07 PM PDT

1. Sukacita kami menegaskan di sini bahawa perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan Cik Puan Elia Suhana Ahmad yang berlangsung pada 13 Zulhijjah 1428H bersamaan dengan 23 Disember 2007M adalah satu perkahwinan yang sah di sisi hukum syarak dan undang-undang.

2. Hasrat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra untuk mengahwini Cik Puan Elia Suhana lahir daripada hati sanubari Baginda sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak sekalipun: Perkenalan di antara mereka bermula dari inisiatif Baginda sendiri manakala segala komunikasi di antara mereka berdua juga turut dibuat secara terus.

3. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra amat menyayangi Cik Puan Elia Suhana kerana, selama mereka berkenalan dan berada di dalam alam perkahwinan, Cik Puan Elia Suhana menunjukkan ketulusan hati yang tinggi dan tidak pernah meminta sebarang apa pun dari Baginda, sama ada yang membabitkan harta, pangkat ataupun kedudukan.

4. Sepanjang tempoh perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana ini juga, Cik Puan Elia Suhana mahupun ahli-ahli keluarga beliau yang lain juga didapati tidak pernah menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra untuk memperolehi apa-apa kelebihan dari mana-mana pihak.

5. Tindakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra mengahwini Cik Puan Elia Suhana merupakan satu tindakan terpuji yang menggambarkan kesedaran tinggi Baginda untuk mengamalkan corak kehidupan yang dikehendaki oleh ajaran agama di samping turut menggambarkan keberanian Baginda mengambil risiko demi menegakkan kebenaran.

6. Adalah satu perkara yang telah menjadi rahsia umum (open secret) bahawa terdapat pihak yang menjadi histerikal apabila soal perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana diketahui sedangkan perkahwinan ini sepatutnya diterima dengan baik oleh semua pihak kerana ia merupakan satu sunnah.

7. Akibat tidak dapat menerima hakikat perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana ini, pihak ini telah berusaha untuk memisahkan pasangan suami isteri ini berdua melalui pelbagai cara, termasuklah dengan menghebahkan kononnya telah berlaku perceraian talak tiga di antara mereka berdua.

8. Kesedaran beragama yang tinggi di dalam diri Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra, kasih sayang mendalam Baginda terhadap Cik Puan Elia Suhana dan ketidakupayaan Baginda membuat keputusan sendiri sejak mengalami kegeringan bagaimanapun menjadikan perceraian talak tiga ini suatu perkara yang amat mustahil.

9. Di dalam keadaan kegeringan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang, semua pihak perlulah mengenepikan emosi masing-masing dan menumpukan seluruh perhatian mereka bagi memastikan kebajikan Baginda sentiasa berada pada tahap yang terbaik sekaligus bagi memungkinkan pemulihan Baginda berlaku dengan lebih cepat.

10. Termasuk di dalam perkara ini adalah kebajikan kasih sayang dari isteri-isteri Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra di mana Baginda tidak seharusnya dinafikan dari memperolehi kasih sayang kedua-dua isteri Baginda manakala Cik Puan Elia Suhana juga tidak seharusnya dinafikan haknya untuk mencurahkan kasih sayang kepada Baginda.

11. Di dalam keadaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra tidak lagi berupaya untuk mencurahkan apa-apa harta, pangkat ataupun kedudukan, sementelahan pula Cik Puan Elia Suhana sendiri tidak pernah pun meminta-minta ke atasnya, beliau tidak seharusnya terus dizalimi dengan tidak dibenarkan untuk bertemu dengan suami yang tersayang.

12. Kami percaya, selaku seorang isteri yang telah terbukti baik, tiada apa lagi yang dikehendaki oleh Cik Puan Elia Suhana dari Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra melainkan untuk mencurahkan kasih sayangnya kepada Baginda di saat-saat Baginda amat memerlukan segala curahan kasih sayang dari semua pihak untuk kembali pulih.

13. Apakah kita tidak dapat menyelami betapa remuknya hati seorang suami yang, di dalam keadaan sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa, telah dinafikan haknya untuk memperolehi curahan kasih sayang daripada seorang isteri yang dipilih dan direstui sendiri olehnya untuk hidup bersamanya sewaktu beliau masih di dalam keadaan sihat?

14. Apakah kita tidak dapat menyelami betapa remuknya hati seorang isteri yang diasingkan dari suami yang tersayang sedangkan dia mengetahui suaminya masih menyayanginya? Seorang isteri yang baik akan merasa berdosa jika tidak dapat mencurahkan kasih sayang kepada suaminya tetapi tidakkah pihak yang menghalangnya dari berbuat demikian turut merasa berdosa sama?

15. Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana adalah satu perkahwinan yang sah di sisi hukum syarak dan undang-undang. Sehingga ia diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah syariah maka hak-hak mereka sebagai suami isteri tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

16. Kita selaku seorang hamba yang lemah perlu sentiasa menyedari bahawa kita tidak akan mampu untuk memastikan kita memperolehi setiap keinginan yang kita cita-citakan sebagaimana kita juga perlu sentiasa menyedari bahawa kasih sayang itu tidak akan mampu untuk dibeli melalui harta benda (malah melalui apa-apa amalan perbomohan pun).

17. Kepada semua pihak, sukalah diingatkan supaya, sebagaimana kita juga perlu menerima tindakan Cik Puan Manohara Odelia Pinot lari meninggalkan Tengku Temenggong Kelantan sebagai satu takdir, menerima hakikat perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana sebagai satu ketentuan dari Ilahi.

18. Firman Allah di dalam Surah al-Anfal (Ayat 63): "Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara (perasaan) hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara (perasaan) hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (perasaan hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Pemasyuran Penggunaan Gelaran Kebawah DYMM

Posted: 22 Sep 2010 07:06 PM PDT

PENGEDARAN ISTANA BILANGAN 2 TAHUN 2010

PERKARA 1: PEMASYHURAN PENGGUNAAN GELARAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL-SULTAN KELANTAN

Adalah dimaklumkan bagi pengetahuan Kerabat-Kerabat D'Raja, Orang-Orang Besar Negeri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Ketua-Ketua Jabatan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Persekutuan, Badan Berkanun Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Pegawai-Pegawai Kerajaan, Badan-Badan Bukan Kerajaan dan sekalian orang ramai bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan menggunakan Gelaran: KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MUHAMMAD KE-V AL-SULTAN KELANTAN

2. Sehubungan dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa sebarang panggilan kepada KDYMM Tuanku adalah menggunakan gelaran tersebut. Saya berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang keliru dan menggunakan gelaran yang berbagai-bagai dalam sebutan atau penerbitan masing-masing.

3. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerabat-Kerabat D'Raja, Orang-Orang Besar Negeri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Ketua-Ketua Jabatan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan, Badan Berkanun Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Pegawai-Pegawai Kerajaan, Badan-Badan Bukan Kerajaan dan sekalian orang ramai di atas kerjasaman yang telah diberikan kepada Pejabat Sultan Kelantan sehingga istiadat pemasyhuran telah selamat disempurnakan pada 4 Syawal 1431H bersamaan 13 September 2010.

4. Saya berdoa semoga Allah S.W.T. memberi taufik, hidayah dan keberkatan kepada KDYMM Tuanku Al-Sultan dan sekalian Kerabat D'Raja.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

Yang Menjunjung Titah Perintah,

(Dato' Haji Abdul Halim bin Haji Hamad)
Pengelola Istana D'Raja Merangkap Ketua Istiadat Kelantan

PEJABAT SULTAN KELANTAN,
ISTANA BALAI BESAR,
KOTA BHARU,
KELANTAN.

04 Syawal 1431H bersamaan 13 September 2010
[Ps.Kn.Pro/11/95(33)]

PERKARA 2: KENYATAAN MEDIA PEJABAT SULTAN KELANTAN

Assalamu'alaikum w.b.t.

1. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sebahagian besar pihak media yang telah memberikan kerjasama yang begitu baik kepada Pejabat Sultan Kelantan dengan liputan yang baik mengenai pelantikan dan pemasyhuran Al-Sultan Kelantan yang baru pada 13 September 2010. Ini adalah satu sejarah yang paling penting bagi negeri Kelantan yang berlangsung di Istana Balai Besar. Istana Balai Besar ini menjadi Pusat Pentadbiran Kelantan dan Pusat Bandar Kota Bharu. Ianya dibina pada tahun 1844.

2. Ekoran daripada pemasyhuran yang telah dibuat itu, satu Pemasyhuran Pengunaan Gelaran telah dibuat oleh Pejabat Sultan Kelantan yang menyatakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan menggunakan Gelaran: KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MUHAMMAD KE-V AL-SULTAN KELANTAN

Sehubungan dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa sebarang panggilan kepada KDYMM Tuanku adalah menggunakan gelaran tersebut.

3. Bacalah Perlembagaan Negeri Kelantan dan fahamilah, sekiranya masih tidak faham rujuklah kepada pakar dalam bidang berkenaan. Jangan beri pandangan yang tidak berpandukan kepada fakta yang mutakhir. Rujuklah kepada Perkara 23A mengenai "Pelucutan Takhta", Perkara 26 mengenai "Gelaran" dan Perkara 3(2) mengenai pindaan Perlembagaan sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini "bolehlah dipinda oleh Yang Maha Mulia dengan Perwawai yang dikeluarkan dengan pesertaan dan persetujuan Majlis Penasihat Raja, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain". Ini ditegaskan beberapa kali oleh Setiausaha Majlis Perajaan Negeri. Saya tidak boleh memberi ulasan panjang mengenai perkara ini kerana ia telah menjadi kes mahkamah.

4. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin negeri dan negara seperti Menteri Besar Kelantan Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Tan Sri Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Pakar Perlembagaan di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Rohimi Shapiee dan pihak-pihak tertentu yang telah memberi pandangan dan sokongan mengenai perkara ini.

5. Tuanku Al-Sultan pernah bertitah bahawa Baginda memikul amanah Paduka Ayahanda untuk mentadbir negeri dengan berhemah dan menjaga kebajikan rakyat jelata. Pesanan itu menjadi pegangan dan prinsip hidup Tuanku Al-Sultan yang baru dan di sinilah letaknya "barakah" yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T.

6. Saya dan pegawai-pegawai serta kakitangan Pejabat Sultan Kelantan berasa sebak dan menitiskan air mata kegembiraan di atas keizinan Allah S.W.T. kerana telah memberikan penyelesaian di atas isu yang berlarutan sekian lama. Saya terharu dengan sokongan dan harapan yang diberikan oleh rakyat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Kelantan yang baru. Saya dan pegawai-pegawai serta kakitangan Pejabat Sultan Kelantan tidak terasa letih walaupun terpaksa bertugas sepanjang masa tanpa rehat demi untuk mencari kebenaran dan keredhaan Allah S.W.T.

7. Marilah kita kembali ke jalan yang benar. Kita bertaubatlah jika ada apa-apa kesilapan yang kita telah lakukan. Rakyat tahu menilai mana yang baik dan buruk. Terimalah ketentuan Allah S.W.T. Ianya ada hikmah Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayat Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima Kasih

DATO' HAJI ABDUL HALIM BIN HAJI HAMAD
Pengelola Istana D'Raja

Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan
Bertarikh: 22hb September 2010

Boleh Blah la RM4 Billion Untuk Kelantan

Posted: 22 Sep 2010 07:05 PM PDT

Kecoh kununnya PAS Kelantan dapat "sumbangan" peribadi berjumlah RM4 Billion dari seorang lelaki yang mengaku Trilliawan. aduihhh... gila... aku bila sebut angka 4 ni memang cukup-cukup fobia... teringat dekat kawan lama Syeikh dengan RM4 juta...

Pagi ni ada sorang kawan dari KL telipon... katanya - "apa ngko tau pasal RM4 billion..?"... aku jawab - "aku tak nak banyak... aku nak dalam RM30,000.00 je nak upgrade kamera aku... lama sangat dah aku dok berangan nak pakai Nikon D3x... kalau dapat RM30,000.00, boleh la aku shopping Nikon D3x complete dengan lens lemang 70-300mm f2.8 ngan lain-lain gadget tahap dewa photojournal, lepas tu blh la aku apply kerja dengan NatGeo..."... hahaha...!!!

Jadi kita cerita sikit-sikit dah la...

Setakat-takat yang aku tau la... menda alah RM4 Billion tak pernah wujud... replika check tu memang wujud dan nilainya sama macam replika check yang Najib PM bagi dekat MB Terengganu Mat Said dulu... maknanya nilainya ialah RM0 (telorrr)... kes ni sama macam kes Jutawan Lebanon dulu...

Kesimpulan paling mudah - Jutawan yang bagi "sumbangan" dekat PAS Kelantan semalam levelnya sama dengan PM Najib dan jugak Jutawan Lebanon... dalam kira-kira matematik politik nilainya ialah tak de nilai... hehehe... PM Najib memang tak de nilai geng... bagi free pun mahal..! hahaha...

Lagi pulak... semua projek-projek pembangunan bernilai Trillion-trillion yang diwar-warkan tu tak pernah wujudpun... Kerajaan Negeri Kelantan tak pernah luluskan mana-mana projek macam yang diwar-warkan setakat ni...

Yang ada hanyalah kertas cadangan/proposal... ya... Trilliawan kita ni sebenarnya baru masuk level nak melobi-lobi... baru propose dekat Kerajaan Negeri projek-peojek tu semua. tak tau pulak aku ikut pemikiran mana bila propose tu maknanya dah lulus... tak yah mesyuarat, tak yah kira bajet ke apebende... main tibai je...

Eh... Dato' KJ kita (Ahli Parlimen Tumpat) pun tak tau ada projek nak naik dekat Tumpat ma...

Kot-kot la kalau-kalau Trilliawan kita ni terbaca posting aku ni, ada baiknya dia siapkan keping-keping wang kertas berjumlah RM30,000.00 sahaja dekat aku sebagai "sumbangan" peribadi supaya dapat aku mengupgrade kamera aku ketahap kamera Dewa-dewa Photojournal... hahaha... nanti wa ambik lu punya gambar lawa-lawa maaa...!!!

Baca pulak tulisan bekas "mangsa" Trilliawan kita dekat bawah:
Aku berpengalaman setahun ditipu dan diperbodohkan oleh CEO/MD syarikat ini yang masa itu beroperasi di "coffee house" hotel KL International kat Jalan Chow Kit,dalam cuba menyelesaikan masaalah aku.Bukan aku saja bahkan 90% kontraktor kontraktor Bumiputera Class A masa itu pun turut kena kencing (Boleh tanya kebanyakan kontraktor kontraktor Class A ini untuk kepastian).

Masa itu (tahun 2005) "group" ini di kepalai oleh seorang yang menggelar dirinya MANDATE AND TRUSTEE Of Federation Goverment Of Malaysia (sila Google untuk keterangan) iaitu Haji Supandi Bin Mohamad.Group ini masa tu mengagih agihkan semua projek projek di bawah RMK9 kepada kontraktor Class A Bumiputera konon nya atas arahan Perdana Menteri.

Aku tiada kena mengena dengan pengagihan "projek RMK9" ini tapi turut membantu menyelaras temujanji kontraktor kontraktor ini dengan Supandi Mohamad.Sebab itu aku tahu ramai kontraktor yang terkena kencing.Jangan kata kontraktor,bekas Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor(PKK) masa tu pun terpedaya (bolih tanya dengan yang punya badan).

Dan yang paling hebat Pak Lah pun kena.Pak Lah yang baru mengambil alih jawatan dari Tun Mahathir blurr tentang kewujudan susuk tubuh yang menggelar dirinya "Mandate And Trustee"ini.Aku bertanggung jawap menghantar "Watikah" perlantikan "Mandate And Trustee" ini ke pejabat Perdana Menteri masa itu.Kelakar gila bila aku kenangkan kembali kisah ini.

Masa itu group ini beroperasi diatas nama Kri Development Sdn Bhd (sila check dengan SSM),dan konon nya bertanggung jawap keatas projek segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand IMT-GT yang bernilai 1.5 trillion USD (Wowwww...he he).

Jadi bila aku terbaca pasal Kerajaan Negeri Kelantan award projek bernilai 300b kepada "group" ini tak lah aku excited sangat.Tambah tak excited bila group ini pulak menyumbang 4b kepada PAS.Wakaka..wakaka.

SEBAB..

Billion dan Trillion memang mainan bibir mereka.Juta juta tak main lah adik oi..Seingat aku semasa setahun buang masa dengan "mangkuk mangkuk" ini mereka claim menguruskan "dana" sebanyak 33.8 trillion USD.(Mandate And Trustee lah katakan),tapi habuk pun tarakk.

Aku masih ingat lagi dinasihatkan oleh pihak SB supaya menjauhkan diri dari group ini 3 minggu sebelum polis rush hotel ini dan angkut mereka semua dengan terak.Nasib...

Kalau tidak aku pun sekali makan nasi lock up.

Sekitar 2008 aku ada singgah jumpa Mohamad Sobri Din di pejabat Ida World di Kelana Jaya atas pelawaan beliau.Masa nak masuk pejabat aku tenguk pintu dan dinding penuh dengan "cat merah".Bila aku tanya dia tersengeh menjawap,"Biasa lah Along".,dan masa itulah aku dapat tahu Supandi Mohamad dah meninggal dunia kerana sakit jantung.Aku tanya Sobri,"Sekarang Mandate/Trustee dah tak ada,awak lah pengganti?",dia tidak menjawap tapi tersengeh.

Itulah kali terakhir aku berjumpa Sobri dan melawat pejabat Ida World Group.

~TPU~

UMNO & Sports Toto

Posted: 22 Sep 2010 07:03 PM PDT

Sports Toto Malaysia diasaskan pada tahun 1969 dengan nama asal syarikat berkenaan ialah Unilite Electrical Industries Berhad. Setelah itu pada tahun 1987 ia ditukar nama kepada Far East Asset Berhad dan dalam penstrukturan semula pada tahun 1992, ia diambil alih oleh Berjaya dan dikenali sebagai Berjaya Sports Toto Berhad.

Sehingga kini Sports Toto mempunyai sejumlah 681 kedai judi di seluruh negara dan mempunyai dua syarikat perjudian di luar negara iaitu Philippines Berjaya Toto dan pada tahun 1997 membantu Kerajaan Ghana menyusun kegiatan loteri di negara berkenaan.

Syarikat ini adalah merupakan anak syarikat milik penuh Berjaya Group Berhad yang dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan, kroni yang rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad.

Berdasarkan carian yang dibuat, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah yang juga Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansor masih memegang saham di dalam Berjaya Group Berhad yang memiliki Sports Toto.

Pegangan Tengku Adnan sebanyak 3.5 juta saham dibuat melalui Cimsec Nominees.

Ini menjadikan Tengku Adnan mewakili UMNO di dalam syarikat perjudian Sports Toto melalui pegangan saham Berjaya Group Berhad.

Selain itu, Sports Toto Malaysia juga mempunyai dua pengarah yang merupakan bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia yang kebetulan orang Melayu dan beragama Islam. Mereka ialah Tan Sri Jaafar Abdul dan Mohamed Saleh Gomu.

Selain dua bekas pegawai kanan polis tersebut, antara muka Melayu yang menjadi pengarah syarikat di bawah kumpulan Berjaya yang turut memiliki saham dalam Sports Toto Malaysia ialah Datuk Annuar Zaini dan Datuk Sulaiman Mohd Noor yang menjadi pengarah Berjaya Group Berhad yang memiliki 292,336,584 saham di dalam Sports Toto.

Manakala dua lagi pengarah Melayu iaitu Datuk Adnan Shuaib dan Arsam Damis masing-masing menjadi pengarah Berjaya Land Berhad yang memiliki 284,644,046 saham di dalam Sports Toto.

Daripada carta ini jelas UMNO punya wakil dalam syarikat judi dan bekas polis turut melindungi kegiatan judi berkenaan.

~Roslan Alan روسلن الن

UMNO & Genting

Posted: 22 Sep 2010 07:02 PM PDT

Genting Berhad yang merupakan pengendali kasino terbesar di Asia Tenggara yang diasaskan pada 30hb. Julai, 1968.

Tiga tahun selepas ditubuhkan iaitu pada 28hb. Disember, 1971, Genting Highlands Hotel Sdn. Bhd. telah disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan pada tahun 1978 ianya dikenali sebagai Genting Highlands Hotel Berhad.

Setelah itu namanya dikenali sebagai Genting Berhad dan menjadi pusat perjudian terbesar di rantau ini.

Di bawah bendera Genting, terdapat dua syarikat utama dan ianya ialah Resort World Berhad dan Genting Berhad. Penglibatan UMNO dalam syarikat perjudian ini telah berlangsung sekian lama dan warisannya masih kekal sehingga ke hari ini.

UMNO melalui bekas Pengerusinya, Tan Sri Noah Omar yang kini dikendalikan oleh Yayasan Noah memiliki 602,318,000 saham di dalam Resorts World Berhad yang mengendalikan perniagaan judi dalam dan luar negara termasuk di atas kapal peranginan.

Manakala sebanyak 3,334,600 saham Genting Berhad dipegang oleh Yayasan Noah yang mana syarikat berkenaan merupakan syarikat pegangan ekuiti perniagaan judi dan kasino.

Yayasan Noah kini diwarisi oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang kedua-duanya adalah cucu kepada Tan Sri Noah.

Selain itu beberapa tokoh Melayu turut menjadi pengarah Resort World Berhad dan Genting Berhad.

Antaranya ialah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Amin Osman dan bekas pegawai bank, Datuk Paduka Nik Hashim Yusof yang menjadi Pengarah Genting Berhad.

Manakala bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Wan Sidek Wan Abdul Rahman dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Alwi Jantan merupakan Pengarah Resorts World Berhad.

Ini memperlihatkan penglibatan UMNO dalam aktiviti perjudian sudah bertaut sejak dulu lagi malah kini diwarisi oleh generasi kepimpinan muda dalam UMNO.

~Roslan Alan روسلن الن

UMNO & Magnum 4 Digit

Posted: 22 Sep 2010 07:01 PM PDT

Magnum 4D Berhad sebelum ini dikenali sebagai Leisure Management Berhad. Ia kadang kala lebih popular di kalangan kaki ekor sebagai tempat pelaburan.

Magnum 4D mempunyai lapan wilayah Magnum 4D Sdn Bhd iaitu Magnum 4D Selangor, Perak, Penang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pantai Timur dan Malaysia Timur. Semua Magnum 4D wilayah ini menjadi anak syarikat Magnum 4D Berhad.

Syarikat ini mempunyai kepentingan tidak langsung Menteri Kewangan Diperbadankan. Ini berikutan pegangan saham Menteri Kewangan Diperbadankan melalui dua syarikat yang memegang saham di dalam magnum 4D.

Pertamanya ialah Multipurpose Berhad yang menyaksikan pegangan 7,723,285 saham oleh Menteri Kewangan Diperbadankan di dalam syarikat itu dan Multipurpose pula memiliki 461,473,178 saham di dalam Magnum dan 60,502,000 saham dalam 4D.

Ini menjadikan menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai pegangan tidak langsung melalui Multipurpose di dalam `pusat pelaburan mingguan tersebut.

Keduanya, Menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai saham di dalam Kamunting Corporation Berhad iaitu sebanyak 3,055,069 saham. Manakala Kamunting yang pengerusinya ialah bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Haji Mohamed Al-Amin Majid memiliki 1,900,000 saham di dalam 4D.

Ini menjadikan lingkaran pegangan tidak langsung Menteri Kewangan Diperbadankan di dalam sayarikat judi dibuat melalui pegangan dua syarikat.

Menyentuh mengenai Magnum 4D Berhad, nama yag tidak boleh dipisahkan ialah Tan Sri Khir Johari yang merupakan pengarah syarikat itu. Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO memiliki 40,843 saham di dalam Magnum dan 6,666 saham di dalam 4D.

Lebih memeranjatkan bekas Peguam Negara yang kini Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut memiliki saham dalam 4D dengan pegangan sebanyak 1,666,666 saham.

Di samping itu Nor Anita Abu Talib dipercayai anak Abu Talib turut memiliki saham syarikat perjudian berkenaan iaitu sebanyak 680,334 saham.

Lingkaran dan putaran pemilikan saham syarikat perjudian ini menjadikan pemerintah UMNO sebagai penggalak kepada aktiviti pelaburan mingguan bursa empat nombor ekor atau singkatnya BENE.

Jadi jangan pelik lah kalau kita dapat tengok sekarang ni orang melayu kita dengan selamber je membeli nombor ekor Kalau pemimpin kencing berdiri pengikut pun akan kencing berlari…

~Roslan Alan روسلن الن

RosMoh Bakal Adakan Sidang Kemuncak "Puaka Pertama" Dunia

Posted: 22 Sep 2010 06:57 PM PDT

Suami Perdana Menteri, Datin Seri RosMoh Mansor mengumumkan bahawa Sidang Kemuncak "Puaka Pertama" bakal diadakan bermula 11hb. Oktober hingga 13hb. Oktober, 2010 ini.

Menurutnya, sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama dengan wanita-wanita pertama dunia mengenai agenda penting dalam memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.

Beliau berkata, lebih daripada 20 wanita pertama dari seluruh dunia dijangka hadir untuk mewujudkan satu platform baru dalam meningkatkan kesedaran dunia global bagi menceburi bidang pelaburan, pembangunan, kebajikan dan pendidikan.

Sidang Kemuncak ini akan diadakan selama tiga hari di Hotel Palace Of Golden Horses Kuala Lumpur.

~TPU~

Zaid jangan angkuh

Posted: 22 Sep 2010 06:56 PM PDT

Naib Presiden PKR Azmin Ali mengesa Datuk Zaid Ibrahim menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali sebagai "nyanyuk" dan "lupa" berhubung kedudukannya sebagai penyelaras Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau sedih dengan kenyataan terbaru Zaid itu kerana sebagai orang lama, Syed Husin telah berdepan dengan pelbagai cabaran yang ujian yang jauh lebih getir berbanding generasi baru dalam PKR hari ini.

"Saya sedih kalau Datuk Zaid Ibrahim meneruskan serangan-serangan peribadi seperti ini," katanya yang juga ahli parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa.

Portal berita Free Malaysia Today versi bahasa Malaysia hari ini melaporkan Zaid berkata, Syed Husin, yang tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu bulan depan, sudah lupa beberapa perkara sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak betul.

Syed Husin sebelum ini dilaporkan mempertikaikan peranan Zaid sebagai penyelaras Pakatan kerana bekas menteri itu didakwa tidak terlibat secara menyeluruh dalam persiapan draf dasar Pakatan.

Zaid dilaporkan berkata, selepas ditugaskan memberi idea dan kertas kerja untuk menyatukan PKR, PAS, dan DAP untuk didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), beliau tidak faham kenapa kenapa Syed Husin mempertikaikan kerjanya.

"Saya rasa beliau sudah nyanyuk dan lupa mengenai hal itu," beliau dipetik sebagai berkata kepada akhbar itu.

Dalam laporan itu, Zaid juga berkata, oleh kerana permohonan itu belum disahkan lagi oleh ROS, bermakna peranannya belum menjadi jawatan rasmi dan mungkin selepas diluluskan, "mungkin ia akan diberikan kepada orang lain".

Syed Husin: Dia macam cili, dia rasa pedas

Dalam wawancara dengan Malaysiakini awal petang ini hari ini, Azmin juga berkata, Syed Husin telah terlibat dan istiqamah dalam perjuangan menuntut keadilan lebih sedekad lalu, termasuk merengkok dalam penjara lebih lapan tahun.

"Janganlah orang baru seperti Zaid ini menyinggung perasaan seorang pemimpin lama yang telah diuji dalam perjuangan ini," kata Azmin yang juga bekas setiausaha sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Azmin lagi, berbeza dengan Syed Husin, "dia (Zaid) tak faham apa makna perjuangan".

"Sebab itu saya nasihatkan supaya beliau melihat kembali kepada Pengisytiharan Permatan Pauh. Baca, hayati, jangan sombong dan angkuh. Jangan ingat kita tahu semua. Hentikan sikap ego," katanya.

Pengisytiharan Permatang Pauh pada 12 September 1998, sebelum Anwar ditahan kali pertama, dianggap sebagai asas kepada ideologi dan dasar-dasar penting bagi pembentukan PKR.

Dengan nada tenang, Azmin bagaimanapun mengajak semua pihak supaya bermuafakat dan berbincang penuh semangat kekeluargaan berhubung perkara itu.

"Kalau benar beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya minta supaya beliau tarik balik dan tidak meneruskan tindakan seperti ini yang amat memalukan anggota dan pemimpin dalam PKR yang telah lama bersama Syed Husin Ali," katanya.

Sementara itu, mengulas wawancaranya yang mengundang pelbagai reaksi itu, Syed Husin hanya mengucapkan terima kasih atas pujian dan kejian terhadapnya.

"Terima kasih banyak. Untuk yang istimewa: Dia makan cili, dia rasalah pedasnya!" katanya tidak menyebut secara langsung individu itu.

~MK~

Perjuangan NUJ bebaskan akhbar dari politik

Posted: 22 Sep 2010 06:55 PM PDT

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari hari ini membidas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa beliau dilihat cenderung kepada pembangkang sebagai "sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak relevan".

"Sebagai Presiden NUJ Malaysia, jiwa dan raga saya hanya untuk kesatuan serta mendukung etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.

"Bagi NUJ Malaysia, kami akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan etika kewartawanan dan melaksanakan tanggungjawab tanpa memihak atau cenderung kepada mana-mana pihak atau parti politik baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat," kata Hata dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebagai wartawan profesional yang bertugas lebih 15 tahun di Utusan Malaysia dan mengetuai sebuah pertubuhan profesional maka "tindak tanduk NUJ Malaysia melebihi sempadan serta tidak termaktub kepada kongkongan mana-mana pihak".

"Sebagai wartawan profesional, saya merupakan pekerja yang setia dengan akhbar Utusan Malaysia untuk mendokong prinsip-prinsip asas yang telah ditetapkan oleh pengasas-pengasas akhbar tersebut yang sememangnya tidak terikat dengan mana-mana parti politik.


"Kenyataaan yang dikeluarkan oleh Mohd Zahid yang melihat saya cenderung kepada parti pembangkang jelas menunjukkan PERKASA memihak kepada parti politik dan tentunya parti itu adalah Barisan Nasional"," katanya.

Sehubungan itu, Hata menasihatkan PERKASA supaya menjaga ahli-ahlinya dan laksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh ahli dan "tidak memihak kepada mana-mana pihak atau parti politik".

Hata mengulas laporan berhubung kenyataan Mohd Zahid yang mahu beliau membuat penjelasan apakah beliau seorang penyokong tegar pembangkang.

Mohd Zahid dilapor mendakwa banyak cakap-cakap dalam industri media yang mengaitkan Hata sebagai penyokong tegar pembangkang terutamanya ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan komen beliau dalam laman sosial Facebook didakwa bernada pro-pembangkang.

Dalam kenyataan itu juga, Hata turut menegaskan bahawa NUJ - yang mempunyai seramai 1,335 ahli - merupakan sebuah pertubuhan yang bebas dan tidak memihak kepada sesiapa.

"Perjuangan saya ialah untuk melihat akhbar-akhbar di negara ini terlepas dari kongkongan tuan-tuan politik baik daripada BN, Pakatan Rakyat (PR) dan pemimpin-pemimpin politik lain.

"Akhbar dan media seharusnya dimiliki oleh rakyat kerana dengan itu barulah akhbar itu dapat berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Utusan sebelum ia dikuasai oleh parti politik sebelum tahun 1961," katanya.

~MK~

Nurul Izzah disiasat polis

Posted: 22 Sep 2010 06:54 PM PDT

Ahli parlimen PKR Nurul Izzah Anwar akan disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan polis yang dibuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang menuduh beliau mempersoalkan hak Melayu.

Bercakap kepada pemberita di balai polis daerah Dang Wangi, Nurul Izzah berkata laporan yang dibuat pada 2 September lalu itu berhubung sebuah artikel yang ditulisnya di sebuah portal berita menggesa PERKASA supaya menggunakan pendekatan konstruktif berhubung interpretasi Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 memperuntukkan butiran mengenai hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Artikelnya itu yang berjudul 'The ultimate Malaysia debate: Malaysia or Malaysaja?' disiarkan pada 31 Ogos lalu.

"Saya bukan bertujuan mencari sokongan menerusi artikel saya dan secara kategori menyatakan sokongan saya terhadap perlembagaan - termasuk Perkara 153, instusi diraja, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," kata Nurul Izzah.

"Saya secara kategori menyatakan saya tidak pernah mencadangkan untuk menukar atau meminda Perkara itu dalam perlembagaan," katanya hari ini.

"Sebaliknya, saya mencari ruang berwacana dengan PERKASA demi merungkai isu-isu utama yang berkait dengan hala tuju pembangunan serta masa depan negara.,"

Menurut Nurul Izzah, beliau disoal selama kira-kira 90 minit dengan
ditemani peguam Latheefa Koya dan diminta mengemukakan maklumat berhubung latar belakangnya, kandungan artikel itu dan tujuan ia ditulis.

~MK~

Polis keluar waran tangkap jika Shamsul tak bantu

Posted: 22 Sep 2010 06:53 PM PDT

Waran tangkap akan dikeluarkan ke atas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar, jika beliau enggan membantu siasatan berhubung dakwaannya bahawa pimpinan tertinggi polis ada kaitan dengan pembunuhan jutawan kosmeik Datuk Sosilawati Lawiya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata tindakan itu adalah jalan terakhir jika pihaknya masih gagal menghubungi Shamsul kerana kertas siasatan berhubung dakwaan berkenaan sudah dibuka.

Dalam perkembangan yang sama, Khalid juga memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam jika dia terus cuba membawa isteri ahli perniagaan dari India yang dilaporkan hilang awal tahun ini, S Usharani ke lokasi pembunuhan Sosilawati di Ladang Gadong, Banting.

Menurut Khalid, amaran itu dikeluarkan kerana tindakan berkenaan adalah menyalahi prosedur termasuk dikhuatiri boleh menganggu siasatan siasatan polis.

Beliau berkata kes kehilangan ahli perniagaan India, Allal Kathan Muturaja, 34, itu masih dalam siasatan dan mengingatkan bahawa Manikavasagam seharusnya membawa isteri Usharani untuk membantu siasatan lanjut polis dan bukannya membawanya ke lokasi pembunuhan berkenaan.

~MK~

Zahid jangan hidup bercerminkan bangkai

Posted: 22 Sep 2010 06:52 PM PDT

"Soal saudara lompat dan meninggal rakan seperjuangan itu adalah hak saudara, tetapi janganlah mengorbankan prinsip perjuangan, biarlah kita mati daripada hidup bercerminkan bangkai," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau menujukan kata-kata sinis itu kepada Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari cenderung kepada pembangkang.

Justeru, tegasnya PAS menyokong penuh pendirian Hata untuk mendukung etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.

"Sebenarnya inilah yang sepatutnya dipegang dalam etika kewartawanan, dengan melaporkan secara jujur dan bertanggungjawab," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat telah menjadi mangsa kepada media perdana di negara ini yang melaporkan berita fitnah dan bohong yang jauh menyimpang dari etika kewartawanan.

Beliau menambah, menjadi lumrah sebagai manusia, wartawan tidak sunyi daripada kesilapan tetapi jika perkara itu berlaku sepatutnya dengan segera memohon kemaafan dan membetulkan kembali sebarang kesilapan.

Apa yang berlaku pada hari ini, ujarnya media yang pro Barisan Nasional tidak berpegang dengan etika itu.

Katanya, mereka sanggup membiarkan perkara itu berlegar dan melekat dalam pemikiran pembaca walaupun ianya bohong dan fitnah.

"Contoh yang terbaru ialah kes khatib membaca khutbah di Pulau Pinang dilaporkan Lim Guan Eng menggantikan Yang di-Pertuan Agong dalam doa," ujarnya.

Begitu juga, katanya Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching difitnah bertazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS di Surau Al-Huda, Kajang Sentral.

"Walaupun penjelasan diberi mereka masih meneruskan laporan fitnah ini, sikap yang ditunjukkan oleh media ini tidak menggambarkan sikap yang profesional," katanya lagi.

Apa yang penting kepada mereka, ujarnya ialah dapat memenuhi agenda politik jahat tuan mereka.

"PAS sedar banyak juga wartawan jujur dalam laporan, tetapi dikhianati oleh ketua pengarang mereka untuk memenuhi citarasa golongan penindas rakyat di negara ini," katanya.

PAS, katanya bukan minta dipuji, tetapi laporlah yang benar dan tidak kecil hati kalau berita mengenai PAS tidak dilaporkan tetapi tidak rela berita mengenai perjuangannya difitnah sehingga mengelirukan rakyat di negara ini.

Tambahnya, kemampuan untuk menjernihkan tanggapan fitnah kepada PAS adalah terbatas melalui media Harakah yang dikenakan dengan syarat-syarat yang ketat, sedangkan berita fitnah disebarkan oleh media BN ke pelosok kampung.

"PAS ingin mengingatkan Zahid Md Arip , bukankah dulu kita sama-sama menentang laporan media yang berat sebelah terhadap pembangkang ketika kita sama-sama menuntut keadilan dalam sebuah negara demokrasi.

"Kalau pun saudara sudah menyeberang di sana, janganlah lupa perjuangan kita semasa berada di atas pentas untuk menuntut hak sebuah parti politik di negara ini," ujarnya.

~harakah~

Cek RM4 bilion dan GNI RM1.7 trilion cerita dongeng

Posted: 22 Sep 2010 06:51 PM PDT

Cerita Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala pada Hari Terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) tidak ubah seperti cerita penglipurlara sumbangan derma RM4 bilion, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Dua-dua penglipurlara. Tidak ada bezanya cerita Pendapatan Negara Kasar (GNI) meningkat hampir RM1.7 trilion yang didakwa dalam program ETP di Kuala Lumpur dengan kisah derma RM4 bilion kepada PAS Kelantan di Kota Bharu.

"Yang seronoknya, Umno percaya kedua-duanya. Penglipurlara ETP sudah tentulah Umno percaya sebab mereka hendak paksa rakyat pula turut mempercayainya. Dengan pemikiran ala ETP itu, kisah penglipurlara derma RM4 bilion juga mereka telan dengan rakus," kata beliau sambil merujuk gesaan supaya 'derma' RM4 bilion itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga laporan polis mengenainya.

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menggesa SPRM menyiasat sumbangan RM4 bilion yang didakwanya diterima oleh PAS daripada sebuah syarikat.

Pergerakan Pemuda Umno Kelantan menjadi bahan tertawaan ramai apabila membuat laporan di balai polis Kota Bharu berhubung 'sumbangan' itu.

"Tidak menghairankan jika Umno begitu teruja dan percaya habis-habisan cerita-cerita penglipurlara seperti itu kerana memang itulah pemikiran mereka.

"Sama seperti mereka mempercayai dongeng sumbangan derma itu, seperti itulah juga mereka mahu rakyat mempercayai penglipurlara ETP.

"Bila rakyat mempercayai penglipurlara ETP sama seperti yang mereka percayai, Umno berharap senanglah mereka hendak memperdayakan rakyat supaya terus mengundi Barisan Nasional (BN)," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Bagi Mahfuz, kisah derma RM4 bilion adalah kisah ahli perniagaan yang berangan-angan banyak duit kononnya sehingga US$2.7 trilion yang tidak banyak bezanya kisah Umno yang berangan-angan panjang hendak mencipta pendapatan negara sehingga RM1.258 trilion dengan projek-projek ETP menjelang 2020 ketika Merrill Lynch melaporkan bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang paling tidak digemari pelabur di kawasan Asia Pasifik.

"Tidak pula ditunjukkan dengan jelas dari mana datangnya duit untuk melaksanakan projek-projek penglipurlara ETP itu.

"Persoalannya, adakah cerita penglipurlara ETP itu sengaja dibuat untuk mewajarkan lebih banyak lagi pembantaian duit Petronas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) misalnya?" beliau mempersoalkan.

~harakah~

Kelantan senaraihitam I'DA World Group

Posted: 22 Sep 2010 06:51 PM PDT

Kerajaan Kelantan akan menyenaraihitamkan Syarikat I'DA World Group Sdn Bhd yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu berikutan pengumuman sumbangan berjumlah RM4 bilion kepada PAS Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri atau parti tidak pernah melantik adiknya Nik Din Nik Mat mewakili beliau untuk menerima replika cek berjumlah RM4 bilion pada 19 September lalu.

"Saya tak hantar langsung wakil saya untuk menerima cek, malah media yang mendakwa penerima itu adalah wakil saya, karut belaka," kata Nik Aziz di Kota Bharu, seperti dilaporkan akhbar web PAS Harakahdaily.

Sebelum ini dilaporkan I'DA World Group telah menimbulkan misteri dan kejutan kerana bermurah hati menderma RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta. Manakala Nik Din pula mengesahkan bahawa beliau telah menerima replika cek tersebut atas sifat peribadi dan tidak mewakili parti ataupun kerajaan negeri.

Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS berkata, syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang projek di negeri tersebut dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

Sementara itu, Exco Kanan, Datuk Husam Musa pula dilaporkan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut, khususnya berhubung motif perkara itu.

"Ia akan menjejaskan (imej) parti dan kerajaan. Kita semua tak hadir pada majlis itu sebab memang tak pernah bincang pun (perkara itu)," katanya seperti dipetik Harakahdaily.

~MK~

Kelantan senarai hitam l’DA World

Posted: 22 Sep 2010 06:50 PM PDT

Kerajaan Kelantan akan menyenaraihitamkan sebuah syarikat yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu berikutan pengumuman sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerajaan negeri atau parti juga tidak pernah melantik Nik Din Nik Mat, yang juga adiknya mewakili beliau menerima replica cek berjumlah RM4 bilion pada majlis makan malam baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di sini sebentar tadi.

Menurutnya lagi, Syarikat I'DA World Group Sdn Bhd (l'DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

"Saya tak hantar langsung wakil saya untuk menerima cek, malah media yang mendakwa penerima itu adalah wakil saya, karut belaka," ujarnya.

Kerana itu, katanya syarikat berkenaan akan disenaraihitamkan.

Beliau bagaimanapun mengakui pemilik syarikat terbabit ada bertemu dengannya di rumah dan pejabat, namun ianya tidak membincangkan pasal perlantikan wakilnya hadir pada majlis itu nanti.

Dua malam lalu, syarikat I'DA World telah mengumumkan sumbangan RM4 billion kepada PAS Kelantan pada majlis makan malamnya yang diadakan disebuah hotel.

Replika cek berkenaan disampaikan oleh pengerusi eksekutif syarikat terbabit, Abdul Rahim Abdul Wahab kepada Nik Din yang juga adinda Tuan Guru.

Bagaimanapun, semalam Nik Din menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Katanya, kehadiran beliau hanya memenuhi jemputan peribadi dari syarikat tersebut.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa ketika ditemui memberitahu tindakan syarikat terbabit boleh menjejaskan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut khususnya berhubung motif perkara itu.

"Ianya akan menjejaskan parti dan kerajaan. Kita semua tak hadir pada majlis itu sebab memang tak pernah bincangpun," ujarnya.

~harakah~

PAS nafi terima RM4 bilion bangunkan Kelantan

Posted: 22 Sep 2010 06:48 PM PDT

PAS menafikan bahawa parti itu telah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion daripada Syarikat I'DA World Group Sdn Bhd.

"Saya dengan ini menafikan PAS pernah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion dari syarikat ini. PAS juga tidak tahu menahu tentang projek syarikat ini di Kelantan.

"Setelah menyemak dengan PAS Kelantan, saya juga mendapati PAS dan kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menerima permohonan dari syarikat ini untuk membuat sebarang projek pembangunan di sana," kata naib presiden PAS Salahudin Ayub (kiri) dalam satu kenyataan hari ini.

Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata parti itu "memandang serius ekoran tersebar gambar kononnya sebuah syarikat perniagaan memberikan sumbangan sebanyak RM4 bilion kepada PAS melalui satu cek replika".

"Sehubungan itu, kami sifatkan berita ini serta penyebaran berita sebegini satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Salahudin turut menyeru semua ahli PAS agar berhati-hati dengan isu ini kerana ia jelas "cuba mengaitkan PAS dengan aktiviti tidak sihat".

Salahudin mengulas laporan berhubung sebuah syarikat bumiputera, I'DA World Group Sdn Bhd yang menimbulkan misteri dan kejutan semua pihak kerana bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Cek replika sumbangan itu diterima oleh adik menteri besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.

Jelasnya, cek daripada syarikat tersebut diterimanya atas kapasiti peribadi dan bukan wakili parti atau kerajaan negeri.

Satu jenaka

Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim juga menafikan parti itu mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Katanya, PAS Kelantan "tidak tahu menahu mengenai dengan sumbangan tersebut".


Beliau yang juga timbalan speaker DUN Kelantan berkata PAS tidak pernah dimaklumkan mengenainya biar pun cek replika itu dikatakan diserah pada satu majlis makan malam anjuran syarikat tersebut.

"Badan Perhubungan PAS tidak dijemput hadir pada majlis makan malam anjuran syarikat berkenaan. Ini tidak lebih sebagai satu jenaka kerana kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan projek daripada I'DA World Group.

"(Badan) Perhubungan PAS Kelantan menafikan ada hubungan dengan syarikat berkenaan. Malah kita pun tidak kenal siapa pemilik syarikat itu," kata Mohd Zaki yang dipetik Harakahdaily.net.

Menurutnya, PAS negeri itu belum bercadang melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa biar pun namanya dikaitkan cek RM4 bilion berkenaan.

"Kita tidak kenal syarikat terbabit. Kita tengok dahulu perkembangannya sebelum mengambil tindakan lanjut bagi mengelakkan ada pihak mencemarkan nama PAS dan kerajaan negeri."

~MK~

PAS anggap propaganda jahat beri cek RM4 bilion

Posted: 22 Sep 2010 06:47 PM PDT

PAS Pusat menyifatkan tindakan penyebaran gambar kononnya sebuah syarikat perniagaan memberikan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan sebagai satu propaganda jahat memusnahkan nama baik PAS.

Selain menafikan PAS menerima cek itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub juga menyeru ahli PAS berhati-hati dengan isu yang cuba mengaitkan PAS tersebut.

"Kami sifatkan berita ini serta penyebaran berita sebegini satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS.

"Sehubungan itu, saya menyeru semua ahli PAS agar berhati-hati dengan isu ini kerana jelas cuba mengaitkan PAS dengan aktiviti tidak sihat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar selam yang mendakwa Syarikat I'DA World Group Sdn Bhd (l'DA World) memberi sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan dalam satu majlis makan malam di Kota Bharu.

Replika cek tersebut diserahkan kepada adinda Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat.

Nik Din semalam bagaimanapun menjelaskan beliau ke majlis itu atas kapasiti peribadi dan menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Dalam pada itu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengumumkan bahawa kerajan negeri akan menyenaraihitamkan syarikat tersebut yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu.

Beliau juga menafikan bahawa parti pernah melantik Nik Din mewakili beliau menerima replica cek tersebut.

Menurutnya lagi, Syarikat I'DA World Group Sdn Bhd (l'DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

~harakah~

Tiada ulasan: